Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Volkswagen Beetle generasi kedua akan ditamatkan jualannya secara berperingkat di Australia

    Volkswagen_Beetle_Club_Malaysia_-073

    Volkswagen Beetle generasi kedua akan “ditamatkan jualannya secara berperingkat’ di Australia disebabkan kemerosotan jualan, laporan CarAdvice. Walau bagaimana pun, Beetle akan tetap dijual di pasaran negara lain di seluruh dunia.

    Hanya berada di pasaran berkenaan selama tiga tahun, keputusan itu diambil kerana jualannya kian merosot saban tahun. Pada tahun 2013, hanya 799 unit model Beetle generasi kedua ini terjual. Sementara pada tahun 2015, ia hanya mencatatkan jualan sebanyak 204 unit. Manakala bagi suku pertama tahun 2016, hanya 43 unit sahaja yang terjual.

    Walau pun ramai yang memuji Bettle baharu ini kerana ia tampil lebih baik berbanding modelnya, namun tema ‘versi baharu klasik’ ini gagal menambat perhatian pembeli. Berbanding Fiat 500 dan MINI Hatch yang mampu mencatat jualan lebih memberangsangkan berbanding Beetle di negara berkenaan.

    Volkswagen_Beetle_Club_Malaysia_-082

    Di Australia, Bettle didatangkan dengan satu varian sahaja iaitu enjin 1.4 liter TSI bersama kotak gear manual lima-kelajuan atau DSG tujuh-kelajuan. Ia dijual pada harga atas jalan yang boleh tahan tinggi juga iaitu antara AUD$31,390 (RM97,070) hingga AUD$33,890 (RM102,635), dan terdapat beberapa alasan tersendiri mengapa ia sukar mencatatkan jualan yang bagus di sana.

    “Beetle menjadi ‘niche model‘ di Australia, dan kami mengambil keputusan untuk menghentikannya secara berperingkat pada tahun ini,” ujar Volkswagen Australia dalam kenyataan yang dikeluarkan. Selain itu, Beetle juga akan menerima ‘peningkatan yang selayaknya’ bagi model edisi terhad di sana.

    “Pastinya Beetle menjadi sebahagian daripada warisan yang penting di peringkat tempatan mahu pun seluruh dunia, jadi untuk mengucapkan selamat tinggal pada Beetle di Australia, kami akan mengeluarkan model edisi terhad dengan menawarkan elemen yang lebih unik,” tambah kenyataan tersebut.

    GALERI: Volkswagen Beetle Club Edition di Malaysia

     
     
  • Hyundai Tucson ditawarkan dengan enjin 1.7 CRDi bersama transmisi 7DCT untuk pasaran Eropah

    Hyundai-Tucson-Europe_BM

    Hyundai Tucson kini menerima gandingan unit kuasa baharu untuk pasaran Eropah, menjadikan sejumlah enam pilihan enjin tersedia untuk Tucson dalam pasaran benua tersebut. Unit kuasa terbaharu ini menampilkan enjin 1.7 liter turbodiesel digandingkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan automatik (7DCT).

    Enjin “U2” 1.7L CRDi ini mampu menghasilkan sejumlah 141 PS dan tork maksima 340 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,500 rpm. Digandingkan dengan kotak gear 7DCT, kesemua kuasa enjin dialirkan ke kedua-dua roda hadapan dan membolehkan Tucson memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.5 saat. Kelajuan maksima yang dicatatkan pula ialah pada 185 km/j. Enjin ini menggunakan sejumlah 4.9 liter diesel dalam jarak 100 km dan mengeluarkan 129 g gas CO2 setiap kilometer.

    Hyundai-Tucson-Europe-Cabin_BM

    Hyundai mengatakan kotak gear 7DCT yang dibina mereka sendiri tersebut mampu untuk memberikan kecekapan bahan api lebih 20% lebih bagus dan pengeluaran gas CO2 yang lebih rendah berbanding kotak gear enam-kelajuan automatik konvensional. Unit kuasa terbaharu ini juga dilengkapi dengan ciri ‘start & stop’ enjin secara automatik (ISG) sebagai ciri standard.

