Toyota Malaysia bakal lancar model baru tahun ini – mungkinkah Avanza baru versi Veloz dan GR86?

Toyota Malaysia bakal lancar model baru tahun ini – mungkinkah Avanza baru versi Veloz dan GR86?

Semasa pembentangan prestasi syarikat semalam, UMW Toyota Motor (UMWT) telah menjanjikan “pelancaran produk baru tahun ini.” Mungkinkah model baru yang dimaksudkan ini adalah Toyota Veloz dan Toyota GR86?

Veloz adalah versi premium bagi Avanza generasi ketiga baru, yang sudah pun membuat penampilan di Indonesia November lalu dan kemudiannya masuk pula ke pasaran Thailand Februari tahun ini. Mengikut kepada saiz, Avanza/Veloz baru ini lebih besar, lebih lebar dan lebih panjang berbanding model sebelum ini, dan ia dibina atas platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), dengan kini menggunakan pacuan dua roda hadapan.

Di bawah bonet Avanza/Veloz baru ini masih lagi terdapat enjin 2NR-VE 1.5 liter NA Dual VVT-i berkuasa 106 PS/138 Nm tork yang sama, tetapi kotak gear automatik empat kelajuan sebelum ini telah diganti dengan unit D-CVT baru seperti Myvi facelift.

Keistimewaan utama Veloz berbanding Avanza adalah rupa yang lebih garang, dengan gril yang terbuka besar di hadapan, bampar lebih sporty, serta lampu belakang yang bersambung sehingga tengah dan mempunyai pencahayaan seperti BMW 3 Series G20.

Rekaan papan pemuka Avanza dan Veloz secara asasnya adalah sama, tetapi pada Veloz, ia disambung lagi sehingga ke konsol tengah dan perehat tangan. Pada bahagian ini terdapat pengecas telefon Qi tanpa wayar serta brek parkir eektronik dengan ciri Auto Brake.

Berkenaan kelengkapan, Veloz datang dengan lampu depan dan belakang LED, cermin sisi boleh lipat automatik dengan lampu di bawahnya, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, balutan tempat duduk gabungan kulit tiruan, panel instrumen digital tujuh inci, kamera undur serta skrin sesentuh 9.0 inci untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian yang lebih tinggi juga mendapat rim 17 inci dan sistem kamera 360 darjah, sementara pakej Toyota Safety Sense diberikan sekali dengan enam beg udara.

Jika betul Veloz ini akan tiba di Malaysia, agak menarik untuk kita lihat bagaimana UMWT meletakkan harganya memandangkan Perodua juga akan menggunakan asas Avanza ini untuk Perodua Alza generasi baru mereka yang akan dilancarkan tahun ini.

Melihat kepada GR86 pula, ia adalah lebih mudah kerana akan diimport sepenuhnya. Model ini mula ditunjukkan kepada umum April 2021 dan ia menggunakan enjin boxer NA 2.4 liter berkuasa 235 PS pada 7,000 rpm dan 250 Nm tork pada 3,700 rpm. Transmisi disediakan dalam versi manual atau automatik enam kelajuan.

Selain dua model ini, calon lain yang mungkin akan tiba di Malaysia adalah seperti Corolla sedan, Corolla Cross dan mungkin juga Hilux versi GR-S. Seperti yang anda tahu, S itu bermaksud Sport dan Vios adalah model pertama di Malaysia yang mendapat versi GR-S.

GALERI: Toyota Veloz 2022 pasaran Indonesia

GALERI: Toyota GR86 2022 pasaran Jepun

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required