Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jangan buka pintu kereta sesuka hati ketika berhenti dalam trafik; bahayakan penunggang motosikal

    Jika anda sedang berhenti ketika menunggu lampu isyarat bertukar hijau ataupun di tengah-tengah kesesakan trafik dan tiba-tiba ingin membuka pintu kereta kerana teringat sesuatu perlu dibuat, tindakan tersebut mungkin akan menyebabkan kemalangan walaupun kereta anda tidak bergerak.

    Video yang anda lihat ini dikongsikan oleh pemilik akaun Facebook bernama Kok Ling Wai di laman DashCam Owner Malaysia Facebook Group, memaparkan kejadian yang berlaku berhampiran Damen Mall di USJ, Selangor.

    Dalam video tersebut dapat dilihat sebuah Proton Iriz berwarna kelabu dipandu di lorong tengah jalan raya, dan berhenti ketika trafik terhenti. Entah mengapa tiba-tiba pemandu Iriz berkenaan membuka pintunya, dan ‘ngam-ngam’ ketika itu sebuah motosikal penghantar makanan sedang mencelah di sebelahnya.

    Ini menyebabkan motosikal tersebut terus tersepit antara pintu Iriz dan sebuah lori kecil di lorong sebelah. Namun video berkenaan tidak memperincikan kecederaan yang dialami oleh penunggang penghantar makanan berkenaan.

    Jadi selepas ini, janganlah anda sesuka hati membuka pintu di tengah jalan raya walaupun ketika itu trafik sedang terhenti. Ini kerana seperti negara-negara ASEAN yang lain, jumlah motosikal di atas jalan raya kita sememangnya sangat banyak dan ini boleh membahayakan mereka.

    Jika ada sesuatu perkara kecemasan yang perlu dibuat, seperti biasa, carilah tempat selamat untuk berhenti di tepi jalan, dan sebaik-baiknya jauh dari aliran trafik.

     
     
  • Proton serahkan 50 buah Iriz yang diubahsuai ACE kepada Metro Driving Academy bagi kegunaan pelatih

    Proton serahkan 50 buah Iriz yang diubahsuai ACE kepada Metro Driving Academy bagi kegunaan pelatih

    Proton mengumumkan bahawa ia telah pun menyerahkan 50 hatchback segmen-B Proton Iriz kepada Metro Driving Academy bagi digunakan oleh pelatih-pelatih sekolah memandu berkenaan di kampus Subang dan Puchong.

    Kesemua 50 Iriz tersebut telah menerima pengubahsuaian untuk tujuan berkenaan yang dibuat oleh Automotive Conversion Engineering (ACE), iaitu anak syarikat Proton Global Services yang dikhususkan dalam binaan dan pengubahsuaian khas.

    ACE juga merupakan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan model-model custom rasmi dari Proton seperti versi-versi Limosine serta model tempahan khas seperti yang dibuat untuk Y.A.M. Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman sebelum ini.

    Proton serahkan 50 buah Iriz yang diubahsuai ACE kepada Metro Driving Academy bagi kegunaan pelatih

    Bagi Iriz yang diserahkan kepada Metro Driving Academy berkenaan, ia telah diubahsuai oleh ACE mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Proton berbangga untuk terus memainkan peranan dalam membantu mendidik dan melatih pemandu baharu Malaysia. Proton Iriz adalah pilihan yang sangat baik untuk pemandu baharu kerana gabungan kebolehgerakan, dimensi kompak dan keselamatannya.

    “Kami menghargai kepercayaan yang ditunjukkan oleh Metro Driving Academy dan berharap ini akan menggalakkan lebih banyak sekolah memandu untuk mempertimbangkan Proton ke dalam senarai mereka,” kata timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

    Proton serahkan 50 buah Iriz yang diubahsuai ACE kepada Metro Driving Academy bagi kegunaan pelatih

    Kereta-kereta ini telah diserahkan dalam satu majlis penyerahan kepada Pengarah Urusan Metro Driving Academy, Encik Mat Aris Bakar. Metro Driving Academy ditubuhkan pada 1998, dan ia merupakan akademi memandu berlesen yang telah dianugerahkan Akademi Pemanduan Terbaik dan Akademi Pemanduan Bertaraf 5 Bintang oleh JPJ.