    Dipasang di Republik Czech untuk pasaran Eropah, Hynudai Tucson generasi-ketiga ini merupakan model terlaris Hyundai di Eropah dengan lebih 115,000 unit terjual semenjak pengenalannya di sana pada lewat 2015. Di Malaysia, Tucson dilancarkan pada November tahun lalu dan ditawarkan dengan enjin petrol 2.0 liter MPI berkuasa 155 ps/192 Nm dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Dengan pilihan dua trim iaitu Elegance dan Executive, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran bermula RM129,991 (Elegance) hingga RM142,633 (Executive).

     
     
  • Volvo V90, S90, dan XC90 bakal dikuasakan dengan enjin 1.5 liter T5 Twin Engine berkuasa lebih 250 hp

    2015-volvo-t5-twin-engine-live-pictures-001_BM

    Volvo bakal melengkapkan barisan model Siri 90 (S90, V90, dan XC90) mereka dengan unit kuasa baharu 1.5 liter Twin Engine plug-in Hybrid. Volvo percaya enjin yang pada awalnya direka untuk menjana model kompak mereka itu cukup berkuasa untuk dipadankan pada model yang lebih besar.

    “Kami telah pun memadankan enjin tiga-silinder dengan bantuan pengecas turbo dan kotak gear klac berkembar pada V40, dan ia memberikan prestasi terbaik,” kata ketua penyelidikan dan pembangunan Volvo Dr Peter Mertens kepada Auto Express.

    “Dengan enjin 1.5 liter, kami jangka 150 hp lebih adalah mudah untuk dicapai, jika tidak ada orang yang memberitahu anda, anda tidak tahu yang ia adalah sebuah enjin tiga-silinder. Kami akan memadankan enjin ini pada model Siri 60 (S60,V60, dan XC60) yang akan datang dan ia juga akan turut dipadankan pada S90. Ia sangat meyakinkan,” tambah beliau.

    Sekarang ini satu-satunya unit kuasa hibrid yang dipadankan pada XC90, S90 dan V90 hanyalah unit 2.0 liter T8 Twin Engine yang mampu menghasilkan 407 hp dan tork 640 Nm. Enjin 1.5 liter tiga-silinder petrol mampu menghasilkan kuasa sehingga 150 hp, unit T5 Twin Engine untuk model kompak mereka pula berupaya menghasilkan kuasa sehingga 250 hp dan tork maksima 400 Nm. Angka yang dihasilkan tersebut sememangnya cukup kuat untuk menjana model yang lebih besar seperti Siri 90.

    Seperti diperincikan sebelum ini, unit T5 Twin Engine dikatakan dibina untuk model yang lebih kompak, seperti Volvo V40 dan dijangkakan juga untuk XC40. Unit kuasa plug-in hybrid tersebut menampilkan enjin petrol 1.5 liter Drive-E dengan pengecas turbo memacu roda hadapan, manakala motor elektrik 55 kW memacu roda belakang, menjadikan ia sebuah sistem pacuan semua roda hibrid. Motor elektrik yang dilengkapi dengan bateri 9.7 kWh lithium-ion dan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan klac berkembar automatik tersebut membolehkan V40 bergerak dengan kuasa eleketrik sepenuhnya dalam jarak 50 km.

    Spesifikasi ini adalah untuk model kompak Volvo. Untuk menjana model Siri 90 yang lebih besar, unit T5 Twin Engine tersebut mungkin tampil dengan spesifikasi yang berbeza.

     
     
  • Honda City baharu tiba di India Oktober ini – laporan

    honda-city

    Menurut IndianAutosBlog, Honda Cars India akan memperkenalkan Honda City facelift pada Deepavali tahun ini iaitu penghujung Oktober 2016. Walau bagaimanapun, jangan cepat teruja kerana belum dipastikan adakah City baharu ini hanya akan ke pasaran India atau pun mungkin dijual di negara lain.

    Seperti mana laporan tersebut dikeluarkan, City, yang dilancarkan di India pada tahun 2014, dikatakan mengalami peningkatan termasuk dengan bentangan dalaman baharu berwarna hitam bagi varian yang dikenali sebagai City VX. Selain itu, difahamkan Honda turut mengubah sedikit bahagian luaran model tersebut dengan beberapa elemen yang dipertingkatkan.

