Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Vios 2019 kini di Malaysia – dari RM77k-RM87k

    Toyota Vios 2019 kini di Malaysia – dari RM77k-RM87k

    Selepas pertama kali membuat penampilan sulung di KLIMS 2018 pada tanggal 22 November tahun lalu – yang juga merupakan hari pertama tempahannya mula dibuka – Toyota Vios 2019 kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

    Untuk pasaran tempatan, Toyota Vios 2019 ditawarkan dalam tiga varian – Vios 1.5J, Vios 1.5E dan Vios 1.5G. Aspek mekanikalnya masih dikekalkan dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i. Ia mampu menghamburkan kuasa sebanyak 107 PS pada 6,000rpm dan tork 140 Nm pada 4,200 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi unit CVT dengan mod Sport Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan.

    Bagi dimensinya, Vios 2019 ini 15 mm lebih panjang berbanding model terdahulu, kini dengan 4,425 mm dan lebarnya juga ditambah sebanyak 30 mm menjadi 1,730 mm. Walau bagaimanapun, ketinggian dan jarak rodanya masih kekal sama – masing-masing 1,475 mm dan 2,550 mm. Ruang butnya juga kekal berkapasiti 506 liter.

    Toyota Vios 2019 kini di Malaysia – dari RM77k-RM87k

    Untuk Vios 2019, elemen luaran standard bagi semua varian termasuk lampu utama dengan fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang LED. Sementara varian paling asas, 1.5J, menggunakan lampu utama Multi Reflector Halogen, lampu belakang kombinasi jenis mentol, pemegang pintu luar warna badan, gril hadapan berwarna, lampu kabus belakang dan rim aloi bersaiz 15-inci yang dibaluti tayar berprofil 185/60R15. Sama untuk 1.5E tetapi dengan ciri tambahan lampu belakang kombinasi LED.

    Istimewa untuk varian tertinggi 1.5G, ia dilengkapi lampu utama projector halogen, juga lampu kombinasi belakang LED, cermin sisi auto-lipat, gril hadapan berwarna/bersadur, lampu kabus belakang dan rim aloi 16-inci yang dibaluti tayar berprofil 195/50R16.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, semua varian dilengkapi dengan elemen standard termasuk sistem masukan pintar dan butang penghidup enjin, roda stereng tiga-jejari balutan kulit, kemasan dalaman berwarna hitam, suis mod pemanduan (Sport Mode & ECO Mode), pendingin hawa auto, kotak konsol tengah, pemain CD, sambungan USB, AUX-Jack dan Blutooth.

    Toyota Vios 2019 kini di Malaysia – dari RM77k-RM87k

    Bagi varian 1.5G, ia ditampilkan lebih eksklusif dengan tempat duduk kombinasi kulit berwarna hitam, perehat tangan hadapan material kulit, meter kombinasi Optitron, suis kawalan audio, MID dan BT pada roda stereng, tombol gear balutan kulit, pedal penukar gear, HDMI, empat tempat letak cawan dan enam pembesar suara.

    Dan varian 1.5E dan 1.5G juga menerima skrin sentuh paparan pelbagai-info (MID) TFT 6.8-inci dengan USB Mirroring, pemain DVD, perakam video digital hadapan (DVR) dengan ciri Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW) dan Amaran Pertukaran Lorong (LDW) serta Panoramic View Monitor.

    Manakala dua lagi varian iaitu 1.5J dan 1.5E, didatangkan dengan tempat duduk fabrik hitam, meter kombinasi analog, empat pembesar suara dan dua tempat letak cawan dan varian paling rendah hanya menerima suis kawalan audio pada stereng dan paparan Optitron MID dengan TFT bersaiz 4.2-inci.

    Untuk aspek keselamatan pula, kesemua varian dilengkapi Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HAC), ABS dengan EBD dan Bantuan Brek, pengesan parkir (varian 1.5E dan 1.5J hanya untuk belakang sahaja), tujuh beg udara dan Isofix. Tambahan ciri keselamatan untuk varian 1.5E dan 1.5G ialah Paparan Titik Buta (BSM) dengan Kepekaan Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

    Barisan Toyota Vios 2019 ditawarkan pada harga RM77,200 bagi model asas 1.5J, manakala varian pertengahan 1.5E pula berharga RM81,200. Untuk spesifikasi tertinggi 1.5G pula berharga RM87,300. Semuanya adalah harga atas jalan dan tanpa insurans. Dan semua varian didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan tanpa had perbatuan.

    Pilihan warna yang disediakan termasuk Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan Super White II. Turut ditawarkan ialah kelengkapan pilihan termasuk sistem DVD-AVX bernilai RM2,160 bagi varian J, perakam video digital bernilai RM350, filem penapis haba premium berharga RM2,120 bagi varian E dan J serta RM2,800 bagi kit badan sporty.

