Tiga tahun selepas model dalam pasaran sekarang diperkenalkan, Kia kini mendedahkan pula Sorento generasi keempat versi facelift dalam beberapa imej, sebelum ia diperkenalkan secara rasmi kepada dunia tidak lama lagi.
Perubahan paling jelas adalah pada reka bentuk bahagian hadapan, dengan menyaksikan lampu barunya menggunakan susunan LED berbentuk T untuk DRL, serta empat LED menegak di setiap sisi untuk lampu utama. Garis lekuk di atas bonet juga kelihatan lebih jauh antara satu sama lain, sementara gril dan bampar turut menggunakan rekaan baru.
Profailnya dari tepi tidak berubah banyak, kecuali mendapat rim baru, manakala lampu belakang menggunakan bentuk serta grafik yang baru. Di bawah terdapat bampar dengan rekaan baru yang mempunyai lampu undur rendah di bawah skid plate, serta lampu kabus di atasnya.
Pada bahagian dalam, bentuk papan pemuka kelihatan sama sahaja seperti sebelum ini, tetapi diberikan dengan perincian baru seperti corong pendingin hawa lebih nipis dan mendatar, memberikan lebih ruang kepada skrin infotainmen yang bersambung dengan panel instrumen digital di hadapan pemandu.
Kedudukan butang pengawal pendingin hawa juga diubah ke bawah corong udaranya, dan nampak seperti menggunakan unit sesentuh dengan susun atur seperti Kia EV6. Juga sama seperti kereta elektrik itu, Sorento facelift turut menggunakan tombol pemilih gear jenis pusing.
Setakat ini hanya gambar sahaja yang didedah untuk Sorento facelift ini, sementara perincian teknikal serta spesifikasinya masih belum diberitahu. Sebagai rujukan, Hyundai Santa Fe yang baru generasi keempat yang baru didedahkan minggu lepas menggunakan enjin empat silinder 2.5 liter turbo serta sistem pacuan semua roda.
Mitsubishi Triton 2023 generasi ke-enam serba baru hari ini diperkenalkan buat pertama kalinya untuk peringkat global di Bangkok, Thailand. Merupakan versi produksi bagi model XRT Concept yang mula muncul pada Mac lalu, ia juga akan kembali dijual di Jepun buat pertama kali bagi tempoh 12 tahun terakhir, bermula awal 2024 nanti.
Serba serbi berkaitan trak pikap ini diberikan sentuhan baru. Bermula dengan rekaan casis ladder frame yang kini mempunyai 65% lebih banyak kawasan cross-sectional berbanding model lama, serta mencapai tahap bending rigidity 40% dan torsional rigidity 60%. Ini meningkatkan daya tahannya serta dalam masa yang sama turut memberikan tahap keselesaan yang lebih baik. Badan Triton terbaru ini juga lebih ringan dengan penggunaan bahan logam high-tensile 1180 Mpa.
Untuk Thailand, ada tiga jenis badan Triton terbaru ini yang ditawarkan, dengan empat varian berasingan semuanya — Double Cab (High 4WD dan Standard 2WD); Club Cab (High 2WD); dan Single Cab (Standard 4WD).
Bukan itu sahaja, unit janaan kuasanya juga adalah yang terbaru dengan enjin diesel 4N16 2.4 liter 16-injap empat-silinder sebaris DOHC turbo; untuk pasaran Thailand, tiga spesifikasi output disediakan sebagai pilihan. Versi janaan tingginya dilengkapi dengan pengecas turbo baru dengan sistem pembakaran baru, menghasilkan janaan maksimum 204 PS (150 kW) dengan tork maksimum 470 Nm dari 1,500 rpm.
Selain itu ada dua versi bagi unit spesifikasi standard — satu dengan output enjin 184 PS (135 kW) dan 430 Nm tork, dan satu lagi dengan output maksimum 150 PS (110 kW) dengan tork maksimum 330 Nm. Kedua-duanya dilengkapi dengan pengecas turbo VG yang hadir dengan kawalan bolehubah bagi kapasiti turbin.
Mitsubishi Triton 2023 serba baru di sana diberikan dua pilihan untuk sistem transmisi — yang pertama, kotak gear automatik enam-kelajuan dengan mod Sport yang diwarisi dari model lama, dan yang kedua, kotak gear manual enam-kelajuan dengan shift-by-wire yang mengurangkan gegaran yang dipindahkan dari enjin, dan menjadikan aspek keselesaan lebih baik.
Bergantung kepada model badan tersebut, Triton Double Cab High 4WD misalnya mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 5,360 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,815 mm tinggi. Jarak antara roda pula ialah 3,130 mm. Sebagai perbandingan, Triton semasa bagi varian Athlete yang paling tinggi untuk pasaran Malaysia ketika ini mempunyai ukuran 5,305 mm panjang, 1,815 mm lebar, 1,780 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,000 mm. Ini menjadikan Triton 2023 yang terbaru sebuah trak pikap dengan saiz yang lebih besar: panjang +30 mm, lebar +115 mm, +35 mm tinggi — lebih penting, jarak antara rodanya juga libatkan pertambahan 130 mm.
