Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Lexus LC 500h dilengkapi dua kotak gear dalam satu sistem transmisi – hapus kelemahan kotak gear CVT

    AQ2Y0289-e1457424227647_BM

    Lexus LC 500h, merupakan LC 500 versi yang lebih mesra alam digandingkan dengan sistem transmisi yang agak unik. Kereta ini mempunyai dua kotak gear iaitu kotak automatik empat-kelajuan digandingkan bersama kotak gear CVT dan dipadankan kepada dua unit motor elektrik.

    Dalam laporan Automative News, Koji Sato, ketua jurutera untuk LC 500h berkata rekaan baharu ini bertujuan untuk menghilangkan efek ‘rubber band feel‘ pada kotak gear CVT sedia ada.

    Jika anda pengguna atau pernah memandu kereta dengan transmisi CVT, anda akan dapat merasai ‘rubber band feel‘ tersebut. Ia adalah situasi di mana ketika anda menekan pedal pendikit secara agresif untuk memecut, kelajuan enjin (rpm) akan bertambah tinggi tetapi nisbah kelajuan pada kotak gear tidak bergerak menyebabkan pemandu berasa seolah-olah “tertunggu-tunggu” untuk kereta tersebut menukar gear. Ini membuatkan sesetengah pemandu tidak gemar dengan kotak gear CVT kerana ia tidak memberikan perasaan ‘klimaks’ setelah gear ditukar. Masalah inilah yang bakal diselesaikan oleh kotak gear terbaharu Lexus ini. Kotak gear empat-kelajuan konvensional digabungkan bersama kotak gear automatik untuk memberikan perasaan yang lebih ‘umph’ ketika gear ditukar.

    Lexus_LC_500h_020_5D569E6ADF3985D8205EBBB24C5F76230F98F501_BM

    Sato berkata semasa memecut, kotak gear baharu LC 500h ini akan memberikan pemandu enam rasa penukaran gear dari empat penukaran gear yang sebenar, tetapi sukar untuk pemandu mengetahui yang mana penukaran sebenar atau tidak tersebut. Gabungan dua kotak gear dalam satu sistem transmisi ini adalah sebahagian dari Sistem Hibrid Pelbagai Peringkat pada LC 500h, yang juga terdiri dari enjin petrol 3.5 liter V6 berkuasa 295 hp dan tork 348 Nm, digandingkan dengan motor elektrik 59 hp serta pek bateri lithium-ion 44.6 kW.

    Kuasa keseluruhan yang menjana kereta ini ialah 354 hp, dan Lexus mensasarkan ia mampu untuk memecut dari kedudukan 0-100 km/j dalam masa bawah lima saat. Sebagai perbandingan model janaan petrol sepenuhnya Lexus LC 500 yang dilengkapi enjin 5.0 liter V8 tanpa induksi paksaan dan digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan mampu untuk memecut 0-100km/j dalam masa hanya 4.5 saat.

    Menurut Sato lagi, Presiden Toyota Akio Toyoda berusaha untuk sistem transmisi tersebut, di mana beliau berharap agar ia boleh dipadankan pada model hibrid Lexus yang lain pada masa akan datang, seperti LS generasi selepas ini dan juga sedan bersaiz sederhana GS. Model hibrid Toyota juga mungkin bakal menggunakan sistem transmisi ini.

     
     
  • VIDEO: Audi SQ7 TDI vs Red Bull Alpha Jet 10,600 hp

    Beberapa hari lalu, Audi telah memperkenalkan model SQ7 TDI yang didakwa sebagai SUV diesel yang paling berkuasa di dunia. Adakah ia sekadar berkuasa ‘di atas kertas’ atau pun secara realitinya…benar?

    Tidak mahu dianggap sekadar omong kosong, Audi telah ‘membawakan’ SQ7 TDI ini untuk berentap dengan pesawat pejuang Red Bull Alpha Jet yang memiliki kuasa sehingga 10,600 hp. Pertarungan ini berlaku di atas landasan dengan jarak sepanjang 300 meter.

    SQ7 TDI ini dilengkapi dengan enjin 4.0 TDI V8 yang baharu dibangunkan bersama pemampat kuasa elektrik. Penjana turbodiesel ini juga mampu memberikan kuasa sehingga 435 hp dan tork setingga 900 Nm bermula 1,000 rpm, membolehkan SQ7 TDI ini dipacu dari 100 km/j dalam hanya 4.8 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 250 km/j. Sekali gus memberikan peluang SQ7 TDI ini sebagai SUV diesel paling berkuasa yang pernah dihasilkan di dunia setakat ini.