    Untuk spesifikasi penuh bagi setiap varian Toyota Vios 2019, sila layari Carbase.my.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI TCR – 2.0L TSI, 290 PS/370 Nm!

    Volkswagen Golf GTI TCR – 2.0L TSI, 290 PS/370 Nm!

    Pada perhimpunan Wörtherseetreffen di Austria tahun lalu, Volkswagen telah mendedahkan model konsep Golf GTI TCR iaitu model yang diinspirasikan dari jentera lumba TCR mereka yang beraksi di kejohanan TCR antarabangsa – dan sekarang versi produksinya telah pun mula dijual pada pasaran Eropah.

    Untuk pengetahuan anda, Golf GTI Mk7.5 biasa kini tidak lagi dijual di benua berkenaan kerana tidak lagi memenuhi undang-undang pencemaran baharu yang lebih ketat, dan GTI TCR ini adalah satu-satunya pilihan pelanggan di sana jika mahukan GTI pacuan hadapan, dan ia akan dijual pada harga bermula 38,950 euros (RM182.5k).

    Model ini bukan sekadar gimik semata-mata, kerana ia dilengkapi dengan kelengkapan prestasi yang jauh lebih agresif dari GTI standard. Masih menggunakan enjin petrol turbo 2.0 liter TSI, namun talaan baharu yang diberikan membolehkan ia menjana sejumlah 290 PS dan tork maksima 370 Nm. Ia digabungkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

    Volkswagen Golf GTI TCR – 2.0L TSI, 290 PS/370 Nm!

    Kereta ini hadir standard dengan LSD pada kotak gearnya bersama sistem brek dilengkapi cakera yang ditebuk. Dan untuk lebih hardcore, anda boleh memilih untuk didatangkan sekali dengan tayar semi-slick bagi kegunaan litar dan pengehad kelajuannya boleh ‘dibuka’ bagi membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 260 km/j.

    Bagi membezakan versi lebih liar ini dengan GTI asas, ia menerima splitter udara di hadapan, skirt sisi lebih labuh, penutup cermin sisi berwarna hitam, spoiler bumbung istimewa TCR, diffuser belakang dan juga pilihan rim aloi forged 18-inci sama ada Belvedere atau Milton Keynes. Logo TCR juga akan terpancar ke permukaan tanah ketika pintu dibuka.

    Masuk ke kabin, hot-hatch ini diberikan tempat duduk sport premium dengan rekaan gentian mikro/fabrik baharu dan tali pinggang keledar dengan jalur merah. Manakala untuk roda stereng, ia dibalut dengan kulit berliang pada posisi pukul 3 dan sembilan, bersama tanda merah pada titik pukul 12.

    Volkswagen Golf GTI TCR – 2.0L TSI, 290 PS/370 Nm!

    VW turut menawarkan ciri tambahan sekiranya pemilik inginkan sesuatu yang lebih dari biasa. Antara opsyen yang ditawarkan termasuk pelekat sisi badan dengan grafik ‘sarang lebah’ ikonik GTI, kemasan gentian karbon pada cermin sisi, bumbung berwarna hitam, dan juga pelbagai pilihan rim bersaiz 19-inci dengan pakej berbeza.

    Pakej pertama yang bernilai 2,350 euro (RM11k) terdiri dari rim 19-inci Reifnitz dengan tayar bersaiz 235/35R19, pengehad kelajuan yang dibuka, sistem penyerap hentak belakang lebih sporty bersama sistem kawalan casis adaptif Dynamic Chassis Control (DCC). Pakej kedua yang berharga 3,200 euro (RM15k) pula termasuk rim 19-inci Pretoria dengan tayar 235/35R19, tayar semi-slick dan juga penyerap hentak lebih sporty dan DCC. Pakej ini juga datang bersama nat pengunci rim bagi mengelakkan kecurian.

    GALERI Volkswagen GTI TCR Concept di Wörtherseetreffen 2018

     
     
  • Honda bakal tunjuk prototaip EV terbaru di Geneva

    Honda bakal tunjuk prototaip EV terbaru di Geneva

    Untuk Pameran Permotoran Geneva tahun ini, Honda akan memperkenalkan sebuah prototaip kenderaan elektrik terbaru. Sebagai teaser, gambar ini merupakan rekaan awal model terbabit yang mula ditunjuk kepada umum.

    Menurut Honda, prototaip itu nanti menjadi lanjutan kepada “Electric Vision”, yang menjadi hala tuju komitmen untuk menjadikan dua pertiga daripada kenderaannya yang dijual di Eropah adalah dari teknologi elektrik menjelang 2025.

    Rekaan prototaip berkenaan banyak persamaan dengan model Urban EV Concept yang ditunjukkan pada 2017. Paling utama pada rekaan lampu utamanya yang bulat serta elemen pada bonet depan. Bagaimanapun, EV yang belum diberikan nama itu mempunyai rekaan badan yang lebih berlekuk berbanding imej retro model yang disebutkan itu.

