Proton Satria Cabriolet 1997 – ‘mati’ hidup kembali

Proton Satria Cabriolet 1997 – ‘mati’ hidup kembali

Selepas Proton memiliki Lotus pada 1996, semangat inovasi dari pembuat kereta nasional itu betul-betul meledak. Ini kerana ketika zaman kerjasama penuh dengan Mitsubishi, peluang Proton untuk melakukan sebarang kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) adalah terhad.

Selepas mempunyai Lotus dalam tangan, dapat dilihat Proton ‘melepaskan’ geram dengan pelbagai projek yang jauh lebih menarik – kita dapat lihat Proton hadir dengan hot-hatch pertamanya iaitu Satria GTI pada penghujung 1998, dan memperkenalkan model yang bukan rebadge dari Mitsubishi pertamanya pada tahun 2000 iaitu Waja.

Namun sebelum model-model produksi ini dikeluarkan, ada beberapa idea yang dihasilkan Proton dalam bentuk konsep, antaranya adalah Proton Satria Cabriolet yang muncul di Frankfurt Motor Show pada 1997. Ia didedahkan sendiri oleh CEO Proton ketika itu, YM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang menyatakan bahawa Cabriolet ini adalah salah satu variasi yang akan dibangunkan oleh Proton bersama Lotus berasaskan casis Wira, selain dari Estate dan juga Van.

Namun sebenarnya prototaip yang diasaskan dari Proton Satria 1.6 ini adalah hasilkan bersama dengan kerjasama pembuat koc yang berpusat di California, Amerika Syarikat iaitu Metal Crafters Inc – pihak yang sama membantu Proton dalam menghasilkan trak pikap Arena yang muncul pada tahun 2002.

Proton Satria Cabriolet 1997 – ‘mati’ hidup kembali

Sebanyak dua unit prototaip Proton Satria Cabriolet ini dihasilkan, dan ia mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan. Ia didedahkan di Jerman untuk mendapatkan respon dari pengguna pasaran paling sukar untuk Proton di Eropah berkenaan, sebelum diproduksi mengikut rancangan asalnya iaitu untuk tahun 1998 dengan tiga varian enjin petrol iaitu 1.3L, 1.5L dan 1.6L.

Walau bagaimanapun, versi produksi untuk Satria Cabriolet ini tidak pernah direalisasikan. Tiada kenyataan yang jelas dikeluarkan Proton mengapa projek Satria Cabriolet ini dibatalkan, tetapi menerusi khabar angin yang bertiup salah satu puncanya adalah kerana krisis ekonomi global yang berlaku pada 1998.

Tetapi ini tidak menghalang Proton untuk membawa dua unit Satria Cabriolet ini untuk dipamerkan di pelbagai acara selain di simpan di Garaj Warisan Proton di kilangnya yang terletak di Hicom Shah Alam. Namun pada Julai 2020, kami temui dua buah Satria Cabriolet tersebut (berwarna ungu dan emas) dan juga pelbagai kereta lumba dan prototaip Proton serta Lotus di gudang Pickles Auction yang terletak di Jalan Klang Lama untuk di lelong.

Kecewa melihat keadaan tersebut, kami serta beberapa media lain menaikkan artikel berkenaan kereta-kereta bersejarah yang mahu di lelong itu, dan hasilnya Proton telah menarik balik lelongan berkenaan. Namun ada beberapa kereta telah terlepas kepada pembida, antaranya Proton Satria Cabriolet berwarna ungu.

Imej yang kami rakam ketika menemui Satria Cabriolet ini di Pickles Auction sekitar tiga tahun lalu

Tetapi beberapa ketika selepas itu, Satria berkenaan diiklankan pula di internet untuk dijual, dan akhirnya ia kini menjadi milik Muhammad Jeya Raj dari Taiping, Perak. Ketika berlangsungnya acara Retro Havoc di The Curve, Damansara pada 27 Mei lalu, penulis berkesempatan bertemu dengan Jeya untuk mengorek dengan lebih dalam apa yang terjadi pada Satria Cabriolet ini sebenarnya.

Menurut Jeya, ketika kereta-kereta berkenaan dilelong oleh Pickles Auction, dia lebih berminat terhadap kereta-kereta rali PERT dan bukan Satria Cabriolet tersebut. Ini kerana minat Jeya lebih kearah sukan permotoran sebenar dan terlibat dalam sukan drift.

