Menjelang pelancaran Toyota Hilux 2016 yang akan datang, brosur rasmi untuk trak pikap tersebut telah didedahkan dan dihantar kepada kami oleh pembaca paultan.org Mohd Aizatenko.
Pelancaran Toyota Hilux serba baharu ini dijangkakan akan berlangsung pada suku kedua tahun ini, di mana tempahannya sudah mula dibuka dengan harga bermula pada RM93k berdasarkan senarai harga jangkaan yang didapati dari pengedar sah Toyota. Pendedahan brosur ini juga boleh mengesahkan beberapa spesifikasi yang tertulis didalam senarai tersebut.
Model single cab hanya hadir dengan varian 2.4 manual 4X4. Manakala untuk model double cab pembeli boleh memilih lima varian yang terdiri daripada 2.4 Standard manual 4×4, 2.4 manual 2×4, 2.4G manual 4×4, 2.4G automatik 4×4 dan 2.8G automatik 4×4. Brosur ini turut mendedahkan model-model transmisi automatik Hilux ini akan dibekalkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik Toyota yang baharu.
Klik untuk besarkan imej
Turut didedahkan menerusi brosur ini ialah penggunaan casis ladder frame yang direka semula dan juga ciri-ciri keselamatan yang dilengkapkan. Hanya spec tertinggi 2.8G automatik 4×4 dan 2.4G automatik 4×4 menerima Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC). Varian 2.8G juga menerima tujuh beg udara, sementara varian lain hanya menerima tiga beg udara. Lampu hadapan projektor LED (dengan lampu nyalaan siang LED) juga hanya dilengkapkan pada varian spesifikasi tinggi sahaja.
Bagi mereka yang mahu melihat trak pikap ini dengan lebih jelas, anda boleh kunjungi karnival WOW Toyota yang sedang berlangsung di mana Toyota akan mempamerkan Hilux serba baharu ini.
Honda Automobile Thailand melabur sebanyak 17.2 billion baht (RM2 billion) untuk kilang baharu mereka di Prachin Buri Rojana Industrial Park yang bakal beroperasi sepenuhnya bulan ini, lapor Bangkok Post. Kilang baharu tersebut memproduksi Honda Civic generasi ke-10 yang secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Thailand minggu lalu.
Untuk permulaan, Civic 2016 serba baharu akan diproduksi pada kadar 60,000 unit setahun. Angka ini dibahagikan kepada tiga iaitu 20,000 unit siap dipasang akan dieksport, 20,000 unit dalam bentuk CKD juga untuk pasaran eksport, bakinya adalah untuk pasaran domestik Thai sendiri. Kilang Prachin Buri ini secara maksimum mampu menghasilkan sebanyak 120,000 unit kenderaan setahun, tetapi COO Honda Thailand Pitak Pruittisarikorn berkata, penggunaan sepenuhnya kilang ini adalah berdasarkan situasi pasaran domestik dan eksport.
Dengan bermulanya operasi kilang baharu ini, produksi kapasiti keseluruhan Honda Thailand berjumlah 360,000 unit, menjadikan Thailand pangkalan produksi ke-empat terbesar Honda dalam dunia.
Pada Februari 2013, Honda Jepun mengumumkan akan melabur hampir 20 billion baht (RM2.4 billion) untuk kilang baharu dan pembesaran kilang sedia ada di Ayutthaya untuk memenuhi permintaan yang tinggi oleh pasaran domestik dan eksport. Sejumlah 17.2 billion diperuntukkan untuk pembinaan kilang enjin dan pemasangan di Prachin Buri, di mana ia dibina sama seperti kilang Yorii Honda di Jepun. Selebihnya akan digunakan untuk proses tingkat taraf kilang Ayutthaya bagi membolehkan ia menghasilkan sejumlah 240,000 hingga 300,000 unit kenderaan setahun.
Prestasi ini agak memberangsangkan untuk Thailand, tetapi Honda Thailand masih belum lagi mempunyai produksi trak pikap dan kereta mesra alam di mana Thailand merupakan hub untuk produksi kenderaan sedemikian. Kerajaan Thai bekerja keras untuk menjadikan negara itu sebagai hab produksi kereta hijau, dan Honda mungkin bersedia kearah itu. Presiden dan CEO Asian Honda Motor, Noriaki Abe berkata, Honda bersedia untuk memproduksi kereta hibrid dan plug-in hybrid di Thailand, seiring dengan rancangan kerajaan tersebut.
Minggu lalu, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha bertemu dengan ketua-ketua dari Toyota, Isuzu, Nissan dan Honda, dan berkata kerajaannya akan menawarkan keistimewaan pelaburan yang lebih dan memberi sokongan penuh untuk pembiayaan, R&D, sumber manusia, dan infrastruktur dalam usaha mempromosi Thailand sebagai hab untuk kenderaan hibrid, elektrik dan hidrogen.
