Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Honda NSX bakal berentap di Race to the Clouds 2016

    nsx-pikes-peak-03-e1435291416990_BM

    Honda bakal mempertaruhkan dua jentera NSX baharu mereka dalam perlumbaan tahunan Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC), lapor Autoblog. Kedua-dua buah kereta sport hibrid berteknologi tinggi tersebut bakal berlumba pada perlumbaan Race to the Clouds dalam dua kategori berbeza.

    Kereta pertama akan mengambil bahagian dalam kategori Kelas Produksi Time Attack 2. Ini bermaksud jentera yang digunakan adalah hampir kepada kereta produksi menggunakan enjin 3.5 liter V6 turbo berkembar, serta tiga buah motor elektrik pacuan semua roda. Kereta ini diberi sedikit ubahsuai pada kelengkapan keselamatan seperti ‘roll cage‘ bagi membolehkan ia berlumba.

    Kereta kedua dipertandingan didalam kategori Time Attack 1, yang membolehkan kereta ini diubahsuai secara ekstensif bukan sahaja pada bahagian janakuasa, ia juga melibatkan bahagian suspensi dan juga aerodinamik.

    Kami telah memberikan perincian berkenaan jentera tersebut sebelum ini, dimana dua buah motor elektrik dibahagian hadapan dibuang, dan ditambah supercharger elektrik untuk mengekstrak kuasa tambahan pada enjin V6 3.5 liter tersebut, serta menjadikan NSX ini sebuah jentera pacuan roda belakang sepenuhnya.

    Dilaporkan juga produksi NSX Type-R untuk masa hadapan juga bakal dipacu roda belakang sahaja seperti NSX ini dengan membuang kedua-dua unit motor elektrik yang memacu roda hadapan dalam usaha mengurangkan berat keseluruhannya. Kedua-dua buah NSX ini bakal dipandu oleh pasangan adik-beradik James dan Nick Robinson yang juga bertugas sebagai jurutera R&D Honda, dimana Nick sendiri menggalas jawatan sebagai ketua pembangunan dinamik NSX.

    Honda juga turut menghantar sebuah CR-Z janaan elektrik sepenuhnya dalam kelas Electric Modified. CR-Z dengan empat motor elektrik tersebut dibina berdasarkan jentera CR-Z yang memenangi kelas Exhibition tahun lalu pada perlumbaan yang sama – dipandu pemandu Super GT Tetsuya Yamano. Selain itu, sebuah ATX Honda TRX1000 2015 turut bertanding dalam kategori Exhibition Powersport di tunggang oleh Keith Steidl.

     
     
  • Toyota WOW kini kembali, bakal pamer Hilux baharu

    Toyota-WOW-001

    Siri jelajah Toyota WOW kini kembali bagi tahun ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia bagi menyaksikan aksi hebat yang dipamerkan oleh pemandu profesional dan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik. Ia bakal berlangsung dari 26 Mac hingga 10 April di enam lokasi terpilih pada tarikh berbeza, kali ini Toyota WOW juga akan mempamerkan model Hilux 2016 akan dilancarkan kelak.

    Kali ini, siri jelajah Toyota WOW akan ke Pusat Konvensyen Setia City (26-27 Mac), Batu Kawah Kuching (2-3 April), Juru Auto City Penang (2-3 April), Linear Park (berhampiran Aeon Tebrau) Johor Bahru (9-10 April), Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu (9-10 April) dan RTC, Teman Kota Bharu (22-23 April).

    “Penganjuran siri jelajah ini diteruskan memandangkan sambutan yang begitu menggalakkan diterima pada tahun lalu. Selain dapat mengenali lebih dekat barisan model Toyota sedia ada, para pengunjung juga berpeluang menyaksikan sendiri Toyota Hilux serba baharu yang akan dipamerkan di setiap lokasi,” ujar Datuk Ismet Suki, presiden UMW Toyota.

    Klik untuk besarkan imej

    Sepanjang penganjuran ini, terdapat pelbagai aktiviti yang bakal diadakan termasuklah cabutan bertuah, Corolla Altis Gymkhana dan Vios Rally. Selain itu, bagi lokasi terpilih, para pelanggan Toyota juga boleh mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan percuma bagi kereta masing-masing, membeli pelbagai cenderahati Toyota dan sebagainya.

    Bukan itu sahaja, para pengunjung yang membeli mana-mana model baharu Toyota ketika siri jelajah ini juga berpeluang menyertai pertandingan ‘Beli dan Menang’. Di mana pembeli yang bertuah berpeluang memenangi sama ada Toyota Corolla Altis 1.8G iaitu hadiah utama atau pun tempat kedua bakal menerima Vios TRD Sportivo. Sementara baucer e-Servis bernilai RM500 juga antara hadiah yang boleh direbut.

    Malah pertandingan ‘Pandu Uji dan Menang’ juga akan dianjurkan, dan sebanyak 200 keping baucer membeli-belah bernilai RM500 bakal disediakan bagi mereka yang bertuah.