    Perincian lain yang boleh dilihat ialah bonjolan kecil pada dasar A-pillar; bertujuan untuk menempatkan kamera, serta penggunaan warna dwi-tona. Bagi sistem janaan yang digunakan, belum ada apa-apa maklumat yang dikongsi setakat ini. Lebih menarik, Honda mengesahkan yang model itu nanti akan dikeluarkan dan dipasarkan pada hujung tahun nanti.

     
     
  • Perodua catat rekod jualan 227,243 unit bagi 2018

    Perodua catat rekod jualan 227,243 unit bagi 2018

    Untuk tahun 2018, Perodua berjaya mencatatkan rekod baru bagi jualan kenderaan keluaran syarikat itu, dengan sejumlah 227,243 unit terjual sepanjang tahun lalu. Ini merupakan peningkatan sebanyak 22,343 unit kenderaan berbanding tahun 2017, dengan 204,900 unit kenderaan terjual. Tempoh “cuti cukai” GST sebelum pelaksanaan SST menjadi satu faktor penting yang menyumbang kepada perkembangan ini.

    Untuk itu, Perodua menjangka mampu mecatatkan pertumbuhan sebanyak empat peratus bagi tahun 2019, menjadikan angka jualannya sebanyak 231,000 unit – dua taruhan utama yang akan memacu jualan tahun ini tentulah Myvi dan Aruz yang baru saja dilancarkan.

    “Perodua mensasarkan pertumbuhan empat peratus untuk dicapai tahun ini. Ia bukan sekadar untuk memperkukuhkan jenama ini, tetapi turut menawarkan kesan limpah kepada industri automotif Malaysia yang dijangka akan tumbuh perlahan,” ujar Presiden dan CEO baru Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua catat rekod jualan 227,243 unit bagi 2018

    Beliau menambah, Perodua juga sudah menerima 5,700 tempahan bagi SUV Aruz setakat ini, sejak ia dibuka untuk tempahan bermula 3 Januari lalu. Pada 15 Januari lalu, dilaporkan syarikat ini telah memperoleh 2,200 tempahan untuk model terbaru berkenaan. “Memandangkan sasaran jualan kami ialah 2,500 unit sebulan, perkembangan ini sangat menggalakkan,” tambah beliau.

    Pecahan jualan mengikut model kenderaan sepanjang tahun lalu adalah seperti berikut; Myvi menjadi model paling popular dengan 82,122 unit didaftarkan daripada sejumlah 117,844 unit yang telah ditempah tahun lalu. Menurut Perodua, sejak dilancarkan pada November 2017 hingga sekarang, 91,500 unit Myvi telah didaftarkan dan 147,000 tempahan diterima.

    Selain itu, model-model lain mengikut turutan jualan adalah seperti berikut; Axia (70,821 unit), Bezza (49,911 unit) dan Alza (24,389 unit) bagi tempoh sepanjang tahun 2018. Dari sudut pengeluaran pula, 219,000 unit kenderaan telah dikeluarkan dari kilang Perodua tahun lalu, dengan sasaran meningkatkan angka itu sebanyak 10.5% lagi tahun ini, bersamaan 242,000 kenderaan.

    Perodua catat rekod jualan 227,243 unit bagi 2018

    Pembelian komponen juga dijangka akan meningkat 20% dari RM5 bilian tahun lalu kepada RM6 bilion tahun ini. Ini adalah selari dengan jangkaan permintaan bagi 2019 dan akan memberi manfaat terus kepada pembekal automotif tempatan.

    Cabang lepas jualan juga mencatatkan rekod baru, dengan peningkatan servis yang dilakukan mencecah angka 2.17 juta, berbanding 2.1 juta bagi tahun sebelumnya – memberikan peningkatan tiga peratus. Jualan lepas jualan bagi alatan dan aksesori juga naik, dengan sejumlah RM320.8 juta dicatatkan, 11% peningkatan dari RM288.5 juta pada tahun sebelum itu.

     
     
  • Hatchback BMW 1 Series dan Mercedes-Benz A-Class akan datang mungkin akan dibangunkan bersama

    Perkongsian platform, pembinaan bersama berberapa jenama berlainan boleh dikatakan normal buat masa sekarang memandangkan kos R&D bagi menghasilkan sebuah kereta yang benar-benar kompetitif adalah begitu tinggi buat masa sekarang. BMW dan Toyota misalnya, masing-masing kini hadir dengan kereta sport baharu iaitu Z4 dan Supra generasi baharu, yang kedua-duanya menggunakan platform dan unit janakuasa yang sama.

    Tapi itu cerita dua buah jenama yang bukanlah pesaing secara berdepan, dan ini ada sedikit pelik – menurut laporan berita Jerman Handelsblatt, BMW dan pemilik jenama Mercedes-Benz, Daimler AG dikatakan akan membina hatchback entry level mereka iaitu 1 Series dan A-Class secara bersama selepas ini.

