Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bas ekspres bakal dilengkapi alat pengehad kelajuan menjelang 2020, giat usaha kurangkan kemalangan

    bus crash bernama

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan, menjelang tahun 2020, semua bas ekspres yang beroperasi di negara ini akan dilengkapi dengan alat pengehad kelajuan. Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia, memetik laporan Bernama.

    Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata pelaksanaan pemasangan alat berkenaan dapat memastikan mana-mana bas ekspres hanya dapat bergerak pada had kelajuan 90 km/j sahaja. “Kita telah minta semua bas yang baru dikeluarkan dan didaftarkan agar dipasang alat pengehad berkenaan mulai Januari tahun depan,” katanya.

    Bagi bas-bas lama pula, tempoh lima tahun diberikan untuk pengusaha terlibat memasang alat pengehad itu. Menjelang tahun 2020 semua bas dijangka sudah dilengkapi alat berkenaan. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum itu turut mengulangi seruannya terhadap syarikat-syarikat bas ekspres agar memasang alat pengehad kelajuan pada bas yang diusahakan. Beliau juga menegaskan syarikat diberi tempoh setahun untuk mematuhinya atau bakal berdepan penggantungan.

    Menyentuh bagaimana cara dan kaedah alat pengehad itu berfungsi, Nadzri menyatakan hal berkenaan akan diteliti dan dikaji oleh pihaknya. “Mungkin kita akan bagi bonus (bergerak laju) 10 peratus (daripada 90km/jam) bila ia ingin memotong sebelum masuk semula ke lorong yang dibenarkan,” katanya.

    Had laju kebangsaan bagi kenderaan berat di lebuh raya ketika ini adalah dari 80 hingga 90 km/j. Manakala bagi jalan persekutuan dan negeri pula adalah 70 hingga 80 km/j.

    Nadzri juga dilaporkan berkata, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) akan membantu JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membangunkan satu sistem bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil secara bersepadu.

    Katanya ketika ini JPJ menggunakan sistem perkomputeran mySIKAP dalam menjalankan operasi penguatkuasaan jalan raya, manakala PDRM dan SPAD mempunyai sistem masing-masing.

    “Oleh itu, persetujuan telah dibuat supaya sistem sedia ada yang dilaksanakan secara masa nyata (real time) ketika ini dipertingkatkan khususnya prosedur menyenarai hitam pemandu, pemilik dan kenderaan,” katanya.

     
     
  • Kadar baharu caj parkir di Kuala Lumpur dilaksanakan

    Public-Parking-Lots

    Hujung minggu lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan telah menetapkan kadar baharu parkir seliaan DBKL di tiga kawasan di ibu negara. Ia merangkumi pusat bandar, luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan luar pusat bandar, ia telah dikuatkuasakan sejak 30 Julai lalu.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bagi pengguna di kawasan pusat bandar yang membuat bayaran secara tunai, caj RM1.50 dikenakan pada jam pertama dan RM2.50 pada jam kedua dengan tempoh parkir maksimum dua jam, laporan Bernama

    Bagi kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi antaranya Sentul, Bangsar dan Brickfields, bayaran tunai dikenakan bagi jam pertama dan seterusnya hanya RM1.

    Manakala bagi kawasan luar pusat bandar seperti Segambut, Taman Tun Dr Ismail, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak pada jam pertama dan seterusnya ialah RM0.80.

    Tengku Adnan berkata bayaran tunai tersebut melibatkan kaedah pembayaran menggunakan syiling, Touch ‘N’ Go dan aplikasi telefon bimbit.

    Katanya melalui pengumuman kadar baharu itu juga, DBKL dan kementeriannya turut menetapkan hanya kawasan pusat bandar mempunyai tempoh parkir maksimum dua jam berbanding sebelum ini melibatkan semua parkir awam di ibu kota.

    Bagi pengguna parkir untuk jangka sederhana dan panjang, DBKL turut memperkenalkan sistem pembayaran secara pas bulanan yang dapat dilanggani secara dalam talian pada kadar amat berpatutan.

    tengku adnan bernama pix

    “Kadar bayaran pas bulanan di kawasan pusat bandar ialah RM300 sebulan, manakala kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan kawasan luar pusat bandar ialah RM150 sebulan.

    “Ketiga-tiganya melibatkan tempoh pembelian dari satu hingga tiga bulan dan pembelian pas bulanan ini boleh dilakukan mengikut kesesuaian dan keselesaan pengguna tanpa perlu beratur atau ke lokasi-lokasi tertentu untuk membuat pembelian,” katanya kepada pihak media.

    Beliau berkata bagi petak khas pula, caj RM400 sebulan dikenakan di kawasan pusat bandar, RM240 di kawasan luar pusat bandar beraktiviti tinggi dan RM200 di kawasan luar pusat bandar.

    Katanya pelaksanaan kadar baharu yang dinilai semula itu telah mengambil kira pelbagai keperluan pengguna dan berlandaskan prinsip ‘menggerakkan orang awam, bukan sahaja kenderaan’ (moving people, not just vehicles).

    “Menjadi hasrat DBKL apabila seluruh perancangan terlaksana kelak, warga kota akan menikmati satu sistem aliran lalu lintas yang lebih lancar dan efisien,” katanya.

