Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sam Ke Ting dibebaskan dari tuduhan sebabkan kematian 8 remaja basikal lajak di Johor Bahru

    Sam Ke Ting dibebaskan dari tuduhan sebabkan kematian 8 remaja basikal lajak di Johor Bahru

    Sam Ke Ting, individu yang dituduh menyebabkan kematian lapan orang remaja terlibat dalam aktiviti menunggang basikal lajak di Johor Bahru kira-kira enam tahun lalu telah bebas dari tuduhan berkenaan di Mahkamah Rayuan hari ini, lapor Berita Harian.

    Kerani wanita yang berumur 27 tahun berkenaan dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini atas atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berkenaan pada 2017.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, membuat keputusan secara sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting.

    Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan Ke Ting dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan dilakukannya pada 2017.

    Hakim, Datuk Abu Bakar Katar, turut memerintahkan Ke Ting menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.

    Ia sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.

    Abu Bakar dalam penghakimannya, berkata mahkamah bicara sebelum ini terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara tidak bersumpah dan hanya bersifat penafian semata-mata.

    Berdasarkan pertuduhan, Sam Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.

    Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin,16.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, selain lesen memandu digantung jika sabit kesalahan.

     
     
  • Proton X90 kini dibuka untuk tempahan di pusat 3S/4S

    Proton X90 kini dibuka untuk tempahan di pusat 3S/4S

    Proton telah mengumumkan tempahan bagi SUV tiga barisan tempat duduk baharu X90 kini telah pun dibuka di mana-mana cawangan pusat 3S/4S Proton sahaja. Walau bagaimana pun, Proton masih belum mendedahkan tarikh sebenar pelancaran X90 ini, namun difahamkan, ia akan diadakan sekali dengan sambutan ulangtahun ke-40 syarikat pengeluar kereta ini dalam masa terdekat.

    Buat masa ini, Proton juga masih belum mendedahkan sebarang perincian berkenaan harga untuk X90 ini. Namun dengan saiz dan juga perincian yang dilihat lebih maju dari X50 dan X70, kami menjangkakan X90 mungkin dijual pada harga RM130k hingga RM150k.

    Proton X90 ini akan ditawarkan dalam empat varian bermula 1.5 TGDi BSG Standard, BSG Executive, BSG Premium and BSG Flagship. Model Standard hingga Premium menampilkan konfigurasi tujuh-tempat duduk, manakala varian Premiun diberikan konfigurasi enam-tempat duduk yang lebih mewah di mana bahagian baris tengahnya diberikan sepasang tempat duduk kapten dengan perehat kepala pilot.

    Proton X90 kini dibuka untuk tempahan di pusat 3S/4S

    Seperti yang kami laporkan sebelum ini, X90 diasaskan dari Geely Haoyue untuk China, dan untuk Malaysia, ia diberikan unit rangkaian kuasa hibrid ringkas 48-volt (MHEV) yang sama seperti versi pasaran Filipina iaitu Geely Okavango.

    Sistem berkenaan menggabungkan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (sama dengan enjin X50 dan X70, kini turut telah dipasang oleh Proton di Tanjong Malim) dan unit stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG) bagi menghasilkan kuasa maksima 190 PS bersama tork maksima 300 Nm.

    Manakala dimensinya sama dengan Houyue dan Okavango yang berukuran panjang 4,835 mm dan lebar 1,900 mm serta jarak roda sejauh 2,815 mm. Jika dibandingkan dengan X70, X90 adalah 316 mm lebih panjang, 69 mm lebih lebar dan jarak roda 145 mm lebih jauh.

    Proton X90 kini dibuka untuk tempahan di pusat 3S/4S

    Untuk bahagian hadapannya, X90 ini menampilkan rekaan gril “diamond” atau krom pin yang lebih ringkas seperti rekaan gril Mercedes-Benz, bersama bingkai elemen busur panah yang masih lagi dikekalkan. Tiada lagi rekaan gril Infinite Weave seperti pada X70 dan X50 pada X90 ini.

    Rekaan lampu utamanya juga berbeza di mana kedudukan bahagian lampu isyarat sequential berada dalam jalur yang paling bawah dalam unit berkenaan, dengan empat petak lampu LED di atasnya. Haoyue dan Okavango menampilkan lampu utama matriks dengan kedudukan jalur berkenaan di tengah dan diapit oleh masing-masing tiga dan satu unit LED di atas dan bawahnya.

