Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lamborghini Urus S 2022 – 666 PS/850 Nm, 0-100 km/j dalam 3.5 saat, bumbung karbon, penggayaan baharu

    Lamborghini Urus S 2022 – 666 PS/850 Nm, 0-100 km/j dalam 3.5 saat, bumbung karbon, penggayaan baharu

    Automobili Lamborghini telah mendedahkan Urus S baharu yang bakal menggantikan Urus yang diperkenalkan pada tahun 2017, dengan peningkatan aspek prestasi dan kemewahan. Urus S ini bakal menyertai barisan Super SUV Lamborghini yang turut dibarisi Urus Performante yang dilancarkan baru-baru ini. Harga bagi Urus S adalah bermula 195,538 Euro (RM889k).

    Urus S mampu menghasilkan kuasa hingga 666 PS (meningkat sebanyak 16 PS) dan tork 850 Nm dari 2,300 hingga 6,000 rpm hasil padanan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang dipacukan ke semua roda. Menurut Lamborghini, Urus S berkongsi penentu ukuran penjana kuasa yang sama dengan Urus Performante.

    Dengan sepenuh throttle, Urus S mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat, 0-200 km/j dalam 12.5 saat, dengan kelajuan maksimum cecah 305 km/j. Kelajuan maksimum yang tidak berubah seperti sebelum ini, Urus S adalah 1.0 saat lebih laju bagi 0-100 km/j dan 0.3 saat lebih pantas untuk 0-200 km/j berbanding model yang dilancarkan di Malaysia pada awal 2018.

    Malahan Urus S ini juga menerima ekzos yang ditala semula untuk mendapatkan bunyi yang lebih menguja apabila enjin dihidupkan dan pada setiap mod pemanduan. Mod pemanduan yang diberikan untuk pemilih pemanduan Tamburo termasuklah Strada, Sport, Corsa, Ego, Terra, Neve dan Sabbia. Dengan 10-pot kaliper di hadapan dan cakera seramik karbon di sekelilingnya (440 mm hadapan dan 370 mm belakang), Urus S mampu diberhentikan dari 100 km/j ke titik pegun dalam hanya 33.7 meter sahaja. Jarak yang lebih kurang sama dengan model asal Urus.

    Lamborghini Urus S 2022 – 666 PS/850 Nm, 0-100 km/j dalam 3.5 saat, bumbung karbon, penggayaan baharu

    Selain peningkatan kuasa dan pendikitan yang ditambahbaik, Urus S baharu juga kini lebih bergaya dengan bampar hadapan baharu bersama kepingan mendatar, menggantikan honey comb seperti sebelum ini. Bampar hadapan juga menampilkan skidplate keluli tahan karat hitam pekat baharu secara standard. Bonet hadapan gentian karbon ringan baharu juga diberikan, bersama dengan bumbung gentian karbon.

    Roda pula diberikan saiz 21-inci, dibaluti tayar Pirelli P Zero (285/45 hadapan dan 315/40 belakang). Pilihan roda Taigete 23-inci dan Nath 22-inci juga diberikan, sama ada dengan kemasan bronze, matte titanium atau diamond polish. Pada bahagian belakangnya juga diberikan bampar baharu, bersama rekaan corong ekzos berkembar dengan kemasan brushed steel. Corong ekzos juga boleh dipilih dalam kemasan sama ada krom, hitam pekat atau berkilat.

    Untuk rekaan dalam kabin pula, kini ia boleh dispesifikkan dengan palet warna dan kemasan baharu. Dipengaruhi dari Urus Performate yang menyerlahkan tema kabin Bi-colour Sportivo atau Bi-colour Sophisticated. Pilihan Sportivo digandingkan dengan upholstery kulit hitam dengan kemasan Blu Leandro, Verde Aura, tan, cream atau coklat. Pemilik SUV mewah ini juga boleh mengakses ciri termasuk Remote Park menerusi aplikasi Lamborghini Unica atau menggunakan fungsi kunci maya dengan kawalan jam pintar.

     
     
  • Ducati Multistrada V4 Rally 2023 diperkenal – lebih banyak teknologi canggih, pilihan tiga varian

    Ducati Multistrada V4 Rally 2023 diperkenal – lebih banyak teknologi canggih, pilihan tiga varian

    Ducati telah memperkenalkan satu model baru bagi motosikal jelajah mereka, iaitu Multistrada V4 Rally. Ia datang secara terus dengan tangki bahan api 30 liter, dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Ducati Red dan Brushed Aluminium & Matt Black, dengan kedua-duanya menggunakan rim spoked tanpa tiub 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    Ada tiga varian yang disediakan untuk Multistrada V4 Rally ini, iaitu Adventure Radar, Adventure Travel and Radar, serta Full Adventure. Model permulaan, Adventure Radar disediakan dengan sistem Adaptive Cruise Control dan Blind Spot Detection sementara Adventure Travel and Radar ditambah dengan beg tepi aluminium serta pemanas tangan dan tempat duduk. Model paling atas, Full Adventure pula ditambah lagi dengan ekzos Akrapovic serta penghadang lumpur hadapan gentian karbon.

