Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Program subsidi diesel beri RM200 sebulan untuk pemilik — harga akan naik hingga RM3.33 seliter

    Program subsidi diesel beri RM200 sebulan untuk pemilik — harga akan naik hingga RM3.33 seliter

    Kementerian Kewangan Malaysia telah mengumumkan program bantuan subsidi Madani, atau Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil serta pekebun kecil komoditi.

    Permohonan akan dibuka esok, 28 Mei 2024 bagi mereka yang layak, di bawah kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi di bawah subsidi Budi Madani. Pemohon yang berjaya bagi kedua-dua kategori akan menerima RM200 sebulan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada program subsidi bersasar untuk diesel, jelas kementerian dalam satu kenyataan.

    Kriteria kelayakan bagi pemohon Budi Individu adalah seperti berikut:

    • Warganegara Malaysia
    • Pemilik kenderaan persendirian diesel yang didaftarkan dengan JPJ, kecuali kenderaan mewah diesel yang kurang daripada 10 tahun
    • Kenderaan dengan cukai jalan sah
    • Pendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah (individu dan pasangan)

    Kriteria kelayakan bagi pemohon Budi Agri-Komoditi adalah seperti berikut:

    • Pekebun dan petani kecil berdaftar dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Jaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
    • Mampu menunjukkan hasil tahunan antara RM50,000 dan RM300,000 daripada perladangan atau pengeluaran komoditi

    Permohonan boleh dilakukan secara dalam talian di laman web Budi Madani, yang akan tersedia sepanjang tahun. Pemohon yang telah diluluskan permohonannya sebelum 3 Jun 2024 akan menerima bayaran Budi Madani yang pertama pada pertengahan Jun 2024, dengan bayaran berikutnya akan dilakukan setiap bulan.

    Bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024, pemohon yang berjaya akan menerima bayaran pertama dalam tempoh dua minggu, dan setiap sebulan selepas itu. Jumlah bayaran bulanan itu akan dipindahkan ke akaun bank pilihan pemohon, atau secara tunai menerusi cawangan BSN bagi pemohon yang berjaya, tetapi tidak memiliki akan bank.

    Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, fakta bahawa bayaran subsidi ini akan dimulakan seawal bulan Jun 2024 bermakna harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia akan diapungkan mengikut harga pasaran dalam masa terdekat. Setakat hari ini, diesel Euro 5 tanpa subsidi dijual RM3.33 seliter, berbanding harga kawalan RM2.15 seliter. Ini melibatkan peningkatan RM1.18 seliter, atau 55%!

    Meneliti angka-angka ini, bantuan RM200 akan menampung perbezaan harga sehingga 169.5 liter diesel setiap bulan. Bagi kenderaan diesel yang memberikan kadar penggunaan 10 km/L (kenderaan diesel pada umumnya besar dan berat), itu menjadikan purata jarak perjalanan 1,700 km sebulan, sebelum subsidi tersebut habis. Lebih daripada itu, anda akan membelanjakan lebihan untuk diesel berbanding penggunaan semasa ketika ini.

    Program pindahan wang tunai secara bulanan akan turut dilakukan terhadap bahan api petrol juga, ketika nanti kerajaan memutuskan akan menarik balik subsidi terhadap petrol RON 95. Ketika ditulis, RON 95 tanpa subsidi dijual pada harga RM3.35 seliter — RM1.30 lebih mahal berbanding harga kawalan semasa iaitu RM2.05, atau melibatkan peningkatan 63%. Anda sudah bersedia untuk ini?

     
     
  • Stesen Petronas di KM 58 Bentong arah timur, LPT, ditutup sehingga 30 Mei 2024 untuk diselenggara

    Stesen Petronas di KM 58 Bentong arah timur, LPT, ditutup sehingga 30 Mei 2024 untuk diselenggara

    Untuk makluman pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dimaklumkan bahawa stesen Petronas di KM 58 Bentong arah timur akan ditutup mulai esok (28 Mei) sehingga 30 Mei 2024. Penutupan stesen minyak terbabit adalah bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaraan stesen minyak berkenaan.

    Sebagai alternatif, sekiranya perlu mengisi minyak kenderaan atau pun mendapatkan barangan keperluan lain, anda boleh ke stesen minyak Shell di R&R Temerloh Timur atau pun stesen minyak Petronas di R&R Genting Sempah.

    Memandangkan minggu ini musim cuti persekolahan, sudah pasti ramai di antara kita yang mahu ke serata destinasi atau pun pulang ke kampung halaman. Justeru, sila rancang perjalanan anda sewajarnya dan amalkan pemanduan berhemah.

     
     
  • John Cena jual Honda Civic Type R FK8, beli Civic Type R FL5 baru lepas ‘jatuh cinta’ di bilik pameran

    John Cena jual Honda Civic Type R FK8, beli Civic Type R FL5 baru lepas ‘jatuh cinta’ di bilik pameran

    Bintang gusti WWE, John Cena tahun lalu mendedahkan bahawa beliau memilih Honda Civic Type R FK8 sebagai kenderaan hariannya, berbanding supercar atau kereta sport lain yang lebih mahal. Namun dalam satu ciapan yang dibuat menerusi akaun rasmi laman media sosial X, Cena menyatakan bahawa beliau baru sahaja membeli model generasi baharu Civic Type R iaitu FL5, dan FK8 miliknya sebelum ini telah diletakkan di pengedar Honda untuk dijual!