    Honda City di India kini dijual pada harga bermula 1,100,000 rupees (RM67k). Di negara berkenaan, City dipadankan dengan enjin petrol 1.5 liter i-VTEC dan diesel 1.5 liter i-DTEC, yang digabungkan bersama transmisi manual lima-kelajuan atau CVT auto. Malah laman web berkenaan turut memberitahu, City di India akan ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan baharu yang diimplementasi dari Honda BR-V.

    Di Malaysia, harga baharu bagi Honda City telah pun diumumkan di mana kini lebih mahal berbanding sebelum ini selepas Honda Malaysia mengumumkan peningkatan harga yang membabitkan semua modelnya. Sebelum itu, Honda City spesifikasi tempatan juga telah diperkenalkan dengan warna badan baharu iaitu Dark Ruby Red Pearl.

     
     
  • Honda Civic 2016 dilancarkan di Thailand 12 Mac ini

    Honda Civic 2016 diumumkan akan berada di bilik pameran seluruh Thailand bermula 12 Mac ini. Pendedahan tersebut diumumkan oleh Honda Thailand sendiri setelah menyiarkan video pendedahan awalan Civic generasi ke-10 tersebut.

    Pada bulan Februari, journalis automotif Thailand diberi peluang untuk memandu uji Civic tersebut di litar. Sesi itu mendedahkan dua varian disediakan untuk pasaran Thai iaitu 1.8 liter SOHC i-VTEC yang menggunakan enjin R18A sedia ada, dan juga varian RS yang menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

    Tiada perubahan kuasa disaksikan pada enjin R18A di mana ia mash berkuasa 139 hp dan tork maksima 174 Nm. Tetapi enjin tersebut tidak lagi dipadankan dengan kotak gear automatik torque converter, sebaliknya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. Enjin VTEC Turbo 1.5 liter pula berupaya menghasilkan kuasa 173 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 220 Nm bermula 1,700 rpm hingga 5,500 rpm, juga dipadankan dengan kotak gear CVT automatik.


    Video pendedahan awalan yang berdurasi 15 saat ini memberikan sedikit informasi berkenaan ciri-ciri yang dilengkapi pada Civic spesifikasi Thailand ini. Bermula dengan bahagian luar di mana dapat disaksikan ia dilengkapi dengan lampu hadapan bi-xenon berserta lampu nyalaan siang LED bina dalam. Di pasaran negara lain Civic generasi ke-10 ini mempunyai varian yang ditampilkan dengan lampu hadapan LED penuh, tetapi tidak diketahui ciri tersebut bakal dilengkapi pada Civic pasaran Thai atau tidak.

    Dalam video tersebut juga dapat disaksikan enjin kereta ini boleh dihidupkan dengan fungsi kawalan jauh, di mana suisnya terdapat pada unit kunci kereta seperti yang terdapat pada Accord facelift yang baru dilancarkan di Thailand bulan lalu. Pada paparan meter utama pula, ia dilengkapi dengan paparan TFT berwarna diapit dengan meter konvensional berjarum. Paparan TFT tersebut bukan hanya memberikan bacaan kelajuan kereta, ia juga akan memaparkan fungsi lain termasuk paparan kawalan pemain media.

    Seperti sebelum ini, Honda akan mula melancarkan model baharu mereka bermula dengan pasaran Thailand dan kemudian ke negara serantau lain termasuk Malaysia tidak lama selepas itu. Andaian spesifikasi untuk pasaran Malaysia juga biasanya akan dibuat berdasarkan spesifikasi yang diterapkan pada pasaran Thailand.

    GALERI: Honda Civic RS 2016 pasaran Thailand


    GALLERY: Honda Civic 2016 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • ‘Teksi Mini’ dengan tambang murah dijangka diperkenalkan pada penghujung tahun ini

    Perodua_Axia_ 001

    Kerajaan dikatakan bakal memperkenalkan perkhidmatan ‘teksi mini’ untuk bandar-bandar besar terutamanya Kuala Lumpur dengan menawarkan kadar tambang yang lebih murah kepada pengguna.

    Hari ini akhbar Berita Harian melaporkan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan perkhidmatan itu.

    Teksi mini itu dikatakan akan menggunakan kenderaan dengan kuasa kuda di bawah 100 cc seperti Perodua Axia kerana ia juga murah daripada segi penyelenggaran.

    “Ramai yang mempersoalkan peranan kerajaan dalam membantu rakyat yang berhadapan dengan taraf hidup yang tinggi termasuk kos pengangkutan.”

