Untuk minggu bertarikh 28 September hingga 4 Oktober 2023, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel dikekalkan.
Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan sebanyak 10 sen seliter pada minggu sebelum ini.
Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.
Pada 19 Septber lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.
Katanya, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter. Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.
Stesen isian semula hidrogen dan bas awam dengan tenaga hidrogen dijangka akan beroperasi di Semenanjung Malaysia tahun depan. Ini menurut apa yang dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, seperti dilaporkan The Star. Dengan Sarawak telah menggunakan tenaga hidrogen dan trem, sampai masanya Semenanjung juga mengikut langkah yang sama, jelasnya menterinya, Chang Lih Kang.
“Semenanjung bakal menyaksikan pembukaan stesen hidrogen yang pertama tahun depan, bersekali dengan pengenalan beberapa model kereta dan bas awam hidrogen. Sebaik sahaja stesen hidrogen berkenaan beroperasi, kami akan memperkenalkan beberapa kenderaan hidrogen untuk tujuan percubaan dan mengerakkan bas awam yang menggunakan tenaga hidrogen ini,” ujar Chang.
Stesen hidrogen pertama berkenaan merupakan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Gentari, sebuah anak syarikat tenaga bersih Petronas. Kementerian berkenaan telah melabur sebanyak RM12 juta untuk usaha hidrogen, dan mencerminkan komitmen kerajaan untuk mempromosi penyelesaian tenaga inovatif dan mapan, ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa kepentingan ekosistem tenaga berasaskan hidrogen ini selari dengan agenda hidrogen negara, dan ini juga akan menjadi kerangka kepada Hydrogen Economy and Technology Roadmap 2022-2050 (HETR) kelak. “Perdana Menteri dijangka akan melancarkan HETR dan National Energy Transition Roadmap (NETR), Oktober nanti,” tambahnya.
Kadar penggunaan kenderaan bateri-elektrik tidak ideal, disebabkan oleh pengecasan dan harga dan kos, jelas Chang. “Untuk itu, kerajaan berdedikasi dengan bekerjasama dengan sektor awam dan swasta, yang akan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran negara untuk 10,000 stesen pengecasan di seluruh Malaysia menjelang 2025,” jelasnya.
“Kenderaan hidrogen semakin mendapat momentum, jadi sementara Malaysia terus membangunkan teknologi EV, ia tidak menghalang pendekatan strategik kerajaan dalam memperluas kenderaan hijau dan memupuk landskap pengangkutan mapan dan mesra alam di negara ini,” tambahnya.
HETR terdiri daripada tiga fasa; fasa jangka masa pendek dari 2022 hingga 2030 meliputi Rancangan Malaysia ke-12 dan 13 (RMK), fasa pertengahan antara 2031 hingga 2040 meliputi RMK-14 dan 15 manakal fasa jangka masa panjang dari 2041 hingga 2050, melibatkan RMK-16 dan 17, lapor The Star.
Untuk petrol, MOSTI menjangkakan subsidi RON95 jika dihentikan akan menjadikan komoditi itu dijual RM2.75 seliter pada 2030, naik kepada RM4.02 seliter pada 2040 dan RM5.54 seliter pada 2050. “Berbeza dengan harga hidrogen yang lebih bersih seliter akan berada sekitar RM5,22 pada 2030, dan bila teknologi berkenaan matang dan penggunaannya meluas pada 2050, harganya akan jadi lebih rendah kepada RM3.50 liter,” jelas Chang.
Diperkenalkan kepada dunia pertama kali hujung tahun lalu, Ducati Diavel V4 kini tiba di Malaysia dan dijual pada harga RM178,900 untuk warna Ducati Red dan RM181,900 untuk Thrilling Black. Model ini melibatkan perubahan pada keseluruhan motosikal, termasuk enjin serta bentuknya.
Nama model ini jelas menunjukkan ia mendapat enjin V4, dan ia adalah unit sama seperti Multistrada V4, iaitu V4 Granturismo 1,158 cc, bersama padanan transmisi enam kelajuan dan quickshifter yang diberikan secara standard. Kuasa 168 hp pada 10,750 rpm dan tork 128 Nm pada 7,750 rpm mampu dihasilkan, dan dihantar kepada roda belakang melalui sistem rantai.
Keseluruhan sistem lampu pada Diavel V4 ini telah diubah, bermula dengan lampu hadapan, yang mana DRL “C berkembar” padanya kini dijadikan kurang berpetak, sementara lampu penunjuk arah dilekatkan pada pemegang dan menggunakan jenis dinamik. Lampu belakang juga menggunakan konsep pencahayaan “C berkembar”, tetapi lebih unik dengan LED berbintik yang disepadukan terus pada lengkung roda.
Diavel V4 baru ini 13 kg lebih ringan berbanding Diavel sebelum ini, dengan mencatat berat 223 kg. Sebahagian daripada pengurangan berat ini datang daripada enjin, iaitu sebanyak lima kilogram, sementara lapan kilogram lagi datang daripada bahagian casis.
