Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Monkey 125 2023 diperkenal – gaya lebih retro

    Honda Monkey 125 2023 diperkenal – gaya lebih retro

    Honda telah memperkenalkan Monkey 2023 di Eropah. Motosikal yang diletakkan dalam kategori “fun bike” ini kali terakhir diberi peningkatan pada tahun 2021, di mana pada waktu itu, ia menerima transmisi lima kelajuan serta beberapa peningkatan lain.

    Sekarang bagi model tahun 2023, apa yang diubah cumalah penampilannya sahaja. Warna baru Pearl Shining Black, Banana Yellow dan Pearl Nebula Red itu sekali pandang mungkin nampak sama, tetapi sebenarnya jika diperhatikan, coraknya adalah berlainan dan kerangka serta lengan ayun juga diwarnakan sama (bukan lagi hitam).

    Honda mahu menerapkan lebih lagi gaya Monkey 60-an pada model baru ini, dan ia membawa kepada tempat duduk yang dibalut dengan kain bercorak tartan klasik serta jahitan bersilang. Warna tempat duduk ini adalah mengikut warna badan motosikal dan yang paling menyerlah adalah warna merah.

    Honda Monkey 125 2023 diperkenal – gaya lebih retro

    Kelengkapan teknikal masih lagi sama, bermula dengan enjin silinder penyejukan udara 124 cc PGM-Fi, digabungkan bersama transmisi lima kelajuan, menghasilkan 9.25 hp pada 6,750 rpm dan 11 Nm tork pada 5,500 rpm. Bermula tahun 2021, enjin ini telah dipadankan bersama catalytic converter serta salur udara yang direka semula, supaya ia dapat mematuhi tahap emisi Euro 5.

    Kelengkapan lain Monkey 125 2023 adalah termasuk fork USD dengan jarak gerak 100 mm, dua penyerap hentak di belakang, cakera brek tunggal 220 mm di hadapan dan 190 mm di belakang (ABS), rim 12 inci yang dibalut tayar 120/80 di hadapan dan 130/80 di belakang, tangki bahan api berkapasiti 5.6 liter serta berat keseluruhan 104 kg.

     
     
  • KPDNHEP kesan kegiatan jual kad TnG NFC dengan harga berlipat kali ganda menerusi dalam talian

    KPDNHEP kesan kegiatan jual kad TnG NFC dengan harga berlipat kali ganda menerusi dalam talian

    Isu penjualan kad TnG Enhanced dengan NFC secara dalam talian dengan tawaran harga yang berlipat kali ganda berbanding harga sebenarnya telah pun tular sejak ia diperkenalkan pada April lalu. Bukan setakat ia dijual pada harga RM19 sekeping, malah ada juga penjual dalam talian yang meletakkan harga sehingga RM65 sekeping. Walhal harga yang ditetapkan oleh pengeluarnya hanyalah RM10 sekeping.

    Ekoran isu ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil tindakan untuk mengesan kegiatan penjualan kad terbabit di platform dalam talian. Menurut menterinya, Alexander Nanta Linggi, setakat ini Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP menerima empat aduan rasmi mengenai kad TnG NFC dan mengesan 13 iklan jualan kad berkenaan membabitkan beberapa platform dalam talian, laporan Bernama.

    “Berdasarkan siasatan awal, penjualan kad TnG NFC itu turut membabitkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak. Individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC TnG yang asalnya berharga RM10 tanpa ada sebarang kredit di dalamnya pada kadar lebih lima kali ganda, menerusi platform pasaran dalam talian,” katanya.

    Tambah beliau, berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes berkenaan.

    Di mana sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut maklum balas atau penjelasan rasmi dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.

    “Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya sambil menambah KPDNHEP dijangka mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG minggu ini bagi mendapatkan status kaedah semasa penjualan kad NFC TnG dan status isu kekurangan bekalan kad berkenaan.

