Pertengahan Februari lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan sistem pemberian mata demerit Kejara kini lebih dikenali dengan nama baharu iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).
Hari ini pula, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi mengesahkan AWAS dijangka akan dilaksanakan mulai Mei ini, laporan Bernama.
Beliau berkata pindaan bagi Akta Jabatan Pengangkutan Jalan berkaitan penggabungan sistem itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi ini.
“Kita akan laksanakan dalam waktu yang terdekat setelah kita pinda Akta Pengangkutan Jalan yang akan kita bentangkan bulan depan di Parlimen. Kita jangka dalam bulan April dan mudah-mudahan dapat dilaksanakan menjelang Mei,” katanya.
Beliau berkata berikutan pelaksanaan sistem itu, kementeriannya mencadangkan agar kadar saman AES dikurangkan namun ia tertakluk kepada keputusan kerajaan.
Ab Aziz berkata pemasangan kamera AES akan ditambah secara berperingkat di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan termasuk di lebuh raya dan jalan persekutuan serta lampu isyarat.
Melalui AWAS, pemandu yang melakukan kesalahan sehingga mengumpul 60 mata demerit di bawah Kejara akan dikenakan tindakan pembatalan lesen memandu.
“Sistem demerit ini akan bermula bila pemandu kumpul 20 mata demerit pertama, dia akan diberikan amaran, 20 mata demerit seterusnya akan digantung lesen manakala 20 mata demerit ketiga akan dibatalkan lesen memandu.
“Sebagai contoh empat mata demerit akan diberikan kepada pemandu yang melanggar had laju, empat mata juga kepada pesalah yang gagal patuhi lampu isyarat dan empat mata seterusnya diberikan kepada pemandu yang memotong di garisan kembar,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ia adalah bagi menjawab soalan tambahan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) berhubung penguatkuasaan undang-undang terhadap pemandu.
Ab Aziz berkata sistem AWAS juga akan menawarkan program rehabilitasi kepada pemandu yang telah digantung lesen mereka yang akan dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan.
“Sekiranya pemandu yang digantung lesen hadir program rehabilitasi itu, tempoh penggantungan lesen mereka akan dikurangkan kepada antara tempoh enam bulan hingga setahun,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan sistem AWAS juga akan merakam gambar pemandu dan kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya dari sudut belakang supaya ia lebih memberi kesan termasuk kepada kenderaan jenis motosikal.
Ab Aziz turut berkata analisis Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) menunjukkan purata pematuhan had laju di enam lokasi pemasangan kamera AES meningkat daripada 63% kepada 91% selepas lapan bulan pelaksanaan sistem itu.
Katanya kadar kemalangan maut bagi tempoh sama juga menurun daripada 19 kes kepada 12 kes di 14 lokasi pemasangan kamera AES di seluruh negara.
Menurut Car Advice, Civic sedan serba baharu akan tiba di Australia sebelum pertengahan tahun ini, diikuti dengan versi hatchback awal 2017. Apa yang lebih menarik lagi ialah kedua-dua model telah sah akan diproduksi di Thailand, atas dasar Perjanjian Perdagangan Bebas Australia bersama negara berkenaan.
Walau pun kita masih belum melihat Honda Civic Hatchback generasi ke-10 dalam bentuk produksi, namun berita ini sedikit sebanyak memberikan kemungkinan bahawa Civic hatch ini bakal tiba di Malaysia. Di Australia, Civic Hatchback sedia ada diproduksi dari United Kingdom.
Baru-baru ini Honda Malaysia telah mengumumkan bakal memperkenalkan dua model CKD (pemasangan tempatan) baharu untuk dipasarkan pada tahun ini iaitu Civic serba baharu dan Accord facelift. Ini memungkinkan Civic hatch juga akan termasuk dalam senarai model segmen-C yang akan dipasang di sini pada masa akan datang, seperti mana Mazda 3 hatchback yang kini berada di pasaran tempatan (juga model CKD).
Bagi versi Australia, Civic generasi ke-10 ini juga menggunakan penjana kuasa yang sama seperti Thailand, iaitu 1.8 liter i-VTEC empat-silinder. Selain itu, ia juga didatangkan dengan enjin yang lebih menarik iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder. Kedua-dua enjin itu akan dipadankan dengan CVT bagi pasaran Thai, tetapi tidak dipastikan adakah Australia juga menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai opsyen.
Hyundai telah memperkenalkan limosin Genesis EQ900L untuk pasaran domestik Korea Selatan. Huruf ‘L’ pada namanya diberikan sempena status limosinnya menampilkan badan EQ900 yang lebih panjang.