    Perkongsian pembangunan ini adalah termasuk teknologi kereta pemanduan sendiri, transmisi dan juga sel bateri. Dengan kerjasama ini, kedua-dua jenama mungkin akan menjimatkan kos yang besar terutamanya dalam pembangunan kereta yang beroperasi tanpa pemandu dalam masa yang sama mengekalkan mereka sebagai peneraju teknologi berbanding pengeluar-pengeluar tradisional, mahupun nama-nama baharu seperti Waymo, lapor Handelsblatt.

    Walau bagaimanapun, model pertama hasil kerjasama ini hanya akan muncul paling cepat pada tahun 2025, dan portal berita tersebut turut menambah jurutera dari kedua-dua syarikat pastinya akan berhadapan dengan pelbagai halangan dalam kerjasama sebegini.

    Usaha ini sebenarnya bukan yang pertama bagi BMW Group dan Daimler AG. Sebelum ini kedua-dua syarikat bersama Ford Motor Company dan Volkswagen Group (menerusi Audi dan Porsche) telah menubuhkan kerjasama yang digelar IONITY bagi membangunkan dan mengimplentasikan jaringan pengecas bateri berkuasa tinggi untuk kereta elektrik di seluruh Eropah, dimana semua pihak memegang kepentingan dengan jumlah yang sama.

     
     
  • Pakej servis minyak enjin BMW kini dijual di Lazada

    Pakej servis minyak enjin BMW kini dijual di Lazada

    Para pelanggan BMW di negara ini kini boleh membeli pakej servis minyak enjin BMW menerusi platform e-dagang, Lazada,yang merupakan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memperkayakan pengalaman pemilikan premium BMW. Pakej ini yang berharga bermula RM450, dan ditawarkan oleh pengedar bertauliah BMW.

    Buat masa ini, pakej tersebut ditawarkan untuk model spesifik termasuk BMW 3 Series (E46 dan E90) serta BMW 5 Series (E60). Pakej-pakej tersebut merangkumi minyak enjin BMW original, penapis minyak BMW serta servis yang berkenaan.

    Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, “Dalam usaha kami untuk meningkatkan taraf pengalaman pemilikan BMW, kami berasa teruja untuk menjalin kerjasama dengan platform e-dagang yang terkemuka di Malaysia untuk membolehkan servis dan minyak enjin BMW original lebih mudah untuk didapati oleh para pemilik BMW. Ia menandakan sebuah penawaran selepas jualan (after-sales) yang pertama oleh wakil-wakil pengedar bertauliah BMW menerusi platform e-dagang yang membolehkan pemilik BMW menikmati pengalaman pemilikan yang sempurna di mana-mana sahaja mereka berada dengan kemudahan internet.”

    Pakej servis minyak enjin BMW kini dijual di Lazada

    “Dengan penglibatan pelbagai pengedar, kami dapat menjamin prestasi, efisiensi dan perlindungan yang optimal bagi enjin kenderaan para pelanggan kami, dan pada masa yang sama, menyampaikan pengalaman pemanduan yang tiada tandingannya menerusi perkhidmatan penyelenggaraan BMW yang berkualiti tinggi,” ujar Stefan Sloboda selaku Ketua Unit Selepas Jualan BMW Malaysia.

    Hanya tiga langkah mudah yang boleh diikuti untuk pemilik memilih pakej servis minyak enjin BMW iaitu beli servis penukaran minyak BMW melalui mana-mana pengedar yang terlibat di Lazada. Kemudian pengedar bertauliah BMW yang berkenaan akan menghubungi pemilik dalam masa satu hari perniagaan untuk menjadualkan sesi janji temu. Akhir sekali, pemilik perlu membawa kenderaan ke pusat servis yang dipilih pada hari yang dijadualkan untuk perkhidmatan ini.

    Pakej-pakej tersebut sah menerusi rangkaian wakil pengedar bertauliah BMW yang terlibat dalam penawaran ini, dan ia merangkumi Auto Bavaria Glenmarie, Auto Bavaria Johor Bahru, Auto Bavaria Kuala Lumpur, Auto Bavaria Penang, Auto Bavaria Sungai Besi, Ingress Auto Damansara, Lee Motors Auto Care (Alor Setar), Seong Hoe Premium Motors (Melaka), Tian Siang Premium Auto (Butterworth), Tian Siang Premium Auto (Ipoh) dan Wearnes Autohaus Tebrau.

     
     
  • Kia Picanto 1.2L GT-Line kini di Malaysia – RM57,888

    Kia Picanto 1.2L GT-Line kini di Malaysia – RM57,888

    Pertama kali dipertontonkan di Malaysia ketika KLIMS18 tahun lalu, Kia Picanto GT-Line yang merupakan versi spesifikasi paling tinggi model berkenaan kini dijual secara rasmi untuk pasaran tempatan. Dengan harga RM57,888 atas jalan tidak termasuk insurans, ia sekitar RM8,000 lebih mahal berbanding varian EX sebelum ini.