Beliau juga mengarahkan Kementerian Industri berkerjasama dengan kementerian Kewangan, Perdagangan, Tenaga Kerja, Sumber Asli dan Persekitaran dan Pengangkutan untuk menyediakan pelan terperinci membabitkan keistimewaan pelaburan, insentif cukai dan kelebihan lain untuk mengembangkan pelaburan dalam sektor automotif. Industri berkaitan turut diarahkan bersedia menyertai pelan pembangunan jangka masa panjang Thailand untuk lima hingga 20 tahun akan datang.
Gen Prayut turut mengesahkan Thailand akan meneruskan sokongan terhadap produksi kereta mesra alam, tetapi mahu pemain dalam industri berkenaan untuk menggunakan teknologi yang lebih tinggi dan tenaga alternatif lain, termasuk biodiesel dan ethanol. Kerajaan Thai juga berikrar akan memberikan keistimewaan tambahan untuk trak pikap yang menggunakan biodiesel, dalam usaha menyokong B20. Beliau juga menggalakkan kesemua CEO dari jenama Jepun terbabit untuk melabur dalam membangunkan fasiliti produksi bateri di Thailand.
Sebagai tindak balas berhubung isu ini, jenama-jenama dari Jepun terbabit berjanji untuk terus melabur di Thailand, juga untuk kenderaan masa hadapan jika kerajaan menyediakan polisi yang jelas. Mereka juga mahukan penjelasan berkenaan strategi semasa dan masa hadapan Thailand untuk menyokong pengeksportan kenderaan, terutamanya menerusi perjanjian perdangangan bebas (FTA). Thailand tidak termasuk dalam 12 negara yang menandatangani Perjanjian Kerjasama Trans-Pacific (TPPA) yang turut disertai Malaysia.
Mungkin ada yang akan kecewa dengan perkhabaran ini. Laporan CarAdvice menyatakan Mazda CX-4 hanya dijual secara eksklusif di China. Patutlah banyak foto spyshot dirakamkan di negara tersebut, malah ia juga akan membuat penampilan rasminya pada Beijing Motor Show 2016 tidak lama lagi.
Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengurus Kanan Perhubungan Awam Mazda Australia, Karla Leach, seperti mana yang dilaporkan oleh portal pemotoran tersebut, “Kami melihat modal ini sebagai menepati cita rasa rakyat Australia. Namun sayangnya, buat masa ini, ia tidak akan dijual luar dari China,” katanya.
Bagi CX-4 ini turut menerapkan rekaan berdasarkan falsafah Kodo iaitu Soul of Motion ciptaan Mazda sendiri termasuk menampilkan bonet hadapan yang panjang, lampu hadapan signatur Mazda, gril hadapan serta garisan yang menonjol pada bahagian sisi. SUV ini juga menampilkan lebih kemasan krom iaitu pada bahagian belakang yang menghubungkan kedua-dua belah lampu belakang dan juga pada bahagian rel bumbung.
Ia juga dikatakan bakal dijana oleh enjin petrol SkyActiv-G 2.0 liter (155 hp/200 Nm) dan 2.5 liter (184 hp/250 Nm) serta enjin turbo diesel SkyActiv-D 2.2 liter. Kesemua enjin ini mungkin juga ditawarkan dengan kotak gear manual SkyActiv-MT enam-kelajuan atau transmisi automatik SkyActiv-Drive, dengan pilihan sama ada pacuan dua-roda di hadapan atau pun pacuan empat-roda.
Perincian lanjutnya hanya akan didedahkan oleh Mazda ketika penampilan perdana CX-4 ini di Beijing Motor Show 2016 ini.
Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini secara rasminya melancarkan Pusat 3S Nissan di Miri yang merupakan pusat 3S yang ke-21 di Malaysia. Ia dirasmikan oleh Datuk Bandar Miri Lawrence Lai Yew Son dan diiringi oleh Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Bon Beng.
Dengan pelaburan mencecah RM1 juta, ia merupakan pusat sehenti yang menawarkan pengalaman baru di Miri. Ia memudahkan pelanggan untuk memandu uji, membeli rangkaian model Nissan, melakukan penyelenggaran dan mendapatkan alat ganti di bawah satu bumbung.
Pusat 3S ini memiliki keluasan binaan keseluruhan 18,648 kaki persegi. Bilik pamerannya mampu menempatkan sehingga enam buah kenderaan pada satu-satu masa. Manakala pusat servis pula mempunyai lima ruang penyelenggaraan dengan kapasiti servis sehingga 30 buah kenderaan sehari.