    Enjin V4 Granturismo 1,158 cc pada Multistrada V4 sudah sedia ada sistem nyahaktif silinder belakang yang boleh mematikan operasi dua silinder apabila berhenti. Pada Multistrada V4 Rally ini pula, sistem itu dimajukan lagi dengan operasi mematikan dua silinder pada keadaan lain bagi menambah baik penggunaan bahan api serta emisi.

    Melihat kepada kuasa, jumlah yang mampu dihasilkan oleh Multistrada V4 Rally masih lagi sama, iaitu 170 hp pada 10,750 rpm dan tork 121 Nm pada 8,750 rpm, sementara untuk mod tunggangan pula, pilihan Enduro telah dilaras semula dengan pemetaan baru dan kuasa akan dihadkan kepada 114 hp.

    Multistrada V4 Rally ini terletak lebih tinggi hasil daripada jarak gerak suspensi semi aktifnya yang dinaikkan menjadi 200 mm, manakala penghadang angin hadapan dijadikan lebih tinggi bagi melindungi penunggang. Perubahan lain yang dibuat adalah getah peletak kaki penumpang lebih tebal serta tapak beg barangan yang dikebelakangkan sedikit bagi memberi lebih ruang kaki.

    Selain boleh rendah sendiri apabila berhenti dan bergerak di kelajuan rendah, suspensi Multistrada V4 Rally ini juga datang dengan fungis Easy Lift, yang dapat membantu penunggang menegakkan motosikal dan menaikkan tongkat dengan memampatkan suspensi apabila motosikal baru dihidupkan. Turut disediakan adalah sistem lain seperti Adaptive Cruise Control, Blind Spot Detection, Cornering ABS, Wheelie Control, Traction Control serta Cornering Lights.

     
     
  • 2.2 juta saman dikeluarkan Polis Johor tertunggak sejak 2014; 109,758 saman babitkan warga Singapura

    2.2 juta saman dikeluarkan Polis Johor tertunggak sejak 2014; 109,758 saman babitkan warga Singapura

    Polis Johor telah mendedahkan sebanyak 2.2 juta saman yang dikeluarkan sejak tahun 2014 masih belum dilunaskan oleh pesalah trafik. Ia membabitkan pelbagai kesalahan trafik dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 109,758 saman tertunggak membabitkan warga Singapura.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, mengikut statistik, pihaknya telah mengeluarkan 2.3 juta saman sejak 2014 sehingga kini dan setakat ini hanya 600,000 saman sudah dijelaskan. Di mana 23.5% saman warga Singapura sudah dijelaskan, manakala 76.4% lagi belum diselesaikan, laporan Malaymail.

    “Antara saman paling banyak adalah memandu laju melebihi had dan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, bermula hari ini, 30 September 2022, sehingga Ahad ini (2 Okt), Polis Johor menawarkan pengurangan bayaran saman 50% yang boleh dijelaskan di semua Balai Polis Trafik seluruh negeri.

    “Oleh itu, saya menggesa pesalah trafik, khasnya masyarakat Johor, boleh mengambil kesempatan menjelaskan saman mereka. Pergilah mana-mana balai polis trafik di 13 daerah di seluruh negeri bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang untuk melangsaikan saman trafik anda,” katanya.

     
     
  • Potong barisan catat kesalahan tertinggi dalam Op Rentas Sempadan Zon Selatan 27-29 Sept – JPJ

    Potong barisan catat kesalahan tertinggi dalam Op Rentas Sempadan Zon Selatan 27-29 Sept – JPJ

    Pada 27 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melaksanakan Op Rentas Sempadan Zon Selatan selama tiga hari yang melibatkan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

    Dalam operasi berkenaan, Pengarah JPJ Melaka berkata, kesalahan paling banyak yang dilakukan oleh pesalah trafik ialah memotong barisan iaitu sebanyak 252 kes berbanding keseluruhan 556 orang yang diambil tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas, laporan Bernama.

    “Kesalahan ini banyak dikesan di Cheng Heights, Bertam Malim dan Padang Keladi. Antara alasan pengguna jalan raya yang memotong barisan ialah hendak cepat dan tidak mahu menunggu giliran namun kita tidak berkompromi dengan alasan diberikan.