Pakej elektronik lengkap dipasang pada Diavel V4, termasuk tiga mod kuasa, empat mod tunggangan, Cruise Control, Launch Control, Ducati Traction Control, ABS Cornering serta Ducati Wheelie Control. Motosikal ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Ducati Red dan Thrilling Black, sementara pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa bawah tiga saat.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali kepada perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling mengumumkan bahawa kerja-kerja pembaikan menyeluruh (Fasa 2) struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya dijangka siap dan boleh beroperasi semula secara normal pada 29 Februari 2024.
“Perancangan asal bagi menyiapkan kerja-kerja pembaikan serta pengoperasian normal laluan tersebut adalah pada pertengahan bulan Oktober 2023. Namun, penambahan masa tersebut adalah amat perlu kerana, selain daripada kerosakan asal pada jejambat 163, beberapa kerosakan lain telah dikesan pada struktur jejambat-jejambat yang berhampiran, iaitu jejambat 164 dan 165, yang memerlukan pembaikan yang menyeluruh.
“Setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada jurutera perunding, kerja-kerja tambahan perlu dilakukan pada struktur jejambat-jejambat tersebut bagi memastikan ia selamat, mengikut spesifikasi dan dapat memenuhi kriteria pengoperasian normal,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, kerja-kerja pembaikan ini juga perlu melibatkan nasihat, penilaian serta kelulusan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan kerana pemasangan struktur sokongan harus dipasang di dalam Sungai Klang yang terletak bersebelahan jejambat LRT yang terlibat.
“Pertimbangan keselamatan adalah keutamaan semua pihak yang terlibat dalam menjalankan kerja-kerja yang berisiko tinggi ini. Kerja-kerja tambahan ini telah menyebabkan jangkamasa untuk kerja-kerja pemulihan dilanjutkan selama tiga bulan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Rapid Rail turut memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh pengguna. Katanya, keputusan yang diambil bagi melanjutkan masa kerja-kerja pemulihan adalah untuk memastikan semua kerosakan dapat dikenalpasti dan dibaiki demi menjamin keselamatan operasi dan pengguna pengangkutan awam.
Pada Januari lalu, akses laluan antara Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya pada LRT Laluan Ampang terpaksa disekat akibat penjajaran landasan yang bengkok (kinked) dan struktur jejambat retak. Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerja baikpulih struktur jejambat tersebut dijangka siap pada September 2023.
Tahun ini, Tokyo Motor Show dinamakan semula sebagai Japan Mobility Show dan ia akan berlangsung dari 25 Oktober hingga 5 November 2023. Kehangatan terhadap antara acara automotif terbesar di Jepun ini mula terasa apabila Honda menjadi antara yang terawal mengumumkan barisan kenderaan yang akan dipamer.
Membawa konsep “Honda Dream Loop”, kawasan pameran Honda bukan setakat akan dipenuhi dengan kereta dan motosikal, tetapi juga penggerak jenis lain, kapal udara serta produk teknologi. Walaupun begitu, apa yang lebih menjadi perhatian adalah beberapa kereta dan motosikal konsep baru yang akan membuat penampilan pertama di sana.
Sebagai permulaan, sepasang kereta dan motosikal yang dinamakan sebagai SUSTAINA-C Concept dan Pocket Concept. Kedua-duanya dibuat dengan bahan yang dikitar semula dan mahu menunjukkan konsep yang mampu mencapai kelestarian persekitaran, sambil memberikan keseronokan serta kebebasan bergerak pada masa hadapan.
Satu lagi motosikal konsep, iaitu SC e:Concept nampak seperti sudah sedia untuk memasuki pasaran. Selain bentuk, Honda tidak mendedahkan spesifikasinya dan cuma memberitahu ia mendapat kuasa daripada bateri Honda Mobile Power Pack e:, yang boleh dibawa keluar untuk dicas atau ditukar dengan bateri yang penuh.
Turut akan ditunjukkan kali pertama adalah CI-MEV, sebuah kereta elektrik yang cuma boleh menempatkan dua orang di dalamnya, dan menawarkan pengangkutan jarak pendek dan dilengkapi dengan sistem autonomous Honda Cooperative Intelligence (CI).
Melihat di dalam siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Honda, ada satu lagi kereta konsep yang akan membuat penampilan pertama, tetapi gambarnya tidak didedah. Ia adalah kereta sports elektrik dan dikatakan masih mampu memberikan keseronokan pemanduan, meskipun berada dalam dunia elektrifikasi.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang sejumlah 445 unit kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi yang dikenal pasti berisiko banjir sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, laporan Berita Harian.
Menurut Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Cheremi Tarman, CCTV itu juga digunakan untuk memantau peningkatan paras air sungai di kawasan kerap berlaku banjir bagi membolehkan usaha menyelamat dilakukan secara efektif.
“Sejumlah 445 CCTV statik dan mudah alih itu kelolaan MBSA dan terdapat juga 50 CCTV di bawah Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). CCTV terbabit kita pasang di beberapa lokasi seperti Taman Sri Muda, Seksyen 25; Seksyen 13, TTDI Jaya, Seksyen U2 dan Setia Alam,” katanya.
Tambah beliau, MBSA juga memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyegerakan pembinaan ban di sepanjang Sungai Damansara dan Sungai Klang bagi mengurangkan risiko limpahan air sungai.