     
     
  • Pemandu degil bakal berhadapan program pemulihan melalui sistem AWAS yang bakal dijalankan kelak

    MEX-Highway-01

    Amaran untuk pemandu yang degil dengan peraturan jalan raya – Sistem AWAS yang bakal berjalan kelak bukan sahaja akan menggantung lesen memandu anda untuk berberapa bulan, kerajaan juga bakal menjalankan kursus pemulihan untuk anda jika didapati memandu secara cuai.

    Menurut laporan The Sun Daily, timbalan menteri pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi berkata program pemulihan tersebut mensasarkan untuk mendidik pemandu yang mempunyai tabiat memandu secara berbahaya. Aziz juga berkata ia akan ditawarkan kepada pemandu sebagai pilihan, dan ia tidak sepatutnya dianggap sebagai hukuman, tetapi lebih kepada pendidikan.

    “Apabila lesen memandu seseorang itu digantung, individu berkenaan boleh memilih untuk menjalani kursus pemulihan ini untuk mengurangkan tempoh penggantungannya.” kata Aziz. “Kami mahu untuk mendidik kembali pemandu yang bermasalah dengan elemen keselamatan jalan raya dan menjadikan pemanduan berhemah sebagai amalan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dan jumlah kematian di atas jalan raya,” tambah beliau.

    AES_Camera

    Beliau percaya proses pendidikan yang dikenali sebagai Program Peningkatan Pemandu Kejara, akan lebih efektif untuk menyelesaikan masalah tersebut berbanding dengan menaikkan kadar saman trafik – seperti yang dicadangkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

    Sentimen yang disuarakan oleh Aziz ini turut dipersetujui oleh ketua penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) Datuk Valluvan. “Kami bukan mahu menghukum mereka, Kami mahukan perubahan sikap dengan mengetengahkan pemanduan selamat dan juga menekankan aspek psikologikal dan bagaimana cara pemanduan mereka memberikan kesan kepada pengguna jalan raya yang lain,”jelas Valluvan.

    “Kami juga tidak akan mengajar mereka bagaimana untuk memandu atau mengulang kembali apa yang mereka belajar semasa ujian memandu sebelum ini,” kata Valluvan. Beliau membuat kesimpulan dengan mengatakan perincian sistem mata demerit Kejara berada pada tahap rancangan terakhir, dengan kertas cadangan yang bakal dihantar ke Kabinet April ini.

     
     
  • Volkswagen Malaysia anjur jualan ‘Drop Everything’ – Polo Hatch RM70k, Jetta RM89k, Passat RM116k

    VW-Drop-Everything-Sale

    Volkswagen Malaysia kini sedang menganjurkan jualan ‘Drop Everything’. Tawaran ini melibatkan beberapa model yang diturunkan harganya iaitu untuk penghabisan stok bagi model buatan tahun 2014 dan 2015 yang melibatkan Polo Hatch, Jetta dan Passat, semuanya pemasangan tempatan.

    Seperti mana yang dapat dilihat, harga yang ditawarkan bagi penghabisan stok ini adalah hasil diskaun daripada harga asal jualannya. Bagi Passat sedan segmen-D, harga terdahulu ialah RM173,888, kini ditawarkan pada RM115,888, iaitu potongan sebanyak RM53,000. Manakala Jetta sedan segmen-C pula, daripada harga asal RM134,888, kini berharga RM88,888. Iaitu melibatkan pengurangan sebanyak RM46,000.

    Klik untuk besarkan imej

    Begitu juga dengan polo hatch yang mengalami penurunan harga sehingga RM20,000. Di mana harga normal bagi model hatchback lima-pintu ini ialah RM89,888, kini model 2014/2015 ditawarkan dengan harga hanya RM69,888.

    Passat dikuasakan oleh enjin 1.8 liter TSI dengan 160 PS dan tork 250 Nm dari 1,500 hingga 4,200 rpm, dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan. Sama transmisi dengan Jetta, yang didatangkan dengan enjin 1.4 liter twincharger TSI bersama 160 PS dan tork 240 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm.

    Bagi Polo, tiada TSI/DSG, sekadar enjin 1.6 liter MPI dengan kuasa 105 PS dan tork 154 Nm, yang dipadankan dengan kotak gear konvensional automatik enam-kelajuan bersama Tiptronic.

    Bagi jualan ‘Drop Everything’ ini, promosi berlangsung sementara stok masih ada. Anda boleh menghubungi CarBase.my Verified Sales Agents untuk pertanyaan mengenai jualan dan pandu uji:

     
     
  • Jaguar XF baharu bakal tiba di pasaran Malaysia

    Screen Shot 2016-03-14 at 11.31.58 AM

    Jaguar XF baharu dikhabarkan bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi, seperti mana yang didedahkan menerusi laman Facebook rasmi Jaguar Malaysia. Melalui entri itu, terdapat empat foto perincian dipaparkan termasuk tombol gear, logo hadapan, lampu utama yang lebih nipis/tajam.