    “Hari yang sungguh tak disangka! Saya bawa Civic Type R ’21 untuk servis dan nampak Honda Type R ’24 baru dan terus jatuh cinta! Terima kasih untuk kenalan di Wesley Chapel Honda (Pengedar Honda di Tampa, Florida) untuk semua pertolongan dan lebih lagi kuasa kuda! Untuk yang bertanya…ya Civic Boost Blue ’21 saya ada di sana dan sedang mencari pemilik baharu,” kata Cena dalam ciapan tersebut.

    John Cena antara pelakon yang baharu menyertai saga filem Fast & Furious, diberikan watak sebagai adik kepada Dominic Toretto iaitu Jakob Toretto. Seperti pelakon-pelakon lain dalam filem berkenaan yang kebanyakkannya memang ‘kaki kereta’, John Cena juga sama.

    Cena mendedahkan kenderaan hariannya dalam dalam siaran bersama podcast Whiskey Ginger tahun lalu. Menurutnya, atas pelbagai faktor beliau lebih selesa memandu Honda Civic Type R FK8 setiap hari walaupun mampu untuk membeli kereta yang lebih mahal.

    “Ia ada teknologi, ia (transmisi) manual, boleh diharap, dan sangat stabil,” kata Cena. “Dude, ia model 2020, dan ia ada pedal ketiga (klac), dan pada kelajuan 145 batu sejam (233 km/j) ia masih stabil. Ia ada tempat duduk di belakang, saya boleh benar-benar bawa orang,” kata Cena.

    Menurutnya lagi, semua ini tak dapat dibuat oleh supercar seperti Lamborghini Countach. “Klacnya keras, amat sukar untuk memastikan ia dalam keadaan baik, ia sentiasa berada di bengkel, sentiasa ada cecair yang bocor di sana-sini. Jadi jika saya perlukan kereta untuk bergerak sejauh sekitar 10 batu (17 km), ia tentunya Civic,” jelas Cena.

     
     
  • Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

    Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

    Sepanjang pengenalan model generasi pertamanya sejak 2019, sejumlah 16,114 unit MPV mewah Lexus LM sudah terjual untuk pasaran global. Dan ketika diperkenalkan di Malaysia sejak April 2021, pengedar tempatan, UMW Toyota Motor berjaya menjual sebanyak 32 unit MPV yang jauh lebih mewah berbanding Toyota Aplhard dan Vellfire ini.

    Kini, model generasi kedua Lexus LM pula diperkenalkan, dengan beberapa aspek penawaran yang pertama kali untuk pasaran tempatan berbanding generasi pertamanya sebelum ini. Yang dimaksudkan ialah, kini ada dua varian yang ditawarkan — bukan hanya berbeza daripada segi sistem janaan kuasanya, tetapi juga konfigurasi tempat duduk.

    Lexus Malaysia kini menawarkan dua pilihan varian untuk Lexus LM 2024 generasi kedua ini — Lexus LM500 dengan konfigurasi tempat duduk 2+2, serta LM350h dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3. Kedua-dua varian ini memanfaatkan sistem janaan kuasa hibrid yang memberikan kesenyapan dan juga kecekapan tenaga.

    Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

    LM500h menggunakan enjin T24A-FTS 2.4L empat-silinder sebaris Dual VVT-i turbo hibrid petrol (Parallel Hybrid System) dengan sistem pacuan Direct 4 All Wheel Drive. Enjin ini menjana sebanyak 371 hp dan 460 Nm tork, serta dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    LM350h pula menggunakan enjin 2.5L empat-silinder sebaris VVT-iE dengan sistem hibrid penuh (Series Parallel Hybrid System) yang menjana sebanyak 250 hp dan 239 Nm tork dengan kuasanya disalurkan ke roda depan, memberikan prestasi sekaligus penjimatan bahan api. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.1 saat. Sistem hibrid ini menggunakan bateri Bipolar Nickel-Metal Hydride (NiMH).

    Lexus LM350h dengan tujuh tempat duduk dijual dengan harga RM1,228,000, manakala varian paling tinggi dengan empat-tempat duduk, LM500h dijual dengan harga RM1,468,000.

    Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

    Model generasi kedua ini dibangun menggunakan platform TNGA-K, dengan beberapa bahagian yang diperkukuh untuk lebih selamat. Tidak seperti model generasi pertama yang meminjam banyak persamaan dengan model Toyota Alphard dan Vellfire, LM generasi kedua ini menjarakkan lagi jurang tersebut, kerena LM mahu memberikan perkara-perkara yang tidak ada bagi dua MPV popular Toyota itu.

    Dari segi penampilan luarannya, LM generasi kedua ini dilengkapi lampu utama dengan tiga tahap dalam rekaan lebih kompak, dengan dua lampu DRL khusus. Elemen paling ketara yang mendominasi wajah depannya ialah rekaan gril besar dengan kesan satin hot stamping yang digunakan. Rim pula menggunakan saiz 19-inci dengan ciri resin resonator untuk meredamkan lagi bunyi bising dari jalan dan roda, untuk menjadikan kabin lebih senyap.

    Selain itu, ciri pemegang pintu e-latch untuk pintu depan serta see-saw switch untuk pintu gelungsur belakang turut memudahkan lagi kendalian oleh pengguna. Untuk Pintu belakang, satu lagi suis berdekatan lampu belakang turut tersedia untuk bukaan pintu dari luar. Di belakang, ia menggunakan jalur lampu khusus bentuk L dengan satu lagi jalur lampu di atasnya, yang merentasi seluruh kelebaran MPV mewah ini.

