Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Vario 160 Repsol Edition dilancar di Malaysia – terhad 2000 unit, harga RM10,498 tanpa insurans

    Honda Vario 160 Repsol Edition dilancar di Malaysia – terhad 2000 unit, harga RM10,498 tanpa insurans

    Boon Siew Honda Sdn Bhd memperkenalkan Vario 160 Repsol Edition untuk pasaran Malaysia sebagai tambahan kepada versi biasa yang dilancarkan November tahun lalu. Di dalam siaran akhbar, versi istimewa ini diberitahu hanya akan dikeluarkan sebanyak 2,000 unit, dan dijual pada harga RM10,498 tidak termasuk insurans. Ini sekaligus menjadikan harganya RM500 lebih tinggi berbanding harga Vario 160 biasa sewaktu pelancaran.

    Seperti yang boleh dilihat, keistimewaan model ini adalah pada grafiknya, yang menggunakan tema Repsol dengan gabungan warna putih dan oren, sementara bahagian lain tidak diubah dan masih sama seperti Vario 160 yang lain.

    Ia dipacu oleh enjin satu silinder penyejukan cecair 157 cc, mampu menghasilkan kuasa 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm, dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT. Rim 14 inci pada bahagian hadapan dan belakang Vario 160 masing-masing dibalut tayar 100/80 dan 120/70.

    Untuk pasaran Malaysia, Vario 160 datang secara standard dengan sistem brek ABS, tetapi hanya untuk roda hadapan. Roda belakang walaupun tidak mempunyai ABS, masih dilengkapi dengan sistem cakera. Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan satu penyerap di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Vario 160 adalah termasuk semua lampu jenis LED, kunci pintar, soket pengecas USB Type A, ruang simpanan bawah tempat duduk 18 liter serta panel instrumen digital. Tangki bahan api berkapasiti 5.5 liter.

     
     
  • Kementerian Kerja Raya mempercepatkan projek membina tebatan banjir di 14 lokasi sepanjang LPT1

    Kementerian Kerja Raya mempercepatkan projek membina tebatan banjir di 14 lokasi sepanjang LPT1

    Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan kerja-kerja tebatan banjir untuk dilaksanakan dengan kadar segera di 14 lokasi sepanjang jajaran Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

    Projek tebatan banjir yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM200 juta ini bertujuan bagi mengelakkan kejadian banjir berulang di lokasi terbabit. Nanta berkata sebanyak empat kejadian banjir telah berlaku di sepanjang LPT1 sejak ia dibuka pada 2004.

    “Kejadian banjir ini berlaku pada 2007, 2014 dan dua kali pada 2021 iaitu pada bulan Januari dan Disember yang menyebabkan lebuhraya ini ditutup kepada semua jenis kenderaan untuk beberapa hari.

    “Sebanyak 10 lokasi banjir telah dikenalpasti iaitu di KM 84.7, KM 112, KM 113, KM 114, KM 115, KM 116, KM 117, KM 124, KM 126 dan KM 198. Manakala empat lagi lokasi berisiko dinaiki air juga telah dikenalpasti iaitu di KM 156, KM 178, KM 242 dan di Ramp A, Persimpangan Jabor,” tambah beliau.

    Beliau turut berkata, buat masa ini, kerja tanah di dua pakej iaitu di KM 117 dan KM 124 sedang giat dijalankan di tapak berkenaan dan dijangka siap pada Oktober 2024.

     
     
  • Tesla kini rasmi di Malaysia — perkenalkan Model Y, kemudahan pengecas Supercharger di Pavilion KL

    Tesla kini rasmi di Malaysia — perkenalkan Model Y, kemudahan pengecas Supercharger di Pavilion KL

    Tesla Motors kini rasmi beroperasi di Malaysia. Pengenalan jenama itu hari ini juga turut disertai dengan penampilan sulung model pertamanya yang ditawarkan di Malaysia, Tesla Model Y. Model Y ditawarkan dalam tiga versi: Standard Range RWD (RM199,000), Long Range AWD (RM246,000) dan Performance AWD (RM288,000). Semuanya dipamerkan di Pavilion Kuala Lumpur bermula hari ini.

    Pelanggan berpeluang untuk mendekati semua versi Model Y berkenaan dalam pameran yang dijangka berlangsung hingga 31 Oktober nanti. Pameran tersebut diadakan di Centre Court Pavilion Kuala Lumpur, dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari. Tempahan turut boleh dibuat di sana dengan serahan pertama Model Y untuk pelanggan di Malaysia akan dilakukan bermula awal 2024 nanti.

    Dalam petunjuk yang diberikan sebelum ini, Model 3 juga dijangka akan diperkenalkan di sini kelak, walaupun masih belum ada perincian bila setepatnya ia akan tiba. Selain model EV, Tesla juga melabur dalam menyediakan rangkaian stesen Supercharger-nya — dengan stesen pengecas biasa sekali — yang telah dirancang di lokasi strategik di seluruh negara.

    Tesla kini rasmi di Malaysia — perkenalkan Model Y, kemudahan pengecas Supercharger di Pavilion KL

    Kelompok pertama pengecas Supercharger ini juga sudah hampir dilaksanakan operasinya. Terletak di B1 ruang parkir Pavilion KL, kemudahan pengecasan tersebut terdiri daripada lapan Supercharger V3, dengan setiap satu menawarkan pengecasan pantas DC hingga 250 kW. Unitnya sudah ada, tetapi belum beroperasi dan sedang menanti kelulusan dari pihak berwajib.

    Kadar pengecasan juga belum dimaklumkan, dan seperti tertera di lantai ruang pengecasan, unit pengecas Superchargers hanya untuk kenderaan Tesla sahaja.

