Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Hanya mahu beri ruang Mat Moto berlumba – Ku Nan

    2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

    Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan idea untuk menutup sebahagian jalan di sekitar ibu kota untuk memberikan peluang kepada Mat Moto berlumba bukanlah kerana menyokong aktiviti rempit mereka, sebaliknya mahu memberikan ruang berlumba secara sah, laporan The Sun.

    “Saya bukan mahu bersetuju dengan tindakan merempit, tetapi sekadar mahu memberikan mereka ruang. Selepas ini, diharap mereka tidak akan berlumba di jalan raya sewenang-wenangnya terutamanya di kawasan kejiranan. Mungkin kita patut membenarkan mereka berlumba di jalan yang selamat dalam sebulan sekali atau dua,” terangnya, sambil menambah ada pihak yang menentang cadangan ini kerana tidak memahami apakah visi beliau di sebalik rancangan ini.

    “Mereka tidak memahaminya kerana mereka tidak melihat apa yang berlaku di jalanan, seperti mana yang saya sering lakukan. Kesian juga pada Mat Rempit ini. Kebanyakan mereka berlumba kerana tiada sumber hiburan lain,” ujarnya. Beliau turut berkata, diharap tindakan ini mampu mengurangkan gejala lumpa haram.

    Katanya lagi, cadangan ini adalah lebih kurang sama program ‘pagi tanpa kereta’ pada setiap Ahad dwimingguan yang dianjurkan di ibu kota. “Mungkin ia menggunakan laluan yang sama dan berakhir di Padang Merbok serta mempunyai beberapa aktiviti hiburan di sana termasuk sesi jamming dan sebagainya.” Tengku Adnan turut berkata, perkara ini akan dibincangkan bersama JPJ, pihak polis dan Kementerian Pengangkutan untuk lebih terperinci.

    PG01_040114_MAT REMPIT

    Pada bulan lalu, Tengku Adnan telah mengeluarkna kenyataan mengenai idea mengadakan perlumbaan ini adalah untuk mengatasi masalah perlumbaan motorsikal haram yang semakin berleluasa sekarang. Malah cadangan tersebut mungkin akan dikembangkan ke negeri-negeri lain termasuk Malaysia Timur. Namun ia mendapat kritikan daripada banyak pihak yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

    Datuk Bandar Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata beliau terbuka dengan idea tersebut dan mahukan pihak yang terlibat mengemukakan kertas cadangan, sambil menambah DBKL akan membantu dalam penutupan jalan dan lain-lain hal yang berkaitan. Walau bagaimana pun, pihak polis turut memandang serius akan perkara ini, dan menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraan Awam, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, perbincangan lebih lanjut akan dilakukan dengan kementerian Wilayah Persekutuan untuk tindakan selanjutnya.

    Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, turut berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Tengku Adnan untuk membincangkan perkara ini lebih lanjut. Begitu juga dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai juga berkata, kajian terperinci akan dilakukan terutamanya isu risiko kemalangan dan kesesakan trafik.

     
     
  • Goodyear perkenal dua konsep tayar masa hadapan untuk kereta pintar di Geneva Motor Show 2016

    Eagle 360 Concept Tire

    Here's a video with more information about the Eagle 360 concept tire.

    Posted by The Goodyear Tire & Rubber Company on Tuesday, March 1, 2016

    Dengan teknologi ‘multiplexing‘ yang digunakan secara meluas di dalam industri automotif sekarang, kereta dapat dibina dengan pelbagai ciri pintar. Teknologi tersebut juga bakal mewujudkan kereta yang boleh bergerak sendiri tanpa dipandu manusia seperti yang sedang dibina oleh beberapa pengeluar.

    Teknologi ini sebenarnya menghubungkan semua penderia dan kotak komputer dalam kereta dan menjadikan ia seolah-olah sebuah rangkaian ‘Local Area Network’ (LAN) di dalam kereta, membolehkan semua bahagian elektronik dalam kereta berhubung sesama sendiri dan berkongsi input penderia.

    Tetapi, perhubungan antara kereta dan tayar setakat ini hanyalah terhad pada bacaan tekanan angin sahaja. Justeru, Goodyear telah memperkenalkan dua konsep tayar untuk kereta pintar masa hadapan di Geneva Motor Show 2016 yang bakal mengangkat dunia pembuatan tayar ke tahap teknologi yang lebih tinggi.

    Tayar konsep yang pertama ialah Goodyear Eagle-360. Tayar ini dibina dengan bentuk-sfera seperti bola. Bunga pada tayar tersebut akan diterapkan dengan proses cetakan 3D, bergantung pada lokasi pemanduan dan juga tabiat pemanduan pemandu kereta itu sendiri. Corak bunga yang direka seperti corak otak tersebut berfungsi menjadikan tayar ini bertindak seperti span untuk menyerap hentakan. Ia juga akan mengeras sendiri ketika kering dan menjadi lembut ketika basah untuk memberikan prestasi cengkaman terbaik dan menghindarkan tayar terapung (aquaplanning) ketika meredah lopak. Tayar ini akan dipasang pada kereta dengan daya apungan medan magnet.