    Bagi yang ingin mendapatkan kad TnG NFC dengan edisi terhad United Voice, kini ia sedang ditawarkan pada harga RM25 dan boleh dibeli di NU Sentral sehingga 5 Oktober ini. Kad tersebut menampilkan 10 rekaan daripada 10 lukisan yang berbeza dan ditawarkan sebanyak 4,000 keping bagi setiap satu rekaan. Ini bermakna ada 40,000 keping kad TnG NFC yang ditawarkan sehingga tarikh berkenaan. Pembelian dihadkan sebanyak dua keping untuk setiap individu.

     
     
  • Rapid KL bakal lanjutkan operasi LRT di Stesen Bukit Jalil sehingga jam 1 pagi pada 1 Oktober 2022

    Rapid KL bakal lanjutkan operasi LRT di Stesen Bukit Jalil sehingga jam 1 pagi pada 1 Oktober 2022

    Rapid KL telah mengumumkan operasi perkhidmatan LRT di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada 1 Oktober 2022. Lanjutan ini bagi menyokong keperluan pengguna untuk menghadiri beberapa acara di sekitar Kompleks Sukan Negara.

    Mengikut kenyataan yang dikeluarkan, operasi di stesen-stesen sambungan juga akan turut dilanjutkan bagi membawa penumpang ke destinasi akhir.

    “Sehubungan itu, para penguna diminta menggunakan kad TNG untuk kelancaran perjalanan,” kata kenyataan terbabit. Dalam masa yang sama, para pengguna juga boleh mengikuti laman sosial Rapid KL untuk mengetahui makluman lanjut mengenai perkhidmatan pengangkutan awam kendaliannya.

     
     
  • BYD bakal masuk M’sia di bawah Sime Darby Motors — EV Atto 3 dan e6 bakal jadi penawaran terawal

    BYD bakal masuk M’sia di bawah Sime Darby Motors — EV Atto 3 dan e6 bakal jadi penawaran terawal

    Sime Darby Motors (SDM) Malaysia hari ini menandatangani persetujuan pengedaran untuk BYD, sebuah jenama pengeluar kenderaan tenaga baru utama di dunia. Ini juga akan menjadi permulaan kepada pengenalan model-model elektrik (EV) dari BYD untuk pasaran tempatan, dengan SDM bertindak selaku pengedarnya.

    Dengan itu dua model akan menjadi yang pertama untuk diperkenalkan di sini, iaitu BYD Atto 3 dan juga e6. “Selari dengan komitmen kami untuk merancakkan lagi penggunaan EV di Malaysia, kami berbesar hati untuk mengalu-alukan BYD ke dalam barisan jenama pengeluar kenderaan bertaraf dunia yang kami wakili.

    BYD bakal masuk M’sia di bawah Sime Darby Motors — EV Atto 3 dan e6 bakal jadi penawaran terawal

    BYD merupakan pengeluar utama bagi kenderaan tenaga baru dan kerjasama ini akan membawa kepakaran BYD ke pasaran Malaysia menerusi pelbagai model EV nanti. Ini juga salah satu langkah yang diambil oleh Sime Darby Motors dalam matlamatnya untuk menjadi pendahulu dalam pasaran EV,” jelas Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Andrew Basham.

    Pengurus Besar, BYD Asia Pasifik Bahagian Jualan Auto, Liu Xueliang pula berkata; “Malaysia merupakan pasaran penting untuk kami memperluaskan jangkauan, memandangkan ia memiliki banyak peluang bagi pertumbuhan ekosistem EV. Dan, dengan rekod baik yang telah terbukti oleh Sime Darby Motors di Asia Pasifik, kami sangat teruja untuk menjadi rakan niaganya dalam memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat di Malaysia.”

     
     
  • Kad TnG NFC Enhanced United Voice edisi terhad dilancar – 10 rekaan, setiap satu ada 4k keping, RM25

    Kad TnG NFC Enhanced United Voice edisi terhad dilancar – 10 rekaan, setiap satu ada 4k keping, RM25

    Sebagai sebahagian daripada kerjasama jangka panjang untuk mengutip dana bagi organisasi bukan kerajaan (NGO) United Voice, Touch ‘n G (TnG) telah mengumumkan pengenalan kad TnG Enhanced dengan NFC edisi terhad yang menampilkan karya terpilih daripada pelbagai pelukis United Voice.