    XF generasi kedua ini telah pun melakukan penampilan perdana di New York International Auto Show (NYIAS) 2015 sebelum menjengah pasaran dunia pada hujung tahun tersebut. Bagi model ini, ia dikatakan lebih ringan, lebih berkuasa, lebih penjimatan bahan api dan juga memiliki ruang dalaman yang lebih besar berbanding XF yang asal, yang diperkenalkan sejak tahun 2007.

    Penggayaannya juga diinspirasikan dari XE yang lebih kecil, termasuk perumah kaca yang dilebarkan ke belakang memberikan penampilan XF baharu ini lebih berkarakteristik seperti garisan bumbung model coupe. Ditambah pula XF 2016 ini 7 mm lebih pendek dan 3 mm lebih rendah berbanding model terdahulu, tetapi dengan jarak roda 2,960 mm menjadikan ia 51 mm lebih panjang, sekali gus menjawab bagaimana menjadikan ruang dalamannya lebih luas. Malah papan pemukanya juga seakan berkongsi rekaan yang sama dengan XE, yang dilancarkan pada Januari lalu.

    Dibangunkan dengan senibina modular aluminium Jaguar (model kedua selepas XE), XF baharu ini 190 kg lebih ringan berbanding terdahulu dan 80 kg lebih ringan berbanding pesaingnya. Di mana Jaguar mendakwa ketegaran kilasannya telah dipertingkatkan sehingga 28%.

    XF baharu ini juga menampilkan enjin Ingenium 2.0 turbodiesel baharu dengan dua output iaitu 163 PS/380 Nm dan 180 PS/430 Nm, dipadankan dengan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan. Ia turut menawarkan tiga pilihan enjin lain iaitu petrol 2.0 liter turbo (240 PS/340 Nm), diesel 3.0 liter biturbo (00 PS/700 Nm) dan petrol 3.0 liter supercharged sama ada 340 PS/450 Nm atau 380 PS/450 Nm – hanya auto sahaja.

    XF sedia ada di Malaysia ditawarkan dengan petrol 2.0 Ti (240 PS/340 Nm), diesel 2.2 Td (200 PS/450 Nm), diesel 3.0 Td (275 PS/600 Nm) dan petrol 3.0 SC supercharged (340 PS/450 Nm), harga dari RM408,888 hingga RM623,888.

     
     
  • VIDEO: Ford Mustang hampir dilancarkan di Malaysia?

    Video berkenaan Ford Mustang telah dipaparkan pada laman Facebook Ford Malaysia. Adakah ini merupakan petunjuk dari Ford Malaysia yang model ini akan dilancarkan untuk pasaran tempatan dalam masa terdekat?

    Video berkenaan Ford Mustang itu memaparkan proses disebalik tabir pembinaan kereta tersebut, tetapi dalam pos media sosial terbabit langsung tidak dinyata apa-apa maklumat berkenaan pelancarannya di sini. Mustang telah membuat kemunculan sulung di Malaysia Disember tahun lalu, manakala tempahannya dibuka lebih awal iaitu bermula Jun 2015. Tidak mustahil pelancarannya oleh pihak Sime Darby Auto Connexion (SDAC) akan berlangsung dalam masa terdekat ini.

    Berita terakhir yang kami terima tentang kemasukan jentera ini ke bumi Malaysia ialah, ia bakal ditawarkan dalam dua varian iaitu 2.3 liter EcoBoost dengan harga jualan bermula RM435k hingga RM450k, dan varian 5.0 liter V8 dengan harga jualan bermula RM550k hingga RM565k. Kedua-dua varian tersebut hadir dengan pilihan bentuk badan Fastback Coupe dan juga Convertible.

    Enjin EcoBoost 2.3 liter empat-silinder mampu menjana kuasa setinggi 310 hp dan tork maksima 433 Nm. Manakala enjin 5.0 liter V8 tanpa induksi paksaan bakal membekalkan kuasa setinggi 435 hp dan tork maksima 541 Nm. Pihak SDAC juga telah mengesahkan model dengan transmisi jenis torque converter enam kelajuan automatik akan disediakan untuk pasaran Malaysia, tetapi tiada lagi apa-apa kenyataan berhubung model yang dilengkapi kotak gear manual enam-kelajuan.

    GALERI: Ford Mustang di Publika Shopping Mall

     
     
  • Mazda 2 2016 di M’sia – lampu utama LED, RM91k

    Mazda_2_LED_Thailand-2

    Nampak gayanya Mazda 2 2016 tidak menanti masa yang lama untuk tiba di pasaran tempatan. Malah dengan senarai elemen yang dipertingkatkan, pastinya kehadirannya dinanti-nantikan kerana kepercayaan terhadap model ini yang dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang optimum. Walau bagaimana pun, harganya juga ada perubahan, bagi kedua-dua hatchback dan sedan.