    Menurut Proton, Iriz yang diserahkan untuk kegunaan Metro Driving Academy masih dibekalkan dengan kamera undur dan sensor parkir untuk membantu dari segi visual dan bunyi semasa pelatih belajar memarkir kereta, serta suis mod ECO menggalakkan pemanduan yang lebih cekap dengan menghasilkan penggunaan bahan api yang lebih baik.

    “Sekolah memandu adalah titik pertemuaan yang bagus untuk Proton mendekatkan diri dengan generasi muda. Dengan kerjasama Metro Driving Academy, kami boleh mempamerkan ciri-ciri yang ditawarkan oleh produk kami dan memanfaatkan jiwa pembeli kereta kali pertama yang berpotensi,” tambah Roslan Abdullah.

     
     
  • Penutupan penuh lorong di KM2.0-KM4.05 Lebuhraya BKE pada 29-30 Dis untuk pemasangan rasuk jejambat

    Penutupan penuh lorong di KM2.0-KM4.05 Lebuhraya BKE pada 29-30 Dis untuk pemasangan rasuk jejambat

    Klik untuk besarkan imej

    Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn Bhd selaku pengendali Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) telah memaklumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan penutupan penuh lorong lebuhraya berkenaan ke Kulim dan ke Butterworth, Seberang Perai iaitu dari KM2.0 hingga KM4.05 pada 29 hingga 30 Disember 2022, dari jam 10 malam hingga 6 pagi.

    Penutupan lorong berkenaan adalah bagi kelancaran kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan di laluan berkenaan.

    Sehubungan itu, para pengguna yang ingin ke Kulim dan Butterworth dinasihati menggunakan laluan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth untuk ke Kulim dan Butterworth (seperti anak panah berwarna hijau dan ungu di dalam gambarajah di atas). Manakala pengguna dari Jalan Sembilang 2 menghala ke Kulim/Pematang Pauh boleh menggunakan laluan Persiaran Sembilang.

    “Pengguna lebuhraya ini dinasihati agar mematuhi arahan papan tanda trafik dan pengawal bendera yang bertugas,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Perlu masa berbulan-bulan untuk sambung operasi stesen minyak yang terkesan akibat banjir — PDAM

    Perlu masa berbulan-bulan untuk sambung operasi stesen minyak yang terkesan akibat banjir — PDAM

    Masa agak panjang diperlukan untuk sesebuah perniagaan pulih daripada kesan banjir. Bagi kes stesen petrol, proses ini memerlukan tempoh berbulan-bulan, menurut Presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz.

    Bercakap kepada Bernama, beliau berkata sekirnya stesen petrol terkesan oleh banjir, operasinya memerlukan masa berbulan-bulan untuk kembali pulih sepenuhnya, memandangkan pengusaha perlu memperbaiki semula stesen berkenaan. “Biasanya, selepas banjir, penjualan bahan api akan disambung melalui pembelian tunai sekiranya sistem (elektrik, internet, bayaran kad) tidak bersedia, kerana perlu diaktifkan semula. Ini akan memberikan kesan terhadap jualan dan pendapatan mereka,” jelasnya.

    Beliau menambah, tuntutan insuran juga menjadi sebuah proses yang sukar untuk stesen petrol yang selalu terkesan akibat banjir, dengan syarikat insuran tidak menanggung kerugian yang terlibat dalam sesetengah kes. “Bagi kes banjir kecil, pengusaha boleh menyambung operasi selepas dua atau tiga hari sekiranya tiada kerosakan peralatan atau kedai,” jelasnya lagi.

    Perlu masa berbulan-bulan untuk sambung operasi stesen minyak yang terkesan akibat banjir — PDAM

    Namun, bagi stesen petrol yang berada di negeri yang terus terkesan akibat banjir, mereka perlu menjalani beberapa proses semasa penutupan premis. Begitu juga ketika ingin menyambung semula operasi selepas banjir surut.

