Geely telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menjual sebanyak 1,320,217 unit kereta sepanjang tahun 2020 (termasuk di bawah jenama Lynk & Co), mengatasi sasaran tahunannya yang telah diubah kerana pandemik Covid-19.
Menurut pengeluar automotif China tersebut, kedua-dua jenama berkenaan telah menyaksikan pertumbuhan dari segi pegangan pasaran, dan Geely masih kekal sebagai jenama tempatan paling laris di negara berkenaan untuk tahun keempat berturut-turut.
Walau bagaimanapun, rekod jualan yang dicatatkan tahun 2020 berkenaan masih sedikit rendah berbanding rekod 1,361,560 unit yang dicatatkan pada 2019 kerana operasi industri automotif China yang terpaksa ditutup sementara pada separa pertama tahun lalu.
Buat masa sekarang, industri di China mula bergerak semula seperti sebelum munculnya virus Covid-19, dan Geely sudahpun menetapkan sasaran jualan sebanyak 1.53 juta unit untuk 2021 atau 16% lebih tinggi berbanding 2020. Usaha ini akan dipacu menerusi tumpuan yang akan diberikan pada strategi produk bersama pelbagai model baharu yang akan diperkenalkan.
Walaupun prestasi untuk 2020 tidak begitu baik berbanding tahun sebelumnya, Geely masih mencatatkan berberapa detik penting tahun lalu, antaranya berjaya mencapai jualan ke-10 juta unit yang tidak pernah direkodkan oleh pengeluar automotif China yang lain.
Geely juga telah mengeksport sejumlah 72,700 unit kenderaan pada 2020, naik 25.3% berbanding tahun sebelumnya. Jenama tersebut turut mengambil kesempatan ketika berlakunya pandemik bagi mempercepatkan transformasi digitalnya, serta menggandakan usaha dalam memacu pembangunan menerusi inovasi.
Berberapa model baharu telah diperkenalkan oleh Geely tahun lalu, antaranya sedan yang diasaskan dari platform Compact Modular Architecture (CMA) iaitu Preface (dikenali sebagai Xing Rui di China) dan ia menjadi model pertama dibekalkan dengan sistem kemaskini Firmware Over the Air (FOTA), serta menerima anugerah China Car of the Year 2021.
Satu lagi SUV yang diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) sama seperti Proton X50 juga telah diperkenalkan tahun lalu, dikenali sebagai Icon. Model tersebut dilancarkan ditengah-tengah situasi pandemik yang sedang berlangsung, menyaksikan pelancarannya dibuat menerusi acara digital, diberikan sistem penyegar udara kabin dengan penuras kelas N95, dan kuncinya diserahkan kepada pemilik hanya menggunakan dron.
Geely turut mengembangkan jualan eksportnya pada tahun 2020 dengan pelancaran model-model baharu di Rusia, Filipina, Kuwait, Arab Saudi dan juga Myanmar.
Manakala untuk divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co, jenama dengan pegangan 50:50 antara Geely Auto dan Volvo telah pun masuk ke pasaran Eropah secara rasmi pada 2020. Manakala pada Oktober lalu, Lynk & Co telah pun mendedahkan model konsep elektrik sepenuhnya berasaskan platform baharu Sustainable Experience Architecture (SEA), diberi nama Zero.
Sejak pengenalan model pertamanya pada hujung 2017, Lynk & Co telah mencatatkan lebih dari 400,000 pengguna pada penghujung 2020. Jenama tersebut juga telah mencatatkan rekod jualan baharu untuk enam bulan terakhir tahun lalu.
Menurut Geely lagi, mereka bakal membawa “pelbagai model bernilai tinggi” dalam pasaran dan akan memperkenalkan sedan dan SUV berdasarkan platform CMA, serta mengemaskini semula pelbagai model sedia ada. Manakala untuk Lynk & Co, selepas ini mereka akan menghasilkan model produksi berdasarkan model konsep Zero, serta model pertama yang akan dibangunkan menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) Volvo.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.