    Bagi model facelift ini, akhirnya ia menerima padanan lampu utama LED (dengan lampu nyalaan siang LED), memberikan Mazda 2 2016 ini beranjak ke aras yang lebih tinggi kerana menampilkan elemen yang sedang ‘in’ pada masa kini. Selain itu, lampu utama ini juga menampilkan larasan automatik dengan fungsi ‘on-off’, tetapi bukan Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS).

    Peningkatan elemen ini lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan pada model bagi pasaran Thai, di mana Mazda 2 diperkenalkan dengan lampu utama LED ketika dipamerkan di Thai Motor Expo 2015. Manakala bagi lampu belakangnya pula, ia masih mengekalkan lampu jenis mentol dan rodanya juga masih kekal iaitu aloi 16-inci yang dibaluti tayar 185/60R16.

    Selain lampu utama LED, semuanya masih kekal seperti mana model terdahulu. Ini termasuklah enjin 1.5 liter SkyActiv-G empat-silinder suntikan-terus, dengan keupayaan menyalurkan kuasa sehingga 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 148 Nm pada 4,000 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Klik untuk besarkan imej

    Pada bahagian kabinnya, ia masih kekal dengan tempat duduk balutan kulit, kawalan suhu zon tunggal automatik, tempat duduk larasan manual, pedal penukar gear dan skrin paparan. Bagi hiburan, ia juga didatangkan dengan sistem MZD Connect dengan enam-speaker, skrin sesentuh tujuh-inci dan butang/tombol Commander Control. Sistem ini juga boleh dipertingkatkan dengan fungsi navigasi dengan kos pilihan (RM1,270).

    Bagi harganya, Mazda 2 (sedan dan hatchback) kini bermula pada RM90,766.30, lebih RM5,300 berbanding model terdahulu (RM85,466.30). Walau bagaimana pun, harga ini ditawarkan bagi cat 2s iaitu Snowflake White Peark, Aluminium Metallic dan Metropolitan Grey.

    Jika inginkan warna signatur iaitu Soul Red, pertambahan kos sebanyak RM530 akan dikenakan. Harga yang diberikan ini adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan termasuk dengan waranti tiga-tahun (100,000 lm) dan penyelenggaran percuma (60,000 km), yang mana tiba terlebih dahulu. Mazda 2 adalah model yang diimport sepenuhnya dari Thailand (CBU).

    Bermaz turut menawarkan senarai pilihan aksesori termasuk ‘sports kit’ yang terdiri daripada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan spoiler belakang, dengan kos tambahan RM2,300 untuk sedan dan RM2,370 bagi hatchback. Selain itu, kos tambahan lain melibatkan paip ekzos (RM70), boot tray (RM130) dan plat keluli tahan karat dengan pencahayaan LED (RM275).

    GALERI: Mazda 2 di Thailand Motor Expo 2015

     
     
  • Ford Focus 1.5L EcoBoost sarat dengan teknologi bantuan pemanduan yang terkini dan efisien

    C346 Focus FL Sedan MY-2

    Pada hari pelancaran Ford Focus 1.5L Ecoboost baharu tempoh hari, pihak media diberi peluang untuk memandu uji kereta ini dalam sesi uji pandu dalam format pertandingan ala ‘Amazing Race’ sekitar Sunway Damansara, Bandar Sunway, Serdang sehingga ke Putrajaya. Penulis diberi peluang untuk memandu Focus EcoBoost ini dalam varian Titanium+ Sedan.

    Apa yang ingin diketengahkan pada sesi pemanduan ringkas ini adalah penggunaan ciri-ciri elektronik terbaharu pada Focus ini iaitu sistem infotaimen SYNC2, sistem Active Park Assist (kedudukan sisi dan mengundur), dan sistem Active City Stop. Papan pemuka Focus baharu ini tampil lebih ringkas. Perubahan yang utama pada bahagian ini adalah unit infotainmen SYNC2 Ford yang membolehkan ia dikawal dengan hanya kawalan suara ringkas.

    Kami dapat menguji sistem ini di mana sebuah telefon pintar dihubungkan pada sistem ini dan segala arahan pertandingan dihantar ke telefon tersebut dan ia dapat dibaca melalui skrin SYNC2 dan semuanya dikawal hanya dengan kawalan suara tanpa menyentuh skrin atau apa-apa butang. Skrin juga diletakkan pada posisi yang sesuai dan agak mudah dilihat pada kebanyakkan sudut. Penyambungan Bluetooth, AUX dan SD Card adalah didatangkan standard untuk memainkan media pilihan pemandu.

    Selain itu, fungsi sistem Active Park Assist turut diuji, yang membolehkan kereta ini diparkir pada kedudukan sisi secara automatik (pemandu hanya perlu mengawal pedal pendikit, tombol gear dan pedal brek), fungsi sistem Active Park Assist untuk model baharu ini juga boleh digunakan pada parkir mengundur serta dipadankan dengan sistem Active City Stop.

