Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jentera lumba Mercedes-AMG GT3 dapat sentuhan Linkin Park – sedia gegar Belgium hujung Julai ini

    1amggt3spaliveryjuly2016-1

    Menerusi entri Twitter oleh Team Black Falcon, jentera lumba Mercedes-AMG GT3 telah menerima rekaan khas dari sentuhan band terkemuka Amerika Syarikat, Linkin Park.

    Ini bukan kali pertama kerjasama antara Mercedes-AMG dengan Linkin Park. Kali pertama, kedua-dua pihak ini bekerjasama menghasilkan video promo bagi model C63 pada tahun lalu.

    Dengan kerjasama kali kedua ini, Linkin Park telah memberikan rekaan yang hebat pada penampilan luaran jentera lumba ini. Termasuklah menambah pencahayaan hitam pada bahagian badan jentera ini berserta dengan jaluran tebal berwarna merah dan logo Linkin Park dengan bayangan warna perak menyerlahkan lagi kegarangan imejnya.

    Jentera lumba Mercedes-AMG GT3 ini bakal berentap dalam perlumbaan Spa 24 Hours di Circuit de Spa-Francorchamps, Belgium pada minggu terakhir Julai ini. Team Black Falcon dan Mercedes-AMG turut mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan ketika menyertai perlumbaan 24 jam di Nürburgring awal musim ini.

    Dengan platform Mercedes-AMG GT, Mercedes-AMG GT3 ini juga telah dikurangkan beratnya dengan mengolah beberapa komponen kerangkanya menggunakan gentian karbon. Ini termasuklah bahagian penutup enjin, pintu, sayap hadapan, skirt sisi, peresap belakang dan boot lid.

    Ia dijanakan oleh enjin 6.3 liter V8 naturally-aspirated yang sama dengan Mercedes-Benz SLS AMG GT3. Kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam-kelajuan talaan khas untuk perlumbaan. Malah AMG GT3 ini juga menampilkan suspensi wishbone berkembar yang hampir keseluruhannya diperbuat daripada aluminium.

    Bagi bahagian dalamnya, roll-cage diperbuat daripada keluli ketahanan tinggi, manakala tempat duduknya daripada gentian karbon yang memang muat-muat untuk pemandunya. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan roda stereng dan kluster instrumen digital khas untuk sukan lumba.

     
     
  • Sistem Autopilot Tesla dilaporkan gagal berfungsi, terbabit dalam dua lagi kemalangan di Amerika

    Tesla Model X 1

    Selepas kemalangan maut pertama dilaporkan membabitkan sebuah Tesla yang sedang menggunakan mod Autopilot di Florida sebelum ini, kini dua lagi kemalangan dilaporkan di Pennsylvania dan Montana berlaku semasa sistem pemanduan sendiri berkenaan digunakan.

    Dalam kejadian yang berlaku di Pennsylvania, pemilik galeri seni Southfield mendakwa Tesla Model X 2016 miliknya telah melanggar penghadang jalan dan terbabas ke laluan menghala ke utara, melanggar median konkrit dan akhirnya terbalik. Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika (NHTSA) kini sedang menyiasat insiden berkenaan.

    Pemandunya, Albert Scaglione, memberitahu polis bahawa mod Autopilot sedang diaktifkan semasa kemalangan tersebut berlaku. Walau bagaimanapun, Tesla menafikan dakwaan Scaglione tersebut berdasarkan log pada sistem kenderaan berkenaan yang mengandungi perincian setiap kawalan, dan mampu menunjukkan sama ada mod Autopilot berkenaan diaktifkan atau tidak semasa kejadian berlaku.

    Namun, laporan oleh Detroit Free Press menyatakan bahawa penyiasat polis, Dale Vukovich berkata Scaglione mungkin akan didakwa setelah siasatan lengkap kerana “tiada bukti kukuh yang menunjukkan kegagalan sistem Autopilot Tesla gagal berfungsi.”

    Kejadian yang berlaku di Montana pula dilaporkan seorang pemilik Tesla Model X mendakwa sistem Autopilot pada keretanya gagal mengesan penghadang jalan kayu, dan menyebabkan ia melanggarnya dan terbabas.