Genesis EQ900 atau dikenali sebagai Genesis G90 di Amerika merupakan sedan mewah Korea Selatan yang bersaing dengan Mercedes-Benz S-Class, BMW 7 Series dan Audi A8. Ukuran asal EQ900 yang mempunyai panjang 5,205 mm, 1,915 mm lebar dan jarak roda sepanjang 3,160 mm, telah di ‘tarik’ sepanjang 290 mm pada bahagian tiang-B dan pintu belakang untuk menghasilkan model EQ900L ini. Ini memberikan ruang yang sangat luas dibahagian belakang, bagi memastikan keselesaan untuk para ‘Bos’ duduk di bahagian tersebut.
Dengan panjang keseluruhan 5,495 mm, EQ900L adalah lebih panjang dari X222 Mercedes-Maybach. Jika diukur pada jarak rodanya pula, ia kini berukuran 3,459 mm, 85 mm lebih panjang dari Maybach yang diasaskan dari Mercedes S-Class tersebut.
Genesis versi EQ900 sudahpun disediakan opsyen konsol tengah yang panjang memenuhi bahagian belakang. Menerusi versi EQ900L ini, ia didatangkan standard menempatkan dua buah tempat duduk individu dibelakang larasan berkuasa empat hala, dan boleh diset semula ke kedudukan asal dengan hanya satu butang, persis tempat duduk kapal terbang kelas business.
Kluster yang besar menempatkan pelbagai suis kawalan sistem infotaimen diletakkan diantara tempat duduk tersebut, untuk mengawal skrin yang diletakkan pada tempat duduk hadapan. Tiang-B yang dipanjangkan menempatkan lampu ‘mood’, poket peta dan juga liang penghawa dingin (turut dilengkapi dibelakang perehat tangan hadapan). Keseluruhan bahagian dalaman limosin ini menampilkan kemasan tema kayu gelap dan dibaluti kulit hitam semi aniline, memberikan suasana kelas business sebenar.
Berbeza dengan EQ900 yang boleh dipilih dengan tiga opsyen enjin iaitu 3.8 liter GDi V6 (315 PS), 3.3 liter T-GDi V6 (370 PS) dan 5.0 liter GDi V8, EQ900L hanya disediakan dengan enjin V8 berkuasa 425 PS dan kesemua kuasa tersebut dialirkan ke keempat-empat roda melalui sistem pacuan semua roda. Ia juga dilengkapi dengan roda aloi 19-inci dan cermin sisi bersalut krom.
Genesis EQ900L dijual pada harga 150.2 juta won (RM522,859), berbanding EQ900 V8 standard yang dijual pada harga 114.9 juta won (RM400,079).
Blog Korea Ubinine berjaya merakamkan foto kereta dengan penyamaran, kemungkinan Cerato (atau Forte bagi sesetengah pasaran) Sport sedang diuji di lebuhraya. Walau pun ia dilitupi penyamaran, namun terdapat beberapa elemen yang agak kelihatan serupa dengan Forte standard.
Pada bahagian hadapannya, bamparnya kelihatan diberi rekaan semula, sementara pemisahnya diletakkan di bahagian bawah. Manakala pada bahagian belakang, bamparnya juga direka semula, sementara paip dua-ekzos dengan krom serta set lampu belakang pula agak mirip dengan Kia Cadenza K7 sedan.
Sementara itu, logo “T-GDI” kelihatan di sebelah kiri bahagian hadapan gril, memberikan klue tentang penjana kuasa yang bakal ditampilkan pada Cerato Sport ini. Ia adalah enjin 1.6 liter pengecas turbo, iaitu unit yang sama dipadankan dengan Forte Koup generasi kedua dan Forte5 hatchback spesifikasi USA.
Kuasa yang boleh dihamburkan adalah sekitar 201 hp dan tork sehingga 264 Nm. Bagi transmisi, kemungkinan besar automatik dual-klac tujuh-kelajuan, dan manual enam-kelajuan sebagai opsyen.
GALERI: Kia Forte 2017 dan Forte5 hatchback spesifikasi USA
Berita baik untuk pengguna iOS, Waze telah mengumumkan perisian navigasi tersebut kini boleh diperolehi dalam versi 4.3. Boleh dimuat turun menerusi App Store, kini perisian tersebut dilengkapi dengan ciri baharu iaitu Planned Drives.
Menurut Waze sendiri, “Planned Drives akan memudahkan perancangan temu janji atau perjalan penting, sama ada pada hari ini atau minggu hadapan.” Waze kini membolehkan anda untuk membuat perancangan awal perjalanan dengan hanya menulis destinasi yang diingini beserta tarikh dan masa yang perlu anda sampai ke destinasi terbabit.