    Sembilan lagi rangkaian pengecas Supercharger telah disenaraikan pemasangannya kelak. Lima daripadanya akan dipasang di Lembah Klang dan Petaling Jaya, Selangor, dan di Bukit Jalil serta dua lokasi lain di KL. Di bahagian utara, Tesla Supercharger akan berada di Ipoh dan Perai, Pulau Pinang, sementara di selatan di dua lokasi lagi, iaitu di Negeri Sembian dan Iskandar Puteri, Johor.

    Tesla kini rasmi di Malaysia — perkenalkan Model Y, kemudahan pengecas Supercharger di Pavilion KL

    Tesla juga akan membuka ibupejabat dan pusat servis canggihnya di Cyberjaya, yang akan menjadi hab untuk semua operasi korperat, pemasaran, latihan, sokongan pelanggan serta servis kenderaan. Pusat servis berkenaan akan dilengkapi dengan peralatan diagnostik canggih serta dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

    Syarikat itu juga akan mewujudkan pusat pameran di kawasan utama metropolitan di seluruh negara. Pusat ini akan bertindak selaku ruang untuk bakal pelanggan meneroka dan mengalami sendiri EV jenama ini dan hal-hal berkaitan mobiliti elektrik.

     
     
  • Pemberi maklumat kenderaan elak cukai diberi ganjaran 10% daripada nilai rampasan oleh JKDM

    Pemberi maklumat kenderaan elak cukai diberi ganjaran 10% daripada nilai rampasan oleh JKDM

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menawarkan ganjaran sebanyak 10% daripada nilai rampasan barangan kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat tepat mengenai barangan yang dikategorikan lari cukai termasuk pelakunya.

    Nenurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata identiti pemberi maklumat berkenaan akan dirahsiakan. Barangan yang disenaraikan dalam cukai terbabut termasuklah kenderaan, rokok dan minuman keras.

    “Jika nilai rampasan berjumlah RM1 juta, maka 10% daripada itu iaitu sebanyak RM100,000 akan diberikan kepada pemberi maklumat.Memang ada peruntukan untuk pemberi maklumat yang kita akan nilaikan mengikut kategori.

    “Kita harap lebih ramai menghubungi JKDM jika lihat perkara disyaki, kita anggap pemberi maklumat ini sebagai kategori A iaitu apabila JKDM sampai di tempat tersebut boleh terus tangkap pelaku dan barangan yang lari cukai itu, ia termasuk juga kes melibatkan dadah,” katanya.

    Pemberi maklumat kenderaan elak cukai diberi ganjaran 10% daripada nilai rampasan oleh JKDM

    Ahmad menambah maklumat berkenaan diperlukan bagi membasmi aktiviti berkenaan yang akan merugikan rakyat dan negara, malah pemberian ganjaran itu sebenarnya sudah lama dilakukan JKDM tapi tidak diuar-uarkan.

    “Kerja-kerja jahat ini masih banyak lagi dibuat di luar sana, oleh kerana itu saya menyeru kepada semua untuk tampil salurkan maklumat itu, mereka boleh hubungi JKDM di kawasan masing-masing tapi jangan pula beri maklumat palsu.

    “Saya percaya dengan usaha gigih JKDM negeri dalam meningkatkan hasil yang sedikit sebanyak dapat membantu usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara dan seterusnya membantu rakyat,” sambungnya.

     
     
  • Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Tesla Motors hari ini juga turut memperkenalkan Model Y, sebuah SUV saiz sederhana yang akan dijual secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dalam tiga tahap spesifikasi sama seperti yang didedahkan dalam konfigutor atas taliannya minggu lalu.

    Tiga varian Tesla Model Y yang dimaksudkan ialah seperti berikut:

    • Tesla Model Y Standard Range RWD – RM199,000
    • Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
    • Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

    Standard Range RWD datang dengan jaminan lapan-tahun/160-000 km untuk bateri dan sistem pacuan, sementara Long Range AWD dan Performance AWD datang dengan jaminan lapan-tahun/192,000 km untuk bateri dan sistem pacuan. Semua harga termasuk SST. Pesanan dalam talian, dengan yuran RM1,000 yang tidak akan dikembalikan, mula dibuka minggu lalu.

    Sebagai tambahan, harga untuk tambahan ciri yang boleh dilakukan juga diumumkan:

    • Warna hitam, perak dan biru – RM5,000
    • Warna merah multi-coat – RM10,000
    • Ruang dalaman hitam/putih – RM5,000
    • Rim 20-inci Induction – RM10,000
    • Enhanced Autopilot – RM16,000
    • Ciri Self Driving penuh – RM32,000

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Pelanggan boleh mendekati semua varian Model Y ini di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 31 Oktober nanti. Pameran berkenaan dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh tiga bulan ini. Serahan pertama bagi Model Y untuk pelanggan di Malaysia pula dijangka dilakukan bermula awal 2024.

    Tesla Model Y ini bersaing dengan model SUV pengeluar lain seperti BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC, dan untuk model EV pula seperti BMW iX1, Mercedes-Benz EQB, Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6. Untuk pasaran Malaysia, Model Y hanya hadir dalam versi lima-tempat duduk dua-baris.

    Tesla belum mendedahkan kapasiti kWh bateri kenderaannya, sebaliknya menyatakan itu dari jarak perjalanan. Untuk tempoh pengecasan, dengan kadar 250 kW, jarak 120 km boleh dicapai dalam masa hanya lima minit dengan Tesla Supercharger. Kelompok Supercharger pertama di Malaysia sudah dipasang di Pavilion Kuala Lumpur melibatkan lapan ruangan, dan akan beroperasi dalam masa terdekat.