    Pihak TnG telah membeli 10 lukisan, satu bagi setiap pelukis, dan lukisan berkenaan telah menjadi penghias kad TnG berkenaan. Malahan lukisan terbabit juga dipamerkan di ruang pameran di Nu Sentral, sehingga 5 Oktober ini, dan kad NFC terbabit juga dijual secara eksklusif dalam acara terbabit.

    Menurut TnG, sebanyak 4,000 keping bagi setiap rekaan, secara keseluruhannya mencecah 40,000 keping kad TnG untuk dibeli. Dengan sasaran untuk meningkatkan sumbangan kepada United Voice, kad NFC edisi istimewa ini akan dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding kad NFC biasa, iaitu RM25 sekeping (kad NFC biasa berharga RM10 sekeping). Pembelian kad ini terhad dua keping untuk seorang pembeli.

    Kad TnG NFC Enhanced United Voice edisi terhad dilancar – 10 rekaan, setiap satu ada 4k keping, RM25

    Sebahagian daripada hasil jualan kad itu akan disalurkan kepada United Voice untuk operasi harian mereka serta projek untuk memacu pendapatan baharu dan peluang pekerjaan untuk ahli mereka, seperti kedai kopi bergerak, bengkel jahitan dan program keusahawanan.

    Ditubuhkan pada tahun 2005, United Voice ialah NGO pertama Malaysia yang dikendalikan oleh orang kurang upaya pembelajaran. Ia memperjuangkan advokasi diri untuk mengurangkan pengasingan orang kurang upaya pembelajaran seperti sindrom Down, autisme, attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) dan cerebral palsy, memberikan mereka alat, latihan, platform dan pengalaman untuk mengawal kehidupan mereka.

    Jika anda memang mencari-cari kad TnG Enhanced dengan NFC, inilah peluang untuk anda mendapatkannya sambil beramal. Kunjungi NU Sentral untuk mendapatkan kad ini dalam tempoh sehingga 5 Oktober 2022.

     
     
  • Harga minyak 29 Sept-5 Okt – RON97 turun 5 sen

    Harga minyak 29 Sept-5 Okt – RON97 turun 5 sen

    Bagi minggu bertarikh 29 September hingga 5 Oktober 2022, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 turun sebanyak lima sen seliter, menjadi RM4.00 seliter berbanding RM4.05 seliter pada minggu sebelum inu.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 5 Oktober 2022.

    Untuk harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala untuk diesel Euro B10/B20 juga, harganya turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Penceroboh tol kantoi di AKLEH – Prolintas giat kesan pengguna culas bayar tol di lebuhraya kendaliannya

    Penceroboh tol kantoi di AKLEH – Prolintas giat kesan pengguna culas bayar tol di lebuhraya kendaliannya

    Menerusi ciapan yang dikongsikan di Twitter rasminya, Prolintas selaku pengendali Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) telah mendedahkan beberapa kenderaan telah berjaya ditahan di lebuhraya terbabit malam tadi atas kesalahan tidak membayar kadar tol.

    Kenderaan terbabit telah ditahan di Plaza Tol Dato Keramat dan menurut Prolintas, salah sebuah kenderaan yang ditahan ialah Proton X50 dengan tunggakan bayaran tol sebanyak RM57.50 dan amaun kerugian telah dilunaskan pada masa dan di lokasi sama.

    Ekoran kes sebegini, Prolintas turut berkata pihaknya terus giat menjalankan operasi mengesan penceroboh tol melalui pasukan operasi lebuh raya bagi menahan pengguna tidak bertanggungjawab agar melangsaikan tunggakan bayaran tol.

    Sebenarnya kes sebegini telah lama berlaku di plaza tol di kebanyakan lebuhraya kita. Tindakan individu yang culas membayar tol ini juga boleh menyebabkan tidak puas hati di kalangan pemandu lain, lebih-lebih lagi mereka yang membontoti rapat kenderaan di hadapan untuk melepasi palang tol tanpa membayar kadar tol yang ditetapkan.

