Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sabah alami kerosakan jalan kritikal sejauh 710 km – perlu kos RM1.8b untuk selenggara, baikpulih

    Sabah alami kerosakan jalan kritikal sejauh 710 km – perlu kos RM1.8b untuk selenggara, baikpulih

    Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengesahkan negeri Sabah mengalami kerosakan jalan yang teruk dan boleh dikategorikan sebagai sangat kritikal iaitu sejauh 710 km.

    Katanya, kos sebanyak RM1.8 bilion diperlukan untuk kerja-kerja baikpulih dan menyelenggara kerosakan jalan raya di negeri berkenaan, laporan Berita Harian.

    “Data mengenai tahap kerosakan jalan raya di Sabah itu adalah berdasarkan keadaan semasa pada tahun lalu. Ini memakan belanja (untuk baikpulih dan selenggara) dianggar sekitar RM1.8 billion.

    “Dengan caruman dan geran yang ada hampir RM1 bilion, kita mempunyai defisit dalam mengatasi atau melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Kerja Raya Sabah pada Persidangan DUN Sabah kelmarin.

    Tambah beliau, peruntukan pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya disalurkan kerajaan persekutuan di Sabah hanya RM625 juta, manakala RM350 juta caruman daripada kerajaan negeri.

    Peruntukan yang diperoleh pada tahun lalu itu adalah untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan negeri, jalan luar bandar, naik taraf jalan SRT (Jenis Permukaan Jalan) 2 dan SRT 3 ke SRT 1, jalan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah serta Jalan Pertanian, jelasnya lagi.

     
     
  • Lebih 14,000 aduan jalan rosak, berlubang diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 19 April 2024

    Lebih 14,000 aduan jalan rosak, berlubang diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 19 April 2024

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerima sejumlah 14,031 aduan menerusi aplikasi MyJalan sejak Ogos 2023 sehingga 19 April 2024, menurut laporan Bernama.

    Daripada jumlah itu, sebanyak 27% atau 3,776 aduan melibatkan jalan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), sementara 73% atau 10,255 aduan pula di bawah tanggungjawab kementerian lain, ujar Timbalan Menteri KKR Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Lebih 14,000 aduan jalan rosak, berlubang diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 19 April 2024

    KKR bukan setakat hanya bertanggungjawab terhadap penyeliaan jalan persekutuan, lebuhraya dan jalan negeri semata-mata, tetapi turut menyalurkan informasi kepada kementerian yang berkaitan, kata Ahmad Maslan. Tambahnya lagi, 85% aduan yang berkaitan dengan KKR telah pun diselelasaikan, selebihnya masih di bawah siasatan.

    “Kami mempunyai prosedur operasi standard yang sentiasa ditambah baik. Sekiranya terdapat jalan berlubang di lebuhraya dan jalan persekutuan, ia perlu ditampal dalam masa 24 jam. Setakat ini, 100% daripadanya telah ditampal dalam masa 24 jam atau kurang, kata Ahmad Maslan.

    Dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim padaOgos lalu, aplikasi MyJalan oleh KKR telah menerima kira-kira 1,000 aduan berhubung kerosakan jalan raya pada bulan pertama ia dilancarkan.

     
     
  • Jentera lumba Toyota Hilux Champ binaan Gazoo Racing Thailand sertai Thailand Super Series 2024

    Jentera lumba Toyota Hilux Champ binaan Gazoo Racing Thailand sertai Thailand Super Series 2024

    Toyota Gazoo Racing (TGR) Thailand mengumumkan bahawa ia akan menyertai siri perlumbaan Thailand Super Series tahun ini untuk kategori Thailand Super Pickup, dengan menggunakan trak pikap paling mampu milik yang baru dilancarkan hujung 2023 iaitu Toyota Hilux Champ.

    Kategori Thailand Super Pickup berkenaan merupakan siri perlumbaan litar yang diwujudkan khas untuk trak pikap single cab pacuan roda belakang yang diproduksi di Thailand. Jadi ia sangat bersesuaian dengan Hilux Champ yang hanya ditawarkan dalam spesifikasi sedemikian.

    Jentera lumba Toyota Hilux Champ binaan Gazoo Racing Thailand sertai Thailand Super Series 2024

    Malah ketika dilancarkan tahun lalu, Toyota turut menyatakan bahawa selain dari direka untuk melakukan pelbagai kerja, Hilux Champ juga adalah trak pikap yang mudah untuk diubahsuai untuk kegunaan rekreasi lain termasuk berlumba.