    Khairul Annuar berkata pengedar perlu memastikan semua discharge point di stesen mereka dikedap dengan selamat ketika banjir. “Pengedar juga perlu melaporkan kepada syarikat minyak tentang penutupan stesen dan memaklumkan situasi semasa banjir,” tambahnya.

    “Syarikat minyak kemudian akan memaklumkan terminal minyak (penyimpanan minyak) agar berhenti menghantar bekalan bahan api kepada stesen terlibat sehingga satu tempoh yang dimaklumkan kemudiannya, dengan staf mereka akan terus berkomunikasi dengan pengedar untuk kemaskini keadaan semasa atau status banjir,” tambahnya lagi.

     
     
  • Kemalangan lima superbike di Lebuhraya KL-Karak sebabkan kesesakan trafik sepanjang 8.5 kilometer

    Kemalangan lima superbike di Lebuhraya KL-Karak sebabkan kesesakan trafik sepanjang 8.5 kilometer

    Ada yang sedang bersesak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) buat masa sekarang? Menurut laporan Berita Harian, lima buah motosikal berkuasa tinggi telah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 26.5 lebuhraya tersebut pada kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi.

    Kemalangan berkenaan telah menyebabkan lorong laju menghala ke Kuala Lumpur terhalang dan menyebabkan kesesakan trafik yang panjang.

    “Setakat jam 2.30 petang tadi, lorong laju masih ditutup. Trafik kini agak perlahan sepanjang 8.5 kilometer dari KM35 (Genting Sempah-Gombak) hingga ke lokasi kemalangan.

    “Justeru kita minta semua pengguna lebuh raya supaya bersabar dan berhati-hati ketika memandu selain mematuhi arahan petugas di tempat kejadian,” kata Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi.

    Setakat ini polis masih belum mengumumkan sebarang kenyataan berkenaan kemalangan tersebut. Juga difahamkan insiden ini tidak membabitkan kehilangan nyawa namun kelima-lima penunggang motosikal terbabit dilaporkan mengalami kecederaan parah.

    Terdahulu beberapa rakaman video dashcam telah tular di media-media sosial, memaparkan sekumpulan motor berkuasa besar ‘beraksi’ di Lebuhraya berkenaan yang didakwa sebelum kemalangan itu berlaku.

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat nombor CES bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri plat nombor CES bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia bakal boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Pahang, CES, bakal dibuka bidaan mulai 5 Januari 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 9 Januari ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 10 Januari 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Kemalangan lori Gerik-Jeli — lesen syarikat dibatalkan

    Kemalangan lori Gerik-Jeli — lesen syarikat dibatalkan

    Dalam sebuah kenyataan berkaitan kemalangan maut melibatkan sebuah lori dan dua buah kereta penumpang di jalan Gerik-Jeli, yang meragut nyawa seorang bayi belum lahir, Kementerian Pengangkutan memaklumkan bahawa syarikat pengangkutan itu, Mun Fei Enterprise telah dibatalkan lesennya sebagai operator.

    Pembatalan lesen operasi syarikat itu adalah berikutan siasatan yang dilakukan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bersama JPJ, dan keputusan itu dibuat sejajar dengan Seksyen 57 (1)(b)(x) dan Seksyen 58 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 2010 (Akta 715).

    Komiti penggantungan dan pembatalan lesen APAD mendapati operator berkenaan telah gagal pemeriksaan dan audit keselamatan (audit JISA), dan mempunyai rekod kesalahan terdahulu dengan JPJ yang melibatkan keselamatan awam. Untuk itu, komiti berkenaan mengambil keputusan untuk membatalkan lesen syarikat berkenaan serta-merta, jelas kementerian pengangkutan dalam satu kenyataan.

    29 Oktober lalu, muatan yang dibawa lori terbabit terjatuh atas jalan di laluan bertentangan dengan kehadiran kenderaan lain, yang menyebabkannya terlanggar muatan itu, sebelum terbalik. Seorang wanita mengandung cedera, menyebabkan kehilangan nyawa bayi yang belum dilahirkan itu.

    Rakaman kejadian itu daripada kamera kenderaan telah dikongsi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi laman Facebooknya awal bulan ini, dengan ucapan takziah kepada mangsa dan memaklumkan JPJ dan APAD akan telah diarahkan untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemandu dan syarikat yang terlibat. Sebelum itu, APAD juga sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat itu.