Kemudian, Waze akan memberikan anda masa yang sesuai untuk anda berangkat ke acara yang telah ditetapkan tersebut. Tambahan lagi, aplikasi ini akan memberikan peringatan sebelum masa berangkat yang telah ditetapkan berdasarkan keadaan trafik sebenar. Ini bakal menyenangkan anda untuk menguruskan perjalanan dan masa serta mengelak dari kesesakan trafik.
Planned Drive juga menawarkan graf yang menunjukkan waktu kemuncak trafik untuk tujuh hari berikutnya. Ini sudah tentunya bakal memudahkan anda dalam membuat perancangan perjalanan, di mana aplikasi ini turut berkemampuan untuk mengira masa berangkat yang disarankan.
Untuk pengguna Android, anda perlu menunggu sehingga aplikasi ini disediakan melalui Play Store. Setakat ini, hanya Waze versi 4.0 disediakan untuk pengguna Android.
Harley-Davidson Iron 883 dan Forty-Eight Dark Customs 2016 telah pun berada di bilik pameran Harley-Davidson Petaling Jaya. Dengan rekaan grafik pada tangki minyak yang menggambarkan ciri klasik era 70an, kedua-dua model motosikal ini disasarkan pada generasi muda yang baru hendak berjinak-jinak merasai pengalaman menunggang Harley.
Dengan rekaan yang nampak macam kasar, agresif dan penuh maskulin, Iron 883 dipadankan oleh enjin 883 cc Evolution penyejuk-udara, yang dibangunkan dari enjin Shovelhead dan Ironhead yang menjanakan model Harley-Davidson Sportsters sejak tahun 80an.
Pengendaliannya juga telah dipertingkatkan dengan forks (atau dikenali sebagai ‘sepit udang’) bersama katrij peredam dan penyerap hentak belakang Emulsion.yang boleh dilaras untuk pra-tekanan. ABS adalah opsyen bagi Iron 883, dan motosikal ini didatangkan dengan empat skim warna iaitu Charcoal Satin, Black Denim, Olive Gold dan Hard Candy Custom Gold Flake .
Harga bagi Harley-Davidson Iron 883 2016 ini adalah RM89,000 termasuk GST dan lima tahun waranti, bersama 2 setengah tahun servis percuma dan satu tahun bantuan Harley-Davidson Owners Group.
Dengan imej yang sasa, Forty-Eight kelihatan sedikit menakutkan, termasuk dengan tayar hadapan selebar 130 mm. Dengan enjin Evolution 1,200 cc bersama tangki minyak 7.9 liter, menjadikan motosikal ini agak berkuasa.
Menggunakan kepala aluminium dan silinder yang mendorong pengurangan beratnya, enjin Evolution ini dijanakan oleh EFI. Sama seperti Iron 883, Forty-Eight ini turut menggunakan forks bersama katrij peredam dan penyerap hentak belakang Emulsion. ABS juga ditawarkan sebagai opsyen dan kluster instrumennya kini termasuk takometer digital dan indikator gear.
Motorsikal ini ditawarkan dengan pilihan warna Vivid Black, Billet Silver, Velocity Red Sunglo dan Olive Gold. Malah Forty-Eight 2016 juga menawarkan dua warna kustom iaitu Hard Candy Cancun Blue Flake dan Hard Candy Gold Flake. Harga yang ditawarkan ialah RM106,000 termasuk GST dan lima tahun waranti, bersama 2 setengah tahun servis percuma dan satu tahun bantuan Harley-Davidson Owners Group.
GALERI: Harley-Davidson Iron 883 Dark Custom 2016
GALERI: Harley-Davidson Forty-Eight Dark Custom 2016
Imej ‘teaser‘ biasanya disiarkan oleh pengeluar-pengeluar kenderaan untuk memberitahu kepada umum berkenaan model yang mereka bakal lancarkan dalam masa yang terdekat. Keluar dari kebiasaan, Mercedes-Benz tampil berbeza dengan menyiarkan teaser dalam bentuk video untuk Mercedes GLC Coupe yang bakal dilancarkan 23 Mac hadapan di New York International Auto Show (NYIAS) 2016.
GLC versi Coupe ini menampilkan bumbung bahagian belakang yang lebih curam sesuai dengan profil ‘Coupe‘ yang diberi. Video terbabit memaparkan pesaing kepada BMW X4 ini dipandu secara agresif dan melakukan pelbagai aksi menunjukkan ketangkasan dan dinamik pengendaliannya. Bunyi enjin yang garang turut kedengaran, mungkin satu petunjuk dari Mercedes yang GLC Coupe bakal dikeluarkan dalam varian AMG.