    Bagi bahagian kabinnya, ia diberikan papan pemuka yang seiras dengan Haoyue dan Geely Okavango tetapi dalam versi pemandu sebelah kanan. Ia menampilkan skrin infotaimen berdiri sendiri bersaiz 12.3-inci dengan pemproses EO2 pada bahagian tengah, paparan instrumen digital dengan skrin 10-inci, serta liang pendingin hawa empat segi dihubungkan dengan panel kemasan yang merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut.

    Konsol terowong juga dilihat sama, hadir dengan tombol gear segi empat yang kelihatan seiras dengan Geely Haoyue versi kemaskini untuk tahun 2020. Turut dapat dilihat butang pilihan mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), brek parkir elektronik bersama fungsi auto hold, serta butang-butang untuk sistem bantuan turun bukit dan penderia parkir hadapan pada konsol terowong tersebut.

    Proton X90 kini dibuka untuk tempahan di pusat 3S/4S

    Model terbaharu Proton ini juga menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) berdasar kamera yang terletak di bahagian atas cermin hadapan serta set penderia yang berada di bahagian bawah gril hadapan bagi memberikan fungsi sistem brek kecemasan automatik dan sebagainya.

    Antara perincian ADAS lain yang sah disertakan adalah termasuk Amaran Lintasan Trafik Belakang, Amaran Pelanggaran Belakang serta Informasi Tanda Trafik yang boleh membaca tanda-tanda trafik di jalan raya – Proton menyatakan bahawa X90 merupakan model pertamanya yang diberikan perincian tersebut.

    Enam warna badan ditawarkan untuk X90 ini di mana lima daripadanya iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Cinnamon Brown dan Ruby Red adalah sama dengan model-model Proton yang lain, manakala warna Marine Blue adalah pilihan baharu dan ia hanya untuk varian Premium dan Flagship.

    Proton turut memaklumkan telah memulakan siri jelajah ke enam buah bandar sejak 8 April lalu dan ia berdasarkan jemputan sahaja. Mana-mana orang awam yang berminat, bolehlah menghubungi cawangan pusat 3S/4S. Setakat ini tinggal empat tarikh yang masih berbaki untuk pra tonton khas X90 iaitu pada 15-16 April untuk Johor dan Pahang serta 29-30 April bagi Sabah dan Sarawak.

    Lebih perincian berkenaan Proton X90 ini boleh anda baca menerusi PAUTAN INI.

     
     
  • Volkswagen Arteon R-Line, Tiguan Allspace R-Line/ Elegance – ditambah penyelenggaran percuma 2-tahun

    Volkswagen Arteon R-Line, Tiguan Allspace R-Line/ Elegance – ditambah penyelenggaran percuma 2-tahun

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan Arteon R-Line, varian Tiguan Allspace R-Line dan Elegance kini didatangkan dengan tambahan penyelenggaran percuma selama dua tahun, di mana syarikat berkenaan berkata ia menawarkan penjimatan sehingga RM9,000 untuk para pelanggannya.

    Sekaligus memberikan Arteon R-Lie dan dua varian Tiguan Allspace kini diberikan penyelenggaran percuma lima tahun (atau 75,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu) di samping waranti pengilang lima-tahun dan bantuan tepi jalan sedia ada.

    Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion facelift, diperkenalkan di pasaran Malaysia pada Julai 2021, dijanakan oleh unit EA888 2.0 liter pengecas turbo yang menawarkan 280 PS dan 350 Nm. Pacuannya disalurkan ke semua roda menerusi transmisi DSG klac basah tujuh-kelajuan. Harga semasanya ialah RM276,990 (tanpa cukai jalan, yuran pendaftaran dan insurans).

    Bagi Tiguan Allspace tujuh-tempat duduk, varian R-Line 4Motion menawarkan enjin 2.0 liter pengecas turbo dengan kuasa 220 PS dan 350 Nm, manakala versi Elegance pula dilengkapi dengan enjin 1.4 liter pengecas turbo yang menghamburkan kuasa sebanyak 150 PS dan 250 Nm. Masing-masing ditawarkan pada harga RM235,990 dan RM188,990 (tanpa cukai jalan, yuran pendaftaran dan insurans).

     
     
  • Perodua jual 32,179 unit pada Mac 2023 – Q1 naik 27.5% dengan 78,564 unit; produksi terkini 84,800 unit

    Perodua jual 32,179 unit pada Mac 2023 – Q1 naik 27.5% dengan 78,564 unit; produksi terkini 84,800 unit

    Perodua mengumumkan telah menghantar sejumlah 32,179 unit kenderaan pada Mac 2023, meningkat 29% berbanding 24,936 unit terjual pada Februari tahun ini. Ia juga naik 20.2% berbanding yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu dengan 26,759 unit.

