Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton di Afrika Selatan – rangkaian penuh alat ganti sudah tersedia menerusi 17 cawangan pengedar

    Proton di Afrika Selatan – rangkaian penuh alat ganti sudah tersedia menerusi 17 cawangan pengedar

    Seperti yang sudah kami laporkan minggu lalu, Proton kini sudahpun bertapak semula di pasaran Afrika Selatan selepas 10-tahun tidak mengeksport kenderaan ke negara berkenaan. Menerusi kenyataan media yang baru sahaja dikeluarkan, wakil Proton di Afrika Selatan, Combined Motor Holdings (CMH) menyatakan bahawa mereka telahpun bersiap sedia dengan rangkaian pengedaran yang lengkap dengan servis selepas jualan.

    “Apabila jenama Proton terbuka untuk pengedaran, CMH mengambil peluang atas beberapa sebab, terutamanya kerana kami mendapati terdapat jurang dalam pasaran SUV yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Terdapat banyak jenama mewah yang menjual SUV di Afrika Selatan, tetapi kebanyakannya tidak mampu dimiliki oleh pembeli kereta biasa di sini,” kata Jebb McIntosh ketika majlis pelancaran jenama tersebut berlangsung di sana.

    “Rancangan kami adalah menyediakan 25 pengedar dalam tempoh enam bulan. Sebanyak 17 cawangan pengedar telah pun menjalani latihan jualan dan teknikal. Rangkaian penuh alat ganti juga sudah tersedia di pusat pengedaran kami. Ini bermakna pelanggan kami boleh membeli kenderaan ini dengan yakin,” tambahnya lagi.

    Buat masa sekarang, dua buah model SUV Proton ditawarkan di Afrika Selatan iaitu X50 dan X70 – kedua-duanya adalah model CBU dari Tanjung Malim, Perak, Malaysia.

    Proton di Afrika Selatan – rangkaian penuh alat ganti sudah tersedia menerusi 17 cawangan pengedar

    Tidak dinyatakan berapa harga untuk kedua-dua model itu dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, namun dalam laporan kami sebelum ini berdasarkan berita portal automotif Afrika Selatan, Cars.co.za telah menyatakan dengan lengkap varian dan harga jualan SUV segmen-B dan segmen-C Proton itu di sana.

    Untuk X50 di Afrika Selatan, ia ditawarkan dalam empat varian, bermula varian asas Standard dijual pada harga Rand 449,900 (RM117k), Luxury pada harga R 499,900 (RM130k), Executive pada harga R 535,900 (RM139k) dan varian tertinggi Premium T-GDI berharga R 579,900 (RM150k).

    Tiga varian lebih rendah untuk Proton X50 ini dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI), menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Manakala varian tertinggi menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm.

    Bagi model X50 1.5 Standard, ia menampilkan perincian seperti empat-beg udara, rim aloi 17-inci, lampu hadapan LED, upholsteri fabrik, dan skrin 8-inci untuk sistem infotainmen yang datang bersama kamera undur. Model X50 Luxury pula tampil dengan lampu hadapan automatik, lampu kabus, roda stereng balutan kulit dan upholsteri leatherette.

    Proton di Afrika Selatan – rangkaian penuh alat ganti sudah tersedia menerusi 17 cawangan pengedar

    Beralih ke varian 1.5 Executive, ia datang dengan rim aloi 18-inci, skrin infotainmen 10-inci bersama kamera 360-darjah, dan sistem pemantau tekanan angin tayar. Manakala varian paling tinggi 1.5 T-GDI Premium pula ditambah dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan, bumbung panaromik dan juga warna badan dua-tona dengan bumbung berwarna hitam.

    Melihat spesifikasi yang disiarkan ini, varian Standard, Luxury dan Executive X50 pasaran Afrika Selatan ini sama dengan varian Standard, Executive dan Premium di Malaysia, manakala varian Premium di Afrika Selatan pula sama dengan varian Flagship di Malaysia.

    Untuk X70 pula, ia juga ditawarkan dalam empat varian di Afrika Selatan iaitu Standard 2WD dijual pada harga bermula R 529,900 (RM137k), Executive 2WD berharga R 579,900 (RM150k), Executive 4WD berharga R 629,900 (RM145k) dan varian tertinggi Premium 2WD berharga R 639,900 (RM163k).

    Kesemua varian X70 pasaran Afrika Selatan ini hanya dijana oleh enjin 1.5 liter T-GDI berkuasa 177 PS/255 Nm, tanpa pilihan varian yang dijana oleh enjin 1.8 T-GDI seperti pasaran Malaysia.

    Proton di Afrika Selatan – rangkaian penuh alat ganti sudah tersedia menerusi 17 cawangan pengedar

    Varian X70 Standard diberikan lampu hadapan halogen, rim aloi 17-inci, upholsteri fabrik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci, enam pembesar suara, sistem penyegar udara dan juga enam-beg udara. Model X70 Executive pula menerima lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang, rim aloi 18-inci, pintu tailgate elektrik, upholsteri leatherette, tempat duduk pemandu larasan elektrik, lapan pembesar suara dan kamera 360-darjah.

    Untuk model Executive AWD, ia bukan sahaja menerima sistem pacuan semua roda, malah ditambah dengan sistem bantuan pemanduan, sistem pemantau tekanan angin tayar, rim aloi 19-inci, upholsteri kulit Nappa, bersama sistem bunyi yang diberikan sembilan pembesar suara termasuk amplifier dan subwoofer. Manakala varian tertinggi X70 Premium pula ditambah dengan bumbung panaromik.

    Bagi Proton di Malaysia, jualan eksport kekal sebagai bahagian penting dalam rancangan perniagaannya untuk mengeksploitasi potensi tersembunyi dalam pasaran antarabangsa, sesuai dengan sasaran yang disebutkan sebelum ini iaitu menjadi jenama automotif terkemuka di rantau ini. Dan dalam masa yang sama Proton cuba merebut semula bahagian pasaran dalam pasaran automotif tempatan.

    Proton di Afrika Selatan – rangkaian penuh alat ganti sudah tersedia menerusi 17 cawangan pengedar

    ????????????????????????????????????

    Untuk tahun 2022, jualan eksport pada akhir bulan Ogos berjumlah 4,040 unit, meningkat sebanyak 33.9% berbanding dengan jumlah jualan bagi tahun 2021. Dengan penambahan Afrika Selatan dalam senarai pasaran eksport, Proton berharap dapat menamatkan tahun ini dengan peratusan pertumbuhan yang lebih tinggi.

    “Proton sedang giat mengembangkan jualan eksport kerana kami percaya ia adalah salah satu tonggak kepada peningkatan jumlah keseluruhan kami. Terdapat banyak potensi untuk pertumbuhan dalam pasaran antarabangsa, bukan sahaja untuk jenama Proton tetapi untuk industri automotif tempatan juga,” kata naib CEO Proton, Roslan Abdullah.

    “Oleh itu, kami ingin bertapak kukuh sementara pasaran ini masih boleh diakses. Matlamat kami adalah untuk mencapai 6,000 jualan eksport tahun ini dan sementara kami yakin mencapai matlamat ini, kami mesti gigih berusaha untuk mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai untuk memasuki lebih banyak negara bagi mencapai matlamat yang lebih besar pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Ducati Monster SP 2023 diperkenal – versi prestasi terima peningkatan suspensi dan brek, 111 hp, 93 Nm

    Ducati Monster SP 2023 diperkenal – versi prestasi terima peningkatan suspensi dan brek, 111 hp, 93 Nm

    Ducati Monster serba baru yang diperkenalkan pada tahun 2021 kini hadir dalam versi prestasi yang dipanggil sebagai Monster SP. Beberapa kelengkapan motosikal naked ini dinaik taraf dengan barangan prestasi, termasuklah bahagian suspensi dan juga brek.

    Fork USD tanpa sebarang pelarasan pada model biasa telah diganti dengan unit Ohlins NIX30 43 mm berwarna emas yang boleh dilaras sepenuhnya, dan beratnya juga adalah 0.6 kg lebih ringan. Kemudiannya, brek hadapan dipertingkat dengan angkup Bremo Stylema, yang mencengkam dua set cakera 320 mm. Beratnya juga adalah 0.5 kg lebih ringan berbanding brek biasa.