Mitsubishi menamakan konsep rekaan terbaru ini sebagai Beast Mode. Ia jelas menyerlahkan imej Triton yang lebih gagah dan berkuasa, dengan ketegapan dan saiz yang tentunya lebih besar. Dari segi rekaan, bahagian wajah depan menampilkan sentuhan Dynamic Shield yang cukup tampan, dengan gril depan dan bahagian fender yang lebih menonjol.
Lampu DRL-nya LED dengan rekaan seolah mata tajam, dan disertai lampu utama LED dengan kesan 3D di bawahnya. Ini mengubah sama sekali wajah depan Triton, menjadikannya lebih segar. Di belakang, selain ruang kargo yang luas, lampu belakang turut hadir dengan bentuk T, mengukuhkan lagi imej kental yang dimilikinya.
Tidak ketinggalan, sistem suspensi dan 4WD Triton terbaru ini turut diberikan pembaharuan. Bagi sistem 4WD, ia dilengkapi dengan sistem Super Select 4WD-II and Easy Select 4WD oleh Mitsubishi, yang dilengkapi dengan Limited Slip Differential (LSD) dengan pengesanan tork yang mengagihkan daya pemanduan dalam nisbah 40% ke depan dan 60% ke belakang, sekaligus memastikan prestasi cengkaman dan prestasi di selekoh dalam masa yang sama. Tujuh mod pemanduan turut disediakan — Normal, Eco, Gravel, Snow, Mud, Sand dan Rock.
Suspensi yang direka baru juga kekal menggunakan jenis double wishbone di depan. Mounting untuk lelengan atas bagi model 4WD dan 2WD High Rider telah dinaikkan lagi untuk menambah 20 mm lagi pergerakannya. Suspensi belakang pula menggunakan jenis leaf spring yang lebih ringan serta penyerap hentak yang lebih tebal — semuanya untuk meningkatkan keselesaan dalam kabin.
Dari segi bantuan keselamatan, Triton baru ini turut datang dengan ciri antaranya seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Forward Collision Mitigation (FCM), Blind Spot Warning (BSW) dengan Lane Change Assist (LCA) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Sistem telematik Mitsubishi Connect juga ada, membolehkan maklumat kenderaan ditinjau melalui telefon pintar, dan memudahkan lagi pengesanan kenderaan jika berlaku kecurian.
Dua pilihan warna baru diberikan untuk Triton baru ini: Yamabuki Orange Metallic dan the Blade Silver Metallic. Warna asas yang lain juga masih dikekalkan — White Diamond, Solid White, Graphite Gray Metallic dan Jet Black Mica.
Honda Racing Corporation (HRC) telah mendedahkan jentera baharunya untuk siri perlumbaan Super GT di Jepun – ini dia, Honda Civic Type R-GT, Civic pertama yang dijelmakan sebagai kereta lumba untuk siri pelumbaan GT terulung di negara matahari terbit itu!
Sesi shakedown pertama Civic Type R-GT ini telahpun berlangsung di Litar Antarabangsa Okayama, Jepun bermula semalam, 25 Julai 2023 dan akan bersambung hari ini, 26 Julai 2023. Jentera ini akan mula berlumba dalam kelas tertinggi GT500 bermula musim 2024 bagi menggantikan NSX-GT sedia ada.
Seperti yang diketahui, versi produksi jalan raya Honda NSX generasi kedua sudah tidak lagi dijual selepas pengeluarannya ditamatkan pada penghujung 2021. Jadi sudah tiba masanya NSX-GT juga direhatkan dari dunia perlumbaan sebenar.
Peralihan dari NSX ke Civic Type R ini juga dilihat lebih relevan kerana jentera-jentera GT500 kini sudahpun menggunakan undang-undang FIA Class 1 yang sama seperti perlumbaan DTM di Jerman. Menurut spesifikasi tersebut, semua jentera FIA Class 1 perlu dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris yang diletak pada bahagian hadapan kereta.
Untuk pengetahuan anda juga, NSX-GT sebelum ini sudah pun dijana oleh enjin 2.0 liter dengan kedudukan enjin dialih dari tengah ke bahagian hadapan bermula pada musim 2020 bagi disesuaikan dengan undang-undang FIA Class 1 tersebut.
“Kami amat berbesar hati kerana dapat memulakan ujian trek pertama bagi Civic Type R-GT, yang merupakan jentera perlumbaan yang menggabungkan aerodinamik, enjin dan teknologi lain, serta kepakaran yang diperolehi oleh HRC ketika menyahut cabaran dalam beberapa perlumbaan di dalam dan di luar Jepun,” kata presiden HRC, Koji Watanabe.
“Bermula musim 2024, kami akan bersaing dalam kelas GT500 Super GT, salah satu siri perlumbaan kereta paling berprestij di Jepun. Dengan keinginan berterusan kami bagi mencapai kemenangan, kami akan berusaha untuk memenangi kejuaraan dari tahun pertama, jadi pastikan jangkaan anda untuk prestasi yang akan ditunjukkan oleh Civic Type R-GT ini sentiasa tinggi pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya lagi.
Laman automotif dari India, RushLane telah memuat naik beberapa gambar Proton X50 yang dijumpai sedang diuji di negara berkenaan. Menurut portal tersebut, gambar ini dikirim oleh pembacanya yang menjumpai SUV dari Tanjong Malim itu di Lebuhraya Pune-Nashik berdekatan plaza tol Sinnar.