    “Pencapaian ini disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah menerusi usaha kami untuk memenuhi tempahan PENJANA sebelum 31 Mac 2023, selain penambahbaikan pengeluaran di seluruh ekosistem pembekal dan penyelarasan yang lebih baik dalam rangkaian jualan kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Bagi aspek jualan, pendaftaran meningkat sebanyak 27.5% kepada 78,564 unit dalam tempoh tiga bulan pertama 2023 berbanding 61,624 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu. “Di sebalik pencapaian berkenaan, terdapat sejumlah kecil tempahan PENJANA yang tidak dapat kami penuhi dan kepada pelanggan yang terlibat, kami akan meneruskan jumlah pengecualian jualan sebagaimana yang dijanjikan di bawah inisiatif terbabit. Kami juga memohon maaf di atas tempoh menunggu yang lama,” tambah Zainal.

    Untuk aspek produksi, bulan lalu menyaksikan pengeluaran Perodua mencecah 33,666 unit, sekaligus rekod asas tahunan telah mencapai peningkatan sebanyak 33.9% kepada 84,800 unit berbanding 63,325 unit yang dikeluarkan pada suku yang sama tahun 2022.

    Perodua jual 32,179 unit pada Mac 2023 – Q1 naik 27.5% dengan 78,564 unit; produksi terkini 84,800 unit

    Mengulas lanjut, Zainal berkata prestasi Perodua dijangka terus meningkat di masa hadapan memandangkan jumlah tempahan bagi model keluarannya terus kukuh. Katanya, pertumbuhan pengeluaran yang berterusan berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk beberapa model tertentu.

    “Malah, bagi sesetengah model kami, tempoh menunggu telah berkurangan dengan signifikan, hanya beberapa model seperti Bezza, Axia dan Alza yang mempunyai tempoh menunggu yang lebih panjang, bergantung kepada pilihan varian dan warna,” katanya.

    Bagi aspek pengeluaran pula, beliau berkata penurunan harga bahan mentah di peringkat global baru-baru ini telah memberikan kelegaan kepada pembekal, Perodua serta kebanyakan pemain industri automotif. “Situasi ini memberi kelebihan yang mana kami boleh memanfaatkannya dengan menyiapkan stok kenderaan lebih cepat dan dalam masa yang sama mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami,” kata Zainal.

    Pada hujung Januari lalu, Perodua mengumumkan sasaran pengeluarannya sebanyak 330,000 kereta dan sasaran jualan sebanyak 314,000 kereta pada tahun 2023.

     
     
  • Polis tangkap pemandu bas ekspres yang dikesan memandu secara merbahaya dalam video tular

    Polis tangkap pemandu bas ekspres yang dikesan memandu secara merbahaya dalam video tular

    Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daearah (BSPTD) Batu Pahat mengumumkan bahawa pihaknya telah menahan seorang pemandu bas ekspres susulan satu video yang tular di media sosial.

    Menerusi video berdurasi 14 saat yang dimuat naik di Facebook Page Dashcam Owner Malaysia berkenaan, bas dengan nombor pendaftaran JQF 3886 dilihat memotong di kawasan garis berkembar, seterusnya dipandu melawan arus dengan masuk ke laluan bertentangan yang mempunyai pembahagi jalan di tengah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Bin Dollah dalam kenyataan yang dikeluarkan, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada 8 April lalu pada pukul 10 pagi di Jalan Yong Peng – Chaah (berhampiran LamLee). Ismail menyatakan bahawa perbuatan berkenaan bukan hanya membahayakan diri sendiri dan penumpang bas, malah pengguna jalan raya yang lain.

    Polis tangkap pemandu bas ekspres yang dikesan memandu secara merbahaya dalam video tular

    Hasil siasatan pihak polis, pemandu bas berusia 59 tahun tersebut telah berjaya dikesan. Pemandu berkenaan telah hadir ke BSPTD Batu Pahat pada 9 April jam 9.50 pagi, dan kemudian mengakui melakukan kesalahan tersebut semasa perjalanan dari Terminal Bas Larkin ke Terminal Bas Segamat bersama seorang penumpang. Dia kemudiannya telah ditahan bersama bas yang dipandunya bagi membantu siasatan.

    Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu secara merbahaya dan juga di bawah kaedah-kaedah lalulintas 012(03) – LN167/S9 kerana kesalahan memotong di garisan berkembar. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh akan berhadapan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

     
     
  • MAA lantik Mohd Shamsor Mohd Zain dari UMWT sebagai Presiden baharu untuk penggal 2023/2024

    MAA lantik Mohd Shamsor Mohd Zain dari UMWT sebagai Presiden baharu untuk penggal 2023/2024

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah melantik Mohd Shamsor Mohd Zain dari UMW Toyota Motor sebagai Presiden baharu bagi penggal 2023/2024. Beliau mengambil alih jawatan yang ditinggalkan oleh Allahyarhamah Datuk Aishah Ahmad yang meninggal dunia pada Februari lalu.