    Tayar tersebut juga dilengkapi dengan penderia, di mana ia akan mengawal kelajuan maksima kereta bergantung pada keadaan jalan. Ia juga boleh berkomunikasi dengan tayar dari kereta lain di atas jalan di mana data yang dibaca oleh penderia tadi boleh dipindahkan sesama mereka, membolehkan kedudukan tayar diubah sebelum ia sampai pada permukaan jalan yang dilalui kereta yang memberikan input tadi. Kedudukan tayar juga akan ditukar sendiri untuk memanjangkan jangka hayatnya.

    Dengan bentuk sfera itu juga, ia membolehkan kereta bergerak kesemua arah – membolehkan kereta dipandu dan diparkir pada ruang yang sempit serta keselamatan penumpang dapat ditingkatkan.

    Tayar konsep yang kedua pula diberi nama IntelliGrip. Tayar ini masih kelihatan seperti tayar konvensional tetapi diterapkan dengan pelbagai teknologi di dalamnya. Penderia berteknologi tinggi akan dibina di dalam tayar yang akan bekerjasama dengan corak bunga tayar yang direka khas untuk mengesan bentuk dan keadaan cuaca permukaan jalan. Ini akan membolehkan kereta pintar mengadaptasi kelajuannya berdasarkan keadaan jalan yang sedang dilaluinya.

    Ia juga dilengkapi dengan teknologi ‘Active-wear‘ dimana teknologi ini akan mengoptimumkan pengunaan bunga tayar bergantung pada tekanan tayar dan suhu tekanan. Goodyear juga akan mengembangkan teknologi ini bagi membolehkan ia berinteraksi dengan sistem kawalan stabiliti (ESC), sistem kawalan brek seperti ABS, EBD dan sebagainya serta sistem kawalan suspensi.

    Walau bagaimana pun, kedua-dua tayar ini hanya diumumkan sebagai konsep masa hadapan oleh pihak Goodyear dan tiada lagi prototaip nyata ditampilkan.

     
     
  • Koenigsegg Agera Final One of 1 sangat terhad!

    Koenigsegg-Agera-Final-One-of-1-1

    Digambarkan sebagai “edisi terhad yang amat bermakna”, Koenigsegg Agera Final One of 1 merupakan model terakhir dalam barisan Agera. Walau bagaimana pun, menerusi program Agera Final, para pemiliknya diberi kebebasan untuk menentukan reka bentuk dan spesifikasi bahagian yang boleh ditempah khas untuk jentera mereka. Terhad kepada tiga model sahaja, Koenigsegg Agera Final One of 1 merupakan lambang kejayaan Agera RS.

    Menurut Koenigsegg, “One of 1” yang pada namanya adalah disebabkan para pelanggan mahukan Agera mirip pada Koenigsegg One:1 daripada sudut prestasi. Ia masih mengekalkan tingkap bumbung, bumbung storable dan ruang bagasi penuh. One of 1 juga hanya seberat 1,380 kg.

    Daripada segi rekaannya, pereka Koenigsegg bekerja secara lebih rapat dengan pemiliknya bagi memberikan apa yang mereka mahukan, termasuk mengekalkan rekaan bumbung dan ruang penyimpanan barang. Dalam masa yang sama masih mengekalkan tahap aerodinamiknya. Selain itu, peralatan dan fabrik yang dipilih juga lebih terperinci dan ia tidak boleh ditiru atau digunakan pada model lain.

    Koenigsegg-Agera-Final-One-of-1-3

    Antara elemen rekaan kustom yang ada pada One of 1 termasuklah pemisah hadapan baharu, tiga winglet pada bampar hadapan, corong udara pada bahagian bumbung, sayap belakang dengan bilah kedua dan winglet yang boleh dilaras. Di mana bahagian spesifik ini direka menggunakan bendalir pengiraan dinamik bagi meyalurkan kuasa downforce yang lebih maksimum serta mengekalkan fungsi ruang penyimpanan barangan di bahagian hadapan.

    Selain itu, bahagian yang turut dikustom juga termasuklah jaring perisai bahagian belakang, logo khas pada bahagian sayap dan sisi serta ekzos titanium berkembar cetakan-3D dengan nama “One of 1”. Bahagian kabinnya pula, ia menampilkan lebih banyak logo dan juga penukar gear dengan kekemasan aluminium.

    Sementara itu, semua kos pilihan adalah standard bagi One of 1, iaitu sebahagian daripad aprogram Agera Final. Ini termasuklah beberapa elemen seperti roda gentian karbon Aircore yang ringan serta kekemasan gentian karbon pada bahagian panel badannya.

    Agera Final One of 1 dijanakan enjin 5.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu memberikan kuasa sehingga 1,360 hp dan tork 1,371 Nm. Semua model Agera Final ini akan dihantar kepada pemiliknya akhir 2017.