    “”Kadar tambang teksi motosikal atau basikal roda tiga di Indonesia dan Thailand begitu murah, tetapi kita tidak menawarkan perkhidmatan sebegitu kerana ia dianggap berbahaya daripada segi keselamatan. Jadi perkhidmatan teksi mini ini dianggap idea yang lebih baik memandangkan penyelenggarannya juga murah,” ujar Aziz pada akhbar tersebut.

    Beliau turut menambah, teksi mini akan menawarkan perkhidmatan dalam jarak yang dekat seperti dari mana-mana stesen LRT ke rumah pengguna.

    Malaysia-Taxi-03

    Katanya lagi, perkhidmatan baharu ini akan dijadikan sebahagian daripada program transformasi dan ia tidak akan memberikan kesan terhadap perniagaan teksi konvensional. Malahan ia juga mampu memberikan persaingan yang kompetitif dengan perkhidmatan UBer dan Grabcar.

    Walau bagaimana pun, cadangan ini ternyata tidak disenangi oleh pengusaha dan pemandu teksi konvensional sedia ada. Menerusi laporan Bernama, pemandu teksi di ibukota telah menyuarakan kebimbangan bahawa pendapatan mereka akan lebih terjejas jika kerajaan meneruskan cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi mini hujung tahun ini.

    Malah dalam masa yang sama meluahkan rasa, pendapatan mereka merosot sejak bersaing dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar. Di mana teksi mini itu dilihat akan mewujudkan lebih banyak persaingan di kalangan pemandu teksi sedia ada kerana ia menawarkan harga yang lebih ekonomi kepada pengguna.

     
     
  • Petron Blaze RON 100 Euro 4M kini RM2.60/liter

    PETRON-RON100-IMG_1021

    Petron Blaze 100 Euro 4M, bahan api RON 100 yang baru diperkenalkan di Malaysia pada Januari lalu telah mengalami penstrukturan harga. Di mana bahan api premium ini kini berharga RM2.60 per liter, turun 20 sen berbanding sebelum ini. Ia berbeza 65 sen daripada RON 97 (RM1.95/liter pada Mac 2016).

    Tidak seperti RON 95, RON 97 dan diesel, harga Petron RON 100 ini tidak diaturkan, dan perubahan harganya (jika ada) tidak semestinya akan berlaku pada 1 haribulan pada setiap bulan. Ini merupakan perubahan harga pertama buatnya sejak ia diperkenalkan bagi pasaran tempatan. Sebelum ini, ia 55 sen lebih mahal berbanding RON 97 (RM2.25 pada Januari 2016).

    Buat setakat ini, Petron Blaze 100 boleh didapati di lapan stesen di Lembah Klang dan Johor:

    Lembah Klang

    Petron Jalan Maarof
    Petron Tol Sg. Besi Arah Selatan
    Petron Taman Tun Dr. Ismail
    Petron Kesas Arah Barat
    Petron Batu 3 Lebuhraya Persekutuan
    Petron Damansara Kayu Ara

    Johor

    Petron Tol Skudai Arah Utara
    Petron Linkedua Arah Selatan

     
     
  • Perodua Myvi ditawarkan rebat RM3k – Std G, Advance

    2015_Perodua_Myvi_Facelift_Premium_X_vs_Advance_-01

    Memasuki tahun 2016, kita dapat lihat beberapa jenama kenderaan seperti Honda, Toyota, Lexus, Kia, Peugeot, Citroen, Audi dan Mitsubishi telah menaikkan harga model kenderaan masing-masing. Pada pertengahan Februari lalu pula, Proton mengambil langkah yang sama dan hari ini Nissan juga
    telah mengumumkan bakal menaikkan harga mulai April ini,

    Walau bagaimana pun terdapat juga beberapa model kereta seperti Mercedes-Benz C-Class, BMW 1-Series dan BMW 3-Series diturunkan harganya, hasil daripada cukai insentif Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

    Walau pun turut terkesan dengan kesan kemerosotan pertukaran mata wang asing, setakat ini, Perodua juga masih belum membuat keputusan untuk mengikuti jejak langkah pengeluar kereta lain yang menaikkan harga. Bahkan, suatu yang ‘mengejutkan’ kerana Perodua kini menawarkan “penebusan tunai” sebanyak RM3,000 bagi model Myvi. Promosi ini berlangsung sepanjang Mac 2016. Difahamkan ia hanya untuk varian terpilih sahaja iaitu Standard G dan Advance.