    Audi juga berkata, apabila penjana kuasa tersebut bekerjasama dengan dua gas ekzos pengecas turbo, di bawah rpm yang rendah, ia mampu menyalurkan prestasi “kuasa yang sangat dinamik” dengan jarak masa 250 milisaat.

    Jadi menerusi klp video ini, anda boleh saksikan sehebat mana SQ7 TDI ini yang dianggap sebagai jagoan. Apa pendapat anda mengenai kekuasaan yang cuba diserlahkan menerusi SQ7 TDI ini? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen di bawah.

     
     
  • BMW Vision Next 100 tampil konsep teknologi yang bakal diterapkan BMW untuk 100 tahun akan datang

    P90212587_highRes_bmw-group-the-next-1-e1457360339495_BM

    Sempena menyambut ulang tahun ke-100 nya, BMW telah mendedahkan kepada dunia kereta konsep terbaharu mereka, direka dengan ciri-ciri yang mungkin akan diterapkan pada model-model mereka untuk 100 tahun akan datang.

    Kereta yang diberi nama BMW Vision Next 100 ini diperkenalkan kepada dunia pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 tahun BMW yang diadakan di Munich Olympic Hall, Jerman. Ia direka dalam bentuk sedan sports empat-pintu dan merupakan model yang pertama dalam siri konsep Vision yang dirancang dan bakal dibina oleh BMW Group. Versi untuk jenama dibawah BMW Group yang lain iaitu MINI dan Rolls-Royce pula akan didedahkan di London pada 16 Jun akan datang, manakala konsep motorsikal BMW Motorrad pula akan dipamerkan di Los Angeles pada 11 Oktober.

    BMW Vision Next 100 masih lagi kelihatan seperti sedan BMW yang ada sekarang ini. Dengan asas rekaan ‘one-box‘, ia menampilkan bonet-panjang tradisional BMW. Badan berbentuk batu kerikil dan diwarnakan dengan warna gangsa menampilkan gril tradisi BMW dibahagian hadapan bersama empat lampu hadapan utama dengan bentuk jalur, lampu belakang berbentuk-L, dan juga tiang-C ‘Hofmeister Kink‘ – tipikal sebuah BMW.

    Motif segi-tiga yang digelar BMW sebagai ‘Alive Geometry‘ mendominasi sebahagian besar badan kereta ini yang dibina dari 800 panel di bahagian dalam dan luar di mana ia boleh bergerak dan berubah apabila diperlukan. Pada bahagian luar, ruang roda yang besar ditutup menyembunyikan roda yang besar didalam, dimana ia akan berpusing sekali jika stereng dipusingkan. Rekaan ini membolehkan Vision Next 100 mencapai pekali geseran (CoD) hanya 0.18.

    BMW mengatakan kereta konsep ini mempunyai dimensi yang kompak. Mempunyai panjang keseluruhan 4.9 meter, panjang kereta ini hampir menyamai dimensi pada BMW 5 Siries. BMW juga mendakwa Vision Next 100 mempunyai keluasan pada ruang dalaman sama seperti “sedan mewah BMW” (mungkin 7 Series). Jadi, rekaan ini bukan sahaja unik, tetapi ia juga mampu membuatkan ruang dalamannya menjadi lebih luas.

    Setelah pintu ‘suicide‘ yang direka seperti kepak rama-rama kereta ini dibuka, dapat disaksikan bahagian kabin kereta ini direka dengan rekaan yang minimalis. Terdapat dua mod pada bahagian kabin ini iaitu Boost, dipilih jika pemandu mahu memandu sendiri kereta ini dan dibantu pelbagai ciri bantuan pemanduan. Dan yang kedua ialah Ease, di mana kereta ini dipandu secara automatik tanpa pemandu.

    Dalam mod Boost, panel ‘Alive Geometry‘ dibahagian dalam – yang diinspirasikan dari bulu burung – memberikan garis pemanduan yang ideal kepada pemandu dan memberi amaran dalam bentuk tindak balas intuitif kepada kereta yang datang dari arah bertentangan jika terdapat halangan. BMW mendakwa amaran tersebut lebih berkesan dari amaran berbentuk bunyi atau visual. Tempat duduk pemandu turut berubah kedudukan serta konsol tengah dihadapkan lebih kepada pemandu.

    Paparan ‘Head-up‘ (HUD) akan memberi informasi garis pemanduan yang ideal, poin stereng dan kelajuan kereta kepada pemandu menggunakan sepenuhnya cermin hadapan kereta ini. Ia juga turut memberikan paparan kenderaan yang melintas dihadapan dalam keadaan cuaca yang teruk dan kadar penglihatan yang kurang.