    Berikut apa yang boleh dijangkakan daripada tiga varian Model Y ini:

    Tesla Model Y Standard Range RWD – RM199,000

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Tesla Model Y – RWD (rim Gemini). Model paling asas untuk pasaran Malaysia ialah Model Y Standard Range RWD. Kuasa disaluran dari motor elektrik tunggal, dan bateri menggunkan jenis LFP, memberikan jarak 455 km (kitaran WLTP). Prestasinya melibatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan laju maksimum 217 km/j. Kelengkapan standardnya termasuk rim Gemini 19-inci, dengan pilihan rim Induction 20-inci turut ditawarkan dengan tambahan RM10,000.

    Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Tesla Model Y – Long Range AWD (Induction wheels). Varian yang dilengkapi dua motor elektrik di setiap gandarnya. Jenis bateri yang digunakan ialah NMC, dengan jarak perjalanan 533 km (WLTP). Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5 saat, tetapi laju maksimum sama 217 km/j. Accceleration Boost yang mengurangkan pecutan itu menjadi 4.5 saat, boleh dipilih dengan tambahan kos — boleh dibeli melalui aplikasi selepas pelanggan mendapat kenderaan tersebut, bukan ketika membuat tempahan.

    Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000

    Kereta Tesla Model Y 2023 kini di M’sia — Standard RM199k, Long Range RM246k, Performance RM288k

    Tesla Model Y – Performance AWD (rim Uberturbine). Varian Model Y yang paling lengkap, yang turut menggunakan bateri jenis NMC, tetapi berkurangan jarak perjalanannya menjadi 514 km (WLTP). Ia boleh mencecah 100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Ia antaranya lengkap dengan rim Uberturbine, brek prestasi, spoiler gentian karbon, pedal aluminium dan suspesi rendah.

    Pilihan ruang dalaman

    Untuk ruang kabin, ketiga-tiga varian menerima material kulit vegan hitam (boleh dinaik taraf kepada B&W dengan kos RM5,000), bumbung kaca panoramik, paparan tengah 15-inci, dua pengecas tanpa wayar dan empat USB Type-C.

    Juga menjadi kelengkapan standard ialah sistem audio premium dengan 13-pembesar suara dengan subwoofer dan dua amplifier, kerusi depan larasan kuasa, kerusi dengan pemanas, pemanas stereng dan sistem pendingin dengan penapis HEPA dan Bioweapon Defence Mode. Ruang barangan yang tersedia di but belakang ialah 854 liter dan 117 liter di ruang bonet depan.

    Lima warna disediakan untuk Tesla Model Y — Solid Black, Pearl White Multi-Coat, Midnight Silver Metallic, Deep Blue Metallic dan Red Multi-Coat. Pearl White satu-satunya warna yang sudah termasuk dalam harga jualannya, dengan pilihan warna lain melibatkan kos tambahan RM5,000; warna merah pula perlukan tambahan RM10,000.

    Tesla Model Y Long Range 2023

    Tesla Model Y Performance 2023

    Tesla Model Y Standard Range 2023

     
     
  • Nissan Skyline generasi seterusnya akan berubah kepada SUV EV, muncul pada 2025 – laporan

    Nissan Skyline generasi seterusnya akan berubah kepada SUV EV, muncul pada 2025 – laporan

    Portal dari Jepun, BestCarWeb melaporkan bahawa Nissan bakal menghasilkan Skyline generasi seterusya bukan hanya dalam versi kenderaan elektrik penuh (EV), malah ia turut akan muncul sebagai sebuah SUV.

    Laman tersebut turut menyatakan bahawa model berkenaan akan diasaskan dari SUV EV Nissan Ariya, dan bakal muncul pada tahun 2025. Untuk pasaran luar Jepun termasuk pasaran Amerika Utara, model berkenaan bakal dijual dengan logo divisi mewah Nissan iaitu Infiniti.

    Bagi Nissan Ariya, ia telahpun diperkenalkan dalam versi produksi pada Julai 2020. Versi paling berkuasa dilengkapi dengan dua buah motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 290 kW (388 hp), memacu kesemua roda dengan agihan tork yang dibuat menerusi sistem AWD e-4ORCE, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat.

    Nissan Skyline generasi seterusnya akan berubah kepada SUV EV, muncul pada 2025 – laporan

    Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama Skyline dijelmakan sebagai SUV. Untuk pengetahuan anda Skyline sudahpun ditawarkan dalam versi crossover di Jepun bermula pada model generasi ke-12 (V36), juga dikenali sebagai Infiniti EX (berubah kepada QX50 untuk generasi kedua) untuk pasaran eksport.

    BestCarWeb sendiri juga belum pasti sama ada untuk generasi selepas ini adakah Skyline akan terus ditawarkan sebagai sedan, atau hanya hadir dalam badan SUV. Seperti Toyota Crown misalnya, bagi model generasi baharu yang didedahkan pada tahun lalu bukan hanya ditawarkan dalam versi sedan seperti model-model generasi sebelum ini, malah ia turut datang dengan badan SUV dikenali sebagai Crown Crossover.

    Namun tidak mustahil versi sedan Skyline tidak lagi akan ditawarkan lagi selepas ini kerana ada laporan pada 2021 menyebut bahawa Nissan akan menghentikan pembangunan model-model sedan besar termasuk Skyline, Cima dan Fuga kerana ia semakin kurang mendapat permintaan dari pelanggan.

    Nissan Skyline generasi seterusnya akan berubah kepada SUV EV, muncul pada 2025 – laporan

    Untuk anda yang masih belum tahu, sejak dari model generasi ke-11 (V35), Skyline sudah tidak lagi ditawarkan dalam varian GT-R. Ini kerana Nissan memisahkan GT-R untuk menjadi model coupe sport sepenuhnya untuk model generasi R35.