    Beliau berkata orang ramai yang ingin membuat pembelian pas bulanan dan mengetahui maklumat lanjut mengenai kemudahan disediakan DBKL boleh melayari portal www.citypark.my.

    Pada 18 Julai lalu, DBKL telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150% di kawasan tumpuan perniagaan (CBD) iaitu Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

     
     
  • Harga bahan api untuk Ogos 2016 – RON95 dan RON97 kekal, diesel B7 dan Euro 5 naik 10 sen

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Selepas naik 5 sen bagi RON 95 dan RON 97 iaitu masing-masing menjadi RM1.75 seliter dan RM2.10 seliter pada bulan Julai 2016, Ogos ini, nampak gayanya tiada perubahan harga untuk kedua-dua bahan api petrol tersebut.

    Namun tidak bagi diesel kerana B7 dan Euro 5, kedua-duanya melibatkan kenaikan 10 sen iaitu RM1.70 seliter bagi diesel B7 dan RM1.80 untuk diesel Euro 5. Malah bulan Julai lalu, kedua-dua jenis diesel tersebut turut mengalami peningkatan sebanyak 5 sen iaitu RM1.60 dan RM1.70.

     
     
  • VIDEO: Acura NSX GT3 diuji

    Sebelum ini, Acura hanya menyiarkan beberapa gambar rasmi jentera perlumbaan NSX GT3, yang tidak terlalu mengujakan. Kini, jenama berkenaan menyiarkan pula video ‘teaser’ terbaharu jentera berkenaan yang dilihat sedang diuji. Walaupun hanya berdurasi 16 saat, ia cukup untuk membuatkan kita terleka dengan keasyikkan bunyi enjin V6 turbo berkembar jentera berkenaan.

    Jentera perlumbaan GT3 ini masih mengekalkan enjin asal 3.5 liter V6 DOHC dari NSX versi jalanan tetapi telah dirombak semula pada bahagian blok enjin, kepala silinder, injap, aci engkol, omboh, dan juga sistem pelinciran jenis kering, untuk mengestrak kuasa tambahan.

    Walau bagaimanapun, unit janakuasa hibrid yang terdiri dari kotak gear klac berkembar sembilan kelajuan dan Sistem Pacuan Semua Roda Hibrid Sport (SH-AWD) telah pun dibuang, dan Acura memilih untuk menyalurkan kuasa sepenuhnya dari enjin ke hanya roda belakang menerusi kotak gear perlumbaan enam kelajuan sequential-shift.

    NSX GT3 dalam video ini dilihat menggunakan bahan gentian-karbon untuk pembinaan komponen-komponen badannya, yang turut terdiri dari kit aero seperti sayap belakang yang besar, sirip hadapan, splitter, skirt sisi, cermin sisi lebih kecil, liang hud hadapan, diffuser bawah badan dan liang pada hud yang diperbesarkan.

    Jentera perlumbaan sebenar ini akan membuat kemunculan sulungnya pada ujian awam 28 Julai, ini semasa sesi latihan Pirelli World Challenge di Mid-Ohio Sports Car Course, dan dijadualkan akan dihomolagasi sebagai jentera perlumbaan kelas FIA GT3 akhir tahun ini.

    GALERI: Honda NSX di Tokyo 2015

     
     
  • Renault Koleos 2016 – Spesifikasi dan harga untuk pasaran Australia didedah; empat varian, dari RM91k

    2016-Renault-Koleos-Australia-gallery-1-e1469777989471_BM

    Renault Koleos 2016 serba baharu akan mula menembusi pasaran Australia sedikit masa lagi, dan harga untuk SUV lima-tempat duduk tersebut kini didedahkan. Seperti dilaporkan sebelum ini, Australia akan menjadi negara pertama di dunia menerima Koleos, dan dijangka akan mendarat di Malaysia September ini.

    Koleos varian terendah untuk pasaran Australia ialah model Life 4×2, yang akan dijual pada harga AUD$29,990 (RM91,489). antara ciri standard untuk varian ini adalah termasuk upholsteri kain, penghawa dingin dua-zon, lampu hadapan automatik, sistem infotaimen R-Link dengan skrin sesentuh 7.0-inci, kamera undur, penderia parkir, Bantuan Mula Mendaki dan roda aloi 17-inci.

    Varian kedua adalah model Zen, yang hadir dengan versi 4×2 dan 4×4. Untuk varian 4×2 ia dijual pada harga AUD$33,990 (RM103,799), manakala untuk versi 4×4 pula dijual pada harga AUD$36,49 (RM111,435). Varian spesifikasi pertengahan ini dilengkapi dengan ciri seperti brek parkir elektronik, tempat duduk pemandu larasan berkuasa, sistem navigasi, sistem infotainmen R-Link 2, upholsteri balutan kulit dan roda aloi 18-inci.

    Varian tertinggi – Intens hanya ditawarkan dengan versi 4×4, dan ia dijual pada harga AUD$43,490 (RM132,812). Intens dilengkapi dengan ciri lengkap terdiri daripada lampu hadapan LED Pure Vision, skrin sesentuh bersaiz 8.7-inci untuk sistem infotainmen R-Link 2, 12-unit pembesar suara Bose, bumbung suria panaromik elektrik, pintu tailgate berkuasa tanpa sentuhan tangan, dan pakej sistem keselamatan yang terdiri dari Amaran Pelanggaran Hadapan, Sistem Bantuan Brek Kecemasan, Amaran Keluar Lorong dan Amaran Titik Buta.