Kemudahan ini turut dilengkapi dengan sebuah lounge dan bar minuman, bersama sambungan WiFi.
Pusat 3S ini dikendalikan oleh 20 orang kakitangan jualan profesional bertauliah dan enam orang juruteknik terlatih.
Datuk Dr Ang berkata, “Berpegang terhadap falsafah kami untuk menawarkan keselesaan dan kemudahan kepada pelanggan, serta pengalaman pemilikan kenderaan Nissan yang lengkap di Miri, ETCM berbangga kerana dapat melabur di bandar yang berkembang pesat ini. Ini demi memastikan Nissan mudah diakses oleh para pelanggan di Miri.”
Sehingga kini, ETCM mempunyai rangkaian 100 buah bilik pameran yang ekstensif melibatkan pengedar dan 60 bengkel Tan Chong Express Auto Service di seluruh negara.
Selepas memperkenalkan Lotus Evora 400 pada hujung Januari lalu, Lotus Malaysia dilihat mahu mengekalkan momentum perjalanan mereka di dalam industri ini dengan melancarkan model baharu. Terbaru, menerusi Facebook, Lotus Malaysia seakan memberikan petanda bakal memperkenalkan Exige Sport 350 baharu ke pasaran tempatan tidak lama lagi.
Lotus Exige Sport 350 pertama kalinya melakukan penampilan perdana pada Disember 2015, bagi menggantikan Exige S. Seperti mana Elise Sport dan Elise Sport 220, Exige turut menggunakan nama ‘Sport’ bagi model baharu ini.
Nama bukan setakat satu-satunya perubahan yang dilakukan pada Exige Sport 350. Sebaliknya jentera ini juga 51 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya iaitu pada 1,125 kg. Ia didorong oleh penggunaan komponen yang ringan termasuk panel pintu but, bateri dan sebagainya.
Exige Sport 350 dijanakan oleh enjin 3.5 liter supercharged V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 345 hp pada 7,000 rpm dan tork 400 Nm pada 4,500 rpm, sama seperti Exige S. Ia juga digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, dan Exige Sport 350 juga mampu mencatatkan masa 3.9 saat bagi pacuan dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum sehingga 274 km/j.
Namun bagi sesiapa yang inginkan transmisi automatik enam-kelajuan (dengan pedal penukar gear), bagi pacuan 0-100 km/j hanya mengambil masa 3.8 saat. Walau bagaimana pun, kelajuan maksimumnya hanya boleh mencapai 261 km/j dan ia juga 5 kg lebih berat berbanding manual.
Pengurangan beratnya juga telah memberikan peningkatan pada pengendaliannya. Malah ia juga diterapkan dengan peredam yang lebih teguh dan geometri yang disemak semula bagi penggayaan aerodinamik jentera ini (mampu menghasilkan 42 kg downforce pada 160 km/j) yang membolehkan Exige Sport 350 ini mencatat rekod pemanduan di litar Hethel sekitar 1 minit 29.8 saat, iaitu 2.5 saat lebih pantas berbanding model sebelum ini.
Boleh dikatakan Mercedes-Benz merupakan jenama premium yang aktif melancarkan model baharu sejak kebelakangan ini. Apatah lagi selepas jenama ini mencatatkan jualan yang cukup memberangsangkan, malah mendahului segmennya, di pasaran tempatan. Beberapa hari lalu, Mercedes-Benz Malaysia telah memperkenalkan dua model pemasangan tempatan (CKD) bagi varian W205 C-Class iaitu Mercedes-Benz C 180 Avantgarde Line dan Mercedes-Benz C 300 AMG Line.
Terbaru, Mercedes-Benz A 250 Motorsport Edition baharu pula menyusul di pasaran tempatan. Dijual pada harga atas jalan RM256,888 (tanpa insurans), varian istimewa ini didatangkan ke Malaysia dengan jumlah unit yang sangat terhad. Jadi sesiapa yang ingin memilikinya, cepat-cepatlah membuat tempahan.
Pada dasarnya, A 250 Motorsport Edition memiliki pertambahan gaya dan elemen aerodinamik daripada varian W176 A 250 Sport, yang dijual pada harga RM238,888. Jadi pertambahan kos sebanyak RM18k adalah melibatkan elemen seperti skim warna hijau pada beberapa bahagian badan luaran seakan warna rasmi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Formula 1. Selain itu, pakej Aerodinamik termasuk menampilkan aero flics pada bahagian hadapan dan belakang serta sayap belakang yang besar.
Bukan itu sahaja, rim aloi AMG pelbagai-jejari 19-inci turut ditampilkan, iaitu lebih besar daripada A 250 Sporty yang hanya 18-inci. Sebagai tambahan, Motorsport Edition juga menerima kit Night Package, yang menampilkan kekemasan belt-line hitam berkilat.