    Beliau berkata MAA akan terus mengekalkan hubungan kerja yang kukuh dengan pihak berkepentingan utama seperti kementerian dan agensi kerajaan serta media. “Bersama-sama dengan semua ahli MAA, kami akan mengembangkan persatuan ini sehingga kukuh, untuk kebaikan industri, masyarakat dan negara kita. Saya mengharapkan sokongan padu berterusan daripada semua ahli MAA untuk kami terus menyumbang kepada pembangunan yang mantap bagi industri automotif negara,” katanya.

    Persatuan tersebut juga turut mengumumkan dua bekas Naib Presiden MAA, Tan Keng Meng dari Tan Chong & Sons Motor Co Sdn Bhd dan Sarly Adle Sarkum dari Honda Malaysia kembali kepada jawatan masing-masing. Selaain itu, Low Yuan Lung dari Sime Darby Hyundai Sdn Bhd turut dilantik sebagai Naib Presiden.

    Sementara itu, Arman Mahadi dari Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd turut dilantik semula sebagai Setiausaha/Bendahari Kehormat. Manakala lima ahli majlis yang dilantik semula ialah Derrick Sim (Hap Seng Trucks Distribution Sdn Bhd), David Nah (Isuzu Malaysia), Datuk Samson Anand George (Kia Malaysia), Hoffen Teh (Mitsubishi Motors Malaysia) dan Say Teck Ming (Tan Chong Industrial Equipment). Manakala Syed Muzri Syed Faiz dari Jaguar Land Rover Malaysia telah dilantik sebagai ahli majlis baharu.

     
     
  • Higer Ace E1 – van elektrik dari China dilancar di Malaysia; bermula RM269k, jarak gerak 300 km

    Higer Ace E1 – van elektrik dari China dilancar di Malaysia; bermula RM269k, jarak gerak 300 km

    GVT Sdn Bhd (Syarikat kumpulan Go Auto) iaitu pengedar jenama kenderaan komersil China, Higer di Malaysia secara rasmi telah memperkenalkan van elektrik komersil Higer Ace E1 ke pasaran tempatan. Ia ditawarkan dalam versi badan dengan panjang 5.4-meter, pilihan van penumpang atau van kargo, serta bateri berkapasiti 70 kWj.

    Harga untuk setiap varian tidak dinyatakan dengan jelas, namun menurut Go Auto, Higer Ace E1 dijual di Malaysia pada harga bermula RM268,888. Setiap pembelian van ini juga datang sekali dengan pengecas mudah alih berkapasiti 7kW secara percuma.

    Setiap pembelian van Higer Ace E1 ini akan dilindungi waranti pengeluar selama lima-tahun atau 150,000 km, bersama waranti bateri juga selama lima-tahun atau 200,000 km.

    Higer Ace E1 – van elektrik dari China dilancar di Malaysia; bermula RM269k, jarak gerak 300 km

    Tiada angka prestasi disebut dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Go Auto berkenaan van ini. Ia cuma dinyatakan van ini dibekalkan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 70 kWj dari pengeluar bateri terkemuka CATL, memberikan jarak gerak 300 km mengikut kitaran ujian NEDC.

    Ia boleh dicas semula menggunakan pengecas AC dengan penghubung Type 2, dan juga pengecas pantas DC dengan penghubung CCS2. Dengan pengecas DC berkuasa 60 kW, bateri van ini boleh dipenuhkan dalam masa 75 minit.

    Van elektrik ini menampilkan dimensi panjang 5,380 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 2,335 mm dan jarak roda 3,110 mm. Bagi model van penumpang, Higer Ace E1 EV ini datang dengan konfigurasi 15-tempat duduk.

    Antara perincian yang diberikan pada van elektrik ini adalah termasuk rim aloi bersaiz 16-inci bersama tayar 215/75, skrin Android LCD 8-inci dengan pemain DVD, kamera undur dan pelbagai lagi.

    Menurut Pengarah Eksekutif GVT Sdn Bhd Wan Ahmad Wan Omar, syarikatnya akan menyerahkan dua unit van elektrik ini kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan juga empat lagi unit baharu kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    Higer dan juga satu lagi jenama kenderaan komersil China iaitu Yutong yang diedarkan GVT memang sudah tidak asing dalam membekalkan kenderaan untuk kegunaan agensi-agensi kerajaan seperti MINDEF, MARA, RELA dan UTHM. Ia bukan sahaja menyediakan kenderaan-kenderaan komersil berkuasa diesel, malah turut telah menyerahkan bas-bas elektrik untuk kegunaan TNB.

