Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • inDriver ride-hailing catat muat turun 100 juta di Google Play — pengguna boleh runding tambang

    inDriver <em>ride-hailing</em> catat muat turun 100 juta di Google Play — pengguna boleh runding tambang

    Aplikasi ride-hailing inDriver kini mencapai tanda aras 100 juta muat turun di Google Play Store. Aplikasi global berkenaan, yang beroperasi di lebih 600 kota di 39 negara menyifatkan peningkatan itu berlaku akibat pengembangan antarabangsa yang bermula pada 2018 di beberapa rantau berbeza seluruh dunia, seperti Amerika Latin, Afrika, Timur Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

    inDriver mendakwa keunikan model tawaran masa nyata aplikasi itu, yang berbeza sama sekali berbanding algoritma yang digunakan oleh servis ride-hailing lain, telah membantu syarikat mencapai jumlah pengguna yang besar di seluruh dunia.

    Sepanjang tahun lalu, inDriver telah mempelbagaikan servisnya, menawarkan perjalanan antara bandar, penghantara dan pengangkutan kargo. Ini telah membantu aplikasi berkenaan menjadi satu daripada servis ride-hailing terbesar di dunia dari jumlah muat turun bulanan, menurut Sensor Tower dan AppAnnie.

    Syarikat dari California itu melancarkan aplikasinya di Malaysia pada Oktober 2021 dan mendakwa servis mereka sudah dimulakan di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan dan Kuala Terengganu. Di Malaysia Timur, inDriver boleh didapati di Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Kinabalu.

    inDriver <em>ride-hailing</em> catat muat turun 100 juta di Google Play — pengguna boleh runding tambang

    Keunikan inDriver adalah Real Time Deals (RTD), yang membolehkan pengguna meminta perkhidmatan dengan menawarkan harga tambang yang mereka rasakan adil. Pemandu di sekitar dalam rangkaian itu akan memutuskan sama ada mereka mahu menerima tambang itu atau mengabaikannya, atau berunding tambang dengan penumpang untuk kadar lebih tinggi.

    Pemandu tidak akan ditugaskan secara automatik bagi perjalanan yang diminta; ini bermakna, penumpang juga akan menerima tawaran-balas daripada pemandu yang ada berdekatan. Pelanggan kemudiannya boleh memilih pemandu terbaik yang menepati keinginan mereka dari segi tambang, penarafan pemandu, jangkaan masa tiba atau kenderaan yang digunakan.

    “inDriver percaya ride-hailing sepatutnya lebih mudah diakses, berpatutan dan fleksibel. Dengan membenarkan pengguna kami untuk menentukan tambang yang dirasakan adil, kami mampu melawan algoritma yang digunakan oleh syarikat lain yang akan menaikkan harga mereka misalnya ketika waktu puncak, keadaan trafik atau sejarah penggunaan,” ujar COO inDriver, Egor Fedorov.

     
     
  • Produksi trak Ford F-Series cecah 40-juta unit!

    Produksi trak Ford F-Series cecah 40-juta unit!

    Ford telah menghasilkan trak pikap F-Series mereka selama lebih dari tujuh dekad. Dengan tempoh produksi yang begitu lama serta jualan yang begitu laris, anda rasa berapa banyak trak F-Series ini dihasilkan oleh Ford? Jenama Blue Oval berkenaan mengumumkan bahawa produksi F-Series telah pun mencecah sebanyak 40-juta unit!

    Unit trak F-Series yang ke 40-juta berkenaan telah pun keluar dari barisan produksi Kilang Trak Dearbon milik Ford yang terletak di Michigan. Unit berkenaan secara spesifiknya adalah Ford F-150 Tremor 2022 dengan warna badan Iconic Silver.

    Kebiasaannya unit produksi yang bersejarah ini akan disimpan di muzium. Tapi tidak untuk trak F-Series unit yang ke-40 juta berkenaan kerana sebaik sahaja gambarnya diambil sebagai untuk rekod arkib, ia terus diserahkan ke pelanggan di Texas, dan digunakan untuk bekerja. “Kerana inilah tugas trak Ford,” kata Ford dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Gambar unit tersebut diambil bersebelahan dengan model asal trak Ford F-Series iaitu Ford F-1 1950. Ford sebenarnya telah memulakan produksi trak F-Series generasi pertama bermula 75-tahun lalu, iaitu pada tahun 1947. Model F-1, F-2, F-3 dan F-4 mula dijual dalam pasaran bermula pada tahun 1948. Trak F-Series generasi pertama tersebut diproduksi dari 1948 hingga 1950.