Di bahagian kabinnya, A 250 Motorsport Edition menggantikan kekemasan AMG Line berwarna merah yang ada pada A 250 Sport pada warna hijau. Malah tempat duduk sport upholstery dengan material kulit pula berwarna hitam dengan gentian mikro Dinamica bersama jaluran hijau. Jahitan berwarna hijau mula diterapkan pada material kulit yang menutupi papan pemuka, roda stereng dan panel pintu.
Selain itu, A 250 Motorsport Edition dengan varian A 250 Sport memiliki banyak persamaan antara satu sama lain. Pada bahagian luaranya, kedua-duanya ditampilkan dengan lampu utama LED Prestasi Tinggi, gril radiator berlian dengan kepingan krom dan penggayaan AMG Line. Manakala persamaan di bahagian kabin pula ialah kedua-duanya turut ditampilkan dengan sistem media Audio 20 CD, skrin paparan lapan-inci, kamera undur dan sistem Bantuan Parkir Aktif.
Sama seperti A 250 Sport, A 250 Motorsport Edition turut dijanakan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder pengecas turbo, yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 221 hp dan tork 350 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik klac-berkembar 7G-DCT yang dipertingkatkan, mampu memacu jentera ini dari 0-100 km/j dalam hanya 6.4 saat (sebelum ini 6.6 saat) dan kelajuan maksimum pula 240 km/j. Suspensi sport talaan-AMG juga turut ditampilkan.
“Ia hanya boleh didapati dalam jumlah unit yang sangat terhad untuk memperingati kejayaan yang dicipta oleh pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula 1, malah Motorsport Edition yang sangat istimewa ini adalah bagi penggemar sukan lumba di Malaysia,” ujar Mark Raine, Timbalan Presiden Jualan dan Pemasaran Kereta Penumpang, Mercedes-Benz Malaysia.
A 250 Motorsport Edition didatangkan dengan pilihan warna Cirrus White, Cosmos Black, Polar Silver dan Mountain Grey.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan 28.4 juta saman trafik dengan nilai kompaun sebanyak RM1.6 bilion sepanjang tahun 2010 sehingga 2015.
Kenyataan itu adalah bagi menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Teresa Kok (DAP-Seputeh) dalam sidang Parlimen yang bertanyakan bilangan kompaun trafik yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 2010 dan bilangan kompaun yang masih belum dibayar oleh pemandu kereta, serta setakat mana peningkatan kompaun trafik dapat mencegah peningkatan kemalangan jalan raya.
KDN menjawab, berdasarkan rekod Sistem Trafik Cops PDRM daripada jumlah itu, sebanyak 14.6 juta saman merupakan saman tertunggak dengan nilai RM1.5 bilion. Di mana sebanyak 13.8 juta saman pula telah dijelaskan bagi tempoh yang sama, laporan Bernama.
Malah KDN turut bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan kadar kompaun jalan raya seperti yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bertujuan memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan berhemah semasa memandu.
Kementerian itu turut menyatakan nilai kompaun maksimum tidak pernah dikaji sejak Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dikuatkuasakan 29 tahun lalu.
Dalam bulan ini sahaja, beberapa pengeluar kereta turut mengadakan kempen jualan dengan menawarkan pelbagai promosi hebat. Antaranya Honda dengan penjimatan sehingga RM8k untuk semua model, Volkswagen dengan jualan penghabisan stok ‘Drop Everyting’ (diskaun sehingga RM53k untuk model Passat, Jetta dan Polo hatch 2014/2015) dan Kia bersama kempen ‘K Surprise’ (bonus sehingga RM16k termasuk tiga tahun servis percuma untuk model sedan).
Terbaru, Proton turut mengumumkan kempen jualan hebat bagi lima modelnya iaitu Saga, Persona, Preve, Suprima S dan Iriz. Bagi Saga, penjimatan sehingga RM2,500, Persona RM3,500, RM5,000 untuk Preve dan Suprima S serta RM6,200 bagi Iriz.
Menurut Proton, tawaran rebat tunai ini adalah antara program Ganjaran Kesetiaan, di mana terdapat insentif tambahan sehingga RM3,000 bagi pelanggan Proton sedia ada yang ‘trade in’ kereta mereka dengan model baharu Proton,
Walau bagaimana pun, Proton tidak mengulas lebih lanjut mengenai campuran rebat tersebut (contoh RM6,200 untuk Iriz + Ganjaran Kesetiaan RM3,000 = RM9,200), tetapi menerusi Program Kesetiaan 2015, pemiliki kenderaan Proton sedia ada yang ‘trade in’ kereta mereka akan menerima RM100 bagi setiap tahun mereka memiliki kereta tersebut.