    Bagaimanapun, dengan pertambahan harga itu, varian tertinggi ini akan memberikan lebih banyak ciri dan penawaran kepada pengguna. Apa pun, perincian lanjut masih belum diumumkan, tetapi jika berdasarkan unit yang dipamer ketika KLIMS18 sebelum ini, ia nampak lebih menarik dan garang.

    Secara visual, varian GT-Line ini hadir dengan kelainan rekaan pada bampar depan dan belakang – lebih sporty serta rim 16 inci yang lebih besar, dan dibalut tayar 195/45. Lampu kabus telah bertukar tempat, dan ia mempunyai jalur merah di sekeliling badan dan juga dua muncung ekzos di belakang.

    Di dalam, Picanto GT-Line menggunakan roda stereng yang rata di bahagian bawah, serta tempat duduk balutan kulit. Peningkatan lain yang ada padanya adalah termasuk sunroof, panel instrumen Supervision, pendingin hawa automatik, perehat lengan di depan, cermin solek berlampu, cruise control dan sistem tinjauan tekanan tayar.

    Ia menggunakan enjin empat silinder NA Kappa II 1.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 84 PS pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork pada 4,000 rpm. Unit ini dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Kia Picanto GT-Line ini juga ada dilengkapi dengan ciri brek kecemasan automatik (AEB), menjadikannya setara dengan penawaran sebuah lagi model paling popular dalam segmen yang sama, Perodua Myvi. Selain itu, ia turut hadir dengan enam beg udara, kawalan kestabilan, ABS dan bantuan mula mendaki (HSA).

     
     
  • Triumph Rocket TFC Concept – dijadikan lebih ganas

    Triumph Rocket TFC Concept – dijadikan lebih ganas

    Selepas Thruxton TFC, Triumph telah mendedahkan satu lagi model yang juga akan menerima pengubahsuaian hampir sama sepertinya iaitu Rocket TFC. Melalui dua model ini, Triumph memberikan petunjuk awal produk yang siap diubah suai terus dari kilang di bawah jenama Triumph Factory Custom.

    Tidak seperti Thruxton TFC yang telah didedahkan sepenuhnya termasuk harga, Rocket TFC ini pula sekadar ditunjukkan dengan gambar awal dan ia masih digelar sebagai satu konsep. Spesifikasi penuh serta harganya cuma akan diberitahu awal bulan Mei 2019.

    Seperti yang boleh dilihat daripada gambar, Rocket TFC menerima skema warna yang sama seperti Thruxton TFC, dengan warna hitam dan perincian perak dan emas. Ia juga dipasang dengan barangan yang menggunakan gentian karbon seperti panel atas lampu depan, fender dan pelindung ekzos.

    Kemudiannya, anda juga boleh menyaksikan Rocket TFC ini menyediakan kedudukan tunggangan yang berbeza kerana bahagian pemegangnya telah diubah dengan unit yang lebih lurus dan tidak ke belakang seperti Rocket standard manakala tempat duduk pula kini cuma tinggal satu.

    Jangkaan kami, Rocket TFC ini mungkin juga diberikan peningkatan prestasi kerana ia diberitahu menggunakan casis baru dan suspensinya turut diubah, daripada yang menggunakan dua penyerap kepada satu penyerap di tengah (monoshock). Untuk enjin, ia diberitahu akan dilengkapi enjin motosikal produksi paling besar di dunia serba baru (model Rocket sebelum ini menggunakan enjin 2,294 cc).

     
     
  • Lebuhraya Autobahn Jerman mungkin akan implemen had laju 130 km/j bagi kurangkan pencemaran udara

    Lebuhraya Autobahn Jerman mungkin akan implemen had laju 130 km/j bagi kurangkan pencemaran udara

    Lebuhraya Autobahn di Jerman yang terkenal kerana tiada had laju diwartakan pada sebahagian jalannya mungkin akan hilang keistimewaan tersebut tidak lama lagi.

    Menurut laporan Reuters, mereka telahpun melihat kertas cadangan bagi mengenakan had laju 130 km/j pada lebuhraya berkenaan bagi mengurangkan pencemaran udara yang disebabkan oleh pengangkutan.

    Agensi berita itu turut menyatakan bahawa Jerman mungkin akan dikenakan saman yang berat oleh Kesatuan Eropah sekiranya gagal untuk mengurangkan pencemaran gas-gas rumah hijau dan juga nitrogen oksida yang beracun.

    Jadi kerajaan Jerman kini menumpukan bagi mengurangkan pencemaran tersebut pada pengangkutan dan turut bercadang untuk menaikkan cukai bahan api serta meningkatkan kuota kenderaan elektrik bagi tujuan ini.