    Berat Monster SP ini juga menjadi lebih ringan, iaitu 184.9 kg, berbanding Monster biasa yang mencatat 188 kg, dan antara penyumbangnya adalah bateri jenis lithium ion. Melengkapi naik taraf ini adalah ekzos Termignoni, tayar Pirelli Diablo Rosso IV dan steering damper.

    Bagi menjadikan motosikal sesuai dengan semua naik taraf yang diberi, semua mod tunggangan telah dilaras semula dan kini terdapat satu mod baru iaitu Wet, sebagai tambahan kepada Sport dan Touring yang sedia ada. Sistem lain seperti ABS Cornering, Ducati Traction Control dan Ducati Wheelie Control masih tersedia dan sebagai bonus, Monster SP ini ditambah dengan Launch Control.

    Grafik Monster SP turut mendapat inspirasi daripada jentera lumba Desmosedici GP Ducati Lenovo Team, dan ia dijadikan unik dengan terdapat logo Monster SP di atas penutup tempat duduk penumpang, tempat duduk berwarna merah serta logo Ducati atas tangki yang lebih besar, inspirasi daripada Panigale V4.

     
     
  • Ford Mustang Dark Horse – S650 lebih berkuasa, dua model litar yang tak sah digunakan atas jalan raya

    Ford Mustang Dark Horse – S650 lebih berkuasa, dua model litar yang tak sah digunakan atas jalan raya

    Ford Mustang generasi ketujuh baru sahaja diperkenalkan minggu lalu, dan walaupun jualannya hanya akan bermula tahun hadapan, Ford kini telah memperkenalkan Mustang S650 ini dalam versi yang lebih berkuasa dari model V8 Coyote biasa, digelar sebagai Mustang Dark Horse.

    Tiada pilihan enjin empat silinder 2.3 liter EcoBoost untuk Dark Horse ini, dan ia hanya ditawarkan dengan enjin 5.0 liter V8 yang lebih berkuasa dari versi Coyote standard, serta diberikan kelengkapan aerodinamik, roda dan stereng yang lebih berprestasi tinggi.

    Enjin V8 Dark Horse ini menerima rod penghubung untuk omboh yang diambil terus dari Shelby Mustang GT500. Namun ia tidak dibekalkan dengan Supercharger seperti Shelby GT500, masih lagi NA, tetapi dibayangkan menghasilkan sekitar 500 hp. Buat masa sekarang Ford masih belum mengumumkan angka kuasa sebenar untuk model V8 Coyote biasa sekalipun.

    Mustang Dark Horse ini juga dibekalkan standard dengan kotak gear manual TREMEC enam-kelajuan. Namun berbanding Mustang S560 biasa, model Dark Horse ini turut diberikan penyejuk untuk minyak transmisi. Pelanggan turut ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik 10-kelajuan untuk Mustang Dark Horse ini.

    Ford Mustang Dark Horse – S650 lebih berkuasa, dua model litar yang tak sah digunakan atas jalan raya

    With sinister looks and a specially modified 5.0-liter V8 – the most powerful 5.0-liter V8 ever, projecting 500 horsepower – Dark Horse expands the Mustang lineup and sets a new benchmark for American street and track performance that could only come in a Mustang. Pre-production vehicles shown.

    Model lebih berprestasi ini juga menerima talaan casis melibatkan penggunaan bar anti oleng belakang yang lebih besar, penyerap hentak hadapan tugas berat, dan juga pendakap atas topang serta pendakap-K rekaan Ford Performance. Manakala untuk brek, Dark Horse diberikan angkup Brembo 19-inci di hadapan bersama cakera berdiameter 13.9-inci.

    Model Dark Horse ini juga tampil lebih garang dari Mustang biasa. Ia menerima lampu hadapan yang digelapkan, bampar hadapan dengan apron dan spoiler lebih agresif, spoiler belakang dengan “Gurney Flap” dan tip ekzos yang juga digelapkan.

    Lencana Dark Horse boleh dilihat pada fender hadapan, penutup but belakang dan juga pada bendul pintu, bersama logo-logo kuda Mustang yang digelapkan. Ford juga menawarkan warna badan istimewa untuk Mustang Dark Horse ini iaitu Blue Embed Metallic.

    Ford turut menawarkan dua varian Mustang Dark Horse ini yang tidak sah digunakan di jalan raya, iaitu Mustang Dark Horse R, serta satu lagi versi yang ‘kurang hardcore‘ dengan nama Dark Horse S. Bagi model Dark Horse S yang “kurang hardcore“, ia masih lagi sebuah model yang dihasilkan untuk mereka yang mahukan kereta track day hujung minggu.

    Ford Mustang Dark Horse – S650 lebih berkuasa, dua model litar yang tak sah digunakan atas jalan raya

    Jadi model ini menerima rollcage yang diluluskan oleh FIA bersama kelengkapan perlumbaan lain seperti jaring keselamatan, tempat duduk bersama tali pinggang perlumbaan, roda stereng dengan bosskit jenis quick release yang boleh dicabut dengan mudah, serta perapi-perapi dan komponen dalaman yang tidak diperlukan dicabut.

    Ia juga menerima sistem untuk memutuskan bekalan elektrik serta sistem pencegahan kebakaran sekiranya berlaku kemalangan. Tempat duduk belakang bagi Mustang Dark Horse S ini juga adalah pilihan opsyen dan bukan standard. Manakala suspensi pula ditingkat taraf dengan penyerap hentak Multimatic DSSV dengan ketinggian dan sudut camber yang boleh dilaras semula.

    Panel kawalan untuk pemandu pada Dark Horse S ini juga seperti sebuah kereta lumba sebenar di mana suis dan tombol untuk lampu hadapan, lampu isyarat membelok, pengelap cermin, pelaras cermin sisi dan lampu hujan semuanya disatukan pada panel pusat di tengah. Ia juga diberikan sistem pengehad kelajuan untuk lorong pit serta sistem paparan data dan perolehan.

    Bagi model Dark Horse R pula, ia menerima semua kelengkapan dari Dark Horse S, tetapi ia diberikan kimpalan strategik bagi menghasilkan kerangka lebih tegar, sel bahan api bagi memberikan jarak gerak lebih jauh serta set rim dari Ford Performance.

     
     
  • Honda HR-V dan BR-V 2022 terima penarafan lima-bintang untuk ujian keselamatan ASEAN NCAP

    Honda HR-V dan BR-V 2022 terima penarafan lima-bintang untuk ujian keselamatan ASEAN NCAP

    Dua model terkini Honda, Honda HR-V dan BR-V 2022 telah menerima penarafan lima-bintang bagi pusingan ujian terkini yang dijalankan oleh ASEAN NCAP. Kedua-dua model berkenaan masing-masing pernah diuji buat pertama kali pada 2015 dan 2016 di sini.

    Dalam ujian dan penilaian terkini mengikut protokol ASEAN NCAP 2021-2025, kedua-dua model berkenaan telah memperolehi penarafan 5-bintang dengan masing-masing mencatatkan sebanyak 81.38 mata dan 77.02 mata. Kedua-dua model ini dilengkapi dengan empat beg udara untuk semua varian yang ditawarkan, dengan penawaran maksimum enam beg udara.

    Bagi HR-V, daripada keseluruhan 81.38 mata yang dikumpul itu, SUV berkenaan mencatatkan pecahan mata seperti berikut: 35.00 mata untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP); 17.81 mata bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP); 18.57 mata bagi kategori Bantuan Keselamatan (SA); dan 10.00 mata bagi Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

    Honda HR-V dan BR-V 2022 terima penarafan lima-bintang untuk ujian keselamatan ASEAN NCAP

    HR-V terbaru ini juga antara lain turut hadir dengan ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brek Kecemasan Autonomous (AEB) Bandar, AEB Inter-Urban, AEB Pejalan Kaki dan AEB Motosikal sebagai kelengkapan standard untuk semua varian, dengan banyak lagi ciri keselamatan aktif bagi varian yang lebih tinggi.