    Bagi Myvi 1.3 standard G, harga atas jalannya bermula RM40,862 bagi manual dan RM43,862 untuk auto, termasuk insurans, sebelum diskaun. Manakala Myvi 1.5 Advance pula dengan harga RM57,968 untuk solid dan RM58,368 bagi metalik.

    GALERI: Perodua Myvi 1.3 Standard G

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance

     
     
  • SPIED: Ford Focus facelift di Malaysia – ruang dalaman didedah, ada SYNC 2, Bantuan Parkir Aktif

    2016-ford-focus-spyshots-001-copy

    Sekali lagi kelibat Ford Focus baharu dirakamkan. Terima kasih pada Chris Lim kerana mengirimkan foto kedua-dua varian hatchback dan sedan yang dirakamkan di bilik pameran lama Sime Darby Auto Connexion (SDAC) PJ.

    Focus baharu ini, dengan hatchback varian Sport+ yang kelihatan menampilkan rim aloi pelbagai-jejari 17-inci dan kit badan luaran termasuk peresap hadapan dan belakang, skirt sisi dan spoiler sport belakang. Manakala sedan varian Titanium pula menampilkan roda yang sedikit kecil berbanding hatch, di samping lampu utama halogen hadapan dan belakang.

    Untuk pertama kali, kita dapat melihat ruang dalamannya secara lebih dekat. Kelihatan dua warna bagi balutan kulit upholstery, satu warna beige dan lagi satu hitam. Menerusi foto ini, kelihatannya warna beige bagi sedan, dan hitam pada hatch.

    Malah Ford baharu ini turut didatangkan dengan sistem hiburan SYNC 2 dan paparan sesentuh lapan-inci. Dan jika dilihat secara lebih dekat, terdapat perkataan “Sony” pada papan pemuka, mengesahkan Focus baharu ini ditampilkan dengan sistem audio Sony sembilan-speaker.

    Selain itu, ia turut menampilkan roda stereng dan tombol gear balutan kulit, butang penghidup enjin, fungsi Bantuan Parkir Aktif Ford, kawalan kelajuan, penghawa dingin automatik dual-zon, slot bagi USB dan pengaktifan lampu utama auto.

    Untuk kuasanya, apa yang kita tahu, Focus bagi pasaran Malaysia menampilkan enjin 1.5 liter EcoBoost yang menawarkan 180 PS pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm antara 1,600 hingga 5,000 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi baharu SelectShift enam-kelajuan, bagi menggantikan PowerShift auto dual-klac.

    Ford Focus baharu ini akan dijadualkan dilancarkan minggu hadapan, dan ikuti perkembangan selanjutnya menerusi paultan.org/bm.

     
     
  • Toyota Vios 2016 dengan 1.5L Dual VVT-i, CVT, VSC!

    47untitled-1-e1457085610709

    Sedang ramai yang keliru dengan ‘Toyota Vios baharu’ yang tersebar di laman media sosial yang sebenarnya merupakan Toyota Yaris Sedan bagi pasaran Kanada, rupanya model yang sebenar telah didedahkan di Thailand!

    Sedan daripada segmen-B ini telah diberi penambahbaikan untuk 2016 dengan kombinasi enjin dan transmisi baharu yang menggantikan penjana kuasa lama 1.5 liter VVT-i dan transmisi automatik empat-kelajuan.

    Walau pun ia kelihatan hampir sama pada bahagian luar dan dalam, namun di bawah hudnya, segalanya adalah baharu.Enjin 1NZ-FE telah digantikan dengan 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i yang boleh dijanakan dengan bahan api bio E85.

    Model bagi pasaran Thai ini memiliki kuasa yang sama dengan Vios di negara kita, dan sebenarnya kurang sedikit bagi daya tork iaitu dengan output sehingga 108 hp pada 6,000 rpm dan tork 140 Nm (kurang 1 Nm) pada 4,200 rpm.

    Walau bagaimana pun, enjin baharu ini pastinya memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien, terutamanya ia dipadankan dengan transmisi CVT baharu bersama tujuh-kelajuan. Manakala transmisi manual lima-kelajuan digugurkan.