    Di Thailand, Hilux Champ ini ditawarkan dalam tiga variasi enjin iaitu enjin petrol empat silinder 2.0 liter dan 2.7 liter serta enjin diesel 2.4L. Bertanding dalam kategori Thailand Super Pickup, sudah tentu jentera lumba ini dibekalkan dengan enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter empat silinder.

    Ini kerana perlumbaan berkenaan menetapkan syarat jentera yang berlumba hanya dibenarkan menggunakan enjin produksi diesel dengan sistem commonrail, serta dibenarkan menggunakan pengecas turbo atau Supercharger dan juga dibenarkan membuat pelbagai ubahsuai lain mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

    Selain itu ia juga menerima kelengkapan keselamatan seperti rollcage, pemadam api dan sebagainya, serta ubahsuai pada bahagian casis dan panel badan, dan kesemua ini juga perlu mengikut undang-undang kategori Thailand Super Pickup tersebut.

     
     
  • AXCR Thailand-Malaysia 2024 – Toyota GR Thailand guna jentera rali Hilux Revo GR Sport Wide Tread

    AXCR Thailand-Malaysia 2024 – Toyota GR Thailand guna jentera rali Hilux Revo GR Sport Wide Tread

    Toyota Gazoo Racing (TGR) Thailand hari ini secara rasmi mengesahkan penyertaannya dalam perlumbaan rali rentas negara, Asia Cross Country Rally (AXCR) 2024. Untuk tugas itu, TGR Thailand bakal mempertaruhkan tiga buah trak pikap Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread yang baru sahaja diperkenalkan pada pasaran negara itu bulan lalu yang diubahsuai sebagai jentera rali mengikut spesifikasi yang dibenarkan oleh penganjur perlumbaan tersebut.

    Spesifikasi sebenar jentera rali tersebut tidak diumumkan oleh TGR Thailand. Namun mengikut peraturan perlumbaan, AXCR menggunakan undang-undang FIA Group T1 untuk kategori utama empat roda.

    Jadi ia mungkin masih mengekalkan enjin produksi 1GD-FTV 2.8 liter empat-silinder turbodiesel berkuasa 224 PS dan tork maksima 550 Nm, dan menerima ubahsuai casis seperti pemadanan rollcage, penggunaan suspensi rali, panel-panel badan lebih ringan dan sebagainya untuk bertanding dalam rali tersebut.

    AXCR Thailand-Malaysia 2024 – Toyota GR Thailand guna jentera rali Hilux Revo GR Sport Wide Tread

    Apa yang menjadi kelebihan sudah tentu pada bahagian suspensi, kerana Hilux GR Sport Wide Tread ini menampilkan badan lebih lebar kerana datang dengan tetapan jarak trek roda yang lebih lebar dari Hilux biasa, bagi memberikan cengkaman dan kestabilan lebih baik.

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

    Untuk edisi 2024 AXCR, ia sudahpun disahkan akan melibatkan laluan perlumbaan yang bermula dari Surat Thani, Thailand sehingga ke Kuala Lumpur, Malaysia. Perlumbaan selama enam hari dengan perjalanan sejauh 2,000 km berkenaan akan dibahagikan kepada enam Leg, dan ia akan bermula 11 Ogos dan tamat pada 17 Ogos 2024.

    AXCR Thailand-Malaysia 2024 – Toyota GR Thailand guna jentera rali Hilux Revo GR Sport Wide Tread

    Selain TGR Thailand, satu lagi pasukan factory iaitu Mitsubishi Ralliart juga sudahpun mengesahkan penyertaan mereka dalam rali ini, dengan menggunakan jentera yang sama seperti tahun lalu iaitu Triton generasi baharu. Mitsubishi Ralliart merupakan juara AXCR 2022, namun hanya berjaya menduduki tempat ketiga tahun lalu, ditewaskan oleh dua Toyota Fortuner dari pasukan TGR Indonesia.

    Malah perlumbaan tahun ini juga turut akan ‘dipanaskan’ dengan penyertaan tiga jentera pasukan Malaysia, di mana dua daripadanya dipandu oleh pelumba negara yang pernah berlumba dalam Safari Rally di Kenya untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu Saladin Mazlan dan Karamjit Singh, dan sebuah lagi akan dipandu oleh atlit sukan permotoran wanita negara iaitu Leona Chin.