    “Lorong kecemasan hanya boleh digunakan kenderaan yang dibenarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 antaranya ambulans, kereta polis serta JPJ selain mereka yang menjalankan tugas,” katanya pada sidang akhbar Op Rentas Sempadan Zon Selatan Siri Dua Tahun 2022 semalam.

    Beliau menambah memotong barisan boleh dikenakan tindakan mengikut APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 dan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan.

    Beliau berkata sepanjang operasi itu juga, sebanyak 956 kenderaan diperiksa dan 662 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai kenderaan, cermin gelap dan tayar tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

     
     
  • Honda CB1000R 2023 diberi penampilan baharu

    Honda CB1000R 2023 diberi penampilan baharu

    Penawaran tertinggi Honda untuk model Neo Sports Cafe mereka, iaitu CB1000R kini diberikan peningkatan untuk keluaran tahun 2023. Ia cuma melibatkan perubahan warna, dengan model standard ditawarkan dalam warna baru Bordeaux Red Metallic manakala versi Black Edition menggunakan warna Mat Jeans Blue Metallic.

    Bahagian lain semuanya masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin, yang menggunakan unit empat silinder sebaris DOHC 998 cc bersama padanan transmisi enam gear untuk menghasilkan 143 hp pada 10,500 rpm dan 104 Nm tork pada 8,250 rpm.

    Enjin ini sudah melepasi tahap emisi Euro 5 dan pengguna boleh memilih penyampaian kuasa melalui empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport dan User. Selain daripada itu, mereka juga boleh melaras Engine Power (P), Engine Brake (EB) dan Honda Selectable Torque Control (HSTC) dalam tiga tahap.

    Suspensi CB1000R menggunakan padanan fork Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) boleh laras sepenuhnya di hadapan, manakala di belakang menggunakan monoshock Showa dengan pelarasan pra beban dan lantunan. Untuk brek, terdapat tetapan cakera berkembar 310 mm berserta angkup empat piston di hadapan, sementara di belakang terdapat cakera 256 mm dan angkup dua piston.

    Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT 5.0 inci untuk paparan segala informasi dan boleh disambung kepada telefon pintar melalui Honda Smartphone Voice Control System. Berat keseluruhan CB1000R adalah 212 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 16.2 liter.

     
     
  • BMW S1000RR 2023 terima peningkatan aerodinamik, enjin, casis dan elektronik – kuasa 210 hp, 113 Nm

    BMW S1000RR 2023 terima peningkatan aerodinamik, enjin, casis dan elektronik – kuasa 210 hp, 113 Nm

    Superbike terkenal BMW S1000RR terus diberi peningkatan untuk model keluaran tahun 2023. Antara yang menerima perubahan dan naik taraf adalah bahagian aerodinamik, enjin, pakej suspensi dan casis, serta sistem elektronik.

    Keseluruhan panel badan S1000RR 2023 ini adalah baru, dan pada fairing hadapan terdapat rekaan winglet baru yang kelihatan hampir seperti sayap kapal jet pejuang dari atas. Winglet ini direka untuk memberi lebih daya tolak ke bawah, sementara penghadang angin yang lebih tinggi memberikan lebih pelindungan kepada penunggang semasa kelajuan tinggi.

    Bahagian belakang pula dijadikan lebih sporty dan ringan, bersama pemegang nombor plat yang lebih pendek, soket pengecas USB di tengah-tengah, antara tempat duduk utama dan tempat duduk penumpang, serta bateri BMW M jenis serba ringan. Pilihan warna yang disediakan untuk model 2023 ini adalah Blackstorm Metallic, Style Passion Racing Red dan Lightwhite BMW M.

    Untuk enjin, unit empat silinder sebaris yang sama masih lagi digunakan, tetapi ia telah ditala semula untuk menghasilkan sehingga 210 hp pada 13,750 rpm, iaitu 3 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini. Tork maksimum yang mampu dihasilkan adalah 113 Nm pada 11,000 rpm, manakala tahap puncak putaran enjin ditetapkan pada 14,600 rpm.

    Tambahan sistem Brake Slide Assist dan Slide Control membenarkan penunggang untuk melungsur masuk dan keluar selekoh menggunakan satu daripada dua tetapan sudut drift yang disediakan. Pada bahagian casis, perubahan yang diberi adalah termasuk sudut pemegang yang dikurangkan separuh darjah, manakala triple clamp offset dikurangkan tiga mm.