    Bagi BR-V pula, jumlah keseluruhan 77.02 mata yang diraih itu terdiri daripada pecahan seperti berikut: 33.72 mata untuk AOP, 17.46 mata untuk COP, 15.71 mata bagi SA dan 10.13 mata bagi MS. Model ini juga datang standard dengan ciri seperti ESC, ABS, SBR untuk pemandu bagi semua varian. Seperti juga HR-V, SUV ini turut datang dengan ciri keselamatan lain baik secara standard mahupun pilihan untuk varian yang lebih tinggi.

     
     
  • Berhenti di lorong kecemasan SUKE untuk lihat pemandangan; Myvi dilanggar oleh motosikal

    Peringatan telah dikeluarkan sebelum ini, malah pelbagai kejadian dari Jalan Temiang-Pantai boleh dijadikan iktibar, namun ia tidak langsung dijadikan pengajaran untuk orang ramai yang bertindak untuk berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang baru di buka Jumaat lalu untuk melihat pemandangan.

    Ini kejadian yang baru terjadi semalam – seorang penunggang motosikal cedera selepas merempuh sebuah Myvi dari arah belakang di lorong kecemasan lebuhraya tersebut. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Ampang Jaya hari ini, pemandu Myvi tersebut berhenti di lorong kecemasan semata-mata mahu melihat pemandangan di kawasan berkenaan.

    Kenyataan yang dikeluarkan itu turut menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku 1 km dari Plaza Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur pada pukul 2.45 petang semalam, manakala penunggang motosikal terbabit telah mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

    “Kes disiasat di bawah kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan. Individu yang cuai menyebabkan kemalangan boleh dikompaun sehingga RM300,” kata ACP Mohamad Farouk Bin Eshak, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Berhenti di lorong kecemasan SUKE untuk lihat pemandangan; Myvi dilanggar oleh motosikal

    default

    Ketika melancarkan Lebuhraya SUKE malam Khamis minggu lalu, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof sempat berpesan kepada orang ramai agar jangan berhenti di lorong kecemasan di lebuhraya berkenaan untuk mengambil gambar. Ini kerana SUKE yang menampilkan rekaan bertingkat (elevated atau seakan terapung) menyajikan pemandangan yang begitu cantik menghadap Bandaraya Kuala Lumpur, yang mungkin menarik minat orang ramai untuk bergambar di kawasan berkenaan.

    Walau bagaimanapun pihak pemaju lebuhraya SUKE iaitu Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd atau PROLintas) sudahpun menyedari potensi yang ada pada jajaran lebuhraya ini, dan ia bakal membangunkan sebuah fasiliti Rehat dan Rawat (R&R) di kawasan yang dikenali sebagai Tasik Tambahan.

    Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah ketika majlis taklimat kepada media Rabu lalu, kawasan Rehat dan Rawat berkenaan akan memberikan pemandangan penuh “KL City Skyline” dan ia akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan itu. Antara pemandangan yang boleh dilihat di kawasan tersebut termasuk empat bangunan ikonik di bandaraya berkenaan iaitu Menara KL, Menara Berkembar Petronas, Menara Merdeka 118 serta Menara Exchange 106 (TRX).

     
     
  • Jangan berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya SUKE untuk mengambil gambar – Menteri Kerja Raya

    Jangan berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya SUKE untuk mengambil gambar – Menteri Kerja Raya

    Ketika melancarkan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) semalam, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof sempat berpesan kepada orang ramai agar jangan berhenti di lorong kecemasan di lebuhraya berkenaan untuk mengambil gambar.

    Ini kerana SUKE yang menampilkan rekaan bertingkat (elevated atau seakan terapung) menyajikan pemandangan yang begitu cantik menghadap Bandaraya Kuala Lumpur, yang mungkin menarik minat orang ramai untuk bergambar di kawasan berkenaan seperti yang berlaku di Jalan Temiang-Pantai, Negeri Sembilan.

    Dalam pelbagai insiden yang berlaku di Temiang-Pantai sebelum ini, pihak Polis DiRaja Malaysia sudahpun mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan memberhentikan kenderaan di bahu jalan atau lorong kecemasan boleh diambil tindakan di bawah Kaedah 50 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Larangan Terhadap Halangan’ dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu ‘Lorong Kecemasan’, yang jelas tidak membenarkan mana-mana individu atau kenderaan berada di atas jalan yang boleh menghalang lalulintas.

    Menurut Polis lagi berhubung kejadian-kejadian yang berlaku di “New Zealand Malaysia” di Negeri Sembilan itu sebelum ini, pesalah juga boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana melakukan mudarat awam, dan mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

    Jangan berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya SUKE untuk mengambil gambar – Menteri Kerja Raya

    default

    Walau bagaimanapun pihak pemaju lebuhraya SUKE iaitu Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd atau PROLintas) sudahpun menyedari potensi yang ada pada jajaran lebuhraya ini, dan ia bakal membangunkan sebuah fasiliti Rehat dan Rawat (R&R) di kawasan yang dikenali sebagai Tasik Tambahan.

    Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah ketika majlis taklimat kepada media Rabu lalu, kawasan Rehat dan Rawat berkenaan akan memberikan pemandangan penuh “KL City Skyline” dan ia akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan itu. Antara pemandangan yang boleh dilihat di kawasan tersebut termasuk empat bangunan ikonik di bandaraya berkenaan iaitu Menara KL, Menara Berkembar Petronas, Menara Merdeka 118 serta Menara Exchange 106 (TRX).

    Selepas dirasmikan semalam, Lebuhraya SUKE telahpun mula dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula pukul 12 tengah hari tadi. Kadar tol untuk lebuhraya ini masih belum diumumkan, namun ia dibuka percuma terlebih dahulu untuk tempoh masa sebulan.

    Walau bagaimanapun pembukaan permulaan ini hanya untuk Fasa 1 yang membabitkan laluan bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km dengan 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang.

    Manakala pembukaan Fasa 2 iaitu melibatkan laluan dari Sri Petaling (di mana berakhirnya Lebuhraya Kesas, berdekatan Endah Parade) sejauh 7.8 km dengan tiga persimpangan dan satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai dijangka siap pada suku pertama 2023.

    Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. Lebuhraya ini akan menghubungkan Sri Petaling hingga ke Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, bertindak sebagai alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR), dengan 14 persimpangan secara keseluruhan.

    Pembinaan Lebuhraya SUKE ini disasarkan untuk menyuraikan aliran trafik berkapasiti tinggi di kawasan berkenaan iaitu Cheras, Pandan Indah dan Ampang. Menurut PROLintas, SUKE mampu untuk menyuraikan 30% trafik di MRR2, 36% di Jalan Ampang dan juga 12% di Jalan Loke Yew ketika waktu puncak.

    SUKE juga akan menghubungkan lebuhraya-lebuhraya lain seperti Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), yang buat masa sekarang kesemuanya bersambung dengan MRR2.

    Lebuhraya SUKE ini merupakan Lebuhraya yang cukup unik kerana 90% “terapung” manakala hanya 10% laluan berada di atas permukaan tanah. Ini membolehkan ia merentas kawasan bandar yang sesak, dan tidak mengganggu kawasan yang masih dibiar sebagai kawasan hijau.

     
     
  • Rifat Sungkar ketuai trio pemandu Mitsubishi Ralliart di Asia Cross Country Rally 2022 dengan Triton T1

    Rifat Sungkar ketuai trio pemandu Mitsubishi Ralliart di Asia Cross Country Rally 2022 dengan Triton T1

    Pasukan Mitsubishi Ralliart hari ini secara rasmi mengumumkan barisan pemandunya untuk perlumbaan Asia Cross Country (AXCR) 2022 yang akan berlangsung di November nanti. Tiga buah Mitsubishi Triton akan digunakan oleh Ralliart pada rali rentas negara berkenaan, dan ia diterajui oleh ikon rali Mitsubishi Indonesia iaitu Rifat Sungkar, serta dua orang pemandu Thailand iaitu Chayapon Yotha dan Sakchai Hantrakul.

    Oleh itu, pasukan Mitsubishi Ralliart untuk AXCR 2022 ini adalah paduan tiga negara iaitu Mitsubishi Motors Corp (MMC) dari Jepun, Tant Motorsport dari Thailand dan juga Mitsubishi Motors Indonesia yang diwakili oleh Mas Rifat sebagai pemandu utama.