    GALERI: Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread di BIMS 2024

     
     
  • Harga minyak 25 April-1 Mei – Tiada perubahan

    Harga minyak 25 April-1 Mei – Tiada perubahan

    Bagi minggu bertarikh 25 April hingga 1 Mei 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 17 April lalu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi petrol tetap akan dilaksanakan tahun ini dalam usaha untuk mengecilkan defisit fiskal negara. Menurutnya susulan jangkaan rasionalisasi bahan api itu, kerajaan akan melaksanakan pengurangan subsidi secara berperingkat dengan risiko inflasi meningkat sebelum rancangan itu dilaksanakan.

    Sebelum ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pengapungan mengikut harga pasaran bagi petrol RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion, walau pun ini bermakna harganya dijangka meningkat hingga 64% bagi RON95 dan 61% bagi diesel.

     
     
  • smart Concept #5 didedah – SUV EV empat tempat duduk, bateri lebih 100 kWh, jarak gerak +550 km

    smart Concept #5 didedah – SUV EV empat tempat duduk, bateri lebih 100 kWh, jarak gerak +550 km

    Tahun ini smart akan membawa sebuah model baru, iaitu smart Concept #5 ke Beijing Auto Show, yang akan berlangsung minggu ini. Ia adalah sebuah SUV konsep saiz sederhana, dan bakal menjadi model paling besar bagi jenama tersebut.

    Sementara smart #3 yang diperkenalkan sebelum ini mempunyai bentuk SUV coupe, Concept #5 pula kelihatan lebih berpetak dan tegak, dan tampil dengan pelbagai kelengkapan seperti tayar offroad, lampu LED atas bumbung, skid plate depan dan belakang dengan winch serta tangga boleh lipat di belakang. Ia seperti dijadikan untuk kegunaan lebih lasak.

    SUV elektrik konsep ini datang dengan pacuan semua roda, hasil daripada penggunaan dua motor serta sistem elektrikal 800 volt bersama bateri yang berkapasiti lebih 100 kWh. Menurut smart, apabila menggunakan pengecas pantas, baterinya boleh naik dari 10-80% dalam masa 15 minit dan memberikan jarak gerak sehingga 550 km apabila bateri penuh.

    smart Concept #5 didedah – SUV EV empat tempat duduk, bateri lebih 100 kWh, jarak gerak +550 km

    Ukuran dimensi Concept #5 ini masih belum didedah tetapi smart merujuk saiznya sebagai mempunyai “jejak yang cekap”, manakala jarak dari roda ke tayar (overhang) hadapan dan belakang adalah pendek. Pintunya dibuat untuk terbuka secara suicide dan di dalam terdapat empat tempat duduk, dengan konsol tengah yang panjang sehingga ke belakang.

    Di atas papan pemuka terdapat skrin OLED lebar yang boleh digunakan selain untuk infotainmen, juga untuk melaras fungsi kenderaan, serta panel paparan untuk pemandu. Keadaan di dalam kabin dijadikan lebih menarik dengan lampu suasana dan pada konsol tengah terdapat pembesar suara yang boleh dicabut.

    Dalam siaran akhbar, smart menyatakan tempat duduk hadapan Concept #5 ini menampilkan sistem beg udara baru dan turut dilengkapi liang udara, ciri pemanas, fungsi mengurut serta perehat kaki.

    smart turut menerapkan teknologi AI kenderaan terkini pada bahagian dalam SUV ini. Antara yang utama adalah fungsi daripada pakar AI, Cerence, yang dikatakan boleh memberikan interaksi lebih menghiburkan antara penumpang dengan sistem dalam kereta.

    Pelbagai fungsi boleh dikawal menggunakan suara, termasuk panggilan dan mesej, muzik dan media, pendingin hawa, navigasi, kawalan kenderaan, tetapan individu serta informasi lain seperti cuaca, berita, kalendar, pengetahuan umum dan pelbagai lagi.

    Selepas dipertontonkan kepada awam 25 April ini, smart akan mula memperkenalkan pula versi produksi bagi Concept #5 pada separuh kedua tahun ini.

     
     
  • Ada warga tempatan ‘baik hati’ belikan warga asing motosikal kerana kasihan dan simpati – JPJ Kedah

    Ada warga tempatan ‘baik hati’ belikan warga asing motosikal kerana kasihan dan simpati – JPJ Kedah

    Dalam sidang media Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah hari ini, Timbalan Pengarah JPJ negeri itu iaitu Shahrul Azhar Mat Dali menyatakan bahawa pihaknya mendapati sebahagian warga asing yang ditahan menunggang motosikal tanpa lesen adalah kerana mereka memperolehi kenderaan tersebut yang dibelikan oleh warga tempatan.

    Menurutnya dalam laporan Sinar Harian, ada penduduk tempatan yang sanggup membeli motosikal untuk warga asing menggunakan nama ataupun dokumen mereka kerana rasa kasihan dan simpati.