    Laporan itu turut menyebut bahawa Platform Nasional Jerman terhadap Mobliti Masa Hadapan masih lagi belum dimuktamadkan kerana laporan hasil kajian hanya akan dibentangkan Mac nanti, yang akan dimasukkan ke undang-undang perubahan iklim yang mahu digubal oleh kerajaan tahun ini. Namun komiti berkenaan sememangnya sedar bahawa banyak cadangan yang dikemukakan bakal menjadi kontroversi.

    “Bukan semua setiap instrumen dan setiap langkah akan diterima. Ia akan mengambil kira kecekapan politik, kemahiran diplomatik dan juga kesanggupan untuk dikompromi bagi mencapai sasaran perubahan iklim,” tulis kertas cadangan tersebut.

     
     
  • Triumph Thruxton TFC – dikeluarkan terhad 750 unit

    Triumph Thruxton TFC – dikeluarkan terhad 750 unit

    Tidak cukup dengan barisan model motosikal klasik moden yang ada sekarang, Triumph telah melancarkan satu lagi versi istimewa bagi Thruxton, dikenali sebagai Thruxton TFC. Huruf TFC yang digunakan itu membawa maksud Triumph Factory Custom, dan ia dihasilkan terus dari kilang Triumph di Hinckley, United Kingdom.

    Apa yang jelas dapat dilihat pada Thruxton TFC ini adalah ia menggunakan warna hitam pada kebanyakan bahagian dan diserikan dengan jalur pinstripe warna emas. Walaubagaimanapun, ia tidak berhenti setakat di situ kerana motosikal ini turut dilengkapi dengan barangan gentian karbon iaitu pada fairing, penutup tempat duduk belakang, penghadang kaki serta mudguard – menyumbang kepada pengurangan berat sebanyak 10 kg.

    Selain daripada itu, Thruxton TFC juga didatangkan terus dengan aksesori lain termasuk kemasan tepi tangki brushed aluminium, ekzos Vance & Hines serta tempat duduk balutan kulit dengan jahitan emas. Sudah tentu, sebagai sebuah model keluaran khas, motosikal ini mempunyai lencana nombor keluaran berhampiran bahagian tengah pemegang dan pembeli juga akan diberikan kit khas.

    Kelengkapan lain Thruxton seperti set brek Brembo dan suspensi Ohlins masih dikekalkan untuk model ini, tetapi enjin dua silinder selari 1,200 cc padanya telah diberikan peningkatan kuasa sebanyak 10 hp, menjadi 106 hp. Transmisi masih lagi sama iaitu unit enam kelajuan.

    Menurut Triumph, Thruxton TFC hanya akan dikeluarkan sebanyak 750 unit dan selepas habis, ia tidak akan dikeluarkan lagi. Tempahan kini sudah dibuka pada harga 21,500 USD (RM88,868).

     
     
  • Puspakom anjur kempen #drivesafenoregrets – pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena TBC

    Puspakom anjur kempen #drivesafenoregrets – pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena TBC

    Seperti perayaan besar yang lain, sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) pada awal bulan hadapan, sekali lagi Puspakom Sdn Bhd akan menganjurkan Kempen #drivesafenoregrets iaitu pemeriksaan kenderaan sukarela secara percuma bagi pemilik kenderaan persendirian. Kempen ini akan bermula pada 25 Januari hingga 4 Februari 2019, dari jam 8 pagi hingga 5 petang di semua cawangan Puspakom di seluruh negara, kecuali di Shah Alam, Lahad Datu dan Pasir Gudang.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail, kempen #drivesafenoregrets ini merupakan salah satu komitmen dan tanggungjawab korporat PUSPAKOM dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap aspek keselamatan kenderaan bagi memastikan keselamatan jalan raya ketika musim perayaan.

    “Kami berasa gembira kerana ribuan pemilik kenderaan persendirian mengambil peluang ini setiap kali pemeriksaan percuma ditawarkan. Statistik kami menunjukkan kempen pemeriksaan percuma sempena musim perayaan pada tahun 2018 mencatat sebanyak 4,270 buah kenderaan persendirian, iaitu peningkatan sebanyak 50% berbanding hanya 2,822 buah kenderaan pada 2017,” ujarnya.

    Selain itu, Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom juga akan beroperasi dengan menawarkan pemeriksaan percuma di Shell Jelutong, Shell Ipoh, UKM Bangi dan Tesco Selayang. Selain itu, Puspakom turut memaklumkan cawangan mereka yang terletak di Petaling Jaya juga akan melanjutkan waktu operasi khas untuk Persatuan Orang-Orang Cacat.

     
     
  • Volkswagen Alor Setar dinaik taraf menjadi pusat 4S

    Volkswagen Alor Setar dinaik taraf menjadi pusat 4S

    Volkswagen Alor Setar yang terletak di Aman Central, Kedah Darul Aman, kini telah dinaiktaraf daripada sebuah pusat 3S kepada 4S, termasuk dilengkapi dengan kemudahan badan dan cat. Dikendalikan oleh Lee Motors Autohaus Sdn. Bhd., Volkswagen Alor Setar ini merupakan pusat 4S Volkswagen yang ke 10 di Malaysia.