    Berbeza dengan Xpander Rally Team di mana Rifat bergandingan dengan M.Redwan di dalam Mitsubishi Xpander AP4, bagi AXCR 2022 ini pemandu handalan Indonesia berkenaan akan dibantu oleh juruarah berpengalaman dari Thailand iaitu Chupong Chaiwan. Rifat memulakan kariernya sebagai pemandu rali dengan menyertai kejohanan Sprint Rally Nasional Indonesia pada 1996. Dalam percubaan tahun pertama berkenaan Rifat berjaya merangkul gelaran naib juara kejohanan tersebut. Dan pada tahun berikutnya, Rifat berjaya bergelar juara Junior Rally dan Kejohanan Sprint Rally.

    Rifat turut pernah membuat kemunculan dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), dan memenangi podium pertamanya pada 2012 di Perancis untuk kategori Group N. Rifat juga merupakan individu yang mencetuskan idea untuk menghasilkan jentera rali Xpander AP4 (Asia Pacific 4WD), dan menggunakan MPV rali pertama yang dibina menggunakan spesfikasi AP4 berkenaan dalam Kejohanan Sprint Rally Indonesia untuk musim 2019 dan 2021.

    Rifat Sungkar ketuai trio pemandu Mitsubishi Ralliart di Asia Cross Country Rally 2022 dengan Triton T1

    Nama Rifat juga tidak asing di Malaysia kerana beberapa kali menyertai perlumbaan rali di sini, pernah memandu Proton Satria Neo Cusco N2 pada pusingan ke-8 Kejohanan Rali Jepun 2011, serta menyertai Formula Drift Malaysia 2009 dengan memandu Proton Waja pacuan roda belakang yang dibangunkan oleh Proton R3.

    Tahun ini Rifat dan Xpander Rally Team bukan sahaja mengambil bahagian dalam Kejohanan Rali Nasional Indonesia, malah bakal membuat penampilan di Kejohanan Rali Asia Pasific (APRC) di Rali Danau Toba 2022 bermula pada 23 September ini, menentang jentera-jentera AP4 lain dari rantau Asia Pasifik.

    Juru arah Rifat iaitu Chupong Chaiwan juga tidak kurang hebatnya. Dia telah mula menyertai perlumbaan rali sejak era 90’an dalam pelbagai rali di sekitar Asia termasuk Malaysia. Malah Chaiwan juga agak berpengalaman dalam AXCR, dengan menduduki tangga ketiga pada AXCR 2014 dan naib juara pada AXCR 2015; memang calon yang sesuai untuk membantu Rifat yang pertama kali menyertai AXCR tahun ini.

    Bagi Chayaphon Yotha pula, dia merupakan antara pemandu rali muda yang kini sedang meningkat naik di Thailand, dan telah memenangi pelbagai rali dan perlumbaan litar sejak 2012. Antaranya termasuk Thailand Super Series, TWC Cross Country Rally, RAAT Thailand Endurance Championship International, Thailand Autocross Championship, dan baru-baru ini adalah rali 12 Jam Idemitsu Super Endurance Rally dalam kategori T1 Open.

    Rifat Sungkar ketuai trio pemandu Mitsubishi Ralliart di Asia Cross Country Rally 2022 dengan Triton T1

    Chayaphon juga merupakan juara bagi kategori Supercar GTC dalam Thailand Super Series untuk musim 2019, dan bergelar juara dua tahun berturut-turut (2019, 2020) untuk Porsche Spirit Trophy.

    Untuk AXCR 2022, Chayaphon dibantu oleh juruarah veteran, Peerapong Sombutwong yang berusia 51 tahun. Peerapong mula terjun ke sukan permotoran sejak tahun 1991, dan telah memenangi pelbagai perlumbaan. Antaranya International Rally of Thailand (King Cup) 2004, dan Australian Safari 2012. Perrapong juga merupakan juara keseluruhan ACXR dari 2014 hingga 2019.

    Manakala untuk pemandu ketiga pasukan Mitsubishi Ralliart iaitu Sakchai Hantrakul juga seorang lagi pelumba hebat dengan pengalaman selama 30 tahun. Dia merupakan juara dalam pelbagai perlumbaan termasuk Mitsubishi Gymkhana Challenge Ralliart Cup 1989, Pennzoil Rally Championship of North Thailand Rd.1 Group A 1991, Singha Thailand 4×4 Rally Championship 2004 dan RAAT Thailand Rally Championship 2022.

    Sakchai juga pernah menyertai Dakar Rally pada tahun 1996 dengan memandu Mitsubishi Pajero, dan sejak itu dia menjadi wajah yang sangat sinonim dengan Mitsubishi. Dalam AXCR 2022, Sakchai dibantu oleh juru arah berpengalaman Kittisak Klinchan yang telah memenangi pelbagai rali di Thailand.

    Bagi AXCR 2022, pasukan Mitsubishi Ralliart akan diketuai oleh prinsipal dari Jepun, iaitu lagenda Ralliart dan juara Rali Dakar dua kali (202,2003) Hiroshi Masuoka. Untuk jentera, Mitsubishi mempertaruhkan jentera rali Triton yang dibina oleh Tant Motorsport Thailand dengan spesifikasi FIA Group T1, dengan bantuan teknikal terus dari Mitsubishi Motors Corp. (MMC) di Jepun.

    Walaupun Triton berkenaan dihasilkan dengan regulasi “prototaip kenderaan rentas negara”, ia sebenarnya masih sangat hampir dengan model produksi sebenar yang dijual di bilik pameran.

    Ia masih dijana oleh enjin 4N15 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel, dan masih menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm sama seperti Triton biasa. Walaupun angka kuasa berkenaan dilihat sama, sebenarnya enjin berkenaan telah diolah semula oleh HKS, dengan pemadanan komponen yang lebih ringan serta kurang geseran bagi memberikan respon lebih baik pada takat rpm pertengahan yang selalu digunakan dalam perlumbaan rali.

    Trak pikap ini juga masih dibekalkan dengan kotak gear manual enam kelajuan, bersama sistem pacuan empat roda Super Select 4WD II. Ubahsuai lain yang dibuat pada sistem penghantaran kuasa Triton rali ini termasuk penggunaan unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang.

    Konfigurasi asal suspensi double wishbone dengan spring gegelung di hadapan dan gandar hidup bersama spring dedaun di belakang masih kekal, tetapi ia kini menerima set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan.

    Brek trak pikap rali ini juga dipertingkat dengan dilengkapkan cakera berliang di hadapan dan belakang bersama angkup empat omboh, kesemuanya dibekalkan oleh Endless. Manakala untuk roda, ia menerima set rim aluminium aloi dari Work bersaiz 17-inci x 8J bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003 bersaiz 265/70R17.

    Badan Triton ini juga diringankan lagi dengan pemadanan hud penutup enjin dan juga kesemua pintu yang diperbuat dari material gentian karbon. Ia juga menerima kelengkapan tipikal sebuah jentera rali cross country termasuk set roll cage lengkap dengan tempat duduk perlumbaan, set snorkel untuk ‘menyelam’ menyeberangi sungai, serta dua set roda gantian yang diletakkan pada bed belakang.

    Asia Cross Country Rally 2022 ini akan berlangsung bermula 21 hingga 26 November nanti, bermula di Buriram, timur laut Thailand dan kemudian merentas sempadan Kemboja. Perlumbaan sejauh 1,700 km berkenaan akan menyaksikan kesemua peserta perlu berhadapan laluan di kawasan pergunungan, hutan, jalan berlumpur, menyeberang sungai, kawasan berpasir, dan juga litar lumba, berakhir di tapak Warisan Dunia, Angkor Wat yang terletak di Kemboja.