     
     
  • Tesla Hearse 3 – kereta jenazah mesra alam

    Tesla Hearse 3 – kereta jenazah mesra alam

    Tesla Model 3 dengan rupa seperti wagon panjang dan tinggi ini digelar sebagai Tesla Hearse 3 – ya, seperti namanya, ini adalah sebuah kereta jenazah! Model istimewa ini bukanlah dihasilkan sendiri oleh Tesla, tetapi diubahsuai untuk kegunaan tersebut oleh pakar pembuat kereta jenazah dari Belanda iaitu Derks Uitvaartmobiliteit.

    Derks menghasilkan Hearse 3 ini berasaskan Tesla Model 3 Standard Range Plus, dan ia dibina serta dijual untuk pasaran Eropah. Seperti yang anda boleh lihat, rupa Model 3 masih kekal dari bahagian muka hingga pintu hadapan, tetapi ia diberikan pengubahsuaian drastik bermula pada bahagian ‘jendul’ bumbung hingga bahagian belakang.

    Tesla Hearse 3 – kereta jenazah mesra alam

    Bagi memuatkan keranda dengan gaya mewah, bahagian belakang Model 3 berkenaan telah dipotong dan dipanjangkan – menurut laporan Carscoops, panjang Hearse 3 adalah 5.56 meter, atau 866 mm lebih panjang dari Model 3 biasa. Bumbungnya juga telah ditinggikan dan tiada lagi pintu penumpang dan bahagian but belakang bagi digantikan dengan pintu tailgate.

    Pada bahagian dalam, ruang untuk meletak keranda menerima pelapik bumbung yang dihiasi lampu LED seakan kerlipan bintang bersama langsir tingkap kawalan elektrik. Bahagian tersebut juga menerima pencahayaan LED pada dinding, rak bunga logam tahan karat serta ruang simpanan bawah lantai untuk menempatkan troli.

    Ia masih menampilkan unit rangkaian kuasa yang sama seperti Model 3 Standard Range Plus, menampilkan motor elektrik tunggal berkuasa 306 PS memacu roda belakang, bersama bateri 53 kWj yang memberikan jarak gerak 375 km dengan satu cas penuh.

    Derks tidak menyatakan harga untuk sebuah Hearse 3 ini, dan pelanggan boleh sahaja menempah Hearse 3 mereka berasaskan model-model Tesla Model 3 dengan dua motor elektrik yang lebih berkuasa. Derks bukan sahaja menghasilkan kereta jenazah dari Tesla, malah turut menampilkan dari pelbagai model Mercedes-Benz dan Cadillac.

     
     
  • Projek rintis penjualan minyak tanpa subsidi dilaksanakan di Perlis mulai Januari 2023 – KPDN

    Projek rintis penjualan minyak tanpa subsidi dilaksanakan di Perlis mulai Januari 2023 – KPDN

    Bermula Januari 2023, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan peraturan baharu bagi penjualan bahan bakar tanpa subsidi melibatkan RON95 dan diesel bagi kenderaan asing. Projek rintis yang dinamakan sebagai ‘Ekonomi Sempadan – Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi akan dimulakan di Perlis, ujar Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof, seperti dilaporkan Bernama.

    Menurut beliau lagi, projek rintis ini dilaksanakan bagi membenarkan pembelian bahan bakar tanpa subsidi itu oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing yang masuk melalui pintu sempadan negeri tersebut.

    “Kajian impak akan dilaksanakan selama tiga bulan sebelum sebarang keputusan dibuat kepada negeri lain yang bersempadanan dengan negara jiran. Untuk makluman telah ada pengusaha stesen minyak komersial yang telah menjual bahan bakar tanpa subsidi itu di kawasan Padang Besar dan Wang Kelian.

    Projek rintis penjualan minyak tanpa subsidi dilaksanakan di Perlis mulai Januari 2023 – KPDN

    “Kementerian kini sedang mengadakan libat urus dengan syarikat minyak lain untuk turut menawarkan bahan bakar tanpa subsidi itu. Langkah ini diambil bagi mengekang isu ketirisan yang dihadapi dan pada masa sama ia tidak memberi kesan negatif kepada kenderaan asing yang mengisi bahan bakar berkenaan,” katanya.

