Honda HR-V 2022 akan dilancar di M’sia tak lama lagi – apa yang anda perlu tahu tentang SUV segmen-B ini

Honda HR-V 2022 akan dilancar di M’sia tak lama lagi – apa yang anda perlu tahu tentang SUV segmen-B ini

Ketika Proton X50 tiba di pasaran Malaysia pada Oktober 2020, saingan terdekatnya yang juga SUV segmen-B paling popular di Malaysia ketika itu iaitu Honda HR-V generasi kedua sudahpun berada lebih lima tahun dalam pasaran.

Ini memudahkan tugas X50 untuk terus merampas takhta tersebut dari HR-V, bukan sahaja kerana model dari Honda berkenaan dijual pada harga lebih mahal, malah dengan usia yang hampir tiba ke hujung hayat produksi, HR-V turut ketinggalan dari segi teknologi dan juga perincian.

Malah dalam satu ujian pelanggaran secara berhadapan di China antara kembar Proton X50 di sana iaitu Geely Binyue dan juga HR-V generasi kedua berkenaan, jelas Binyue/X50 mempunyai kerangka yang jauh lebih kuat berikutan perbezaan era produksi antara kedua-dua SUV segmen-B tersebut.

Namun X50 mungkin akan berhadapan lawan sebenarnya tidak lama lagi – Honda HR-V generasi ketiga sudah pun didedahkan untuk peringkat global pada Februari tahun lalu, dan sudah mendarat di pasaran Asia Tenggara; ia secara rasmi dilancarkan di Thailand pada November 2021, kemudian di Indonesia pada Mac tahun ini.

Honda HR-V 2022 akan dilancar di M’sia tak lama lagi – apa yang anda perlu tahu tentang SUV segmen-B ini

Jiran seberang tambak iaitu Singapura turut telah menerima HR-V generasi ketiga berkenaan. Dan setelah pintu sempadan di buka Malaysia-Singapura dibuka semula pada 1 April lalu, unit-unit HR-V baharu itu dengan nombor pendaftaran republik tersebut dapat dilihat berkeliaran sekitar Johor Bahru dan semenanjung Malaysia.

Jadi bila tiba pasaran Malaysia pula akan menerima HR-V generasi baharu ini? Berita baik, ketika satu majlis bersama media diadakan oleh Honda Malaysia Februari lalu, syarikat berkenaan telah memberi petunjuk bahawa HR-V baharu tersebut akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun ini juga. Malah, kelibat unit ujian prototaipnya juga telah kelihatan di uji di sini pada bulan yang sama.

Seperti model generasi sedia ada, HR-V 2022 ini dijangka turut bakal dihasilkan secara pemasangan tempatan, diproduksi di kilang Honda Pegoh, Melaka bagi memastikan ia dapat dijual pada harga kekal kompetitif. HR-V ini juga bukan hanya akan berhadapan dengan Proton X50, malah ia turut perlu bersaing dengan jenama senegara iaitu Toyota Corolla Cross juga dijual dalam versi CKD, dipasang di kilang Toyota Bukit Raja, menjadi model pertama Toyota dengan platform TNGA dipasang menerusi fasiliti berkenaan.

Honda HR-V 2022 versi mana yang bakal kita terima?

Honda HR-V 2022 akan dilancar di M’sia tak lama lagi – apa yang anda perlu tahu tentang SUV segmen-B ini

Honda HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat yang dihasilkan dari platform Civic, serta bakal dijual di pasaran global lain dengan nama Honda ZR-V

Apa yang menarik, Honda HR-V generasi baharu ini diperkenalkan bukan sahaja dalam beberapa versi kemasan dan unit rangkaian kuasa berbeza, malah ia turut hadir dengan dua kerangka badan berlainan mengikut pasaran. Bagi model yang membuat kemunculan di Jepun dan Eropah, ia masih kekal sebagai SUV segmen-B seperti model generasi sebelumnya.

Namun Honda membuat kejutan untuk HR-V 2023 pasaran Amerika Syarikat – ia bukan sahaja menampilkan rupa muka, bentuk badan dan belakang yang langsung tidak sama, malah dihasilkan lebih besar sebagai SUV segmen-C kerana diasaskan dari platform sama seperti Honda Civic generasi ke-11.

Tetapi menurut Honda, SUV yang diperkenalkan di Amerika Syarikat berkenaan tetap akan dijual dipasaran global, namun ia akan dikenali sebagai Honda ZR-V untuk pasaran di luar AS – dikatakan sebagai model sebenar dibangunkan untuk berhadapan terus dengan Toyota Corolla Cross, diletakkan di tengah-tengah antara HR-V dan CR-V.