    2016-Renault-Koleos-Australia-gallery-9_BM

    Kesemua varian Koleos pasaran Australia dijana oleh enjin petrol 2.5 liter – enjin QR25DE-k2, iaitu enjin yang sama menjana Nissan X-Trail T32. Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 169 hp/226 Nm untuk Koleos, dan ia dipadankan dengan kotak gear X-Tronic CVT. Enjin yang sama turut akan digunakan pada model pasaran Malaysia, dan masih lagi belum pasti sama ada versi 4×2 atau 4×4 (atau kedua-duanya) akan ditawarkan.

    Koleos generasi kedua ini dibina berasaskan platform yang sama dengan X-Trail iaitu platform kerjasama Renault-Nissan Common Module (CMF-CD), yang juga merupakan asas binaan Espace, Talisman, Kadjar dan Scenic. Untuk versi pemanduan sebelah kanan, Koleos akan dibina di Busan, Korea Selatan, manakala versi pemanduan sebelah kiri akan dibina di China.

    Untuk pasaran Malaysia, tempahan untuk Koleos akan dibuka pada bulan Ogos ini, tetapi masih lagi tiada apa-apa maklumat dikeluarkan berhubung harga jualannya nanti. Untuk mereka yang menunggu kehadiran SUV ini di Malaysia, apa ciri yang anda harapkan untuk Koleos ini? dan berapa harga yang anda sanggup bayar untuknya? Kongsikan bersama kami diruangan komen di bawah.

     
     
  • J.D Power CSI 2016 – Toyota di tempat pertama

    2016_Malaysia CSI_IG_v1_072616

    Klik untuk besarkan

    Keputusan Kajian Indeks Perkhidmatan Pelanggan (Customer Service Index) atau CSI J.D Power 2016 kini sudah pun dikeluarkan. Penilaian untuk kepuasan pelanggan di pusat servis ini menyaksikan Toyota menduduki tempat pertama.

    Kajian yang kini masuk tahun ke-14, dibuat berdasarkan respon dari 3,257 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan berjenama pasaran besar (tiada jenama premium) antara Februari 2014 dan Mei 2015, dan membawa kenderaan mereka untuk servis di pusat servis bertauliah antara Ogos 2015 dan Mei 2016.

    Kepuasan pemilik kenderaan baharu terhadap pengalaman perkhidmatan diukur dengan menilai pretasi pengedar dalam lima faktor (dalam susunan kepentingan): kualiti servis (32%); permulaan servis (22%); ambilan semula kenderaan; penasihat servis (15%); dan fasiliti servis (13%).

    Edisi tahun ini menunjukkan sedikit peningkatan dalam kepuasan pelanggan kenderaan berjenama pasaran besar, dengan purata 751 markah (dalam skala 1,000 markah) berbanding 749 markah tahun lalu. Faktor lain dilihat meningkat, cuma kepuasan terhadap penasihat servis telah menurun satu peratus.


    Klik untuk besarkan

    Toyota menduduki tempat pertama dengan mendapat 763 markah, naik tujuh markah berbanding tahun lalu. Kajian menunjukkan jenama berkenaan mempamerkan pretasi memberangsangkan dalam faktor permulaan servis, penasihat servis dan kualiti servis.

    Tempat kedua pula dirangkul oleh Mazda dengan 760 markah, diikuti Mitsubishi di tempat ketiga dengan 758 markah. Kemudian diikuti dengan Kia (755), Isuzu (753), Honda (752), dan Nissan (751).

    Perodua dan Volkswagen memperolehi markah yang sama iaitu 749, sedikit rendah berbanding markah purata keseluruhan, manakala Hyundai pula menduduki tangga kesepuluh dengan 748 markah, diikuti Proton dengan 745 markah. Ford pula berada di kedudukan terakhir dengan 745 markah.

    Kajian juga mendedahkan beberapa penemuan penting, di mana jenama nasional Malaysia menunjukkan peningkatan, dengan purata 747 markah, naik lima markah berbanding tahun 2015. Juga, kini lebih ramai pelanggan menerima peringatan rutin servis mereka iaitu 41% berbanding hanya 30% pada tahun lalu. Pelanggan juga kini dilihat lebih gemar berbincang berkenaan keperluan servis mereka sebelum menghantar kereta mereka ke pusat servis (26% tahun ini berbanding 22% tahun lalu).

    2016_Malaysia CSI_IG_v1_072616

    Klik untuk besarkan

    Penemuan lain yang diperolehi menunjukkan 31% (lebih dari 10%) responden perlu menunggu tiga atau lebih hari untuk purata temu janji dengan markah kepuasan keseluruhan 743. Pada sisi lain pula, pelanggan perlu menunggu dua hari atau kurang untuk purata temu janji (69% dari responden) dengan kepuasan keseluruhan 768 markah.

    Akhir sekali, pelanggan yang sangat berpuas hati dengan khidmat pengedar mereka (meraih 823 markah dan keatas), 46% daripada mereka mengatakan “pasti akan” kembali ke pengedar mereka untuk servis selepas tamat waranti dan 50% “pasti akan” mengesyorkan pengedar mereka kepada kawan dan keluarga yang lain.