Unit ujian Proton X50 tersebut dilihat mengenakan nombor pendaftaran berwarna merah, yang menurut RushLane ia adalah nombor pendaftaran sementara untuk kegunaan di negara berkenaan. Ia tidak dilekat dengan sebarang pelekat penyamaran, dan berdasarkan bumbung yang berwarna hitam, unit ujian ini adalah dari versi Flagship yang dipadankan dengan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh, berkuasa 177 PS/255 Nm.
RushLane menyatakan sekiranya X50 benar-benar dijual di India, ia akan menjadi SUV kompak dengan enjin paling berkuasa dalam segmennya, untuk berhadapan dengan model-model seperti Hyundai Creta, Kia Seltos, Maruti Suzuki Grand Vitara, Toyota Urban Cruiser Hycross, MG Astor, Skoda Kushaq, VW Taigun dan dua model yang akan mula dijual tidak lama lagi iaitu Honda Elevate dan Citroen C3 Aircross.
Namun Proton masih belum mengumumkan sebarang rancangannya untuk masuk ke pasaran India, yang merupakan pasaran automotif ketiga terbesar di dunia ketika ini.
Lebih 10-tahun lalu Proton pernah dilihat serius untuk masuk ke pasaran India – syarikat tersebut sudahpun melantik bekas presiden Hyundai Motor India, BVR Subbu sebagai salah seorang ahli lembaga pengarahnya pada Mac 2010, dan dilaporkan mencari pembekal enjin diesel untuk digunakan pada Exora, Saga dan Savvy di negara tersebut.
Proton mensasarkan bagi mula menjual keretanya di India pada 2011 dan turut merancang untuk memasang model-modelnya secara tempatan (CKD) di sana, namun rancangan tersebut senyap tanpa khabar berita sehingga kini.
Buat masa sekarang Proton sudahpun masuk ke pasaran negara-negara jiran India iaitu Pakistan, Nepal dan Bangladesh. Malah kilang Proton Pakistan yang terletak di Karachi sudahpun beroperasi sejak Julai 2021.
ANIH Berhad telah memaklumkan terdapat kejadian tanah mendap yang berlaku di KM66.1 arah timur dan barat, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran Plaza Tol Bentong yang berlaku sekitar 8.34 malam tadi.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, semua pengguna yang ingin ke Kuala Lumpur dari Kuantan diarahkan keluar ke Persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke Persimpangan Bentong Barat. Manakala bagi yang datang dari Kuala Lumpur dan ingin ke arah Kuantan pula, diminta keluar ke Persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke Persimpangan Bentong Timur. Pengguna juga akan dilencongkan ke persimpangan Central Spine Road (CSR).
Bagi pengguna yang datang dari arah Pantai Timur dan menggunakan CSR, boleh meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Untuk pengguna yang ke Gua Musang perlu keluar ke Bentong Barat dan masuk semula melalui persimpangan CSR.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan semua pengguna diminta menggunakan laluan alternatif. ANIH Berhad sentiasa bersedia dan menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna lebuhraya kekal sebagai keutamaan. Pengguna lebuhraya dinasihati untuk mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi,” kata ANIH.
Kerajaan dijangka mempertimbangkan untuk mengurangkan harga bahan api terutamanya petrol RON 95 dan diesel bagi memastikan kestabilan harga dan mengurangkan kos sara hidup di Malaysia. Pada masa ini, harga siling seliter bagi petrol RON 95 ialah RM2.05, manakala RM2.15 bagi diesel Euro 5 B10, menurut MIDF Research.
“Jika kerajaan menurunkan harga RON95 sebanyak 10 sen kepada RM1.95 seliter bulan depan, kadar inflasi utama Malaysia dijangka susut kepada 2.9% bagi 2023 memandangkan inflasi bukan makanan terus menyederhana kepada 1.3%, manakala inflasi pengangkutan akan menguncup sebanyak 1.7%,” kata MIDF Research seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Tambahnya, menjelang akhir 2023, pengurangan 10 sen itu akan menjadikan kadar inflasi bulanan lebih rendah kepada 1.9% tahun ke tahun. Ini bermakna kerajaan akan mempunyai tambahan RM4.31 bilion untuk perbelanjaan fiskal, yang boleh digunakan untuk matlamat lain.
“Selain itu, kerajaan akan mempunyai ruang fiskal yang lebih baik, memandangkan bahawa nisbah hutang fiskal berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah susut kepada 59.3% pada suku pertama 2023, dan dengan mengambil kira liabiliti luar jangka, angka terkini adalah 76.1%.
“Memandangkan inflasi makanan yang terus meningkat dan tekanan pendapatan yang menurun, kami menjangkakan kerajaan akan memilih untuk mengurangkan harga runcit bahan api, khususnya petrol RON 95 dan diesel dalam tempoh terdekat. Dari segi struktur, sebagai pengimport makanan bersih dan diburukkan lagi dengan penyusutan nilai ringgit, adalah sukar bagi kerajaan untuk mengawal inflasi makanan,” kata firma penyelidikan itu.