Pada Februari lalu, Proton telah mengumumkan penstrukturan harga kereta baharu yang rata-ratanya mengalami peningkatan harga antara RM312 hingga RM2,024, iaitu sehingga 4.6%. Senarai baharu harga kereta proton adalah seperti di bawah:
NAZA KIA Malaysia, pengedar rasmi kenderaan KIA di Malaysia melancarkan kempen terbaharu mereka – ‘K Suprise Series’ – untuk menarik pelanggan baru.
Untuk masa yang terhad, pembeli kereta baru akan menikmati bonus sehingga RM15,888 dan juga servis penyelengaraan percuma selama tiga tahun untuk model terpilih. Servis percuma selama tiga tahun atau bersamaan 60,000 km tersebut adalah termasuk kos buruh dan alat ganti (pelanggan perlu menepati jadual servis untuk terus menikmati promosi ini). Kempen ‘K Suprise Series’ ini akan meliputi pembelian model Rio Sedan, Cerato K3, dan juga Optima K5.
Selain dari bonus pembelian, pelanggan yang memandu uji model Kia di bilik pameran juga bakal diberikan peluang untuk memenangi tiket perlawan bola sepak Euro 2016 di Perancis menerusi cabutan bertuah ‘Kia Lucky Drive to France‘. Setiap pelanggan yang memandu uji sebarang model Kia akan menerima kupon cabutan bertuah dan berkelayakan secara automatik untuk menyertai pertandingan ini. Kesemua pemenang akan diumumkan pada bulan Mei 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Industri Automotif Malaysia (MAI), Madani Sahari, telah menyatakan bahawa Dasar Automotif Nasional (NAP 2015) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mampu mempertingkatkan lagi daya saing dalam sektor automotif Malaysia ke peringkat global.
Menerusi ruangannya di New Straits Times, beliau berkata Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang ditandatangani baru-baru ini membolehkan pengeluar kenderaan tempatan bersaing dalam skala global adalah topik yang banyak dibincangkan. Walau bagaimana pun, dengan adanya 30 juta populasi di Malaysia yang mewakili pasaran yang agak kecil, turut bergantung pada cara ia membangun dan memperluaskan industri automotif tempatan.
“Adalah penting untuk merangkumkan perubahan yang sedang dibentuk di peringkat sejagat, dengan pasaran dunia lebih terbuka, pengguna akan lebih terkesan dan ini turut mempengaruhi kesan persekitaran pengeluaran,” ujarnya. Dengan itu, beliau turut berkata persaingan perlu dipertingkatkan dalam semua aspek termasuk sosial, ekonomi atau pentadbiran.
Mengenai topik bagi NAP 2014, Madani menjelaskan, semakan ketiga yang diumumkan adalah memfokuskan pada daya saing di peringat global termasuk keseluruhan eko-sistem di dalam industri automotif Malaysia, yang memacu kepada tiga perkara iaitu pelaburan insentif, pembangunan teknologi dan memperluaskan pasaran.
“Ketiga-tiga perkara tersebut memiliki kebergantungan dengan kuasa-kuasa pasaran global untuk meningkatkan pemain-pemain automotif tempatan ke arah satu kuasa yang lebih besar di peringat global,” ujarnya. Beliau turut menjelaskan penambahan pelaburan dari pelaburan langsung asing (FDI), akan membenarkan pemain-pemain industri tempatan untuk menjadi satu kuasa lebih besar di peringkat global dengan menggunakan tenaga dan keupayaan tempatan.
Bagi pembangunan teknologi pula, beliau berkata kemasukan teknologi yang jauh lebih cekap mampu direalisasikan apabila tenaga kerja tempatan mampu bekerjasama dengan pakar teknologi tersebut dari seluruh dunia. Sebagai memperluaskan lagi pasaran, Madani berkata ia boleh direalisasikan sekiranya “sekatan eksport dihapuskan” bagi memperluaskan lagi pasaran.
Berkenaan dengan topik Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), ia juga akan membawakan peluang bagi penyertaan di dalam ekonomi global, yang sangat diperlukan bagi pembangunan di dalam industri automotif Malaysia, jelas Madani. Beliau memberi contoh, bas elektrik buatan tempatan, yang dibangunkan atas usaha sama Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia adalah salah satu kesudahan yang baik.
Selain itu, beliau turut memberikan contoh, “Sektor pembuatan komponen kenderaan Malaysia juga patut diberi perhatian dan telah diliberalisasikan sepenuhnya.” Hasilnya, nilai eksport telah berkembang dari RM1 bilion ke RM12 bilion pada tahun 2015. Dalam masa yang sama, beliau juga berkata, pihaknya telah memberikan sepenuhnya sokongan dan galakan kepada pemain industri tempatan untuk menyertai pasaran liberalisasi ini.