    Bangunan setinggi tiga tingkat yang seluas 35,352 kaki persegi ni turut menempatkan bilik pameran, ruang perkhidmatan selepas jualan dan kemudahan badan & cat yang menawarkan perkhidmatan seperti baik pulih kemalangan, kemasan cat, semburan semula, mengetuk panel, penjajaran chasis dan mengadun cat.

    Kemudahan lain termasuk bilik semburan cat, dua ruang persediaan, ruang mengggilap dan kemasan akhir, serta dua ruang pasca-mengangkat. Ruang penjajaran Car-0-Liner ada disediakan dan dikendali oleh tukang ketuk dan cat panel terlatih. Volkswagen Alor Setar juga menggunakan cat berasaskan air yang terbaik di dunia – Cromax Pro Waterbase di Bengkel Badan & Cat tersebut.

    Pengarah dan Ketua Pengedar Lee Motors Autohaus, Eugene Lee berkata Lee Motors benar-benar komited untuk menawarkan servis serta kemudahan terbaik kepada pelanggan.

    “Matlamat kami adalah untuk menjadi pusat sehenti untuk semua perkara berkaitan Volkswagen di wilayah ini dan membina kepercayaan dalam kalangan pelanggan. Seterusnya meningkatkan pengalaman pemilikan secara keseluruhannya.”

    Volkswagen Alor Setar 4S Centre beroperasi dari Ahad hingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 6 petang dan ditutup pada hari Sabtu serta cuti umum. Waktu bekerja melibatkan urusan jualan, servis serta badan dan cat.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan di M’sia bagi 2018 vs 2017 – jenama mana yang meningkat dan menurun tahun lalu

    Prestasi jualan kenderaan di M’sia bagi 2018 vs 2017 – jenama mana yang meningkat dan menurun tahun lalu

    Bagaimana agaknya prestasi jualan kenderaan di Malaysia bagi tahun 2018 jika dibandingkan dengan 2017? Dengan data jualan bagi tahun 2018 yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang telah dikeluarkan, agaknya jenama mana yang mendapat paling banyak kelebihan tahun lalu?

    Secara keseluruhannya, TIV bagi 2018 direkodkan sebanyak 598,714 kenderaan, peningkatan sebanyak 22,089 kenderaan berbanding tahun sebelumnya, 2017. Perkara ini disumbangkan oleh tempoh “cuti cukai” selama tiga bulan tahun lalu, ketika pelaksanaan GST dibatalkan bermula Jun 2018 dan SST belum berkuatkuasa (1 September 2018).

    Jika dilihat pecahan mengikut jenama, Perodua yang paling rancak, dengan pendaftaran sejumlah 227,243 unit kenderaan berbanding 204,887 unit pada tahun 2017. Kadar perkongsian pasarannya juga berjaya ditingkatkan, daripada 40.3% kepada 42.6% – dua daripada lima kenderaan yang dijual di Malaysia tahun lalu adalah kenderaan Perodua.

    Ditempat kedua ialah Honda, dengan 102,282 unit. Ini angka yang lebih rendah berbanding tahun 2017, iaitu sebanyak 109,511 unit. Walaupun dengan pengurangan jualan ini, Honda masih kekal sebagai jenama kenderaan bukan-nasional yang teratas di Malaysia.

    Proton, yang berada ditempat ketiga juga mengikut corak menurun seperti Honda. Jenama itu berjaya menjual sebanyak 64,744 unit (12.1% perkongsian pasaran), angka yang lebih rendah berbanding prestasi yang dicapai pada 2017.

    Sama seperti 2017, Toyota kekal ditangga keempat dengan 43,446 unit (8.1% perkongsian pasaran). Ini merupakan penurunan daripada 47,615 unit (9.3% perkongsian pasaran) pada tahun sebelum itu. Nissan pula kekal dikelompok lima teratas, dengan peningkatan jualan kepada 21,956 unit (4.1% perkongsian pasaran) bagi 2018 berbanding tahun sebelumnya.

    Mazda pula naik ke tangga ke-enam untuk 2018 (15,765 unit, 3% perkongsian pasaran), meletakkan Mercedes-Benz (13,118 unit, 2.5% perkongsian pasaran) satu tangga di belakang. BMW pula ditangga kelapan (12,008 unit, 2.3% perkongsian pasaran). Kedua-dua jenama Jerman ini mencatatkan peningkatan jumlah jualan dan perkongsian pasaran bagi 2018.

    Lain-lain jenama yang berjaya tersenarai dalam kedudukan 10 teratas ialah Volkswagen (7,001 unit, 1.3% perkongsian pasaran) dan Kia (5,658 unit, 1.1% perkongsian pasaran).

