Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda WR-V terjual 7,800 unit di Malaysia sepanjang 2023, jualan model hibrid RS e:HEV pula naik 87%

    Honda WR-V terjual 7,800 unit di Malaysia sepanjang 2023, jualan model hibrid RS e:HEV pula naik 87%

    Dalam pengumuman prestasi jualannya untuk 2023 yang dikeluarkan hari ini, Honda Malaysia turut menyebut bahawa SUV segmen-B Honda WR-V yang baru dilancarkan tahun lalu sudah pun terjual sebanyak 7,800 unit sehingga akhir Disember 2023.

    Angka berkenaan dilihat agak memberangsangkan kerana model yang lebih kecil dari HR-V tersebut baru sahaja dilancarkan pada bulan Julai 2023, bermaksud ia dicapai tidak sampai enam bulan selepas rasmi masuk ke pasaran tempatan.

    Menurut Honda Malaysia lagi pelanggan tempatan sangat menggemari varian paling sporty dan paling mahal yang ditawarkan iaitu varian RS, di mana ia mewakili 60% jualan dari jumlah keseluruhan WR-V yang dijual di sini tahun lalu.

    Honda WR-V ditawarkan dalam empat varian di Malaysia, bermula dengan varian paling asas 1.5 S ia dijual pada harga RM89,900, diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM95,900, 1.5 V berharga RM99,900, manakala varian dengan spesifikasi tertinggi 1.5 RS pula dijual pada harga RM107,900.

    Selain itu Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa model-model hibrid di pasaran tempatan yang dijual dengan lencana e:HEV turut mencatatkan pertumbuhan jualan yang pesat. Sepanjang 2023 lebih dari 7,700 unit model hibrid e:HEV berjaya dijual oleh Honda Malaysia, naik 87% berbanding lebih 4,100 unit yang dicatatkan pada 2022.

    Syarikat itu juga menyatakan bahawa jumlah berkenaan mewakili 28% jualan model-model hibrid di Malaysia tahun lalu, secara tidak langsung telah berjaya menyumbang kepada kenaikan jualan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi di Malaysia secara keseluruhan, serta membuktikan bahawa teknolologi e:HEV ini diterima dengan baik oleh pelanggan tempatan.

    Buat masa sekarang Honda Malaysia mempunyai lima model e:HEV yang boleh di beli menerusi jaringan pengedarnya di seluruh negara, bermula dengan Honda City Hatchback RS e:HEV berharga RM109,800, Honda City RS e:HEV berharga RM111,900, Honda HR-V RS e:HEV berharga RM141,900, Honda Civic RS e:HEV berharga RM166,500, dan Honda CR-V RS e:HEV berharga RM195,900

     
     
  • Honda Malaysia kekal jenama bukan nasional segmen kenderaan penumpang paling laris untuk tahun ke-10

    Honda Malaysia kekal jenama bukan nasional segmen kenderaan penumpang paling laris untuk tahun ke-10

    Honda Malaysia mengumumkan bahawa ia berjaya mencapai sasaran jualannya untuk tahun 2023 dengan menjual lebih dari 80,000 unit kenderaan tahun lalu. Menurut syarikat itu, rekod berkenaan membolehkan ia kekal sebagai jenama bukan nasional paling laris di Malaysia dalam segmen kenderaan penumpang buat tahun ke-10 berturut-turut sejak 2014.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa kejayaan ini dipacu menerusi empat model baharu yang berjaya dilancarkan pada separa kedua tahun lalu iaitu SUV segmen-B Honda WR-V, sedan segmen-B Honda City facelift, hot-hatch Honda Civic Type R FL5 dan juga model generasi baharu Honda CR-V.

    Tiga model paling laris yang dijual Honda Malaysia sepanjang 2023 pula adalah Honda City, HR-V, dan City Hatchback, di mana ketiga-tiganya masing-masing menyumbangkan sebanyak 30%, 25% dan 13% dari jumlah jualan keseluruhan syarikat itu.