    “Bagaimanapun, tindakan membantu warga asing membeli motosikal dikhuatiri menyebabkan lebih ramai warga asing menunggang motosikal tanpa lesen sah.

    “Dalam operasi pada sebelah pagi Selasa sahaja, kita berjaya menahan 23 warga asing kebanyakannya etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kerana menunggang motosikal tanpa lesen sah,” katanya.

    Ada warga tempatan ‘baik hati’ belikan warga asing motosikal kerana kasihan dan simpati – JPJ Kedah

    Beliau menegaskan, JPJ Kedah amat serius dan komited menangani situasi ini memandangkan ia melibatkan pelanggaran undang-undang jalan raya dan boleh menyusahkan pengguna jalan raya yang lain untuk membuat tuntutan insuran sekiranya berlaku kemalangan

    “Berdasarkan kes kita kenal pasti, sebanyak 95 peratus tiada lesen memandu dan apabila dia memandu dan tiada lesen, maka dia tidak mematuhi undang-undang.

    “Jika berlaku kemalangan atau dia melanggar kenderaan lain dan sebagainya, tuntutan insurans akan jadi sukar,” katanya.

    Shahrul menegaskan bahawa warga tempatan yang menjadi pemilik sebenar motosikal juga akan dikenakan tindakan sekiranya warga asing itu melakukan kesalahan jalan raya. Beliau turut memaklumkan bahawa tahun lalu sebanyak 3,756 notis saman telah dikenakan ke atas warga asing dengan 939 kenderaan disita, berbanding 1,140 notis saman dan 285 kenderaan disita pada 2022.

    “Pada tahun ini sehingga bulan Mac lepas, kita mengeluarkan sebanyak 580 notis saman dan 145 kenderaan telah disita,” katanya.

     
     
  • Yamaha NVX 2024 diperkenal dengan warna baharu

    Yamaha NVX 2024 diperkenal dengan warna baharu

    Yamaha NVX sekali lagi diberikan pembaharuan warna dan tahun 2024 ini ia ditawarkan dalam warna Blue dan Bronze untuk versi Standard, dan Cyan Sky dan Premium Navy untuk versi ABS. Harganya masing-masing adalah RM9,998 dan RM11,698 tidak termasuk insurans.

    Daripada empat warna ini, warna Premium Navy yang disediakan untuk versi ABS kelihatan lebih istimewa kerana rimnya menggunakan warna seakan keemasan manakala tempat duduk pula dibalut dengan fabrik berwarna coklat. Tiga warna lain masih menggunakan rim dan tempat duduk yang berwarna hitam.

    Bahagian lain skuter ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA, menghasilkan 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi adalah unit CVT tali sawat.

    Versi standard dijual pada harga lebih murah kerana tidak dilengkapi dengan brek ABS, namun masih datang dengan panel instrumen digital LCD yang boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect di telefon bimbit, lampu LED depan dan belakang, serta tangki bahan api 5.5 liter. Kelebihan varian ABS selain sistem brek ABS one-channel adalah sistem start/stop, suspensi belakang dengan subtank serta sistem kunci pintar.

    Kelengkapan lain antara dua varian NVX155 ini adalah sama, termasuk brek hadapan jenis cakera, brek belakang dram, soket pengecas USB, rim 14 inci depan dan belakang dengan tayar 110/80 dan 140/70, fork teleskopik dan dua penyerap hentak di belakang.

    Setiap pembelian akan didatangkan dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Tesla Model 3 Performance 2024 kini boleh ditempah; bermula RM242k, 460 hp, 0-100 km/j dalam 3.1 saat

    Tesla Model 3 Performance 2024 kini boleh ditempah; bermula RM242k, 460 hp, 0-100 km/j dalam 3.1 saat

    Tesla telah pun memperkenalkan versi prestasi untuk Model 3 Highland, dan ia secara rasmi digelar sebagai varian Performance, bukan Model 3 Ludricous seperti yang dijangka sebelum ini. Pengguna di Malaysia turut sudah boleh menempah model ini menerusi laman web rasmi Tesla, dan ia disenaraikan dengan harga bermula RM242,000, tidak termasuk bayaran tempahan dan penghantaran.

    Tesla Model 3 Performance ini sudah tentu datang dalam konfigurasi dua motor, masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda. Unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Performance Drive Unit berkenaan menghasilkan kuasa keseluruhan 460 hp, bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 262 km/j.