     
     
  • Honda CR-V generasi keenam dilihat diuji di Thailand sekali lagi — ditawarkan dalam versi turbo dan hibrid?

    Honda CR-V generasi keenam dilihat diuji di Thailand sekali lagi — ditawarkan dalam versi turbo dan hibrid?

    Thailand nampaknya akan menerima pengenalan Honda CR-V generasi keenam: sekali lagi, model tersebut dikesan sedang diuji di sana. Kali ini, dua unit CR-V terbaru itu dilihat di lebuhraya oleh Jeerasak Suwanpeuch, dengan mengenakan pelekat samaran hampir seluruhnya.

    Dalam satu gambar yang ada, kita boleh melihat bahagian depan CR-V yang direka semula, mencadangkan ia mungkin varian hibrid. Di pasaran Amerika Syarikat di mana CR-V ini membuat penampilan sulungnya, ia ditawarkan dalam varian Sport dan Sport Touring dengan sistem janaan petrol hibrid dan mengenakan wajah depan yang sama. Elemen rekaan utamanya adalah gril depan bentuk hexagonal, dan di belakang dengan muncung ekzos trapezoidal.

    Versi bukan hibrid di AS pula (varian EX dan EX-L) menerima enjin VTEC Turbo, dengan rekaan gril yang sedikit berbeza dan tiada penyudah sama pada ekzosnya. Kedua-dua penampilan ini bagaimanapun boeh digandingkan dengan pakej Honda Performance Development (HPD) yang menambah kemasan bahagian bawah bampar depan, kemasan pada pintu, lengkuk roda yang lebih ketara serta spoiler belakang — imej sama ditunjukkan ketika pertama kali CR-V ini ditunjuk Julai lalu.

    CR-V versi hibrid menggunakan tetapan yang sama dengan Civic e:HEV, dengan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson empat-silinder dan e-CVT dan menghasilkan ouptu keseluruhan 204 hp (207 PS). Bagi versi VTEC Turbo pula, ia menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder dengan janaan 190 hp (193 PS) dan 243 Nm tork, dan digandingkan dengan CVT yang lebih senyap.

    Honda CR-V generasi keenam ini juga saiznya lebih besar berbanding sebelumnya, dengan ukuran 4,694 mm panjang (+69 mm) dan 1,864 mm lebar (+10 mm), sementara ketinggiannya dikurangkan sedikit kepada 1,681 mm (-8 mm). Jarak antara rodanya pula ditambah 40 mm, kini menjadi 2,700 mm. Bila agaknya model ini akan ke Malaysia?

     
     
  • Musim peralihan monsun bermula minggu depan, kenderaan anda sudah ada perlindungan banjir?

    Musim peralihan monsun bermula minggu depan, kenderaan anda sudah ada perlindungan banjir?

    Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa negara ini akan melalui fasa peralihan monsun yang dijangka bermula pada 3 Oktober 2022 hingga November 2022 nanti. Ini bermakna, sekali lagi kita akan memasuki situasi keadaan cuaca hujan lebat dan ribut petir serta angin kencang di kebanyakan kawasan di seluruh negara.

    Dan, seperti yang selalu kita hadapai pada tahun-tahun sebelum ini, itu bermakna bencana banjir atau banjir kilat juga sangat berkemungkinan akan terjadi lagi. Dengan peringatan ini, maka adalah sangat penting untuk pengguna dan pemilik kenderaan untuk melihat semula serta menambah perlindungan tambahan bencana alam untuk kenderaan.

    Jika kenderaan anda belum dilindungi daripada bencana banjir atau istilahnya, special perils ini, ada baiknya untuk anda beri perhatian kepada hal tersebut, sebelum terlambat. Ia sangat penting, kerana tanpanya, kos baik pulih kenderaan — sekiranya terlibat dengan kerosakan akibat banjir — akan jadi begitu tinggi untuk ditanggung oleh kebanyakan orang menggunakan poket sendiri.

    Musim peralihan monsun bermula minggu depan, kenderaan anda sudah ada perlindungan banjir?

    Jadi, berapa banyak RM perlu ditambahn jika anda ingin mengambil perlindungan special perils untuk bencana alam ini? Ia biasanya dikira berdasarkan kadar tertentu dari nilai jumlah yang diinsurankan untuk kereta anda – jumlahnya tidak tetap, ada yang mahal dan ada yang murah, bergantung kepada penawaran dari syarikat insurans masing-masing.

    Kalau diikutkan, ia juga tidaklah terlalu mahal. Ini ada beberapa kadar tambahan insuran untuk bencana alam yang sempat kami kumpulkan, melibatkan beberapa penyedia insurans utama di Malaysia — ini termasuklah AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadar yang dikenakan adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda.

