Daihatsu dikesan patenkan sedan mirip Toyota Vios di Indonesia; bakal dijadikan sedan lebih mampu milik?

Daihatsu dikesan patenkan sedan mirip Toyota Vios di Indonesia; bakal dijadikan sedan lebih mampu milik?

Satu ketika dahulu, Daihatsu sememangnya ada menghasilkan model sedan seperti Daihatsu Charmant, Charade Aura sedan dan Charade Ascend. Namun buat masa sekarang, jenama yang sinonim dengan kereta kompak berkenaan hanya menjual hatchback, SUV dan MPV, kecuali sedan segmen-D Daihatsu Altis iaitu model rebadge dari Toyota Camry dan hanya dijual di Jepun.

Baru-baru ini Daihatsu menerusi Daihatsu Motor Co., LTD (DMC) yang beralamat di Osaka, Jepun telah dikesan memfailkan paten sebuah model sedan di Direktorat Hak Cipta dan Reka Bentuk Perindustrian, Direktorat Jenderal Harta Intelek, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Indonesia.

Menerusi gambar paten dari fail tersebut, sedan berkenaan menampilkan rupa yang sama dengan Toyota Vios generasi baharu yang sudahpun dilancarkan di Thailand, Laos dan juga Indonesia tahun lalu.

Toyota Vios 2023 pasaran Indonesia

Ia tidak mengejutkan kerana Vios berkenaan sememangnya dihasilkan menerusi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan merupakan versi produksi untuk model konsep DN F-Sedan yang didedahkan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017.

Adakah Daihatsu bakal memperkenalkan sedan berkenaan di pasaran Indonesia yang bakal menjadi “Vios versi lebih murah?” Menurut pengarah pemasaran dan pengarah perancangan korporat & komunikasi Astra Daihatsu Motor (ADM), Sri Agung Handayani dalam laporan CNN Indonesia, pendaftaran paten yang dibuat oleh syarikat induknya itu merupakan rutin yang dilakukan kerana ia berkaitan dengan hak cipta kenderaan milik Daihatsu.

“Ini pendaftaran rutin yang dilakukan oleh DMC untuk hak cipta kenderaannya,” kata Agung dan menambah bahawa sehingga kini ADM masih belum ada rancangan untuk memasarkan sedan berkenaan dengan logo Daihatsu di Indonesia.

Model konsep Daihatsu DN-F Sedan 2017

Walaupun ADM masih menafikan sebarang niat untuk menjual sedan berkenaan, dengan adanya paten yang sudah didaftarkan ini membolehkan Daihatsu menjual sedan tersebut di Indonesia bila-bila masa. Ini juga menunjukkan ada kemungkinan bahawa Perodua juga boleh menghasilkan sedan berkenaan dan menjualnya sebagai sedan segmen-B (Myvi sedan?) di Malaysia.

Buat masa sekarang Perodua sudahpun mempunyai dua model yang diasaskan dari platform DNGA iaitu Perodua Ativa dan juga Perodua Alza. Malah Perodua turut memasang kembar kepada Alza iaitu Toyota Veloz di kilangnya yang terletak di Rawang.

GALERI: Toyota Vios 2023 pasaran Indonesia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required