     
     
  • Uber mungkin sediakan bayaran alternatif secara tunai

    uber-x-car_BM

    Pelanggan Uber mungkin boleh membayar perkhidmatan tersebut secara tunai, sebagai sistem bayaran alternatif yang sedang dipertimbangkan oleh syarikat terbabit.

    Jika dilaksanakan, ia berpotensi ‘mengambil’ penumpang yang sebelum ini lebih banyak menggunakan perkhidmatan teksi mahu pun pesaing Uber sendiri iaitu Grab, laporan The Star.

    Setakat ini, Uber hanya menawarkan pembayaran menerusi kad kredit untuk perkhidmatannya.

    Menurut Ketua Komunikasi Uber Asia Selatan, Karun Arya, syarikatnya memahami bahawa Malaysia antara salah satu pasaran yang menggunakan wang tunai sebagai kaedah pembayaran utama. Justeru, adalah relevan jika Uber menawarkan sistem bayaran tunai secara alternatif untuk perkhidmatan di sini. Walau bagaimana pun, beliau tidak mengesahkan adakah perkara ini akan dilaksanakan.

    Perkhidmatan Uber dilihat lebih murah berbanding caj tambang yang dikenakan oleh syarikat teksi, apatah lagi pada Januari lalu Uber turut mengumumkan struktur harga baharu yang menyaksikan penurunan kadar tambangnya.

    Di bawah struktur harga baharudi Kuala Lumpur, tambang asas/minimum adalah 95 sen (berbanding RM2 sebelum ini), manakala tarif selepas mula bergerak ialah 25 sen per minit (sebelum ini 35 sen) atau 60 sen bagi setiap kilometer (sebelum ini 70 sen per km).

     
     
  • Mazda VX-1 facelift kini di Indonesia, rebadged Ertiga

    mazda-vx1-fl-front

    Nampak gayanya bukan MPV Proton-Suzuki sahaja yang akan rebadged Suzuki Ertiga. Malah Mazda juga melakukan perkara yang sama untuk pasaran Indonesia dan MPV tersebut dinamakan sebagai VX-1. Suzuki Ertiga telah dipertingkatkan pada tahun lalu, dan kini tiba pula giliran Mazda VX-1 untuk hadir dengan versi facelift.

    Imej yang disiarkan menerusi laman web Autonetmagz ini menunjukkan Mazda VX-1 facelift yang nampak seiras dengan Ertiga FL dari bahagian hadapan. Walau bagaimana pun, VX-1 ini bukanlah seperti Ertiga facelift standard (bukan juga Dreza) kerana terdapat beberapa elemen tambahan, termasuk lampu belakang merah dan palang krom yang lebih tebal di bawah plat nombor. Ia membuatkan imejnya lebih segar, malah turut menampilkan cermin sisi boleh laras secara automatik dengan lampu isyarat membelok dan pengesan parkir belakang.

    Pada bahagian kabinnya, terdapat beberapa elemen baharu dan dipertingkatkan termasuk head unit baharu, cermin auto pada bahagian pemandu dengan anti-penahan, penapis pada penghawa dingin, punca kuasa pada barisan tengah dan barisan ketiga yang boleh dilipat secara 50:50.

    Klik untuk besarkan imej

    Daripada sudut mekanikal, tiada perubahan. Ia masih menggunakan enjin Suzuki yang sama iaitu K14B 1.4 liter yang mampu memberikan kuasa 92 PS dan tork 130 Nm. Turut dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Harga yang ditawarkan adalah bermula Rp.200.5 juta (RM62,610) hingga Rp.221.5 juta (RM69,168).

    Apa pendapat anda dengan VX-1 dan Ertiga? Ini adalah soalan yang saling berkait memandangkan MPV bajet itu bakal berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi dengan logo Proton, iaitu hasil kerjasama antara Proton dan Suzuki. Malah Proton juga telah mengumumkan model kerjasama pertama Proton-Suzuki akan memasuki produksi sebelum tahun 2016 berakhir.

    Pada Januari lalu, juga telah sah Ertiga akan dieksport ke Malaysia dari Indonesia, untuk proses pemasangan tempatan mulai suku kedua (Q2) 2016. Malah produksi untuk CKD ini akan bermula pada Mei ini, dengan jumlah yang disasarkan sebanyak 1,500 unit sebulan. Baca mengenai ‘Proton Ertiga’ di sini.

    GALLERY: “Proton Ertiga” renderings


    GALLERY: Suzuki Ertiga facelift at GIIAS 2015

     
     
  • Nissan X-Trail, Qashqai Premium Concept di Geneva

    Nissan-X-Trail-Premium-Concept-Geneva-live-4-2

    Jika inginkan SUV yang lebih mewah dan bergaya, Nissan telah menyuntik elemen tersebut pada dua modelnya. Dibawakan khas ke Geneva Motor Show 2016, Nissan telah memperkenalkan dua versi ‘Premium Concept’ bagi SUV terlarisnya iaitu Qashqai dan X-Tral.