    Kedua-dua penumpang dalam kenderaan dilaporkan selamat dalam insiden berkenaan, walaupun Tesla berkenaan mengalami kerosakan yang teruk. Seorang rakan pemandu berkongsi gambar selepas kemalangan dalam forum Tesla Motor Club dan menceritakan pengalaman pemandu berkenaan seperti berikut:

    Kedua-dua orang dalam kenderaan selamat. Ia berlaku pada lewat malam, Autopilot tidak mengesan penghadang kayu di jalan, 20 penghadang kayu dilanggar, tayar pada sebelah penumpang hadapan tercabut. Had laju ialah 55 bs/j, dia telah memandu pada kelajuan 60 bs/j dengan menggunakan Autopilot. Keretanya hancur secara keseluruhan. Kawasan kejadian tidak mempunyai isyarat telefon bimbit, ia sejauh 100 batu dari hotel. Kami dalam kumpulan Wechat seramai 50 orang. Saya bangun pagi ini dan ternampak dia berjaya mendapatkan internet dan meminta pertolongan dari kumpulan Wechat untuk menghubungi Tesla bagi mendapatkan bantuan.

     
     
  • Honda Grom 2017 – Tampan dan sekaligus genit

    Honda Grom 2017 3

    Honda Grom, motosikal saiz kecil yang tampil dengan imej sporty mula diperkenalkan untuk pasaran dunia secara rasmi pada 2014. Sejak itu, ia mendapat perhatian umum, dan segmen sama turut mendapat saingan pengeluar lain, misalnya Kawasaki dengan model Z125 Pro.

    Bagi Honda Grom 2017, ia menerima banyak kemaskini yang menjadikannya tampak lebih matang dan garang. Masih kekal dengan enjin 125 cc empat lejang dengan silinder tunggal, perubahan paling ketara adalah pada reka bentuknya.

    Panel sisi termasuk pada tangki petrol yang bersekali, lampu utama LED, palang pemegang yang lebih sporty, kedudukan ekzos yang lebih rendah, dan tempat duduk lebih tinggi antara perubahan penampilan utama yang dilakukan.

    Turut diberi kemaskini adalah reka bentuk tempat duduk penumpang belakang untuk memberi lebih keselesaan ketika menunggang berdua.

    Nadi penjana Honda Grom 2017 ini kekal sama; enjin 125 cc dengan padanan kotak gear empat-kelajuan dengan penghasilan kuasa di bawah 9 hp, motosikal ini direka untuk menawarkan kelincahan tunggangan, malahan agak sukar untuk sesiapa pun untuk tidak ‘berseronok’ ketika mengendalikannya.

    Untuk pasaran antarabangsa, Honda Grom 2017 akan mula beredar pertengahan Ogos nanti.

     
     
  • VIDEO: Wawancara Kasma Daniel, penunggang Malaysia yang tamat latihan Yamaha VR46 Mastercamp

    Kasma Daniel Kasmayudin, 16, dari Skudai, Johor menjadi ‘wakil’ pelumba motosikal dari Malaysia yang baru saja tamat daripada mengikuti program latihan Yamaha VR46 Mastercamp yang bertempat di Tavullia, Itali. Di bawah program berkenaan, beliau menjalani sesi latihan bersama empat lagi pelumba muda Asia di bawah kendalian pelumba lagenda MotoGP dunia, Valentino Rossi.

    Program yang mula dianjurkan pada 2014 itu menyaksikan Rossi berkongsi pengalamannya di litar lumba bersama peserta yang terlibat, dalam usaha mengembangkan bakat pada pelumba-pelumba muda yang berpotensi dan terpilih untuk mengikuti program berkenaan.

    Tonton video wawancara bersama Kasma Daniel berkaitan pengalamannya ketika di sana. Selain beraksi di dalam perlumbaan Petronas Cub Prix, Daniel turut bersaing di dalam perlumbaan Asia Road Racing Championship (ARRC) bersama pasukan Yamaha Finson Motorsport.

    Malaysia kini mempunyai satu lagi sebab untuk berbangga, kali ini untuk pelumba muda ini. Semoga beliau mampu berkembang dan mengharumkan nama negara di peringkat yang lebih tinggi selepas ini.

     
     
  • Aplikasi Mobile Cop digunakan sepenuhnya dalam Op Selamat 9/2016 bagi bantu polis kesan pesalah trafik

    polis operasi PT

    Aplikasi Mobile Cop yang sebelum ini pernah digunakan sebagai percubaan pada musim perayaan Tahun Baru Cina lalu, turut diimplementasikan sepenuhnya dalam Op Selamat 9/2016. Malah ia dilihat mampu memberikan impak positif dalam mengesan pesalah trafik, laporan Utusan Malaysia.