“Saya juga mengingatkan sebelum ini supaya pihak JPS untuk melihat semula fungsi dua kolam takungan banjir yang siap dibina pada 2006 di taman perumahan TTDI Jaya serta Ara Damansara. Bila hujan lebat di kawasan atas (Kuala Lumpur) ia akan bertakung di kolam takungan itu dan mengurangkan risiko banjir terutama di kawasan stadium (Seksyen 13 dan Taman Sri Muda,” katanya.
Jika jalan yang anda ingin lalui terjejas dek banjir, tangguhkan perjalanan anda jika boleh, dan elakkan memandu meredah banjir kerana ia boleh menyebabkan kerosakan yang teruk pada kenderaan anda. Anda juga disyorkan untuk mendapatkan insurans tambahan bencana alam untuk perlindungan kenderaan anda. Perlu diingat, untuk membaikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi, maka dengan adanya insurans khas ini mampu mengurangkan beban kewangan anda.
Jadi untuk memastikan semua orang yang berminat untuk membeli hot-hatch produksi FWD terpantas di Nürburgring ini mendapat peluang yang adil, Honda Malaysia telah membuat sistem cabutan undian untuk semua pelanggan yang telah meletakkan nama bagi menempah kereta ini. Walau bagaimanapun, untuk yang tidak berjaya, anda mungkin boleh mencuba sekali lagi untuk kuota stok baharu bagi tahun hadapan.
Tempahan akan dibuka hari ini, di mana mereka yang berminat perlu meletakkan deposit. Tarikh tutup tempahan adalah pada 15 Oktober, dan cabutan hanya akan dibuat pada 20 Oktober ini. Selepas semua undian ini lengkap dicabut, Honda Malaysia akan mengumumkan senarai semua pembeli yang berjaya bagi memastikan semua pihak berpuas hati.
Seperti yang diketahui, Civic Type R FL5 ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam bentuk badan hatchback. Ia menerima kejuruteraan semula pada casis dengan diberikan suspensi lebih baik, badan lebih lebar bersama kit aero lebih agresif dan pelbagai lagi.
Model generasi baharu ini masih menerima enjin petrol 2.0 liter VTEC Turbo K20C1 seperti model generasi FK8 terdahalu, namun ditala semula bagi memberikan kuasa lebih besar. Malaysia menerima talaan kuasa yang sama seperti model pasaran ASEAN lain iaitu 319 PS pada tahap 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm.
Peningkatan kuasa ini dibuat menerusi kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien. Model baharu ini juga menerima sistem ekzos dengan Active Sound Control yang menampilkan injap aktif bagi memberikan operasi lebih baik dan juga bunyi yang lebih merdu.
Selain itu, rekaan gril hadapan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8. FL5 masih lagi mengekalkan prinsip hanya dihasilkan dengan kotak gear enam-kelajuan manual, bagi memastikan ia dibeli oleh mereka yang betul-betul minat memandu.
Transmisi manual yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat menerusi roda tenaga yang lebih ringan, perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.
Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Honda Civic Type R ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 272 km/j. Untuk lebih perincian berkenaan Type R FL5 pasaran Malaysia ini, anda boleh baca laporan kami pada PAUTAN INI.
Selepas ia tiba di beberapa negara ASEAN termasuk Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia, kini tiba pula giliran Malaysia untuk menerima hot-hatch Honda Civic Type R generasi baharu. Model yang dikenali dengan kod casis FL5 ini ditawarkan hanya dalam satu varian, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM399,900.
Walau bagaimanapun, atas permintaan tinggi dari seluruh dunia, Honda Malaysia hanya berjaya memperolehi 19 unit Type R FL5 ini untuk dijual di sini, untuk kuota tahun ini. Dan untuk menentukan siapa yang dapat peluang untuk membelinya, tempahan untuk kereta ini bukan dibuka secara siapa cepat dia dapat, sebaliknya satu sistem undian akan dibuat. Perincian berkenaan sistem undian tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Ini merupakan model ketiga Civic Type R yang dijual secara rasmi oleh Honda Malaysia selepas Civic Type R FD2R (2007) dan juga Civic Type R FK8 (2017). Sama seperti barisan model-model Honda lain yang dijual di sini, Type R FL5 ini masih diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.
Ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia 15 mm lebih lebar dari Civic hatchback standard, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.
Berbanding FK8 yang menampilkan liang udara bonet yang direka sebagai skup udara, liang pada bonet model 2023 ini nampaknya berada di kedudukan lebih hadapan, dan ia tenggelam untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin keluar. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, dengan skirt sisi seakan direka sebagai splitter udara.
Manakala di belakang, ia menerima diffuser yang lebih besar dari sebelum ini. Tiga tip ekzos masih kekal menjadi identiti Civic Type R, tetapi ia nampak berbeza kerana tip yang paling besar berada di tengah, berbanding FK8 yang menampilkan tip paling kecil di tengah. Spoiler belakang bersaiz besar juga dilengkapkan pada Type R baharu ini, tetapi ia kini direka ala GT-Wing.
Perincian-perincian luaran Civic Type R ini bukan dihasilkan untuk tujuan estetika semata-mata. Rekaan rekaan gril hadapan misalnya, ia dihasilkan dengan ruang kemasukan udara lebih besar membolehkan radiator beroperasi pada kadar 48% lebih baik dari FK8.