    Bagi kit keselamatan, nampak gayanya ia juga telah dipertingkatkan, sementara beg udara kekal hanya dua, namun Vios 2016 ini telah menambah kawalan kestabilan VSC, selain ABS dengan EBD dan bantuan brek dan ia adalah standard bagi semua varian.

    Vios baharu di Thailand ini berharga bermula dari 599,000 baht (RM64,500) untuk 1.5 J, meningkat ke 669,000 baht (RM77,600) untuk 1.5 E dan 714,000 baht (RM82,800) untuk 1.5 G. Manakala varian spesifikasi tertinggi 1.5 S pula ditawarkan pada harga 749,000 baht (RM86,900).

    Malah bagi barisan 2016 ini, ia juga memiliki model Exclusive yang dislotkan di atas varian 1.5 G, dengan kit badan baharu termasuk menampilkan lampu nyalaan siang LED, tempat duduk balutan kulit berwarna hitam, papan pemuka dan kekemasan panel pintu berwarna kelabu, roda stereng dan tuil gear berwarna hitam pekat serta sistem hiburan T-Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci dan sambungan Bluetooth. Harga yang ditawarkan ialah 719,000 baht (RM83,400).

     
     
  • Bugatti akhirnya membuat keuntungan menerusi Chiron – dijual dengan harga sekali ganda dari Veyron

    2016-bugatti-chiron-006-e1456800101217_BM

    Sebelum ini, Volkswagen Group (pemilik jenama Bugatti) mengumumkan mereka kerugian sekitar 3.6 juta ke 5.8 juta euro bagi setiap Bugatti Veyron yang dijual bergantung pada varian. Walaupun mengalami kerugian, kereta tersebut terus dijual, hanya kerana untuk menunjukkan kepada dunia mereka boleh memproduksi kereta dengan teknologi ‘gila’ sedemikian serta untuk menaikkan jenama Bugatti itu sendiri.

    Usaha yang dilakukan pada Veyron tersebut akhirnya mendatangkan keuntungan untuk model terbaru keluaran Bugatti iaitu Bugatti Chiron yang diperkenalkan awal bulan ini di Geneva Motor Show 2016.

    Dijual pada harga 2.4 juta euro (RM11 juta), Bugatti Chiron dijangkakan akan memberikan keuntungan untuk jenama tersebut. Presiden Bugatti Wolfgang Durheimer berkata kepada The Verge, harga Chiron ini dijual sekali ganda berbanding harga Veyron, dan akhirnya model tersebut bakal memberikan keuntungan kepada syarikat.

    2016-bugatti-chiron-005-e1456800152865_BM

    “Kami telah melakukan ulangkaji pada setiap dimensi. Selepas kereta ini habis dijual iaitu sebanyak 500 unit dengan harga asas 2.4 juta euro, kami akan membuat keuntungan dengan projek ini,” kata Durheimer, di Geneva Motor Show yang sedang berlangsung.

    Beberapa laporan juga berpendapat produksi Veyron sebelum ini merupakan faktor utama untuk memberikan Chiron keuntungan. Bugatti Veyron merupakan sebuah kereta produksi terlaju dan paling berkuasa didalam dunia yang dibina tanpa asas. Chiron pula adalah kereta yang dibina berasaskan Veyron, dimana asas yang cukup bagus tersebut cuma perlu dipertingkatkan untuk menghasilkan sebuah kereta yang lebih bagus.

    Bugatti Chiron dikuasakan dengan enjin 8.0 liter bentangan W16 dengan bantuan empat unit pengecas turbo. Enjin tersebut menjana sejumlah 1,500 hp dan tork maksima 1,600 Nm. Ini membolehkan Chiron memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 2.5 saat dan berkemampuan mencatatkan kelajuan maksima 420 km/j.

    GALERI: Bugatti Chiron

     
     
  • ETCM naikkan harga Nissan Almera, X-Gear, X-Trail, Grand Livina, Teana, NV200 sehingga RM5k mulai April

    nissan-price-increase-2016

    Bulan lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengesahkan akan menaikkan harga semua model Nissan antara 3-6% pada pertengahan tahun 2016. Walau bagaimana pun, setakat ini ETCM belum memgumumkan harga baharu bagi semua modelnya.