    Sebagai perbandingan, varian Model 3 Dual Motor AWD Long Range biasa hanya boleh membuat pecutan yang sama dalam masa 4.4 saat dan mencapai kelajuan maksima 201 km/j. Namun jarak gerak bagi versi Performance ini adalah lebih pendek iaitu 528 km dalam kitaran WLTP berbanding varian Long Range boleh dipandu sejauh 629 km dalam kitaran WLTP dengan satu cas penuh bateri.

    Tesla Model 3 Performance 2024 kini boleh ditempah; bermula RM242k, 460 hp, 0-100 km/j dalam 3.1 saat

    Bukan hanya aspek unit rangkaian kuasa sahaja dipertingkat, malah Tesla turut membuat talaan semula pada casis bagi memberikan prestasi pengendalian lebih baik. Ia diberikan suspensi adaptif bersama spring baharu, serta dipadankan dengan set bushing dan bar penstabil lebih sporty, serta sistem brek yang menampilkan cakera dan angkup lebih besar bersama set pad prestasi.

    Tesla juga memberikan fungsi Track Mode V3 pada Model 3 Performance ini di mana ia menampilkan pelarasan baharu pada unit rangkaian kuasa dan suspensi adaptif bagi “memberikan anda lebih pengawalan ketika memandu”, dakwa Tesla. Pemandu juga boleh melaras sendiri keseimbangan pengendalian, kawalan kestabilan dan karekter sistem regenerative braking mengikut selera masing-masing.

    Dari luar model ini boleh dikenali dengan pengayaan yang nampak lebih garang, menampilkan apron hadapan lebih agresif dengan penambah liang sisi, spoiler bawah bampar, dan juga komponen-komponen gentian karbon seperti diffuser di bawah bampar belakang dan juga spoiler but.

    Dengan tetapan suspensi baharu juga membolehkan badan Tesla Model 3 Performance lebih rapat ke permukaan jalan bagi memberikan stance yang lebih gagah, digandingkan bersama set rim aloi forged Warp berdiameter 20-inci.

    Sedan sports EV ini datang dengan kabin standard berwarna hitam, tetapi pembeli boleh memilih tema dalaman berwarna putih dengan tambahan RM5,000. Perincian standard lain yang diberikan termasuk tempatan duduk hadapan yang direka seperti kerusi bucket, dan kemasan gentian karbon pada papan pemuka.

    Tempahan atas talian untuk Tesla Model 3 Performance ini boleh dibuat dengan bayaran tempahan RM1,000 dan tambahan RM500 diperlukan sebagai bayaran penghantaran. Pelbagai perincian opsyen boleh anda pilih, sudah tentu melibatkan tambahan harga.

    Ketika artikel ini ditulis, Tesla Malaysia menyatakan dalam laman web rasmi tersebut bahawa pelanggan yang membuat tempahan bakal menerima kereta masing-masing seawal bermula suku kedua tahun ini.

     
     
  • Lotus Emeya EV dibuka tempahan di Malaysia, dari RM650k untuk varian asas; dilancarkan pada Q3

    Lotus Emeya EV dibuka tempahan di Malaysia, dari RM650k untuk varian asas; dilancarkan pada Q3

    Tempahan bagi Lotus Emeya EV telah pun mula dibuka untuk pasaran Malaysia, menjelang pelancaran rasminya yang direncana bakal berlangsung pada suku ketiga (Q3) tahun ini. Difahamkan bahawa penghantaran unit yang ditempah oleh pelanggan akan bermula pada suku keempat (Q4) 2024.

    Pertama kali ditampilkan di peringkat global pada September lalu di New Yorl, Emeya four-door GT ini turut dipertontonkan dalam acara Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024 bulan lalu, di mana ia memulakan jualannya di Thailand dengan menawarkan dua varian iaitu Emeya S dari 5,990,000 baht (RM777,600), dan Emeya R pada 6,890,000 baht (RM895,500).

    Di Malaysia, harganya dijangka bermula dari RM650,000 untuk varian asas. Emeya S dilengkapi dengan enjin yang mampu menghamburkan kuasa hingga 612 PS dan tork 710 Nm, membolehkan grand tourer elektrik ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.15 saat dan kelajuan maksimum cecah 250 km/j. Bagi spesifikasi tertinggi Emeya R yang dijual di Thailand, dengan penjana kuasa 918 PS/985 Nm, ia boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 2.78 saat dan kelajuan maksimum cecah 256 km/j.

    Diproduksi di Wuhan, China, Emeya dibina dengan platform Electric Premium Architecture (EPA) oleh Lotus, sama seperti model Eletre, dan turut menggunakan binaan 800-voltan yang sama dengan SUV tersebut.