    Malahan beberapa rakaman video juga pernah tular yang memaparkan tindakan pemandu yang tidak bertanggungjawab sebegini, semata-mata mahu ‘menggunakan lebuhraya secara percuma’ hingga sanggup memandu dalam keadaan yang berbahaya dan mengancam keselamatan pengguna yang lain.

     
     
  • Jaguar I-Pace muncul pula dalam hantaran IG rasmi pengedar pasaran Malaysia, tiba tak lama lagi?

    Jaguar I-Pace muncul pula dalam hantaran IG rasmi pengedar pasaran Malaysia, tiba tak lama lagi?

    Jaguar Malaysia telah memuat naik gambar yang menunjukkan sebahagian model I-Pace di akaun Instagramnya, dan ini sekali gus memberi petunjuk yang ketibaan model elektrik sepenuhnya jenama itu untuk pasaran tempatan semakin hampir. Bagaimanapun, belum ada sebarang pengesahan tentang bila ia akan tiba.

    Sejak pengenalan globalnya, petunjuk tentang ketibaannya di pasaran Malaysia sudah pernah diberikan, bermula daripada penampilan pertama dalam laman web pada 2019. Paling baru, kenyataan daripada Jaguar Land Rover Malaysia pada Oktober 2021 mendedahkan syarikat itu memang merancang untuk memperkenalkan beberapa model baru — termasuk I-Pace — dalam masa terdekat.

    I-Pace juga sejak itu pernah menerima kemaskini perisian pada Disember 2019 untuk meningkatkan jaraknya dan mengoptimumkan operasi AWD, sebelum diikuti oleh pembaharuan kemasan dan kelengkapan yang melibatkan menambahan kokpit Pivi Pro dengan kluster instrumen definisi tinggi 12.3-inci dan paparan skrin sentuh 10-inci dengan kemaskini luaran sekali pada Jun 2020.

    Jaguar I-Pace muncul pula dalam hantaran IG rasmi pengedar pasaran Malaysia, tiba tak lama lagi?

    I-Pace diperkenalkan di peringkat global pada Mac 2018, memberikan jarak perjalanan 480 km mengikut kitaran WLTP dari pek bateri lithium-ion 90 kWh. Ia memanfaatkan dua motor elektrik, satu di setiap gandarnya, dan memberikan output gabungan sebanyak 400 PS dan 696 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

    Dalam penawarannya yang terkini, I-Pace datang dengan pengecas dalaman 11 kW sebagai ciri standard, yang memberikan tambahan 53 km jarak setiap jam, atau 8.6 jam untuk cas penuh. Dengan pengecas pantas DC, I-Pace boleh dicas semula hingga 100 kW, yang akan memberi jarak 125 km dalam 15 minit pengecasan.

    Kelengkapan dalaman I-Pace termasuklah Apple CarPlay dan Android Auto dengan kebolehan untuk disambungkan kepada dua telefon dalam satu masa, pengecas tanpa wayar dan pelonjak isyarat, serta ciri ionisasi kabin dengan penapisan PM2.5.

     
     
  • BMW X1 2022 – SUV U11 dapat varian sDrive20i, xDrive20d; perincian PHEV xDrive25e dan xDrive30e

    BMW X1 2022 – SUV U11 dapat varian sDrive20i, xDrive20d; perincian PHEV xDrive25e dan xDrive30e

    BMW semakin gigih memperkenalkan satu persatu model baharu yang bakal menyertai barisannya di pasaran global. Antaranya SUV kompak terkini X1 U11, yang akan ditawarkan dengan dua varian baharu iaitu sDrive20i dan xDrive20d.

    sDrive20i bakal menyertai sDrive18i dan xDrive23i, di mana kedua-duanya telah pun diperkenalkan pada Jun lalu. Berbanding dengan model sebelum ini X1 sDrive20i F48 yang menampilkan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, X1 sDrive20i U11 pula dipadankan dengan penjana kuasa 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder dengan output 156 PS (154 hp) dan tork 240 Nm.

    Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic dwi-klac tujuh-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan, selain itu ia turut didatangkan dengan sistem mild hybrid 48-voltan yang turut ada pada xDrive23i. Sistem mild hybrid ini menampilkan bateri 20 Ah yang diletakkan di bahagian penyimpanan barang, yang dijanakan oleh motor elektrik disepadukan ke kotak gear dan bertindak sebagai penghidup generator untuk menyokong enjin pembakaran.

    Hasilnya, keseluruhan sistem kuasa yang dapat dijana mencecah 170 PS (168 ho) dan 280 Nm, dengan BMW mendakwa penjimatan bahan api mengikut anggaram WLTP adalah antara 6.6-5.9 liter bagi setiap 100 km. Dibandingkan dengan model semasa X1 sDrive201 F48 yang dijual di sini dengan enjin 2.0 liter mampu memberikan 192 PS (189 hp) dan 280 Nm.

    BMW X1 2022 – SUV U11 dapat varian sDrive20i, xDrive20d; perincian PHEV xDrive25e dan xDrive30e

    Bagi versi diesel, model baharu xDrive20d pula menampilkan enjin turbo diesel dan pacuan semua-roda. Ia turut menawarkan sistem mild hybrid yang sama, walaupun dengan enjin 2.0 liter empat-silinder berkuasa 150 PS (148 hp) dan 360 Nm, ia boleh mencapai kuasa keseluruhan mencecah 163 PS (161 hp) dan 400 Nm.

    Sama seperti sDrive201 dan varian X1 U11 yang lain, ia turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac secara standard. Bagi aspek prestasi, sDrive20i mengambil masa sekitar 8.3 saat untuk dipecut dari 0-100 km/j, sementara xDrive20d pula mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 8.6 saat, walau pun ia dikatakan mampu menjimatkan bahan api yang lebih baik sekitar 5.4-4.8 liter bagi setiap 100 km.

    BMW turut mendedahkan perincian tambahan untuk dua varian plug-in hybrid (PHEV) bagi X1, yang diberi nama xDrive25e dan xDrive30e. kedua-duanya menampilkan enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder, transmisi dwi-klac, bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai dan motor elektrik pada gandar belakang.

    Berbanding dengan X1 F48 yang hanya ditawarkan dengan varian tunggal xDrive25e, bateri bagi varian PHEV baharu ini mempunyai kapasiti tenaga yang boleh digunakan sekitar 14.2 kWh berbanding 8.8 kWh. Hasilnya, jarak elektrik yang boleh dicapai lebih banyak iaitu sekitar 77-92 km (kitaran WLTP) untuk xDrive25e terkini dan antara 76-88 km untuk xDribe30e. Dibandingkan dengan varian xDrive25e sebelum ini yang boleh capai hingga 57 km.

    BMW X1 2022 – SUV U11 dapat varian sDrive20i, xDrive20d; perincian PHEV xDrive25e dan xDrive30e

    Bagi kuasa yang dihasilkan, enjin yang lebih kecil pada xDrive25e memberikan sehingga 136 PS (134 hp) dan 230 Nm, dengan motor elektrik ia menyumbang 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan 247 Nm untuk kuasa keseluruhan mencecah 245 PS (241 hp) dan 477 Nm.

    Untuk enjin 1.5 liter pada xDrive30e pula, ia menghasilkan lebih kuasa pada 150 PS (148 hp) dan 230 Nm, sementara dengan motor elektrik pula 177 PS (174 hp) dan 247 Nm, jadi kuasa keseluruhan dipertingkatkan menjadi 326 PS (322 hp) dan 477 Nm. Tetapi mengejutkan, apabila varian xdrive30e memiliki pecutan yang lebih pantas, hanya 5.6 saat untuk 0-100 km/j berbanding 6.8 saat oleh xDrive25e.