    Namun foto yang disiarkan di buletin komunikasi oleh Nissan X-Trail T32 Club menerusi Facebook (terima kasih AJ), dan senarai harga jangkaan telah dipaparkan.

    Enam model iaitu Nissan Almera, Grand Livina, X-Gear, X-Trail, Teana dan NV200 terlibat dengan peningkatan harga dijangka sehingga RM5,000 mulai 1 April ini. Dalam buletin terbabit mengatakan tiada perubahan harga atas jalan bagi Serena S-Hybrid facelift, yang menerima insentin hibrid buat masa sekarang.

    Pada Oktober tahun lalu, ETCM berkata disebabkan nilai ringgit yang menyusut, membuatkan pihaknya tidak dapat menolak kemungkinan kenaikan harga bagi model Nissan di Malaysia. Setakat ini, jenama kenderaan Jepun yang telah menaikkan harga termasuklah Honda, Toyota dan Lexus. Bahkan pengeluar kereta nasional Proton juga telah menaikkan harga pada pertengahan Februari lalu.

    Tunggulah pengumuman daripada ETCM mengenai struktur semula harga bagi barisan model Nissan.

     
     
  • Perlumbaan tak dilindungi insurans motosikal – PIAM

    2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

    Makin hangat isu mengenai cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang ingin menutup sebahagian jalan di tengah ibu kota untuk memberi laluan kepada mat moto berlumba. Terbaru, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, polisi insurans motosikal tidak akan melindungi sebarang aktiviti seperti perlumbaan, dan ia dikecualikan daripada polisi itu, laporan The Sun.

    Persatuan tersbeut memberitahun pelumba profesional dan yang menyertai perlumbaan sah perlu mendapatkan insurans yang dikhaskan untuk aktiviti ini, kerana lumba haram sama sekali tidak dilindungi insurans. Di mana aktiviti tersebut adalah risiko yang perlu ditanggung sendiri oleh pelumba, dan jika terbabit dalam kemalangan dan kecederaan yang disebabkan oleh pihak ketiga atau kerosakan harta benda orang lain, pelumba terbabit perlu bertanggungjawab sendiri untuk menanggung kos kerugian tersebut.

    “Perkara ini terletak di bawah peruntukan Seksyen 96 daripada Akta Pengangkutan Jalan, di mana penanggung insurans boleh menuntut ganti rugi daripada pemilik/penunggang motosikal terbabit,” ujar PIAM.

     
     
  • Perlumbaan jalanan mungkin akan menyebabkan masalah judi haram, ujar mantan ketua polis negara

    PH01_110109_MAT_REMPIT

    Mantan ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akhbar Khan Hyder Khan berpendapat cadangan kerajaan menutup sebahagian jalan raya di Bandaraya Kuala Lumpur untuk memberi ruang kepada Mat Moto berlumba akan mendatangkan masalah sampingan iaitu judi haram. Selain itu aktiviti lumba haram mungkin juga akan berterusan selepas Mat Rempit ini diberi litar yang sesuai untuk berlumba, lapor The Star.

    Beliau menjelaskan masalah lain akan timbul selepas cadangan terbabit diluluskan, bermula dari Mat Rempit mengubahsuai motorsikal mereka. “Selepas itu, perkara ini akan melibat pengusaha bengkel, yang akan menjadi ‘penaja’ pelumba-pelumba ini dan kemudian akan bermula pula masalah pertaruhan haram,” kata beliau. Beliau tahu perkara tersebut mungkin tidak akan terjadi, tetapi ia tidak mustahil dan berkemungkinan besar untuk terjadi.

    Beliau juga turut merasakan adalah tidak praktikal untuk menutup jalan raya di kawasan bandar untuk tujuan perlumbaan, dan mendesak pihak berkuasa melihat perkara ini dengan serius terutama berkisar keselamatan penonton, pelumba dan juga perlindungan insuran. Bercakap tentang pengalamannya yang lalu sebagai penolong ketua polis trafik, beliau berkata pada tahun 80’an, beliau telah memberkas pelumba haram, kemudian membenarkan mereka berlumba di litar Shah Alam.

    Malangnya, program tersebut diharamkan selepas hanya dua perlumbaan. “Kami nampak mereka berlumba ketika dalam perjalanan ke litar dan ketika balik.” ujar beliau. “Menteri Wilayah Persekutuan juga perlu meneliti bagaimana mereka bersurai setelah selesai perlumbaan yang dibenarkan itu. Mereka mungkin akan berlumba semula di kawasan awam.” Jelas Dell Akbar.