    Musim peralihan monsun bermula minggu depan, kenderaan anda sudah ada perlindungan banjir?

    Sebagai contoh, jika jumlah yang diinsurankan untuk kereta anda adalah RM25,000, anda hanya perlu membayar serendah RM50 untuk perlindungan tambahan special perils ini untuk insuran seperti Allianz, AXA, MSIG dan Tokio Marine. Untuk insuran yang mengenakan kadar lebih tinggi seperti AIA, AIG, Etiqa, Kurnia, RHB dan Takaful, jumlah bayaran tambahan untuk kereta yang diinsurankan sebanyak RM25,000 tersebut adalah antara RM63 sehingga RM125.

    Jumlah ini sebenarnya adalah sangat rendah jika dibandingkan sekiranya anda perlu menggunakan duit dalam poket sendiri untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Jadi, ada baiknya juga kita melakukan persiapan yang perlu — termasuklah mendapatkan insurans bencana alam ini — dan elakkan kerunsingan berlebihan jika terkesan kelak. Baca juga perincian berkenaan hal ini di sini.

     
     
  • BMW XM dalam laman web M’sia, pendaftaran minat dibuka — SUV plug-in hybrid dengan 653 PS/800 Nm

    BMW XM dalam laman web M’sia, pendaftaran minat dibuka — SUV <em>plug-in hybrid</em> dengan 653 PS/800 Nm

    Tak lama selepas BMW XM G09 membuat penampilan sulungnya, ia kini tampil dalam laman web BMW Malaysia dengan borang untuk mendaftarkan minat bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut model SUV prestasi plug-in hybrid ini.

    Dengan output keseluruhan sistem sebanyak 653 PS dan 800 Nm, XM menggunakan enjin S68 4.4 liter biturbo V8 petrol yang menghasilkan 489 PS dari 5,400 hingga 7,200 rpm dan 650 Nm tork dari 1,600 hingga 5,000 rpm. Kuasanya dihantar ke semua roda melalui transmisi automatik Steptronic lapan-kalajuan, memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan laju maksimum 250 km/j (270 km/j dengan Pakej M Driver; maksimum dalam mod elektrik ialah 140 km/j).

    Pacuan elektrik pula menggunakan bateri lihtium-ion 25.7 kWh yang terletak di bawah lantainya, yang menyalurkan kuasa untuk motor elektrik yang menghasilkan 197 PS dan 280 Nm tork, yang terletak di dalam transmisinya.

    Ini membolehkan XM memberikan jarak elektrik sepenuhnya sekitar 82-88 km mengikut kitara WLTP, dan baterinya boleh dicas semula melalui Type 2 AC hingga 7.4 kW, dan cas 0-100% mengambil masa 4.25 jam.

    Tetapan casis pula menggunakan jenis double wishbones di depan dan five-link di belakang, disertai oleh suspensi M Profesional adaptif yang menampilkan penyerap hentak kawalan elektronik dan active roll stabilisation yang memanfaatkan sistem elektrikal 48-volt.

    Ciri Integral Active Steering menyediakan kendalian semua roda, sementara rim pula bersaiz 21-inci dengan tayar 275/45 di depan dan 315/40 di belakang, dengan pilihan 22-inci dan 23-inci turut ditawarkan. Brek hadir dengan angkup enam-piston di depan dan piston tunggal di belakang.

    Di dalam, XM menampilkan paparan khusus M dengan BME Operating System 8, dengan paparan lengkung menggabungkan 12.3-inci paparan instrumen untuk pemandu dan 14.9-inci paparan kawalan sentuh. Maklumat lanjut tentang model ini untuk pasarn Malaysia bakal menyusul nanti.

     
     
  • Audi RS3 Sedan 2023 bakal tiba di Malaysia — 2.5L turbo lima-silinder dengan janaan 400 PS dan 500 Nm

    Audi RS3 Sedan 2023 bakal tiba di Malaysia — 2.5L turbo lima-silinder dengan janaan 400 PS dan 500 Nm

    Barisan model Audi RS di Malaysia ketika ini ada lima model, iaitu RS4 Avant, RS5 Sportback, RS6 Avant, RS7 Sportback dan yang terbaru, RS Q8. Selepas ini, ia akan menerima pula penambahan RS3 Sedan, yang khabarnya akan membuat penampilan sulung di Malaysia minggu depan, menurut hantaran di laman Facebook Audi Centre Glenmarie.