    Menurut Nissan, konsep yang dipamerkan ini bertujuan untuk menunjukkan “bagaimana satu reka bentuk yang dinamik dan premium boleh meningkatkan dan memberi kesinambungan bagi crossover yang pernah memenangi anugerah pada masa akan datang”.

    Nissan-Qashqai-Premium-Concept-Geneva2-e1456973827991

    Dengan kekemasan tembaga keemasan dan gentian karbon yang melatari kedua-dua crossover ini, Qashqai turut diwarnakan dengan hitam pekat, sementara X-Trail oula dengan warna badan putih pekat. Kedua-duanya juga tampil dengan roda unik 20-inci.

    Bagi hiasan dalaman pada model konsep ini, kulit upholstery menjadi pilihan, dengan material dan palet warna yang berbeza untuk membuatkan kedua-duanya mampu menonjol dengan gaya yang tersendiri. Secara keseluhan Nisaan Qashqai dan X-Trail Premium Concept ini pasti mampu menarik perhatian ramai jika ia diterapkan pada model produksi kelak. Adakah anda juga bersetuju dengan pendapat ini?

     
     
  • ETS tawar 30% diskaun sehingga 31 Mac ini – KTMB

    KL12_120810_TREN_ETS

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sedang mengadakan promosi berkonsepkan ‘Siapa cepat dia dapat’ bermula semalam sehingga 31 Mac ini bagi hari-hari tertentu kecuali dari 12 hingga 20 Mac. Promosi ini menawarkan tambang murah untuk 2,900 tempat duduk dengan diskaun 30% bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk hari-hari tertentu bulan ini, laporan Bernama.

    Menurut kenyataan KTMB, tawaran itu membabitkan tren ETS dari Kuala Lumpur ke Ipoh bernombor 9302 yang berlepas pukul 7 pagi dan tiba di Ipoh pada 9.20 pagi setiap hari.

    Promosi itu juga ditawarkan bagi tren bernombor 9314 bagi perjalanan yang sama, yang berlepas dari Kuala Lumpur pada 11.40 malam dan tiba di Ipoh pada 2 pagi bagi Jumaat, Sabtu dan Ahad.

    Selain itu, promosi itu juga ditawarkan untuk tren ETS bernombor 9217 dari Butterworth yang berlepas pada 9.45 malam dan tiba di Ipoh pada 11.24 malam bagi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad manakala tren ETS bernombor 9231 laluan sama berlepas pada 5 pagi dan tiba 8.35 pagi bagi setiap hari.

    Orang ramai boleh membeli tiket bagi kesemua perjalanan itu yang sudah mula dijual semalam secara online melalui laman sesawang KTMB atau aplikasi KTMB mobile.

     
     
  • Penggodam kad Touch ‘n Go akan ditangkap – laporan

    TnG-SmartTag

    Touch ‘n Go telah memberi amaran keras bagi sesiapa sahaja yang mencari peluang untuk menggodam kad dengan menambah nilai secara tidak sah dan menggunakannya untuk membayar tol dan tambang pengangkutan awam mahu pun membeli barangan, menurut laporan The Star.

    “Sistem Touch ‘n Go sentiasa dipertingkatkan dan bagi yang cuba melakukan penipuan, pasti akan ditangkap,” ujar CEO Syahrunizam Samsudin. Beliau turut mengulas insiden baru-baru ini di mana sepasang suami isteri ditahan polis di Kota Damansara selepas disyaki terlibat dalam kes penggodaman kad prabayar Touch ‘n Go bagi tujuan menambah nilai amaun kad pada 22 Feb lepas.

    Menurutnya lagi, “Kami ingin menekankan di sini, kejadian tersebut tidak akan memberikan kesan terhadap pengguna yang lain. Kami memberi jaminan ini berdasarkan pelaburan yang telah kami lakukan dalam teknologi sistem kad, proses dan mekanisme pengesanan penipuan.”

    Syahrunizam turut menambah memang ada orang yang tidak bertanggungjawab dalam perkara seumpama ini, termasuk yang cuba untuk menyalahguna, memanipulasi atau menganggu teknologi untuk melakukan penipuan. Malah beliau sempat menasihatkan orang ramai agar membeli kad dari pengedar-pengedar yang sah sahaja.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din pula, “Pasangan terbabit menggodam kad melalui aplikasi dalam telefon bimbit yang dipindahkan dari komputer riba untuk menggodam kod kad berkenaan bagi menambah nilai kad dengan nilai maksimum sebanyak RM 1,500 untuk setiap transaksi secara haram tanpa kebenaran daripada syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd.”

    Mohd Zani berkata pasangan itu aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak Disember tahun lepas untuk kegunaan peribadi menyebabkan nilai kerugian syarikat itu yang dianggarkan berjumlah RM20,000.

    Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997.

     
     
  • Puspakom sediakan perkhidmatan bayaran alternatif menerusi kad Touch ‘n Go di 11 cawangan terpilih

    puspakom-cermin-gelap-850x534

    Bagi anda yang menghantar kenderaan untuk diperiksa di Puspakom, kini pembayaran secara elektronik (selain bayaran secara tunai) iaitu penggunaan kad Touch ’n Go telah pun disediakan. Ia adalah untuk semua jenis pemeriksaan hanya di cawangan-cawangan tertentu untuk memudahkan para pelanggan.

    Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, penggunaan kad Touch ’n Go ini dapat mempercepatkan proses pembayaran di Puspakom tanpa perlu menyediakan wang tunai seiring dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Badan korporat atau syarikat-syarikat yang mempunyai PLUSTrack Card dan Fleet Pass Card daripada Touch ’n Go juga boleh diterima pakai di cawangan-cawangan tersebut.

    “Penggunaan kad Touch ’n Go ini telah diperkenalkan di 11 cawangan yang terpilih di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka dan telah pun mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelanggan. Pusat pemeriksaan PUSPAKOM di Shah Alam merupakan cawangan pertama yang memperkenalkan perkhidmatan penggunaan kad Touch ’n Go sejak tahun 2014,” ujar Mohammed Shukor

    Di mana usaha pelaksanaan ini merupakan satu inisiatif yang diambil PUSPAKOM bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan.

    Katanya lagi, “Kami bercadang untuk melanjutkan perkhidmatan ini secara berperingkat ke cawangan-cawangan PUSPAKOM lain.”

    Cawangan-cawangan yang telah melaksanakan perkhidmatan dengan penggunaan kad Touch ’n Go adalah seperti berikut:

    Screen Shot 2016-03-03 at 11.42.08 AM

     
     
  • Mercedes-AMG A 45 facelift di M’sia – 381 hp, RM349k

    Mercedes_A45-2

    Sempena dengan pelancaran model facelift W176 A-Class, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut mengambil kesempatan untuk memperkenalkan versi yang paling hardcore model facelift Mercedes-AMG A 45. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM348,888 tanpa insurans.

    Hanya lebih RM1,000 berbanding model asal, A 45 4Matic facelift ini menerima suntikan kuasa yang lebih, dengan enjin petrol 2.0 liter turbo pancitan bahan api terus berkuasa 381 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 475 Nm bermula seawal 2,250 rpm hingga 5,000 rpm. Kesemua kuasa dari enjin dialirkan ke keempat-empat roda menerusi kotak gear AMG Speedshift DCT tujuh-kelajuan dan juga sistem pacuan empat roda 4Matic.

    AMG A 45 kini boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam hanya 4.2 saat, 0.4 saat lebih pantas dari model sebelumnya. Ini adalah kerana enjin baharu ini mampu mengekstrak lebih 21 hp dan nisbah gear pada sistem transmisi kereta ini telah diperbaharui dengan nisbah yang lebih efisien.

    Mercedes_A45-12

    Di samping itu terdapat pertambahan elemen baharu bagi hot hatch ini iaitu suspensi AMG Ride Control Sports dengan peredam adaptif. Sistem ini hanya untuk model standard A 45 sahaja, dengan menampilkan dua tahap peredam iaitu Comfort dan Dynamic. Malah turut menambah baik dua tahap roda stereng sensitif-kelajuan dan ia sebahagian daripada pakej AMG Ride Control.

    Sistem AMG Performance Exhaust juga adalah standard bagi hot hatch ini, menampilkan penutup ekzos yang boleh berubah bagi memanipulasi ekzos mengikut mod pemanduan. Bagi AMG Ride Control dan Performance Exhaust, termasuk transmisi, pendikit dan karakteristik stereng, ia dikendalikan oleh tuil Dynamic Select (yang menggantikan butang kawalan E-S-M) pada konsol tengah – mod Comfort, Sport, Sport+, Race dan Individual turut terdapat pada A 45 ini.

    Pada bahagian luarnya, ia menerima gaya AMG baharu termasuk bahagian bampar hadapan dan belakang spesifik-AMG, rim aloi pelbagai-jejari MAG 19-inci dan kaliper brek berwarna merah. Terdapat juga pertambahan pakej AMG Aerodynamic, dengan menambah penutup hadapan dan belakang termasuk spoiler belakang dengan kekemasan hitam berkilat. Bahagian hadapan juga menampilkan gril AMG dengan logo Three-Pointed Star di tengah.

    Elemen standard yang turut ditampilkan termasuk Night Package dengan beberapa elemen berwarna hitam berkilat pada perumah cermin sisi dan belt line, sementara lampu utama LED High Performance dan lampu belakang LED turut ditampilkan.

    Ciri AMG masih menjalari bahagian dalamnya termasuklah AMG Performance Seats dengan balutan kulit upholstery, Alcantara, tali pinggang keledar berwarna merah, karpet lantai AMG dan kekemasan gentian karbon dengan perincian merah pada balutan papan pemuka.

    A 45 ini juga menerima roda stereng tiga-jejari baharu dengan material cengkaman Alcantara, skrin paparan media lapan-inci bersama ciri hiburan COMAND Online bersama penukar DVD. Ia juga menampilkan paparan bagi kamera undur.