Rupa luaran pada GLC Coupe ini nampaknya tidak lari jauh dari rupa yang pernah di prebiu dalam bentuk konsep di Shanghai Motor Show dan beberapa foto spyshot yang tersebar. Mungkin untuk versi produksi akhir nanti beberapa ubahsuai kecil akan dilakukan.
GLC Coupe yang dipaparkan dalam video ini masih lagi disaluti penyamaran pada bahagian hadapan dan belakang. Namun, berdasarkan spyshot crossover ini, penyamaran tersebut tidak banyak menyembunyikan rupa sebenarnya.
Kebanyakkan elemen rekaan GLC Coupe ini adalah seiras dengan ‘abang besar’ nya iaitu GLE Coupe, di mana GLE Coupe tersebut merupakan versi “Coupe” model GLE. Juga berdasarkan spyshot sebelum ini, spoiler belakang, cermin belakang dengan bentuk melengkung, kedua-dua lampu belakang yang berhubung dengan trim jalur dan posisi lencana adalah seiras dengan GLE Coupe.
Unit janakuasa akan diumumkan oleh Mercedes-Benz semasa penampilan sulung crossover ini minggu hadapan. Tetapi boleh dijangkakan, ia bakal dikuasakan dengan unit petrol dan diesel yang sama seperti GLC sedia ada.
GALERI: Spyshot Mercedes-Benz GLC Coupe
Spy-Shots of Cars – This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature og 6500°K
Spy-Shots of Cars – This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature og 6500°K
Spy-Shots of Cars – This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature og 6500°K
Spy-Shots of Cars – This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature og 6500°K
Spy-Shots of Cars – This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature og 6500°K
Scion – jenama di bawah naungan Toyota yang memfokuskan penghasilan kereta untuk anak muda, secara rasminya sudah pun ditutup atas sebab berdepan dengan krisis jualan yang merudum. Namun, untuk mengenang kembali penubuhan Scion 14 tahun dahulu, Scion akan melancarkan coupe Scion tC Release Series 10.0 di New York International Auto Show (NYIAS) 2016 – tempat yang sama jenama Scion ini dilancarkan.
Scion tC Release Series merupakan model paling popular dalam barisan model mereka. Release Series 10.0 ini dibina dengan kerjasama Kei Miura – pereka kit badan yang popular dengan rekaan ‘Rocket Bunny‘. Coupe tC RS 10.0 berwarna merah Barcelona ini menampilkan kit badan rekaan khas Kei Miura yang terdiri daripada lips spoiler hadapan, panel sisi serta spoiler belakang atas dan bawah. Logo Scion berwarna hitam dan aloi berkilat yang kontras dengan warna badan dipadankan untuk efek yang lebih jelas.
Kereta ini tampil lebih rendah setelah dipadankan dengan spring TRD yang bukan sahaja menampakkan ia lebih cantik, malah membantu dalam merendahkan pusat graviti kereta bagi mendapatkan turn-in yang lebih cepat dan respon stereng yang lebih bagus. Ia juga dipadankan dengan dua tip ekzos TRD untuk mendapatkan bunyi yang lebih dalam dan lebih resonan.
Tema merah-hitam turut dominan pada bahagian kabin menampilkan trim hitam bersulam benang merah pada balutan tempat duduk, penutup brek tangan, dan juga roda stereng. Turut ditampilkan kelengkapan perincian khas Release Series yang merangkumi karpet lantai, pelapik ruang kargo, tali keledar merah dan juga lencana dengan nombor produksi khas Release Series.
Coupe tC ini dikuasakan dengan enjin empat-silinder 2.5 liter Dual VVT-i 2AR-FE yang mampu menghasilkan kuasa 179 hp dan tork maksima 233 Nm. Ia dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik dengan sistem Dynamic Rev Management yang akan meninggikan seketika kelajuan enjin ketika gear diturunkan. Untuk varian automatik juga ia dibekalkan dengan penukar gear. Memandangkan jenama Scion ini telah ditutup dan diserapkan terus di bawah jenama Toyota, tC RS 10.0 bakal dijual oleh pengedar Toyota dan hanya dihasilkan sebanyak 1,200 unit sahaja.
“Untuk peminat yang mahu menyimpan sebahagian daripada sejarah ini, ini merupakan peluang terhebat untuk memiliki tC terbaik yang pernah kami hasilkan. Dengan peralatan prestasi TRD, kit aero JDM dan warna badan merah-hitam yang menarik, ini merupakan penghargaan yang sesuai untuk misi Scion membina kereta bagi golongan pengguna muda,” kata Naib Presiden Scion Andrew Gilleland.