    Untuk pelanggan yang tidak berpuas hati (meraih markah 690 dan ke bawah), hanya 15% daripada mereka mengatakan “pasti akan” kembali ke pengedar mereka untuk servis selepas tamat tempoh waranti dan hanya 11% daripada mereka “pasti akan” mengesyorkan pengedar mereka kepada kawan dan keluarga yang lain.

    Menurut J.D Power, untuk penilaian CSI ini, penasihat servis memainkan peranan yang penting dalam menentukan kepuasan pelanggan. “Ungkapan ‘anda hanya mempunyai satu peluang untuk memberikan tanggapan pertama yang bagus,’ merupakan huraian yang tepat untuk interaksi penasihat servis dengan pelanggan,” kata Rajaswaran Tharmalingam, ketua untuk Malaysia bagi J.D Power.

    “Dengan tekanan pada kehidupan moden, pemilik kenderaan di Malaysia jelas mempunyai waktu yang terhad bagi melengkapkan tugas penting tetapi memakan masa ini dengan cara mudah. Tambahan pula, adalah kritikal untuk pengedar memastikan mereka mempunyai penasihat servis dengan nisbah mencukupi yang akan menunjukkan kemahiran mengendalikan pelanggan berkualiti tinggi bagi memenuhi jangkaan pelanggan,” tambah beliau.

     
     
  • GALERI: MINI JCW Pro Edition kini di Auto Bavaria

    MINI JCW Pro Edition -1

    Mini Malaysia minggu ini memperkenalkan edisi khas khusus untuk pasaran Malaysia, MINI John Cooper Works Pro Edition, dengan hanya 20 unit terhad ditawarkan bagi model F55 MINI Cooper S 5-pintu berkenaan.

    Kini dipamerkan di Auto Bavaria Glenmarie, pakej JCW Pro Edition ini merangkumi bodykit aerodinamik yang terdiri daripada front splitter, bampar belakang, spoiler belakang dan kit sisi badan bernilai RM16,283. Ia disertakan dengan rim 18 inci JCW Pro Jet Black, bernilai RM14,858.

    Dari sudut prestasi, model khas ini turut melibatkan kemaskini enjin dan sistem peredam ekzos berinjap yang bernilai RM10,000. Ini membolehkan enjin B48 2.0L, turbocaj empat silinder petrol ini menjana 211 hp kuasa berbanding 192 hp, sementara tork pula ditingkatkan kepada 300 Nm, berbanding 280 Nm pada enjin standard.

    Pakej terhad JCW Pro Edition ini juga menampilkan ciri kawalan jauh Bluetooth bagi pilihan sistem ekzos yang didatangkan dengan dua mod; Sport bagi pemanduan seharian dan Track untuk pemanduan agresif.

    Sistem berkenaan diselia menggunakan teknologi Bluetooth 4.0 tanpa wayar, yang membolehkan pemandu menukar mod hanya dengan dua kali klik. Ekzosnya juga disertakan dengan perincian gentian karbon, bernilai RM3,000.

    MINI JCW Pro Edition dijual pada harga RM255,888 atas jalan, tanpa insurans. Ia juga didatangkan dengan jaminan empat tahun tanpa had MINI dengan servis berjadual percuma. Jika anda berminat untuk mendekati model ini sendiri, tempah slot temu janji anda.

     
     
  • GM dan Isuzu akhiri kerjasama pembangunan trak pikap di Asia – apa pula nasib Chevrolet Colorado?

    2017 Chevrolet Colorado High Country 2

    Semalam, kami melaporkan pengesahan Mazda bahawa trak pikap BT-50 generasi terbaharu keluarannya nanti akan dibangun berdasarkan model Isuzu D-Max, dan tidak lagi menggunakan model Ford Ranger sebagai asasnya seperti sebelum ini. Pegawai Eksekutif, Pasaran Membangun Mazda, Hiroshi Inoue memaklumkan wakin media Asean minggu ini bahawa trak pikap satu tan yang dibangunkan nanti akan dibezakan seperti mana perbezaan pada BT-50 dan Ranger dahulu.

    Dengan perkembangan terbaru ini, bagaimana pula dengan kerjasama antara Isuzu dan General Motors (GM) yang sebelum ini terlibat dalam usaha sama membangunkan Chevrolet Colorado? Ia akan ditamatkan. Pengeluar yang terlibat menyatakan pihak mereka telah membatalkan perjanjian pembangunan trak pikap pada 2014. Yang terakhir adalah di bawah perjanjian pembangunan bersama yang dimulakan sejak 2006, seperti dilaporkan Automotive News.

    Perkara ini turut disebabkan oleh peralihan fokus GM yang berpusat di Detroit untuk memberi tumpuan kepada kenderaan yang lebih mewah, manakala pengeluar Jepun pula kekal dengan tumpuan bagi menghasilkan kenderaan komersial. Syarikat berkenaan turut memaklumkan, perjanjian kerja sama berasingan, terutama yang melibatkan kenderaan komersial di Amerika, akan diteruskan.

    Colorado Xtreme and Trailblazer Premier 1

    “GM dan Isuzu bersetuju, disebabkan keperluan-keperluan unik kedua-dua syarikat, pembangunan bersama bagi trak pikap saiz sederhana generasi seterusnya bagi GM tidak lagi menjadi model optimum bagi projek berkenaan,” memetik kenyataan dari pihak GM.