    Lexus LM 2024 di M’sia — versi mewah Alphard / Vellfire, LM350h dan LM500h, RM1.2 juta-RM1.5 juta

    Dari segi dimensi, Lexus LM generasi kedua ini mempunyai ukuran 5,125 mm panjang dan 1,890 mm lebar. Untuk ketinggian, ada perbezaan antara versi empat-tempat duduk dengan tujuh tempat-duduk — masing-masing dengan 1,955 mm dan juga 1,940 mm. Jarak roda antara keduanya sama, 3,000 mm.

    Untuk sistem suspensi, bahagian depannya menggunakan jenis MacPherson Strut, sementara di belakang pula dengan jenis double-wishbone. Uniknya sistem suspensi ini ia hadir dengan ciri frequency-sensitive piston valve untuk bahagian depan dan belakang, yang akan memberikan kelebihan tambahan dari aspek serapan hentakan dan keselesaan kabin. Ini dicapai melalui ciri yang dikenali sebagai Rear Comfort Mode (RCM).

    Kelebihan dan kelainan Lexus LM ini kebanyakannya diberikan untuk ruang dalaman, yang menawarkan keselesaan maksimum untuk penumpangnya. Antaranya ia dilengkapi dengan material dan kulit yang menyerap gegaran untuk kerusi penumpangnya. Dua warna kabin ditawarkan, iaitu hitam-kelabu gelap dan juga putih-gangsa.

    Versi konfigurasi empat-tempat duduk hadir dengan lebih banyak ciri kemewahan. Ada pengasing dengan kedap bunyi yang memisahkan bahagian pemandu dan penumpang di belakang, dengan yang baru ini 40% lebih kedap bunyi berbanding model lama. Ia juga hadir dengan skrin ultra-lebar untuk digunakan, dengan tambahan ciri pemisah skrin kepada dua paparan dalam satu masa, atau boleh dijadikan skrin tunggal di tengah jika mahu.

    Bagi aspek keselamatan, Lexus LM 2024 lengkap dengan sistem bantuan pemandu seperti sistem pra-perlanggaran, DRCC dengan ciri Stop/Go dan bantuan papan tanda jalan, bantuan mengekal lorong (LDA) dan bantuan mengesan lorong (LTA), Lexus Teammate Advanced Park, Safe Exit Assist (SEA) dan lampu tinggi adaptif (AHS).

    Empat warna badan ditawarkan sebagai pilihan: Sonic Titanium, Sonic Quartz, Graphite Black dan Sonic Agate.

     
     
  • Honda Malaysia catat kenaikan jualan 23% untuk Q1 2024 – 21,500 unit; 2 model baharu dilancar tahun ini

    Honda Malaysia catat kenaikan jualan 23% untuk Q1 2024 – 21,500 unit; 2 model baharu dilancar tahun ini

    Dalam majlis pelancaran Honda City Hatchback facelift baru-baru ini, Honda Malaysia mendedahkan telah menghantar 21,500 unit kenderaan pada suku pertama (Q1) tahun ini. Ini mewakili peningkatan sebanyak 23% untuk setakat ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

    Awal Mac lalu, syarikat ini mendedahkan sasaran jualan untuk tahun ini ialah 95,000 unit, di mana ia lebih 19% berbanding yang disasarkan iaitu 80,000 unit pada tahun 2023. Dengan jumlah jualan untuk Q1 ini, Honda Malaysia kini hanya perlu mencapai sekitar 73,500 unit dalam beberapa bulan ini untuk sasaran tahun 2024.

    Dari segi model, sudah diumumkan bahawa dua model Honda baharu dilancarkan tahun ini, termasuk
    City Hatchback yang baru dilancarkan itu. Menurut syarikat itu, sebanyak 28,700 unit model segmen-B tersebut telah dijual sejak pengenalan awalnya pada Disember 2021.

    Untuk model kedua pula, tidak dimaklumkan, namun ada kemungkinannya Civic facelift, yang telah dilancarkan di Amerika Syarikat pada Januari lalu. Pada Mac lalu, Honda Malaysia berkata, pihaknya ingin memberi penekanan yang lebih besar buat model hibrid e:HEV, termasuk menghadirkan lebih banyak varian dengan penjana kuasa elektrik untuk pasaran tempatan.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro e+ PHEV dipertonton di M’sia – 326 PS, 545 Nm, jarak EV hingga 80 km, bakal dilancar?

    Chery Tiggo 8 Pro e+ PHEV dipertonton di M’sia – 326 PS, 545 Nm, jarak EV hingga 80 km, bakal dilancar?

    Baru-baru ini, Chery Malaysia telah pun mempertontonkan versi plug-in hybrid bagi Tiggo 8 Pro, e+, yang merupakan unit pemanduan sebelah kiri dalam acara Malaysia Autoshow 2024.

    Ia diberikan ejin yang sama dengan Omoda 5 iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silider berkuasa 156 PS dan tork 230 Nm dengan padanan motor elektrik berkembar yang disepadukan bersama transmisi hibrid (DHT) tiga-kelajuan. Jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil cecah 326 PS dan tork 545 Nm.

