Esok (3 Mac 2021) adalah harinya, Perodua akan mendedahkan rupa sebenarnya SUV segmen-B yang paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu Ativa. Seperti yang ramai tahu, Ativa merupakan kembar kepada dua lagi model pasaran Jepun iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize.

Tapi ada sesiapa ingat model konsep Daihatsu DN Trec? Ya, model konsep yang muncul pertama kali di Tokyo Motor Show 2017 tersebut sebenarnya adalah asas rekaan untuk tiga buah SUV kompak ini. DN Trec muncul ketika era SUV kompak sedang hangat dalam pasaran, dengan Honda HR-V dan Mazda CX-3 menikmati hari-hari bahagia mereka.

Ketika Daihatsu mendedahkan model konsep ini juga, Presiden dan CEO Perodua ketika itu iaitu Datuk Aminar Rashid Salleh ada mengeluarkan kenyataan bahawa Perodua sedang mempertimbangkan dengan serius untuk memperkenalkan sebuah SUV kompak.

“SUV menjadi sesuatu yang mendapat sambutan kini, dan walaupun ia tidak berada di dalam barisan model yang kami tawarkan kini, kami senang menjalankan kajian awal untuk memperkenalkan model seperti itu,” ujar beliau ketika itu.

Itu cerita pada tahun Tokyo Motor Show 2017. Dua tahun selepas itu, sekali lagi ketika kunjungan kami ke Tokyo Motor Show pada Oktober 2019, Daihatsu mendedahkan sebuah SUV kompak yang nampak sudah sedia untuk diproduksi tetapi belum diberi nama.

SUV tersebut jelas adalah versi produksi dari DN Trec, malah spesifikasinya juga seakan sama dengan model konsep berkenaan. Apa yang menarik, pihak Perodua juga berada di sana ketika SUV ini didedahkan, dan seolah-olah memberi petunjuk ini juga adalah model produksi SUV yang sedang mereka bangunkan dengan kod D55L ketika itu.

Akhirnya, SUV berkenaan diumumkan sebagai Daihatsu Rocky generasi baharu dan juga dijelmakan sebagai Toyota Raize. Di Malaysia, ia sah dihasilkan oleh Perodua di Rawang, diberi nama Perodua Ativa.

Jika kita lihat reka bentuk DN Trec, ia sebenarnya hampir sama dengan Toyota Raize berbanding Rocky. Model konsep tersebut menerima ‘mulut’ yang besar pada bampar hadapan, gril yang nipis bersambung dengan lampu, lampu nyalaaan siang LED mendatar, malah rekaan rim pada DN Trec tersebut juga menampilkan elemen turbin yang sama dengan Raize.

Bahagian belakang DN Trec ini juga dilihat hampir sama dengan Rocky/Raize/Ativa dengan bentuk cermin belakang yang turut dibawa ke sebahagian tiang-D, lampu belakang mendatar yang berhubung antara satu sama lain dengan kemasan bar hitam/krom, serta kemasan hitam pada perumah nombor pendaftaran di bawah bampar. Walau bagaimanapun, rekaan pintu belakang yang disembunyikan (dibuka terbalik) bagi memberikan ia nampak seakan coupe pada DN Trec tidak di bawa ke model produksi sebenar.

Rekaan dalaman DN Trec juga turut dibawa ke model produksi Rocky/Raize/Ativa, namun aspek futuristik dikurangkan. Antara rekaan yang hampir serupa antara versi konsep dan produksi termasuk kluster paparan instrumen digital berbentuk heksagon dan roda stereng tiga jejari.

Ketika didedahkan, DN Trec diumumkan dijana oleh sistem hibrid petrol-elektrik terdiri dari enjin 1.2 liter digandingkan dengan motor elektrik, manakala enjin 1.0 liter turbo pula adalah ciri opsyen. Namun untuk model produksi, ia adalah terbalik kerana Rocky/Raize terlebih dahulu diperkenalkan dengan enjin 1.0 liter turbo, manakala Daihatsu dikhabarkan sedang membangunkan penjana hibrid untuk Rocky di Jepun dan akan dilancarkan tahun ini.

Menerusi apa yang diumumkan oleh Perodua sebelum ini, Ativa nampaknya menerima hampir semua ciri yang sama seperti Rocky dan Raize termasuk enjin 1.0 liter turbo, kotak gear D-CVT serta pakej bantuan pemanduan termaju dengan sistem berautonomi tahap 2. Ia juga ditawarkan dengan harga yang cukup menarik bermula RM62,500 hingga RM73,400 (harga atas jalan tanpa insuran).

Jadi kalau nak tahu lebih perincian dan rupa sebenar Perodua Ativa ini, jangan lupa terus bersama kami sehingga pelancaran rasminya esok!