    Bagi Skyline sedan pula, ia kini sudahpun menjangkau generasi ke-13 (V37) dan ditawarkan dalam versi paling berkuasa 400R di Jepun yang dijana oleh enjin VR30DDTT 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 405 PS dan tork maksima 400 Nm. V37 turut dijual pada pasaran eksport dengan nama Infiniti Q50.

     
     
  • Stesen Tesla Supercharger pertama di Malaysia siap di tempat parkir B1 Pavilion KL; sediakan 8 pengecas

    Stesen Tesla Supercharger pertama di Malaysia siap di tempat parkir B1 Pavilion KL; sediakan 8 pengecas

    Sebelum dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia esok, 20 Julai 2023, jenama kenderaan elektrik (EV) dari Amerika Syarikat, Tesla kini dilihat sudah bersedia dengan stesen pengecas Supercharger pertamanya dalam negara – ia dibina di pusat membeli-belah Pavilion Kuala Lumpur.

    Stesen yang terletak di tempat parkir aras B1 tersebut kini menyediakan lapan pengecas Supercharger yang nampak sudah bersedia untuk digunakan. Belum ada sebarang perincian rasmi dikeluarkan oleh Tesla Malaysia, namun stesen-stesen tersebut mungkin adalah dari versi V3 yang menawarkan pengecasan DC pantas sehingga 250 kW setiap satu.

    Ia belum lagi dibuka untuk digunakan hari ini, dan sebuah Tesla yang masih diselubung (mungkin Model Y) diletakkan di situ. Apa yang menarik, stesen pengecas berkenaan dengan jelas ditulis “hanya untuk kegunaan Tesla”, menunjukkan ia tidak boleh dikongsi dengan EV jenama lain.

    Stesen Tesla Supercharger pertama di Malaysia siap di tempat parkir B1 Pavilion KL; sediakan 8 pengecas

    Sebanyak 10 stesen pengecas Supercharger Tesla ini akan dibina untuk peringkat awal, dan stesen yang berada di Pavilion KL ini adalah salah satu daripadanya. Antara kawasan lain yang turut akan menerima stesen awalan ini adalah Lembah Klang (termasuk Petaling Jaya), Dengkil, Bukit Jalil dan dua lagi lokasi di KL. Tesla belum memperincikan secara spesifik lokasi-lokasi tersebut.

    Tesla turut merancang untuk memasang stesen Supercharger ini diluar Lembah Klang dan Selangor, antaranya di Ipoh, Perak dan Perai di Pulau Pinang bagi kawasan Utara Semenanjung Malaysia, serta dua akan dibina di Selatan iaitu di Negeri Sembilan dan Iskandar Putri, Johor.

    Lokasi-lokasi ini didedahkan apabila laman rasmi Tesla Malaysia dibuka Jumaat lalu, yang turut menyediakan konfigurator Tesla untuk anda menyemak harga kereta pilihan dan juga padanan ciri-ciri opsyen yang ditawarkan untuk pasaran tempatan.

    Buat masa sekarang Tesla Malaysia hanya menawarkan SUV EV Tesla Model Y pada konfigurator tersebut yang bakal dijual pada harga bermula RM199,000 untuk model asas Model Y RWD, diikuti RM246,000 untuk Model Y Long Range AWD dan RM288,000 untuk Model Y Performance AWD.

    Kesemua model yang telah keluar dalam konfigurator berkenaan sudahpun mula boleh ditempah. Sekali lagi diingatkan, Tesla secara rasmi akan masuk ke pasaran Malaysia esok, dan pastikan anda bersama kami laporan majlis pelancaran tersebut.

     
     
  • BYD Dolphin 2023 dikesan di M’sia sebelum dilancar

    BYD Dolphin 2023 dikesan di M’sia sebelum dilancar

    Menjelang pelancaran BYD Dolphin pada 27 Julai ini, kenderaan elektrik (EV) terbabit telah dikesan di IOI Mall Puchong. Unit contoh ini dilitupi balutan penyamaran tetapi masih boleh meneka modelnya, apatah lagi terpapar pelekat “A New Wave Is Coming” pada sisinya, yang digunakan untuk teaser oleh BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) .

    Menerusi foto spyshot ini, Dolphin spesifikasi Malaysia ini akan menawarkan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), apabila kelihatan penderia berhampiran cermin pandang belakang. Ia juga diberikan tayar Linglong Comfort Master yang membaluti roda 17-inci.

    Dolphin ini berukuran 4,150 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,700 mm. Bila bersebelahan dengan Toyota Vios generasi sebelumnya seperti dalam foto ini, kelihatan Dolphin masih tetap menyerlah walau pun EV ini adalah hatchback kerana ia lebih lebar sebanyak 40 mm.

    BYD Dolphin 2023 dikesan di M’sia sebelum dilancar

    Sebagai perbandingan di dalam segmen hatchback, Honda City Hatchback pula berukuran 4,345 mm panjang, 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,600 mm. Menjadikannya lebih panjang berbanding Dolphin.

    Terdapat perkhabaran menyatakan bahawa Dolphin bakal ditawarkan dengan harga di bawah RM100,000 dan sekaligus menjadikannya sebagai EV paling murah di pasaran Malaysia. Sebelum ini, pesaingnya, Neta V yang ditawarkan pada harga RM99,800 menjadi EV termurah dalam pasaran. Dolphin telah pun dijual di Thailand dengan harga bermula 699,999 (RM92,975) untuk varian Standard Range, sementara model spesifikasi penuh Extended Range berharga 859,999 baht (RM114,205).