    Kesemua ini dapat berfungsi melalui gabungan pelbagai sistem pintar, yang sentiasa mengesan tindak balas pemandu dan mengadaptasikan ia untuk memberikan bantuan yang betul dan panduan visual. Bantuan visual tersebut dihasilkan dari arca berbentuk batu permata yang terletak dibahagian bawah cermin hadapan dimana ia akan disembunyikan pada mod Boost untuk mengurangkan gangguan dan menyala pada Mod Ease bagi menandakan ia dipandu secara automatik. Sistem tersebut juga memberikan paparan lampu hijau di bahagian hadapan kereta untuk memberikan isyarat kepada pejalan kaki menandakan mereka selamat untuk melintas jalan.

    Suasana di dalam kabin akan berubah sekiranya mod Ease dipilih. Roda stereng dan konsol tengah bergerak menjauhi penumpang dan tempat duduk bergerak kearah pintu membolehkan penumpang duduk pada posisi dan sudut yang sesuai, membolehkan mereka senang untuk bertentang muka sesama sendiri. Paparan HUD pula akan berubah menjadi paparan infotaimen.

    Kemampanan merupakan bahagian yang penting pada Vision Next 100. Kereta ini diperbuat dari gentian karbon dan plastik, dengan komponen seperti panel sisi dibina dari sisa gentian karbon produksi biasa. Bahagian dalam juga menggunakan tekstil berkualiti tinggi dan bahan-mono menggantikan tempat kayu dan kulit tradisional.

     
     
  • JPJ Perak sita 125 kereta klon sejak Mei 2015

    Cloned-cars-

    Selepas berhabisan berpuluh ribu ringgit, kebanyakan pemilik kereta klon akhirnya ‘berputih mata’ apabila kereta yang dibeli disita oleh pihak berkuasa. Itulah senario yang terjadi sekarang terhadap pemilik kereta klon. Kebanyakan daripada mereka mengetahui ia adalah kereta klon, namun tetap ‘menutup hati’ untuk memiliki kereta jenama mewah yang dijual pada harga cukup murah.

    Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Ramli Awang Seberang, tempoh paling lama seseorang berkesempatan ‘melaram’ dengan kereta klon yang dibeli adalah setahun dan paling singkat cuma tiga hari sebelum ia dikesan seterusnya disita oleh JPJ, laporan Bernama.

    Beliau berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengesan sebarang kereta klon yang berada di atas jalan raya kerana ia mempunyai fizikal yang agak luar biasa berbanding kereta sebenar.

    Sejak dilancarkan pada Mei tahun lalu, sehingga kini, JPJ Perak telah menyita 125 kenderaan pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan lebih daripada RM3 juta.

    Beliau berkata 73 daripada kereta klon itu disita di Ipoh, Manjung (20), Taiping (12), Tapah (10), Kuala Kangsar (enam) dan Teluk Intan (empat).

    Katanya jenama kereta klon paling banyak disita adalah Honda terdiri daripada pelbagai model termasuk Jazz, Odyssey, Civic dan Stream selain Toyota, Subaru, Audi, BMW, Mazda, Mercedes, Mitsubishi, Mini Cooper serta Volvo.

    Ramli Awang berkata hasil siasatan mendapati nombor casis kenderaan klon yang dirampas tiada dalam sistem pendaftaran JPJ selain nombor pendaftaran dan cukai jalan yang diguna adalah palsu.

    Beliau memberi amaran mana-mana pihak yang menggunakan cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk didakwa di mahkamah.

    “Selepas disaman, mereka akan didakwa di mahkamah, jika gagal hadir ke mahkamah, waran tangkap dikeluarkan dan nama mereka disenarai hitam,” katanya menambah setakat ini belum ada pembeli di Perak didakwa kerana proses siasatan sedang dijalankan.

    Ramli Awang berkata pihak JPJ juga akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk melupuskan kenderaan klon yang disita.

    “Menggunakan kereta klon ini banyak risiko lebih-lebih lagi apabila berlaku kemalangan kerana pembeli tidak boleh membuat tuntutan insurans,” katanya.

     
     
  • MRT : Penutupan jejambat Jalan Sungai Buloh dan jalan susur ke Jalan Kuala Selangor mulai hari ini

    MRT_SgBuloh

    MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan media berhubung dengan penutupan jangka masa panjang di jejambat Jalan Sungai Buloh dan jalan susur ke Jalan Kuala Selangor (arah Kepong). Penutupan ini berlangsung selama 45 hari iaitu mulai 8 Mac hingga 17 April 2016 pada setiap hari iaitu dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

    Penutupan ini dilaksanakan bagi kerja-kerja pemasangan jambatan pejalan kaki di Stesen MRT Sungai Buloh.