    Mengikut spesifikasi model negara jiran, Emeya diberikan pek bateri 102 kWh, kurang sedikit berbanding Eletre yang diberikan unit 112 kWh. Dengan kapasiti bateri tersebut, Emeya S mampu capai jarak gerak hingga 610 km dalam pengecasan penuh mengikut ujian protokol WLTP, sementara Emeya R pula dengan output motor yang lebih tinggi dan sekadar capai jarak gerak hingga 485 km (WLTP).

    Untuk pengecasannya, ia dilengkapi dengan pengecas on-board 22 kW yang mampu capai status 0-100% dalam 5.8 saat, dan jika menggunakan pengecas pantas DC sehingga 350 kW pula, ia mampu capai status 0-100% dalam 18 minit.

    Ciri kelengkapan yang ditampilkan termasuklah roda 22-inci dengan balutan tayar 265/35 di hadapan dan 305/30 di belakang, sistem suspensi udara kawalan elektronik (yang sama dengan Eletre), aerodinamik aktif, diffuser belakang aktof dan juga spoiler belakang dwi-lapisan aktif bersama unit selebar 280 mm (100 mm pada Eletre) dan menawarkan daya berat 215 kg bagi downforce.

    Untuk bahagian kabinnya, ia diberikan ruang sentral ‘terapung’ skrin LED-penuh OLED, 15 unit pembesar suara atau 23-unit untuk pilihan yang lebih high-end, dengan sistem bunyi sekeliling 3D Dolby Atmos.

    GALERI: Lotus Emeya R di BIMS 2024

     
     
  • Porsche Cayenne GTS & Cayenne GTS Coupe facelift 2024 diperkenal – V8, 500PS/660 Nm, casis lebih sporty

    Porsche Cayenne GTS & Cayenne GTS Coupe facelift 2024 diperkenal – V8, 500PS/660 Nm, casis lebih sporty

    Selepas setahun model facelift bagi Porsche Cayenne generasi E3 didedahkan, kini varian yang dihasilkan dengan lebih aspek keseronokan memandu iaitu Cayenne GTS kini diperkenalkan, dan ia terus ditawarkan dalam bentuk badan lima-pintu biasa dań juga Coupé.

    Varian GTS, atau Gran Turismo Sport ini diasaskan dari versi Cayenne S. Jadi ia menerima enjin V8 4.0 liter turbo berkembar, menghasilkan 500 PS dan tork maksima 660 Nm tau 40 PS/40Nm lebih berkuasa dari versi pre-facelift sebelum ini. Manakala sistem pacuan semua rodanya pula kini menampilkan litar penyejukkan cecair bebas yang diadaptasi dari Cayenne Turbo GT, yang mampu “menstabilkan kapasiti beban secara berterusan” ketika dalam pemanduan lasak seperti dalam litar atau jalan pergunungan.

    Enjin tersebut dipadankan bersama kotak gear tiptornic lapan kelajuan automatik, yang turut ditala semula bagi mendapatkan respon dan tukaran gear lebih pantas dalam mod Sport dan Sport Plus. Gandingan ini membolehkan Cayenne GTS facelift tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 275 km/j – 0.1 saat lebih pantas dan 5 km/j lebih laju dari versi pre-facelift.

    Porsche Cayenne GTS & Cayenne GTS Coupe facelift 2024 diperkenal – V8, 500PS/660 Nm, casis lebih sporty

    Selain dari angka kuasa dan prestasi, keseronokan memandu bagi Cayenne GTS ini turut disumbangkan dari talaan semula pada sistem suspensi. Model ini menerima penyerap hentak adaptif udara secara standard yang merendahkan badannya 10 mm lebih dari biasa, serta diberikan galas gandar hadapan dari Turbo GT bagi memberikan sudut kamber -0.58 pada roda hadapan berbanding Cayenne biasa. Menurut Porsche, talaan ini memberikan pengendalian yang lebih tangkas dan dinamik pada SUV tersebut.

    Pada bahagian luaran, Cayenne GTS ini menerima pakej penggayaan Sport Design yang meliputi kemasan pada cermin tingkap sisi dan juga pelindung tambahan pada ruang roda, kesemuanya dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan kemasan hitam yang sama pada skirt sisi dan gril bampar hadapan bagi memberikan rupa yang lebih agresif.