    Model dalam generasi kedua ketika ini, RS3 Sedan mula diperkenalkan di peringkat global pada Julai lalu, sekali dengan RS3 Sportback. Sebagai pesaing kepada C118 Mercedes-AMG CLA45 S 4 Matic+, RS3 Sedan ini dilengkapi enjin 2.5 liter turbocas lima-silinder sebaris yang menghantar kuasa ke semua roda menerusi transmisi tujuh-kelajuan klac berkembar S-tronic dan sistem pacuan semua roda quttro.

    Enjin lima-selinder ini menghasilkan sebanyak 400 PS (394 hp) dari 5,600 hingga 7,000 rpm dan 500 Nm tork dari 2,250 hingga 5,600 rpm. Angka ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat dan laju maksimum 250 km/j. Dengan semua peningkatan terbaru yang dilakukan, model ini mencatat masa pusingan di litar Nürburgring Nordschleife dalam 7 minit dan 40.748 saat, mengatasi rekod pusingan sebelum ini sebanyak 4.64 saat untuk menjadi kereta kompak terpantas di situ.

    Audi RS3 Sedan 2023 bakal tiba di Malaysia — 2.5L turbo lima-silinder dengan janaan 400 PS dan 500 Nm

    Sistem janaan dan pacuan kuasanya juga menampilkan ciri differential gandar belakang yang digelar RS Torque Splitter, yang membolehkan vektoring tork pembolehubah penuh untuk roda belakang. Sistem ini menggunaan klac multi-cakera yang dikawal secara elektronik bagi setiap driveshaft.

    Pemandu juga boleh memilih mod pemanduan RS Performance yang baru, yang akan menyelaraskan sistem janaan untuk memberikan prestasi optimum dalam litar. Selain itu turut ada mod RS Torque Rear atau ringkasnya, mod untuk melakukan drift. Mod lain yang tersedia termasuklah Comfort, Auto, Dynamic, RS Individual dan Efficiency.

    Tambahan terbaru untuk RS3 Sedan adalah ciri pengawal dinamik kenderaan modular (mVDC). Sistem sentral ini mengumpulkan data daripada semua komponen janaan yang berkaitan dinamik lateral untuk memastikan ia berinteraksi secara tepat dan pantas.

    Audi RS3 Sedan 2023 bakal tiba di Malaysia — 2.5L turbo lima-silinder dengan janaan 400 PS dan 500 Nm

    Suspensi RS Sport dengan kawalan penyerap hentak adaptif juga ada ditawarkan sebagai pilihan kepada tetapan standard pasif sedia ada, sementara cakera brek seramik juga ada ditawarkan sebagai pilihan. Model ini menggunakan suspensi McPherson strut di depan dan tetapan four-link di belakang.

    RS3 Sedan tampil dengan imej agresif dengan bukaan udara besar yang spesifiki untuk bampar depan RS, rekaan lampu utama yang cantik (LED standard, Matrix LED sebagai pilihan), rekaan bahagian belakang yang diperkemas dengan lampu isyarat dinamik, bampar belakang khas RS serta sistem ekzos RS.

    Di dalam ada kokpit virtual Audi 12.2-inci serta skrin sentuh 10.1-inci untuk sistem infotainmen. Ciri khas RS yang lain termasukah petunjuk penukaran gear, paparan status sistem janaan, serta pertama kali untuk barisan RS3 ialah head-up display. Tak sabar tunggu minggu depan untuk maklumat lanjut?

     
     
  • Ford Ranger Raptor 2023 dilancarkan di Malaysia pada 7 Oktober – 3.0L turbo V6 petrol atau 2.0L turbodiesel?

    Ford Ranger Raptor 2023 dilancarkan di Malaysia pada 7 Oktober – 3.0L turbo V6 petrol atau 2.0L turbodiesel?

    Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) telah mengesahkan Ford Ranger Raptor serba baharu bakal dilancarkan di Malaysia pada 7 Oktober 2022. Sebelum ini, SDAC pernah mendedahkan trak pikap yang memfokuskan prestasi ini dijangka akan tiba di pasaran tempatan pada suku keempat tahun ini – dengan unit berwarna merah telah dipertontonkan sewaktu pelancaran barisan Ranger biasa pada Julai lalu.

    Model sebelumnya, Ranger Raptor generasi pertama dijanakan oleh enjin 2.0 liter EcoBlue turbo-berkembar empat-silinder diesel dengan kuasa 213 PS dan tork 500 Nm, dipadankan bersama unit transmisi automatik 10-kelajuan 10R80 dan sistem pacuan semua-roda.