“Kami mempunyai ramai peminat yang kesal melihat Scion dialihkan ke Toyota. Tetapi ini merupakan langkah yang betul, dan kami tahu semangat Scion akan terus hidup, jadi kami mengundur diri dengan bergaya,” tambah beliau.
Renault Rusia telah menyebarkan imej pengenalan dan video model Kaptur 4×4 crossover, yang dirancang bakal diperkenalkan pada 30 Mac 2016. Namun menjadi tandatanya mengapa model yang diproduksi di kilang Renault di Moscow memiliki nama yang seakan sama dengan Captur?
Menurut laporan, keputusan untuk menggunakan nama ‘Kaptur’ adalah selepas Renault melakukan kaji selidik di kalangan pelanggan Rusia, mendapati huruf ‘K’ memiliki ‘sentuhan Rusia’ dan cukup sesuai bagi model baharu ini.
Menerusi imej pengenalan yang disebarkan ini, menampakkan lampu utamanya dengan lampu posisi berbentuk-C. Selain itu, garisan luaran hud yang lebih maskulan dengan roda berpaten-bunga dan logo Renault pada bahagian gril.
Melalui penampilannya, Kaptur bukanlah model Captur yang diberikan nama lain, sebaliknya ia merupakan crossover yang sangat berbeza. Malah Kaptur juga dikatakan menggunakan platform Renault Duster.
Malah foto spyshot di bawah ini menunjukkan model SUV prototaip Renault tetapi ia agak menampakkan Kaptur. Walau pun sebelum ini, ia hanya digambarkan sebagai Captur yang lebih besar atau pun ‘Grand Captur’.
Menerusi nama yang dicadangkan itu, Kaptur merupakan kenderaan pacuan semua-roda, sementara Captur pula pacuan roda-hadapan. Walau bagaimana pun, Renault Rusia masih tidak mendedahkan perincian mengenai mekanikal Kaptur. Selain enjin petro pengecas turbo TCe 90 dan TCe 120, mungkin enjin diesel dCi 90 antara pilihan, dengan kotak gear manual dan transmisi dua-klac EDC.
Chevrolet telah pun memperkenalkan Camaro ZL1 yang ditampilkan dengan enjin LT4 6.2 liter supercharged V8 berbanding penjana kuasa LT1 6.2 liter V8 pada SS. Malah bahagian luaran dan dalamannya juga telah banyak dipertingkatkan menjadi lebih mantap dan bergaya.
Enjin V8 ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 640 hp dan tork 868 Nm. Malah ia juga dikatakan akan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau kotak gear automatik baharu 10-kelajuan bersama nisbah keseluruhan 7.39. Bukan itu sahaja, ZL1 ini juga merupakan barisan produk pertama yang dipadankan dengan transmisi ini.
Malah beratnya juga telah dikurangkan sebanyak 90 kg berbanding model sebelum ini. Sementara itu, bahagian luaran ZL1 ini juga telah menjalani ujian terowong-angin lebih 100 jam dan pengesahan dalam ujian trek bagi meningkatkan aerodinamik dan penyejukannya. Bahagian gril atas dan bawah juga boleh dibuka bagi aliran udara yang lebih baik, sementara hudnya pula didatangkan dengan gentian karbon pada bahagian dalam dan pengekstrak haba pada enjin.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan pemisah hadapan yang lebih besar, dapra hadapan yang lebih lebar, spoiler belakang seperti sayap. Bukan itu sahaja, elemen-elemen terbabit juga telah ditala dengan lebih baik bagi mempertingkatkan ciri aerodinamik untuk lebih kestabilan pada kelajuan yang tinggi. Ia juga memberikan pengendalian yang lebih baik, malah turut menampilkan suspensi magnetik bagi tujuan tersebut.
ZL1 turut menerima padanan rim aluminium 20-inci yang dibaluti tayar Goodyear Eagle F1 Supercar bersaiz 285/30ZR20 di hadapan dan 305/30ZR20 untuk belakang. Malah untuk kuasa membrek yang lebih jitu, ia turut dipadankan dengan brek Brembo bersama kaliper hadapan mono block enam-omboh (dengan logo ZL1) dan dua keping rotor hadapan bersaiz 399 mm.
Di bahagian dalamnya pula, ZL1 dilengkapi dengan tempat duduk hadapan Recaro, roda stereng yang leper di bawah dan tombol gear yang dibaluti kulit lembut. Elemen lain yang ada termasuklah Perakam Data Prestasi Chevrolet, Pemilih Mod Pemanduan, dan ekzos dua-mod.