    Sepanjang penutupan ini, semua pengguna jalan raya dinasihati mengikuti isyarat lencongan dan sentiasa berhati-hati ketika melalui jalan terbabit.

    Bagi yang datang dari arah Jalan Hospital menuju ke Kepong, akan dilencongkan untuk menyeberang jejambat masuk Jalan Kuala Selangor (arah Kuala Selangor) dan membuat pusingan U di The Store, Bandar Baru Sungai Buloh sebelum memasuki semula ke Jalan Kuala Selangor untuk menuju ke Kepong (sila rujuk tanda arah berwarna hijau pada peta di atas).

    Sementara bagi yang datang dari Jalan Sungai Buloh menuju ke Kepong, akan dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor (arah Kuala Selangor) dan membuat pusingan U di The Store, Bandar Baru Sungai Buloh sebelum memasuki semula ke Jalan Kuala Selangor untuk ke Kepong (rujuk tanda arah berwarna biru pada peta di atas).

     
     
  • Dabong gantikan Gua Musang sebagai stesen terakhir KTM bagi tren ulang alik di Wilayah Timur

    ktm-intercity-antarabandar-train

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua perkhidmatan tren ulang alik di Wilayah Timur bermula dari stesen Tumpat dan berakhir di stesen Dabong sejak 6 Mac baru-baru ini.

    Sebelum ini, perkhidmatan tren berkenaan bermula dari stesen Tumpat dan berakhir di stesen Gua Musang. KTMB berkata perubahan destinasi itu bagi memberi laluan kepada pihak kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja membaik pulih jambatan dan landasan kereta api yang telah musnah akibat banjir pada 2014.

     
     
  • Chevy Camaro Edisi Ulangtahun ke-50 diperkenalkan

    Chevy_Camaro_50th_1

    Dalam diam-diam Chevrolet telah memperkenalkan Camaro Edisi Ulangtahun ke-50. Digambarkan sebagai “Camaro yang paling epik” yang pernah dibina, model edisi istimewa ini menampilkan warna luaran Nightfall Gray Metallic dengan pemisah hadapan dan rim aloi rekaan unik bersaiz 20-inci. Ia juga dilengkapi dengan gril hadapan yang dipertingkatkan, kaliper brek berwarna oren dan jaluran badan Ulangtahun ke-50.

    Varian paling tinggi juga didatangkan dengan RS Appearance Package termasuk lampu utama HID, lampu belakang LED dan spoiler belakang.

    Walau bagaimana pun, Chevrolet masih enggan mendedahkan foto rekaan kabinnya namun berkata, ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit lembut berwarna hitam. Malah ia juga dipadankan dengan jahitan kontras berwarna oren, plat ambang iluminasi dan rekaan khas sempena ulangtahun ke-50 pada panel instrumen, penyandar tempat duduk dan roda stereng.

    Model edisi terhad ini boleh didapati dengan varian 2LT, 2SS Coupe atau Convertible. Ia menampilkan enjin 6.2 liter V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 455 hp dan tork 610 Nm. Enjin ini juga dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan tetapi pelanggan juga diberikan pilihan kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    Camaro Edisi Ulangtahun ke-50 akan mula dijual pada musim panas ini dan harganya akan diumumkan menjelang tarikh pelancarannya.

     
     
  • BMW Group Malaysia umum 10 pemenang #myBMW100Years – ditaja sepenuhnya ke Munich

    10. Passing the Torch – BMW ‘Coupe Sport Lightweight' - Adam Muza Muhayen

    Sempena ulangtahun ke-100 BMW Group, BMW Group Malaysia telah mengumumkan 10 pemenang bagi pertandingan #myBMW100Years, iaitu sebahagian daripada aktiviti dan acara bagi meraikan sambutan tersebut.

    Setiap individu yang menyertai pertandingan ini telah berkongsi memori terbaik masing-masing mengenai kereta BMW dan motosikal BMW, dengan mengetengahkan karakteristik jenama ini yang membawakan kegembiraan dalam kehidupan mereka.

    Setiap pemenang bakal menerima pakej percutian yang ditaja sepenuhnya iaitu melawat BMW Welt dan BMW Museum di Munich, di mana mereka berpeluang menikmati pengalaman penuh bermakna dan mengenali jenama BMW dengan lebih dekat lagi.