    Cara untuk menggunakan sistem Park Assist ini agak ringkas. Anda hanya perlu menekan suis Park Assist di sisi tombol gear, hidupkan isyarat membelok (sama ada kiri atau kanan bergantung posisi tempat parkir), pandu kereta dengan perlahan melalui ruang parkir sehingga sistem mengesan ruang tersebut, seterusnya kereta akan diparkir secara automatik dan arahan kawalan pada pedal dan tombol gear diberikan melalui skrin SYNC2. Sistem ini berfungsi dengan agak tepat dan juga cepat.

    C346 Focus FL Sedan MY-9

    Sistem Active City Stop pada Focus ini juga sangat efektif. Jika kereta dipandu ‘merayap’ di bawah 20km/j contohnya sedang mencari rumah untuk disewa, ia akan terhenti sendiri jika pemandu tidak menyedari ada halangan di hadapan contohnya kanak-kanak yang melintas atau kenderaan hadapan berhenti secara mengejut.

    Boleh disimpulkan, dengan harga yang ditawarkan, prestasi Ford Focus 1.5L EcoBoost ini agak berbaloi secara keseluruhan. Ia bukan sahaja memberikan prestasi enjin yang mengujakan, ia juga dibekalkan dengan ciri-ciri yang tidak ada pada sedan atau hatchback sekelas dengannya seperti sistem Informasi Titik Buta (BLIS) dan juga ciri-ciri lain.

    Kami akan mengulas lebih lanjut mengenai Focus baharu ini selepas diberi peluang memandu uji sepenuhnya.

    GALERI: Ford Focus Mk3 facelift, Titanium+ sedan

     
     
  • Kelab Serena S-Hybrid lawat kilang pemasangan Chong Motor Assemblies di Serendah

    01 Serena S-Hybrid Owner Group Serendah Plant Visitation_Group Photo

    Baru-baru ini Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah menganjurkan satu lawatan eksklusif untuk melihat proses pemasangan kenderaannya di kemudahan kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Serendah. Lawatan itu melibatkan seramai 73 orang ahli kelab Nissan Serena S-Hybrid Owners Group.

    Ahli-ahli kelab Serena S-Hybrid Owners Group berpeluang melihat saluran pemasangan Serena S-Hybrid dan kenderaan-kenderaan Nissan yang lain. Bukan itu sahaja, mereka boleh mengetahui tentang program latihan pekerja baharu. Selain pengalaman merasai sendiri persekitaran kerja secara langsung.

    “Kami berbesar hati untuk menawarkan peluang ini kepada ahli Nissan Serena S-Hybrid Owners Group untuk mengetahui bagaimana kenderaan Nissan dipasang dan dikilangkan mengikut standard kualiti paling tinggi, selari dengan Nissan Production Way yang dihasilkan oleh Nissan Motor Company Ltd. Kami mahu ahli kelab Nissan Serena S-Hybrid Owners Group berasa bangga dan menjadi sebahagian daripada keluarga Nissan,” kata Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr. Ang Bon Beng.

    03 Serena S-Hybrid Owner Group_Speech by Dato' Dr Ang Boon Beng

    Ditubuhkan pada tahun 2007, TCMA Serendah ialah kilang kedua milik Tan Chong. Ia mempunyai empat kemudahan utama iaitu bahagian badan, cat, pemasangan dan logistik. Buat masa sekarang, kenderaan yang dipasang di kilang ini ialah Almera, Grand Livina, X-Gear, NV200, Teana, Serena S-Hybrid dan X-Trail.

    Serena S-Hybrid padat dengan inovasi, keselesaan, fleksibiliti ruang yang tiada tandingan dan penjimatan bahan api mendahului kelasnya. Di samping penampilan yang bergaya dan dinamik. Nissan Serena S-Hybrid mula diperkenalkan di Malaysia sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun pada tahun 2013. Ia memulakan proses pemasangan tempatan pada tahun 2014. MPV ini ditawarkan di pasaran tempatan dalam dua varian iaitu Premium Highway Star dan Highway Star.

     
     
  • Honda Civic 2016 dilancarkan di Thailand – 1.8 i-VTEC dan 1.5 VTEC Turbo, dari RM101k hingga RM139k

    2016-civic-01

    Akhirnya model yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Ops bukan di negara kita, tetiba ia telah diperkenalkan di Thailand terlebih dahulu. Honda Civic 2016 serba baharu, telah pun dilancarkan hari ini di Thai dengan perubahan rekaan yang baharu dan segar, serta ditambah pula dengan enjin pengecas turbo baharu dan pelbagai teknologi terkini. Malah ini merupakan kereta pertama yang dibina di kilang Honda yang baharu di Prachinburi.

    Harga bermula 869,000 baht (RM100,800) untuk model asas 1.8 E, manakala 1.8 EL pula 959,000 baht (RM111,200), 1,099,000 baht (RM127,500) untuk Turbo dan 1,199,000 baht (RM139,100) bagi varian tertinggi Turbo RS.

    Tidak seperti di Amerika Syarikat, enjin asas di Thailand ialah 1.8 liter i-VTEC empat-silinder dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm. Malah di sana juga ada pilihan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan kuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,700 dan 5,500 rpm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan Transmisi boleh laras berterusan (CVT), bermakna selamat tinggal untuk kotak gear auto lima-kelajuan yang lama.