Bagi menambahkan pengendalian yang lebih mencabar, ZL1 turut didatangkan dengan sistem ekzos dan kemasukan yang digabungkan dengan pengurusan cengkaman prestasi dan perbezaan slip terhad elektronik. Camaro Zl1 ini bakal berada di pasaran dunia sebelum 2016 menutup tirai.
Nissan telah menyiarkan satu imej bayangan memaparkan bahagian belakang Nissan GT-R R35 2017, memberi isyarat bahawa model itu bakal membuat penampilan sulung di New York International Auto Show (NYIAS) 2016 yang akan berlangsung minggu hadapan. Imej yang memaparkan hanya menampakkan bahagian belakang dan lampu belakang LED berkembar signatur GT-R itu, membuatkan perubahan yang bakal dibuat pada kereta sport yang disegarkan kembali ini agak sukar untuk dijangka.
Berdasarkan pada gambar-gambar spyshot yang tersebar sebelum ini, GT-R 2017 menampilkan bampar hadapan yang direka semula, diffuser belakang yang lebih bersegi, dan roda aloi baharu dengan motif berbentuk-Y.
Pengurus program Nissan Hiroshi Tamura dilaporkan berkata sebelum ini, “Saya mahu GT-R menjadi lebih premium. Bukan sekadar fancy, tetapi premium yang sebenar. Kualiti.” Dilaporkan juga GT-R baharu ini akan dilengkapi dengan kabin dengan kemasan balutan kulit, sistem audio berkualiti tinggi dan sistem infotaimen terbaharu Nissan.
Unit janakuasa juga dikhabarkan akan mengekstrak lebih kuasa kuda. Buat masa sekarang GT-R dikuasakan dengan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar yang mampu menghasilkan 550 hp dan tork maksima 630 Nm.
Bagi mengawal kemasukan kenderaan asing, pelancong tidak akan dibenarkan memasuki Thailand dengan memandu motorhome mahupun motosikal, laporan Bangkok Post. Walau bagaimana pun, sekatan ini tidak dikenakan terhadap kenderaan yang datang dari Laos, Malaysia dan Singapura, kerana negara-negara ini mempunyai satu perjanjian bagi penggunaan kenderaan antarabangsa.
Dengan itu, kenderaan yang datang dari beberapa negara lain termasuk China, Myanmar, Kemboja dan Vietnam dilarang sama sekali memasuki Thailand, jika tiada sebarang perjanjian atau pun kebenaran yang diuruskan terlebih dahulu sebelum memasuki negara Gajah Putih ini. Sekatan ini turut melibatkan penguatkuasaan perintah bagi kenderaan asing yang cenderung untuk menjadi punca kemalangan atau pun boleh menjejaskan ekologi, menurut Ketua Jabatan Pengangkutan Darat Sanit Phromwong.
Jika ingin memasuki Thailand dengan memandu kenderaan yang dimaksudkan, kebenaran harus dimohon menerusi perkhidmatan pelancongan Thailand, 10 hari sebelum ketibaan. Selepas itu, pegawai rasmi jabatan pengangkutan yang menyelia wilayah berkeaan akan membuat keputusan sama ada satu ‘kad asing’ akan dikeluarkan atau pun tidak. Permohonan ini akan dikenakan bayaran sebanyak 1,000 baht (RM118). Jika kenderaan terbabit mendapat kelulusan pihak berkuasa, ‘kad asing’ tersebut mestilah dipaparkan pada kenderaan tersebut.
Bukan itu sahaja, permit kemasukan ini hanya dikeluarkan dengan tujuan pelancongan sahaja iaitu 30 hari bagi setiap perjalanan dan jangka masa permit tidak boleh melebihi 60 hari dalam setahun. Malah hanya kenderaan dengan sembilan tempat duduk (atau kurang) dan trak pikap dengan berat maksimum 3,500 kg sahaja yang dibenarkan masuk.
Malah jabatan pengangkutan Thai juga akan berkongsi maklumat dengan lain-lain agensi. Jika ada pelancong yang memasuki negara berkenaan melebihi had hari yang ditetapkan, kenderaan mereka akan disita dan kemungkinan besar tidak akan dibenarkan memasuki Thailand pada masa akan datang.
Di Geneva Motor Show 2016 lalu, Honda telah memperkenalkan Civic Hatchback prototaip, iaitu prebiu bagi model generasi akan datang Civic di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Susulan itu, imej paten bagi model generasi ke-10 (dalam bentuk produksi) pula tersebar di Internet.