    BMW turut menambah kapasiti pengecasan PHEV, dengan pengecas onboard AC (sambungan Type 2) kini boleh mengendalikan hingga maksimum 7.4 kW berbanding 3.7 kW, dengan pengecasan penuh mengambil masa sekitar 2.5 jam, berbanding 3.2 jam sebelum ini. Untuk lebih menjimatkan, BMW mendakwa penggunaan bahan api bagi varian PHEW adalag sekitar 1-0.7 liter untuk setiap 100 km.

    GALERI: BMW X1 xDrive30e U11 2022

     
     
  • Yamaha Grande 2023 diperkenal di Vietnam – skuter hibrid 125 cc dengan brek ABS, sistem Y-Connect

    Yamaha Grande 2023 diperkenal di Vietnam – skuter hibrid 125 cc dengan brek ABS, sistem Y-Connect

    Di Vietnam, Yamaha telah memperkenalkan skuter hibrid Grande 125 baru, yang ditawarkan dalam versi Standard, Special Edition serta Limited, pada harga antara 45.9 juta dong (RM8,927) hingga 51 juta dong (RM9,919). Beza antara tiga versi Grande 125 baru ini cuma pada skema warnanya sahaja.

    Grande 125 ini bukanlah model serba baru di Vietnam, tetapi ia telah diberi beberapa peningkatan dengan antara ciri naik tarafnya adalah termasuk panel instrumen digital penuh, sistem sambungan Y-Connect, pengecas USB, ruang letak barang kecil di bawah tempat kunci serta sedikit perubahan pada panel badan.

    Penggerak skuter ini adalah sama seperti Fazzio yang baru dilancarkan di Indonesia dan Thailand, iaitu enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan udara, 125 cc berkemampuan 8.3 PS pada 6,500 rpm dan tork 10.4 Nm pada 5,000 rpm.

    Apabila memulakan pecutan, enjin pembakaran dalaman ini akan dibantu oleh Smart Motor Generator (SMG), untuk tempoh maksimum selama tiga saat dan selain daripada itu, penggunaan bahan api dapat dijadikan lebih cekap dengan adanya sistem start/stop yang membolehkan enjin mati sendiri apabila berhenti dan hidup semula apabila pendikit dipulas.

    Menawarkan ciri unik seperti ruang simpanan bawah tempat duduk 27 liter serta tempat mengisi minyak di bawah bahagian pemegang (handle), Grande 125 juga datang dengan kelengkapan seperti brek cakera hadapan, brek dram belakang, sistem ABS, kunci pintar, rim 12 inci dengan tayar 110/70 (depan dan belakang sama saiz) serta tangki bahan api 4.4 liter.

     
     
  • Diskaun saman trafik pada 4 Okt di Uitm Shah Alam

    Diskaun saman trafik pada 4 Okt di Uitm Shah Alam

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada 4 Oktober 2022 (Selasa) pada jam 8 pagi hingga 10 malam sempena dengan Program Idea Bina Negara. Acara yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) dan Padang Kawad, UiTM Shah Alam pada tarikh berkenaan turut menyediakan kaunter khas bagi pembayaran saman trafik yang dikendalikan oleh PDRM.

    Walau bagaimana pun, pengurangan saman trafik ini tidak ditawarkan bagi kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak mematuhi isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar.

    Selain itu, ia juga membabit kesalahan yang dikategorikan tidak boleh dikompaun (NC), kesalahan yang berstatus perbicaraan di mahkamah, kesalahan berkaitan kenderaan berat, dan kesalahan ubahsuai ekzos kenderaan.

    Turut dimaklumkan bahawa tawaran diskaun saman terbabit hanya terpakai sempena acara terbabit sahaja. Jadi orang ramai yang mempunyai tunggakan saman trafik boleh melunaskan bayaran di tapak karnival tersebut sahaja jika mahu menikmati diskaun berkenaan.