    Malah bagi Honda WR-V, HR-V, CR-V dan Civic, kesemua model ini merupakan model yang paling laris dalam kelasnya, kata syarikat itu lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “2023 terbukti sebagai tahun yang mencabar di mana kami berhadpan pasaran yang kompetitif. Walau bagaimanapun, Honda Malaysia berjaya mengatasi dan mencapai sasaran jualan kami pada 2023 dengan sokongan padu daripada pengedar kami dan Kerajaan Malaysia,” kata pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura.

    “Selain itu, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan Honda yang telah memainkan peranan penting dalam pencapaian ini melalui sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap jenama Honda,” tambahnya lagi.

     
     
  • Peugeot e-2008 EV muncul dalam teaser untuk M’sia

    Peugeot e-2008 EV muncul dalam teaser untuk M’sia

    Pada bulan November tahun lalu, Stellantis mengumumkan mereka akan mengambil alih bahagian jualan dan pengedaran kenderaan Peugeot dari Bermaz, sambil menyatakan penubuhan syarikat jualan nasional baru di Malaysia untuk mengendalikan jenama tersebut (serta beberapa jenama lain di bawahnya) bermula suku pertama tahun ini.

    Sebahagian daripada langkah yang terlibat adalah pengenalan lebih banyak model Peugeot yang dipasang dalam negara (CKD), dengan antara yang telah diberitahu adalah seperti 408 PHEV, e-2008 dan Landtrek. Salah satu daripadanya semakin hampir dengan pelancaran apabila Peugeot Malaysia mula menyiarkan teaser di laman media sosial, iaitu Peugeot e-2008.

    Ketibaan SUV elektrik yang mula diperkenalkan kepada dunia pada tahun 2019 ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sejak tahun 2021 ia telah diberitahu dan pra tonton juga sudah dibuat oleh Bermaz pada bulan Mei tahun lepas. Sekarang kita cuma perlu menunggu tarikh sebenar ia akan dilancarkan.

    Peugeot e-2008 ini nampak seperti sama sahaja dengan 2008 biasa, tetapi ia digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 134 hp (136 PS atau 100 kW) dan tork 260 Nm yang terletak di hadapan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 10 saat, manakala laju maksimum adalah 150 km/j.

    Motor elektrik ini mendapat kuasa daripada bateri lithium ion berkapasiti 50 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 320 km (WLTP). Ia boleh dicas menggunakan sumber DC dengan sambungan CCS2 pada kadar sehingga 100 kW, dan bateri boleh naik 10-80% dalam masa cuma 30 minit. Apabila menggunakan AC dengan sambungan Type 2 (sehingga 11 kW), 4.5 jam diperlukan untuk memenuhkan baterinya.

    Model yang dipertonton tahun lepas adalah daripada varian GT, yang mendapat antaranya rim 18 inci serta kemasan berwarna sama seperti badan pada gril. Walaubagaimanapun kita masih belum mengetahui sama ada model yang akan dilancarkan nanti adalah daripada varian dan spesifikasi yang sama ataupun tidak. Bersama kita nantikan maklumat selanjutnya.

     
     
  • Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Ora Good Cat sememangnya sebuah EV yang comel kerana tampil dengan rekaan seperti sebuah Volkswagen Beetle klasik. Dan sudah tentu, pengaruh rekaan tersebut tidak boleh lari dari menerima bayangan imej sebuah Porsche. Jadi ini dia, kit badan untuk Ora Good Cat dari Lumga Bodykit Thailand yang boleh mengubah Ora Good Cat menjadi sebuah Porsche 911 dalam versi yang nampak lebih comel!

    Kit badan ini menampilkan bampar hadapan dengan rekaan seperti bampar Porsche 911 GT3 generasi 991 lengkap dengan ‘senyuman’ pada bahaguan sebelah atas, yang nampak begitu sesuai dengan rekaan lampu hadapan dan juga penutup bonet depan asal Ora Good Cat ini.

    Komponen lain yang turut dibekalkan dalam kit tersebut termasuk skrit sisi, tambahan kemasan diffuser untuk bampar belakang, sepasang sirip sisi palsu untuk kedua-dua fender hadapan, spoiler bumbung belakang dan juga tambahan satu lagi spoiler yang dipasang pada bahagian bawah cermin belakang.

    Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Secara keseluruhan, kit ini dijual pada harga 42,000.00 Baht, atau sekitar RM5,600 tidak termasuk kos pemasangan. Anda tidak perlu membawa kereta anda ke Thailand untuk memasang kit badan ini kerana Lumga Bodykit menyediakan khidmat jualan atas talian menerusi laman web rasmi mereka, dan ia boleh dihantar ke seluruh dunia.

    Ora Good Cat sudah lebih setahun berada di pasaran Malaysia selepas ia dilancarkan secara rasmi pada November 2022. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu 400 Pro dengan pek bateri LFP 47.8 kWh untuk jarak gerak 400 km (mengikut kitaran NEDC) dan 500 Ultra dengan bateri lithium 63.1 kWh untuk jarak gerak 500 km. Kedua-dua varian ini digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 143 PS dan tork maksima 210 Nm. Ia dijual pada harga RM139,800 untuk model 400 Pro dan RM169,800 untuk 500 Ultra.

     
     
  • Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Rapid Bus bakal menawarkan perkhidmatan bas perantara secara percuma untuk perjalanan ke/dari dua kuil sempena dengan sambutan Thaipusam ini, laporan Bernama. Dua kuil terbabit ialah Kuil Sri Subramaniar Samy di Batu Caves, Selangor, dan kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga di Pulau Pinang.

    Bagi bas perantara percuma di Kuala Lumpur ke Batu Caves, ia telah mula beroperasi sejak 5 pagi tadi hingga tengahmalam pada 26 Januari ini, dengan kekerapan operasi antara 10 hingga 15 minit. Perjalanan akan meliputi laluan BC02, iaitu dari Hab Bas Pasar Seni (platform A8) ke BC03 Batu Caves, dari stesen LRT Gombak ke Batu Caves, dan BC04 dari stesen MRT Kampung Batu ke Batu Caves.

    Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Manakala untuk perkhidmatan bas perantara di Pulau Pinang pula, ia telah pun mula beroperasi sejak tengahmalam tadi sehingga jam 2 pagi pada 26 Januari, dengan kekerapan operasi antara 20 hingga 30 minit, dan dari jam 1 pagi hingga 5 pagi. Ia akan meliputi laluan ST01, dari Jeti ke Adventist melalui kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga.

    Selain Rapid Bus, KTM Berhad turut menyediakan perkhidmatan KTM Komuter secara percuma terus ke Batu Caves yang beroperasi 24 jam sejak 23 Januari lalu sehingga 26 Januari ini.

     
     
  • Polis bakal tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 1-4 Feb 2024 sempena Putrajaya Open Day 2024

    Polis bakal tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 1-4 Feb 2024 sempena Putrajaya Open Day 2024

    Sempena dengan Putrajaya Open Day 2024 (POD2024), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun sebanyak 50% untuk pembayaran saman trafik terpilih selama empat hari iaitu pada 1 hingga 4 Februari 2024, dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Di mana kaunter pembayaran trafik tersebut akan dibuka di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, memberikan peluang kepada orang ramai untuk membayar saman trafik dengan diskaun yang ditawarkan itu.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Puttrajaya atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Kecuaian pemandu dan penunggang motosikal dikatakan menjadi faktor penyebab bagi hampir 90% kemalangan jalan raya di Pahang. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud, data itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan.

    Menurut Kamarulzaman, antara faktor kecuaian termasuklah sikap gopoh dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas antaranya memotong di garisan berkembar dan selekoh.

    “Kebanyakan penunggang motosikal menunggang laju kemudian keluar masuk simpang serta menukar arah lorong tanpa mengambil kira keberadaan kenderaan lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Selain itu,katanya, faktor cuaca dan keadaan permukaan jalan yang beralun turut menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negeri ini.