    Pemenang bagi #myBMW100Years ialah:

    1. BMW Birthday Cake? – Wan Aznir
    2. My BMW is Family – Iylia Hakim Bin Abdul Wahid
    3. BMW 1st SUV – Carmen Tan Lee Wei
    4. My Love Affair with the BMW Marque – Eng Kim Leng
    5. Beautifully Made for Winners – Elaine Tan Lay Poh
    6. Pride, with Prejudice – Thanendran Thanesvaran
    7. Don’t Wait Until 40 to Get BMW – Kasman Bin Kamis
    8. Riding to the Top of the World With Friends – Lim Soon Hin
    9. Nostalgia – Lai Joo Koi
    10. Passing the Torch – BMW ‘Coupe Sport Lightweight’ – Adam Muza Muhayen

     
     
  • Jepun mahukan ujian emisi dan kecekapan bahan api dunia nyata, berikutan ujian makmal yang kurang tepat

    Mazda-2-SkyActiv-D-Clean-Diesel-Challenge-41_BM

    Kementerian pengangkutan Jepun akan mengimplementasikan ujian emisi diesel berdasarkan dunia nyata berikutan ujian yang dilakukan pada model keluaran beberapa pengeluar gagal memperoleh keputusan yang mematuhi garis panduan undang-undang emisi negara matahari terbit tersebut.

    Menurut The Japan Times, varian diesel Nissan X-Trail, Land Cruiser Prado dan van komersial Toyota Hiace menghasilkan 10 kali lebih banyak gas nitrogen oksida (NOx) berbanding yang dibenarkan. Tidak seperti skandal diesel Volkswagen, tiada sebarang “defeat device” dijumpai pada kesemua kenderaan yang diuji tersebut.

    Kereta keluaran Mazda yang diuji iaitu SUV Mazda CX-5 2.2 diesel dan Mazda Demio (dikenali sebagai Mazda 2 di sini) 1.5 liter diesel menunjukkan prestasi yang baik dalam ujian tersebut, menunjukkan ujian pada dunia nyata hampir menyamai ujian makmal enjin itu. Akhbar terbitan Jepun itu juga turut mendakwa tiada pengeluar automotif yang mengambil berat penalti yang bakal dikenakan berikutan ujian yang dilakukan hanyalah memerlukan sesebuah kenderaan itu lulus ujian makmal sahaja dan bukan pada ujian dunia nyata.

    Kerajaan Jepun terpanggil untuk membuat keputusan tersebut berikutan CEO Volkswagen Group baharu, Matthias Muller yang turut menyuarakan kepada pihak berkuasa di Eropah untuk membuat ujian sedemikian di sana.

    “Percanggahan hasil ujian antara ujian rasmi dan penggunaan sebenar tidak lagi boleh diterima. Kami, iaitu industri ini, perlu untuk mengambil langkah baharu,” kata Muller. Pembuat kereta dari Perancis, PSA Peugeot Citroen, turut mengumumkan bermula Oktober tahun lalu laporan yang diterbitkan berkenaan angka penggunaan bahan api pada “kereta-kereta utama” mereka adalah berdasarkan ujian sebenar pada dunia nyata.

    Salah satu jalan penyelesaian untuk isu ini telah dikenal pasti sebagai program ujian-atas-jalan Emmission Analytic, yang dikatakan sangat hampir dengan hasil ujian dunia nyata. Prosedur Ujian Ringan Sedunia (WLTP) yang dirancang, dibangunkan di bawah forum UNECE WP29, ia mensasarkan hasil ujian kecekapan bahan api dan pencemaran/emisi CO2 yang lebih realistik.

     
     
  • ‘The Proton Search’ mencari pemilik kereta Proton paling lama – hadiah utama Proton Saga serba baharu

    Print

    Pengeluar kenderaan nasional, Proton, sedang ligat mencari pemilik atau sesiapa yang mewarisi kereta Proton yang paling lama. Menerusi ‘The Proton Search’, pertandingan ini dianjurkan selama 13 minggu, bagi mencari pemilik kereta Proton yang paling setia di Malaysia.

    ‘The Proton Search’ ini mencari pemilik yang setia bagi sama-sama berkongsi cerita menarik tentang kereta Proton yang dimiliki ini. Pemenang akan ditentukan berdasarkan perbatuan tertinggi. Pencarian ini telah pun bermula sejak 8 Mac lalu dan akan berakhir pada 8 Jun ini.