Honda juga telah mengumumkan Civic Hatchback serba baharu ini memiliki ukuran 4,600 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,450 mm tinggi. Di mana ia 130 mm lebih panjang, 30 mm lebih lebar dan 20 mm lebih rendah berbanding Civic generasi kini iaitu siri-FK bagi Eropah. Walau bagaimana pun pembuat kereta ini tidak mendedahkan saiz jarak rodanya tetapi kemungkinan ia lebih kurang sama dengan versi sedan iaitu 2,700 mm.
Melalui imej paten ini, banyak mendedahkan rekaannya termasuklah profile kereta, bahagian belakang yang lebih maskular, elemen spoiler belakang, corong yang lebih besar dan lampu belakang berbentuk-C.
Walau bagaimana pun, ini bukanlah semakan secara terus dari kereta biasa. Sebaliknya, ia tampil dengan rekaan yang kurang agresif, termasuk padanan roda yang lebih kecil. Rekaan model di dalam imej paten ini juga menampakkan padanan lampu utama projektor, dan mungkin LED akan ditawarkan sebagai pilihan bagi model produksi.
Selain itu, lampu kabus hadapan kelihatan telah direka semula dan diposisikan, sementara paip ekzos (kemungkinan paip tunggal) disertakan, tidak seperti model konsep yang diletakkan dengan paip berkembar. Pada bahagian bumbungnya, kelihatan antera sirip jerung.
Malah rekaan ini juga lebih konsisten dengan spyshot Honda Civic Hatchback prototaip yang pernah dikesan ketika melakukan ujian. Sama seperti Civic Type berdasarkan Civic siri-FK, model baharu yang pasti hot ini dijangka akan diperkenalkan dengan Civic hatch generasi ke-10, jika benarlah spyshot yang sebelum ini dikesan memberikan sebarang petunjuk atau pun bayangan mengenai kehadiran model ini.
Honda telah mengesahkan Civic Hatcback generasi ke-10 ini dengan spesifikasi standard akan masuk ke pasaran Eropah pada awal 2017 dijana enjin petrol VTEC Turbo 1.0 liter (127 hp/200 Nm) dan enjin petrol VTEC Turbo 1.5 liter (201 hp/260 Nm). Seperti juga untuk pasaran Civic sedan di Amerika Syarikat, ia berkemungkinan akan dilengkapi sama ada dengan kotak gear CVT auto atau manual enam-kelajuan.
Berikutan pengenalan facelift terbaharu pada model Mercedes-Benz CLA-Class, siri paling berkuasa dalam barisan model tersebut – Mercedes-AMG CLA 45 4Matic turut diperkenalkan. Dikeluarkan dalam varian Coupe dan Shooting Brake, versi berprestasi tinggi dalam CLA-Class ini menerima bukan sahaja rupa baharu, ia turut tampil dengan kuasa dan prestasi tambahan.
Masih lagi menggunakan enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo, tetapi enjin tersebut telah diolah semula dan mengekstrak kuasa keseluruhan 381 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 475 Nm pada bermula 2,250 rpm hingga 5,000 rpm, dimana enjin tersebut telah diperkenalkan buat pertama kali pada model pre-facelift CLA 45 pasaran Eropah. Kesemua kuasa dari enjin tersebut dialirkan ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan empat roda 4Matic dan juga kotak gear klac berkembar AMG Speedshift DCT tujuh-kelajuan dengan nisbah gear yang ditala semula dengan nisbah yang lebih pendek.
Gabungan kesemua sistem talaan baharu ini membolehkan model Coupe memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.2 saat, lebih pantas 0.4 saat berbanding model sebelum ini. Sementara varian Shooting Brake pula mencatatkan masa 4.3 saat. Kelajuan maksima yang boleh dicapai untuk kedua-dua varian ini pula adalah 250 km/j. Penggunaan bahan api untuk CLA 45 terbaharu ini dicatatkan pada 6.9 l/100 km, manakala kadar pembuangan gas CO2 pula dicatatkan pada 162 g/km.
Pakej AMG Dynamic Plus masih lagi dilengkapkan pada model ini (diperkenalkan buat pertama kali pada September 2015), di mana ia merangkumi unit LSD mekanikal pada bahagian gandar hadapan bersama suspensi sport AMG Ride Control yang menampilkan penyerap hentak boleh-laras secara adaptif dalam dua peringkat. CLA 45 terbaharu ini ditambah dengan sistem AMG Dynamic Select yang membolehkan karekter dan mod transmisi berubah mengikut pilihan pemandu dengan hanya memutarkan suis yang terletak dibelakang tuil gear.