    “Pahang negeri yang luas dan keadaan bentuk muka buminya yang kebanyakan berbukit antaranya di Bentong, Cameron Highlands, Raub, Kuala Lipis malah kita di Pantai Timur kerap menerima hujan dan dalam keadaan hujan lebat sekalipun, terdapat pengguna masih memandu laju,” jelasnya.

    Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Beliau turut memaklumkan jumlah kemalangan jalan raya di Pahang pada 2023 mencatatkan peningkatan 4.8% kepada 23,591 kes berbanding 22,511 kes tahun sebelumnya, dengan Kuantan merekodkan kes tertinggi diikuti Bentong, Temerloh, Maran dan Rompin.

    “Kemalangan jalan raya di Pahang turut meragut nyawa 492 individu pada tahun lepas berbanding 447 individu pada 2022, iaitu meningkat sebanyak 10.1%. Ia membabitkan kereta mencatatkan angka sebanyak 16,989 kes manakala motosikal 3,355 kes dengan selebihnya lain-lain kenderaan.

    “Antara kawasan hotspot kemalangan dikenal pasti antaranya di laluan bypass di Kuantan, Rompin ke Muadzam Shah, Rompin ke Pekan, Kuala Lumpur-Karak dan Kuala Lipis,” katanya.

    Beliau turutmenambah sebanyak 153,369 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2023. Manakala lebih RM5 juta kutipan kompaun dan bayaran denda mahkamah berkaitan kesalahan trafik telah diperoleh pada tahun lepas.

    Beliau yang bakal bersara wajib pada 27 Januari ini selepas 38 tahun menabur bakti dalam pasukan polis turut menitipkan pesanan buat pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan antaranya jangan terburu-buru ketika berada persimpangan lampu isyarat dan laluan berselekoh.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

    PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

    Jika kita sebut tentang jentera rali jalan raya Toyota, sudah tentu apa yang terpacul di minda adalah Toyota GR Yaris bukan? Projek GR Yaris ini hanya diketahui sekitar bulan April 2019 selepas Toyota dilihat menguji prototaip ujian menggunakan kerangka badan Yaris generasi ketiga, dan model produksi sebenar membuat kemunculan sulung pada Januari 2020 semasa berlangsungnya Tokyo Auto Salon tahun itu.

    Namun sedarkah anda, sebelum GR Yaris kecoh diperkatakan, idea untuk penghasilan GR Corolla sebenarnya telah berlegar terlebih dahulu. Naib presiden jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley telah menyebut ura-ura Toyota bakal membangunkan hot-hatch ini pada April 2018, iaitu hanya selepas sebulan Corolla generasi ke-12 dalam versi hatchback diperkenalkan buat kali pertama.

    Ini kerana kerangka Corolla yang diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) tersebut begitu berpotensi untuk dihasilkan dalam versi prestasi tinggi kerana ia begitu tegar, menampilkan pusat graviti yang rendah, serta menggunakan sistem suspensi jenis double wishbone yang jitu pada bahagian belakang.

    Perkara yang sama turut disebut beberapa eksekutif Toyota selepas itu sehinggalah pada Februari 2019, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei mengesahkan Corolla hatchback lebih berkuasa dengan lencana Gazoo Racing akan dibina dan ia akan disumbat dengan enjin 1.6 liter turbo digandingkan bersama sistem pacuan semua roda.

    Ketika Kanei memberitahu perkara tersebut, dunia masih belum mengetahui apa-apa berkenaan enjin G16E-GTS yang akhirnya menjadi enjin produksi 1.6 liter tiga-silinder turbo paling berkuasa di dunia dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four yang dibangunkan oleh Toyota, sehingga kedua-dua gandingan itu didedahkan menerusi GR Yaris pada Januari 2020. Nampak tak? Toyota dah lama rancang, tapi kita yang lalai.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur, terutamanya di pusat bandar bukanlah masalah baru. Namun, kerajaan tetap komited untuk menyelesaikan masalah itu dan sedang terlibat dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk mencari jalan bagi mengatasinya.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa, jalan penyelesaian terhadap masalah ini sedang diteliti oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Begitu juga dengan jawatankuasa kabinet untuk kesesakan lalulintas yang telah juga menyerahkan beberapa cadangan berkaitan masalah ini, lapor Bernama.