    “Arah tuju yang ingin diambil oleh kedua-dua syarikat kini sudah berubah,” ujar seorang jurucakap Isuzu. Beliau turut menambah, syarikat Jepun itu berhasrat untuk meneruskan penghasilan trak pikap untuk digunakan sebagai jentera kerja lasak termasuk bagi pasaran Australia, Timur Tengah dan Asia.

    Seorang eksekutif GM menyatakan “keperluan unik” bagi syarikat itu ialah berkaitan peralihan strategik yang mula dilakukan tahun lalu di Asia Tenggara, di mana syarikat itu kini ingin memberi fokus dan bersaing dalam pasaran trak dan SUV yang lebih mewah di rantau ini.

    2017 Chevrolet Colorado 1

    Di sebalik menerima banyak manfaat dalam usaha sama itu, seperti perkongsian kos, eksekutif GM yang enggan namanya disiar itu memaklumkan Automotive News bahawa GM memutuskan untuk tidak akan meniru pesaing dari Jepunnya itu bagi pasaran yang didominasi oleh jenama-jenama seperti Isuzu, Toyota dan Mitsubishi.

    Buat masa ini, GM mengeluarkan Chevrolet Colorado yang diasaskan daripada model Isuzu D-Max. Begitu juga dengan SUV tujuh tempat duduk, Chevrolet Trailblazer, yang kedua-duanya turut dipasang di Thailand dan Australia.

    Tahun lalu, GM menyatakan akan kembali kepada segmen trak komersial tugas sederhana yang tidak diwakilinya sejak tujuh tahun lalu. Syarikat itu merancang untuk menjual trak pikap Isuzu sebagai model rebadge Chevrolet.

    Beberapa lagi perkembangan GM di Asia turut melibatkan penutupan kilangnya di Indonesia yang mengeluarkan MPV bajet, Spin, yang sangat mahal untuk dibangunkan. Dalam tempoh sama, syarikat itu juga mengumumkan penamatan pengeluaran model Sonic sedan dan hatchback di Thailand.

     
     
  • Kawasaki Z125 Pro dipanggil balik akibat masalah penyerap hentak belakang – bagi pasaran Amerika

    2016-Kawasaki-Z125-Pro-EFI-6-850x610

    Kawasaki di Amerika Syarikat memanggil semula model Z125 Pro 2016 akibat masalah yang dihadapi pada bahagian penyerap hentak bahagian belakangnya.

    Sejumlah 1,282 unit model berkenaan yang dikilangkan dalam tempoh 4 Februari hingga 7 June 2016 dipercayai dipasang dengan penyerap hentak belakang yang mudah bocor. Akibatnya, komponen berkenaan akan gagal berfungsi seperti yang sepatutnya dan meningkatkan risiko kemalangan. Untuk pasaran di sana, pemilik akan diberi komponen baharu tanpa sebarang caj dikenakan.

    Model Kawasaki Z125 Pro ini turut dijual untuk pasaran Malaysia. Ia dilengkapi dengan enjin 125 cc, silinder tunggal, empat injap dengan sejukan udara yang menghasilkan 9.8 PS pada 8,000 rpm dan tork 9.6 Nm pada 6,000rpm. Ia menggunakan sistem EFI, dan dijual pada harga RM10,435 termasuk GST.

    Sebarang maklumat lanjut berkaitan model ini di Malaysia, sama ada ia akan turut dipanggil semula akan dimaklumkan nanti.

     
     
  • PTPTN kaji mekanisme baharu bantu pengeluar automotif tingkatkan semula angka jualan kenderaan

    Car-loan-purchase-bankrupt

    Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bakal mengumumkan kaedah atau mekanisme baharu bagi mengatasi rungutan syarikat pengeluar kenderaan yang mendakwa jualan kenderaan terjejas akibat daripada nama pembeli yang disenarai hitamkan di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana gagal membayar balik pinjaman PTPTPN.

    Menurut laporan Bernama, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat untuk kebaikan semua pihak.

    “Pendekatan yang diambil adalah bagi membantu syarikat jualan kenderaan yang kononnya terjejas akibat beberapa tindakan penguatkuasaan oleh PTPTN dan CCRIS terhadap peminjam,” katanya dalam sebuah sidang media di Lenggong, Perak semalam.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan penjualan kereta terjejas ekoran bank mengetatkan pinjaman kepada pemohon termasuk pemohon yang baru mendapat pekerjaan kerana mereka tidak membayar balik pinjaman PTPTN.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz A-Class generasi berikutnya dikesan sedang membuat ujian jalan raya

    2018-Merc-A-Class-spied-2_BM

    Sebuah Mercedes-Benz A-Class dijumpai sedang diuji di selatan Eropah. Model berkenaan dibina berasaskan platform MFA2 yang lebih ringan dan boleh dijana dengan lebih banyak pilihan unit janakuasa berbanding platform MFA yang sekarang ini digunakan untuk A-Class hatchback, crossover GLA dan coupe empat pintu CLA sedia ada.

    Penyamaran yang dikenakan pada kereta ini menyembunyikan rekaan hadapannya, dan penutup bonet menampakkan perubahan signifikan berbanding model sedia ada. Bahagian belakang juga memperlihatkan A-Class baharu ini akan dilengkapi dengan lampu belakang two-piece pada bahagian badan dan pintu tailgate seperti model GLA.