Honda ZR-V ini telah pun dilancarkan di China awal bulan ini, dan tidak mustahil ia turut akan tiba di Asia Tenggara termasuk Malaysia kelak kerana Corolla Cross diterima dengan baik di rantau ini.

Lupakan berkenaan ZR-V ini terlebih dahulu, kerana model yang bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi adalah HR-V sebenar, iaitu SUV kompak dalam kelas segmen-B. Namun apa yang perlu anda ambil perhatian adalah kemasan dan juga unit rangkaian kuasa untuk model berkenaan, yang mungkin berbeza dengan apa yang ditawarkan di Thailand mahupun Indonesia.

Honda HR-V generasi ketiga ini dihasilkan dalam dua muka berbeza. Untuk versi ‘biasa’, ia diberikan gril dengan bar melintang. Manakala satu lagi versi lebih sporty dengan lencana RS datang dengan gril hadapan dengan elemen pin krom, bersama kit-kit aero lain dan juga lebih banyak kemasan dalam warna hitam berkilat.

Melihat pada penawaran yang diberikan oleh Honda Malaysia terhadap model terkininya seperti City, City Hatchback dan Civic, kami jangka HR-V pasaran Malaysia kelak turut bakal ditawarkan dalam varian RS sebagai versi paling sporty yang juga paling mahal.

Dan mungkin, Honda HR-V ini hanya ditawarkan dalam kemasan RS di Malaysia, tetapi hadir dalam pilihan enjin petrol penuh dan hibrid. Walau bagaimanapun, ini hanyalah spekulasi dari kami. Sekiranya HR-V dengan muka ‘biasa’ turut ditawarkan di Malaysia, mungkin versi hibrid e:HEV akan datang dalam kemasan RS, seperti City dan City Hatchback.

Enjin apa yang bakal dibekalkan bagi HR-V 2022 pasaran Malaysia?

Honda HR-V 2022 akan dilancar di M’sia tak lama lagi – apa yang anda perlu tahu tentang SUV segmen-B ini

Secara global, HR-V generasi ketiga ini hadir dalam tiga unit rangkaian kuasa, dan ia ditawarkan bergantung kepada pasaran. Tiga unit rangkaian kuasa berkenaan adalah seperti berikut:

1.5 liter empat-silinder i-VTEC NA
– 121 PS pada takat 6,600 rpm
– 145 Nm pada takat 4,300 rpm
– Transmisi CVT automatik

1.5 liter empat silinder VTEC Turbo
– 177 PS pada takat 6,000 rpm
– 240 Nm pada takat 1,700 hingga 4,500 rpm
– Transmisi CVT

1.5 liter empat-silinder dengan sistem hibrid e:HEV
– Kitaran Atkinson
– 105 hp dan tork 127 Nm dari enjin petrol
– 131 hp dan tork 253 Nm untuk output keseluruhan sistem

Di Indonesia, model dengan muka ‘biasa’ adalah dari varian E dan E SE, dijana oleh enjin 1.5 liter i-VTEC NA, manakala model RS pula hadir dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Untuk pengetahuan anda, Indonesia merupakan pasaran pertama di dunia menerima Honda HR-V generasi ketiga yang dijana oleh enjin 1.5L VTEC Turbo. Namun ini bukan kali pertama Honda menawarkan HR-V dengan enjin 1.5L VTEC Turbo kerana sebelum ini enjin tersebut pernah ditawarkan pada HR-V generasi kedua menerusi varian Sport untuk pasaran Eropah dan juga Vezel (nama HR-V di Jepun) dalam varian Touring bagi model JDM.

Manakala untuk pasaran Thailand, tidak kira model dengan muka ‘biasa’ (varian E dan EL) atau varian RS, kesemuanya hanya ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV menggunakan sistem Intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD). Sistem tersebut berfungsi sama seperti sistem hibrid pada City RS e:HEV, di mana dalam kebanyakkan masa ia akan bergerak hanya dengan dipacu motor elektrik, sementara enjin petrol 1.5 liter kitaran Atkinson berkenaan kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri lithium-ion, dan hanya memacu roda hadapan pada kelajuan tertentu. Honda mendakwa HR-V e:HEV ini mampu untuk mencapai penggunaan bahan api serendah 25.6 km/l.

Kami jangkakan bahawa model pasaran Malaysia akan ditawarkan dalam versi hybrid e:HEV dan juga versi 1.5 Turbo, berdasarkan keutamaan dan komitmen Honda Malaysia buat masa sekarang. Malaysia juga tidak akan menerima model dengan enjin 1.5L NA kerana varian berkenaan tidak ditawarkan di sini pada model generasi sedia ada, yang menampilkan hanya enjin 1.8L i-VTEC NA bagi kesemua varian bukan hibrid.

Adakah HR-V 2022 dihasilkan lebih besar berbanding model sebelumnya?