Pada separuh pertama 2023, harga minyak mentah Brent berpurata pada USD79.20 setong, yang lebih rendah sedikit daripada anggaran kerajaan sebanyak USD80 setong. Oleh itu, MIDF Research menganggarkan harga pasaran tanpa subsidi untuk RON 95 ialah RM3.10 seliter. Tahun lepas, perbezaan harga RON 95 berbanding harga pasaran mencapai RM1.86 seliter.
“Hasil normalisasi harga minyak global, perbezaan harga bahan api dianggarkan jauh lebih rendah iaitu RM1.05 seliter tahun ini. Dengan perbezaan harga yang lebih rendah, kami percaya jumlah perbelanjaan subsidi akan lebih rendah berbanding tahun lepas,” kata MIDF Research.
Pada tajun lalu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM42 bilion untuk subsidi bahan api, merangkumi sebahagian besar daripada perbelanjaan subsidi keseluruhan.
Garis panduan untuk membina stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di premis seluruh negara telah pun tersedia, dan sudah diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman, berkata pihak KPKT akan menilai garis panduan tersebut sebelum diumumkan kelak, laporan Bernama.
“Bagi menyiapkan garis panduan ini, kita bekerjasama dengan Persatuan Arkitek Malaysia, Persatuan Kenderaan Pelepasan Karbon Sifar (ZEVA), dan pelbagai badan bukan kerajaan. Antara cadangan dalam garis panduan tersebut ialah jarak kenderaan daripada laluan masuk dan keluar premis, tingkat yang sesuai untuk pemasangan dan pelbagai perkara lain,” katanya.
Jelas beliau, garis panduan itu merupakan prosedur permohonan dan kelulusan pemasangan stesen pengecas EV di premis, sama ada di dalam atau di luar bangunan dengan melihat daripada sudut keselamatan kebakaran.
“Garis panduan berkenaan disediakan untuk kawalan keselamatan kebakaran bagi pemasangan stesen pengecas EV di premis dan kawasan komersial sahaja, serta tidak melibatkan lokasi kediaman,” ujarnya lagi sambil menambah buat masa ini terdapat 1,063 stesen pengecas EV seluruh negara dan kerajaan menjangkakan 10,000 stesen menjelang 2025.
Selain itu, katanya, proses pemadaman melibatkan EV memerlukan penggunaan air yang banyak dan memakan masa, serta berisiko untuk terbakar semula. Di mana antara risiko yang boleh menyebabkan kebakaran EV ini ialah bateri, keadaan jalan raya, cuaca persekitaran dan stesen pengecas.
“Sebagai contoh kemalangan di jalan raya seperti jika ada kepanasan atau geseran, itu boleh menyebabkan kebakaran, kerana bateri kenderaan elektrik ini ditempatkan di lantai atau bawah kereta itu.
“Selain itu boleh berlaku litar pintas dalaman dan luaran, terlebih voltan, terlebih cas, kepanasan luaran dan kerosakan buatan. Ini memberi kesan kepada suhu naik dan boleh merebak ke kenderaan lain,” katanya.
Ahmad Izram berkata setakat ini pihaknya menggunakan medium pemadaman secara konvensional iaitu menggunakan air dan buih (foam), serta beberapa peralatan khas seperti sarung tangan khas. Tambahnya, sarung tangan tersebut disediakan di dalam setiap jentera JBPM sejak 2015, ketika negara menghadapi kemasukan kenderaan hibrid.
“Kenderaan hybrid ini menggunakan bateri dan petrol dan kita pelajari cara untuk proses pemadaman kenderaan yang menggunakan bateri sepenuhnya.
“Kenderaan elektrik pula memerlukan kaedah penyejukan untuk proses pemadaman kerana ia mempunyai thermal runaway, jika tidak dicegah api akan merebak ke tempat lain, beza (cara pemadaman) dengan kenderaan yang ada ketika ini, kita selalunya menggunakan air bergantung kepada situasi dan tidak mengambil masa lama,” katanya.
Walau bagaimana pun, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan membabitkan kenderaan elektrik, namun sebanyak lapan laporan kenderaan jenis hibrid, diterima pada tahun ini. Ini termasuklah satu laporan membabitkan kebakaran empat skuter elektrik di Kuala Lumpur pada April lepas, yang turut menyebabkan sembilan motosikal terbakar dalam kejadian itu.
Ahmad Izram turut berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pembekal pemasang kenderaan elektrik, bagi mengenal pasti bahagian kenderaan yang boleh membantu kepada usaha pemadaman, sekiranya terbakar.
“JBPM sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan berlaku kebakaran melibatkan kenderaan elektrik ini, kita akan gunakan kelengkapan sedia ada, selain meneruskan kesedaran awam mengenai perkara ini,” katanya.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain, menyatakan bahawa Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk menjadi kuasa hebat dalam kenderaan elektrik penuh (EV) di Asia Tenggara.
Menurutnya dalam laporan Bernama, ini akan dapat dicapai menerusi inisiatif kerajaan yang kini sedang mempromosikan ekosistem EV yang kondusif serta disokong komitmen perniagaan yang kukuh seperti ditunjukkan oleh dua syarikat automotif yang kuat dalam segmen tersebut iaitu Geely dan Tesla.