    Di China, Tiggo 8 Pro e+ ditawarkan dengan dua saiz bateri iaitu yang paling kecil mampu memberikan jarak elektrik hingga 42 km mengikut kitaran WLTP, dan yang paling besar dengan unit 19.27 kWh berkeupayaan memacu SUV ini hingga 80 km. Kesemua model menyokong pengecas pantas DC hingga 29 kW, dan juga pengecas AC 6.6 kW. Bateri yang lebih besar juga boleh berfungsi sebagai vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW.

    Chery berkata PHEV ini memiliki sembilan mod operasi dengan mod motor elektrik tunggal, dwi-motor elektrik, series dan extended range, direct engine drive mode dan parallel drive mode. Walau pun ada perbezaan antara operasi motor-tunggal dan dwi-motor, Tiggo 8 Pro e+ masih tetap kenderaan pacuan roda-hadapan.

    Empat mod lagi bagi model ini berkaitan dengan pemulihan tenaga iaitu mod pengecasan dan parkir, mod pengecasan dan pemanduan, penjanaan semula tenaga brek motor tunggal dan penjanaan semula tenaga brek dwi-motor.

    Ada lagi sedikit perbezaan di bahagian luar, tidak seperti di China yag menerima keseluruhan bahagian hujung hadapan baharu. Ia ditampilkan dengan ciri yang sama dengan versi petrol iaitu gril hadapan “galaxy” gaya-Audi yang menyerlah, lampu utama LED trapezoidal dengan lampu nyalaan siang bentuk-L berkembar, pintu krom dan jaluran tingkap serta lampu belakang sepenuhnya, Malah roda aloi dua-tona 19-inci juga sama dengan versi petrol.

    Chery Tiggo 8 Pro e+ PHEV dipertonton di M’sia – 326 PS, 545 Nm, jarak EV hingga 80 km, bakal dilancar?

    Hanya ada tiga ciri kelengkapan yang membezakannya iaitu pintu port pengecasan pada fender kiri hadapan, lingkaran biru pada perumah tempat minyak dan juga diffuser baharu yang mengeluarkan dua ekzos sebenar. Tapi ini bukanlah suatu kejutan kerana ciri ini juga boleh dilihat pda Omoda 5 dengan enjin yang sama.

    Bahagian dalamnya juga ada persamaan, masih mengekalkan bentangan tujuh-tempat duduk, papan pemuka diinspirasi dari Mercedes (penuh dengan panel paparan cermin hadapan bersama skrin berkembar 12.3-inci) dan skim warna hitam dan coklat. Hanya yang membezakannya adalah kemasan biru pada pemilih gear elektronik.

    Buat masa ini tiada perincian bilakah ia bakal memasuki pasaran tempatan, namun difahamkan ia akan hadir dalam bentuk pemasangan tempatan CKD. Sepatutnya ia dijadualkan tiba pada awal tahun ini namun ternyata sudah tersasar jauh. Apa pun kena nantikan perkembangan selanjutnya dari Chery Malaysia.

     
     
  • Promosi Caltex — beli minyak pelincir enjin Havoline atau Delo dan dapat hadiah set bekas kuih istimewa

    Promosi Caltex — beli minyak pelincir enjin Havoline atau Delo dan dapat hadiah set bekas kuih istimewa

    Ada perancangan untuk servis kereta anda, dan sedang mencari minyak enjin terbaik? Anda boleh mencuba pelbagai produk pelincir daripada Caltex Malaysia, yang dijual di bawah jenama Havoline dan Delo, yang akan memenuhi setiap keperluan anda. Ia dihasilkan khusus untuk mempertingkatkan perlindungan dan prestasi enjin petrol atau diesel kenderaan anda. Lebih menarik, anda turut berpeluang menerima hadiah istimewa dengan setiap pembeliannya!

    Pembeli yang memilih minyak enjin sintetik penuh Havoline ProDS ECO5 4L (tersedia dalam gred kelikatan 0W-20 dan 5W-30) atau minyak enjin sintetik penuh Havoline ProDS LE 4L (dalam 5W-40 dan 10W-50) akan menerima set bekas kuih 950 ml dengan setiap pembelian.

    Mereka yang membeli minyak enjin sintetik penuh Delo Sports Advanced 5W-30 6L +1L +1L atau Delo Sports Advanced 5W-40 6L +1L juga akan menerima hadiah yang sama.

    Jika anda inginkan minyak enjin sintetik penuh Havoline ProDS 0W-20 3L atau Havoline 5W-30 atau 10W-40 4L pula, set bekas kuih 650 ml akan menjadi habuan anda. Hadiah yang sama akan diberikan jika anda membeli minyak enjin sintetik campuran Havoline 5W-30 atau 10W-40 4L atau Delo Sports (dalam kelikatan 10W-30 dan 15W-40) 6L +1L.

    Rebut peluang ini segera kerana promosi hanya sah sehingga 31 Mei, atau selagi stok masih ada*. Ketahui lebih lanjut di sini, atau kunjungi bengkel Havoline autoPro atau stesen Caltex terdekat anda.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Polis cari wanita tunggang skuter mikromobiliti atas jalan raya di Rawang; bahayakan pengguna lain

    Polis cari wanita tunggang skuter mikromobiliti atas jalan raya di Rawang; bahayakan pengguna lain

    Susulan satu video seorang wanita yang dilihat menunggang skuter elektrik tiga roda yang dikelaskan sebagai kenderaan mikrobiliti di atas jalan raya tempoh hari, semalam pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sudahpun mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang mencari individu yang melakukan kesalahan tersebut.

    Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, pihaknya telah mengesan rakaman video berdurasi 30 saat yang tular di media sosial, dan hasil siasatan awal mendapati kenderaan itu ditunggang dari arah Persiaran Tan Sri Low Yow Chuan menghala ke Persiaran Lembah Hijau 3 di Bandar Tasik Puteri, menggunakan lorong paling kanan.

    “Perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada penunggang mikromobiliti tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan tersebut dan menambah bahawa pihaknya sedang mengesan penunggang kenderaan mikromobiliti dan meminta pemilik rakaman papan pemuka untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Kaedah 3(1) P.U.(a) 453/202 (menggunakan kenderaan mikromobiliti tertentu yang dilarang),” katanya lagi.

    Polis cari wanita tunggang skuter mikromobiliti atas jalan raya di Rawang; bahayakan pengguna lain

    Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mazlan Mohd Arifin di talian 012-4551413 atau bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222.

    Kerajaan tidak mengharamkan penjualan kenderaan mikromobiliti ini kerana ia masih boleh digunakan untuk tujuan rekreasi di tempat-tempat tertentu. Namun atas faktor-faktor keselamatan ia tidak boleh didaftarkan di atas jalan raya dan tidak menerima kelulusan VTA dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Penggunaannya di atas jalan raya bukan sahaja tidak dilindungi oleh insuran, malah ia turut boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

     
     
  • KTMB umum tren tambahan ETS untuk Aidiladha 2024

    KTMB umum tren tambahan ETS untuk Aidiladha 2024

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan penambahan empat unit perkhidmatan tren elektrik (ETS) disediakan untuk laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada pertengahan Jun ini.

    Di mana tren tren tambahan bagi laluan Padang Besar ke KL Sentral dan sebaliknya akan beroperasi bermula 13 hingga 18 Jun dan 21 hingga 23 Jun dengan sejumlah sembilan trip. Manakala tren tambahan bagi laluan Butterworth ke KL Sentral dan sebaliknya beroperasi dari 13 hingga 18 Jun melibatkan enam trip.

    Menurut KTMB, sebanyak 9,450 tiket tren tambahan termasuk koc kelas perniagaan telah mula dijual sejak semalam, 26 Mei 2024. Penambahan perkhidmatan ini bertujuan menampung permintaan tinggi semasa musim perayaan dan mengelakkan kesesakan trafik bagi mereka yang ingin pulang ke kampung halaman.

    Dalam masa yang sama, KTMB turut menasihati para pengguna untuk membeli tiket lebih awal bagi mengelakkan ‘terlepas pembelian’ dan ia boleh dibeli menerusi aplikasi KTM Mobile (KITS) dan juga laman web KTMB.

     
     
  • Voge FR150 masuk pasaran Malaysia lawan Yamaha Y15ZR, Honda RS150R – 150 cc DOHC 15.4 hp, RM9k

    Voge FR150 masuk pasaran Malaysia lawan Yamaha Y15ZR, Honda RS150R – 150 cc DOHC 15.4 hp, RM9k

    Semasa Malaysia Auto Show 2024, MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah memperkenalkan beberapa jenama baru yang dibawa masuk ke pasaran Malaysia, dan salah satunya adalah Voge, yang merupakan satu jenama di bawah syarikat Loncin dari China.

    Sebagai permulaan, dua model dilancarkan untuk jualan di negara kita iaitu FR150 dan CU525. Melihat pertamanya kepada FR150, ia adalah sebuah kapcai dengan bentuk serta enjin yang boleh dikatakan familiar dalam pasaran, dan dijual pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans.

    Dikatakan sebegitu kerana rekaan FR150 ini walaupun tidak betul-betul sama, mempunyai iras kepada Yamaha Y16ZR, manakala enjinnya pula, melalui maklumat yang kami terima, adalah mengambil asas daripada model Honda RS150R.

    Voge FR150 masuk pasaran Malaysia lawan Yamaha Y15ZR, Honda RS150R – 150 cc DOHC 15.4 hp, RM9k

    Penggerak FR150 adalah unit satu silinder 149.6 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 15.4 hp pada 8,500 rpm dan 13.5 Nm tork pada 7,500 rpm. Sebagai perbandingan, atas kertas RS150R menghasilkan kuasa 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm.

    Kemudiannya, pada kedua-dua roda FR150 ini terdapat brek cakera, dengan di hadapan menggunakan angkup dua piston dan di belakang angkup satu piston. Menjadikan spesifikasinya lebih tinggi, brek itu juga datang dengan sistem ABS dual-channel.

    Sistem suspensi masih menggunakan tetapan biasa fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, sementara tangki bahan api pula berkapasiti 5.8 liter. Menjadikan motosikal ini lebih mudah untuk digunakan adalah sistem kunci pintar serta soket pengecas USB.

    Di hadapan penunggang tersedia panel meter jenis digital yang menggunakan paparan berwarna dan ia lengkap dengan informasi penting seperti kelajuan, suhu enjin, tahap bahan api, kadar rpm serta kedudukan gear. Dalam keadaan asal, rim 17 inci FR150 dibalut dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perkakasan selain enjin pada FR150 ini diberitahu mempunyai persamaan dengan Y15ZR dan sebagai bukti, Voge juga telah membawa FR150 yang dipasang dengan pelbagai aksesori aftermarket model Yamaha tersebut termasuk rim, brek, lengan ayun, suspensi dan pelbagai lagi.