    Setakat ini GVT sudah mempunyai 88 rangkaian servis selepas jualan bagi seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

     
     
  • VIDEO: Seorang budak lompat ke arah kereta bergerak – satu cubaan penipuan? Pasang dashcam untuk bukti

    VIDEO: Seorang budak lompat ke arah kereta bergerak – satu cubaan penipuan? Pasang dashcam untuk bukti

    Kejadian seperti ini memang sudah biasa kita lihat di negara luar, tetapi rupanya di negara kita ia juga wujud dan masih berlaku, seperti video yang asalnya dimuat naik oleh Jerry Lim dan dikongsi ramai dalam media sosial, menunjukkan seorang budak melompat ke arah kereta yang sedang bergerak, dan nampak seperti satu lakonan.

    Hanya beberapa saat selepas budak itu terbaring di lantai tanpa sebab yang dapat dilihat (seperti tiada sentuhan dengan kereta), beberapa individu lain muncul untuk ‘membantu’ budak tersebut. Tidak pasti sama ada mereka sememangnya orang awam yang ingin membantu ataupun ‘pelakon tambahan’ lain kerana mereka mengangkat budak tersebut seperti dia cedera.

    Walaupun kita boleh kata ini seperti satu cubaan penipuan, masalah boleh timbul bagi pemandu kerana gambaran yang orang nampak adalah seorang pemandu kereta melanggar budak yang melintas jalan. Kalau ada pula yang bertindak agresif, keadaan akan bertambah buruk bagi pemandu tersebut.

    Dah tak hidup lagi ke budak ni.

    Video jerry lim

    Posted by Nas Khalid on Sunday, 9 April 2023

    Jika betullah ini satu cubaan penipuan, budak itu perlu diberi pengajaran, dan mungkin juga ibu bapanya. Bayangkan jika pemandu tersebut lambat bertindak ataupun kenderaan mempunyai masalah. Tidak semena-mena, lakonan yang kononnya selamat boleh membawa kepada kecederaan ataupun meragut nyawa.

    Bagi pemandu, elakkan sebarang masalah dengan memasang dashcam. Jika betul anda tidak salah dan terdapat cubaan penipuan seperti ini, sekurang-kurangnya anda masih boleh membela diri dan mengelakkan perkara buruk terjadi pada diri.

     
     
  • WMoto VE1-110E, WM110 dan SM Sport 110E model mampu milik 110 cc, empat kelajuan, dari RM3.8k

    WMoto VE1-110E, WM110 dan SM Sport 110E model mampu milik 110 cc, empat kelajuan, dari RM3.8k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd menawarkan pelbagai jenis motosikal kepada pasaran dan dalam barisan model mampu milik atau ekonomi, syarikat itu menyediakan SM Sport 110E, WMOTO VE1-110E dan juga WMOTO WM110. Harganya masing-masing adalah RM3,859, RM3,748 dan RM3,788 tidak termasuk insurans.

    Tahun ini ketiga-tiga model tersebut disegarkan semula dengan grafik baru, sementara ciri teknikalnya masih lagi sama seperti sebelum ini, dengan kesemuanya dipacu enjin satu silinder sekitar 110 cc dan transmisi empat kelajuan, menghasilkan kuasa sehingga 7.1 hp dan tork 7.2 Nm (WM110).

    Walaupun dengan harga yang berbeza, kesemua model ini masih datang dengan pemula enjin elektrik dan tendang, serta rim aluminium 17 inci, tetapi SM Sport 110E dan WMOTO VE1-110E cuma datang dengan brek dram hadapan dan belakang, sementara WMOTO WM110 pula mendapat brek cakera di hadapan.

    Kelengkapan lain tiga motosikal ini adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, lampu jenis halogen, tangki bahan api empat liter, berat sekitar 100 kg dan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.

    Kesemua motosikal ini juga ditawarkan dalam pilihan tiga warna dan jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    GALERI: WMoto WM110 2023

    GALERI: WMoto VE1-110E 2023

    GALERI: SM Sport 110E 2023

     
     
  • Had usia teksi, e-hailing dilanjutkan ke 15 tahun – MOT

    Had usia teksi, e-hailing dilanjutkan ke 15 tahun – MOT

    Pada 3 April lalu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengumumkan had usia penggunaan kenderaan bagi perkhidmatan teksi dan e-hailing di negara ini dilanjutkan sehingga 15 tahun. Namun, pengumuman tersebut ‘bagai ditarik balik’ selepas kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook rasmi APAD telah dipadamkan.