    Menurut Komander Subtek Zon Selatan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintenden Gan Chip Pho, sebanyak 5,000 alat khas yang menggunakan aplikasi Mobile Cop diedarkan kepada petugas trafik sepanjang Op Selamat di seluruh negara.

    “Kita telah gunakan aplikasi ini sepenuhnya dalam Op Selamat kali ini, dan ia ternyata sangat berkesan. Misalnya di pintu masuk sempadan negara, sekiranya pesalah trafik mahu ke luar negara, mereka perlu selesaikan terlebih dahulu saman tersebut baru boleh ke luar negara kerana data mereka sudah dimasukkan dalam sistem, begitu juga dengan pesalah trafik dari luar negara,” katanya.

    Menurut Chip Pho, selain membantu memberi data pesalah trafik dan pengguna jalan raya secara terus, alat yang dilengkapi gambar itu mudah digunakan.

     
     
  • Toyota Allion dan Premio facelift didedahkan di Jepun

    alon1606_05-e1468237044725_BM

    Model untuk pasaran Jepun – Toyota Allion bersama kembarnya yang lebih mewah Toyota Premio, telah menerima facelift sekali lagi. Ini merupakan facelift kedua diberikan kepada model yang dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2007 berkenaan. Allion dan Premio diasaskan dari model Avensis untuk pasaran Eropah, untuk pasaran Jepun, pasangan kembar ini diletakkan dalam posisi antara Corolla Axio dan Camry.

    Kedua-dua model ini menerima sentuhan semula yang agak drastik pada bahagian muka dengan lampu hadapan lebih tirus (lampu bi-beam LED untuk varian tertinggi dan pilihan opsyenal untuk varian lain), gril hadapan yang lebih besar serta bampar hadapan yang lebih sporty. Buat pertama kali juga muka hadapan Allion dan Premio direka dengan rekaan seiras. Yang membezakan kedua-duanya ialah motif corak pada gril hadapan di mana Premio menerima motif bar krom melintang, manakala Allion menerima motif mesh.


    Toyota Allion (kiri) dan Premio (kanan)

    Walau bagaimanapun, bahagian belakang Premio dan Allion masih lagi berbeza antara satu sama lain. Allion menerima sepasang lampu belakang ‘one-piece‘ (tiada lampu tambahan pada penutup but belakang) dengan motif ‘enam-mata’, manakala Premio pula menerima lampu belakang ‘two-piece‘ dengan grafik berbentuk-C dan kelihatan seperti Camry pasaran Malaysia generasi sebelum ini (XV40). Lampu kombinasi Kedua-dua model menerima teknologi LED secara standard.

    Bahagian dalaman menyaksikan perubahan dilakukan dengan sentuhan semula pada konsol tengah dan tuil gear, stereng tiga-jejari baharu seperti yang terdapat pada Camry XV50 terbaharu serta paparan instrumen yang direka semula menempatkan skrin paparan pelbagai informasi TFT bersaiz 4.2-inci. Balutan upholtsteri baharu berwarna perang dan tema warna beige untuk bahagian dalaman turut ditawarkan sebagai pilihan opsyen.

    prem1606_02_BM

    Sistem keselamatan turut ditingkat taraf di mana kesemua varian kecuali varian paling asas Allion A15 dan A18 serta Premio 1.5F dan 1.8x menerima pakej Toyota Safety Sense C sebagai ciri standard. Pakej berkenaan terdiri dari Sistem Pra-Pelanggaran (PSC), Amaran Keluar Laluan (LDA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB). Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) turut dilengkapkan sebagai ciri standard, sementara beg udara sisi dan tirai hadir sebagai opsyen.

    Toyota Allion dan Premio facelift hadir dengan tiga pilihan enjin iaitu 1.5 liter VVT-i (109 PS/136 Nm), 1.8 liter Valvematic (143 PS/173 Nm) dan 2.0 liter Valvematic (152 PS/193 Nm). Kesemua enjin ini dipadankan dengan kotak gear Super CVT-i automatik. Hanya model 1.8 liter menerima pilihan pacuan empat-roda, tetapi kuasa enjinnya telah diturunkan kepada 131 PS/161 Nm.

    GALERI: Toyota Allion facelift

    GALERI: Toyota Premio facelift

     
     
  • Singapura bakal padankan kadar tol di pintu masuk

    johor-causeway-jam-bernama-pix-630x388

    Kementerian Pengangkutan Singapura menyatakan bahawa republik itu akan terus memadankan mana-mana kadar kenaikan tol yang berlaku di Malaysia, menurut laporan Channel NewsAsia.