     
     
  • PDRM bakal guna Honda City sebagai kereta peronda?

    PDRM bakal guna Honda City sebagai kereta peronda?

    Seorang pengguna Facebook telah memuatnaik satu video di Paultan.org Automotive Discussion Group memaparkan enam buah Honda City baharu yang telahpun menerima grafik badan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lengkap dengan lampu strob di atas bumbung, menunjukkan bahawa ia bakal digunakan sebagai kereta peronda pihak berkuasa berkenaan.

    Berdasarkan rupa luarannya, City berkenaan adalah versi petrol penuh yang dijana oleh enjin 1.5 liter petrol i-VTEC berkuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada 4,300 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    PDRM mula menggunakannya Honda sebagai kereta peronda bermula dengan Honda Civic FC 1.8L pada 2020, kemudian diikuti dengan Civic FE 1.5L Turbo yang baru diserahkan pada Februari lalu. Walau bagaimanapun untuk Honda City ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh PDRM.

     
     
  • Triumph Daytona 660 dilancarkan di Malaysia – RM50k

    Triumph Daytona 660 dilancarkan di Malaysia – RM50k

    Triumph juga tidak ketinggalan berada di Malaysia Auto Show dan telah melancarkan model sports Daytona 660 untuk pasaran Malaysia. Ia dijual pada harga RM49,500 tidak termasuk insurans, dan motosikal dijangka tiba di wakil pengedar hujung bulan ini.

    Daytona 660 ini menggunakan asas daripada model 660 (Trident/Tiger Sport), tetapi beberapa perubahan penting dibuat untuk menyesuaikannya dengan karekter motosikal sports. Pertamanya di bahagian enjin, unit tiga silinder DOHC 660 cc tersebut dipertingkat untuk menghasilkan 95 PS pada 11,250 rpm dan tork 69 Nm pada 3,125 rpm. Ekzos juga ditukar untuk menghasilkan bunyi lebih sporty.

    Enjin ini dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis Torque Assist yang dikatakan dapat memberikan kendalian tuil yang lebih progresif dan ringan, sambil membantu kawalan roda belakang sewaktu mengurangkan kelajuan dengan agresif, manakala quickshifter (naik dan turun) ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Triumph Daytona 660 dilancarkan di Malaysia – RM50k

    Jika pada Trident cuma ada dua mod tunggangan (Rain dan Road), Daytona 660 pula mendapat tambahan satu lagi mod iaitu Sport yang memberikan maklum balas pendikit lebih “reaktif” untuk tunggangan lebih agresif termasuk dalam litar. Sistem kawalan cengkaman boleh ditutup melalui pilihan dalam menu instrumen.

    Dengan kuasa yang sudah lebih tinggi, Triumph juga memberikan naik taraf kepada bahagian brek, dengan di bahagian roda hadapan Daytona 660 terdapat angkup empat piston untuk dua cakera 310 mm yang digunakan (pada Trident cuma dua piston). Brek belakang masih menggunakan padanan cakera tunggal 220 mm dan angkup satu piston, sementara ABS pula diberikan secara standard (dual-channel).

    Tiada perubahan dibuat pada bahagian suspensi, dengan Daytona 660 masih menggunakan fork hadapan USD Showa SFF-BP 41 mm tanpa pelarasan, dengan jarak gerak 110 mm manakala di belakang terdapat monoshock Showa RSU dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 130 mm. Menyambungkannya kepada jalan adalah rim aluminium 17 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Selain penggunaan panel badan dengan fairing penuh, Triumph juga membuat perubahan pada bahagian ergonomik dengan menggunakan pemegang jenis clip-on, kedudukan peletak kaki yang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kedudukan condong apabila mengambil selekoh, serta tempat duduk jenis berasingan yang berukuran 810 mm dari tanah.

    Meter TFT pada Daytona 660 lebih menyerupai unit yang digunakan pada Street Triple 765, dan ia juga boleh disambungkan kepada My Triumph Connectivity System untuk memberikan fungsi navigasi dan kawalan muzik, melalui aksesori yang dijual berasingan. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter manakala berat keseluruhan Daytona 660 adalah 201 kg (dengan minyak).

     
     
  • Toyota mungkin perkenal GR Corolla dengan kotak gear automatik jika terima banyak permintaan

    Toyota mungkin perkenal GR Corolla dengan kotak gear automatik jika terima banyak permintaan

    Buat masa sekarang hot-hatch lima-pintu GR Corolla menjadi satu-satunya model dalam keluarga kereta sport Toyota Gazoo Racing yang hanya menawarkan kotak gear manual, selepas GR Yaris diberikan pilihan kotak gear lapan-kelajuan automatik menerusi model facelift yang diperkenalkan pada awal tahun ini. Namun sekiranya mendapat permintaan dan desakan dari peminat, tak lama lagi GR Corolla mungkin turut menawarkan pilihan varian yang dilengkapi hanya dua-pedal tersebut.

    “Jika ada permintaan dari pelanggan, mungkin (ia akan diperkenal)”, kata presiden Toyota Gazoo Racing Tomoya Takahashi kepada portal automotif Australia, Drive ketika ditanya adakah GR Corolla bakal menerima kotak gear automatik selepas ini dalam satu sesi penerangan kepada media di negara itu baru-baru ini.