Malah Madani turut menyarankan supaya industri automotif menyertai pasaran liberalisasi secara beransur-ansur dan melengkapkannya dengan program bagi meningkatkan daya saing di kalangan pemain industri tempatam. Terdapat enam pelan cadangan yang dilancarkan pada NAP 2014 laly, termasuk memberikan tumpuan terhadap pembangunan Kenderaan Jimat Tenaga (EEV).
Seperti mana yang diketahui, Honda Civic 2016 baharu telah pun dilancarkan di Thailand. Ini merupakan model pertama Honda yang dipasang di kilang baharu Honda yang terletak di Prachin Buri. Malah ini juga merupakan Civic generasi ke-10 yang diperkenalkan di pasaran Asia bersama dua pilihan enjin iaitu 1.8 liter i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo, dengan harga dari 869,000 baht (RM100,800) ke 1.19 juta baht (RM139,100).
Tidak seperti di Amerika Syarikat, enjin asas di Thailand ialah 1.8 liter i-VTEC empat-silinder dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm. Malah di sana juga ada pilihan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan kuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,700 dan 5,500 rpm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan Transmisi boleh laras berterusan (CVT) bagi menggantikan kotak gear auto lima-kelajuan yang lama.
Civic 2016 ini ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan rim aloi 16-inci. Bagi 1.8 EL pula terdapat lampu kabus dan pemegang pintu krom. Manakala varian Turbo pula menerima roda 17-inci dan dua ekzos, sementara bagi RS pula dipadankan dengan lampu utama LED sepenuhnya, lampu kabus LED, bampar hadapan yang lebih sporty dan gril (dengan bar hitam pekat bersambung dengan lampu utama) dan spoiler belakang.
Manakala bahagian dalamnya pula dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin adalah standard, bersama Kawalan Penghidup Enjin yang juga ada pada Accord facelift. Turut dilengkapi dengan penghawa dingin automatik, roda stereng pelbagai fungsi, brek parkir elektronik, paparan tengah lima-inci dan sambungan Bluetooth.
Bagi varian 1.8 EL, ada pertambahan elemen termasuk kawalan kelajuan, lampu utama automatik, Walk Away Auto Lock (yang boleh mengesan kunci bergerak jauh dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik), tempat duduk pemandu berkuasa dengan pelarasan lapan-cara, kulit upholstery, paparan instrumen LCD TFT, sistem hiburan skrin sesentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free, sistem bunyi lapan-speaker dan kamera undur.
Manakala varian Turbo pula menerima semua elemen di atas termasuk bilah pengilap cermin automatik, tempat duduk penumpang hadapan berkuasa dengan empat-cara pelarasan dan kawalan suhu dua zon. Manakala untuk Turbo RS pula, elemen tambahan yang ditampilkan ialah cermin pandang belakang anti-silau, pedal penukar gear di belakang roda stereng dan pedal aloi.
Bagi kit keselamatan standard pula termasuk dua beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki. Hanya model Turbo RS menerima enam beg udara, pengingatan pemakaian tali pinggang penumpang hadapan dan Honda Lane Watch.
Foto di bawah ini adalah Civic 1.8 EL yang dipamerkan di bilik pameran Honda di Thailand, dirakamkan oleh pembaca Boon di di negara berkenaan.
Menjelang pelancarannya yang dijangkakan pada suku kedua tahun ini, Haval Malaysia telah mengeluarkan spesifikasi rasmi Haval H2 2WD Dignity – SUV Segmen-C yang bakal berhadapan pesaing seperti Hyundai Tucson, Kia Sportage, Honda CR-V dan Mazda CX-5.
Pada NST-MAI ASEAN Auto Show tahun lalu, H2 2WD Dignity ini telah dipamerkan, dan dijangka bakal dijual untuk pasaran Malaysia pada masa akan datang. H2 berukuran 4,335 mm panjang 1,814 mm lebar dan 1,695 mm tinggi, dengan jarak roda berukuran 2,560 mm. Dari segi dimensi, saiz H2 agak kecil jika dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya dari Korea dan Jepun.
H2 dikuasakan dengan enjin petrol 1.5 liter 4G15B empat-silinder dual-VVT dengan pengecas turbo berupaya menjana sejumlah 147 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 210 Nm bermula 2,200 rpm hingga 4,500 rpm. Kesemua kuasa ini dihantar pada kedua-dua roda hadapan sahaja melalui kotak gear automatik enam-kelajuan.