    Di Thailand, Standard Range menampilkan sebuah motor elektrik di depan yang membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork: pecutan 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.92 kWh — memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 12.3 saat.

    Sementara itu, Extended Range yang menerima dwi-warna badan serta kapasiti bateri yang lebih besar, 60.48 kWh. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km, dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm: 0-100 km/j dalam tujuh saat. Untuk pengecasan AC, ia dalam kadar yang sama dengan varian rendah, tetapi untuk DC kadarnya mampu menampung sehingga 80 kW — sokongan V2L adalah standard.

    Untuk pasaran Malaysia, belum disahkan penawaran bagi varian Dolphin, kena nantikan pada hari pelancarannya. Jika berminat untuk menyertai sesi pandu uji BYD Dolphin ini, sila daftarkan butiran diri anda menerusi PAUTAN INI.

    GALERI: BYD Dolphin yang dipertontonkan di Bangkok Internation Motor Show 2023

     
     
  • Penggunaan telefon bimbit dengan alat hands-free, pemegang khas dibolehkan ketika di jalan raya

    Penggunaan telefon bimbit dengan alat <em>hands-free</em>, pemegang khas dibolehkan ketika di jalan raya

    Pengguna jalan raya yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu dengan alat hands-free atau pemegang telefon ketika mengendalikan skrin sentuh telefon pintar untuk membuat atau menerima panggilan adalah dibolehkan dan tidak melanggar sebarang peraturan, lapor The Star.

    Laporan berkenaan memetik Aturan 17A Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 menjelaskan adalah menjadi kesalahan untuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu kenderaan melainkan dengan penggunaan alat hands-free atau pemegang telefon, yang mana dalam keadaan itu dibolehkan untuk meleret skrin sentuh telefon yang dipasangkan kepada pemegang.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Komisioner Datuk Seri Mat Kasim Karim, peraturan berkenaan sangat jelas dan pengguna jalan raya dan pemandu tidak boleh memegang telefon sama ada ketika kenderaan bergerak ataupun sedang berhenti di lampu isyarat atau ketika jalan sesak.

    “Menggunakan telefon bimbit tanpa pemegang khasnya ketika dalam pemanduan bermaksud pemandu mengalihkan perhatiannya daripada jalan raya. Ini akan menyebabkan bahaya dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain ketika mereka ingin menyambung pemanduan, misalnya,” ujarnya.

    Penggunaan telefon bimbit dengan alat <em>hands-free</em>, pemegang khas dibolehkan ketika di jalan raya

    Dalam keadaan ingin mengambil telefon yang terjatuh di lantai kenderaan ketika memandu juga akan menyebabkan pemandu hilang kawalan, katanya. Tanpa alat hands-free atau pemegang, pemandu hanya boleh menggunakan telefon ketika berhenti di tempat parkir — berhenti di laluan kecemasan tanpa sebab yang sahih juga adalah satu kesalahan.

    Tentang penggunaan jam pintar ketika memandu pula, beliau memaklumkan tindakan itu dibolehkan memandangkan itu dikelaskan sebagai alat hands-free.

    Pada 2020, polis mengumumkan penggunaan telefon bimbit tanpa bantuan pemegang atau alat hands-free ketika memandu bukan lagi kesalahan boleh dikompaun, sebaliknya pelaku boleh disaman dan dibawa ke mahkamah, dengan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan. Kesalahan berulang pula boleh digandakan denda tersebut.

     
     
  • Mercedes-Benz, Volvo guna penyambung pengecas NACS, boleh akses jaringan Supercharger Tesla

    Mercedes-Benz, Volvo guna penyambung pengecas NACS, boleh akses jaringan Supercharger Tesla

    Mercedes-Benz dan Volvo telah bersetuju untuk menggunakan penyambung pengecas EV dengan Standard Pengecas Amerika Utara (NACS) yang sama dengan Tesla, membolehkan kerete elektrik dari kedua-dua jenama itu menggunakan jaringan Supercharger Tesla.

    Bermula 2025, model-model EV pasaran Amerika Utara (Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico) kedua-dua jenama itu akan dilengkapi dengan port pengecas NACS tersebut. Sebelum tarikh berkenaan, Mercedes-Benz dan Volvo akan menawarkan penyambung penyesuai (adapter) untuk port CCS yang boleh digunakan pada pengecas yang menggunakan penyambung NACS.

    Pada Jun tahun ini, organisasi standard automotif dunia iaitu SAE International mengumumkan bahawa ia akan menstandardkan penyambung NACS (SAE J3400) bagi memastikan semua pembekal dan pengeluar boleh menggunakan, mengilangkan atau memasang atur penyambung pengecas pada EV dan stesen pengecas di seluruh Amerika Utara.

    Mercedes-Benz, Volvo guna penyambung pengecas NACS, boleh akses jaringan Supercharger Tesla

    Sebelum Volvo dan Mercedes-Benz, General Motors, Rivian dan beberapa EV dari jenama lain sudahpun turut menggunakan penyambung NACS berkenaan.

    Penyambung NACS ini sebelum ini dikenali sebagai penyambung pengecas Tesla, dan ia telah digunakan oleh jenama EV Amerika Syarikat itu sejak 2012. Nama NACS ini diumumkan oleh SAE dan dalam masa yang sama Tesla turut sudah membenarkan jenama lain menggunakan standard yang serupa serta mendakwa bahawa rekaannya adalah lebih kompak.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Tesla, NACS merupakan standard pengecas paling mudah dijumpai di Amerika Utara, dengan nisbah NACS kepada CCS adalah 2:1.