    2016-civic-13

    Civic baharu ini juga diberikan penggayaan yang lebih segar termasuk menampilkan elemen standard termasuk lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan rim aloi 16-inci. Bagi 1.8 EL pula terdapat lampu kabus dan pemegang pintu krom. Manakala varian Turbo pula menerima roda 17-inci dan dua ekzos, sementara bagi RS pula dipadankan dengan lampu utama LED sepenuhnya, lampu kabus LED, bampar hadapan yang lebih sporty dan gril (dengan bar hitam pekat bersambung dengan lampu utama) dan spoiler belakang.

    Di bahagian dalamnya, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin adalah standard, bersama Kawalan Penghidup Enjin yang juga ada pada Accord facelift. Turut dilengkapi dengan penghawa dingin automatik, roda stereng pelbagai fungsi, brek parkir elektronik, paparan tengah lima-inci dan sambungan Bluetooth.

    Bagi varian 1.8 EL, ada pertambahan elemen termasuk kawalan kelajuan, lampu utama automatik, Walk Away Auto Lock (yang boleh mengesan kunci bergerak jauh dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik), tempat duduk pemandu berkuasa dengan pelarasan lapan-cara, kulit upholstery, paparan instrumen LCD TFT, sistem hiburan skrin sesentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free, sistem bunyi lapan-speaker dan kamera undur.

    2016-civic-04

    Bagi model Turbo pula, ia menerima bilah pengilap cermin automatik, tempat duduk penumpang hadapan berkuasa dengan empat-cara pelarasan dan kawalan suhu dua zon. Manakala untuk Turbo RS pula, elemen tambahan yang ditampilkan ialah cermin pandang belakang anti-silau, pedal penukar gear di belakang roda stereng dan pedal aloi.

    Kit keselamatan standard pula termasuk dua beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki. Hanya model Turbo RS menerima enam beg udara, pengingatan pemakaian tali pinggang penumpang hadapan dan Honda Lane Watch.

     
     
  • Proton Perdana 2016 – spesifikasi rasmi didedahkan

    Perdana-Brochure-1

    Apabila Proton Edar telah mendedahkan spesifikasi rasmi Perdana 2016 menerusi laman webnya, ini menandakan tarikh pelancaran model premium ini kian hampir. Di mana kini Proton Edar telah giat memulakan rangka promosi bagi Perdana 2016 ini dan menerusi spesifikasi yang dipaparkan ini adalah bagi varian Perdana 2.4 Premium.

    Seperti mana yang pernah disiarkan sebelum ini, Perdana 2016 masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z I-VTEC aci sesondol berkembar untuk varian 2.4L (177 hp/222 Nm) dan R20A I-VTEC aci sesondol tunggal untuk varian 2.0L (154 hp/189 Nm).

    Perdana 2016 ini memiliki ukuran 5,020 mm panjang, 1,845 mm lebar, 1,475 mm tinggi dan jarak roda pula 2,800 mm. Tangki bahan apinya pula berkapasiti 70 liter.

    Screen Shot 2016-03-11 at 6.54.29 PM

    Menerusi spesifikasi ini, Perdana 2.4L Premium dilengkapi dengan lampu utama projektor xenon (projektor halogen untuk model 2.0L) turut disertakan dengan lampu nyalaan siang LED. Ia juga dihiasi dengan kit badan termasuk skirt sisi dan spoiler di bahagian belakang. Malah menurut pemerhatian kami semasa menghadiri majlis pra-tonton model ini, lampu belakang juga dipertingkatkan dengan penggunaan lampu jenis LED.

    Ia juga dilengkapi dengan Bantuan Parkir termasuk pengesan di bahagian hadapan dan belakang. Selain itu, aspek keselamatan yang ditampilkan pada Perdana 2016 ini, pastinya bersama ABS dan EBD serta Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

    Screen Shot 2016-03-11 at 6.55.31 PM

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bahagian kabinnya tidak banyak berbeza dengan apa yang ditampilkan pada Honda Accord. Ia turut dilengkapi dengan pedal penukar gear dan kawalan kelajuan pada roda stereng, sistem hiburan dan navigasi GPS, penghawa dingin dua-zon, kamera undur, dan tempat duduk larasan kuasa dengan lapan-cara untuk pemandu.

    Proton turut mengesahkan, model ini tidak disertakan dengan sistem kemasukan kunci pintar untuk kedua-dua varian. Manakala kemasan dalaman ditawarkan dengan dua warna berbeza mengikut varian iaitu beige untuk model 2.4L dan hitam untuk model 2.0L. Kesemua tempat duduk juga dibaluti dengan kulit penuh, manakala untuk trim model 2.4L menerima kekemasan kayuan dan model asas 2.0L hanya dipadankan dengan trim berwarna perak.

    Ia juga bakal ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold.