    Beliau turut berkata harga bahan bakar tanpa subsidi bagi RON95 dan diesel masih lagi murah berbanding yang dijual di negara jiran.

    Tambahnya lagi, tindakan ini diambil kerana terdapat kes sebelum ini dikesan kenderaan asing mengisi diesel bersubsidi dalam kuantiti yang dihadkan tetapi di beberapa stesen minyak berasingan secara bergiliran.

    “Arahan yang dikeluarkan oleh KPDN pada 17 Jun lepas mengenai ketetapan dan larangan penjualan minyak RON95 dan larangan menjual minyak diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing manakala RON97 boleh dijual tanpa had.

    Projek rintis penjualan minyak tanpa subsidi dilaksanakan di Perlis mulai Januari 2023 – KPDN

    “Masalah ketirisan bahan bakar itu (RON95 dan diesel bersubsidi) di negeri-negeri berhampiran sempadan dipandang serius KPDN kerana subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat negara ini turut dinikmati warganegara lain,” katanya.

    Larangan membeli petrol RON 95 untuk kenderaan berdaftar asing telah dilaksanakan sejak 1 Ogos 2010, walau pun terdapat sedikit pelepasan untuk pembelian diesel. Di mana kenderaan berdaftar Singapura dibenarkan membeli sehingga 20 liter diesel sehari di stesen minyak Malaysia dalam jarak 25 km dari pintu sempadan Malaysia-Singapura; keputusan ini berkuat kuasa pada 1 Oktober 2020.

    Pada masa ini, harga petrol RON 95 ialah RM2.05 seliter, iaitu harga siling bagi bahan api tersebut seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada Februari 2021. Had harga juga dikenakan kepada bahan api diesel bagi gred Euro 5 B10 dan B20, berharga RM2.15 seliter, dan diesel Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter. Manakala petrol RON 97 tanpa subsidi pula berharga RM3.35 seliter yang diumumkan untuk tempoh 22-28 Disember 2022.

     
     
  • Pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing perlu terima latihan keselamatan jalan raya – Anthony Loke

    Pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing perlu terima latihan keselamatan jalan raya – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan bahawa adalah sangat penting untuk pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing mendapatkan latihan keselamatan jalan raya memandang jumlah mereka yang melakukan tugas ekonomi gig berkenaan semakin ramai di atas jalan raya.

    “Kini terdapat lebih ramai penunggang e-hailing dan p-hailing di jalan raya berbanding sebelum ini dan jika mereka tidak diberi latihan keselamatan yang sewajarnya, mereka boleh membahayakan diri mereka sendiri dan pemandu lain.

    “Dengan faktor peningkatan paras trafik lebih tinggi berbanding sebelum pandemik, kini ia menjadi wajib untuk mengambil setiap langkah yang sewajarnya untuk mengelakkan kemalangan,” kata Loke dalam laporan The Star.

    Menteri tersebut turut memberitahu bahawa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah pun membuat draf garis panduan keselamatan jalan raya baharu untuk penyedia-penyedia platform dan ia merupakan langkah yang penting bagi memastikan keselamatan bagi semua pengguna jalan raya.

    Pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing perlu terima latihan keselamatan jalan raya – Anthony Loke

    “Garis panduan itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan penyedia perkhidmatan p-hailing dan e-hailing sambil mendidik penunggang tentang kekal selamat di jalan raya.

    “Apabila garis panduan itu dimuktamadkan, diharap ia akan membantu dalam mengurangkan jumlah kematian dan kecederaan berkaitan kemalangan jalan raya di seluruh negara,” katanya

    Menurut Loke lagi garis panduan itu sejajar dengan Pelan Tindakan Dekad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Keselamatan Jalan Raya, yang bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian kemalangan jalan raya global kepada di bawah 50% menjelang 2030, dan beliau mengalu-alukan semua pihak berkepentingan untuk memberikan input mereka mengenai garis panduan itu.

