Sudah menjadi seakan satu corak pemikiran dalam kepala orang kita bahawa barang yang dibawa dari luar, khususnya dari negara-negara lebih maju adalah lebih baik berbanding yang dibuat atau dipasang sendiri dalam negara bukan? Tak kiralah apa produk sekalipun termasuk kereta – jangan kata jenama nasional, malah kereta jenama luar tetapi dipasang secara tempatan di Malaysia juga sentiasa dirasakan kurang berkualiti berbanding unit yang diimport dari negara asal.

Namun bagi Mercedes-Benz Malaysia (MBM), mereka menegaskan bahawa setiap produk mereka tak kira di pasang di negara mana, kualitinya adalah sama kerana barisan produksi mereka dikawal oleh sistem kawalan kualiti yang sama.

“Saya tak tahu dari mana perkara ini timbul, tapi tidak, ia adalah sangat jelas. Sistem kawalan kualiti adalah sama tidak kira di kilang induk dan juga kilang-kilang CKD,” kata ketua jualan dan pemasaran MBM, Micheal Jopp kepada media pada majlis pelancaran model A-Class sedan dan GLA dalam versi CKD minggu lalu.

“Saya tahu bahawa rakan-rakan sekerja kami melakukan yang terbaik bagi memastikan pelanggan tidak merasa sebarang perbezaan antara kereta CKD dan kereta CBU, ” kata Jopp lagi dan menambah bahawa prosedur, toleransi spesifikasi serta komponen yang digunakan bagi kereta yang dipasang di Malaysia adalah sama seperti di Jerman.

Jopp juga menegaskan bahawa walaupun pemasangan yang dibuat di Pekan, Pahang adalah dikendalikan oleh DRB-Hicom, garis panduan untuk memasang model-model Mercedes-Benz adalah sama dari mula hingga akhir. “Secara dalaman, ini juga dikongsikan secara sangat terbuka dan telus antara kilang,” tambah Jopp.

Operasi pemasangan tempatan bagi model-model Mercedes-Benz di Malaysia sudah bermula sejak 2004. Sehingga kini lebih dari 100,000 unit kereta penumpang dari jenama premium Jerman tersebut sudah dihasilkan secara CKD di sini, dengan dana sekitar RM300 juta telah dilaburkan pada kilang berkenaan.

Buat masa sekarang, sejumlah 15 model Mercedes-Benz CKD sedang dijual di Malaysia, termasuk A-Class Sedan V177, GLA H247, C-Class W205 (termasuk model AMG C 43), E-Class W213, S-Class W222, GLC X253 (termasuk model GLC AMG 43 4Matic Coupe) dan GLE V167.