    Sementara itu, pengarah promosi Two Wheel Motor Racing, Ron Hogg merasakan keselamatan orang awam merupakan isu yang terbesar jika perlumbaan tersebut diadakan di kawasan bandar. Sebagai penganjur Kejuaraan Cub Prix Malaysia, beliau menjelaskan, “semasa kami menganjurkan Cub Prix, kami menutup jalan. Langkah keselamatan yang perlu diambil adalah besar.”

    “Untuk litar 1 km, kami memerlukan lebih dari 20 treler dengan muatan kelengkapan keselamatan untuk menutup litar,” jelas Hogg. Tambah beliau lagi, pelumba yang berlumba juga terdiri dari penunggang professional dan sentiasa dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan. Hogg mencadangkan adalah lebih baik kerajaan menyediakan litar yang lebih kecil di dalam negara, jika kerajaan mahu mengatasi masalah lumba haram.

    Pengurus pasukan Musashi Boon Siew Honda, Zulhelmi Ahmad pula berkata adalah lebih baik jika litar kekal dibina. Memandangkan hanya Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sahaja tempat yang disediakan untuk berlumba, Zulhelmi berkata ia sangat mahal, sangat jauh dari KL dan slot untuk berlumba juga adalah sangat terhad.

    “Pada saya, Mat Rempit hanya menggunakan motorsikal kecil, bukan motorsikal berkuasa tinggi. Mereka hanya mahu menunggang dengan lebih laju dan jika disediakan tempat, mereka akan menunjukkan potensi mereka,” kata beliau. Walaubagaimana pun, Zulhelmi tidak fikir perjudian akan menjadi satu isu. “Saya tidak fikir mereka mahu berjudi, mereka hanya mahu tempat untuk mereka menunggang dengan laju,” tambah beliau.

     
     
  • Honda Brio Amaze facelift dilancarkan di India

    honda-amaze-fl-bluish-titanium

    Honda Brio 2016 iaitu versi facelift telah pun dilancarkan di India, dalam bentuk sedan baharu yang dikenali sebagai Honda Brio Amaze. Brio Amaze sebelum ini telah pun diperkenalkan di Thailand pada November 2012.

    Rekaannya juga tampil berbeza termasuk padanan bampar hadapan baharu yang lebih menyerlah berbanding model sebelum ini. Gril hadapan baharu juga telah disambungkan pada logo Honda dengan sayap krom yang lebih tebal menjalari bahagian lampu utama, dilihat suatu rekaan yang dikekalkan dari model sebelum ini. Namun perubahan imej yang dilakukan ini adalah model terkini Honda.

    Honda-Brio-Amaze-FL-Rear

    Perubahan yang ditampilkan pada bahagian belakang agak kurang ketara namun Amaze ini tampil dengan kluster lampu baharu. Malah posisi antara lampu brek dan indikator juga telah ditukar, kini lampu isyarat membelok terletak di atas lampu brek. Terdapat tujuh warna badan yang ditawarkan, termasuklah warna baharu Bluish Titanium Metallic yang merupakan hero colour

    Bahagian kabinnya pula melibatkan perubahan imej yang agak besar, termasuklah papan pemuka yang tampil dengan dua-tona serba baharu (hitam-beige) dengan stail bentangan seperti Jazz dan City, malah kelihatan lebih kontemporari dan premium. Malah kluster instrumen tiga-dial, paparan pelbagai-informasi, penghawa dingin dan Honda Connect telah diperbaharui.

    Honda-Brio-Amaze-FL-Cabin

    Seperti sebelum ini, Brio di India dijanakan oleh enjin petrol 1.2 liter i-VTEC dan diesel 1.5 liter i-DTEC. Enjin petrol turut ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan, dan Earth Dreams Tech G-Design Shift CVT yang menggantikan automatik lima-kelajuan, manakala varian diesel hanya manual sahaja.

    Harga yang ditawarkan bermula INR 5.29 lakhs (RM32,483) hingga INR 8.19 lakhs (RM50,252).

    Selepas Brio Amaze diperkenalkan, dengan cerita varian hatchback pula akan menyusul kemudian, termasuk bagi pasaran Thailand dan Indonesia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025