Shamsor menjelaskan kedua-dua pembuat kereta berkenaan mempunyai pengalaman global luas dan akses kepada teknologi terkemuka, boleh memperkenalkan idea dan cara baharu menjalankan perniagaan kepada sektor automotif tempatan, seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi untuk produk baharu yang mungkin pada masa ini tidak tersedia di negara ini.
“Sebagai contoh, elektrifikasi pula bermakna satu perubahan dalam komponen kenderaan, dengan lebih tumpuan diberikan kepada pembuatan bateri dan komponen khusus lain untuk EV.
“Kita juga akan menyaksikan industri menerima guna kemahiran dan infrastruktur baharu yang sesuai untuk pelbagai peringkat elektrifikasi, daripada hibrid sederhana kepada kenderaan elektrik sepenuhnya, selain memberi kemahiran tambahan dan baharu di luar kemahiran sedia ada yang dimiliki tenaga kerja automotif, di samping membuka peluang baharu untuk inovasi, R&D dan pembuatan komponen bernilai tinggi,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan sokongan kerajaan yang betul serta infrastruktur dan dasar yang dilaksanakan, Malaysia kini dalam kedudukan yang baik untuk menjadi hab serantau yang menyokong pertumbuhan EV global memandangkan kedudukan strategik dan keadaan ekonomi yang menggalakkan.
Beliau turut menyatakan Malaysia adalah hab pembuatan elektrik dan elektronik utama di Asia Tenggara, oleh itu, pembuat kenderaan dan pelabur automotif boleh memanfaatkan kapasiti ini dengan lancar untuk menjamin rantaian bekalan mereka bagi mengembangkan pengeluaran kenderaan generasi akan datang (NxGV). Subsektor komponen tersebut boleh dimanfaatkan untuk memberi perkhidmatan kepada keseluruhan rantaian nilai automotif meliputi semikonduktor, pengesan, elektronik automotif, penghantar-terima, bateri dan pemasangan kenderaan.
“Malaysia mungkin baharu dalam industri EV namun, dengan sokongan padu kerajaan dan dasar negara yang progresif ditambah dengan pembelian pengguna yang semakin tinggi, kami menjangkakan pertumbuhan holistik yang pesat dalam pasaran EV tempatan kita.
“Peserta baharu dalam ruang EV akan membawa kepada persaingan lebih hebat, yang seterusnya akan merangsang lebih banyak pelaburan daripada peserta automotif serta peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa dengan lebih 40 jenama dalam pasaran domestik pada masa ini, kemasukan jenama-jenama baharu sudah pasti akan menambahkan keterujaan pasaran dan menimbulkan lebih banyak minat dalam kalangan pengguna, sekaligus memberikan lebih banyak pilihan yang ditawarkan dengan harga yang kompetitif.
Pengenalan model-model baharu, termasuk yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia turut akan mewujudkan peluang perniagaan baharu untuk vendor-vendor di sini.
Mohd Shamsor juga berkata teknologi dan peluang pekerjaan berkemahiran yang diwujudkan melalui syarikat luar negara yang berkembang ke Malaysia akan mengukuhkan kapasiti dan keupayaan negara dalam sektor automotif, sekaligus membuka peluang syarikat tempatan bagi mereka bentuk dan membina sendiri model-model EV sendiri pada masa akan datang.
Semasa festival permotoran Goodwood di United Kingdom baru-baru ini, Yamaha Motor Europe telah membawa sebuah model prototaip yang dipanggil sebagai XSR900 DB40 untuk membuat beberapa pusingan di laluan yang disediakan, ditunggang oleh bekas pelumba professional dari Scotland, Niall Mackenzie.
Menurut Yamaha, motosikal ini dihasilkan dengan gabungan sejarah panjang dalam perlumbaan serta teknologi moden, sambil memperingati kerangka Deltabox yang sudah mereka gunakan sejak 40 tahun dahulu. Casis yang sebenarnya terhasil daripada jentera lumba ini sekarang sudah digunakan pada pelbagai jenis model Yamaha dari yang berkapasiti rendah, sehinggalah berkapasiti tinggi.
Seperti yang boleh dilihat, motosikal XSR900 yang digunakan sebagai asas untuk model konsep ini juga menggunakan casis Deltabox, dan catnya telah dibuang bagi menampakkan binaan aluminium asalnya, bersama juga lengan ayun. Peningkatan teknikal lain tidak diberitahu.
Daripada apa yang kita nampak, selain panel badan seperti jentera lumba klasik, dengan fairing separuh di hadapan, serta penutup tempat duduk belakang berpetak, motosikal ini turut dilengkapi dengan ekzos Akrapovic serta pemegang yang lebih rendah untuk menyesuaikannya dengan karekter sports.
Apa yang lebih menarik, mungkinkah Yamaha akan menggunakan model prototaip ini sebagai petunjuk kepada model yang akan dikeluarkan kepada pasaran masa hadapan? Platform dengan enjin tiga silinder 890 cc sudah diketahui boleh mendatangkan pelbagai jenis motosikal seperti MT-09, Tracer 9 serta XSR900, dan satu lagi model sports pastinya bukan sesuatu yang mustahil
Bayangan digital Perodua Bezza generasi kedua oleh Theophilus Chin
Menerusi bayangan yang diberikan oleh presiden dan CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad pada awal bulan ini, model generasi kedua Perodua Bezza mungkin akan muncul sekitar 2-3 tahun dari sekarang. Namun dengan pengumuman salah satu vendor Perodua iaitu Betamek, jangkaan pengenalan sedan kompak generasi baharu tersebut adalah lebih spesifik, mungkin didedahkan pada awal tahun 2025 nanti.