    Untuk keselamatan, A 45 masih menawarkan lapan beg udara dan Attention Assist sebagai standard. Malah ia turut menampilkan Collision Prevention Assist Plus, sistem Amaran Pelanggaran Hadapan dengan bantuan brek yang ditambah baik bagi mengurangkan risiko pelanggaran dari belakang.

    Ia turut menampilkan Bantuan Parkir Aktif sebagai standard. Tiada tayar simpanan disertakan, namun menawarkan kit baiki tayar TIREFIT di bahagian kargo. walau bagaimana pun,A 45 tidak menampilkan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

    Mercedes-AMG A 45 turut ditawarkan dengan waranti empat tahun bersama perbatuan tanpa had.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class 2016 facelift dilancar – A 180 ditambah dalam varian, harga bermula RM195k

    Mercedes_A250-2

    Mercedes-Benz A-Class facelift 2016 kini telah dilancarkan di Malaysia. Selain dari mendapat rupa yang lebih segar dan beberapa ciri baharu, hatchback kompak dari Mercedes ini turut mendapat ‘adik’ baru dalam variannya iaitu A 180 Urban Line, menjadikan A-Class boleh dipilih dalam empat varian termasuk varian terdahulu A 200, A 250 Sport, dan Mercedes-AMG A45.

    Pada bahagian luaran, A-Class baharu ini mendapat sentuhan segar pada bampar hadapan berbentuk anak panah – seiras dengan rekaan konsep A-Class yang tampil pada tahun 2011. Lampu hadapan turut hadir dengan rekaan baharu dengan teknologi LED, mengapit gril baharu berbentuk-berlian. Beralih pada bahagian belakang, dapat disaksikan lampu belakang juga mendapat rekaan baharu begitu juga dengan trim ekzos dua tip yang ‘ditanam’ pada bampar belakang.

    Bahagian dalaman kereta ini masih lagi kelihatan seiras dengan model sebelum ini. Ia dibezakan dengan grafik pada tulisan di suis-suis kawalan kemasan ‘anodised’ yang direka agar kelihatan lebih mewah. Paparan skrin sistem infotaimen tunggal di tengah papan pemuka juga kini lebih besar bersaiz lapan-inci. Kemasan keseluruhan juga diberi pilihan warna dan juga material baharu. Tempat duduk hadapan untuk kesemua varian kini boleh dilaras sedalam 60 mm.

    Untuk model asas A 180 Urban Line baharu,ia menampilkan temapt duduk dibaluti campuran fabrik dan kulit dan papan pemuka dengan kemasan corak gentian karbon. Ia dikuasakan dengan enjin petrol 1.6 liter turbo berkuasa 122 hp dengan tork maksima 200 Nm memacu roda hadapan. Dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar (7G-DCT) automatik, A 180 mampu memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 8.6 saat.

    A 200 menggunakan enjin yang sama dengan A 180 tetapi dengan kuasa yang lebih besar iaitu 156 hp dan tork maksima 250 Nm. Enjin tersebut turut dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan DCT memacu roda hadapan.

    Untuk varian A 200 kali ini ia menampilkan pakej luaran AMG line yang meliputi bampar yang lebih sporty, skirt sisi, dan juga roda aloi 18-inci AMG. Bukan sahaja penampilannya lebih sporty, A 200 AMG Line juga dilengkapi suspensi talaan AMG yang menampilkan spring yang lebih keras dan merendahkan lagi A 200 ini sebanyak 15 mm.

    Kemasan AMG turut boleh dilihat didalam bahagian dalaman A 200 ini termasuk roda stereng tiga-jejari dengan pelbagai fungsi, kemasan bercorak gentian karbon pada papan pemuka, dan juga tempat duduk balutan Alcantara dengan sulaman benang merah yang juga meliputi pada kemasan panel pintu dan perehat tangan di bahagian tengah.

    Varian A250 Sport masih menggunakan enjin petrol 2.0 liter turbo pancitan bahan api terus berkuasa 211 hp dan tork 350 Nm dan dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan 7G-DCT memacu roda hadapan. Tetapi, ia kini turut dilengkapi dengan “Launch Assist” yang membolehkan kereta ini ‘berlepas’ dari kedudukan pegun dengan lebih efisien tanpa geseran yang berlebihan pada roda hadapan ketika dipacu. Paparan ‘ECO’ juga dilengkapi untuk model ini membolehkan pemandu mengekalkan gaya pemanduan yang efisien.

    A250 juga dilengkapi dengan sistem suspensi talaan AMG yang menampilkan spring yang lebih keras dan kedudukannya direndahkan sebanyak 15 mm.

    Kini semua varian A-Class boleh dipandu dengan pilihan mod pemanduan “Comfort”, “Sport”, “Eco” dan “Individual” semudah menggerakkan suis kawalan menerusi sistem ‘Dynamic Select’. Sistem ini akan mengubah talaan enjin, transmisi, stereng dan juga penghawa dingin mengikut mod pemanduan yang dipilih pemandu.