    “Saya akan terus mengutamakan memastikan langkah keselamatan kerana saya percaya keselamatan sentiasa diutamakan, walaupun ia membuatkan saya tidak popular kepada orang ramai,” tegasnya.

     
     
  • Lorong kiri dan kecemasan di KM426.1 laluan Bukit Tagar di Lebuhraya PLUS ditutup hingga 14 Jan 2023

    Lorong kiri dan kecemasan di KM426.1 laluan Bukit Tagar di Lebuhraya PLUS ditutup hingga 14 Jan 2023

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan lorong kiri dan kecemasan di laluan Bukit Tagar ke Bukit Beruntung di Kilometer 426.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan ditutup sejak 23 Disember lalu hingga 14 Januari 2023.

    Syarikat konsesi lebuhraya berkenaan berkata, penutupan tersebut bagi kelancaran kerja pembaikan laluan yang terlibat dengan kejadian cerun runtuh.

    “Pengguna lebuh raya diharap mematuhi arahan papan tanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja pembaikan. Selain itu, pengguna juga dinasihati agar merancang perjalanan masing-masing dan sentiasa pandu cermat,” kata PLUS menerusi perkongsian di Facebook.

     
     
  • Subsidi petrol bersasar ikut cc kenderaan bakal dilaksana, guna data dari JPJ – menteri KPDN

    Subsidi petrol bersasar ikut cc kenderaan bakal dilaksana, guna data dari JPJ – menteri KPDN

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub menyatakan bahawa mekanisma untuk memberikan subsidi bahan api petrol secara bersasar sudah hampir lengkap, dan ia akan menggunakan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan tersebut, lapor Bernama.

    “Jadi dari segi data itu (subsidi bersasar) sudah hampir lengkap untuk kita berikan data itu kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tentang bagaimana kita boleh buat subsidi bersasar ini,” katanya ketika mengulas mengenai rancangan kerajaan terutama KPDN yang juga sekretariat kepada Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) berkait mekanisme subsidi bersasar dan pelaksanaannya di Johor Bahru hari ini.

    Menurut Salahuddin Ayub dalam laporan berkenaan, pangkalan data JPJ boleh digunakan untuk pelaksanaan subsidi petrol RON 95 memandangkan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis kuasa kuda (cc) kenderaan dimiliki.

    Menteri berkenaan menyatakan bahawa kertas cadangan mengenai subsidi bersasar sebelum ini sudah dibentangkan ketika mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan perdana menteri pada Selasa lepas.

    Subsidi petrol bersasar ikut cc kenderaan bakal dilaksana, guna data dari JPJ – menteri KPDN

    “Perdana menteri sudah memberikan arahan supaya perkara itu (mekanisme subsidi bersasar) diteliti. Tetapi buat masa ini kerajaan masih lagi meneruskan polisi yang ada iaitu kita tidak menarik balik (subsidi) ataupun tidak menaikkan sebarang tarif yang kita rasa boleh membebankan rakyat.

    “Jadi polisi itu masih diteruskan sehinggalah Kabinet memutuskan mengenai perkara itu (subsidi bersasar) kelak,” katanya.

    Seperti yang kita ketahui, buat masa sekarang harga kereta yang dijual dalam pasaran bukan seperti 20 tahun lepas. Ini kerana kini banyak kereta mewah sudah dijana oleh enjin berkapasiti kecil tetapi dipadankan dengan pengecas turbo bagi menghasilkan kuasa kuda besar.

    Misalnya Mercedes-Benz C200 Avantgarde W206 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM287,888, tetapi hanya dijana oleh enjin 1.5 liter (1,500 cc) disuap dengan turbo menghasilkan kuasa 204 PS/300 Nm. Manakala Proton Iriz dalam varian tertinggi iaitu Iriz Active dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM57,300, hadir dengan enjin 1.6 liter (1,600 cc) NA berkuasa 109 PS/150 Nm.

    Jadi bagaimana kerajaan menyelesaikan perkara ini? Sama-sama kita nantikan.