    Dalam sesi shakedown yang dibuat di Grand Prix Motor Park, Kanchanaburi, Thailand dua minggu lalu, kami turut berpeluang untuk merasai kebolehan Triton Ralliart T1 menerusi sesi “Taxi Ride” bersama Chayaphon Yotha di atas laluan rali. Pengalaman merasai sesi tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    GALERI: Mitsubisihi Triton Ralliart T1 AXCR 2022

    GALERI: Replika Mitsubisihi Triton Ralliart T1 AXCR 2022

     
     
  • Lebuhraya SUKE dilancar secara rasmi; tol percuma sebulan, mula dibuka pada 12 tengah hari 16 Sept

    Lebuhraya SUKE dilancar secara rasmi; tol percuma sebulan, mula dibuka pada 12 tengah hari 16 Sept

    Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) secara rasminya telah dilancarkan sebentar tadi oleh Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menerusi satu majlis yang diadakan di Plaza Tol Bukit Teratai pada jajaran lebuhraya berkenaan.

    Lebuhraya SUKE ini dibangunkan oleh Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas). Ia bakal dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula 12 tengah hari esok, 16 September 2022. Kadar tol untuk lebuhraya ini masih belum diumumkan, namun ia akan dibuka PERCUMA terlebih dahulu untuk tempoh masa sebulan bermula esok.

    Walau bagaimanapun pembukaan permulaan ini hanya untuk Fasa 1 yang membabitkan laluan bermula di persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke Hulu Klang dengan laluan utama sepanjang 16.6 km dengan 11 persimpangan dan dua plaza tol iaitu Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang.

    Manakala pembukaan Fasa 2 iaitu melibatkan laluan dari Sri Petaling (di mana berakhirnya Lebuhraya Kesas, berdekatan Endah Parade) sejauh 7.8 km dengan tiga persimpangan dan satu plaza tol iaitu Plaza Tol Alam Damai dijangka siap pada suku pertama 2023.

    Lebuhraya SUKE dilancar secara rasmi; tol percuma sebulan, mula dibuka pada 12 tengah hari 16 Sept

    default

    Secara keseluruhan, Lebuhraya SUKE ini menampilkan laluan utama sepanjang 24.4 km. Tetapi jika dikira sekali dengan laluan susur keluar, panjang sebenarnya adalah berjumlah 57.7 km. Lebuhraya ini akan menghubungkan Sri Petaling hingga ke Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, bertindak sebagai alternatif kepada Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR), dengan 14 persimpangan secara keseluruhan.

    Pembinaan Lebuhraya SUKE ini disasarkan untuk menyuraikan aliran trafik berkapasiti tinggi di kawasan berkenaan iaitu Cheras, Pandan Indah dan Ampang. Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah, SUKE mampu untuk menyuraikan 30% trafik di MRR2, 36% di Jalan Ampang dan juga 12% di Jalan Loke Yew ketika waktu puncak.

    SUKE juga akan menghubungkan lebuhraya-lebuhraya lain seperti Kesas (Sri Petaling), Lebuhraya KL-Seremban, Sungai Besi Expressway (Besraya), Grand Saga, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH) dan Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE), yang buat masa sekarang kesemuanya bersambung dengan MRR2.

    Lebuhraya SUKE ini merupakan Lebuhraya yang cukup unik kerana 90% “terapung” manakala hanya 10% laluan berada di atas permukaan tanah. Ini membolehkan ia merentas kawasan bandar yang sesak, dan tidak mengganggu kawasan yang masih dibiar sebagai kawasan hijau. Oleh itu ia juga turut menampilkan pelbagai binaan yang unik dan ada yang tidak pernah dilihat di Malaysia sebelum ini.

    Lebuhraya SUKE dilancar secara rasmi; tol percuma sebulan, mula dibuka pada 12 tengah hari 16 Sept

    default

    Bagi persimpangan Cheras-Kajang (terletak berhampiran dengan Plaza Phoenix, menggunakan laluan Cheras-Kajang Expressway atau turut dikenali sebagai Grand Saga), ia dibuat dengan tanjakan helicoidal, iaitu tanjakan berbentuk spiral yang memerlukan anda berpusing dua tingkat sebelum masuk ke laluan utama.

    Tanjakan unik ini adalah pertama seumpamanya di Malaysia dengan rekaan seakan sama seperti tanjakan ikonik di “Jambatan Pelangi” Tokyo, Jepun dan beberapa tempat di China. Tanjakan ini dibuat kerana ia menghubungkan jalan raya yang berada di atas tanah dengan jambatan yang juga struktur tertinggi untuk jajaran SUKE pada kawasan tersebut, iaitu dengan ketinggian 56.4 meter, atau sama dengan bangunan setinggi 18-tingkat.

    Jambatan yang juga merupakan struktur super galang penggalan kekotak (segmental box girder atau SBG) yang terapung itu perlu dibina kerana ia perlu merentasi MRT Laluan Kajang di bawahnya. Menurut pemaju projek ini iaitu PROLintas, jambatan tersebut kini menjadi jalan terapung ketiga tertinggi di Malaysia selepas Jalan Bukit Kukus di Pulau Pinang dan Jalan Pintasan Rawang (Rawang Bypass), serta mencatatkan rekod sebagai struktur super tertinggi dalam negara di dalam Buku Rekod Malaysia.

    Tanjakan helicoidal tersebut perlu dibina bagi memastikan laluan persimpangan yang menghubungkan jalan raya di atas permukaan tanah dengan lebuhraya SUKE tersebut tidak terlalu curam dan membahayakan pengguna jalan raya, serta memudahkan kenderaan mendakinya.

    Lebuhraya SUKE dilancar secara rasmi; tol percuma sebulan, mula dibuka pada 12 tengah hari 16 Sept

    default

    Dari persimpangan berkenaan menuju ke Hulu Klang, SUKE akan menyajikan pemandangan indah yang kontra antara sebelah kiri dan kanan. Di kiri anda akan dapat melihat secara keseluruhan Bandaraya Kuala Lumpur termasuk Menara KL, Menara Berkembar Petronas dan Menara Exchange 106 (TRX), manakala di sebelah kanan pula penuh dengan pemandangan hijau dari Bukit Teratai.

    PROLintas juga sudah bercadang untuk membina fasiliti Rehat dan Rawat di kawasan yang dikenali sebagai Tasik Tambahan. Kawasan berkenaan akan memberikan pemandangan penuh “KL City Skyline” dan ia akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan tersebut.

    Satu lagi ciri unik SUKE adalah laluan yang berada di Ampang. SUKE turut dibina di atas Sungai Ampang, jadi bagi memastikan ekosistem sungai tersebut tidak terganggu. Sungai tersebut kini telah ditegakkan, manakala laluan lebuhraya di atasnya dipisahkan antara kiri dan kanan.

    Ini untuk memastikan sungai berkenaan terus menerima cahaya matahari bagi membolehkan hidupan di dalamnya hidup seperti biasa. Malah di kiri dan kanan sungai terbabit kini telah dibina dengan taman linear menampilkan laluan untuk berlari dalam jarak 1.6 km.

    Lebuhraya SUKE dilancar secara rasmi; tol percuma sebulan, mula dibuka pada 12 tengah hari 16 Sept

    default

    SUKE juga menampilkan satu lagi laluan yang tidak pernah ada di Malaysia iaitu laluan bertingkat di mana setiap tingkat berkenaan hanya memberikan laluan sehala – sebagai contoh tingkat pertama menuju ke selatan dan tingkat kedua menuju ke utara. Laluan tersebut dibina di Alam Damai yang terletak di Cheras, namun ia masih lagi belum dibuka kerana terletak pada laluan Fasa 2.

    Pembinaan Lebuhraya ini turut mengambilkira aspek Indek Bangunan Hijau (GBI) yang melibatkan penggunaan panel solar untuk menghasilkan tenaga elektrik di plaza-plaza tol. Keseluruhan jajaran lebuhraya ini juga menampilkan lorong kecemasan dengan lebar 3.5 meter dan menerima pencahayaan lampu jalan penuh, menggunakan sejumlah 3,377 unit lampu LED.

    “Pembinaan Lebuhraya SUKE telah membawa banyak limpahan ekonomi. Kami telah mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. Sebanyak 248 kontraktor dan 10 perunding utama telah terlibat dalam pembinaan projek ini. Kira-kiran 10,000 peluang pekerjaan disediakan merangkumi pelbagai peringkat dalm bidang pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak,” kata pengerusi PROLintas Dato’ Idris Kechot.