    Perdana 2016 ini juga telah pun mula dibuka tempahan sejak 16 Februari lalu dengan harga jangkaan antara RM100k hingga RM150k. Kami akan membawakan perkembangan lanjut mengenainya dari semasa ke semasa.

    GALERI: Pra-prebiu Proton Perdana 2016

    GALERI: Proton Perdana 2016 hasil rendered

     
     
  • BMW Motorrad 2016 umum senarai harga di Malaysia – turun untuk sesetengah model sehingga RM6.5k

    Screen Shot 2016-03-11 at 5.40.47 PM

    Auto Bavaria selaku pengedar sah bagi BMW Motorrad Malaysia telah mengumumkan senarai harga baharu efektif 1 Mac 2016 menerusi laman Fecebook rasmi mereka. Menerusi senarai tersebut, beberapa model motosikal BMW dilihat mengalami perubahan harga, iaitu lebih murah berbanding sebelum ini.

    Motosikal siri ‘adventure’, terutamanya R1200GS Adventure, dilihat mengalami perubahan harga yang paling besar iaitu sebanyak RM6,500 dengan harga sebelum ini RM121,400, kini hanya RM114,900. Sementara perubahan paling kecil pula melibatkan model F800GS iaitu penurunan sebanyak 4.6% menjadi RM61,900. Manakala motosikal berkuasa tinggi S1000RR pula turun sebanyak RM4,000 menjadi RM104,900.

    BMW-Motorrad-Pricelist-2016

    Sementara itu, R1200RT sport-tourer mengalami penurunan harga sebanyak RM5,000 dan kini berharga RM123,900. Walau bagaimana pun, bagi S1000R pula, harganya hanya menyusut sedikit sebanyak 4% iaitu kini RM88,300. S1000R juga pernah diumumkan berharga RM84,900 dalam tempoh masa yang terhad iaitu pada Oktober lalu sahaja.

    Tidak disenaraikan ialah K1300RS sports-tourer dan K1300R roadster, di mana kedua-dua model tersebut telah ditamatkan pengeluarannya beberapa tahun yang lalu. Turut tidak berada dalam senarai harga tersebut ialah C600 Sport dan skuter C650GT.

     
     
  • Honda Clarity Fuel Cell mula dijual di Jepun

    4151028_008H

    Honda telah memulakan jualan bagi kenderaan Clarity Fuel Cell di Jepun. Ia merupakan pengganti kepada FCX Clarity, kenderaan yang dijanakan oleh hidrogen yang diperkenalkan pada tahun 2007. Clarity Fuel Cell ini melakukan penampilan perdana di Tokyo Motor Show 2015 pada Oktober lalu.

    Clarity merupakan kenderaan sell sepenuhnya (FCV) jenis sedan lima-penumpang pertama di dunia. Mengadaptasikan teknologi Honda sepenuhnya, komponen bagi sel bahan apinya telah dikurangkan sebanyak 33% berbanding dengan model sebelumnya. Namun ia mampu menghamburkan kuasa maksimum melebihi 100kW dan kuasa ketumpatan sebanyak 3.1 kW per liter. Di mana ia telah ditambah baik sehingga 60%.

    Tangki hidrogen ketahanan tinggi bagi Clarity Fuel Cell ini ialah 70MPa. Manakala storan tenaga bagi FCV ini menggunakan bateri Lithium-ion.

    Clarity Fuel Cell hanya mengambil masa selama 3 minit untuk pengisian semula bahan api dan mampu pergi sejauh melebihi 700 km bagi satu tangki penuh.

    Penjana kuasa sel bahan api ini juga diperbuat dengan lebih kompak, sama seperti enjin V6. Malah ia boleh disimpan di bawah hud model sedan ini dan ia seumpamanya yang pertama di dunia. Sekali gus membuktikan satu lagi pencapaian cemerlang oleh Honda Motor Co., Ltd.

    Bentangan bagi penjana kuasa ini membolehkan Clarity Fuel Cell mampu membawa lima penumpang dewasa dalam satu masa.

    Sebagai tambahan, dengan gabungan penjana kuasa luaran mudah alih iaitu Power Exporter 9000, Clarity Fuel Cell boleh dianggap sebagai “loji kuasa pada roda” bagi menghasilkan dan menyalurkan kuasa elektrik apabila diperlukan termasuklah dalam keadaan kecemasan seperti bencana alam dan sebagainya.

    Clarity Fuel Cell akan dijual pada harga 7.66 juta Yen (RM276, 343) dan untuk tahun pertama ini ia diproduksikan dengan skala yang kecil sahaja iaitu sebanyak 200 unit. Honda akan menantikan respons daripada pelanggan berkenaan kenderaan ini dan jika ia mendapat sambutan, bilangan model yang akan diproduksi bakal ditambah. Ia diproduksi di Production Supervisory Unit & Powertrain Production Supervisory Unit yang terletak di Takanezawa-machi, Tochigi.

    GALERI: Honda Clarity Fuel Cell di Tokyo 2015

     
     
  • Honda NSX Type-R – bakal dibina dengan konsep MR?