    Menurut Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, dasar yang diamalkan sejak dulu adalah untuk memastikan Malaysia mempertimbangkan maklum balas Singapura sekiranya Malaysia merancang untuk menaikkan kadar tol di pintu masuknya. Beliau menjawab soalan yang diajukan di Parlimen Singapura sama ada kementeriannya akan menyelaraskan semula bayaran Vehicle Entry Permit (VEP) dan kadar tol bagi kenderaan yang memasuki Singapura.

    Perkara ini berbangkit berikutan rancangan Malaysia untuk memperkenalkan sistem VEP bagi kenderaan dari luar yang memasuki negara ini melalui Tambak Johor dari Singapura. Sistem berkenaan kini dalam fasa ujian, yang akan berakhir 15 Julai nanti, yang bakal menyaksikan bayaran VEP sebanyak RM20 akan dikenakan bermula 16 Julai ini. Pendaftaran kenderaan bagi sistem VEP itu akan berlangsung sehingga akhir tahun.

    Kadar bayaran VEP Singapura bagi kenderaan yang berpendaftaran luar ialah SGD$35 (RM103) sehari. Sementara kadar bagi Goods Vehicle Permits (GVP) bagi kenderaan barangan berpendaftaran luar ialah SGD$40 (RM118) sebulan. Sebagai tambahan, sepuluh hari percuma (setiap tahun) akan diberikan bagi setiap kenderaan luar, dan tiada bayaran dikenakan pada hujung minggu, pada hari cuti umum Singapura dan ketika memasuki pulau itu antara jam 5 petang dan 2 pagi dari Isnin hingga Jumaat.

    Khaw menyatakan Singapura selalu menyokong rangkaian pengangkutan yang terbuka bersama Malaysia. Menyentuh berkaitan tol di Tambak Johor dan Lingkaran Kedua, beliau memaklumkan bahawa kedua-duanya diperkenalkan pada tahun 1998 sebagai maklum balas kepada keputusan Malaysia untuk mengenakan tol di kedua-dua arah.

    “Prinsip yang sama akan dilaksanakan sebagai maklum balas kami terhadap bayaran yang dikenakan oleh Malaysia. Jika ia mendiskriminasi kenderaan-kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura, kami akan padankannya juga di Singapura. Kami akan mengesahkan reaksi yang bagaimana yang akan diambil selepas Malaysia melaksanakan kadar bayaran berkenaan dan selepas maklumat terperinci berkaitannya diperolehi,” jelas Khaw.

     
     
  • Pemansuhan lesen PSV mungkin titik permulaan berkuburnya sekolah memandu di Malaysia

    1621930_729785283725324_4998449407029119539_n

    Pengendali sekolah memandu merasakan cadangan SPAD untuk memansuhkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk pemandu teksi dan pemandu aplikasi perkongsian kenderaan atas talian tahun hadapan mungkin permulaan berakhirnya era sekolah memandu, lapor The Sun Daily.

    “Untuk permulaan PSV dan seterusnya, kami tidak akan terkejut jika SPAD dan kerajaan akan memansuhkan pula tanggungjawab sekolah memandu untuk latihan lesen kenderaan barang-barang (GDL),” kata setiausaha Persatuan Institut Memandu Johor Teoh Kock Kee.

    Teoh menyatakan sekolah memandu telah membuat sumbangan yang besar kepada kemahiran keselamatan jalan raya serta tahap perkhidmatan pemandu kenderaan perdagangan, dan ada usaha sebelum ini dari konsortium persendirian untuk mengambil alih segmen latihan vokasional berkenaan.

    “Selama bertahun-tahun, kami telah bekerjasama secara rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Selain itu kami telah memperbaiki banyak aspek untuk latihan pemandu teksi, bas dan lori di fasiliti kami,” kata Teoh lagi.

    Sementara itu Presiden Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (Mapim) Datuk Hanafi Mat Zin telah mempersoalkan kebolehan SPAD melatih pemandu teksi untuk membawa penumpang.

    “Kami khuatir adakah SPAD mempunyai pengalaman dan kebolehan untuk melatih pemandu teksi pada sikap dan tingkah laku yang betul,” kata Hanafi.

    Walau bagaimanapun, Mapim bersetuju dengan cadangan pemansuhan lesen PSV oleh SPAD berkenaan dan menyatakan, “Selama ini, lesen PSV tersebut merupakan latihan yang tidak mendatangkan apa-apa.”