    Pertandingan ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan dan lesen memandu sah. Kereta Proton berkenaan juga perlu mempunyai cukai jalan yang sah dan insurans tahunan yang diperbaharui sejak pemilikannya. Selain itu, kereta Proton tersebut mestilah kegunaan peribadi, bukannya untuk komersil, maknanya ia bukan digunakan sebagai teksi dan ia perlu dimiliki oleh pemilik tunggal atau disimpan oleh keluarga pemilik asalnya sejak ia dibeli. Syarat lain ialah kereta Proton berkenaan mestilah masih boleh digunakan, diselenggara dengan baik dan kelihatan seperti yang asal (bukan yang telah dimodifikasi).

    Proton-1-at-Asia-Klasika-Motor-Festival-2015-e1457343717984

    Pertandingan ini adalah sebahagian daripada kempen ‘The New Proton’ yang memberikan pengalaman dan nilai yang lebih baik bagi pemilik kereta Proton dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh disertai.

    “Sejak diperkenalkan, kami telah menjual lebih empat juta kereta Proton dan ini adalah pencarian pemilik kereta Proton yang setia dan memberikan peluang kami untuk mendekati mereka. Kami akan mengutamakan para pelanggan, dan sangat berbangga dengan mereka yang banyak menyokong kami selama ini,” ujar Datuk Abdul Harith Abdullah, CEO Proton.

    Untuk menyertainya, para peserta hendaklah menghantar borang penyertaan ini bersama cerita pendek atau rakaman video berdurasi 60 saat tentang kereta Proton yang dimiliki. Borang penyertaan boleh didapati di cawangan Proton terpilih atau muat turun dari laman web rasmi Proton. Borang yang difotostat juga diterima.

    “Kami mencari 11 pemenang dan hadiah utama yang ditawarkan ialah Proton Saga baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Sementara 10 hadiah saguhati berupa pakej membaikpulih kereta Proton milik mereka bernilai RM5,000 dan juga wang tunai sebanyak RM1,000. Malah kesemua pemenang juga akan dibawa melawat kilang Proton,” tambah Harith lagi.

    Untuk maklumat lanjut mengenai pertandingan ini, sila layari laman web rasmi Proton www.proton.com, www.facebook.com/ProtonCarsOfficial atau instagram @ProtonCars.

     
     
  • LaFerrari Spider bersedia untuk diperkenalkan?

    Screen Shot 2016-03-07 at 4.29.34 PM

    Agak lama juga perkhabaran Ferrari akan membikin LaFerrari Spider, supercar hibrid versi one-top ini. Baru-baru ini jurugambar automotif David Benoit telah memuat naik teaser mengenainya menerusi Facebook, seakan mengesahkan perkhabaran ini.

    Malah foto yang dimuat naik turut menampilkan kotak perhiasan gentian karbon dengan logo Ferrari di hadapannya, bersama lakaran ilustrasi LaFerrari tanpa bumbung pada bahagian atasnya. Ia turut memberikan bukti bahawa model supercar tersebut julung kali bakal ditampilkan pada umum, walau pun tidak menyatakan bilakah masanya.

    Kemungkinan besar, lokasi yang bakal dipilih untuk menampilkan supercar itu ialah di Paris Motor Show yang bakal berlangsung pada Oktober ini. Perincian mengenainya masih terkunci rapi, namun dijangkakan LaFerrari Spider ini mungkin akan berkongsi sedikit elemen yang sama dengan versi hardtop, termasuklah dikeluarkan secara edisi terhad (antara 150-200 unit sahaja) dan juga harganya.

    FerrariLaFerrari_05-850x478

    LaFerrari Spider mungkin akan dipadankan dengan penjana kuasa hibrid 6.3 liter V12 bersama sistem HY-KERS yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 950 hp dan tork 900 Nm. Kuasanya dihantar ke roda belakang menerusi transmisi klac-berkembar tujuh-kelajuan.

    Berkenaan dengan bumbungnya, LeFerrari Spider sepatutnya menampilkan bumbung keras yang mudah untuk dibuka kerana ia menampilkan mekanisme yang mekanikal tetapi akan menambahkan lagi beratnya. Tetapi jika menampilkan bumbung yang lebih lembut pula, ia kurang sesuai jika supercar dipacu dalam kelajuan yang tinggi. Bumbung keras tidak mendatangkan masalah jika jentera ini dipacu sehingga 350 km/j.

    GALLERY: LaFerrari di Ferrari World Abu Dhabi

     
     
  • Platform global terbaharu Subaru didedahkan, bakal dijadikan asas pembangunan model akan datang

    Subaru-Global-Platform-1_BM

    Fuji Heavy Industries (FHI) telah mendedahkan platform terbaharu Subaru untuk model mereka yang akan datang. Platform yang diberi nama Subaru Global Platform itu direka untuk model baru yang bakal dibina sehingga tahun 2025.

