Porsche catat jualan separa tahun terbaik – 153,656 unit kereta berjaya dijual, Cayenne model paling laris

Porsche catat jualan separa tahun terbaik – 153,656 unit kereta berjaya dijual, Cayenne model paling laris

Porsche mengumumkan bahawa mereka telah mencapai jualan separa tahun terbaik pernah dicapai, dengan jualan sebanyak 153,656 unit kereta telah berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini. Jumlah tersebut juga dilihat 31% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

SUV Porsche Cayenne masih menjadi model paling laris jenama kereta sport Jerman berkenaan, dengan jualan sebanyak 44,050 untuk enam bulan pertama 2021, naik 12% berbanding tempoh sama tahun lalu. Satu lagi SUV Porsche iaitu Macan menjadi model kedua terlaris untuk separa tahun ini dengan jualan 43,618 unit, naik sebanyak 27%.

Ia diikuti dengan kereta sport ikonik Porsche 911 dengan jualan 20,611 unit (naik 22%) serta kereta sport elektrik pertama Porsche iaitu Taycan dengan jualan 19,822 unit. Kereta sport Porsche 718 Cayman dan Boxster pula dijual sebanyak 11,922 unit (naik 33%), manakala Porsche Panamera berjaya dijual sebanyak 13,633 unit (naik 6%) sepanjang separa tahun ini.

Dari segi pasaran pula, Asia Pasifik, Afrika dan Timur Tengah menyumbang jumlah jualan sebanyak 69,198 unit. Dari jumlah berkenaan, 48,654 unit adalah China, naik 23% berbanding tempoh sama tahun lalu. Permintaan terhadap 911 naik mendadak di republik berkenaan dengan 2,324 unit telah berjaya dihantar ke pelanggan, naik 83% berbanding separa pertama 2020.

Pasaran Amerika Syarikat juga mencatatkan kenaikan sehingga 50% dengan jualan sebanyak 36,326 unit. Di Eropah pula, sebanyak 40,435 unit telah dihantar ke pelanggan, naik 25% serta 13,094 unit daripadanya adalah milik pelanggan di kampung halaman Porsche iaitu Jerman.

“Selepas separa tahun yang intensif pada 2021, kami mampu untuk melaporkan hasil yang sangat positif. Buku tempahan kami penuh. Pada masa yang sama, kami sedar akan keadaan yang tidak menentu disebabkan pandemik Corona dan situasi pembekalan semikonduktor. Kami terus memerhatikan dengan situasi keseluruhan dengan rapat sambil mengekalkan kedudukan yang optimistik,” kata ahli lembaga eksekutif Porsche untuk jualan dan pemasaran, Detlev von Platen.

“Kami sangat gembira dengan tahap permintaan yang tinggi untuk kereta sport kami – peningkatan penghantaran pada separa pertama tahun ini adalah di atas keseluruhan pasaran. Kadar elektrifikasi kini sedang berkembang di semua rantau. Pembangunan ini mengesahkan halatuju yang telah kami ambil dengan strategi pemacu kami.

“Di Eropah, sekitar 40% kereta kini telah dihantar mempunyai motor elektrik – sama ada ia kenderaan elektrik sepenuhnya atau plug-in hybrid. Keutamaan tertinggi kami akan terus memenuhi impian pelanggan-pelanggan kami,” tambah von Platen.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required