     
     
  • ANIH saran pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 23-27 Dis sempena Krismas

    ANIH saran pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 23-27 Dis sempena Krismas

    Pasti ramai yang sudah merancang untuk pulang ke kampung halaman atau pun bercuti di destinasi pilihan pada hujung minggu ini dan mungkin bersambung hingga ke minggu hadapan. Dan seperti biasa, pastinya lebuhraya-lebuhraya utama di negara ini bakal mengalami kesesakan khususnya pada waktu puncak.

    Justeru, bagi pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), pemegang konsesinya, ANIH Berhad, menyarankan pengguna lebuh raya ke Pantai Timur merancang perjalanan bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

    “Berdasarkan trend lalu lintas di KLK dan LPT1, kami menjangkakan tren trafik harian di KLK pada musim perayaan akan meningkat sebanyak 165,000 kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 65% berbanding hari biasa. Manakala sejumlah 70,000 kenderaan atau peningkatan sebanyak 63% pula di LPT1. Justeru, sempena dengan perayaan Krismas ini, kami mengeluarkan jadual cadangan perjalanan bagi kedua-dua lebuhraya berkenana bagi tempoh 23 hingga 27 Disember 2022,” kata Pengurus Besar ANIH, Radzimah Mohd Radzi.

    Untuk tempoh 23-24 Disember, bagi pengguna yang datang dari arah Kuala Lumpur dan Selangor yang memasuki lebuhraya berkenaan menerusi Plaza Tol Gombak, yang ingin ke Pahang, Terengganu dan Kelantan, terdapat dua pilihan masa dicadangkan. Bagi perjalanan ke Pahang, anda boleh memilih sama ada memasuki lebuhraya antara jam 10 pagi-2 petang atau 8 malam-11 malam.

    ANIH saran pengguna Lebuhraya KL-Karak, LPT1 rancang perjalanan pada 23-27 Dis sempena Krismas

    Manakala untuk ke Terengganu dan Kelantan pula, dua pilihan waktu memasuki lebuhraya adalah antara 6 pagi-10 pagi atau 5 petang-8 malam.

    Bagi perjalanan dari Pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur dan Selangor bagi tempoh antara 26-27 Disember, ANIH menyarankan agar pengguna yang datang dari Pahang untuk masuk ke semua plaza tol antara jam 6 pagi-10 pagi atau 7 malam-10 malam. Manakala pengguna yang dari Terengganu dan masuk ke Plaza Tol Jabor di antara jam 8 pagi-11 pagi atau 8 malam-10 malam. Untuk pengguna yang dari Kelantan dan masuk Plaza Tol Bentong antara jam 6 petang-8 malam atau 9 malam-12 tengahmalam.

    Bagi bas eskpres menuju ke Pantai Timur, disarankan memasuki Plaza Tol Gombak antara jam 9.30 pagi-12 tengahari dan 9.30 malam-12 tengah malam. Pada waktu ini, ANIH menasihati agar kenderaan ringan mengelak memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu berkenaan. Dan untuk semua pengguna yang ingin ke mana-mana destinasi, waktu pergerakan bebas dicadangkan antara jam 12 tengahmalam hingga 6 pagi.

    “Kami juga menasihati para pengguna untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi. Selain terus memandu dengan berhemah, patuhi saranan papan tanda trafik, had kelajuan yang ditetapkan dan ikuti arahan petugas lebuhraya demi keselamatan semua,” kata Radzimah.

     
     
  • Kejadian buli jalanan di Petaling Jaya dirakam video — pemandu Bezza diancam kerana membunyikan hon

    Kejadian buli jalanan di Petaling Jaya dirakam video — pemandu Bezza diancam kerana membunyikan hon

    Dalam satu video yang tular di media sosial hari ini, yang dikongsikan oleh seorang pengguna Twitter @zabedabedoo, satu kejadian buli jalanan telah dirakam, melibatkan dua orang pemandu kereta. Dalam video bedurasi lebih dua minit itu, seorang pemandu lelaki yang menaiki sebuah Nissan Sentra hitam dilihat mengeluarkan tangan dan memaksa seorang lagi pemandu di dalam kereta dari mana video tersebut dirakamkan untuk berhenti.