    Y.S Chan yang telah mendaftar untuk kursus PSV pada tahun 2000 selepas memegang lesen berkenaan sejak tahun 70’an berkata, “Tiada apa-apa yang diperolehi dari penerangan dan arahan pemanduan di sekolah memandu, dan sebahagian pemandu (pelatih) yang telah gagal ujian objektif walau bagaimanapun turut memperolehi lesen PSV mereka.”

    Chan yang juga berpengalaman selama 40 tahun dalam industri automotif dan pengangkutan berpendapat, kerajaan bukan hanya perlu memansuhkan lesen PSV, tetapi perlu juga mencari mekanisma baru yang lebih baik contohnya lesen Pemandu Perkhidmatan Awam (PSD) untuk semua pemandu yang membawa penumpang berbayar.

    Pemansuhan lesen PSV ini akan digantikan dengan sistem kad pemandu SPAD manakala latihan untuk pemandu teksi serta pemandu aplikasi perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Grab dan Uber akan dijalankan oleh operator jaringan pengangkutan atau konsultan latihan dari luar untuk pemegang permit teksi individu.

    Cadangan ini merupakan salah satu dari 11 inisiatif di bawah model e-hailing dan transformasi untuk industri teksi yang akan dipertimbangkan oleh Kabinet, dan telah menerima kelulusan dari Jawatankuasa Ekonomi Khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

     
     
  • Enjin Mazda 2.5T SkyActiv-G boleh disuaikan pada 6, 3

    2017-mazda-cx-9-1

    Model serba baharu Mazda CX-9 telah pun didedahkan di Los Angeles Auto Show tahun lalu, secara tidak langsung turut memperkenalkan enjin baharu 2.5 liter SkyActiv-G pengecas turbo empat-silinder.

    Menurut CarAdvice, yang mendapat sumber dari jurutera pembangunan kenderaan Mazda Amerika Utara, Dave Coleman, di majlis pelancaran CX-9 baharu di Australia, berkata, enjin turbo baharu ini juga boleh disuaikan pada Mazda 6 dan 3.

    “Ia boleh disuaikan pada kebanyakan model kenderaan kami, dan ia juga boleh digunakan bagi model diesel, dan pakej yang sama dengan 2.5 liter naturally-aspirated. Pada asasnya, ruang besar yang digunakan untuk ekzos pancarongga, turut boleh memuatkan turbo. Ia juga memerlukan ruang yang sama,” ujar Coleman.

    Enjin 2.5 liter turbo pada CX-9 boleh menghamburkan kuasa sehingga 250 hp dan tork puncak 420 Nm, ia boleh menggunakan petrol oktana-93 di US, tetapi berkuasa 228 hp dan 420 Nm dengan petrol RON 91 di Australia.

    Ternyata ia mengatasi output yang dihasilkan oleh enjin 2.5 SkyActiv-G naturally-aspirated iaitu 185 hp dan 250 Nm. Enjin tanpa turbo itu kini hanya boleh didapati pada Mazda 6 dan CX-5 untuk pasaran Malaysia.

    Walau bagaimana pun, Coleman turut berkata, “Keputusan untuk pembanguan enjin baharu bukan saya yang buat, sebaliknya bahagian perancangan produk yang akan membuat keputusan.”

     
     
  • Terengganu mohon kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan LPT3 – kos RM2.4b

    LPT2_PTBM

    Bagi memudahkan perjalanan pengguna jalan raya dari Tumpat dan Besut, Terengganu memohon kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pembinan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang disambungkan ke LPT2.

    Kos pembinaan LPT3 sepanjang 170 kilometer ini dijangka menelan belanja sebanyak RM2.4 bilion.

    Menurut Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, dengan adanya LPT3, ia diharapkan dapat mengurangkan kesesakan dari Kampung Gemuruh di Kuala Terengganu hingga ke Besut yang sering berlaku terutamanya pada musim perayaan, laporan Bernama.

    “Perdana Menteri telah meluluskan pembinaan LPT3 dan ia dalam peringkat mengenal pasti lokasi dan menyiapkan reka bentuk oleh pihak dipertanggungjawabkan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya kepada media.

    Sambung Ahmad Razif lagi, LLM perlu mengambil langkah supaya satu jalan alternatif dibina dari Kuala Terengganu ke Besut melalui LPT3 itu supaya pengguna jalan raya tidak lagi menghadapi kesesakan.