Lampu hadapan LED berprestasi tinggi didatangkan standard untuk CLA 45 berbanding hanya opsyen untuk varian lain dalam kelas CLA. Pada bahagian muka, CLA 45 menampilkan rekaan yang seiras dengan Mercedes-AMG A 45 facelift merangkumi bahagian apron hadapan, splitter dalaman berwarna kelabu titanium matte serta sirip hadapan berwarnan hitam kilat. Rekaan baharu pada gril hadapan juga kini diberi kemasan krom perak.
Pada bahagian sisi, bentuk badan Coupe dan Shooting Brake tidak menampakkan apa-apa perubahan. Tetapi pembeli bakal diberikan dua jenis roda aloi rekaan terbaharu untuk dipilih. Pertama ialah roda aloi AMG 18-inci sepuluh jejari berwarna kelabu titanium dibaluti tayar bersaiz 235/40R18. Manakala pilihan kedua pula ialah roda aloi 19-inci AMG jejari bersilang dengan tayar bersaiz 235/35/R19 dan diberi dua pilihan warna iaitu hitam matte atau kelabu titanium.
Pada bahagian belakang, diffuser telah direka semula dan menampilkan empat sirip menegak yang lebih menonjol. Rekaan pada spoiler belakang AMG juga mendapat nafas baharu. Perubahan pada bentuk rekaan keseluruhan kereta ini menurut Mercedes adalah untuk menambahbaikkan aerodinamik kereta ini seiring dengan prestasinya yang turut meningkat.
Jika anda merasakan rupa paras asal kereta ini tidak cukup agresif, CLA 45 turut hadir dengan pakej kit badan AMG Aerodynamic yang merangkumi splitter hadapan yang lebih besar, flic tambahan, spoiler belakang hitam AMG dan spoiler tambahan pada liang udara di hadapan dan belakang.
Pada bahagian dalaman, panel instrumen dibaluti dengan kulit Artico dan disulam dengan benang merah didatangkan sebagai standard. CLA 45 turut menampilkan skrin paparan infotainmen yang lebih kurus dan lebih besar bersaiz lapan-inci, dihubungkan kepada sistem audio standard 20 USB atau sistem COMAND Online yang boleh dipilih sebagai opsyen.
Trim utama papan pemuka juga kini dilengkapi dengan rekaan bercetak matte diatas permukaan hitam berkilat, disediakan dalam warna merah/hitam sebagai standard, atau hitam/perak jika anda memilih pakej Exclusive.
Pilihan pakej AMG Dinamica Cockpit turut diberikan, dengan bahan gentian mikro yang digunakan pada sebahagian elemen trim, dan juga roda stereng Performance. Emblem ikonik AMG turut dipadankan pada unit kunci kereta dan juga tuil penukar gear untuk menyerlahkan lagi imej AMG pada kereta ini.
Chevrolet telah mengumumkan bakal mendedahkan dua model konsep di Bangkok International Motor Show 2016 yang berlangsung minggu hadapan. Malah ia turut memberikan bayangan bahawa model konsep ini merupakan arah baharu bagi barisan trak pikap jenama ini. Satu-satunya model pikap dari jenama ini yang dijual di Thailand ialah Chevrolet Colorado, dan kemungkinan besar model konsep ini adalah prebiu bagi model facelift.
Menerusi satu imej misteri yang disebarkan, pikap penuh bergaya ini kelihatan lebih besar, dengan gerbang roda yang lebih lebar, ada snorkel, roof rack dan bonet yang kelihatan menonjol. Ia juga mungkin dilengkapi dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk-L dan lampu utama yang dibentuk semula.
Selain lampu utama baharu, bahagian hudnya juga telah dibentukkan semula, bersama gril yang diprofilkan dan corong udara yang direndahkan sedikit.
Di Malaysia, Colorado yang ada di pasaran kini ditawarkan dengan enjin 2.5 liter Duramax turbodiesel dengan kuasa 161 hp dan 380 Nm. Selain itu, ia turut didatangkan dengan varian pertengahan 2.8 liter (180 hp/400 Nm) dan kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala varian tertinggi 2.8 LTZ 193 hp/500 Nm pula dengan transmisi automatik enam-kelajuan.
Manakala pasaran negara lain telah pun menerima versi 2.5 liter Duramax baharu dengan kuasa 163 hp dan tork 380 Nm, jadi mungkinkah enjin ini akan diperkenalkan di Malaysia bagi model facelift.
Selain Colorado, Chevrolet juga dikatakan akan memperkenalkan model facelift Captiva. SUV tujuh-tempat duduk ini turut menerima beberapa peningkatan elemen termasuk bahagian hadapan dan belakang yang disemak semula, lampu nyalaan siang LED dan papan pemuka baharu. Malah ia juga didakwa sebagai kenderaan pertama di Thailand yang turut menawarkan sambungan Apple CarPlay.