    Bagi model terkini, generasi kedua Raptor menerima enjin 3.0 liter turbo-berkembar EcoBoost V6 petrol yang diambil dari Bronco Raptor. Penjana kuasa ini dipadankan dengan unit tranmisi 10R80 dan sistem 4WD yang sama, dengan hamburan kuasa 397 PS pada 5,650 rpm dan 583 Nm pada 3,500 rpm. Penjana kuasa ini standard bagi Ranger Raptor untuk hampir kesemua pasarannya.

    Walau bagaimana pun, pengeluarnya berkata unit turbodiesel juga akan diteruskan dan ditawarkan untuk pasaran terpilih di mana enjin V6 tidak bersesuaian. Kalau di pasaran Australia dan Thailand, Ranger Raptor menerima enjin V6. Untuk pasaran negara kita, masih menjadi rahsia, kena tunggu pelancarannya.

    Suspensi trak pikap ini direka semula sepenuhnya, kini dengan lengan kawalan atas dan bawah aluminium, diberikan sistem Watt’s Linkage pada gandar belakang, bersama penyerap hentak off-road dengan strok panjang yang masih dibekalkan oleh Fox. Penyerap hentak tersebut menampilkan injap pirau dalaman 2.5-inci bersama Teflon yang disalut minyak bagi mengurangkan geseran sehingga 50% berbanding model sebelum ini.

    Untuk sistem pacuan semua roda, buat pertama kali Ranger Raptor menerima sistem kekal termaju, dilengkapi transfer case dua-kelajuan yang dikawal secara elektronik. Gandar hadapan dan belakang kini dipadankan dengan locking differential bagi memberikan cengkaman lebih kuat.

    Ford Ranger Raptor ini juga kini menerima sistem Trail Control iaitu sistem cruise control untuk jalan off-road, yang boleh digunakan oleh pemandu sekiranya mereka mahu menumpukan terhadap kawalan stereng ketika melalui laluan yang dengan permukaan mencabar. Sistem ini boleh beroperasi sehingga kelajuan maksima 32 km/j.

    Jika anda mahu menjadi antara rakyat Malaysia yang terawal untuk menyaksikan Ranger Raptor beraksi di trek berinspirasikan Baja berdekatan dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), SDAC mengalu-alukan pendaftaran anda menerusi laman webnya bagi acara umum yang dianjurkan pada 7-9 Oktober ini. Bukan setakat Ranger Raptor, turut dipertontonkan dalam acara berkenaan ialah varian Ranger biasa dan juga model terkini Everest.

    GALERI: Ford Ranger Raptor 2023

     
     
  • Honda Rebel 500 2023 diberi perubahan penampilan

    Honda Rebel 500 2023 diberi perubahan penampilan

    Bagi model keluaran tahun 2023, Honda telah memperbaharui model Rebel 500 dengan tiga warna baru bagi model standard, iaitu Mat Gunpowder Black Metallic, Pearl Smoky Gray dan Candy Diesel Red, sementara model S yang datang dengan pelindung lampu hadapan (headlamp cowl), pelindung fork warna hitam, serta tempat duduk dibalut fabrik jahitan diamond ditawarkan dalam warna baru Titanium Metallic.

    Spesifikasi teknikal motosikal bergaya ala bobber ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin yang terdiri daripada unit dua silinder, lapan injap, DOHC 471 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, bersama gabungan transmisi enam kelajuan, menghasilkan 46 hp pada 8,500 rpm dan 43.3 Nm tork pada 6,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada roda belakang melalui sistem rantai.

    Diperkenalkan kali pertama pada tahun 2017, Rebel 500 kemudiannya diberikan peningkatan pada tahun 2020, yang termasuk tempat duduk serta tetapan suspensi lebih selesa dan praktikal, rekaan lampu LED baru berserta lampu penunjuk arah LED serta sistem ekzos serba baru yang membantu ia mendapat penarafan emisi Euro 5.

    Rim 16 inci pada Rebel 500 dibalut dengan tayar yang tebal, iaitu bersaiz 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang, sementara suspensinya pula adalah berjenis konvensional, terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di hadapan dan dua penyerap hentak Showa di belakang.

    Kelengkapan lain Rebel 500 adalah termasuk tangki bahan api 11.2 liter, panel meter digital, brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem ABS two-channel, klac assist & slipper, tinggi tempat duduk 690 mm dan berat 191 kg. Motosikal ini juga ditawarkan dengan pelbagai aksesori tambahan di dalam katalog Honda seperti beg barangan, soket pengecas USB, penyandar belakang dan pelindung lampu hadapan.