    Dengan menggunakan hanya satu standard akan memudahkan implementasi serta menambah lebih banyak stesen pengecas, selari dengan apa yang syarikat pengeluar kereta mahu tawarkan kepada pelanggan. Ia ditambah dengan liputan luas yang sudahpun disediakan oleh jaringan Supercharger Tesla yang sudah pun tersedia di rantau tersebut.

     
     
  • DRB-Hicom dan Geely bekerjasama tarik pelaburan ke dalam AHTV — sasar RM32 bilion nilai pelaburan

    DRB-Hicom dan Geely bekerjasama tarik pelaburan ke dalam AHTV — sasar RM32 bilion nilai pelaburan

    Melalui persidangan Global Investors & Vendors Convention 2023 anjuran Proton, DRB-Hicom dan Zhejiang Geely Holding (Geely) berganding bahu untuk menarik pelaburan terhadap Automotive High Tech Valley (AHTV), sebagai perkembangan susulan daripada MoU yang dimeterai pada April tahun lalu.

    AHTV disasarkan untuk menjadi hab bagi pengeluaran Next Generation Vehicles (NxGV) seperti yang digariskan di bawah Dasar Automotif Nasional 2020.

    Persidangan yang diadakan di Kuala Lumpur itu melibatkan lebih dariada 200 peserta yang terdiri daripada pegawai agensi kerajaan, serta pihak pengurusan DRB-Hicom, Geely dan Proton serta vendor tempatan dan 42 pembekal automotif dari China. Majlis turut dihadiri oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

    Persidangan berkenaan juga tidak hanya bertindak sebagai platform untuk mempertemukan vendor dan pembekal tempatan dan antarabangsa, tetapi juga bertujuan untuk memperlihatkan perkembangan yang sedang berlaku di AHTV yang bertempat di Tanjung Malim. Interaksi juga berlangsung untuk menjelaskan insentif yang diberikan oleh kerajaan serta kelebihan bagi syarikat yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan di sana.

    Matlamatnya adalah untuk menjadikan AHTV sebagai pusat kajian dan pembangunan bagi komponen automotif teknologi yang diiktiraf di peringkat global, yang termasuk di dalamnya kajian universiti yang disasarkan untuk memperluas kemampuan pekerja automotif Malaysia dan membantu negara menjadi pelopor dalam pendidikan kejuruteraan automotif, teknologi maklumat, kepintaran buatan dan pembangunan perisian.

    Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom yang juga Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar, persidangan berkenaan adalah satu daripada usaha untuk menarik pelaburan asing ke dalam negara malalui AHTV, dengan sasaran pelaburan berjumlah RM32 bilion untuk projek berkenaan.

    “Usaha bersama serta minat mendalam yang ditunjukkan oleh vendor dari China akan membantu menarik sokongan terhadap projek berkenaan daripada kerajaan China, yang berupaya membawa kepada lebih banyak pelaburan ke dalam AHTV dan Malaysia,” ujarnya.

    “Usaha sama Geely dengan Proton dan sokongan kedua-duanya terhadap projek ini telah menampakkan hasil melalui beberapa pelabur dan pembekal komponen beroperasi di Tanjung Malim, dan ekosistem teknologi tinggi mereka pastinya akan memainkan peranan penting dalam memajukan lagi projek berkenaan ke hadpaan,” tambah beliau.

     
     
  • China eksport 2.14 juta kenderaan pada separa pertama 2023 – naik 74.7%, eksport NEV naik 160%

    China eksport 2.14 juta kenderaan pada separa pertama 2023 – naik 74.7%, eksport NEV naik 160%

    Data dari Persatuan Pengeluar Automobil China mendedahkan bahawa negara berkenaan telah mengeksport sejumlah 2.14 juta kenderaan untuk separa pertama 2023. Berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah tersebut dilihat telah naik sebanyak 75.7%.

    Dari jumlah keseluruhan tersebut, kenderaan tenaga baharu (NEV) atau kenderaan elektrik (EV) dilihat bertumbuh dengan begitu pesat, naik 160% atau 534,000 unit. Manakala majoriti kenderaan yang dieksport pula adalah dari kategori kenderaan penumpang dengan jumlah 1.78 juta unit, atau 88.4% lebih banyak berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Menurut laporan CarNewsChina, China dijangka akan mengeksport lebih dari empat juta kenderaan menjelang akhir tahun ini. Pada suku pertama 2023, China sudahpun memintas Jepun sebagai pengeksport kereta terbanyak di dunia.

    Tahun lalu jumlah eksport kenderaan China sudah pun melebihi 3 juta unit setahun, manakala setahun sebelum itu jumlah eksport kenderaan tahunan negara berkenaan buat pertama kalinya melebihi dua juta unit selepas sekian lama hanya berlegar sekitar satu juta unit.

    Tujuh syarikat automotif China berjaya mengeksort lebih dari 100,000 unit kenderaan untuk enam bulan pertama tahun ini, iaitu SAIC, Chery, Tesla, Changan, Great Wall Motor (GWM), Geely dan Dongfeng. Antara jenama yang menyerlah adalah Chery dengan peningkatan eksport mencecah 394,000 unit atau naik 170% berbanding tahun lalu, dan juga GWM dengan jumlah eksport 124,000 kenderaan atau naik 97.3% berbanding tempoh sama 2022.

    Manakala BYD pula menunjukkan peningkatan eksport yang sangat tinggi untuk enam bulan pertama 2023, meningkat sebanyak 1,060% berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jumlah eksport mencapai 81,000 unit.