Honda HR-V 2022 akan dilancar di M’sia tak lama lagi – apa yang anda perlu tahu tentang SUV segmen-B iniHonda HR-V 2022 akan dilancar di M’sia tak lama lagi – apa yang anda perlu tahu tentang SUV segmen-B ini

Honda HR-V generasi sedia ada yang dijual pada pasaran Malaysia buat masa sekarang menampilkan dimensi panjang 4,346 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,605 mm serta jarak roda sejauh 2,610 mm. Manakala model generasi ketiga pula menampilkan dimensi panjang 4,385 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,590 mm serta jarak roda 2,610 mm.

Jadi walaupun jika melihat pada gambar seperti model generasi baharu ini lebih besar, hakikatnya kedua-dua model berkenaan mempunyai jarak roda dan lebar yang sama, cuma ia sedikit lebih panjang dan sedikit lebih lebar. Honda memberikan juntaian hadapan dan belakang yang sedikit lebih panjang dari model sebelumnya, bersama ruang dalaman yang direka lebih luas.

Berapa harga jualan untuk HR-V generasi ketiga ini?

Honda HR-V 2022 akan dilancar di M’sia tak lama lagi – apa yang anda perlu tahu tentang SUV segmen-B ini

Perkara ini agak sukar untuk dijangka. Buat masa sekarang, Honda HR-V generasi kedua dalam kemaskini 2022 dijual di Malaysia pada harga seperti berikut:

Honda HR-V 1.8 E 2022– RM 104,000.21
Honda HR-V 1.8 SE 2022 – RM 105,363.85
Honda HR-V 1.8 V 2022 – RM 113,421.92
Honda HR-V 1.5 Hybrid 2022 – RM 113,954.82
Honda HR-V 1.8 RS 2022 – RM 118,581.81

Namun perlu diingat, harga tersebut adalah harga dengan pengecualian cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan buat masa sekarang dan bakal berakhir pada 30 Jun ini. Harga untuk HR-V generasi ketiga ini mungkin perlu dijangka berdasarkan harga jualan HR-V generasi kedua pada tahun 2019 tanpa SST seperti yang kami senaraikan di bawah, dan anda boleh lihat ia adalah sekitar 4-5% lebih tinggi.

Honda HR-V 1.8 E 2019 – RM 108,800.00
Honda HR-V 1.8 V 2019 – RM 118,800.00
Honda HR-V 1.5 Hybrid 2019 – RM 120,800.00
Honda HR-V RS 2019 – RM 124,800.00

HR-V generasi ketiga kelak mungkin akan lebih mahal berbanding harga HR-V generasi kedua pada 2019 ini, bukan hanya kerana unit rangkaian kuasa lebih baik diberikan, malah ia turut tampil dengan pelbagai teknologi baharu seperti pakej bantuan pemanduan termaju Honda Sensing dan sebagainya.

Jika kita ambil harga untuk City Hatchback baharu sebagai contoh, model tertinggi e:HEV RS dijual pada harga RM 107,783.09, manakala varian paling mahal dengan enjin petrol penuh dijual pada harga RM 91,708.51. Bagi City Sedan e:HEV RS pula dijual pada harga RM 105,950.45, berbanding varian petrol penuh paling mahal iaitu 1.5 V dijual pada harga RM 90,212.36.

Seperti yang dinyatakan tadi, sistem i-MMD pada varian hibrid e:HEV ini adalah lebih seakan kereta elektrik sebenar dengan enjin petrol yang lebih berfungsi seperti generator elektrik, lebih canggih dari sistem hibrid i-DCD sebelumya – menjadikan ia sekitar RM15k atau 17% lebih mahal.

Jika kita ambil harga Honda HR-V 1.8 V 2019 dengan SST sebagai asas dan ditambah dengan 17%, kita boleh jangkakan bahawa model tertinggi Honda HR-V e:HEV RS ini kelak akan dijual pada harga sekitar RM138k. Harga tersebut masih lebih rendah berbanding harga bagi varian paling rendah untuk CR-V dengan SST iaitu RM151k, jadi jangkaan ini mungkin akan dekat dengan harga sebenarnya nanti.

Apa pun, ini semua adalah jangkaan dan spekulasi yang kami buat berdasarkan fakta-fakta sebelum ini. Anda pula bagaimana? Tak sabar nak tunggu pelancaran Honda HR-V 2022 ini sebagai alternatif kepada Proton X50 dan Toyota Corolla Cross? Ada teori sendiri berapa harga jualan dan spesifikasi yang ditawarkan nanti? Kongsikannya bersama kami sama ada pada ruang komen di bawah mahupun di ruangan komen hantaran media sosial kami.

GALERI: Honda HR-V RS e:HEV 2022 pasaran Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required