     
     
  • JPJ nasihati orang ramai jangan terpengaruh dengan iklan palsu bantuan lesen memandu percuma

    JPJ nasihati orang ramai jangan terpengaruh dengan iklan palsu bantuan lesen memandu percuma

    Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menasihati orang ramai agar tidak terpengaruh dengan iklan palsu berhubung bantuan lesen memandu percuma untuk semua golongan. Perkara ini didedahkan selepas JPJ menerima laporan berkaitan iklan yang tersebar menerusi aplikasi Whatsapp.

    “Menerusi iklan yang telah menyalahgunakan gambar Perdana Menteri Malaysia itu, sindiket berkenaan mempromosikan lesen memandu percuma yang boleh didaftarkan, melalui pautan https://www.motif.my/bantuan-lesen/.

    “Bukan itu sahaja, orang ramai turut dipelawa untuk menyertai ‘group whatsapp’ di pautan https://www.portalmalaysia.com/whatsappgroupbantuan, untuk memperdaya lebih ramai mangsa. JPJ ingin memaklumkan bahawa iklan tersebut adalah palsu,” tegas JPJ.

    Sehubungan itu, JPJ memandang serius terhadap penipuan sindiket lesen terbang ini dan siasatan lanjut akan dilakukan termasuk membuat laporan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM).

    Justeru, JPJ turut menyarankan agar orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih tepat dan sahih untuk terus menghubungi cawangan JPJ yang berdekatan.

     
     
  • Stesen pengecasan EV hanya ada kurang 1,000 unit di Malaysia, jumlahnya perlu dipertingkatkan – MOSTI

    Stesen pengecasan EV hanya ada kurang 1,000 unit di Malaysia, jumlahnya perlu dipertingkatkan – MOSTI

    Walau pun sebelum ini Kementerian Sains, Teknolofi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan 5,000 stesen pengecasan bagi kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara pada tahun ini dengan penumpuan di bandar-bandar utama, tetapi setakat ini jumlah stesen tersebut masih kurang.

    Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim, yang berkata buat masa ini, jumlah stesen pengecasan tersebut masih masih rendah iaitu kurang daripada 1,000 stesen yang direkodkan di seluruh negara, laporan Bernama.

    “Selain tumpuan di bandar-bandar utama, kita juga dapat permintaan daripada negeri lain bagi membolehkan kenderaan ini berjalan dari negeri ke negeri dan memerlukan kemudahan stesen pengecasan sepanjang jalan.

    “Jadi, usaha sedang dilaksanakan kerajaan dengan memanggil semua pihak berkepentingan bagi membolehkan kita melihat bagaimana untuk memperbanyakkan lagi stesen pengecasan,” katanya.

    Menurutnya, MOSTI memberi penekanan terhadap teknologi berkenaan bagi mempercepatkan usaha meningkatkan penggunaan EV sekali gus menangani masalah peningkatan pelepasan karbon dalam negara. Dalam masa sama pelbagai penyelidikan sedang dilaksanakan bagi membolehkan negara turut terlibat dalam industri berkaitan komponen EV antara lain berkaitan kemudahan penyimpanan tenaga bateri.

     
     
  • Kereta langgar penghadang plastik sementara dan masuk lubang, semua penumpang terselamat

    Kereta langgar penghadang plastik sementara dan masuk lubang, semua penumpang terselamat

    Ini sebuah kemalangan yang dari banyak sisi tidak harus berlaku. Sebuah kereta dilaporkan telah termasuk dalam sebuah lubang hasil daripada kerja-kerja baik pulih yang dijalankan di Setiawangsa, Kuala Lumpur di Jalan 1/56 berdekatan kawasan perumahan AU3, semalam. Bagaimanapun, pemandu dan penumpangnya selamat, lapor The Vibes.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah, kereta tersebut yang dipandu oleh seorang wanita berusia 32 tahun telah melanggar penghadang plastik sementara di lorong kanan laluan itu yang sedang dibaiki dan termasuk ke dalam lubang yang ada.

    Bernasib baik, walaupun terjerumus ke dalam lubang berkenaan, penumpang yang ada tidak mengalami sebarang kecederaan terus, dan kereta berkenaan telah selamat ditunda keluar dari kawasan itu. Kes ini diklasifikasikan di bawah Peraturan 10, Peraturan Trafik Jalanraya 1959 (LN166/59), kerana terlelap ketika memandu atau memandu secara merbahaya dan cuai, jelas beliau.

    Harapnya lebih ramai daripada pengguna akan lebih peka dan berhati-hati ketika berada di jalan raya. Banyak kemalangan yang tidak perlu terjadi ke atas sesiapa pun, sekiranya kita lebih bertanggungjawab dan prihatin dengan keadaan diri sendiri, dan juga orang lain.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025