    Malah dalam sesi yang sama ketua jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley turut memberi respon bahawa jualan bagi model GR dengan kotak gear automatik adalah lebih tinggi dari transmisi manual pada pasaran negara tersebut.

    “Berdasarkan pada [data jualan GR Supra dan GR 86 automatik] mewakili lebih separuh dari jualan buat masa sekarang, data ini boleh menunjukkan bahawa pelanggan lebih tertarik kepada model auto jika ia ditawarkan,” kata Hanley yang turut mendedahkan bahawa dari 1,600 GR 86 yang ditempah oleh pembeli di Australia, 51.5% memilih versi dengan kotak gear automatik.

    Toyota mungkin perkenal GR Corolla dengan kotak gear automatik jika terima banyak permintaan

    GR Corolla berkongsi enjin 1.6 liter tiga-silinder turbo, kotak gear dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four yang sama seperti GR Yaris, jadi tidak menjadi masalah untuk Toyota menawarkan model automatik pada masa akan datang. Pada GR Yaris facelift, kotak gear automatik yang ditawarkan digelar sebagai Gazoo Racing Direct Automatic Transmission.

    Transmisi automatik lapan-kelajuan tersebut dibangunkan sendiri oleh Toyota Gazoo Racing. Menurut TGR, kotak gear ini mempunyai “kelajuan transmisi dan ketahanan yang boleh dinikmati oleh pelbagai jenis orang”, dan perisian kawalan transmisi tersebut telah dioptimakan untuk pemanduan sporty.

    Kotak gear ini akan “belajar” bagaimana rentak pemandu memijak pedal brek dan pedal pendikit bagi membolehkan ia membuat anggaran lebih tepat bila gear perlu ditukar walaupun sebelum perubahan dalam tingkah laku kenderaan berlaku.

    Toyota mungkin perkenal GR Corolla dengan kotak gear automatik jika terima banyak permintaan

    Dengan itu gear akan ditukar secara automatik dalam tempoh masa hampir sama ketika pemandu berniat menukar gear tersebut, seterusnya akan memberikan tukaran gear yang hampir sama bagaimana pemandu profesional menukar gear, dakwa TGR.

    Kotak gear AT ini didatangkan dengan penyejuk minyak ATF secara standard. Ia juga menggunakan material geseran yang sangat tahan panas pada klac penukar gear, bersama penambahbaikkan dibuat pada perisian kawalan transmisi bagi memberikan ‘tukaran gear berkelas-dunia’, dakwa TGR lagi.

    Dengan jumlah gear yang lebih banyak berbanding versi manual, kotak gear automatik 8AT ini juga dapat memastikan enjin sentiasa berada pada lengkuk kuasa. Bagi varian RZ “High performance”, LSD jenis torsen dipadankan secara standard.

     
     
  • Honda NX500 dilancar untuk pasaran M’sia – RM37k

    Honda NX500 dilancar untuk pasaran M’sia – RM37k

    Turut dilancarkan oleh Boon Siew Honda di Malaysia Autoshow 2024 adalah NX500. Ia adalah model pengganti kepada CB500X sebelum ini, dan ditawarkan pada harga RM37,099 tidak termasuk insurans, dalam pilihan tiga warna iaitu Pearl Horizon White, Grand Prix Red dan Mat Gun Powder Metallic.

    Bentuk asas motosikal ini masih sama dengan CB500X, tetapi kesemua panel badannya telah diubah, termasuk lampu LED hadapan dan belakang, dengan rekaan yang lebih kemas dan bersih. Rekaan rim 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakangnya juga adalah baru, dan mencatat berat tiga kilogram lebih ringan berbanding rim CB500X.

    Pada bahagian kokpit, NX500 mendapat skrin TFT lima inci berwarna penuh, yang boleh dihubungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync dan memaparkan informasi penting termasuk penunjuk arah navigasi. Selain daripada itu, model ini juga mendapat sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh ditutup jika mahu.

    Enjin masih lagi sama, iaitu unit dua silinder selari 471 cc, mampu menghasilkan 49 hp pada 8,600 rpm dan tork 45 Nm pada 6,500 rpm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist serta sistem pacuan rantai.

    Memegang roda motosikal ini adalah suspensi yang terdiri daripada fork USD Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm tanpa pelarasan dan monoshock dengan pelarasan pra beban, sementara brek pula terdiri daripada set cakera berkembar 296 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Turut diberi pada NX500 adalah tangki bahan api 17.5 liter serta brek ABS dual-channel. Berat keseluruhan NX500 adalah 196 kg termasuk minyak dan tinggi tempat duduknya adalah 830 mm dalam keadaan standard.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 diperkenal di AS – tiada lagi enjin 1.5L Turbo, hanya 2.0L hibrid 200 hp/315 Nm

    Honda Civic facelift 2025 diperkenal di AS – tiada lagi enjin 1.5L Turbo, hanya 2.0L hibrid 200 hp/315 Nm

    Selepas foto awalannya disiarkan awal tahun ini, Honda secara rasmi memperkenalkan versi facelift bagi model generasi ke-11 untuk pasaran Amerika Syarikat. Selain diberikan penyegaran rupa, Civic turut menerima rombakan unit rangkaian kuasa disana.

