Honda City Turbo GN1 dengan kit Drive68 diperkenal

Honda City Turbo GN1 dengan kit Drive68 diperkenal

Rasa tergoda dengan Nissan Almera Turbo pasaran Thailand diberi kit badan Drive68 rekaan Ter Studio yang telah kami paparkan sebelum ini? Nah, ini satu lagi sentuhan yang akan membuatkan anda ‘jiwa kacau’ – pembuat kit badan Siam berkenaan kini memperkenalkan pula kit badan dari siri sama untuk Honda City generasi terbaharu.

Menerusi imej yang disiarkan oleh Ter Studio, kit badan Drive68 berkenaan disepadukan dengan City GN1 varian tertinggi iaitu model RS Turbo. Sama seperti Almera, kit ini menampilkan ‘topeng’ untuk bampar hadapan yang memberikan apron yang lebih garang menerusi rekaan baharu pada liang sisi, bersama spoiler pada bahagian dagu.

Ia turut dilengkapkan dengan skirt sisi yang nampak lebih labuh dan bersegi, serta bampar belakang yang diberikan rekaan diffuser yang nampak lebih agresif, serta menempatkan sepasang perumah ekzos palsu dengan kemasan sekeliling krom.

Kit ini turut datang sekali dengan visor tingkap untuk keempat-empat pintu dan juga spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang. Ia dijual pada harga promosi 14,500 baht (RM1,970) untuk satu set, atau 2,000 baht (RM272) lebih murah dari harga asal selepas ini.

Seperti model generasi sebelum ini, City generasi baharu ini dihasilkan oleh Honda Thailand, dan negara tersebut menjadi pasaran pertama menerimanya, didedahkan buat pertama kali pada November tahun lalu. Bagi membolehkan model ini bersaing dalam segmen Kereta Eco Thai Fasa 2 dan menerima insentif potongan cukai istimewa di Thailand, ia diberikan enjin P10A2 1.0 liter tiga-silinder VTEC turbo, sama seperti enjin pada Civic 1.0L pasaran Eropah.

Honda City Turbo GN1 dengan kit Drive68 diperkenal

Berbanding enjin L15B 1.5L Turbo pada Civic yang hanya diberikan sistem VTC dan K20C1 2.0L Turbo pada Civic Type R yang hanya menerima sistem VTEC pada injap ekzos, enjin P10A2 pada City ini diberikan VTEC sebenar dengan aci sesondol pelbagai durasi pada injap kemasukan.

Enjin ini juga menerima sistem intercooler yang disejukkan oleh cecair dan juga pengecas turbo dari Borg Warner. Jadi kuasa yang dihasilkan juga adalah antara yang paling bertenaga dalam pasaran dengan angka 122 PS dan tork maksima 173Nm. Namun tiada pilihan kotak gear manual diberikan, sebaliknya hadir hanya dengan transmisi CVT automatik dengan tujuh-kelajuan maya jika anda memilih mod manual.

Empat varian City ditawarkan dalam pasaran Thailand iaitu versi paling paling asas S, V, SV dan buat pertama kali ia diperkenalkan dalam varian yang paling sporty – City RS, tetapi kesemuanya dijana oleh enjin yang sama.

Kita di Malaysia mungkin akan menerima model ini tidak lama lagi, kerana unit ujiannya sudah pun kelihatan diuji di Lebuhraya Persekutuan minggu lalu. Namun, masih lagi sukar untuk diagak adakah pasaran Malaysia turut akan menerima enjin turbo yang sama atau kekal dengan enjin 1.5 liter i-VTEC NA seperti model generasi sedia ada.

Honda City 2020 Turbo RS pasaran Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required