Klik untuk besarkan imej
Pada bahagian luaran, crossover ini dipadankan dengan lampu hadapan halogen automatik dengan lampu nyalaan siang LED bina dalam, lampu nyalaan siang tambahan yang terletak di sudut bawah bampar hadapan, bumbung matahari, cermin sisi berkuasa elektrik disertakan dengan lampu ‘puddle‘, lampu kabus belakang, dan antena radio berbentuk-sirip yu.
Dibahagian dalaman pula, tempat duduk pemandu boleh dilaras dengan larasan elektrik enam-cara, manakala untuk tempat duduk penumpang hadapan hanya boleh dilaras secara konvensional. Kesemua tempat duduk dan roda stereng dibalut dengan kemasan kulit. Terdapat juga butang kawalan multimedia dan Kawalan Kelajuan dilengkapkan pada roda stereng. Turut dipadankan meter trip dengan skrin TFT berwarna 3.5 inci, paparan instrumen rekaan 3D, sistem kunci pintar dengan suis penghidup tekan dan kamera undur dilengkapi radar.
Unit infotaimen dengan paparan skrin sesentuh dipasang ditengah papan pemuka untuk memainkan media pilihan, dengan pelbagai input seperti Bluetooth, USB, AUX, dan MP5. Penghawa dingin juga menampilkan ciri terkini dengan sistem dua-zon dan lampu ambien turut dilengkapi dalam kabin H2 ini.
Klik untuk besarkan imej
Untuk sistem keselamatan pula, H2 dilengkapi dengan enam unit beg udara, Program Stabiliti Elektronik, ABS berserta EBD dan BA. SUV ini turut dilengkapi dengan Sistem Visual Titik Buta FRH, Sistem Pantauan Tekanan Angin Tayar (TPMS) dan juga cermin pandang belakang anti-silau.
Haval Malaysia belum lagi membuat apa-apa pengumuman berkenaan harga jualan H2 ini buat masa sekarang. Pilihan warna untuk bahagian luaran dan dalaman juga masih belum diumumkan. Berdasarkan pada laman web rasmi Haval Malaysia, ia memaparkan bahagian luaran kereta ini akan menerima warna dua tona, dengan pelbagai warna berbeza disediakan untuk bahagian dalaman.
Setelah diperkenalkan di Thailand Julai tahun lalu, Mazda BT50 versi faceliftkini dilancarkan untuk pasaran Malaysia oleh pihak Bermaz Motor.
Seperti model sebelum ini, BT-50 hanya ditawarkan dengan varian badan cab berkembar dan dua opsyen enjin turbodiesel iaitu 2.2 liter dan 3.2 liter. Enjin MZ-CD 2.2 turbodiesel empat silinder menghasilkan kuasa 150 hp pada takat 3,700 rpm dan tork maksima 374 Nm pada takat 2,500 rpm. Walaupun dibina berdasarkan Ford Ranger facelift, BT-50 2.2 liter tidak mendapat kuasa yang sama seperti Ranger yang berkuasa 158 hp dan tork maksima 385 Nm. Opsyen enjin yang kedua pula ialah enjin 3.2 liter lima-silinder sebaris (MZ-CD 3.2) dengan kuasa maksima 200 hp pada takat 3,000 rpm dan tork maksima 470 Nm pada takat 2,500 rpm.
Kedua-dua enjin dilengkapi sistem pancitan terus commonrail bersama pengecas turbo geometri bervariasi. Sistem pacuan empat-roda adalah standard pada model 2.2L dan juga 3.2L. Walaubagaimana pun, kotak gear enam kelajuan manual seperti pada varian 2.2L sebelum ini tidak lagi disediakan. Ini bermakna tiada lagi spesifikasi pertengahan dan tinggi pada model ini dan BT-50 hanya boleh didapati dengan hanya transmisi automatik enam-kelajuan.
Klik untuk besarkan
BT-50 menerima rekaan yang dikemaskini seiring dengan falsafah Kodo – Soul of Motion Mazda, menampilkan gril hadapan, lampu hadapan halogen (dengan fungsi automatik on/off), lampu belakang dan roda aloi 17-inci rekaan baharu yang lebih segar. Kesemua roda aloi dibaluti tayar bersaiz 265/65R17.
Bahagian dalaman kelihatan tidak banyak berbeza dari model sebelum ini. Sistem audio standard dengan input Bluetooh, USB, CD dan AUX dihubungkan kepada enam unit pembesar suara. Penghawa dingin juga kekal dengan sistem dua-zone dan kesemua tempat duduk dibalut dengan hanya pilihan fabrik.