    Bermula versi facelift ini, varian tertinggi bagi Honda Civic biasa di AS tidak lagi menerima enjin 1.5 liter VTEC turbo kecuali untuk versi prestasi Civic Si. Enjin berkenaan kini digantikan dengan unit rangkaian kuasa hibrid dua motor i-MMD dengan enjin 2.0 liter.

    Ia merupakan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Civic RS e:HEV di Malaysia di mana enjin petrol yang dibekalkan secara primary bertugas untuk mengecas bateri hibrid, sementara tayar hadapan dipacu oleh motor elektrik dan dibantu oleh enjin petrol mengikut keadaaan.

    Namun bagi model pasaran Amerika Syarikat ini, kuasa yang ditala adalah lebih besar iaitu 200 hp berbanding hanya 181 hp bagi model pasaran Malaysia, tetapi kedua-duanya masih menampilkan tork maksima 315 Nm. Menurut Honda, ini menjadikan Civic Hybrid 2025 ini sebagai Civic bukan Type R paling berkuasa pernah dihasilkan.

    Honda Civic facelift 2025 diperkenal di AS – tiada lagi enjin 1.5L Turbo, hanya 2.0L hibrid 200 hp/315 Nm

    Honda Amerika Syarikat menjangkakan 40% dari pelanggannya di pasaran itu akan memilih versi hibrid ini. Manakala varian lebih rendah akan terus menggunakannya enjin 2.0L NA seperti sebelum ini “bagi membolehkan ia kekal mampu dimiliki oleh golongan muda” dakwa Honda, dan perinciannya akan diumumkan kemudian.

    Model facelift 2025 ini akan terus diperkenalkan dalam dua bentuk badan di AS iaitu sedan dan hatchback, bersama empat varian kemasan berbeza iaitu LX (sedan sahaja), Sport, Sport Hybrid dan Sport Touring Hybrid.

    Honda turut menyatakan bahawa pengendalian Civic Hybrid 2025 ini turut ditala bagi mengekalkan legasi “semangat keseronokan memandu” dan “keselesaan terbaik dalam kelasnya” dengan mengoptimakan talaan spring dan penyerap hentak serta penggunaan tayar yang dibangunkan khas untuknya.

    Model hibrid ini juga didakwa menawarkan that NVH paling rendah dalam barisan model Civic, di mana ia turut menerima pakej pengurangan bunyi termasuk sistem Active Noise Control pada semua model hibrid dan resonator roda pada varian Sport Touring.

    Honda Civic facelift 2025 diperkenal di AS – tiada lagi enjin 1.5L Turbo, hanya 2.0L hibrid 200 hp/315 Nm

    Seperti yang didedahkan sebelum ini, bahagian hadapan Civic facelift 2025 menampilkan rupa hampir sepenuhnya sama dengan muka Civic RS Prototype pasaran Jepun yang muncul di Tokyo Auto Salon 2024 pada Januari lalu.

    Gril hadapan model facelift ini diberikan elemen sarang lebah bersama kerangka yang dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar. Elemen sarang lebah yang sama turut dibawa ke gril bampar di bawah yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model sedia ada.

    Secara asasnya bahagian belakang masih nampak sama seperti model sebelumbya, tetapi diberikan perubahan pada bahagian grafik lampu. Empat warna badan ditawarkan pada Civic 2025 pasaran Amerika Syarikat ini iaitu Solar Silver Metallic, Urban Gray Pearl, Blue Lagoon Pearl (hanya untuk Civic sedan) dan Sand Dune Pearl (hanya untuk Civic hatchback)

    Bagi membezakan varian, model-model yang menerima unit rangkaian hibrid diberikan perapi lampu hadapan dengan warna badan serta diberikan spoiler bawah bam par hadapan. Semua varian Sport masih diberikan kemasan-kemasan gelap bersama rim 18-inci berwarna hitam. Sementara varian Sport Touring Hybrid pula diberikan rim rekaan baharu dalam kemasan digilap.

    Honda Civic facelift 2025 diperkenal di AS – tiada lagi enjin 1.5L Turbo, hanya 2.0L hibrid 200 hp/315 Nm

    Tiada perubahan besar dibuat pada bahagian kabin di mana ia hanya disegarkan menerusi padanan warna. Semua model hibrid kini diberikan tema warna kelabu, manakan varian Sport Hybrid menerima moonroof, pemanas tempat duduk hadapan dan juga sistem pendingin hawa dua zon.

    Varian Sport Touring pula menerima tambahan upholsteri kulit pada tempat duduk, sistem audio premium dari Bose dengan 12 pembesar suara serta skrin sesentuh 9-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.

    Civic juga sudah menerima fungsi integrasi Google built-in seperti Accord, namun ia hanya diberikan pada varian Sport Touring Hybrid. Ia memberikan fungsi aplikasi seperti Google Assistant, Google Maps dan pelbagai aplikasi lain yang boleh didapati pada Google Play secara bina-dalam. Perincian ini datang sekali dengan plan data tanpa had selama tiga-tahun.

    Honda Civic facelift 2025 pasaran AS ini akan terus diproduksi di kilang Alliston, Ontario, Kanada bagi model sedan, sementara Civic Hatchback pula dihasilkan di kilang Greensburg, Indiana, Amerika Syarikat. Ia akan mula dijual pada Jun ini, bermula dengan versi sedan terlebih dahulu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025