    Honda-NSX-TMS-40_BM

    Seperti yang dilaporkan Autocar UK, Ketua pembangunan dinamik NSX Nick Robinson berkata Honda berkemungkinan akan menghasilkan Honda NSX Type-R pada masa akan datang. Walaupun belum diberi lampu hijau, tetapi ada “keinginan besar” dari Honda sendiri untuk menghasilkan kereta tersebut. Honda hadir dengan NSX baharu sebagai satu usaha untuk kembali semula membina kereta-kereta sports tulen, dan menjadikan NSX sebagai permulaan untuk membina kereta yang lebih hebat. Justeru, pembinaan NSX Type-R merupakan “langkah pertama yang logik”.

    Menurut Nick lagi, untuk mengurangkan berat keseluruhan versi Type-R tersebut, ia mungkin tidak disertakan dengan motor elektrik 72 hp dibahagian hadapan serta bateri yang berkaitan, menjadikan kereta tersebut sebuah Supercar enjin tengah berpacuan belakang (Mid-Engine Rear wheel drive atau MR), seperti NSX terdahulu. Ini merupakan langkah pertama untuk mengurangkan beratus kilogram berat keseluruhan NSX yang sekarang ini mencecah 1,725 kg.

    Motor elektrik dibahagian belakang yang juga bertindak sebagai alternator, motor penghidup, roda tenaga, serta membantu respon enjin V6 3.5 liter twin-turbo pada tahap low end akan dikekalkan. Namun ia bakal memberikan pengurangan berat yang agak banyak memandangkan berat untuk sistem hibrid NSX ini sahaja mencecah 150 kg.

    Lebih banyak lagi berat yang akan dikurangkan melalui penggunaan material yang lebih ringan. Sistem aerodinamik aktif yang asalnya dipasang pada NSX standard juga akan mungkin akan dilengkapi pada model Type-R. “Kami adalah Honda, jadi kos adalah diambil kira [untuk kereta biasa], tetapi untuk keluaran terhad? apa salahnya?” ujar Robinson.

    Honda-NSX-TMS-48_BM

    NSX standard juga boleh dipandu dengan hanya pacuan belakang, dakwa Robinson dimana jika ia dalam mod ‘maintenance‘, sistem ABS dan kesemua bantuan motor elektrik akan dimatikan. Pengendalian dan sistem stereng telah ditala untuk berfungsi bersama sistem pacuan semua roda, jadi ia akan terasa ganjil dalam mod ini. “Ia adalah jentera Drift“, tambah beliau.

    Sebenarnya, NSX baharu pacuan belakang sudah pun mengambil bahagian dalam perlumbaan tahunan Pikes Peak Hill Climb tahun ini, dipandu adik Nick sendiri iaitu James Robinson. Agak berbeza dari model yang hampir standard dipandu Nick dalam acara yang sama, versi yang diubahsuai secara drastik tersebut membuang sepenuhnya sistem hibrid NSX.

    Enjin V6 tersebut juga dilengkapkan dengan Superchager untuk membantu tork pada tahap low end. Dengan dikuasakan dua pendesak induksi (Supercharger dan Turbo), enjin tersebut mampu menghasilkan kuasa lebih dari enjin V6 500 hp sedia ada.

    Versi roadster untuk NSX biasa turut disahkan akan diproduksi selepas model coupe, dengan sedikit penalti pada ketegaran keseluruhan badan kereta. Versi coupe turut hadir dengan opsyen bumbung gentian karbon, yang mengurangkan berat sebanyak 5 kg tetapi tidak menjejaskan ketegaran keseluruhan kereta. “Saya masih tidak yakin dengan versi convertible, tetapi ia tidak mustahil,” ujar Robinson.

    GALERI: Honda NSX di Tokyo 2015

     
     
  • Tambang pengangkutan awam tidak ditentukan oleh harga minyak, tetapi oleh GST, premium insuran yang tinggi dan tukaran wang asing – Pengerusi SPAD

    Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata kadar tambang untuk pengangkutan awam darat seperti bas atau teksi tidak ditentukan oleh harga minyak dunia, walaupun harga komoditi tersebut menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini, menurut Bernama.

    Beliau berkata ini adalah kerana kos petrol atau diesel hanya menyumbang sebanyak 10% dari kos keseluruhan operasi syarikat yang menyediakan servis pengangkutan awam. Tambah beliau lagi, kos penjagaan kenderaan-kenderaan tersebut adalah lebih mempengaruhi tambang perkhidmatan.

    “Ada elemen lain yang mempengaruhi kos operasi syarikat pengendali ketika ini seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan terhadap alat ganti kenderaan,” kata Syed Hamid. “Selain itu, syarikat juga berdepan kenaikan premium insurans dan kadar tukaran wang yang tidak menentu,” jelas beliau lagi.

    Syed Hamid juga mendakwa walaupun pengguna merungut berikutan kenaikan tambang pengangkutan awam darat, mereka juga mengakui kualiti servis-servis berkenaan juga sedang meningkat naik sekarang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025