Walau bagaimanapun ketika melihat Satria Cabriolet ini diiklankan semula untuk dijual oleh individu yang membidanya dahulu, seolah-olah ada ‘soft spot‘ yang hadir dan memanggilnya untuk membeli dan merestorasinya semula. Jeya merasakan Satria ini merupakan salah satu khazanah negara yang perlu dipelihara, serta dia sendiri mempunyai perasaan sentimental terhadap Satria tersebut.

Jeya menceritakan bagaimana terujanya dia mula-mula melihat kereta ini depan mata sewaktu berusia 18-tahun dahulu. Menurutnya ketika itu kereta ini dibawa oleh pasukan R3 bersama kereta lumba yang lain dan singgah sebentar di kampung halamannya iaitu di Ipoh.

Proton Satria Cabriolet 1997 – ‘mati’ hidup kembali

Sebagai seorang peminat Tengku Djan Ley yang ketika menerajui pasukan Proton R3, apabila pemandu trak yang membawa kereta-kereta tersebut membenarkannya membelek serta duduk di dalamnya termasuk Satria Cabriolet ini, peristiwa itu menjadi satu kenangan indah buat Jeya.

Untuk makluman anda, kereta ini merupakan prototaip dan tidak pernah didaftarkan ke JPJ untuk kegunaan jalan raya. Jadi Jeya membeli kereta ini dengan harga yang agak tinggi untuk sebuah kenderaan tanpa geran, dan hanya berbekalkan resit dan dokumen pembelian bagi mengesahkan bahawa Satria Cabriolet ini rasmi menjadi miliknya.

Selepas berjaya dengan pembelian Satria Cabriolet ini, ia terus di bawa ke Taiping. Jeya menyatakan bahawa sejak ia dibawa keluar dari Pickles Auction, pembida asal berkenaan tidak membuat sebarang kerja-kerja pemulihan kerana kekurangan dana.

Kereta tersebut dalam keadaan yang agak teruk – lantai dan sebahagian panel badan perlu diperbaiki kerana telah berkarat, manakala suspensi serta komponen-komponen getah pada sistem mekanikal sudah pun mengeras kerana sudah terlalu lama.

Jadi kerja-kerja restorasi telah pun dimulakan oleh Jeya dengan membuat kerja-kerja pembaikan badan, menyaksikan karat-karat telah dibuang dan disembur semula oleh IR Spray Taiping dengan warna ungu yang sama. Proses ini perlu dilakukan secara berhati-hati kerana komponen seperti bampar hadapan dan belakang, gril serta skirt sisi merupakan komponen one-off istimewa yang dihasilkan Proton, tak sama dengan Satria biasa.

Menurut Jeya lagi, ada satu lengan pada sistem kerangka bumbung Satria ini yang telah patah. Komponen berkenaan sudah tentu tidak dijual di mana-mana kedai alat ganti, dan ia dihasilkan semula secara custom. Selepas itu bumbung fabrik Satria ini sudah boleh dibuka dan ditutup semula menggunakan sistem hidraulik asal.

Apa yang membimbangkan Jeya adalah sekiranya cermin-cermin tingkap sisi Satria Cabriolet pecah, dan ia juga tidak sama dengan cermin dari Satria normal. Mujur setakat ini semua cermin tingkap berkenaan masih lagi dalam keadaan baik.

Selepas itu semua komponen mekanikal pada suspensi dan ruang enjin ditukar dan dibaik pulih, dan Jeya menyatakan sekarang Satria Cabriolet ini sudah boleh dipandu seperti biasa. Manakala keempat-empat hab roda Satria ini disarungkan dengan rim Satria GTi – untuk mendapatkan rim asli seperti yang muncul ketika ia didedahkan di Frankfurt dahulu adalah hampir mustahil, dan Proton sendiri pernah mempamerkan Satria Cabriolet ini dengan rim dari Satria GTI.

Buat masa sekarang, bahagian dalaman Satria Cabriolet ini masih lagi dalam keadaan asal, cuma ia sudah dibersihkan. Menurut Jeya selepas ini bahagian dalaman Satria ini turut akan direstorasi dengan sepatutnya, dan fabrik bumbung juga bakal digantikan dengan fabrik baharu.

Jeya menyatakan sehingga kini dia telah membelanjakan puluhan ribu ringgit pada Satria Cabriolet ini. Tiada perancangan untuk dijual, namun Jeya menyatakan sekiranya ada pembeli yang menawarkan harga patut untuk Satria ini dia akan mempertimbangkan untuk menjualnya.

Apa pun tahniah kepada Jeya, walaupun Satria ini terlepas dari tangan Proton, namun ia jatuh ke tangan yang betul dan ia kini menerima ‘layanan’ yang jauh lebih baik dari dibiar terus mereput di dalam gudang!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required