    China eksport 2.14 juta kenderaan pada separa pertama 2023 – naik 74.7%, eksport NEV naik 160%

    Manakala Tesla yang mengilangkan kenderaannya di kilang Giga Shanghai telah mengeksport sebanyak 182,000 kenderaan, seterusnya menjadi jenama ketiga terbesar yang mengeksport kenderaan di China, atau mewakili satu pertiga jumlah kenderaan tenaga baharu yang dieksport di negara berkenaan.

    Antara pasaran-pasaran utama yang menerima kenderaan-kenderaan yang dieksport dari China ini termasuk Asia, Eropah dan Amerika Latin. Manakala tiga negara utama yang menerima kenderaan penumpang dari China adalah Rusia, Mexico dan Belgium. Untuk kenderaan tenaga baharu pula, tiga negara utama yang mengimport model-model dari China adalah Belgium, United Kingdom dan Thailand.

     
     
  • Mercedes-AMG GLC43, GLC63 2024 diperkenal – enjin V6, V8 diganti dengan 2.0L hibrid, kuasa hingga 680 PS

    Mercedes-AMG GLC43, GLC63 2024 diperkenal – enjin V6, V8 diganti dengan 2.0L hibrid, kuasa hingga 680 PS

    Selepas Mercedes-Benz GLC generasi kedua diperkenalkan dengan varian-varian “biasa” Jun tahun lalu, kini pengeluar dari Jerman itu memperkenalkan pula dua versi prestasi yang dipacu oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo.

    Versi pertama adalah Mercedes-AMG GLC43 4Matic yang mengikuti pakej seperti C43 4Matic. Dengan itu, enjin V6 3.0 liter twin turbo sebelum ini telah diganti dengan unit M139l berkuasa 421 PS (418 hp atau 310 kW) pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm pada 5,000 rpm.

    Enjin ini dibantu oleh sistem hibrid ringkas 48 volt, yang termasuk dengan starter generator BSG yang boleh menyediakan tambahan 14 PS dan 150 Nm. Sama seperti C43 4Matic, motor elektrik nipis disepadukan terus dengan pengecas turbo.

    Untuk kuasa yang lebih lagi, muncullah varian GLC63S E Performance, yang menyediakan 680 PS (671 hp atau 500 kW) dan tork 1,020 Nm melalui enjin plug-in hybrid. Menggunakan pakej penggerak sama seperti C63S E Performance, enjin M139l pada versi ini mendapat pengecas turbo lebih besar serta motor elektrik di dalamnya, bersama sistem 400 volt.

    Enjin 2.0 liter itu sendiri cuma boleh menghasilkan 476 PS (469 hp atau 350 kW) pada 6,750 rpm dan tork 545 Nm dari 5,250 hingga 5,500 rpm, tetapi ia dibantu oleh unit penggerak elektrik (EDU) yang dipanggil sebagai hibrid P3.

    EDU ini terdiri daripada motor elektrik yang terletak pada gandar belakang, dengan kuasa 204 PS dan 320 Nm, bersepadu dengan kotak gear dua kelajuannya sendiri serta differential belakang kawalan elektronik. Sistem PHEV pada model ini juga mendapat bateri prestasi tinggi berkapasiti 6.1 kWh yang boleh memberikan jarak gerak elektrik sehingga 12 km.

    Mercedes-AMG GLC43, GLC63 2024 diperkenal – enjin V6, V8 diganti dengan 2.0L hibrid, kuasa hingga 680 PS

    Kedua-dua model AMG ini mendapat transmisi automatik AMG Speedshift MCT 9G dan pacuan semua roda AMG Performance 4Matic secara standard. Pembahagian tork antara roda hadapan dan belakang GLC43 adalah 39:61, sementara GLC63S mendapat sistem boleh ubah sepenuhnya.

    Melihat kepada prestasi, GLC43 mampu membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat dan mencatat kelajuan maksimum 250 km/j, sementara GLC63S pula mencatat 3.5 saat dan 275 km/j. Jika dibandingkan dengan enjin V6 dan V8 sebelum yang digunakan pada model sebelum facelift, enjin baru ini adalah lebih laju antara 0.1 hingga 0.3 saat.

    Memadankan kereta dengan prestasi yang lebih tinggi ini, suspensi AMG Ride Control dengan penyerap adaptif diberikan secara standard, dan GLC63S mendapat tambahan Active Roll Stabilisation. Turut disediakan adalah sistem brek sport AMG, ekzos AMG serta AMG Dynamic Select.

    Anda boleh mengenali model AMG ini dengan melihat gril Panamericana, bampar yang lebih agresif dengan bukaan udara lebih besar, diffuser di belakang serta pelbagai lagi panel aerodinamik lain. Dua muncung ekzos di belakang menggunakan bentuk bulat bagi GLC43 dan berpetak pada GLC63S.

    Bahagian dalam juga mendapat pelbagai barangan AMG Performance termasuk roda stereng, tempat duduk dan kemasannya. Mercedes-Benz User Experience (MBUX) datang terus pada model ini, siap dengan paparan AMG dan penyimpan data AMG Track Pace.

    Semasa pelancaran, GLC63S ditawarkan dalam versi Edition 1, yang datang dengan sentuhan khas seperti warna Charcoal Magno, rim AMG 21 inci, angkup brek warna kuning, AMG Aerodynamics Package, AMG Exterior Night Package I dan II, tempat duduk khas serta pelbagai kemasan lain.

