Toyota sentiasa mahu mencari peluang bagi menghasilkan barisan model kereta yang lebih baik pada masa hadapan. Untuk ke arah itu, pengeluar kereta terkemuka ini mengambil keputusan untuk meneruskan pembangunan tenaga kerjanya, serta membuat perubahan yang lebih banyak daripada segi struktur supaya dapat memperkemaskinikan proses kerja bagi keseluruhan syarikat. Perubahan ini akan efektif April 2016.
Pembaik pulih struktur ini bermakna syarikat akan membina organisasi berdasarkan produk, berbanding berdasarkan fungsi semata-mata. Menurut Presiden Toyota, Akio Toyoda, “Saya mahu menganggap ini sebagai satu peluang untuk memperkukuhkan lagi tenaga kerja kami dan seterusnya mendorong perbuatan penghasilan kereta yang lebih baik. Sama ada perubahan struktur ini merupakan penyelesaian yang baik atau sebaliknya, ia bukan di tangan kita.”
Objektif lain yang turut terlibat dalam langkah penstrukturan ini termasuklah dari unit R&D hingga ke pengeluaran, unit perniagaan individu yang akan membuat keputusan dengan lebih pantas dan berdikari, dan memperkuatkan lagi fungsi untuk objektif jangka masa panjang dan strategi korporat.
Langkah ini turut melibatkan syarikat dalaman termasuk Innovative R&D and Engineering Company; Toyota Compact Car Company; Mid-size Vehicle Company; CV Company; Lexus International Co.; Power Train Company; dan Connected Company. Tanggungjawab dan kuasa sepenuhnya akan diserahkan kepada presiden setiap syarikat dalaman terbabit, yang bertanggungjawab dalam perancangan dan pelaksanaan kerja dalam jangka masa pendek atau panjang berkaitan dengan pembangunan dan strategi produk.
Selain itu, Frontier Research Center bakal dibangunkan, untuk membina teknologi baharu dan model perniagaan dalam jangka masa panjang, termasuk mencari input secara lebih agresif daripada organisasi penyelidikan dan ahli Kumpulan Toyota sendiri.
Hingga kini, Toyota telah melaksanakan beberapa perubahan struktur sebagai cara untuk menghasilkan kereta yang lebih baik, mempertingkatkan kekuatan untuk operasi serantau dan menekankan kepentingan genchi-genbutsu (proses pembelajaran dan penyelesaian masalah) dalam latihan personal.