    Beliau berkata kesesakan jalan raya yang sering berlaku di laluan Besut ke Kuala Terengganu telah dimaklum kepada Perdana Menteri sejak perayaan Aidilfitri tahun lalu.

    Ini berikutan pengguna jalan raya dari hujung LPT2 dekat Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu terpaksa mengambil masa antara empat hingga lima jam untuk ke Besut yang jaraknya hanya kira-kira 95 kilometer sahaja.

    Dalam masa yang sama, Ahmad Razif turut berkata, kerajaan negeri juga sedang memohon peruntukan daripada kerajaan Pusat untuk menaik taraf beberapa jalan utama di negeri berkenaan termasuklah di jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Besut melalui Penarik, Setiu dinaik taraf menjadi empat lorong.

    Katanya, buat masa ini pembinaan jalan pantai empat lorong dari Kemaman hingga Kuala Terengganu hampir siap kecuali di beberapa kawasan di Kijal dan Dungun yang masih belum dinaik taraf sepenuhnya.

    “Sekiranya siap, pembinaan akan ditumpukan untuk jalan empat lorong dari Seberang Takir, Kuala Terengganu ke Besut pula,” katanya.

     
     
  • Bayaran tol di LPT2 akan dikutip bermula 15 Julai ini

    LPT2_PTBM

    Kepada mereka yang baru pulang beraya ke kampung di Pantai Timur menggunakan lebuhraya LPT2, itu mungkin kali terakhir anda melalui laluan berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran. Hal ini kerana bermula 15 Julai nanti, bayaran tol di laluan LPT2 akan mula dikutip setelah beroperasi percuma sejak 31 Januari 2015.

    Memetik laporan Berita Harian, kadar tol yang akan dikenakan kepada pengguna pada peringkat awal adalah sebanyak 12 sen bagi setiap kilometer bagi kenderaan kelas 1 (kereta). LPT2 sepanjang 184 km yang bermula dari Jabor, Pahang hingga ke Kampung Gemuroh di Terengganu melibatkan 10 plaza tol disepanjang laluan berkenaan.

    Menurut Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh, kutipan tol LPT2 yang dibuat hanya selepas cuti Hari Raya Aidilfitri adalah untuk mengambil kira kepentingan rakyat. “Kutipan tol di lebuhraya ini perlu dilakukan untuk membiayai kos penyenggaraan dan operasi termasuk penyediaan kemudahan seperti perkhidmatan peronda, kawasan rehat dan rawat serta lain-lain kemudahan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna lebuhraya,” jelasnya.

    10 plaza tol yang terlibat adalah Plaza Tol Cheneh, Plaza Tol Chukai, Plaza Tol Kijal, Plaza Tol Kerteh dan Plaza Tol Paka di Pahang manakala lima lagi plaza tol di Terengganu ialah Plaza Tol Kuala Dungun, Plaza Tol Bukit Besi, Plaza Tol Ajil, Plaza Tol Telemong dan Plaza Tol Kuala Terengganu.

    Syarikat Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd yang merupakan milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Berhad) telah dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan operasi, penyenggaraan dan kutipan tol di lebuhraya berkenaan.

     
     
  • Biodiesel B10 akan penuhi piawaian, B7 tetap ditawarkan sebagai pilihan kepada pengguna

    biodiesel

    Disebalik keresahan yang disuarakan oleh pemain industri automotif tempatan terhadap pengenalan biodiesel B10 (yang terdiri daripada 10% minyak sawit dan 90% diesel mineral) sebelum ini, kerajaan akan meneruskan rancangan berkenaan dan akan memastikan ia memenuhi tahap piawaian yang sepatutnya.

    Memetik laporan The Sun semalam; “Piawaian B10, yang telah dibangunkan sejak 2013 telah diberikan piawaian sementara di bawah MS 2535:2013(P). Di dalam konteks ini, kerajaan akan memastikan semua B10 yang dijual di negara ini mematuhi piawaian berkenaan.

    “Setakat ini, beberapa pengeluar kenderaan termasuk Mercedes-Benz, Scania, Peugeot, UD Truck dan Volvo Truck telah memberi isyarat penerimaan B10,” berdasarkan jawapan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kepada The Sun.

    Kenyataan itu turut menambah bahawa perbincangan menyeluruh dengan pihak-pihak seperti Japan Automobile Manufacturers Association (Jama), Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan syarikat-syarikat pengeluar minyak sebelum perlaksanaan program B10.

    biodiesel 1

    Selain itu, sejak 2013, kerajaan melalui Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) sudah menjalankan ujian percubaan ke atas 75 kenderaan.