    Rekaan berkenaan adalah untuk menjadikan bukaan pintu tailgate tersebut menjadi lebih luas dan besar, memudahkan barang yang besar untuk dimasukkan ke ruang kargo. Bahagian profil sisi pula menyerlahkan A-Class generasi baharu ini masih mempunyai garis badan seiras dengan model sedia ada.

    2018-Merc-A-Class-spied-7_BM

    Khabar angin mengatakan dua bentuk badan akan ditawarkan iaitu bentuk standard hatchback lima pintu dan juga sedan empat pintu yang dibina lebih luas berbanding sedan CLA sedia ada, dimana model sedan berkenaan adalah untuk pasaran China. Model ini juga dijangka akan dikuasakan dengan enjin Mercedes-Benz empat silinder petrol dan diesel.

    Model berprestasi tinggi AMG pula dijangka akan menghasilkan kuasa sekitar 400 hp dari enjin petrol 2.0 liter turbo dan turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda 4Matic. Sistem 4Matic ini juga turut dijangka akan dipadankan pada varian petrol dan diesel.

    Platform MFA2 ini juga dikatakan akan dijadikan asas kepada pembinaan model B-Class, CLA generasi seterusnya serta SUV baharu – GLB, sebagai sebahagian pelan Mercedes-Benz untuk merombak barisan modelnya agar lebih berkembang. Model A-Class generasi baharu ini dijangka akan membuat penampilan sulungnya pada Frankfurt Motor Show 2017, dan penghantaran kepada pelanggan dibuat pada 2018.

     
     
  • Mahkamah tetapkan pendengaran permohonan SPAD untuk batalkan saman dari pemandu teksi 26 Sept ini

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 1

    Mahkamah Tinggi telah menetapkan pendengaran permohonan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk membatalkan saman yang difailkan oleh sekumpulan pemandu teksi dari Lembah Klang akan diadakan pada 26 September ini, lapor The Sun Daily.

    Peguam kumpulan pemandu teksi berkenaan, R.Kengadharan berkata, perkara tersebut akan didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi Su Geok Yiam. Beliau turut menyatakan Uber telah menarik balik permohonan mereka untuk menjadi pencelah di dalam kes berkenaan dan bebas untuk memfailkannya semula, jika perlu.

    “Mereka perlu membayar kos sebanyak RM3,500 kepada plaintif,” kata beliau kepada media selepas kes berkenaan dibawa ke hadapan Timbalan Pendaftar.

    Uber telah memfailkan permohonan mereka untuk menjadi pencelah dalam kes ini tetapi kumpulan pemandu teksi berkenaan telah membantah permohonan tersebut.

    Sekumpulan 102 orang pemandu teksi memfailkan injunksi menentang SPAD pada 30 Disember 2015 kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.

    Mereka juga mendakwa pemandu aplikasi-aplikasi berkenaan tidak mempunyai perlindungan insuran untuk melindungi penumpang dan melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat dan Uber, GrabCar dan Blacklane diberi keutamaan oleh defendan manakala hak dan kepentingan mereka diabaikan.

     
     
  • Lotus Elise Race 250 – Supercharged, 243 hp/250 Nm, Elise versi perlumbaan paling pantas dari Lotus

    Elise Cup 250 R Front Static

    Lotus secara rasminya telah memperkenalkan jentera litar terbaharu mereka – Elise Race 250 – yang sedia layak untuk menyertai pelbagai siri perlumbaan di serata dunia. Model baharu ini dilengkapi pelbagai ciri untuk menjadikan ia sebuah jentera litar yang digeruni dan lebih pantas dari model Elise Cup 220 R sebelum ini.

    Elise Race 250 dijana oleh enjin supercharged 1.8 liter empat silinder yang diletakkan dibahagian tengah, berkuasa 243 hp pada takat 7,200 rpm dan tork maksima 250 Nm dihasilkan bermula 3,500 rpm hingga 5,500 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Tipikal jentera rekaan Lotus yang menggunakan faktor ringan sebagai senjata ampuh, Elise Race 250 turut dilengkapi pelbagai ciri untuk menjadikannya lebih ringan.

    Antara ciri berkenaan ialan bateri lithium-ion yang lebih ringan 10 kg dari bateri konvensional, tempat duduk gentian karbon yang 6 kg lebih ringan dari tempat duduk komposit serta roda aloi forgred ultra ringan (16-inci di hadapan dan 17-inci di belakang). Lampu hadapan turut ditukar menggunakan panel kosong komposit ringan.

    Lotus turut menawarkan Carbon Aero Pack untuk menggantikan splitter hadapan standard, sayap belakang, diffuser belakang dan pemanjang lantai sisi dengan komponen karbon ringan, yang dapat mengurangkan lagi berat sebanyak 10 kg. Dengan kesemua ciri ini, Elise Race 250 ditimbang dengan berat keseluruhan kurang dari 900 kg (berat kering).

    Untuk pengendalian, jentera ini dilengkapi dengan penyerap hentak boleh laras satu-hala Nitron, pegas gegelung Eibach, angkup brek hadapan dua silinder AP Racing, angkup brek belakang silinder tunggal Brembo serta tayar Yokohama A048 (bersaiz 195/50R16 di hadapan dan 225/45R17 di belakang). Pakej aero dinamik pada jentera ini mampu menghasilkan downforce seberat 155 kg ketika ia mencapai kelajuan maksimum 248 km/j.

