Volkswagen Golf generasi kelapan dijangka bakal membuat kemunculan rasminya pada Oktober tahun ini, dan ia sudah pun dijumpai diuji tanpa sebarang penyamaran sebelum ini. Ini adalah gambar Golf Mk8 yang baru kami terima jurugambar intipan kami – ia masih penuh dengan pelekat penyamaran, kerana ini adalah dari versi berprestasi tinggi, Golf GTI!

Dapat dilihat, muka model GTI ini masih lagi seiras dengan model standard menampilkan lampu hadapan LED yang lebih nipis dari model sedia ada. Walaupun ia menerima pelekat penyamaran penuh dan tebal, model lebih berkuasa ini nampaknya menerima gril bawah yang lebar diberikan elemen mesh, dan juga apron lebih agresif bagi mengalirkan udara dengan lebih aerodinamik.

Unit prototaip ini juga diuji dengan rim berdiameter 19-inci, diambil dari Golf R sedia ada (rim dengan saiz sama mungkin ditawarkan sebagai opsyenal, dan ia hadir standard dengan rim 18-inci). Manakala pada bahagian belakang, Golf GTI generasi baharu ini turut diberikan dua tip ekzos bersama bampar yang lebih sporty.

Tiada lagi gambar bahagian kabin Golf GTI Mk8 ini dapat ditangkap, tetapi Volkswagen sebelum ini telah mendedahkan lakarannya. Kali ini Golf akan menerima dua skrin yang akan bertindak sebagai paparan instrumen dan unit infotaimen seakan Mercedes Benz A-Class generasi terkini. Seperti model sedia ada, varian GTI dijangka bakal hadir dengan grafik instrumen lebih serius.

Buat masa sekarang, Golf Mk7.5 telah hadir dengan versi paling berkuasa digelar Golf GTI TCR yang telah didedahkan awal tahun ini, dihasilkan dari inspirasi terhadap jentera perlumbaan Golf TCR sebenar. Walaupun menghasilkan kuasa hampir 300 PS, Golf GTI TCR tidak mengambil terus enjin dari Golf R, sebaliknya menggunakan enjin TSI EA888 2.0 liter turbo dari GTI, dan ditala bagi menjana 290 PS dan tork maksima 370 Nm, memacu hanya roda hadapan.

Ia jelas lebih berkuasa dari model yang pernah merampas takhta dari Honda Civic Type R di Nurburgring iaitu Golf GTI Clubsport S yang berkuasa 261 hp, dan Golf GTI TCR tersebut mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa bawah enam saat.

Ada sumber yang mengatakan bahawa Volkswagen akan terus menggunakan enjin yang sama dari Mk7 untuk model Mk8 ini, dan tidak mustahil talaan versi TCR turut akan ditampilkan memandangkan seteru utama Golf GTI seperti Hyundai i30 N dan Honda Civic Type R kini menampilkan kuasa sekitar 250 PS hingga 320 PS.