     
     
  • Kazakhstan sertai kalendar MotoGP tahun hadapan

    Kazakhstan sertai kalendar MotoGP tahun hadapan

    Tahun hadapan perlumbaan MotoGP akan diadakan di satu negara baru, iaitu Kazakhstan. Satu perjanjian selama lima tahun telah ditandatangani untuk penganjuran perlumbaan berprestij ini, dan ia akan diadakan di Litar Antarabangsa Sokol, berhampiran Almaty.

    Litar Sokol ini adalah satu litar yang baru siap dibina dan terletak dalam satu kompleks sukan permotoran yang menempatkan pelbagai fasiliti lain. Dengan penyertaan ini, Kazakhstan akan menjadi negara ke-30 dan litar ke-74 yang menganjurkan perlumbaan MotoGP, sejak ia kali pertama diadakan pada tahun 1949.

    Tarikh sebenar perlumbaan Kazakhstan GP masih belum diketahui kerana kalendar penuh musim 2023 masih belum diumumkan. Bagi tahun 2022, terdapat 20 pusingan MotoGP di dalam kalendar dan sekarang berbaki empat lagi pusingan, dengan GP Malaysia akan berlangsung 23 Oktober.

     
     
  • JPJ eBid: Siri nombor plat DEN bakal dibuka bidaan

    JPJ eBid: Siri nombor plat DEN bakal dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, DEN, bakal dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Kelantan, DEN ini akan mula dibuka bidaan pada 13 Oktober 2022. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 17 Oktober. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 18 Oktober 2022. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    Selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik, perlumbaan lasak motosikal adventure GIVI Rimba Raid kembali dianjurkan tahun ini di Kuala Tahan, Pahang, menyaksikan pendaftaran 241 pelumba dari 15 negara termasuk Kanada, Amerika Syarikat, Colombia, United Kingdom, Belanda, Itali, Poland, Australia, Jepun, Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia dan sudah tentu, Malaysia sendiri.

    Dibahagikan kepada empat kategori secara teliti, perlumbaan tahun ini sekali lagi menyaksikan cabaran sukar sepanjang 158 km di dalam laluannya, meliputi pelbagai permukaan seperti tanah merah licin, bukit berbatu, pasir sungai serta tujuh rentasan sungai.

    Daripada 241 peserta yang mendaftar, hanya 223 memulakan perlumbaan, dan jumlah yang menamatkan perlumbaan bertambah sedikit menjadi hanya 99 pelumba. Ini membuktikan cabaran dalam acara yang didakwa sebagai perlumbaan offroad motosikal adventure berkapasiti tinggi terbesar di dunia ini bukan untuk calang-calang orang.

    GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    Bagi kategori Class C – Enduro Rally, pelumba Malaysia, Zulkarnain Tahir yang menunggang KTM EXC 300 berjaya menjadi pelumba pertama yang menamatkan perlumbaan, dalam masa tiga jam empat minit, diikuti oleh Chaipuek Sangaroon dari Thailand yang menggunakan jentera KTM EXC-F 350 sekitar 10 minit selepas itu dan Kelvin Chia dari Singapura (KTM EXC 300) lima minit selepas itu.

    Dalam kategori ini juga terdapat seorang pelumba wanita dari Malaysia, iaitu Shamira Azahar, yang berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-21 dalam masa empat jam 17 minit. Daripada 38 peserta kategori ini, enam gagal menamatkan perlumbaan.

    Pergi pula kepada kategori Class C – DP Rally, pelumba dari luar mendominasi podium dengan dua yang pertama adalah dari Thailand, iaitu Traiphop Boonthang dan Manop Abdulkaree, kedua-duanya menunggang Honda CRF 250 Rally dan mencatat masa masing-masing dua jam 55 minit dan tiga jam 11 minit.

    GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mark Dustin Richardson dari Kanada yang menunggang KTM 690 Enduro R, dengan catatan masa tiga jam 20 minit. Daripada 60 peserta dalam kategori ini, hanya 27 sahaja yang berjaya menamatkan perlumbaan.

    Dalam kategori Class B, bukan setakat podium, tapi hampir semua 10 tempat teratas dikuasai oleh pelumba Thailand, dengan hanya terdapat seorang pelumba Malaysia, Chun Hing Wong, yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam, sementara di tempat kesepuluh adalah Kamil Hassan dari Singapura.