    Oleh kerana video yang dirakamkan oleh penumpang di belakang, pemandu Perodua Bezza yang diekori itu berkemungkinan besar merupakan pemandu e-hailing. Kedua-dua kereta akhirnya berhenti di tepi jalan, dengan pemandu pembuli dari Sentra berkenaan keluar kenderaan dan pemandu Bezza juga berbuat demikian kemudiannya.

    Kedua-dua mereka bertengkar di luar, sebelum pemandu Sentra kembali ke keretanya dan mengambil apa yang terlihat seperti cota rotan/kayu. Dia kemudiannya mengacah untuk menakutkan dengan menghayun kayu berkenaan, dan kedua-duanya menyambung pertengkaran. Seorang penunggang motosikal kemudiannya tiba untuk menenangkan kedua-duanya. Keadaan seperti lebih kendur selepas itu, dengan pemandu Sentra kembali ke keretanya sebelum rakaman ditamatkan.

    Dalam ruang komen di hantaran Twitter berkenaan, PDRM meminta saksi/mangsa kejadian berkenaan untuk tampil membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut. Ini bukanlah satu pengalaman yang menyenangkan, atau mungkin agak menakutkan bagi sesetengah orang. Kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab perlulah lebih bertimbang rasa dan mengawal emosi ketika berada di jalan raya.

    Sekiranya kejadian seperti ini berlaku ke atas anda, kekal tenang dan terus memandu. Jika pembuli terus mengekori dan membuatkan anda berasa tidak selamat, terus memandu ke balai polis berdekatan. Jangan juga keluar meninggalkan kenderaan dan berhadapan dengan pembuli sekiranya kereta anda diberhentikan. Duduk di dalam dan buat panggilan kecemasan atau kepada pihak polis.

    Juga, jangan lupa untuk membuat laporan polis sebaik sahaja keluar daripada situasi berkenaan. Proses ini akan lebih membantu sekiranya ada rakaman dashcam atau menggunakan telefon bimbit sebagai bukti.

    Perkara seperti ini bukanlah satu pengalaman yang menyenangkan, atau mungkin akan menakutkan bagi sesetengah orang. Kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab perlulah lebih bertimbang rasa dan mengawal emosi ketika berada di jalan raya.

     
     
  • MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 beroperasi sepenuhnya Mac 2023 – ditunda dua bulan jika ikut rancangan awal

    MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 beroperasi sepenuhnya Mac 2023 – ditunda dua bulan jika ikut rancangan awal

    Fasa kedua bagi MRT Laluan Putrajaya bakal beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023. Ia berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh MRT Corp, seperti dilaporkan FMT.

    MRT Corp berkata kerja-kerja pembinaan untuk fasa kedua laluan itu, iaitu dari Kampung Batu di sepanjang Jalan Ipoh di KL sehingga ke Putrajaya Sentral di ibu negara telah siap.

    “Seksyen sepanjang 38.7 km bagi jajaran Fasa 2 ini, melibatkan 15 stesen bertingkat dan sembilan stesen bawah tanah, dijangka beroperasi pada Mac 2023,” kata kenyataan terbabit. Ini bermakna ia tertunda selama dua bulan jika mengikut perancangan asal iaitu sepatutnya mula beroperasi pada Januari 2023.

    MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 beroperasi sepenuhnya Mac 2023 – ditunda dua bulan jika ikut rancangan awal

    Klik untuk besarkan

    Fasa pertama MRT dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu di Jalan Ipoh telah mula beroperasi sejak 16 Jun tahun ini. Stesen antara dua lokasi itu termasuklah Kampung Selamat dan Sungai Buloh, sebelum ini dari jajaran MRT Kajang.

    Dari sana, tren menghala selari dengan MRR2 ke Kepong, menyusur Jalan Kepong dan Jalan Ipoh. Stesen yang terlibat di sepanjang laluan ini ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kg Batu.

    Ramai yang berada di bahagian selatan Lembah Klang sememanganya menantikan pembukaan Fasa 2 ini. Namun terpaksa meneruskan kesabaran itu memandangkan operasi sepenuhnya tertangguh lagi dua bulan. Apabila ia beroperasi kelak, mereka yang tinggal berdekatan laluan Fasa 1 akhirnya boleh ke KL dan selanjutnya dengan jajaran tersebut juga.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025