    “Dari percubaan itu, tiada kesan sampingan negatif seperti pencairan minyak enjin atau penyuntik minyak tersumbat. Waktu ini, sebahagian kenderaan MPOB turut menggunakan bahan bakar B20 tanpa sebarang masalah yang dilaporkan,” jelas kenyataan berkenaan.

    Selain itu, berdasarkan maklum balas lapangan, perlaksanaan biodiesel B10 akan melibatkan beberapa pengecualian:

    (a) Stesen-stesen minyak di kawasan tanah tinggi termasuk Genting Highland di Pahang dan Kundasang di Sabah akan dibenarkan untuk terus menyediakan diesel B7

    (b) Stesen-stesen petrol yang menjual diesel gred Euro 5 akan turut dibenarkan untuk menjual gabungan B7

    Setakat ini, sejumlah 100 stesen minyak sudah menjual diesel Euro 5, memberikan pengguna pilihan bagi diesel B7 atau B10.

    Untuk rekod, diesel B10 bermaksud kandungannya terdiri daripada 10% minyak sawit dan 90% diesel mineral. Bagi gred B7 pula, ia terdiri daripada 7% minyak sawit dan 93% diesel mineral.

    Perkembangan awal keresahan penggunaan biodiesel B10 boleh diikuti di sini.

     
     
  • Suzuki S-Cross facelift tampil perdana di Hungary

    2017 Maruti S-Cross Facelift

    Suzuki S-Cross facelift telah pun melakukan penampilan perdana di peringkat global di Hungary, dengan imej yang baharu dan lebih segar, serta barisan penjana kuasa yang dipertingkatkan.

    Menerusi foto dari RushLane, bahagian hadapan S-Cross ini ditampilkan dengan gril krom hadapan yang lebih agresif, dengan bilah menegak berbanding melintang pada model sebelumnya.

    Lampu utama baharu (bersama lampu nyalaan sialng LED) turut ditampilkan dengan rekaan grafik baharu, berserta bampar yang direka semula dengan kekemasan krom pada lampu kabus. Manakala pada bahagian belakangnya pula, lampu baharu turut dipadankan dengan bampar yang dibentuk semula.

    Bagi bahagian kabinnya, ia masih kekal seperti mana model sebelum ini, cuma sistem hiburan, paparan pelbagai-info telah dipertingkatkan, bersama kekemasan tambahan dan pilihan fabrik bagi tempat duduk.

    Berkenaan dengan kuasanya, bagi pasaran Eropah, S-Cross facelift ditawarkan dengan enjin petrol dan diesel 1.6 liter, bersama output 120 PS/320 Nm berbanding sebelum ini 120 PS/156 Nm. Manakala bagi enjin petrol 1.4 liter BoosterJet pengecas turbo pula mampu menghamburkan kuasa sehingga 140 hp dan tork puncak 220 Nm.

    Enjin petrol dipadankan dengan manual lima-kelajuan dan CVT, sementara bagi enjin diesel pula dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Pembeli juga boleh memilih sistem pacuan semua-roda Suzuki AllGrip.

    Model S-Cross sebelum ini pernah dibawa masuk ke Malaysia pada November 2014, pada harga RM129,888. SUV segmen-C pacuan roda-hadapan ini dilengkapi dengan enjin petrol 1.6 liter dan menampilkan elemen keselamatan termasuk tujuh beg udara, ESP, ABS, EBD dan Kawalan Mendaki Bukit.

     
     
  • Mercedes catat rekod penghantaran lebih 1 juta unit kenderaan seluruh dunia bagi separuh pertama 2016

    Mercedes-Benz-Fahrzeuge-SUV-Offroad-GLE-GLA-G-Klasse-GLC-Coupe-TV-Spot

    Mercedes-Benz ternyata meneruskan langkah penuh gemilang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi enam bulan pertama tahun 2016, syarikat ini telah menghantar lebih daripada satu juta unit kenderaan ke seluruh dunia (1,006,619), iaitu lebih 12.1% berbanding rekod pada separuh pertama tahun 2015, sekali gus memecahkan rekod baharu bagi jenama ini.

    Bagi rantau Eropah, Asia pasifik dan NAFTA (USA, Kanada dan Mexico), rekod baharu telah dicatatkan bagi Jun dan separuh pertama 2016. Di China, pasaran tunggal terbesar, jualan Mercedes-Benz telah meningkat lebih 30% bagi separuh pertama. SUV merupakan kenderaan terhangat di dunia buat masa ini, dan Merc telah memperluaskan jumlah jualannya sebanyak satu pertiga di seluruh dunia pada Jun.