    Prestasi jualan kenderaan di M’sia bagi 2018 vs 2017 – jenama mana yang meningkat dan menurun tahun lalu

     
     
  • Toyota GR Supra produksi pertama berjaya dilelong pada harga RM8.7 juta pada acara Barret Jackson

    Toyota GR Supra produksi pertama berjaya dilelong pada harga RM8.7 juta pada acara Barret Jackson

    Ingat lagi sebelum ini Toyota mengumumkan bahawa model produksi pertama di dunia GR Supra A90 yang keluar dari kilang dengan nombor casis (VIN) 20201 akan dilelong di acara Barret Jackson? Kereta tersebut telah pun berjya dijual dengan harga bidaan akhir US$2.1 juta atau RM8.69 juta!

    Hasil jualan kereta ini akan disalurkan ke dua badan amal iaitu American Heart Association dan Bob Woodruff Foundation (BWF) untuk dana penyelidikan bagi sakit jantung dan strok serta program-program yang dijalankan oleh BWF untuk sokongan kepada veretan-veretan perang serta keluarga mereka.

    Unit pertama ini turut menampilkan ciri istimewa yang berbeza dari versi produksi biasa dengan diberi warna badan matte gray, penutup cermin sisi merah serta rim berwarna hitam matte. Ia turut akan diberikan lencana gentian karbon pada bahagian dalaman, bersama upholsteri kabin berwarna merah. Manakala nombor VIN 20201 tersebut bermaksud casis nombor 1 untuk model tahun 2020.

    Pemilik kereta ini turut akan menerima pengalaman penuh VIP di litar lumba yang turut termasuk sut perlumbaan professional tempahan khas, dua pas VIP dan hot pass untuk Toyota Owner 400 – Richmond Raceway serta peluang untuk memandu pace car dan membuat catatan lap terpantas bersama bekas pelumba stok car racing Micheal Waltrip.

    Toyota Supra generasi baharu ini didedahkan secara rasmi di North American International Auto Show (NAIAS) 2019 yang berlangsung di Detroit 14 Januari lalu. Ia dibina dengan asas yang sama dengan BMW Z4 G29. Model paling berkuasa Supra RZ dijana oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter, menghasilkan 340 PS antara 5,000 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 4,500 rpm, membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat.

    Tiga varian Supra RZ akan dijual di Amerika Syarikat iaitu varian asas akan dijual bermula pada harga US$49,990 (RM204,900), varian Premium dengan lebih kelengkapan dijual pada harga US$53,990 (RM221,200) manakala edisi Launch Edition (menerima rim 19 inci dan cermin sisi merah) dijual pada harga US$55,250 (RM226,400).




    GALERI: Toyota GR Supra A90 2020

     
     
  • Mission Winnow Ducati perkenal pasukan MotoGP

    Mission Winnow Ducati perkenal pasukan MotoGP

    Pasukan factory Ducati dalam perlumbaan MotoGP menjadi antara pasukan terawal yang mendedahkan jentera musim baru mereka, dan kini, dengan penaja utama baru, pasukan tersebut akan dikenali sebagai Mission Winnow Ducati. Mission Winnow ini sebenarnya adalah satu jenama milik Philip Morris International (PMI).

    Sinonim dengan Ducati, jentera Desmosedici GP19 yang akan digunakan oleh pasukan ini dicat dengan warna merah yang kelihatan seperti lebih gelap berbanding sebelum ini, dan kebanyakan pelekat penaja lain menggunakan warna putih. Untuk pelumba, khidmat Andrea Dovizioso terus digunakan, dan beliau akan disertai oleh Danilo Petrucci yang sebelum ini berlumba dalam pasukan persendirian.

    “Berlumba sentiasa menjadi sebahagian daripada DNA Ducati. Penyelesaian dan kepakaran yang dikumpul dalam litar menunjukkan satu aset yang berkait terus dengan barisan produk kami, dan projek MotoGP ini adalah penting supaya kami dapat menghasilkan model yang lebih berkemampuan, mengujakan dan selamat untuk ditunggang oleh penggemar Ducati,” kata ketua pegawai eksekutif Ducati Motor Holding, Claudio Domenicali.

    Pengurus kanan Ducati Corse, Luigi Dall’Igna pula memberitahu beliau yakin sekarang beliau mempunyai pasukan yang betul untuk mengoptimakan sumber pembangunan jentera yang digunakan, selain sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi dan berhasrat membawa gelaran juara MotoGP balik ke Borgo Panigale.

    Perlumbaan pertama MotoGP hanya akan berlangsung pada 10 Mac di Qatar, tetapi pasukan ini akan membuat penampilan di sesi ujian di Litar Sepang dari 6 hingga 9 Januari ini. Kami juga nanti akan memuat naik gambar yang diperoleh daripada sesi ujian ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025