    Sistem keselamatan dan bantuan elektronik seperti tujuh unit beg udara, lampu brek adaptif, sistem bantuan mengelak pelanggaran, Attention Assist, Kawalan Kelajuan (Cruise Control), kamera undur, Bantuan Parkir Undur, penggilap cermin dengan penderia hujan, adalah standard untuk semua varian A-Class. Sistem Pantauan Tekanan Udara Tayar juga standard untuk semua varian kecuali pada model A 180.

    A 180 dijual pada harga bermula RM195,888 hingga RM196,888 untuk model yang dilengkapi roda aloi AMG bersaiz 18-inci. A 200 pula dijual dengan harga RM205,888, manakala A 250 Sport dijual pada harga RM238,888. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Sebagai usaha untuk menarik lebih golongan muda untuk memiliki A-Class, pihak Mercedes-Benz menyediakan skim pinjaman sewa-beli dengan kadar bunga serendah 2.18% hingga 2.38% dan tempoh bayaran balik bermula tiga ke tujuh tahun.

    GALERI: Mercedes-Benz A 180 Urban Line

    GALERI: Mercedes-Benz A 200

    GALERI: Mercedes-Benz A 250

     
     
  • Sebahagian NKVE ditutup sementara 13 Mac ini

    NKVE_KM15

    Pada 13 Mac ini, laluan di antara Persimpangan Bertingkat Bukit Lanjan dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) akan ditutup sementara sempena larian amal meraikan ulang tahun ke-50 Kumpulan UEM Berhad.

    Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abdul Hamid berkata laluan itu akan ditutup mulai 12.30 tengah malam hingga 10 pagi, menurut laporan Bernama.

    Penutupan itu membabitkan empat persimpangan bertingkat di laluan itu iaitu di Subang, Damansara, Kota Damansara dan sebahagian laluan Bukit Lanjan-Shah Alam.

    Bagi kelancaran trafik, pengguna lebuh raya itu perlu menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan mereka sepanjang tempoh penutupan tersebut.

    Klik untuk besarkan imej

    “Pengguna dari arah utara yang ingin ke Lebuhraya ELITE, Seremban dan destinasi lain di selatan perlu keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan menerusi Persimpangan Rawang Selatan dan menggunakan Lebuhraya Guthrie sebelum memasuki Lebuhraya ELITE menerusi Plaza Tol Shah Alam,” katanya.

    Noorizah berkata lebih 250 pegawai dan anggota polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) akan menyelaras dan mengawal lalu lintas di jalan-jalan alternatif tersebut.

    Malah peserta dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan mereka di pusat beli-belah Paradigm, Stadium Kelana Jaya dan Pusat Perniagaan Kelana.

     
     
  • Toyota baik pulih struktur syarikat lebih berasaskan produk – mahu hasilkan kereta yang lebih baik

    Toyota C-HR Geneva live 1

    Toyota sentiasa mahu mencari peluang bagi menghasilkan barisan model kereta yang lebih baik pada masa hadapan. Untuk ke arah itu, pengeluar kereta terkemuka ini mengambil keputusan untuk meneruskan pembangunan tenaga kerjanya, serta membuat perubahan yang lebih banyak daripada segi struktur supaya dapat memperkemaskinikan proses kerja bagi keseluruhan syarikat. Perubahan ini akan efektif April 2016.

    Pembaik pulih struktur ini bermakna syarikat akan membina organisasi berdasarkan produk, berbanding berdasarkan fungsi semata-mata. Menurut Presiden Toyota, Akio Toyoda, “Saya mahu menganggap ini sebagai satu peluang untuk memperkukuhkan lagi tenaga kerja kami dan seterusnya mendorong perbuatan penghasilan kereta yang lebih baik. Sama ada perubahan struktur ini merupakan penyelesaian yang baik atau sebaliknya, ia bukan di tangan kita.”

    Objektif lain yang turut terlibat dalam langkah penstrukturan ini termasuklah dari unit R&D hingga ke pengeluaran, unit perniagaan individu yang akan membuat keputusan dengan lebih pantas dan berdikari, dan memperkuatkan lagi fungsi untuk objektif jangka masa panjang dan strategi korporat.

    Akio-Toyoda-Lexus-LC-500-e1456910839999

    Langkah ini turut melibatkan syarikat dalaman termasuk Innovative R&D and Engineering Company; Toyota Compact Car Company; Mid-size Vehicle Company; CV Company; Lexus International Co.; Power Train Company; dan Connected Company. Tanggungjawab dan kuasa sepenuhnya akan diserahkan kepada presiden setiap syarikat dalaman terbabit, yang bertanggungjawab dalam perancangan dan pelaksanaan kerja dalam jangka masa pendek atau panjang berkaitan dengan pembangunan dan strategi produk.

    Selain itu, Frontier Research Center bakal dibangunkan, untuk membina teknologi baharu dan model perniagaan dalam jangka masa panjang, termasuk mencari input secara lebih agresif daripada organisasi penyelidikan dan ahli Kumpulan Toyota sendiri.