    Walau bagaimana pun, hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan had usia maksima penggunaan kenderaan dalam kelas teksi dan e-hailing dilanjutkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun, berkuatkuasa dari 1 Januari 2023.

    Ia melibatkan semua kenderaan e-hailing di seluruh negara dan semua teksi di Semenanjung Malaysia merangkumi teksi biasa, teksi lapangan terbang dan teksi mewah.

    Selaras dengan pengumuman tersebut, Loke berkata, had usia melesen akan dikemaskini kepada 14 tahun. Ini bermaksud mana-mana kenderaan yang hendak dilesenkan bagi tujuan teksi dan e-hailing mesti berbuat demikian sekurang-kurangnya setahun sebelum had usia 15 tahun. Dengan ini, kerajaan membenarkan kenderaan yang telah mencapai had usia 10 tahun terdahulu namun masih belum mencapai usia 15 tahun untuk kembali beroperasi.

    Had usia teksi, e-hailing dilanjutkan ke 15 tahun – MOT

    “Saya ingin menekankan bahawa penggunaan kenderaan teksi dan e-hailing adalah sentiasa tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan berkala untuk memastikan hanya kenderaan yang mematuhi syarat- syarat teknikal dan ciri-ciri keselamatan dilesenkan untuk beropeasi di atas jalan raya.

    “Dengan pelaksanaan dasar baharu had usia 15 tahun ini, saya berharap beban di atas bahu para pemandu teksi serta e-hailing dapat diringankan serba sedikit khususnya untuk golongan pemandu yang amat terkesan dalam tempoh PKP Covid-19 dari tahun 2020 hingga tahun 2022. Sekiranya tempoh had usia dikekalkan pada 10 tahun, ramai pemandu terpaksa menanggung kos besar untuk membeli kendaraan yang baru dengan cara berhutang walaupun sumber pendapatan mereka masih tidak menentu,” tambahnya.

    Berkenaan dengan had usia teksi di Sabah, WP Labuan dan Sarawak, dasar sedia ada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan LPKP Sarawak masih terpakai.

    “Pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), LPKP Sabah dan LPKP Sarawak akan membuat pemakluman lanjut berhubung tarikh mula permohonan dibuka untuk membolehkan pengendali dan pemandu teksi dan e-hailing datang ke kaunter untuk melesenkan dan memperbaharui permit dengan ketetapan dasar baru had usia ini,” katanya.

     
     
  • Honda Odyssey kembali ke pasaran Jepun, tetapi dibuat di China; hanya varian e:HEV EX Black Edition

    Honda Odyssey kembali ke pasaran Jepun, tetapi dibuat di China; hanya varian e:HEV EX Black Edition

    Honda telah menghentikan jualan MPV Odyssey di pasaran Jepun pada penghujung 2021 lalu kerana kilang Sayama yang terletak di wilayah Saitama yang memproduksi model tersebut telah pun ditutup. Namun Odyssey diumum akan dijual semula di Jepun bermula suku ke-empat tahun ini, dengan stok yang akan diimport dari China.

    Honda Odyssey 2023 pasaran Jepun berkenaan akan diproduksi oleh kilang Guangqi Honda di Guangzhou – kilang usahasama Honda dengan salah satu rakan kongsinya di China, GAC. Ia akan dijual di Jepun hanya dalam satu varian iaitu Odyssey e:HEV EX Black Edition.

    Seperti namanya, Odyssey JDM ‘made in China’ ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV, dan tiada lagi pilihan versi petrol sepenuhnya dengan enjin i-VTEC 2.4 liter seperti sebelum ini. Honda belum menyatakan sebarang angka prestasi untuk kemaskini terbaharu Odyssey e:HEV ini, namun dijangka ia masih sama dengan versi sebelumnya.

    Honda Odyssey kembali ke pasaran Jepun, tetapi dibuat di China; hanya varian e:HEV EX Black Edition

    Pada versi terdahulu, unit rangkaian kuasa e:HEV untuk Odyssey ini adalah dari versi 2.0L, sama dengan yang terdapat pada Honda Civic RS e:HEV pasaran Malaysia. Ia menggandingkan enjin kitaran Atkinson 2.0 liter yang menghasilkan 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm tetapi pada kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri lithium ion.

    Manakala roda hadapan sentiasa dipacu dengan motor elektrik berkuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm. Namun ada situasi motor dan enjin akan bersama-sama memacu roda hadapan menerusi kotak gear e-CVT (terutamanya pada kelajuan tinggi), menghasilkan kuasa gabungan 212 hp.