FL5 masih lagi dijana oleh enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo, iaitu enjin asas yang sama seperti generasi FK8 sebelumnya. Namun ia telah ditambah baik dengan kemaskini pada pengecas turbo yang dihasilkan dengan saiz, bentuk serta jumlah bilah turbin yang dioptimakan bersama bentuk aliran udara dari salur kemasukan, serta sistem ekzos yang lebih efisien.
Hasilnya, FL5 mampu bernafas dengan kuasa 319 PS pada tahap 6,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,600 hingga 4,000 rpm. Angka tersebut adalah sama dengan Type R FL5 untuk pasaran ASEAN yang lain, dan dilihat sedikit rendah berbanding model pasaran Jepun yang diwartakan berkuasa 330 PS dengan tork sama 420 Nm. Namun ia masih 9 PS/20 Nm berbanding FK8 pasaran ASEAN termasuk Malaysia sebelum ini.
Selain itu, model baharu ini juga menerima sistem Active Sound Control pada sistem ekzos yang menampilkan injap aktif bagi memberikan aliran gas dan juga bunyi yang lebih “merdu”. Ia juga diberikan flywheel yang lebih ringan dari sebelum ini untuk respon enjin yang lebih baik.
Enjin berkenaan masih lagi hanya dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual – jadi yang masih belum mahir dan tidak minat dengan pedal klac, Type R FL5 ini masih belum sesuai dengan anda. Transmisi manual yang lengkap dengan LSD berkenaan dipertingkat dengan perisian sistem rev-match (heel & toe automatik) yang diperkemas, serta tuil dan pagar “H-pattern” yang dioptimakan bagi memberikan penukaran gear yang lebih jitu.
Gandingan unit rangkaian kuasa ini membolehkan Honda Civic Type R ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 272 km/j.
Kesemua fender yang lebar pada Civic Type R ini melindungi set roda dengan rim kemasan hitam berdiameter 19-inci dengan tayar bersaiz Michelin Pilot Sport 4S 265/30R19 dan juga sistem brek jenis two-piece dari Brembo.
Ini bermakna rim yang digunakan pada model generasi baharu ini adalah 1-inci lebih kecil, dan menggunakan tayar yang lebih lebar kerana FK8 sebelum ini diberikan rim 20-inci dengan tayar 245/30R20. Kombinasi rim dan tayar baru ini menjadikan lebar antara tayar kiri dan kanan di hadapan bertambah 25 mm, sementara di belakang bertambah 12.7 mm.
Untuk suspensi, konfigurasi yang digunakan masih sama seperti FK8 iaitu sistem suspensi jenis dua-paksi pada sebelah yang melenyapkan torque steer ketika memecut dan memberikan kelajuan lebih tinggi di selekoh dan juga sistem multi-link di belakang yang telah ditala semula untuk kestabilan laluan lurus
Konfigurasi berkenaan dipadankan dengan penyerap hentak adaptif kawalan elektronik yang akan memberikan larasan mengikut mod pemanduan Comfort, Sport dan R+. Anda juga boleh membuat tetapan sendiri menerusi mod Individual yang membolehkan ia dilaras mengikut selera pemandu. Secara keseluruhan rekabentuk kerangka dan juga suspensi membolehkan Type R FL5 ini 12.7 mm lebih rendah, dan pemandu juga dapat duduk dalam posisi lebih rendah dari sebelum ini.
Model pasaran Malaysia ini hanya ditawarkan dalam warna tradisi Championship White, bersama perincian luaran standard lain termasuk lampu hadapan LED penuh, cermin sisi auto-lipat dengan lampu isyarat membelok LED, lampu kabus belakang dan lain-lain.
Kabin model generasi baharu ini masih mengekalkan tradisi sebuah Type R. Jadi papan pemuka Civic generasi ke-11 dengan liang penghembus udara merentangi sepenuhnya bersama gril sarang lebih masih dikekalkan, dan ia menerima tombol gear aluminium, serta perincian-perincian merah ikonik Type R seperti tempat duduk bucket, karpet kaki, logo pada roda stereng, dan pelbagai perapi lain.
Menurut Honda, tempat duduk bucket untuk Civic Type R generasi baharu ini menggunakan upholsteri seakan sued yang mempunyai pekali geseran yang tinggi, yang mampu mengurangkan pergerakan badan pemandu dalam keadaan menahan daya-G yang tinggi. Tag nombor siri unik tidak lagi diberikan pada konsol tuil gear, sebaliknya dialihkan pada papan pemuka sebelah penumpang.
Khas untuk pemandu, roda stereng Type R FL5 ini tidak lagi dibalut dengan kulit seperti FK8, sebaliknya ia lebih seperti sebuah kereta lumba sebenar yang diberikan balutan Alcantara.
Malah paparan instrumen juga langsung tidak sama dengan Civic FE biasa, kerana ia diberikan paparan digital penuh dengan skrin TFT 10.2-inci bersama shift light melintang pada sebelah atas lengkap dengan penunjuk posisi gear, rekaan meter ekslusif +R, serta juga paparan pelbagai informasi yang memberikan maklumat berkenaan lain yang dipilih pemandu, juga seperti sebuah kereta lumba sebenar.