    Platform baharu tersebut dikatakan mempunyai peningkatan prestasi keseluruhan yang ketara berbanding platform sebelum ini. Keteguhan pada badan platform ini sendiri telah ditingkatkan secara dramatik (peningkatan 70% hingga 100% berbanding terdahulu) dengan cara mengoptimakan struktur kerangka dan cantuman yang lebih kuat, serta lebih banyak penggunaan plat keluli tegangan tinggi serta material yang dibentuk dengan proses ‘hot press‘.

    Aspek bunyi, getaran dan kekasaran (NVH) juga dapat diperbaiki dengan keutuhan yang dipertingkat, membolehkan pengagihan resonan dan herotan melalui badan yang lebih baik. Ini akan menghilangkan getaran yang banyak dari roda stereng, lantai dan tempat duduk.

    Olahan yang dibuat pada sistem suspensi membolehkan pusat graviti (COG) pada platform ini lima mm lebih rendah. Pemasangan pada sistem suspensi yang lebih tegar pula membolehkan kebolehan menyerap hentakan yang lebih bagus, menghasilkan pemanduan yang lebih lembut dan selesa. Penstabil belakang dipasang terus pada badan untuk mengurangkan kadar olengan kurang 50% berbanding model terdahulu.

    Keselamatan merupakan antara fokus utama pembangunan platform ini,oleh itu kebolehan menyerap tenaga ketika berlaku pelanggaran direka dengan lebih efisien. Subaru menyatakan peningkatan 40% dalam kebolehan menyerap tenaga pada platform terbaharu ini berbanding platform sebelumnya, dan ia bakal meningkat dari masa ke masa seiring dengan penggunaan material baru pada masa akan datang.

    Akhir sekali, platform baharu ini juga direka agar selari dengan rekaan semua model baharu Subaru untuk masa akan datang. Ini turut termasuk dalam penyesuaian bukan sahaja unit janakuasa petrol, ia turut bakal dikuasakan dengan unit hybrid, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Platform ini juga dibina agar ia boleh diproduksi dalam sebuah fasiliti produksi yang sama walaupun dengan komponen yang berbeza dan pelbagai varian model, berbanding model sebelum ini yang perlu diproduksi di beberapa kilang berbeza.

    Subaru Global Platform bakal digunakan untuk pembangunan semua kenderaan baharu Subaru bermula sekarang, dimulakan dengan pembangunan generasi terbaharu Subaru Impreza yang bakal masuk ke pasaran akhir tahun ini. Impreza serba baharu tersebut telah ditampilkan sebelum ini, dengan varian konsep hatchback lima pintu dan sedan di Tokyo dan Los Angeles. Model lain akan diikuti kemudian termasuk crossover XV terbaharu, yang juga telah ditampilkan pada Geneva Motor Show 2016 awal bulan ini.

    GALERI: Subaru XV Concept


    GALERI: Subaru Impreza Sedan Concept

    GALLERY: Subaru Impreza 5-Door Concept

     
     
  • B9 Audi A4 telah ditunjukkan di laman web Audi Malaysia, bakal dilancarkan tidak lama lagi

    Audi-A4-teaser-e1457328879389

    Audi Malaysia telah menayangkan pelan kewangan progresif baharu dan boleh dilihat ia menawarkan semua barisan model sedia ada di Malaysia, termasuklah model B8 A4 sedia ada, yang disahkan telah pun habis dijual.

    Menariknya, laman web terbabit turut menyebut B9 Audi A4 baharu akan dilancarkan tidak lama lagi. Dibina dengan platform MLB Evo yang dipertingkatkan, B9 ternyata lebih besar dan menampilkan imej yang turut diperbaharui, begitu juga dengan ruang dalaman yang diberi penambah baikan termasuk menampilkan kluster instrumen kokpit maya 12.3-inci, paparan stail-tablet 8.3-inci dengan sistem hiburan MMI sebagai opsyen, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi dan sistem audio Bang & Olufsen dengan teklogi bunyi 3D secara opsyen.

    Secara keseluruhan, sebanyak tujuh pilihan enjin ditawarkan, termasuk tiga penjana kuasa petrol – 1.4 TFSI (150 hp/250 Nm), 2.0 TFSI (190 hp/320 Nm) dan 2.0 TFSI (252 hp/370 Nm).

    Ketiga-tiga enjin tersebut mungkin ditawarkan di sini (dengan transmisi S tronic klac-berkembar tujuh-kelajuan dan menawarkan pilihan sama ada pacuan roda-hadapan atau quattro AWD), bersaing dengan BMW 318i/Mercedes-Benz C 180, 320i/C 200 dan 330i/C 300, yang menyamai output enjin tersebut.