Menurut Betamek, ia sudahpun memuktamadkan kontrak bernilai RM436.5 juta bagi membekalkan pelbagai komponen elektronik untuk model terbaharu Perodua. Anak syarikat Betamek iaitu Betamek Electronics telahpun menerima surat hasrat (LOI) dari Perodua dan dijangka akan membekalkan komponen-komponen elektronik bagi model baharu pada suku keempat tahun kewangan 2025 iaitu pada 31 Mac, lapor The Sun.
Berdasarkan terma-terma yang disebut dalam LOI tersebut, Betamek Electronics bakal membekalkan komponen-komponen tersebut selama enam tahun. Buat masa sekarang Betamek turut membekalkan komponen-komponen elektronik untuk Perodua Axia generasi baharu yang dilancarkan pada Februari lalu.
Bayangan digital Perodua Bezza generasi kedua oleh Theophilus Chin
Pada bulan berkenaan, Betamek telah mengumumkan bahawa ia telah mendapat kontrak bernilai RM123.5 juta bagi membekalkan pelbagai komponen untuk model Perodua baharu bagi tempoh enam tahun, bermula suku keempat tahun kewangan yang berakhir pda 31 Mac 2023.
Betamek telah dilantik menjadi vendor Perodua sejak pertengahan era 90’an, dan pada tahun kewangan 2022, 95% kepentingannya adalah dari Kumpulan Perodua.
Dalam sidang media Pertandingan Rekaan Sedan Kompak Asia (ACSDC) 2023 di Putrajaya awal bulan ini, Datuk Zainal mendedahkan Bezza generasi baharu tersebut turut akan dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) seperti model-model baharunya yang lain, serta ia akan tampil dengan rekaan lebih berorientasikan pengguna di rantau ASEAN.
Bagi Bezza generasi sedia ada, ia diasaskan dari hatchback Perodua Axia generasi terdahulu serta ditawarkan dengan enjin berkapasiti 1.0 dan 1.3 liter (Axia hanya hadir dengan enjin 1.0L). Badan atas model berkenaan dihasilkan sepenuhnya oleh Perodua di fasiliti R&D yang terletak di Rawang, dan model ini hanya dijual di Malaysia tanpa dijelmakan dalam versi Daihatsu atau Toyota untuk pasaran lain.
‘Resipi’ yang bakal digunakan untuk Bezza generasi baharu berkenaan mungkin sama dengan sebelum ini, dengan menjadikan Axia generasi kedua sebagai asas yang turut dibangunkan menggunakan platform DNGA. Model ini masih hanya menerima enjin 1KR-VE 1.0L VVT-i tiga-silinder berkuasa 67 hp/91 Nm, namun kotak gear automatik empat kelajuan sebelum ini telah digantikan dengan transmisi D-CVT.
Axia juga telah diberikan sistem bantuan pemanduan ASA 3.0 yang memberikan fungsi seperti AEB, amaran pergerakan kereta depan dan lain-lain. Ia juga menerima beberapa perincian yang lebih canggih dari Myvi seperti panel instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 7.0-inci.
India menolak cadangan BYD untuk membangunkan kilang pemasangan EV jenama ini dengan kos pembinaan sebanyak US$1 bilion (RM4.56 billion) di negara tersebut. Cadangan tersebut adalah dengan kerjasama Megha Engineering and Infrastructure, menurut laporan South China Morning Post.
“Kebimbangan keselamatan berkenaan dengan pelaburan China di India ditunjukkan semasa perbincangan,” laporan itu memetik kenyataan dari seorang pegawai India. Awal bulan ini, BYD dilaporkan telah mengemukakan cadangan pelaburan AS1 bilion (RM4.56 bilion) untuk pembuatan kereta elektrik dan bateri EV di India.
Pembuat kereta China itu berkata pihaknya sedang berusaha untuk menguasai 40% pasaran EV di India menjelang 2030, namun cadangan pelaburannya tiba pada masa penelitian terhadap syarikat China oleh kerajaan negara terbabit.
Satu lagi pengeluar kereta China, GWM turut merancang untuk melabur sebanyak US$1 bilion (RM4.56 bilion) di India, namun gagal untuk membeli kilang produksi General Motors kerana tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan India. Penerbitan ini turut melaporkan kerajaan India juga menyiasat MG Motor India, anak syarikat bagi SAIC Motor, atas faktor terdapat penyelewengan kewangan.
Menurut laporan The Economic Times, Jabatan perdagangan negara, jabatan promosi industri dan perdagangan dalaman (DPIIT) telah mendapatkan pendapat jabatan lain mengenai cadangan usaha niaga oleh BYD.
Sebulan selepas Toyota GR86 menerima peningkatan untuk model tahun 2024 di Amerika Syarikat (USA), Subaru turut buat perkara yang sama untuk BRZ. Di mana model BRZ tS kini kembali dengan peningkatan bagi beberapa ciri prestasi untuk pengalaman pemanduan yang lebih dinamik.