    Lebuhraya SUKE dilancar secara rasmi; tol percuma sebulan, mula dibuka pada 12 tengah hari 16 Sept

    PROLintas juga telah menjalankan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) sepanjang pembinaan Lebuhraya SUKE ini untuk membantu dan memberikan kelegaan kepada penduduk kawasan sekitar. Antaranya adalah penambahbaikkan Jalan Hulu Langat dan sebahagian jalan MRR2 serta pelebaran Jalan Ampang daripada dua ke tiga lorong.

    Syarikat berkenaan turut membina semula kuarters dan Balai Polis Trafik IPD Ampang Jaya, menambahbaik Surau Dato Ahmad Razali, membina semula pejabat dan kuaters pekerja Pejabat Hutan Daerah Selangor Tengah serta rumah penghulu Ampang, dan menanam semula 14,000 anak pokok hutan di Hutan Simpan Sungai Besi seluas 11.33 hektar.

    Konsesi Lebuhraya SUKE ini bermula pada 25 Disember 2014 dan akan berakhir pada 24 Disember 2069 iaitu selama 55 tahun.

     
     
  • JPJ pelawa BMW uji kereta autonomous dan sel bahan api hidrogen di M’sia selepas lawatan kerja ke Munich

    JPJ pelawa BMW uji kereta autonomous  dan sel bahan api hidrogen di M’sia selepas lawatan kerja ke Munich

    JPJ telah mempelawa BMW untuk menguji kenderaan autonomous Level 3 dan sel bahan api di Malaysia. Perkara ini dikemukakan selepas sesi lawatan kerja selama empat hari ke negara pengeluar jenama berkenaan di Munich, Jerman, yang diketuai oleh diketuai oleh Aedy Fadly Ramly, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi), dengan kerjasama BMW Malaysia.

    Menurut JPJ, mesyuarat dan lawatan kerja itu turut menyaksikan sesi pembentangan dan perbincangan berkaitan teknologi terkini yang sedang diperkenalkan oleh BMW AG di seluruh dunia melibatkan pengenalan kepada teknologi Mild Hybrid 48V, Sel Bahan Api Hidrogen dan Autonomous Level 2+ .

    Di dalam sesi tersebut juga, JPJ turut memberi penerangan lanjut berkaitan usaha terkini jabatan untuk menguatkuasakan 13 peraturan baharu UNR melibatkan kenderaan autonomous, kenderaan sel bahan api hidrogen dan lain-lain yang akan berkuatkuasa melibatkan kenderaan baharu melalui kelulusan Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA).

    JPJ turut menjalankan pemeriksaan bagi kelulusan VTA bagi motosikal elektrik BMW yang dirancang untuk dijual di pasaran dalam negara. Pemeriksaan yang melibatkan pematuhan standard melibatkan komponen seperti lampu, tayar, hon, pemantul cahaya dan cermin sisi telah dijalankan dan pengesahan berkaitan sistem level sedang dibuat bagi memastikan motosikal tersebut mematuhi standard piawaian yang ditetapkan oleh negara sebelum ia dibenarkan untuk didaftar dan digunakan di atas jalan raya.

    “Kerjasama di antara JPJ dan BMW akan terus dilaksanakan bagi memastikan pengenalan teknologi baharu berkaitan teknologi automotif akan terus diperkenalkan untuk pasaran Malaysia,” ujar kenyataan yang dikeluarkan JPJ. Sesi perbincangan ini turut dihadiri oleh Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Malaysia dan Mohd Yusop Mohamad selaku Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ.

    BMW bersama-sama membangunkan kenderaan sel bahan api hidrogen dengan Toyota, dan kita bakal dapat melihat hasil perkongsian itu memasuki bilik pameran pada tahun 2025. Cuaca panas dan kelembapan yang tinggi di Malaysia mungkin menjadi alasan yang baik untuk teknologi berkenaan; begitu juga ciri trafik dan pemanduan sendiri.

     
     
  • Proton secara rasmi dilancarkan semula ke Afrika Selatan; X50 RM117k-RM150k, X70 RM137k-RM163k

    Proton secara rasmi dilancarkan semula ke Afrika Selatan; X50 RM117k-RM150k, X70 RM137k-RM163k

    Setelah diumumkan pada April lalu, semalam, 14 September 2022 secara rasmi Proton dilancarkan semula ke pasaran Afrika Selatan selepas jenama automotif dari Malaysia itu tidak lagi mengeksport kenderaan ke negara tersebut sejak 2012. Menurut laporan dari Cars.co.za, buat permulaan Proton akan menawarkan hanya dua model SUV di Afrika Selatan iaitu X50 dan X70.

    Untuk X50, ia akan ditawarkan dalam empat varian, bermula varian asas Standard dijual pada harga Rand 449,900 (RM117k), Luxury pada harga R 499,900 (RM130k), Executive pada harga R 535,900 (RM139k) dan varian tertinggi Premium T-GDI berharga R 579,900 (RM150k).

    Tiga varian lebih rendah untuk Proton X50 ini dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai titik (MPI), menghasilkan kuasa 150 PS dan tork maksima 226 Nm. Manakala varian tertinggi menerima enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI) menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm.

    Bagi model X50 1.5 Standard, ia menampilkan perincian seperti empat-beg udara, rim aloi 17-inci, lampu hadapan LED, upholsteri fabrik, dan skrin 8-inci untuk sistem infotainmen yang datang bersama kamera undur. Model X50 Luxury pula tampil dengan lampu hadapan automatik, lampu kabus, roda stereng balutan kulit dan upholsteri leatherette.

    Proton secara rasmi dilancarkan semula ke Afrika Selatan; X50 RM117k-RM150k, X70 RM137k-RM163k

    Beralih ke varian 1.5 Executive, ia datang dengan rim aloi 18-inci, skrin infotainmen 10-inci bersama kamera 360-darjah, dan sistem pemantau tekanan angin tayar. Manakala varian paling tinggi 1.5 T-GDI Premium pula ditambah dengan sistem bantuan pemanduan keselamatan, bumbung panaromik dan juga warna badan dua-tona dengan bumbung berwarna hitam.

    Melihat spesifikasi yang disiarkan ini, varian Standard, Luxury dan Executive X50 pasaran Afrika Selatan ini sama dengan varian Standard, Executive dan Premium di Malaysia, manakala varian Premium di Afrika Selatan pula sama dengan varian Flagship di Malaysia.

    Untuk X70 pula, ia juga ditawarkan dalam empat varian di Afrika Selatan iaitu Standard 2WD dijual pada harga bermula R 529,900 (RM137k), Executive 2WD berharga R 579,900 (RM150k), Executive 4WD berharga R 629,900 (RM145k) dan varian tertinggi Premium 2WD berharga R 639,900 (RM163k).

    Proton secara rasmi dilancarkan semula ke Afrika Selatan; X50 RM117k-RM150k, X70 RM137k-RM163k

    Kesemua varian X70 pasaran Afrika Selatan ini hanya dijana oleh enjin 1.5 liter T-GDI berkuasa 177 PS/255 Nm, tanpa pilihan varian yang dijana oleh enjin 1.8 T-GDI seperti pasaran Malaysia.

    Varian X70 Standard diberikan lampu hadapan halogen, rim aloi 17-inci, upholsteri fabrik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci, enam pembesar suara, sistem penyegar udara dan juga enam-beg udara. Model X70 Executive pula menerima lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang, rim aloi 18-inci, pintu tailgate elektrik, upholsteri leatherette, tempat duduk pemandu larasan elektrik, lapan pembesar suara dan kamera 360-darjah.

    Bagi model Executive AWD, ia bukan sahaja menerima sistem pacuan semua roda, malah ditambah dengan sistem bantuan pemanduan, sistem pemantau tekanan angin tayar, rim aloi 19-inci, upholsteri kulit Nappa, bersama sistem bunyi yang diberikan sembilan pembesar suara termasuk amplifier dan subwoofer. Manakala varian tertinggi X70 Premium pula ditambah dengan bumbung panaromik.

    Pada pasaran Afrika Selatan, Proton akan diwakili oleh CMH Group untuk menjual kenderaan menerusi 25 jaringan pengedar rasmi Proton di sana, dengan kumpulan pertama berjumlah 1,200 unit kenderaan akan mula dijual di Afrika Selatan tahun ini. Penghantaran pertama dari Malaysia telah dibuat oleh Proton pada Mei lalu dan ia secara rasmi telah sampai ke Durban pada 5 Julai 2022.