    “Ini menunjukkan produk kami kian mendapat tempat di pasaran dunia dan pengenalan terhadap pelbagai model SUV juga telah mencatatkan penerimaan yang kian menggalakkan dari para pelanggan kami,” ujar Ola Källenius, ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab dalam jualan dan pemasaran Mercedes-Benz.

    Barisan SUV Mercedes-Benz mencakupi satu pertiga pasaran dunia, produksi GLC Coupe bermula Jun

    Bagi jenama premium ini, di benua Eropah saja, sebanyak 444,581 unit telah diserahkan pada separuh pertama 2016, iaitu meningkat 13.3%. Di China pula, sebanyak 219,999 unit (+33.1%) dan Asia-Pasifik pula, jualannya berkembang melebihi 20%.

    Jika mengikut segmen, model kompak termasuk A-Class, B-Class, CLA, CLA Shooting Brake, GLA telah dihantar kepada 319,626 pelanggan baharunya di seluruh dunia, meningkat 18.6%. Malah lebih 200,000 unit bagi C-Class saloon dan estate juga telah dijual, diasak oleh permintaan yang memberangsangkan di pasaran China. Barisan tersebut juga telah menerima kedatangan model baharu iaitu C-Class Cabriolet.

    Model SUV yang paling mendapat jualan memberangsangkan, telah mencatat peningkatan rekod jualan sehingga 46.1% (339,541 unit) bagi separuh pertama 2016. Ditambah pula dengan pengenalan model baharu GLC Coupe yang telah memulakan produksinya di Bremen sejak Jun. Mercedes juga termasuk dalam jualan bagi jenama pintar dan syarikat ini berkata sebagai jenama kenderaan mikro bandar telah mencatatkan pencapaian terbaik bagi separuh pertama di Asia Pasifik.

     
     
  • Toyota Corolla Axio edisi khas “50 Limited” sempena setengah abad Corolla dalam pasaran – hanya 500 unit

    20160711_01_01-e1468220319468_BM

    Jenama Corolla meraikan ulangtahun yang ke-50 tahun ini, dan Toyota menyambutnya dengan menghasilkan model edisi terhad Toyota Corolla Axio Hybrid G “50 Limited” yang akan dijual di Jepun bermula 1 September ini. Model ini merupakan model yang berbeza dari model peringatan khas yang diumumkan oleh Toyota awal tahun ini, di mana model edisi khas baharu ini diberikan konsep identiti dari Toyota Corolla generasi pertama (KE10).

    Ia dibina terhad kepada 500 unit sahaja, dan dapat dibezakan dari model Axio biasa menerusi lampu hadapan bi-beam LED, gril hadapan bahagian bawah dengan motif berbintik, skirt sisi, roda aloi 16-inci, lampu belakag LED dengan kemasan smoke, tempat duduk sport, dan kemasan dalaman piano black.

    Kesemua ciri berkenaan turut dibekalkan pada model edisi khas sebelum ini. Apa yang membezakan antara dua model berkenaan ialah lencana “C” dengan tiga bunga pada bahagian atas ditempatkan di belakang – yang merupakan lencana asal Corolla dan boleh ditemui pada model-model klasik Corolla seperti model KE20, KE30 dan KE70. Lencana berkenaan melambangkan maksud sebenar Corolla iaitu ‘mahkota bunga’ dalam bahasa Latin. Lencana tersebut turut disulam pada perehat badan tempat duduk.

    Bahagian dalaman model edisi terhad baharu ini juga menerima kemasan panel dan balutan upholsteri berwarna merah, sama seperti Corolla KE10 dan warna tersebut telah dihasilkan semula menerusi teknologi terbaharu di Jabatan Rekaan Toyota, menggunakan contoh asal dari KE10.

    Tiada perubahan disaksikan pada sistem mekanikal dan hibrid dimana “50 Limited” masih menggunakan enjin 1.5 liter kitaran-Atkinson, digabungkan bersama motor elektrik dan sistem transmisi CVT elektrik (eCVT). Padanan berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan 74 PS dan tork maksima 111 Nm. Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu White Pearl Crystal Shine dan Black Mica. Hadir dengan hanya varian pacuan roda hadapan, “50 Limited” dijual pada harga 2,400,000 yen (RM93,945).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025