Berasaskan varian Limited sedia ada, tS ini masih mengekalkan enjin 2.4 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan 228 hp dan tork 249 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda belakang menerusi Torsen limited-slip differential.
Memandangkan enjin boxer tidak melibat sebarang perubahan, tS dilengkapi dengan peredam Hitachi talaan-STI yang dikatakan mampu memberikan “fleksibiliti yang lebih besar serta kawalan dan kestabilan yang lebih baik”. Peredam baharu ini turut digandingkan dengan sistem brek Brembo berprestasi tinggi yang termasuk dengan empat omboh hadapan dan kaliper belakang dua omboh yang dicat dengan warna keemasan, dipadankan dengan pad dan rotor yang lebih besar untuk meningkatkan kuasa berhenti dan ‘rasa’ pedal yang lebih ada padu.
Ia turut diberikan tayar Michelin Pilot Sport profil 215/40 dengan roda aloi 18-inci, lebih kurang sama dengan Limited. Tetapi kemasan aloi tS ini dengan rona kelabu gelap berbanding gunmetal. Lain-lain ciri termasuk lencana ‘tS’ pada gril hadapan dan boot lid belakang serta cermin sisi dan antena shark fin dalam rona Crystal Black Silica. Pilihan warna sama dengan varian bukan-tS.
Di dalam kabinnya, ia menampilkan upholstery hitam dengan jahitan kontras biru pada pemeluk tempat duduk hadapan, roda stereng balutan kulit, shifter boot dan parking brake boot. Selain itu, butang penghidup enjin berwarna dengan logo STI, dengan kluster instrumen digital tujuh-inci dengan selahan merah yang dipertingkatkan turut diberikan.
Satu lagi semakan signifikan untuk model 2024 yang telah diumumkan oleh Subaru sebelum ini termasuklah sistem bantuan pemandu dan keselamatan EyeSight telah diberikan untuk varian transmisi manual.
BRZ manual kini juga didatangkan dengan ciri standard termasuk adaptive cruise control, autonomous emergency braking, lane departure dan sway warning serta lead vehicle start alert. Selain itu, ciri lain yang diberikan sebelum ini masih dikekalkan termasuklah blind spot detection, lane keep assist dan rear cross traffic alert serta steering-responsive headlamp.
Lotus Cars Malaysia (LCM) telah menerima lebih dari 500 tempahan untuk SUV elektrik penuh (EV) Lotus Eletre untuk pasaran tempatan selepas ia dilancarkan di sini April lalu. Tempahan berkenaan dilihat sangat memberangsangkan kerana Eletre bukan SUV mainstream, sebaliknya ia adalah ‘hyper SUV’ yang dijual pada harga bermula RM578k hingga RM798k.
Malaysia bakal menerima 200 stok awalan Eletre untuk tahun 2023 (140 daripadanya sudahpun ditempah ketika hari pelancaran) yang akan diserahkan kepada pelanggan bermula suku ketiga tahun ini. Jadi mereka yang menempah unit yang ke 201 dan seterusnya mungkin perlu menunggu lebih lama bagi mendapatkan kereta masing-masing.
Eletre diasaskan dari platform Electric Premium Architecture (EPA) yang hasilkan oleh Lotus berdasarkan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely, dengan seni bina elektik 800-volt. Bagi pasaran Malaysia, ia ditawarkan dalam tiga varian bermula dengan model asas Eletre berharga RM578,000, diikuti Eletre S berharga RM648,000, dan Eletre R berharga RM798,000.
Kesemua varian Eletre ini datang dengan dua motor elektrik masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi menawarkan pacuan semua roda, serta bateri berkapasiti 112 kWh. Model Eletre dan Eletre S menghasilkan kuasa maksima 605 hp dan tork 710 Nm, membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan pecutan antara 80-120 km/j dalam 2.2 saat.
Kedua-dua varian ini juga mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 258 km/j, manakala jarak gerak untuk satu cas penuh pula adalah 600 km mengikut kitaran WLTP.
Manakala varian paling tinggi Eletre R pula dibekalkan kuasa maksima 905 hp dan tork 985 Nm. Menurut Lotus, Eletre R merupakan SUV EV dengan dua motor paling pantas di dunia dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.92 saat, 80-120 km/j di bawah 1.9 saat serta kelajuan maksima 265 km/j. Jarak gerak satu cas penuh untuk Eletre R ini pula adalah 490 km.
Lotus Eletre ini juga menyokong pengecas pantas DC 350 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 20 minit. Ia juga menyokong pengecas AC dengan kadar 22 kW.
Lima mod pemanduan diberikan secara standard iaitu Range, Tour, Sport, Off-Road dan Individual. Manakala Eletre R pula diberikan mod tambahan Track, iaitu mod yang memberikan tetapan yang lebih fokus untuk pemanduan prestasi, dengan larasan dibuat pada beberapa fungsi termasuk stereng roda-belakang aktif, penyerap hentak adaptif dan kawalan anti-olengan aktif serta prestasi casis yang lebih baik.
Dengan mod Track ini juga pemandu diberikan fungsi Launch Control untuk berlepas seperti roket serta membuka sepenuhnya gril hadapan aktif bagi menyempurnakan fungsi berkenaan.