    Sebelum ini Proton turut menyatakan bahawa stok kumpulan pertama yang berlepas dari Westport, Klang, tersebut turut disertai oleh Proton Saga, namun harga dan spesifikasi untuk sedan segmen-A berkenaan masih belum diumumkan.

    Sama seperti pasaran Malaysia, CMH Group memberikan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan untuk setiap Proton yang dijual di Afrika Selatan.

     
     
  • Ford Mustang 2024 diperkenal – boleh rev enjin guna kunci kawalan jauh, brek tangan elektronik untuk drift

    Ford Mustang 2024 diperkenal – boleh rev enjin guna kunci kawalan jauh, brek tangan elektronik untuk drift

    Selepas hampir 10 tahun Mustang generasi keenam dijual dalam pasaran, Ford kini memperkenalkan penggantinya, Mustang generasi ketujuh, yang menggunakan nama kod S650. Ia ditawarkan dalam dua versi enjin, iaitu Coyote V8 5.0 liter untuk varian GT, dan enjin empat silinder 2.3 liter turbo EcoBoost serba baru.

    Kedua-duanya didatangkan dengan pilihan transmisi sama ada manual enam kelajuan dengan sistem rev-matching, atau automatik 10 kelajuan. Enam mod pemanduan disediakan, iaitu Normal, Sport, Slippery, Drag, Track dan Custom yang boleh diubah suai mengikut pilihan pemandu.

    Satu lagi ciri menarik yang disediakan pada Mustang generasi ketujuh ini adalah pemilik boleh rev enjin dengan hanya menggunakan kawalan jauh pada kuncinya, melalui sistem yang dipanggil sebagai Remote Rev.

    Apabila mendapatkan pakej Performance Pack, pemilik akan diberi dengan tower brace hadapan, sistem ekzos aktif, tempat duduk Recaro, limited-slip differential Torsen, suspensi aktif MagnaRide, rim belakang lebih lebar, brek Brembo lebih besar (390 mm di hadapan dan 355 mm di belakang), serta brek parkir Performance Electronic Parking Brake yang boleh mengunci tayar seperti brek tangan mekanikal, untuk menghasilkan gelinciran.

    Pakej GT Performance pula menambah salur udara pada bahagian brek untuk penyejukan, serta penyejuk minyak enjin. Demi menjadikan Mustang baru ini lebih lincah dan memuaskan pemandu, nisbah sterengnya dijadikan lebih cepat.

    Meskipun menggunakan rekaan serba baru, Mustang generasi ketujuh ini masih mengekalkan identiti model lagenda itu, termasuklah lampu belakang dengan tiga jalur di setiap bucu. Varian GT dibuat lebih garang dengan bukaan hadapan yang lebih besar, skup udara atas bonet serta splitter di hadapan.

    Ford Mustang 2024 diperkenal – boleh rev enjin guna kunci kawalan jauh, brek tangan elektronik untuk drift

    Untuk versi convertible pula, bumbung fabriknya boleh dibuka dengan selak di bahagian tengah dan masuk ke bahagian belakang yang juga boleh menempatkan barang sebesar dua beg golf. Rim disediakan dari saiz 17 inci hingga 20 inci, sementara warna badan pula ada 11 pilihan. Angkup brek boleh dicat warna hitam, merah atau Grabber Blue.

    Pada papan pemuka terdapat dua skrin 12.4 inci melengkung yang bersambung, dan sistem infotainmennya menggunakan SYNC 4. Tiada lagi butang pengawal pendingin hawa dan radio pada konsol tengah, dan segala kawalan perlu dilakukan pada skrin digital tersebut. Model EcoBoost datang dengan balutan tempat duduk kulit sintetik ‘ActiveX’, sementara varian GT dinaik taraf dengan balutan kulit sebenar.

    Ciri lain yang diberi adalah termasuk pengecas tanpa wayar, soket USB, sistem bunyi Bang & Olufsen, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta Amazon Alexa dengan Ford Streaming yang menyediakan akses muzik serta podcast melalui kawalan suara.

    Pada bahagian keselamatan, Mustang baru ini dilengkapi dengan Ford Co-Pilot360, yang termasuk pengenalan tanda jalan, Lane Centring Assist, Evasive Steer Assist, Reverse Brake Assist dan Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop-go.

    Melalui aplikasi FordPass, pemilik boleh menghidupkan enjin dan mematikan kenderaan, mengunci dan memberitahu lokasinya, serta menetapkan waktu hidup dari jarak jauh. Sistem ini juga membenarkan akses kepada informasi keadaan kenderaan serta statusnya. Mustang baru ini akan mula dijual di Amerika Syarikat pada tahun hadapan.

     
     
  • Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    Selagi anda membawa kenderaan yang kapasiti enjinnya tidak begitu besar, cukai jalan bukanlah sesuatu yang merisaukan kerana bila sampai waktu untuk diperbaharui, lebih ramai yang berfikir tentang harga insurans yang lebih tinggi. Kalau kereta berenjin 1.0 liter, cukai jalan hanyalah RM20, dan kalau 1.3 liter, cuma RM70.

    Memanglah, ia tidak seberapa, tapi setiap ringgit itu ada harganya. Memikirkan perkara itu, senator Zahid Md Arip telah menyarankan kerajaan untuk menghapuskan cukai jalan demi meringankan beban rakyat. Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, beliau berkata ini kerana sistem yang digunakan sekarang adalah berasaskan ‘cukai atas cukai’.

    Tambah Zahid, sekarang ini pemilik kenderaan terpaksa berhadapan dengan sistem berlapis-lapis, yang mengenakan cukai atas duti import, eksais, SST dan juga cukai jalan. ““Sudahlah mereka terpaksa membayar cukai yang berganda, rakyat khususnya yang tinggal di Lembah Klang seolah-olah terkepung dan terpaksa menggunakan laluan yang hampir semuanya dikenakan tol pada setiap hari,” kata beliau.

    Cukai jalan patut dihapuskan dalam Bajet 2023 kerana membebankan rakyat, “cukai atas cukai” – senator

    “Rakyat Keluarga Malaysia tidak boleh terus dibebankan dengan ‘cukai atas cukai’ yang bertimpa-timpa ini dan Bajet 2023 adalah peluang terbaik untuk perdana menteri menggembirakan rakyat. Saya difahamkan ketika ini, konsultasi Bajet 2023 sedang berlangsung, saya berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan beberapa hari lalu.

    Zahid turut memberitahu bahawa saranan ini boleh memberi manfaat kepada rakyat dan juga kerajaan. ““Kerajaan sebenarnya boleh melihat dan mempelajari daripada United Kingdom (UK) dalam pelaksanaan hal ini, yang mana negara itu sudah menghapuskan cukai jalan sejak 2015 dan hanya mengenakan cukai duti eksais (VED) sahaja untuk pemilik kenderaan,” kata beliau.

    “Bagi menampung kehilangan hasil akibat penghapusan cukai jalan ini pula, kerajaan boleh menimbangkan untuk mengurangkan subsidi minyak dan kaedah ini sebenarnya lebih adil kepada rakyat dan kerajaan, kerana ia bersifat bersasar terus kepada pengguna yang layak khususnya dari kumpulan B40,” kata Zahid.

     
     
  • Volvo sudah ada pusat baik pulih dan cat badan rasmi di Malaysia; VCDR di Glenmarie dan Ara Damansara

    Volvo sudah ada pusat baik pulih dan cat badan rasmi di Malaysia; VCDR di Glenmarie dan Ara Damansara

    Volvo Cars Malaysia (VCM) buat pertama kali memperkenalkan Volvo Certified Damage Repair Centre (VCDR), iaitu pusat servis khas yang menawarkan khidmat membaik pulih dan mengecat badan kenderaan. Khidmat tersebut kini ditawar di dua fasilitinya di Lembah Klang iaitu di Federal Auto Cars, Glenmarie dan Sime Darby Swedish Auto, Ara Damansara.