    Ia juga menerima perincian standard lain seperti bumbung kaca panaromik dan spoiler belakang adaptif. Bagi melengkapkan rupanya, SUV ini diberikan rim aloi RS Spyder 21-inci dalam kemasan Anthracite Grey. Manakala tip ekzos pula datang dalam kemasan gangsa gelap berbanding hitam pada model GTS sebelum ini.

    Porsche Cayenne GTS & Cayenne GTS Coupe facelift 2024 diperkenal – V8, 500PS/660 Nm, casis lebih sporty

    Pembeli turut ditawarkan dengan pelbagai opsyen bagi mendapatkan spesifikasi lebih baik untuk Cayenne GTS ini, antaranya sistem ekzos dengan paip tengah sports, dan juga pakej lightweight sports yang merangkumi bumbung dan diffuser belakang lebih ringan diperbuat dari gentian karbon serta pengurangan bahan penebat. Menurut Porsche, bergantung spesifikasi yang dipilih, pakej tersebut dapat mengurangkan berat sehingga 25 kg.

    Pada bahagian kabin pula, Cayenne GTS ini menerima perincian standard seperti roda stereng GT dengan pemanas, upholsteri Race-Tex pada bahagian seperti pelapik bumbung, perehat tangan dan panel-panel pada pintu, serta bahagian tengah temat duduk sports yang boleh dilaras dalam lapan-hala.

    Tempat duduk sport hadapan tersebut juga menerima sokongan sisi lebih baik bagi membantu pemandu mengekalkan kedudukan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Selain itu, ia juga menerima sistem bunyi surround dari Bose dan lampu suasana kabin, serta pakej perincian spesifik untuk varian GTS dalam kemasan Carmine Red dan Slate Grey Neo.

     
     
  • BRT Sunway beroperasi di aras jalan pada 27 April – trek bertingkat diguna untuk Under Armour Dual Race

    Ini ada makluman buat penduduk Sunway/USJ dan juga pengguna perkhidmatan BRT laluan Sunway. Laluan bas bertingkat ini akan beroperasi di aras jalan biasa pada malam Sabtu ini, 27 April 2024, dari jam 6 pagi hingga ke tengahmalam. Ia adalah bagi memberikan laluan kepada penganjuran acara larian Under Armour Dual Race yang bermula jam 11 malam.

    Ini bermakna bas BRT akan bergerak di bawah trek bertingkat, dan akan berhenti di bawah stesen BRT kecuali di empat stesen, yang akan mempunyai lokasi alternatif untuk mengambil/menurunkan penumpang. Stesen berkenaan ialah USJ 7, South Quay, Mentari dan Sunway Setia Jaya – senarai penuh seperti di atas.

    Acara Under Armour Dual Race melibatkan larian berganti-ganti sejauh 21.1 km dan akan menggunakan laluan trek bertingkat BRT sepenuhnya. Untuk peserta yang terlibat, anda boleh mengambil kit larian pada Jumaat ini (26 April) dari jam 10 pagi hingga 10 malam di butik Under Armour, Sunway Pyramid.

     
     
  • Laluan kontra di sebahagian Lebuhraya KL-Seremban mulai hari ini – Plaza Tol Sg Besi-KM5.2, 6 pagi-9 pagi

    Laluan kontra di sebahagian Lebuhraya KL-Seremban mulai hari ini – Plaza Tol Sg Besi-KM5.2, 6 pagi-9 pagi

    Bermula hari ini (24 April 2024), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mula melaksanakan laluan kontra di sebahagian laluan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Laluan kontra berkenaan bermula dari Plaza Tol Sg. Besi sehingga KM 5.2. diaktifkan dari jam 6 pagi hingga 9 pagi.

    Berdasarkan info grafik yang dikongsikan oleh DBKL, pengaktifan lorong kontra berkenaan kemungkinan untuk kelancaran kerja-kerja selenggara yang dilaksanakan di lokasi berkenaan.

    Untuk pengguna laluan berkenaan, sila patuhi arahan papan tanda dan petugas di lokasi. Amalkan pemanduan berhemah, tingkatkan fokus, sentiasa bersabar dan lebih bertimbang rasa.

     
     
  • Continental MaxContact MC7 diuji pada Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1; tahan tork hingga 900 Nm!

    Continental MaxContact MC7 diuji pada Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1; tahan tork hingga 900 Nm!

    Tayar Continental MaxConTact MC7 merupakan tayar yang direka khas untuk pasaran Asia Pasifik. Jadi, adakah ini bermaksud ia tidak mencapai kualiti dengan standard global? Bagi menunjukkan tanggapan tersebut salah, Continental Tyres telah menguji tayar berkenaan menggunakan salah satu jentera dengan tork gergasi iaitu Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1 yang dibekalkan dengan kuasa 750 hp dan tork maksima 900 Nm!

    Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1 merupakan model edisi terhad yang diasaskan dari Mercedes-AMG SL63, dihasilkan hanya 25-unit untuk pasaran seluruh dunia bagi mengabadikan nama pengasas badan penala dari Jerman berkenaan iaitu Bodo Buschmann.

    Ujian berkenaan dilakukan fasiliti ujian utama Continental Tyres iaitu di Contidrom yang terletak di Jerman, dengan tayar Continental MaxContact MC7 bersaiz 275/35R21 dipasang di bahagian hadapan dan 315/30R21 dipasang di bahagian belakang.

    Menurut Continental, MaxContact MC7 memberikan cengkaman yang maksimum dan kuasa pembrekkan terbaik walaupun dipadankan pada sebuah jentera yang mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai kelajuan maksima 315 km/j.

    Continental MaxContact MC7 diuji pada Brabus 750 Bodo Buschmann Edition 1; tahan tork hingga 900 Nm!

    Tayar Continental MaxContact MC7 ini menerima rekaan Cornering Macroblocks yang unik bersama kompaun ReFlex yang didakwa dapat membantunya mencapai kebolehsesuaian yang luar biasa dan cengkaman teguh pada permukaan jalan.

    Rekaan tayar yang memaksimumkan kawasan sentuhan dengan jalan bagi menghasilkan jejak yang lebih luas itu juga dapat mengagihkan daya ke bahagian tayar yang lain untuk pengendalian yang lebih terkawal dan kestabilan yang luar biasa
    apabila pemandu mengambil selekoh lebih tajam walaupun pada kelajuan yang lebih tinggi, dakwa Continental lagi.

    Tayar ini juga didakwa memberikan cengkaman yang dipertingkatkan serta jarak membrek yang lebih pendek untuk memastikan pemanduan yang stabil dan selamat menerusi beberapa perincian. Antaranya adalah 3D Laser-cut Sipes yang dapat mengeluarkan air yang mengalir melalui alur tayar dengan cepat serta teknologi silika dalam sebatian ReFlex yang memberikan jarak membrek yang lebih pendek di jalan raya kering dan basah.

     
     
  • Jalan Kuantan-Segamat ditutup mulai 29 April-6 Mei – sila guna FT3 menerusi Pekan ke Muadzam Shah

    Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan, Pahang mengumumkan bahawa Laluan FT 12, Jalan Kuantan-Segamat akan ditutup bagi semua jenis kenderaan di Seksyen 102 (KM 63 Berhampiran Kawasan Burung Unta) untuk memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Jambatan Bailey) mulai 29 April hingga 6 Mei 2024.

    “Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan dari kedua-dua arah iaitu Kuantan/Gambang ke Muadzam melalui Laluan Persekutuan FT 03 (Kuantan – Endau melalui Bandar Pekan) dan Laluan FT 63 (Leban Condong – Muadzam Shah).

    “Semua pengguna adalah dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan lebih awal dan mematuhi arahan yang dikeluarkan dari masa ke semasa,” kata JKR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jalan Kuantan-Segamat ditutup mulai 29 April-6 Mei – sila guna FT3 menerusi Pekan ke Muadzam Shah

    Musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini, Laluan FT 12 ini menjadi ‘kecaman’ pengguna jalan raya yang terpaksa menempuh kesesakan sejauh hampir 27 km disebabkan kerosakan pada Jambatan Bailey, selain dikatakan jalan menjadi mendap dan berlekuk tinggi membuatkan para pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan. Ada pengguna laluan berkenaan berkata, mereka terpaksa mengambil masa antara dua hingga ke tiga jam bagi melepasi kawasan berkenaan.

    “Jambatan Bailey ini mengalami kerosakan kerana kenderaan yang melebihi had muatan 20 tan menggunakan jambatan ini yang menyebabkan berlakunya mendapan. Oleh itu, saya menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi had muatan yang ditetapkan iaitu tidak lebih 20 tan bagi mengelak kerosakan berulang,” kata Pengarah JKR, Datuk Hafizah Zakaria.

    Pada 7 Januari lalu, laluan itu ditutup berikutan mendapan tanah dikesan di kawasan terbabit sehingga menyebabkan jalan berkenaan berlubang dan hampir putus. Selepas selesai pembaikian, pada 27 Januari 2024, jambatan itu kembali dibuka secara dua hala kepada kenderaan dengan had muatan dibenarkan tidak melebihi 20 tan dan had kelajuan 30 km/j.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025