    Dengan kira-kira 1.3 juta hingga 1.5 juta kenderaan direkodkan memasuki ibu negara setiap hari, beliau menambah masalah berkenaan boleh diatas sekiranya lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam untuk masuk ke pusat bandar.

    “Kesesakan berlaku ketika waktu puncak dari 6 pagi dan juga ketika waktu pulang kerja. Kami juga tahu yang menjadi punca pada kebiasaannya melibatkan mereka yang menggunakan kenderaan sendiri untuk tujuan kerja. Jadi, saya menggesa agar lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan tersebut,” ujarnya.

    Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Tahap kesesakan di Kuala Lumpur juga pernah direkodkan. Tahun lalu, Indeks Trafik TomTom memberi petunjuk bahawa pada 2022, pemandu di KL menghabiskan masa selama 159 jam di atas jalan ketika waktu puncak di pusat bandar, 75 jam daripadanya disebabkan kesesakan. Ia juga menganggarkan pemandu membelanjakan RM1,023 untuk minyak (RM221 kerana kesesakan) dan mengeluarkan 833 kg CO2 (180 kg disebabkan kesesakan).

    Pada Mei 2022, DBKL memaklumkan pihaknya telah menjalankan kajian terperinci tentang bagaimana untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di KL dan menjelaskan perhatian akan diberi kepada beberapa aspek tertentu termasuk koordinasi lampu isyarat dan sistem pengurusan parkir, yang mengganggu aliran trafik.

    Satu lagi penyelesaian adalah dengan mengenakan caj kesesakan, tetapi ini masih jauh untuk dapat dilaksanakan, kerana dikhabarkan hanya akan dikenakan selepas MRT3 siap dibina pada 2030. Struktur yuran untuk dikenakan kepada kenderaan yang memasuki ibu kota juga akan dinilai selepas projek pengangkutan awam itu selesai sepenuhnya.

     
     
  • Vespa 946 Dragon diperkenal – model kedua konsep kalendar China, hanya 1,888 unit dikeluarkan

    Vespa 946 Dragon diperkenal – model kedua konsep kalendar China, hanya 1,888 unit dikeluarkan

    Vespa sekali lagi memperkenalkan versi istimewa untuk model 946, dan kali ini dipanggil sebagai 946 Dragon. Ia sebenarnya adalah model 946 kedua yang dikeluarkan oleh Vespa mengikut konsep tahun kalendar China, dan yang pertama adalah 946 10 Anniversario (RM100k di Malaysia) dengan motif arnab pada tahun lepas.

    Mengikut kalendar China itu, tahun ini adalah tahun naga, dan 946 yang dikeluarkan mengikut konsep tersebut dengan terdapat pelekat naga warna hijau bertekstur yang ditampal dari hadapan hingga ke belakang badan motosikal berwarna emas cair.

    Menjadikan edisi kali ini lebih istimewa, Vespa turut mengeluarkan beberapa aksesori yang menggunakan konsep sama, bermula untuk motosikal, terdapat beg barangan buatan Itali yang boleh diletakkan di rak belakang, serta helmet open face.

    Satu lagi adalah barangan fesyen, iaitu jaket varsity, yang juga menggunakan konsep warna dan grafik naga yang sama, dibuat atas jaket yang menggunakan kain gabungan kulit Nappa, kapas serta bebulu (wool).

    Hanya 1,888 unit Vespa Dragon ini akan dikeluarkan untuk seluruh dunia, dan bahagian mekanikalnya tidak berubah dengan masih dipacu oleh enjin empat strok satu silinder 150 cc, dan diberikan dengan kelengkapan seperti panel paparan LCD, lampu depan dan belakang LED serta rim 12 inci di depan dan belakang.