    Menurut VCM, kedua-dua pusat berkenaan kini menawarkan khidmat baik pulih dan mengecat badan kenderaan menggunakan Standard VCDR yang sama. Standard tersebut menyepadukan penggunaan teknologi mampan seperti sistem pengudaraan bertekanan rendah dengan kawalan automatik yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida, zarah mikroskopik, dan penggunaan tenaga.

    Selain itu, peralatan berkenaan menggunakan bateri semasa memanaskan sistem elektrik, dan lebih daripada 80% udara akan disedut masuk melalui sistem penapisan yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau. Penggunaan Sebatian Organik Meruap (VOC) dalam cat kini digantikan dengan cat berasaskan air, yang mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya.

    Kedua-dua pusat berkenaan juga akan beroperasi dengan juruteknik-juruteknik terlatih. Dengan fasiliti berkeluasan 11,133 kaki persegi, setiap pusat servis ini berupaya untuk mengendalikan sehingga 1,260 kenderaan setahun.

    “Kami sangat gembira dapat menyaksikan pencapaian Volvo Car Malaysia setakat ini,” kata Ketua APEC Volvo Cars, Nick Connor ketika melancarkan pusat perkhidmatan baharu ini.

    Volvo sudah ada pusat baik pulih dan cat badan rasmi di Malaysia; VCDR di Glenmarie dan Ara Damansara

    “Daripada pelaksanaan strategi elektrifikasi global, kepada penjualan mengalakkan XC40 Recharge Pure Electric, hari ini kami di sini untuk melancarkan VCDR Volvo Car untuk merealisasikan visi kami seterusnya dalam menawarkan standard penjagaan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan kami. Kami sangat gembira kerana melalui pelaburan yang dilakukan oleh rakan niaga kami, Malaysia kini menjadi negara kedua di rantau ini yang memperkenalkan VCDR,” tambahnya lagi.

    Pengarah Urusan VCM Charles Frump pula berkata: “Kami mahu pelanggan kami memandu pulang kereta Volvo mereka dalam pemikiran yang tenang apabila mengetahui bahawa kami bersedia untuk memberikan penjagaan standard antarabangsa Volvo untuk kenderaan mereka. Dengan memperkenalkan VCDR dalam rangkaian pengedar kami, ia membolehkan pelanggan kami menikmati kenderaan yang berfungsi dengan baik sepanjang hayatnya.”

    Jeremy Gan, Pengarah Urusan Jualan Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia berkata: “Kami mensasarkan untuk terus memberikan perkhidmatan dan tawaran terbaik kepada pelanggan kami. Ini termasuklah meningkatkan kemampanan operasi kami untuk meminimumkan impak kepada alam sekitar di samping mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan kami. Oleh itu, kami berbesar hati untuk menerimaguna standard VCDR bagi kenderaan Volvo di pusat servis Sime Darby Motors Centralised Body and Paint kami, seiring dengan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus kami untuk mengurangkan peralihan karbon, melabur secara berterusan dalam penyelesaian dan memberi inspirasi kepada perubahan yang bermakna.”

    “Sebagai sebahagian daripada rangkaian Volvo di Malaysia, kami komited ke arah memberikan kualiti perkhidmatan cemerlang dan kenderaan yang selamat kepada pelanggan Volvo kami melalui pelaburan dan penambahbaikan yang berterusan dalam setiap aspek operasi kami. Dalam persekitaran hari ini, kami sangat menekankan soal kemampanan iklim dalam strategi dan keputusan perniagaan kami. Oleh itu, kami, dengan sepenuh hati menerima seluruh konsep VCDR yang menggunakan peralatan mesra alamnya, serta aliran kerja dan proses-prosesnya yang cekap,” kata Wong Fay Lee, Pengerusi Federal Auto Holdings Berhad.

     
     
  • BMW M850i xDrive Coupé MY Edition 2022 – 4.4L V8, Live Cockpit Professional dwi skrin 12.3″; RM1.1 juta

    BMW M850i xDrive Coupé MY Edition 2022 – 4.4L V8, Live Cockpit Professional dwi skrin 12.3″; RM1.1 juta

    BMW Malaysia telah memperkenalkan varian terkini bagi 8 Series Coupé iaitu M850i xDrive Coupé MY Edition untuk pasaran Malaysia – seperti yang dilihat, ia adalah G15 facelift yang ditayangkan bersama model Convertible (G14) dan Gran Coupé (G16) pada Januari tahun ini.

    M850i xDrive ini dipadankan dengan enjin N63 4.4 liter biturbo petrol V8 yang mampu menghamburkan kuasa hingga 530 PS pada 6,000 rpm dan tork 750 Nm dari 1,800 rpm hingga 4,600 rpm. Transmisinya menerusi kotak gear automatik lapan-kelajuan, yang menyalurkan pacuan ke semua roda. Ia membolehkan jentera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan kelajuan maksima cecah 250 km/j.

    Model facelift ini turut diberikan sedikit semakan untuk bahagian hadapan bagi 8 Series, kini ditampilkan dengan gril ‘kidney’ Iconic Glow dengan unit LED yang memberikan “iluminasi ala-air terjun” pada gril, bersama bampar yang dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada pakej facelift. Selain itu, M850i ini didatangkan dengan M high-gloss Shadowline dan spoiler belakang M.

    Menyerlahkan lagi gayanya dengan kehadiran roda aloi ringan M 20-inci dalam rekaan 895 M Bicolour pada tayar berukuran 245/35 di hadapan dan 275/30 di belakang, perumah brek M Sport dengan kaliper kemasan hitam berkilat.

    Di dalamnya, M850i xDrive Coupé MY Edition facelift diberikan paparan kawalan infotainmen besar, kini berukuran 12.3-inci, berpadanan dengan kluster instrumen digital 12.3-inci untuk pemandu. Untuk pemandu dan penumpang hadapan, diberikan tempat duduk M Sport dengan pengudaraan aktif dan kabin juga menerima kemasan M gentian karbon bersama kawalan saduran elektrik.

    Selain itu, pakej BMW Individual diberikan dengan ciri upholstery bersama kemasan kulit Merino untuk roda stereng M, M headliner dalam anthracite, tali pinggang keledar M dan aplikasi kaca untuk beberapa elemen kemasan dalaman. Untuk keselesaan, ia diberikan kawalan suhu dwi-zon, pencahayaan ambien dan pintu penutupan-lembut.

    Untuk ketersambungan pula, M850i diberikan Connected Package Professional yang merangskumi Intelligent Emergency Call, Teleservices dan Remote Services. Sementara ketersambungan telefon pintar oleh Apple CarPlay dan Android Auto; selain diberikan sistem bunyi sekeliling Bowers & Wilkins Diamond.

    Sistem bantuan pemandu dalam M850i untuk Malaysia termasuklah Driving Assistant Professional yang merangskumi amaran ketibaan lorong, amaran menukar lorong, amaran pelanggaran hadapan, amaran trafik lintasan belakang, amaran pelanggaran belakang, info had kelajuan, bantuan kawalan lorong dan stereng, bantuan berhenti kecemasan, bantuan had kelajuan automatik, bantuan tukar lorong dan amaran trafik lintasan hadapan.

    Ia turut diberikan Parking Assistant Plus yang terdiri daripada Active Park Distance Control Reversing Assistant, Lateral Parking Aid, Remote 3D View Perakam Pemanduan, Sistem Pandangan Sekeliling dan perakam anti-kecurian.

    Untuk BMW M850i xDrive MY Edition, warna yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia adalah
    BMW Individual Frozen Pure Grey Metallic dan BMW Individual Frozen Tanzanite Blue Metallic. Ia boleh dipadankan dengan kemasan kulit Merino dengan pilihan warna sama ada hitam, Cognac, Ivory White, Night Blue, Tartufo dan Fiona Red.

    Coupé mewah terkini jenama ini ditawarkan pada harga RM1,102,800 atas jalan tanpa insurans dengan BMW Service dan Repair Inclusive, bersama cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Pemilik M850i xDrive MY Edition akan menerima waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had dengan penyelenggaran berjadual percuma, akses kepada bantuan tepi jalan BMW dan talian kemalangan, BMW Group Loyalty+ Mobile App dan kad BMW Privileges serta BMW Service Online.

    BMW M850i xDrive Coupé MY Edition 2022

    BMW M850i xDrive Coupé facelift G15 2022

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025