    Jentera ini turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan untuk memenuhi syarat-syarat perlumbaan yang ditetapkan oleh pihak FIA, antaranya ialah tempat duduk perlumbaan gentian karbon dengan tali keledar perlumbaan enam poin, roda stereng boleh-buka, cermin belakang polikarbonat dah bar abah-abah Kerangka-A, roll-cage yang disahkan oleh FIA, pemadam api, pengasing bateri serta cagak tunda hadapan dan belakang.

    Elise Race 250 mencatatkan masa sepusingan terpantas di litar ujian Lotus di Hethel 1 minit 33 saat, 0.5 saat lebih pantas dari model Elise Cup 220 R, dan secara rasminya merupakan catatan masa terpantas untuk Elise varian perlumbaan yang di bina Lotus.

     
     
  • KL MRT: Tempoh percubaan dilaksana mulai 1 Okt ini

    MRT_Sg_Buloh

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah mengesahkan perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) akan memulakan tempoh percubaan pada 1 Oktober ini.

    Menurut Pengarah Operasi dan Pengurusan Aset syarikat tersebut, Mahmood Razak, Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan memulakan tempoh percubaan selama tiga bulan, sebelum pelancaran rasmi operasi pada 31 Disember ini, laporan Bernama

    Katanya kepada Bernama, fasa pertama Laluan MRT SBK dari Sungai Buloh ke Semantan, hampir siap menjelang Oktober ini, berikutan semua kerja-kerja struktur awam untuk stesen bertingkat telah selesai. Kemajuan Laluan MRT SBK secara keseluruhannya sebanyak 86.52% sehingga akhir Jun lalu.

    Selain itu, kemudahan sokongan, termasuk tempat letak kenderaan dan bas pengantara akan memulakan operasinya pada masa itu untuk memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Bukan itu sahaja, 14 kemudahan tempat letak kenderaan pelbagai tingkat dan tempat letak kereta terbuka turut disediakan bagi Laluan MRT SBK yang sepanjang 51 kilometer.

    “Turut disediakan 8,000 ruang tempat letak kenderaan di sepanjang laluan itu, dengan 1,200, masing-masing di stesen Sungai Buloh dan Kajang. Selebihnya di stesen di sepanjang laluan tersebut,” katanya.

    Beliau turut berkata bas pengantara Rapid Rail Sdn Bhd juga akan disediakan meliputi kawasan dalam lingkungan tiga kilometer di sekitar stesen dengan kekerapan 10 minit, tertakluk kepada keadaan lalu lintas.

    “Bagi fasa pertama, sebanyak 140 buah bas akan digunakan untuk meliputi kawasan sekitar Stesen Sungai Buloh hingga Stesen Semantan.

    “Bagi keseluruhan laluan, sebanyak 300 buah bas akan disediakan. Banyak aspek diambil kira untuk memenuhi keperluan pengangkutan awam yang bersepadu,” katanya.

     
     
  • PANDU UJI: Proton Perdana 2016, banyak kelebihan?

    Proton Perdana Test Drive 23

    Proton Perdana 2016 yang dilancarkan Jun lalu mengundang banyak reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang memuji pengenalan semula model yang diasaskan daripada Honda Accord generasi kelapan ini, tetapi dengan tanda harga yang lebih rendah dan setara dengan kenderaan dalam segmen C.

    Ada juga yang sinis, memandang usaha berkenaan sebagai ala kadar, kerana menurut mereka, apa yang diperlukan oleh Proton ketika ini ialah menghasilkan sebuah model kenderaan yang betul-betul menarik dan segar, dan bukan lagi bersandar pada model-model lama dari rakan strategiknya.

    Untuk berlaku adil, Perdana 2016 bagi saya tetap mempamerkan beberapa hal yang tidak boleh diketepikan. Misalnya, dari sudut reka bentuk luaran yang dihasilkan. Setelah beberapa kali melihatnya di depan mata sendiri secara langsung, saya fikir pujian patut diberikan kepada pasukan pereka yang terlibat di dalam membangunkannya.

    Yang ketara diwarisi dari Honda Accord hanyalah garis sisi badan kereta terbabit. Manakala selebihnya – iaitu sebahagian besar daripada reka bentuk luarannya – diberi nafas baharu oleh Proton sendiri. Ia mewarisi rekabentuk ala coupe, yang menyuntik elemen sporty yang tidak terlalu agresif pada imej keseluruhannya.

    Dalam sesi pandu uji pengenalan kepada media bagi model ini, yang berlangsung di litar ujian Proton di Shah Alam Mei lalu pula, dari sembang-sembang santai bersama barisan jurutera Proton yang turut hadir, barulah jelas kepada saya pada tahap mana penglibatan Proton sebenarnya di dalam projek ini.

    Seperti yang mungkin sudah diketahui ramai, Honda tidak membenarkan Proton untuk mengusik satu apa pun dari aspek kejuruteraan dan mekanikal ketika ingin membangunkan Perdana 2016, tentunya dengan sebab yang sangat jelas; dari hal-hal kejuruteraan dalamannya, ia tetap sebuah Honda Accord.