    Hingga kini, Toyota telah melaksanakan beberapa perubahan struktur sebagai cara untuk menghasilkan kereta yang lebih baik, mempertingkatkan kekuatan untuk operasi serantau dan menekankan kepentingan genchi-genbutsu (proses pembelajaran dan penyelesaian masalah) dalam latihan personal.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia dan Cycle & Carriage Bintang lancar City Store Autohaus pertama di TREC KL

    Photo 1

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan Cycle & Carriage Bintang Berhad (CCB) telah membuka Mercedes-Benz City Store yang pertama di Malaysia. Terletak di hab gaya hidup dan hiburan, TREC Kuala Lumpur, ia menawarkan pengalamanpenuh bermakna buat pelanggan baharu Mercedes-Benz serta penggemar sedia ada.

    Dengan pelaburan bernilai RM4.3 juta, Mercedes-Benz City Store ini yang berkeluasan 9,373 kaki persegi ini mempunyai tujuh bilik pameran yang dilengkapi dengan pelbagai papan tanda interaktif yang menampilkan pelbagai informasi mengenai model Mercedes sedia ada. Selain itu, terdapat 16 jurujual yang bersedia memberikan perkhidmatan khidmat jualan yang diperlukan oleh para pelanggan. Malah juga mempunyai kawasan privasi i-Showroom, termasuk lounge eksklusif untuk pelanggan serta rekaan dalaman yang moden dan terkini.

    “Sempena dengan ulang tahun ke-130 Mercedes-Benz, kami mahu melangkah lebih ke hadapan. Dengan keunikan format yang ditonjolkan, Mercedes-Benz City Store yang pertama ini turut mengetengahkan konsep yang lebih segar,” ujar Timbalan Presiden MBM, Mark Raine.

    Photo 2

    Menurut CEO CCB Datuk Wong Kin Foo pula, “Pada tahun 1951, Cycle & Carriage diberikan mandat untuk mengedarkan jenama Mercedes-Benz di Malaysia, dan kami memulakan perniagaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (atau dahulu dikenali sebagai Batu Road). Ia menjadi perintis pada peruncitan jualan automotif.

    “Memandangkan lokasi tersebut kurang kondusif untuk bilik pameran automobil, kami berpindah ke Regal House di Jalan Tun Razak yang lebih mudah untuk diakses. Kini, selepas 65 tahun, kami berpindah ke lokasi ini pula.”

    Dua minggu yang lalu, CCB telah melancarkan Autohous di Petaling Jaya, dan diikuti dengan Autohous Georgetown seminggu kemudian. Kedua-duanya turut menampilkan identiti korporat Mercedes-Benz yang baharu.

     
     
  • DBKL menaik taraf Jalan Mohd Yatim Yahaya dan Jalan Wangsa Perdana 1 untuk elak kesesakan

    JAM1

    Menyedari bakal berlaku kesesakan jalan raya berikutan pembangunan beberapa kondominium di kawasan Wangsa Maju, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah proaktif untuk menaik taraf simpang tiga di Jalan Mohd Yatim Yahaya dan Jalan Wangsa Perdana 1, Wangsa Maju.

    Seperti yang dilaporkan Bernama, Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata projek naik taraf itu melibatkan tiga pembaharuan iaitu penambahan daripada satu laluan kepada dua laluan pada setiap arah, pembinaan lampu isyarat dan simpang kiri ke Desa Putra Kondominium dari Jalan Mohd Yatim Yahaya.

    Tambah beliau lagi, hanya ada satu laluan sahaja pada setiap arah dan tiada lampu isyarat di simpang tiga dari arah Jalan Wangsa Perdana 1 sebelum belok ke kanan menuju ke Desa Putra Kondominium.

    “Penambahan pembinaan kondominium di kawasan sekitarnya juga dijangka akan menambah kira-kira 20,000 penduduk pada masa akan datang dan mungkin akan menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat kepadatan penduduk,” ujar beliau kepada pemberita.

    Pengarah Esekutif Pengurusan Projek DBKL Datuk Syed Afendy Ali Syed Abid pula dilaporkan berkata, pihaknya hanya mahu menjadikan dua laluan di setiap arah jalan di simpang tiga masuk ke Desa Putra Kondominium dari arah Jalan Wangsa Perdana 1 bagi melancarkan lalu lintas pada pelan asal.

    Katanya keputusan itu dicapai hasil perbincangan daripada pelbagai pihak antaranya penduduk setempat, syarikat prasarana, syarikat-syarikat pemaju kondominium dengan DBKL.

    “Oleh kerana kepadatan penduduk pada masa akan datang dan Stesen LRT Sri Rampai juga terletak berdekatan dengan Desa Putra Kondominium, maka kami bercadang untuk menambah lampu isyarat selepas perbincangan dengan penduduk serta pemaju-pemaju.”

    Projek penaiktarafan ini akan bertambah sebanyak RM1 juta daripada bajet asal iaitu RM41.7 juta kerana pembinaan lampu isyarat di kawasan itu dan kos itu akan ditanggung sepenuhnya oleh DBKL dan dijangka siap dalam masa dua tahun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025