     
     
  • Ora 07 lancar di Malaysia Q1 2024 – tetapan satu dan dua motor, kuasa sehingga 408 PS, jarak gerak 640 km

    Ora 07 lancar di Malaysia Q1 2024 – tetapan satu dan dua motor, kuasa sehingga 408 PS, jarak gerak 640 km

    Great Wall Motor Malaysia (GWM) telah membuat pengesahan bahawa Ora 07 akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2024. Sebelum ini, kenderaan elektrik itu cuma ditunjuk dalam teaser, tanpa sebarang perincian lain.

    Selain daripada itu, GWM Malaysia juga memberitahu, Ora 07 akan tiba dalam dua versi, iaitu yang menggunakan tetapan satu motor elektrik dengan jarak gerak 640 km dan juga yang menggunakan dua motor elektrik dengan pacuan semua roda dan jarak gerak 550 km.

    Jarak gerak (NEDC) ini menyamai dua varian yang dijual di Thailand, yang mana kedua-duanya menggunakan bateri ternary lithium 83.5-kWh. Di Thailand, pilihan variannya bermula dengan Long Range yang mempunyai motor elektrik hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, kemudiannya diikuti varian Performance dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 680 Nm.

    Tiada sebarang maklumat disiarkan berkenaan dengan harga buat masa ini, tetapi jika melihat kepada pasaran Thaland, Ora 07 dijual antara 1.299-1.499 juta baht (RM172k-RM199k). Apabila dilancarkan nanti, Ora 07 akan menjadi EV kedua jenama itu di Malaysia, mengikuti langkah Good Cat.

    “Kami teruja untuk membawa Ora 07 ke Malaysia, menguatkan lagi komitmen kami untuk menyediakan kepada pelanggan pilihan pengangkutan yang terbaik dan mesra alam,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Cui Angi.

     
     
  • Mekanisme naiktaraf lesen B2 ke B penuh sedang diperhalusi termasuk had umur, tempoh pemilikan

    Mekanisme naiktaraf lesen B2 ke B penuh sedang diperhalusi termasuk had umur, tempoh pemilikan

    Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme bagi pelaksanaan cadangan naik taraf lesen memandu kelas B2 untuk motosikal kepada B penuh secara automatik. Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Menurut beliau, antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah tempoh masa memiliki lesen Kelas B2 dan had umur yang dibenarkan bagi melaksana cadangan terbabit, laporan Bernama.

    “Perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat terperinci dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

    “Apa yang kami bincangkan tadi (semalam), ada tempoh tertentu dari segi umur iaitu pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas, keduanya memegang lesen B2 untuk satu tempoh yang tertentu, baru layak untuk mendapat B penuh. Perkara ini kita akan muktamadkan bila bermesyuarat dengan JPJ dan JSPT,” katanya.

    Mekanisme naiktaraf lesen B2 ke B penuh sedang diperhalusi termasuk had umur, tempoh pemilikan

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan berkaitan cadangan menaik taraf lesen Kelas B2 kepada B penuh secara automatik pada sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia semalam. Sesi berkenaan turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

    Mengenai had umur yang sesuai untuk membenarkan lesen terbabit dinaik taraf secara automatik, Ahmad Zahid berkata, antara dipertimbangkan ialah pada usia 35 tahun.

    Sementara itu, Loke pula memaklumkan keputusan untuk menaik taraf lesen Kelas B2 kepada B penuh tidak mudah kerana statistik JSPT menunjukkan jumlah mangsa kemalangan raya membabitkan golongan terbabit adalah dalam kalangan 16 hingga 35 tahun.

    “Kita lihat data, kalau mereka yang baru dapat lesen B2 diberi lesen B, dia akan bertindak sewenang-wenangnya, kalau berumur sedikit mungkin lebih berpengalaman selain ada tanggungjawab kepada keluarga dan sebagainya,” katanya.