Perincian dalaman lain yang diberikan pada Civic Type R FL5 pasaran Malaysia ini termasuk brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold, pengecas tanpa wayar, sistem pendingin hawa dua-zon serta sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 9-inci bersama lapan pembesar suara.
Civic Type R 2023 ini juga diberikan sistem data logger Honda LogR, yang memberikan informasi masa-sebenar berkenaan pergerakan mekanikal dan juga sifat kenderaan tersebut yang disebabkan input yang diberikan pemandu. Ia juga diberikan jam randik bagi merekodkan masa lap setiap lap di litar lumba, serta kemampuan untuk berkongsi video pemanduan. Untuk model pasaran Malaysia ini, sistem LogR tersebut sudahpun boleh digunakan di Litar Sepang.
Bagi kelengkapan keselamatan pula, Type R FL di Malaysia ini diberikan lapan-beg udara (termasuk satu untuk lutut penumpang hadapan), dan juga pakej bantuan pemanduan Honda Sensing dengan fungsi termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Road Departure Mitigation (RDM) System, Forward Collision Warning (FCW) System, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lead Car Departure Notification System (LCDN) serta Auto High Beam Headlights (AHB).
Dengan pelbagai kelengkapan dan talaan yang lebih fokus terhadap pemanduan litar, tidak hairanlah Honda Civic Type R FL5 ini masih memegang rekod sebagai kereta pacuan roda hadapan (FWD) produksi paling pantas “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 44.881 saat.
Rekod berkenaan dicatatkan di litar sepanjang 20.832 km berkenaan pada 24 Mac lalu. Ia sekaligus memadamkan rekod terpantas produksi FWD sebelum ini dengan masa 7 minit 45.39 saat (7:40.1 pada laluan 20.600 km yang lebih pendek) yang dicatatkan oleh Renault Mégane R.S. Trophy-R pada 2019. Ketika itu, Megane merampas gelaran tersebut dari Civic Type R FK8 yang dinobatkan sebagai model produksi FWD terpantas di Nürburgring dengan rekod 7:43.8 pada laluan 20.6 km pada 2017.
Selain penganjuran acara larian antarabangsa Standard Chartered Marathon 2023 (KLSCM) pada hujung minggu ini yang melibatkan banyak penutupan jalan, ada satu lagi acara sukan berprestij yang akan diadakan di bandaraya Kuala Lumpur pada hari yang sama.
Polis Kuala Lumpur telah mengumumkan pada 30 September ini, terdapat sembilan laluan akan ditutup sempena Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 iaitu dari Jalan Jelatek ke Jalan Ampang menuju pusat bandar dan ke arah Jalan Kampung Pandan serta laluan ke arah Pusat Bandar Ampang.
Ia turut melibatkan Jalan Tun Razak ke Jalan Ampang bermula di hadapan bangunan RHB, Jalan Tun Razak dari arah timur ke persimpangan Jalan Ampang (sebelum bangunan Intermark), Jalan Yap Kwan Seng ke persimpangan Jalan Ampang, Jalan P.Ramlee dan Jalan Sultan Ismail.
Manakala pada 1 Oktober pula, laluan yang ditutup termasuklah Jalan Raja Dataran Merdeka, bulatan Dato Onn ke Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) ke Jalan Tun Perak, Jalan Tun Perak ke bulatan Dato Onn, Jalan TAR dan dari Chow Kit ke Dataran Merdeka.
Begitu juga dengan Jalan Raja Laut ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching ke Jalan Sultan Ismail dari arah utara dan selatan, Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Sentul ke Jalan TAR – Jalan TAR dari Bulatan Pahang – Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dan dari Chow Kit ke Persimpangan Jalan Raja Abdullah.
Selain itu, Jalan Raja Abdullah kedua–dua hala sehingga ke sepanjang Jalan Sultan Ismail, Jalan P.Ramlee ke Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan ke Jalan Bukit Bintang dari arah Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Chulan ke Jalan Bukit Bintang.
Oleh itu, bagi yang perlu ke ibu kota pada tarikh berkenaan, anda digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam termasuk LRT, MRT dan Monorel. Kalau yang memandu, sila patuhi arahan pihak polis bagi memastikan kelancaran trafik dan acara berkenaan. Atau pun menangguh urusan anda hingga acara berkenaan selesai.
Hujung minggu ini akan berlangsung pusingan terakhir perlumbaan one-make Vios Challenge musim ke-6 yang berlangsung serentak dengan Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UMW Toyota hari ini, acara berkenaan juga akan menjadi platform bagi mendedahkan jentera lumba Vios Challenge yang bakal menggantikan jentera lumba sedia ada yang masih diasaskan model generasi sebelum ini.
Jentera baharu ini diasaskan dari Vios generasi ke-empat yang baharu sahaja dilancarkan pada pasaran Malaysia Mac lalu. Seperti dua versi kereta lumba Vios Challenge sebelum ini, ia diasaskan dari versi produksi dengan kerangka yang keluar dari kilang Toyota di Malaysia, masih menggunakan enjin produksi tanpa ‘isi perut’ yang diusik, serta diberikan pelbagai tingkat taraf perlumbaan.