Dalam kabin, kesemua varian Eletre menerima konfigurasi lima-tempat duduk, dengan ruang kargo berkapasiti 688 liter. Jika tempat duduk baris kedua dilipat, Eletre mempunyai ruang simpanan sebesar 1,532 liter. Pembeli turut ditawarkan dengan Pek Executive Seat yang menampilkan tempat duduk belakang yang hanya boleh memuatkan dua individu bersama perehat tangan di tengah, menggantikan tempat duduk jenis bench biasa.
Pelbagai opsyen lain turut ditawarkan pada Eletre termasuk Lotus Dynamic Handling Pack, Ceramic Brake Pack, Executive Seat Pack, Comfort Seat Pack, Carbon Fibre Pack, Extended Carbon Fibre Pack dan Interior Carbon Fibre Pack, serta Parking Pack dan Highway Assist Pack untuk sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
Pembeli boleh memilih Eletre dalam enam warna badan berbeza iaitu Natron Red, Galloway Green, Stellar Black, Kaimu Grey, Blossom Grey dan Solar Yellow. Untuk setiap pembelian Lotus Eletra ini, ia akan disertakan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 150,000 km serta waranti bateri selama lapan-tahun atau 200,000 km.
Kesatuan Eropah (EU) telah mencadangkan rancangan bagi mengharamkan material untuk proses saduran krom bermula 2024 kerana sebab-sebab berkaitan dengan isu kesihatan. Langkah berkenaan adalah sama seperti keputusan Lembaga Sumber Udara California bagi mengharamkan penggunaan bahan kromium heksavalen (juga dikenali sebagai krom 6) menjelang 2039.
Kromium heksavalen telah diketahui sebagai karsinogen (bahan yang merangsang pertumbuhan sel kanser dalam tisu hidup) dan menjadi penyebab kepada terjadinya kanser paru-paru, dengan pelepasan bawaan udara terjadi ketika proses menyadur dikatakan adalah 500 lebih toksik berbanding diesel.
Depresan wasap kimia yang boleh mengurangkan pelepasan ini juga mengandungi bahan Perfluoroalkyl dan Polyfluoroalkyl (PFAS) turut mempunyai sifat yang sangat toksik.
Kaedah saduran ini pernah digunakan dengan sangat meluas dalam menghasilkan komponen automotif bagi mengelakkan berlakunya proses pengaratan serta memberikan nilai estetika yang baik. Namun proses berkenaan telahpun diharamkan untuk digunakan pada kenderaan baharu yang dijual di Eropah sejak 2003 dan Jepun sejak 2008.
Buat masa sekarang proses penghasilan komponen dengan saduran krom berkenaan menggunakan kaedah alternatif yang menggantikan kromium heksavalen dengan bahan lain seperti saduran nikel dan zink, salutan semburan haba dan juga krom trivalen.
Cadangan pengharaman ini berkemungkinan tidak akan menjejaskan syarikat-syarikat yang sudahpun menghasilkan kereta-kereta baharu tanpa kromium heksavalen, tetapi ia mungkin akan memberi kesan terhadap pembekal komponen kereta-kereta klasik.
Pihak-pihak yang terlibat kini perlu mengubah proses saduran tradisional yang digunakan tetapi dalam masa yang sama masih perlu mengekalkan kualiti yang sama seperti sebelum ini.
Menurut ketua pereka Renault, Gilles Vidal dalam laporan Autocar, walaupun kaedah aternatif sudah dijumpai, belia berharap akan ada material lain yang turut diteroka bagi menghasilkan kesan yang sama.
“Terdapat penyelesaian yang tidak mencemarkan sedang diteliti, tetapi saya harap ada sebab kita boleh lari daripadanya secara intuitif. Sudah tiba masanya kita mengubah sedikit permainan dan membuka minda kita selain krom, terdapat alternatif yang lebih mampan,” tambahnya.
PEV yang bermaksud Personal Electric Vehicle ataupun Kenderaan Elektrik Persendirian semakin mendapat sambutan ramai, dan pemiliknya kini mempunyai satu lagi tempat khas untuk beriadah dengan pembukaan TREX PEV Park di Eco Grandeur, Puncak Alam.
Taman ini sebenarnya sudah siap dibina sejak beberapa tahun lepas, tetapi pada waktu siang ia digunakan sebagai tempat berbasikal. Sekarang, tempoh operasinya dilanjutkan lagi dengan pada waktu malam, bermula dari 6.30 petang hingga 12 malam ia akan dikhaskan untuk PEV.
Ini sekaligus menjadikan TREX PEV Park sebagai hab PEV pertama di Malaysia. Walaubagaimanapun, dalam tempoh permulaan ini, ia hanya akan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad sahaja, tanpa sebarang bayaran masuk.
Jika tidak mempunyai PEV sendiri, anda boleh menyewa skuter elektrik di TREX PEV Park, dengan bayaran RM0.50 seminit. Turut disediakan untuk disewa adalah kelengkapan keselamatan seperti helmet (wajib digunakan) serta pelindung kaki dan tangan.
Pada masa hadapan, MSF dan EcoWorld mempunyai pelbagai rancangan untuk merancakkan aktiviti di TREX PEV Park termasuk cabaran catatan masa terpantas serta mengadakan siri perlumbaan skuter elektrik pertama di Malaysia.