    Pada Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata pihaknya akan membawa cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik ke Kementerian Pengangkutan untuk penelitian. Beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

     
     
  • Beberapa jalan di KL ditutup berperingkat mulai 9 malam ini hingga 26 Jan sempena Thaipusam – Polis

    Beberapa jalan di KL ditutup berperingkat mulai 9 malam ini hingga 26 Jan sempena Thaipusam – Polis

    Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Allaudeen bin Abdul Majid, Ketua Polis Kuala Lumpur telah mengumumkan bahawa beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur bakal ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena Perarakan Chariot Thaipusam. Di mana perarakan tersebut bermula di Kuil Sri Mariamman di Jalan Tun H.S Lee bermula pada jam 9 malam ini dan dijangka sampai ke Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pada 4 petang esok (24 Januari). Kemudian perarakan pulang akan bermula jam 4 petang pada 26 Januari 2024.

    Jalan yang terlibat ialah Jalan Tun H.S Lee, Jalan Sultan, Jalan Tan Cheng Lock, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Leboh Ampang, Jalan Mushi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Bella, Jalan Sri Amar, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Lama (Batu Lima), Jalan Ipoh menuju ke Bulatan Batu Caves (Jalan Salah dari MRR2), susur dari MRR2 dan Batu Caves.

    “Polis KL ingin menasihati pengguna jalan raya agar elakkan dari menggunakan laluan terbabit dan patuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan terkawal,” kata Allaudeen menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Beberapa jalan di KL ditutup berperingkat mulai 9 malam ini hingga 26 Jan sempena Thaipusam – Polis

    Semalam, Polis Selangor turut mengumumkan penutupan tujuh jalan di sekitar Batu Caves yang bermula malam tadi sehingga 28 Januari ini. Ini termasuklah simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Station (Batu Caves Bypass), susur dari arah bulatan Batu Caves MRR2 dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

    Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan KTM Komuter bakal menawarkan tambang percuma kepada para pengguna Komuter Lembah Klang pada 24 hingga 25 Januari ini sempena Thaipusam. Jadi orang ramai yang ingin ke Batu Caves, digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya.

     
     
  • JPJ eBid: KFT dan RAU akan dibuka untuk bidaan

    Untuk yang bakal mendapat kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri nombor pendaftaran yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KFT, bakal dibuka bidaan mulai 25 Januari 2024 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 29 Januari. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 30 Januari. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perlis pula, RAU, bidaannya akan dibuka pada 10 Februari. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 14 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 Februari 2024 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup mulai 10 malam ini hingga 28 Jan sempena Thaipusam – IPK Selangor

    Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup mulai 10 malam ini hingga 28 Jan sempena Thaipusam – IPK Selangor

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan telah mengumumkan sebanyak tujuh jalan di sekitar Batu Caves akan ditutup mulai 10 malam ini (22 Januari) hingga 28 Januari 2024 bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang berlangsung pada 25 Januari ini. Walau bagaimana pun, katanya, penutupan jalan terbabit bergantung kepada situasi semasa keadaan lalu lintas.

    “Jalan yang ditutup sepanjang tempoh itu adalah simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Station (Batu Caves Bypass), susur dari arah bulatan Batu Caves MRR2 dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

    “Selain itu, susur dari arah Gombak menghala ke Kuil Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8 (jalan lama Batu Caves) dan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves menghala keluar ke MRR2,” katanya menerusi sidang media sebentar tadi.

    Beliau turut berkata, hebahan berkaitan penutupan jalan akan disiarkan melalui papan kenyataan elektronik dari arah bulatan Batu Caves menghala ke Gombak dan menerusi laman rasmi Facebook Polis daerah Gombak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

    “Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial yang dinyatakan dari semasa ke semasa. Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya sambil menambah dianggarkan antara 1.5 juta hingga dua juta pengunjung dijangka akan menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves.

    Tambah beliau, seramai 1,600 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan di seluruh kontinjen Selangor akan bertugas dalam Op Palu 2024 di zon sekitar Batu Caves. “Sebarang kegiatan ataupun aktiviti yang mengganggu lalu lintas dan perhimpunan yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan serta merta. Pengunjung yang membawa kenderaan sendiri perlu meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan,” katanya lagi.

    Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan KTM Komuter bakal menawarkan tambang percuma kepada para pengguna Komuter Lembah Klang pada 24 hingga 25 Januari ini sempena Thaipusam. Jadi orang ramai yang ingin ke Batu Caves, digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025