Seperti yang diketahui, Mitsubishi kini merupakan jenama yang menumpukan terhadap model-model SUV dan juga trak pikap dengan model baharu mereka dalam pasaran terdiri dari SUV segmen-C Outlander, crossover segmen-B Eclipse Cross, SUV/MPV Xpander, SUV ladder frame Pajero Sport dan versi trak pikapnya Triton 2019. Walaupun pasaran untuk kenderaan-kenderaan sebegini sedang meningkat naik, permintaan terhadap kereta masih lagi banyak dan ini mendorong Mitsubishi untuk menghasilkan kembali hatchback dan sedan, menurut laporan GoAuto.com.au.

“Saya tahu anda semua menulis berkenaan pertumbuhan dan kepentingan SUV dan ia benar, ia 35-37 peratus dari keseluruhan pasaran hari ini dan ia masih lagi berkembang. Tetapi ini tidak boleh menafikan hakikat bahawa masih ada 40-50 juta kereta adalah kereta penumpang tradisional,” kata naib presiden strategi produk Mitsubishi, Vincent Cobee kepada portal Australia berkenaan.

“Kami sedang dalam proses membangunkan apa yang kami panggil sebagai pelan produk jangka masa panjang kami, apa yang kami buat adalah hanya mengkaji pasaran dan cuba untuk membuat keputusan arah mana yang patut kami tuju,” kata CEO Mitsubishi, Trevor Mann.

Jika sebelum ini Mann hanya mengatakan mereka serius untuk membina hatchback kompak Mitsubishi Colt/Mirage generasi baharu, kini beliau sendiri sudah mengesahkan projek itu sudah pun bermula untuk peringkat awal.

“Jadi Pakatan (Renault-Nissan-Mitsubishi) mempunyai platform yang digelar CMF-B, jadi berkemungkinan besar Mirage generasi baharu akan dibina berasaskan platform CMF-B, tetapi keputusannya masih belum muktamad,” kata Mann. Platform CMF-B yang dinyatakan tersebut merupakan asas kepada Renault Clio generasi kelima. Ia juga dijangka akan digunakan untuk pembangunan Nissan Juke dan Renault Captur pada masa hadapan.

Selain Mirage, Mann turut mengatakan Lancer yang telah pun dihentikan pengeluarannya akan kembali semula dengan model generasi baharu menggunakan platform dari Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi.

“Lancer seterusnya tidak semestinya akan dibina menggunakan platform (Renault) Megane, jika kita berbicara tentang kenderaan penumpang, bergantung pada saiz, ia perlu di bina berdasarkan platform CMF-C,” jelas Mann.