    Satu-satunya varian pasaran Jepun ini juga menerima kit kelengkapan Black Edition, merangkumi kit penggayaan luaran dan dalaman dan pelbagai perincian istimewa. Pada sebelah luar, Odyssey e:HEV EX Black Edition ini diberikan gril hadapan, cermin sisi dan rim aloi yang kesemuanya diberikan kemasan berwarna hitam.

    Honda Odyssey kembali ke pasaran Jepun, tetapi dibuat di China; hanya varian e:HEV EX Black Edition

    Pada sebelah dalam, model ini datang dengan upholsteri kulit hitam secara standard, bersama konfigurasi tempat duduk 2-2-3 (tujuh kerusi secara keseluruhan). Pada baris kedua, tempat duduk kapten pada Odyssey ini dipertingkat dengan fungsi larasan elektrik empat hala, perehat tangan untuk kedua-dua belah, meja yang boleh dilipat serta pemanas kerusi.

    Fungsi baharu lain yang dibekalkan pada model 2023 ini termasuk penukar gear elektrik menggunakan suis tekan menggantikan tombol konvensional, pengecas tanpa wayar serta port USB Type A dan Type C untuk kabin belakang. Pelanggan turut boleh memilih skrin sesentuh bersaiz 11.2-inci untuk sistem infotainmen yang ditawarkan secara opsyen.

    Perincian-perincian standard lain untuk Odyssey Black Edition ini turut merangkumi pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan, lampu isyarat membelok LED jenis sequential, tempat duduk pemandu larasan kuasa 8-hala dan penumpang hadapan 4-hala, sistem pendingin hawa automatik tiga-zon, kamera pelbagai sudut pandangan dan pelbagai lagi.

    Harga untuk Honda Odyssey e:HEV EX Black Edition 2023 pasaran Jepun ini masih belum diumumkan, namun pelanggan sudah boleh menempahnya bermula musim luruh tahun ini.

     
     
  • Lesen Vokasional PSV & GDL : Ujian teori dimansuhkan, kelas teori dalam talian dibenarkan

    Lesen Vokasional PSV & GDL : Ujian teori dimansuhkan, kelas teori dalam talian dibenarkan

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional (PSV & GDL) dimansuhkan. Ia melibatkan pengambilan Lesen Vokasional bagi kategori PSV teksi dan van (van Persiaran, van Sekolah dan van Pekerja), dan kategori GDL pula melibatkan lori kecil, van berat tanpa muatan tidak melebihi 3,000kg serta lori rigid.

    “Berkenaan dengan pemansuhan ujian teori bagi pengambilan Lesen Vokasional, calon hanya perlu menduduki dan melengkapkan kelas teori sedia ada sahaja sebelum dikeluarkan Lesen PSV.

    “Walau bagaimana pun, calon-calon bagi kategori Lesen PSV untuk Bas dan GDL untuk Lori Bersendi (lori treler, lori tangki dan lori kontena) masih wajib melalui latihan dan lulus ujian amali/praktikal sebelum mendapat Lesen Vokasional,” kata Loke dalam sidang media sebentar tadi.

    Berkenaan dengan kelas teori secara dalam talian bagi Lesen Vokasional, beliau berkata, “Selaras dengan hasrat pendigitalan Kementerian Pengangkutan, pelaksanaan kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional juga akan dibenarkan secara atas talian, sama ada menerusi platform disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Memandu (IM) atau syarikat perniagaan pengantaraan yang berkelayakan yang telah dikawal selia oleh JPJ. Tempoh masa kelas teori sedia ada adalah dikekalkan.”

    Lesen Vokasional PSV & GDL : Ujian teori dimansuhkan, kelas teori dalam talian dibenarkan

    Tambah beliau, mana-mana IM atau syarikat perniagaan pengantaraan, hendaklah menggunakan modul/silibus pengajaran kelas teori Lesen Vokasional atas talian yang ditetapkan oleh JPJ sepenuhnya. Di mana JPJ akan menetapkan syarat-syarat dan peraturan berkaitan kelayakan penyediaan platform atas talian dan mengawal selia kelas teori bagi memastikan kesahihan dan integriti calon.

    “Data-data dan maklumat kehadiran calon akan diintegrasi dengan sistem MySIKAP bagi membolehkan Lesen Vokasional dikeluarkan secara terus kepada calon tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal ke kaunter JPJ,” katanya.