    GALERI: Mercedes-AMG GLC43 4Matic 2024

    GALERI: Mercedes-AMG GLC63S 4Matic 2024

     
     
  • Lynk & Co 06 EM-P facelift – kembar Proton X50 dinaik taraf dengan enjin PHEV, jarak gerak elektrik 102 km

    Lynk & Co 06 EM-P facelift – kembar Proton X50 dinaik taraf dengan enjin PHEV, jarak gerak elektrik 102 km

    Merujuk kepada satu berita oleh Car News China, Lynk & Co 06 EM-P telah dilihat terpapar dalam laman web kementerian teknologi industri dan informasi (MIIT) China sewaktu proses homologasinya. Model crossover segmen B ini menggunakan platform sama seperti Proton X50, iaitu B-Segment Modular Architecture (BMA), tetapi dipacu oleh penggerak plug-in hybrid yang mampu memberikan jarak gerak elektrik sejauh 102 km.

    Di dalam laporan MIIT China itu, 0 EM-P dinyatakan mencatat ukuran panjang 4,350 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak roda 2,640 mm, sekaligus menjadikannya 10 mm lebih panjang berbanding 06 sebelum facelift. Gambar daripada MIIT juga melihatkan 10 rekaan rim untuk crossover ini, dengan saiz tayar sama ada 215/55R18 atau 225/45R19.

    Model 06 EM-P ini diterapkan dengan konsep rekaan terbaru Lynk & Co, yang termasuk lampu DRL panjang ke atas bonet, manakala lampu utama pula seakan bergabung dengan gril. Bampar pula mempunyai bukaan udara yang besar di setiap sisi, sementara lampu belakang bersambung dari kiri ke kanan.

    Menurut Car News China lagi, Lynk & Co 06 EM-P dipacu oleh enjin 1.5 liter NA 120 PS, yang digabungkan dengan motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 218 PS. Bateri sistem ini dibuat oleh SVOLT dan mempunyai kapasiti 19.1 kWh.

    Sebelum facelift, Lynk & Co 06 digerakkan oleh enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo dengan kuasa 174 PS dan tork 265 Nm, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Ini adalah pakej penggerak yang sama seperti Proton X50 Flagship, tetapi kurang 3 PS dan 10 Nm.

     
     
  • Honda City facelift 2023 dibuka untuk tempahan – Low Speed Follow, LCDN ditambah dalam Honda Sensing

    Honda City facelift 2023 dibuka untuk tempahan – Low Speed Follow, LCDN ditambah dalam Honda Sensing

    Honda Malaysia mengumumkan bahawa tempahan bagi Honda City facelift 2023 telah pun dibuka, dan ia dijangka bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini. Sedan segmen-B yang dipertingkatkan ini telah pun dilancarkan di India serta Thailand pada awal bulan ini.

    Buat masa ini, kita ditunjukkan dengan varian e:HEV RS, dan Honda menyatakan bahawa model facelift ini lebih panjang berbanding sebelumnya iaitu mencecah 4,589 mm (+36 mm), dan masih mengekalkan ukuran yang sama bagi lebar (1,748 mm), tinggi (1,467 mm) dan jarak roda (2,600 mm).

    Jika melihat City baharu yang dilancarkan di negara jiran, ada perubahan pada rekannya termasuk menerima bampar hadapan yang baharu dengan menampilkan lampu kabus yang disemak semula serta kemasan tambahan (untuk simulasi kemasukan udara) pada sisi jejaring honeycomb. Rim aloi 16-inci masih dikekalkan tetapi diberikan rekaan yang baharu.

    Honda City facelift 2023 dibuka untuk tempahan – Low Speed Follow, LCDN ditambah dalam Honda Sensing
    Sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) rekaan Honda masih dikekalkan, dengan roda hadapan dipacukan oleh motor elektrik berkadar 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm. Kuasa elektrik disalurkan dari bateri lithium-ion yang dicas menerusi motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder.

    Penjana kuasa ini menghamburkan kuasa 98 PS (97 hp atau 72 kW) dan tork 127 Nm dengan padanan transmisi kelajuan-tunggal (E-CVT) yang menyalurkan pacuan ke roda pada kelajuan tertinggi di mana ia lebih efisien.

    Sebagai tambahan kepada penjana kuasa hibrid, City ini juga terus menggunakan unit 1.5 liter NA empat-silinder DOHC i-VTEC dengan 121 PS (119 hp atau 89 kW) dan 145 Nm. Ia dipadankan secara eksklusif dengan CVT dan diberikan untuk varian bukan-hibrid.

    Honda City facelift 2023 dibuka untuk tempahan – Low Speed Follow, LCDN ditambah dalam Honda Sensing
    Buat setakat ini, Honda Malaysia masih belum mendedahkan perincian penuh kelengkapan bagi setiap varian, namun mengesahkan ia diberikan kelengkapan Honda Sensing untuk sistem bantuan pemandu yang ditambahbaik. Di mana City facelift terkini bakal diberikan Low Speed Follow (LSF) dan Lead Car Departure Notification (LCDN), yang bekerjasama dengan Kawalan Kelajuan Adaptif sedia ada.

    Lain-lain ciri yang masih diberikan termasuklah Forward Collision Warning (FCW), Collision Mitigation Braking System (CMBS atau brek kecemasan sendiri), Lane Keep Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM), Lane Departure Warning (LDW) dan Auto High Beam (AHB).

    Kini anda boleh menempah City baharu menerusi wakil pengedar rasmi atau menerusi perkhidmatan pra-tempahan kereta secara dalam talian yang boleh diakses melalui aplikasi HondaTouch. Honda Malaysia turut berkata, sejak City generasi kelima dilancarkan pada Oktober 2020, sebanyak 68,600 unit telah terjual, Bagi separuh pertama 2023, sebanyak 10,000 unit sedan segmen-B ini telah dihantar kepada para pelanggan.

    GALERI: Honda City facelift 2023 (pasaran Thailand)

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025