    Selain itu, elemen baharu yang ditampilkan bagi sedan ini, termasuklah penyerap hentak kawalan redaman berterusan (CDC) dengan injap kawalan-elektromagnetik ke sistem stereng berkuasa elektromekanikal yang lebih ringan dan responsif berbanding B8.

    GALERY: B9 Audi A4 di Venice, Itali

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula 93,929 unit kenderaan termasuk CR-Z dan Insight berhubung masalah bateri

    Honda-Malaysia-12V-Recall_BM

    Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) mengumumkan akan membuat panggilan semula 93,929 unit keretanya berhubung masalah bateri 12V.

    Kesemua pemilik unit yang terlibat merangkumi model City, Civic, Jazz, CR-V, CR-Z, Freed dan Insight (rujuk carta di atas untuk maklumat yang lebih terperinci berkenaan model dan tahun pengeluaran yang terlibat) akan dihubungi oleh pihak Honda menerusi surat. Pelanggan yang menerima surat perlu menghubungi pusat servis terdekat untuk membuat temujanji dan penukaran bateri tersebut. Kesemua kos alat ganti dan kos buruh akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak HMSB.

    Untuk kepastian, pelanggan boleh menyemak sendiri status kenderaan mereka terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini menerusi laman web rasmi Honda Malaysia atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020.

    Menurut Honda lagi, setakat ini, tiada lagi kecederaan dilaporkan berhubung isu ini dan langkah proaktif yang diambil Honda ini adalah langkah keselamatan untuk mengelakkan dari berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini.

     
     
  • Honda Civic Tourer Type-R dibina oleh pasukan Synchro Motorsport, wagon Type-R tunggal di dunia.

    tourer-type-r-e1457317394207_BM

    Pasukan Synchro Motorsport, pasukan yang membawa Civic Type-R bertanding dalam perlumbaan endurance di Eropah dan disokong sepenuhnya oleh Honda of UK Manufacturing telah membina sebuah Civic Tourer versi Type-R.

    Wagon Type-R tersebut telah dibina sepenuhnya di kilang Honda yang terletak di Swindon, UK oleh kakitangan Synchro Motorsport dan juga kakitangan Honda sendiri yang terlibat dalam pembinaan Civic Type-R hatchback. Jadi, kereta ini bukanlah wagon yang diubahsuai, tetapi model yang dibina oleh pihak Honda sendiri. Tetapi, ia dibina hanya satu unit sahaja dan pihak Honda belum lagi bercadang untuk memproduksikan kereta ini.

    Honda Civic Tourer Type-R ini menampilkan sepenuhnya muka dari Type-R hatchback yang merangkumi apron hadapan dengan liang kemasukan udara yang besar, ruang roda dan fender hadapan yang telah dikembangkan, liang fender,skirt sisi dan diffuser belakang yang besar serta empat tip ekzos. Bahagian dalaman Tourer Type-R ini turut disalin terus dari Type-R hatchback dimana tempat duduk bucket merah dapat disaksikan pada foto tersebut.

    honda-tourer-type-r-e1457317435797_BM

    Kesemua kelengkapan mekanikal dari Type-R hatchback turut disadur terus pada wagon ini dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 306 hp dan tork maksima 400 Nm disalurkan terus ke permukaan jalan menerusi kotak gear manual enam-kelajuan dengan LSD memacu roda hadapan. Tiada laporan prestasi rasmi dari Honda berkenaan wagon Type-R ini tetapi berdasarkan prestasi Type-R hatchback, ia mungkin boleh memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa kurang enam saat dan kelajuan maksima sekitar 270 km/j.

    Potensi prestasi platform Civic Tourer ini sebenarnya telah diteroka seawal 2013 dimana pasukan Honda Yuasa Racing iaitu pasukan rasmi Honda UK, memilih platform tersebut untuk bertanding pada kejohanan Touring Car British (BTCC) pada tahun 2014. Ia menjadikan Civic Tourer platform wagon kedua yang bertanding dalam kejohanan tersebut selepas Volvo melakukannya pada tahun 1994 menerusi model Volvo 850 Estate. Projek tersebut merupakan projek eksperimentasi pasukan Honda Yuasa Racing setelah menjadi juara dengan Civic Hatchback pada tahun 2013. Civic Tourer meletakkan Honda Yuasa Racing di tempat ketiga dalam kategori pasukan pada BTCC musim 2014.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025