    Beliau menjelaskan lagi, silibus kelas teori bagi semua kategori Lesen Vokasional terutamanya melibatkan perkhidmatan e-hailing dan teksi akan disemak semula dan ditambahbaik oleh JPJ dan MIROS dengan mendapatkan input daripada pihak industri agar relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan. Penambahbaikan silibus akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan.

     
     
  • Stesen Petronas di R&R Seremban dibuka semula

    Stesen Petronas di R&R Seremban dibuka semula

    Bagi yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan, ini ada makluman buat anda. PLUS telah mengumumkan stesen Petronas di R&R Seremban, Negeri Sembilan (di KM272.2 arah utara) telah dibuka semula sejak 6 April lalu.

    Pada Januari lalu, stesen ini ditutup sementara bagi kerja-kerja naik taraf dan dimaklumkan ia akan dibuka semula pada 10 April, namun tarikh pembukaannya dipercepatkan.

    Kini, anda boleh mengisi minyak atau memberi barangan keperluan di stesen Petronas berkenaan. Dan untuk pengetahuan anda, terdapat lagi satu stesen Petronas di laluan berhampiran iaitu di KM297.2 arah utara di laluan Seremban-Kuala Lumpur.

    Apa pun, sila tingkatkan fokus pemanduan, terus berhati-hati di jalan raya dan berehat seketika di kawasan R&R berhampiran sekiranya keletihan atau mengantuk.

     
     
  • 2.97 juta pengguna muat turun, daftar MyJPJ – KP JPJ

    2.97 juta pengguna muat turun, daftar MyJPJ – KP JPJ

    Seramai 2.971 juta pengguna telah memuat turun aplikasi MyJPJ sejak ia dilancarkan Februari lalu, menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.

    Jelasnya, sehingga kini pihaknya sentiasa mempertingkatkan usaha untuk mempromosi aplikasi itu untuk kemudahan masyarakat, laporan Bernama

    “Setakat ini usaha berjalan lancar dan saya menyeru semua masyarakat supaya muat turun aplikasi ini untuk memudahkan urusan. Sekarang kita pamerkan untuk membiasakan masyarakat mengenai MyJPJ digital dahulu dan sebaik sudah bersedia. Menjelang pertengahan tahun ini aplikasi itu akan dinaiktaraf untuk menunjukkan dan memperbaharui lesen atau cukai jalan,” katanya.

    Tambahnya, usaha pendigitalan itu dilakukan kumpulan teknologi maklumat JPJ sendiri tanpa sebarang konsultan.

    “JPJ akan menggunakan alat Smart Management Enforcement Device (SMED) bagi mereka yang ada isu berhubung ketiadaan liputan Internet dan kesukaran penggunaan telefon. Bagi pemandu yang mempunyai masalah untuk mempamerkan lesen memandu dan cukai jalan digital, kita akan menggunakan alat SMED dengan membuat pendaftaran identiti (ID) mereka untuk mengakses lesen dan cukai jalan secara digital,” katanya.

     
     
  • Anak Kelantan yang mahu pulang ke kampung pada Aidilfitri ini dicadang guna LPT, Jalan Gerik – Polis

    Anak Kelantan yang mahu pulang ke kampung pada Aidilfitri ini dicadang guna LPT, Jalan Gerik – Polis

    Polis Kelantan mencadangkan agar perantau yang akan pulang pada Aidilfitri ini menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) melalui Terengganu atau Lebuhraya Timur Barat melalui Gerik, Perak sebagai jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di laluan Gua Musang.

    Ia adalah susulan penutupan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis, bermula di hadapan Petronas Persiaran Raya Gua Musang sehingga ke bulatan Tanah Putih yang akan menyebabkan trafik dijangka mengalami kesesakan menjelang musim perayaan ini.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya telah bersedia menghadapi pertambahan jumlah kenderaan dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelum hari raya berikutan cuti hujung minggu dan cuti tambahan bagi sesi persekolahan, laporan Bernama.

    “Pihak kami juga sedang meneliti dua laluan alternatif iaitu dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Kemungkinan ada jalan alternatif yang orang dari luar tak tahu, tetapi orang tempatan kita tahu supaya dapat melancarkan lagi perjalanan.

    “Kita berharap pengguna jalan raya bersabar dengan projek yang sedang berjalan kerana untuk mendapatkan kemudahan yang selesa memerlukan sedikit pengorbanan,” katanya sambil menambah pihak IPD Gua Musang diarahkan untuk mencari kaedah termasuk mewujudkan laluan alternatif lain untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

    “Tetapi saya tak mampu nak menjangka berapa banyak kenderaan akan masuk, tetapi pastinya Aidilfitri kali ini lebih ramai akan balik ke Kelantan,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025