Vios generasi baharu ini menggunakan kerangka baharu sepenuhnya, iaitu platform Daihasu New Global Architecture (DNGA). Ia tidak lagi dijana oleh enjin 2NR-FE, sebaliknya digantikan dengan enjin 1.5 liter Dual VVT-i 2NR-VE yang menghasilkan 106 PS dan tork maksima 138 Nm. Untuk versi kereta lumba, ia mungkin menerima kotak komputer jenis stand alone bagi membolehkan talaan semula dibuat untuk ‘membebaskan’ sedikit lagi kuasa tambahan.
Namun tidak seperti model produksi yang kini hanya ditawarkan dengan kotak gear CVT, UMW Toyota mengesahkan bahawa kereta lumba ini menerima kotak gear manual lima-kelajuan.
“Vios baharu ini terus dijana oleh enjin 1.5 liter yang digandingkan dengan transmisi manual lima-kelajuan tetapi menerima platform serba baharu yang lebih tegar dan stabil serta aerodinamik yang dipertingkat. Penambahbaikkan pada casis ini membuatkan ia lebih melekat di selekoh, lebih responsif terhadap input pemandu dan mampu mencatatkan masa lap lebih pantas” kata UMW Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Kereta lumba baharu ini bukan hanya akan dipamerkan di Sepang hujung minggu ini. Sebaliknya ia akan terus digunakan untuk berlumba di mana sembilan orang selebriti dalam kelas Promotional akan berlumba dahulu dengan kereta baharu ini, sebelum ia digunakan dalam semua kategori pada musim hadapan yang akan berlangsung pada 2024.
Festival ini akan bermula dari 30 September hingga 1 Oktober 2023, dan orang ramai dijemput hadir tanpa sebarang bayaran. Anda bukan hanya berpeluang untuk menyaksikan perlumbaan Race 1 dan Race 2 untuk keempat-empat kategori pada hari Sabtu dan Ahad berkenaan, malah turut akan disajikan dengan konsert dan pelbagai aktiviti keluarga, serta berpeluang beramah mesra dengan pelumba-pelumba selebriti yang berlumba dalam kategori Promotional.
Walaupun masuk ke SIC adalah percuma hujung minggu ini, anda yang berminat untuk datang ke pusingan terakhir TGR Festival musim ke-6 ini masih perlu mendaftar secara atas talian di www.toyota.com.my/tgrmalaysia untuk mendapatkan tiket masuk.
Jika anda tidak berpeluang untuk hadir, perlumbaan ini masih boleh ditonton secara atas talian juga menerusi laman web rasmi TGR Malaysia serta semua platform media sosialnya termasuk Facebook, Instagram dan Youtube.
Hujung minggu ini bakal berlangsungnya pusingan ketiga yang juga pusingan terakhir perlumbaan Gazoo Racing (GR) Vios Challenge musim ke-6 di Litar Antarabangsa Sepang. Selepas pusingan kedua dilangsungkan secara tertutup, perlumbaan pusingan ketiga ini bakal berlangsung semula secara pesta seperti lazimnya Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia.
Festival ini akan bermula dari 30 September hingga 1 Oktober 2023, dan orang ramai dijemput hadir tanpa sebarang bayaran. Anda bukan hanya berpeluang untuk menyaksikan perlumbaan Race 1 dan Race 2 untuk keempat-empat kategori pada hari Sabtu dan Ahad berkenaan, malah turut akan disajikan dengan konsert dan pelbagai aktiviti keluarga, serta berpeluang beramah mesra dengan pelumba-pelumba selebriti yang berlumba dalam kategori Promotional.
Malah festival kali ini akan dilangsungkan sekali dengan Tempatan Fest yang menampilkan pelbagai gerai makanan dan minuman, aksesori vintaj, street wear, kesenian dan pelbagai lagi.
Konsert hari pertama akan menampilkan pelbagai artis seperti penyanyi hip-hop KMY KMO dan rapper tempatan Luca Sickta, serta kumpulan rock alternatif Malaysia iaitu OAG. Manakala untuk konsert hari kedua, ia akan menampilkan satu lagi kumpulan rock alternatif Iqbal M, sebelum bermulanya persembahan utama 16 Baris yang disertai oleh Joe Flizzow, MK, SonaOne, ALYPH, AbangSapau, Killa Driz, Sophia Liana, Gard, Pele, Fuego & DJ CZA.
“Pusingan akhir ini dibuat sebagai ucapan terima kasih istimewa dan untuk meraikan semua peminat kami yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan berterusan Toyota Gazoo Racing Festival,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K.
“Dalam 6 musim perlumbaan, sejumlah lebih daripada 18 juta penonton (secara langsung) dan penonton dalam talian telah menonton siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing Festival dan GR Vios Challenge, dengan kukuh menjadikannya sebagai siri perlumbaan kereta saloon one-make terulung di Malaysia,” tambahnya lagi.