Perbezaan ciri-ciri pada varian 2.2L dan 3.2L hanyalah pada sistem kamera undur di mana model 2.2L tidak disertakan dengan ciri tersebut (varian 2.2L sebelum ini masih dilengkapi kamera undur). Paparan imej visual kamera tersebut tidak pamerkan pada skrin di papan pemuka, sebaliknya muncul di cermin pandang belakang bahagian tengah.
Untuk keselamatan, BT-50 kekal dengan dua beg udara, dan standard didatangkan dengan sistem ABS,EBD dan BA. Selain itu ia juga turut dilengkapi dengan bantuan elektronik lain termasuk Kawalan Menurun Bukit, Stabiliti Dinamik dan juga Kawalan Cengkaman.
BT-50 dijual pada harga bermula RM105,477.70 untuk model 2.2L hingga RM116,836.10 untuk model 3.2L. Berbanding dengan model sebelum facelift, harga untuk model baharu ini meningkat sebanyak RM13,600 untuk kedua-dua model. Kesemua harga yang dipaparkan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk dengan waranti tiga tahun atau 100,000 km yang mana sampai dahulu, dan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun atau 60,000 km yang mana sampai dahulu.
Bagi sesiapa yang melalui Jalan Semantan-Lebuhraya Sprint, satu penutupan jalan sementara berlangsung mulai hari ini (14 Mac) hingga 21 Mac ini dari jam 10 malam hingga 5 pagi pada setiap hari. Penutupan jalan itu melibatkan lorong kiri selepas susur keluar Jalan Damansara Endah, berhadapan dengan Wisma UN, arah PJ.
Penutupan jalan ini adalah bagi kerja-kerja membuka tembok penahan sementara di stesen MRT Semantan. Sepanjang penutupan itu, hanya dua lorong sahaja yang dibuka untuk laluan trafik. Sila patuhi papan tanda isyarat jalan dan pandu dengan lebih berhemah di kawasan terbabit.
Mazda CX-4, siri baharu dalam barisan SUV Crossover Mazda akan membuat penampilan rasminya pada Beijing Motor Show 2016, setelah pihak Mazda sendiri menyiarkan imej perincian awalan model itu,menampakkan bahagian tiang-C nya.
CX-4 telah dijumpai beberapa kali diuji diatas jalan raya, menjadikan kemunculan sulungnya ini tidak sukar untuk diduga. Berdasarkan imej-imej yang tersebar, CX-4 merupakan hatchback Mazda 3 versi yang ditinggikan, sama seperti CX-3 yang dibina berdasarkan Mazda 2 hatchback.
Seperti biasa, rekaan berdasarkan falsafah Kodo – Soul of Motion Mazda mendominasi rekaan kereta ini, menampilkan bonet hadapan yang panjang, lampu hadapan signatur Mazda, gril hadapan serta garisan yang menonjol pada bahagian sisi. Kereta ini juga menampilkan lebih kemasan krom iaitu pada bahagian belakang yang menghubungkan kedua-dua belah lampu belakang dan juga pada bahagian rel bumbung.
Di bahagian dalaman, rekaan kabin adalah seiras dengan rekaan yang terdapat pada Mazda 3 dan Mazda 6 pada bahagian papan pemuka dan susun atur pada konsol tengah. Imej ‘spyshot‘ sebelum ini juga menampakkan CX-4 dilengkapi dengan sistem infotainmen MZD Mazda merangkumi skrin sesentuh tujuh inci dengan Commander Control, manakala pada spesifikasi yang lebih rendah hanya dilengkapi dengan sistem audio asas.
Begitu juga dengan unit penghawa dingin, dua opsyen ditawarkan iaitu dua-zon dan zon tunggal. Brek parkir elektronik turut dilengkapi, sama seperti yang dipasang pada Mazda CX-5 dan Mazda 6. Mazda CX-4 berkongsi banyak peralatan bersama dengan model-model Mazda terkini seperti roda stereng tiga-jejari dan juga rekaan pada papan instrumen.
Tiada lagi perincian secara rasmi dikeluarkan pihak Mazda berkenaan sistem mekanikal kereta ini. Tetapi boleh dijangkakan ia bakal dikuasakan dengan enjin petrol SkyActiv-G 2.0 liter (155 hp/200 Nm) dan 2.5 liter (184 hp/250 Nm) serta enjin turbo diesel SkyActiv-D 2.2 liter. Kesemua enjin ini mungkin juga ditawarkan dengan kotak gear manual SkyActiv-MT enam kelajuan atau transmisi automatik SkyActiv-Drive, dengan pilihan sama ada memacu dua roda dihadapan ataupun pacuan empat roda. Informasi selanjutnya bakal diumumkan Mazda pad pelancaran rasmi model ini di Beijing Motor Show 2016 yang bakal berlangsung hujung April ini.