    Hanya tayar yang digunakan sahaja dibangunkan khas oleh Proton dengan bantuan Goodyear, bertujuan untuk memberikan keselesaan yang optimum. Jangka masa yang ditetapkan juga sangat terhad untuk Proton melakukan banyak perubahan dari aspek kejuruteraan.

    Namun, itu bukanlah pengakhirannya. Dalam tempoh dua tahun lagi – Proton menjangkakan penghujung 2017 atau awal 2018 – Perdana yang diperkenalkan ini akan menerima enjin baharu. Enjin 2.0L yang dibangunkan Proton sendiri, dikenali sebagai NE01, berdasarkan enjin kapasiti sama yang pernah dibangunkan oleh Petronas dahulu.

    Sehingga masa itu tiba, perkara yang wajar dinilai ke atas Proton terhadap model Perdana ini hanyalah satu; kembali kepada reka bentuk luaran, yang dirombak hampir secara keseluruhannya oleh Proton. Di bahagian depan, terutama bagi varian 2.4L Premium, ia kelihatan sangat seimbang dan garang.

    Gril utama yang lebih lebar dan panjang, begitu juga dengan kemasan krom di bahagian bawah bampar yang menyerlahkan penampilannya dari depan. Perincian pada bahagian lampu utama, dengan lampu nyalaan siang LED serta cetak nama Proton di bahagian dalamnya memperlihatkan kesungguhan Proton terhadap aspek ketelitian buatan.

    Bahagian belakangnya turut menerima rekaan baharu yang menyeluruh. Tidak keterlaluan jika dikatakan, ia nampak menjadi. Walaupun ada yang sinis menyatakan bahawa ia meminjam penggayaan reka bentuk dari model-model lain yang pernah disaksikan sebelum ini, namun ia juga membuatkan Perdana 2016 ini kelihatan lebih matang dengan identiti yang tidak boleh diperlekeh.

    Seperti yang dapat dilihat pada varian 2.4L Premium, tambahan spoiler belakang, perincian krom dan susun letak lampu brek menyerlahkan karektor rekabentuk yang tersendiri. Satu perkara yang kurang saya gemari adalah pada bahagian diffuser; ia mengikut warna badan kenderaan, dan itu tidak menarik serta kelihatan sedikit ‘sibuk’ dengan pelbagai elemen rekaan.

    Proton Perdana Test Drive 4

    Di dalam perjalanan ke Melaka Isnin lalu, keselesaan di ruang kabin sempat diperhatikan. Walaupun tidak banyak perkara yang berubah – misalnya papan pemuka adalah sama seperti model Accord dulu – ruang menjadi satu kelebihan di sini. Baik di tempat duduk penumpang depan atau belakang, ruang yang tersedia sangat luas, baik bagi ruang di kaki dan kepala penumpang.

    Satu perubahan yang perlu dinyatakan adalah penggunaan skrin dan sistem infotainmen yang baharu oleh Proton, yang terletak di bahagian bawah butang kawalan pendingin hawa, yang lengkap berserta sistem navigasi.

    Dari sudut pemanduan, jika saya tak silap mengingat, tidaklah terlalu berbeza berbanding model asal Accord. Ia sangat selesa. Cuma, dalam kelajuan tinggu, sterengnya dirasakan mempunyai sedikit freeplay; stereng terasa ringan dan boleh dipusingkan sedikit tanpa melibatkan peralihan arah tayar. Saya tak pasti hal ini menjadi satu kelebihan atau kekurangan. Secara peribadi, saya lebih menghargai stereng yang bertambah berat, selari dengan kelajuan yang meningkat untuk memberikan keyakinan ketika mengendalikannya.

    Selain berbeza dari segi penampilan kosmetik, varian 2.0L dan 2.4L Premium juga memberikan maklum balas pemanduan yang berbeza. Sebagai pemandu, saya lebih menggemari varian 2.0L, kerana ia dirasakan lebih ringan dengan respon yang lebih cepat, baik bagi pecutan, kilasan stereng dan ketika membrek.

    Tetapi sebagai penumpang, varian 2.4L Premium mungkin lebih dinikmati. Kuasanya tertumpu pada rpm yang lebih tinggi, dan membolehkannya meluncur dengan kelajuan yang lebih berbanding varian 2.0L, tetapu tidak memberikan respon yang mendadak; ia perlu dikendalikan dalam keadaan pemanduan yang lebih tenang.

    Untuk rekod, Proton Perdana 2016 ditawarkan di dalam dua varian sahaja; varian 2.0L pada harga RM113,888 manakala varian 2.4L Premium pula pada harga RMRM138,888. Bagi varian asas, ia menggunakan enjin R20 2.0L SOHC dengan janaan kuasa 154 hp pada 6,300 rpm dan tork 189 Nm pada 4,300 rpm. Bagi varian Premium, ia menggunakan enjin K24 2.4L DOHC dengan janaan kuasa 178 hp pada 6,500 rpm manakala tork 222 Nm pada 4,300 rpm. Kedua-duanya enjin i-VTEC sama pada Accord generasi kelapan.

    Adakah wajar untuk memiliki Proton Perdana 2016? Jika melihat ia sebagai pilihan alternatif dengan penawaran harga yang sangat menarik, maka tentulah model ini sangat berbaloi. Terutama jika membandingkannya dengan pesaing dari segmen D yang sama. Jika harga tidak menjadi kekangan, maka pilihan yang tersedia sangat luas.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025