UMW Toyota turut akan mendedahkan jentera baharu yang bakal digunakan dalam perlumbaan Vios Challenge musim ke-7, iaitu kereta lumba yang diasaskan dari Toyota Vios generasi ke-empat yang baru dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu. Sembilan orang selebriti dalam kelas Promotional akan berlumba dahulu dengan kereta baharu ini sebelum ia digunakan dalam semua kategori pada musim hadapan yang akan berlangsung pada 2024.
Untuk keseluruhan, 45 pemandu akan berentap untuk pusingan terakhir musim ke-enam ini dari empat kategori iaitu Super Sporting Class untuk pemandu elit dan profesional; Sporting Class untuk amatur; Rookie Class untuk pemandu muda ; dan Promotional Class untuk selebriti.
Sehingga kini tiada lagi pelumba dalam mana-mana kategori yang dapat mengesahkan kejuaraan selepas selesai dua pusingan, dan pusingan ketiga ini akan menjadi pentas akhir bagi memuktamadkan semua gelaran juara keseluruhan.
Bagi kelas Super Sporting, saingan akan tertumpu kepada dua pemandu yang berada di atas carta pungutan mata iaitu Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl TD Racing dan juga Putera Adam dari pasukan Laser Motor Racing. Buat masa sekarang Cheah hanya mempunyai kelebihan 5 mata berbanding Putera Adam.
Untuk kelas Sporting pula, saingan untuk merebut gelaran juara juga sengit antara Nabil Azlan dan Bradley Benedict Anthony, di mana Nabil yang memandu untuk pasukan Axle Sport juga hanya memiliki kelebihan 5 mata berbanding Bradley. Manakala dalam kelas Rookie, Iman Danish kini menduhului kejohanan dengan 59 mata, dan bakal ditentang oleh Elsen Lew yang berada hanya 7 mata di belakang.
Bagi kelas Promotional pula, Zizan Razak dilihat selesa berada di hadapan dengan memungut 70 mata dari dua pusingan terawal. Namun ia belum menjamin kejuaraan dan kini diekori oleh Ezzrin Loy dengan 55 mata dan Shukri Yahaya dengan 54 mata.
Walaupun masuk ke SIC adalah percuma hujung minggu ini, anda yang berminat untuk datang ke pusingan terakhir TGR Festival musim ke-6 ini masih perlu mendaftar secara atas talian di www.toyota.com.my/tgrmalaysia untuk mendapatkan tiket masuk.
Jika anda tidak berpeluang untuk hadir, perlumbaan ini masih boleh ditonton secara atas talian juga menerusi laman web rasmi TGR Malaysia serta semua platform media sosialnya termasuk Facebook, Instagram dan Youtube.
Acara larian tempatan yang terbesar bakal berlangsung di pusat Kuala Lumpur hujung minggu ini. KL Standard Chartered Marathon 2023 (KLSCM) yang bakal berlangsung ini bakal menyaksikan banyak jalan raya di tengah ibu kota di tutup pada Sabtu dan Ahad ini.
Penganjuran tahun lalu telah memperkenalkan laluan terbaru bagi kategori marathon penuh 42.195 km, yang melalui jalan seperti Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang dan KLCC sebelum ke Jalan Ampang dan memasuki AKLEH. Peserta akan berpatah balik ke pusat bandar dan membuat pusingan U di hujungnya, dan melintasi Jambatan Saloma sebanyak dua kali.
Setelah itu, peserta akan ke Ampang dan memasuki MRR2 sekejap sebelum meliputi jarak penuh Lebuhraya DUKE. Peserta akan turut pula ke Jalan Kuching dan terus menghala ke Dataran Merdeka (tiada laluan Bukit Tunku). Jalur laluan tahun ini juga sepatutnya kekal sama.
Bagi kategori separuh marathon pula, laluannya hampir sama dengan marathon penuh, tetapi tanpa pusingan U di AKLEH dan tiada laluan Lebuhraya DUKE. Bagi kategori 10KM, ia bermula sama dengan laluan acara KL Car Free pada pagi Ahad yang kebiasaannya, tetapi dengan tambahan laluan Jalan Kuching dan Jalan Parlimen sebelum kembali ke Dataran Merdeka. Jadi, jika anda bukan peserta acara ini, eloklah mengelak daripada masuk ke pusat bandar KL hujung minggu ini.
Perlepasan peserta adalah pada pukul 6.15 pagi pada Sabtu untuk acara larian 10KM dan 7 pagi untuk larian 5KM. Pada Ahad, peserta maratkhon penuh akan bermula pada 3.30 pagi manakala peserta separuh marathon akan berlepas jam 5.15 pagi.
Seperti biasa, penganjur telah menyediakan LRT dan MRT bagi peserta pada sebelah pagi. Tetapi, walaupun semua jalur Rapid KL akan beroperasi, tren tidak akan berhenti di semua station. Rujuk gambar di bawah untuk perincian stesen mana yang terlibat. Servis tren percuma adalah dari 3.30 pagi hingga 6 pagi pada Sabtu, dan 1.30 pagi hingga enam pagi pada Ahad.
Serahan pek perlumbaan pula akan berlangsung di KLCC bermula Khamis ini hingga Sabtu nanti (28-29 September 2023, dari 11 pagi hingga 8 malam; dan 30 September, dari 10 pagi hingga enam petang).
Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru berjalan lancar dan sudah mencapai 93% siap. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh, perkhidmatan ETS itu dijangka boleh digunakan sepenuhnya pada April 2025, laporan Harian Metro.
“Kita menunggu depoh yang dibuat di Kempas kini sudah mencapai 54%, kita perlu sedikit masa. Namun pada masa sama, kita perlu lakukan ujian ETS dan sebagainya dahulu pada November 2024.
“Jadi saya rasa yang penting, projek ini berjalan lancar dan kita pastikan dalam secepat mungkin ia dapat menyediakan perkhidmatan ETS kepada masyarakat hingga ke Johor,” katanya selepas meninjau Stesen KTM Segamat semalam.
Perkhidmatan ETS ini menghubungkan laluan dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor. Untuk laluan Gemas-JB, ia melibatkan jarak sepanjang 192 kilometer dan akan melalui 11 stesen dengan tren berkuasa 25,000 voltan yang bergerak selaju 140 kilometer sejam. Anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah tiga jam 30 minit. Manakala dari stesen Segamat ke JB Sentral memakan masa sejam 30 minit.
Buat masa ini, perkhidmatan ETS hanya disediakan untuk laluan Padang Besar ke Kuala Lumpur, dan beliau yakin apabila laluan berkenaan disambung hingga ke JB, ia bakal mendapat sambutan yang lebih menggalakkan.
“Untuk selatan pula, ia kini hanya perlu diperlengkapkan. Saya harap sedikit masa lagi dapat melengkapkan maka perkhidmatan itu boleh diakses. Selain itu, kita juga merancang untuk menambah jumlah gerabak ETS di laluan berkenaan namun ia tertakluk kepada permintaan khidmat pelanggan.
“Sudah pasti (10 gerabak ETS) kita melihat itu mencukupi buat permulaan dan saya melihat potensi membawa penumpang ini adalah mod pengangkutan kini yang popular. Kita ada pelbagai perancangan antaranya berkait rapat sektor pelancongan,” katanya.
Porsche telah mendedahkan varian E-Hybrid yang ketiga untuk model Cayenne dengan pengenalan Cayenne S E-Hybrid baharu, yang diposisikan antara Cayenne E-Hybrid dan Cayenne Turbo E-Hybrid.
Ditawarkan dengan bentuk badan SUV dan Coupe, Cayenne S E-Hybrid menerima enjin 3.0 liter pengecas turbo V6 petrol yang ditambah baik, dengan kuasa 353 PS (349 hp atau 260 kW), dan dipadankan bersama motor elektrik pada kadar 176 PS (174 hp atau 130 kW), di mana larasannya juga digunakan oleh Cayenne E-Hybrid walau pun berlainan angka kuasa.
Jumlah keseluruhan kuasa yang dihasilkan oleh Cayenne S E-Hybrid mencecah 519 PS (512 hp atau 382 kW) dan tork 750 Nm, membolehkannya ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.7 saat dan kelajuan maksimum cecah 263 km/j. Bagi pacuan elektrik sepenuhnya, ia mampu dicapai hingga jarak 90 km mengikut kitaran WLTP hasil bateri berkapasiti 25.9 kWh.
Pengecasan penuh menggunakan pengecas AC ada kadar 11 kW (sebelum ini sekitar 7 kW) mengambil masa di bawah 2.5 jam, dakwaan pengeluar kereta Jerman ini. Bagi ciri kelengkapan standard, Cayenne S E-Hybrid diberikan suspensi udara adaptif menampilkan dua chamber, dua teknologi injap, roda 20-inci, sistem ekzos dengan dua paip berkembar dalam keluli tahan karat, lampu utama matrix LED (dengan pilihan HD matrix LED).
Jika memilih bentuk badan SUV, pakej luaran Silver diberikan, manakala Coupe pula menerima pakej luaran Black. Di dalamnya, kedua-duanya menerika tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-cara, pakej Sport Chrono, pedal keluli tahan karat dan pakej dalaman Diamar dengan warna Silvershade. Skrin untuk penumpang didatangkan secara pilihan, termasuk juga dengan sistem kualiti udara baharu untuk menapis partikel dan bahan bahaya lain keluar.
Porsche telag mula menerima tempahan untuk varian baharu ini bagi pasaran Eropah, dengan penghantarannya dijadualkan bermula November ini.
Selepas beberapa siri teaser, Triumph akhirnya menunjukkan kali pertama motocross baru yang mereka bangunkan sendiri sejak empat tahun lalu, sewaktu acara SuperMotocross World Championship Final di Los Angeles Memorial Coliseum, California.
Untuk penampilan ringkas ini, dua motosikal yang ditunggang masing-masing oleh Ricky Carmichael dan Jeff Stanton ini adalah versi 250 cc dan orang ramai boleh menilai sedikit kemampuannya yang ditunjuk oleh dua bekas penunggang motocross professional tersebut.
Bagi yang terlepas, anda boleh melihat video yang disiarkan oleh Triumph di bawah, dan pada penghujungnya mereka memberitahu ia pengenalan rasmi akan dibuat pada 28 November ini. Pada waktu itu barulah kita akan dapat tahu lebih banyak perincian motocross Triumph ini.