    Ketiga-tiga pelumba Thailand yang berada di tempat teratas kategori ini menggunakan jentera Yamaha Tenere 700, dan mereka adalah Saphon Somroop (dua jam 51 minit), Suradet Taweelep (dua jam 51 minit) dan Charod Khumchat (tiga jam sembilan minit). Daripada 62 peserta yang mendaftar dalam kategori ini, hanya 26 menghabiskan perlumbaan.

    GIVI Rimba Raid 2023 terus bagi cabaran sukar – hanya 99 daripada 223 peserta tamatkan perlumbaan

    Kategori Class A melibatkan penyertaan paling ramai, iaitu 67 pelumba, walaubagaimanapun hanya 14 sahaja yang berjaya menamatkan perlumbaan. Kesemua tiga pelumba yang mendapat tempat teratas dalam kategori ini menggunakan jentera Honda CRF1000/1100, dengan dua yang pertama adalah dari Thailand dan tempat ketiga pelumba dari Malaysia.

    Pemenang pertama, Piyapoom Thammsat menamatkan perlumbaan dalam masa tiga jam lapan minit, sementara Pisanu Chimma di tempat kedua mencatat masa tiga jam 21 minit. Alan Ng Siong Choon di tempat ketiga tiba di garisan penamat sekitar 45 minit selepas Thammsat.

    Motosikal lain yang memberi cabaran dalam kategori ini adalah seperti KTM Adventure 1290/1190, Yamaha Super Tenere dan BMW R1250/1200 GS, tetapi turut mencuri tumpuan adalah Harley-Davidson Pan America 1250, yang mana dari dua buah yang menyertai perlumbaan ini, satu daripadanya berjaya tamat di tempat keenam dengan catatan masa empat jam 31 minit (pelumba dari Thailand).

     
     
  • Proton X70 MC 2022 dapat kemaskini Atlas OS, Spotify — antaramuka GKUI yang lama tidak boleh dinaik taraf

    Proton X70 MC 2022 dapat kemaskini Atlas OS, Spotify — antaramuka GKUI yang lama tidak boleh dinaik taraf

    Sedikit perkembangan terbaru tentang Proton X70 MC 2022 yang dilancarkan Jun lalu. Model SUV berkenaan dari produksi yang terbaru kini telah dilengkapi dengan head unit Atlas OS. Bagaimanapun, unit sedia ada bagi model sama yang menggunakan antaramuka GKUI tidak boleh dinaik taraf kepada versi terbaru berkenaan.

    Peralihan kepada Atlas OS ini masih sedang dijalankan, dan ia ditawarkan bagi kelompok produksi terkini yang keluar dari kilang Proton. Semua ini turut melibatkan perubahan perkakasan atau hardware, maka disebabkan itu unit GKUI yang terdahulu tidak boleh dinaik taraf kepada Atlas OS.

    Proton X70 MC 2022 dapat kemaskini Atlas OS, Spotify — antaramuka GKUI yang lama tidak boleh dinaik taraf

    Dengan naik taraf ini, pemilik Proton X70 MC 2022 ini juga boleh menggunakan aplikasi Spotify kelak, yang boleh dimuat turun dari Apple Store dalam masa terdekat. Selain perkara berkaitan head unit dan perisiannya ini, ada satu lagi perubahan lain yang sedang dilakukan ialah memperkenalkan cermin pandang belakang tanpa bingkai, yang diberikan hanya untuk varian Premium.

    Semua perubahan atau peningkatan ini sepertinya patut diberikan ketika pengenalan model X70 MC ini tempoh hari. Mengapa itu tidak dilakukan awalnya oleh Proton tidaklah diketahui. Apapun, ia kini akan menemui kelompok pelanggan terbarunya nanti. Selain X70, Iriz dan Persona juga menggunakan Atlas OS dalam versinya yang terkini, dan boleh juga memanfaatkan aplikasi Spotify sebaik ia hadir kelak.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025