    Selain dari tempoh produksi yang begitu lama, jumlah produksi yang mencecah 40-juta unit ini juga turut disumbangkan oleh jumlah jualan yang begitu memberangsangkan – jika di Malaysia Perodua Myvi menjadi model paling laris sejak sekian lama, di Amerika Syarikat trak F-Series ini menjadi model paling laris selama 40-tahun!

    Dengan menjadi aset yang begitu berharga buat Ford, F-Series akan dipastikan terus relevan pada masa akan datang. Oleh itu F-Series telahpun didedahkan dalam versi janaan elektrik sepenuhnya iaitu Ford F-150 Lightning. Dengan motor elektrik berkuasa 563 hp/1,051 Nm, F-150 Lightning mampu memecut dari 0-97 km/j dalam masa di bawah lima saat!

    GALERI: Ford F-150 Lightning

     
     
  • Jualan kereta ASEAN cecah 2.79 juta unit pada 2021 – naik 14% buat pertama kali dalam tempoh 3 tahun

    Jualan kereta ASEAN cecah 2.79 juta unit pada 2021 – naik 14% buat pertama kali dalam tempoh 3 tahun

    Menurut laporan Nikkei, jualan kereta baharu di enam negara ekonomi utama ASEAN pada tahun 2021 mencecah 2.79 juta unit kenderaan. Ini merupakan kali pertama dalam tempoh tiga tahun menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, dengan lonjakan permintaan yang ketara di Indonesia serta kelonggaran sekatan pergerakan Covid-19 di beberapa negara pada separuh kedua 2021 menjadi faktor utama.

    Walau bagaimana pun, angka jualan yang digabungkan dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam itu masih kurang sekitar 20% berbanding yang dicatatkan pada tahun 2019, sebelum pandamik. Jualan pada tahun 2021 juga agak terjejas disebabkan isu pengeluaran yang timbul akibat masalah kekurangan cip semikonduktor. Untuk tahun 2022, penganalisis pasaran menjangkakan jualan kereta akan melantun semula lebih tinggi.

    Dalam jumlah keseluruhan 2.79 juta yang terjual pada tahun lalu, Indonesia menyumbangkan sebanyak 887,202 unit kenderaan dan menjadi pasaran terbesar untuk kereta baharu di antara enam negara ASEAN, buat pertama kalinya dalam tempoh dua tahun ini. Indonesia memperkenalkan pecahan cukai untuk menggalakkan permintaan pada Mac lalu yang kemudiannya dilanjutkan sehingga akhir 2021, dan kemudian dilanjutkan sekali lagi sehingga hujung Mac 2022.

    Persatuan Industri Automotif Indonesia menjangkakan jualan kereta baharu untuk tahun ini boleh mencecah 900,000 unit, angka yang agak rendah jika dibandingkan ketika zaman pra-pandemik pada 2019 iaitu 1.03 juta unit. Tahun lalu, Toyota mengekalkan posisinya sebagai jenama paling laris, diikuti oleh Daihatsu dan Mitsubishi di tempat kedua dan ketiga.

    Jualan kereta ASEAN cecah 2.79 juta unit pada 2021 – naik 14% buat pertama kali dalam tempoh 3 tahun

    Sementara itu, Thailand pula di tempat kedua dengan penyusutan jualan kereta baharu selama tiga tahun berturut-turun, dengan mencecah 759,119 unit (-4%). Pada separuh pertama tahun 2021, jualan meningkat berbanding tempoh yang sama pada 2020, tetapi momentum itu menyusut disebabkan sekatan pergerakan yang dilaksanakan dan pengeluaran yang terjejas akibat masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.

    Toyota yang merupakan peneraju pasaran di Thailand, menjangkakan industri temoatan merekodkan sejumlah 860,000 unit bagi jualan kereta baharu pada 2022 – termasuk dengan jenama lain. Angka ini masih di bawah satu juta kenderaan yang direkodkan di negara tersebut pada 2019, dan Toyota tidak menjangkakan jualan akan melepasi paras itu sehingga selepas tahun 2023 disebabkan kuasa beli pengguna yang agak perlahan akibat Covid-19.

    Malaysia turut menyaksikan penyusutan jualan pada tahun lalu sebanyak 4% dengan hanya 508,911 unit kenderaan yang terjual. Faktor penyebabnya ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara pada Jun lalu yang banyak menjejaskan aktiviti jualan. Walau bagaimana pun, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan jualan sebanyak 600,000 unit untuk tahun 2022, angka yang lebih tinggi berbanding 2021, tetapo masih jauh lebih rendah berbanding yang dicatatkan pada 2019.

    Manakala Vietnam pula mencatatkan jualan sekitar 300,000 unit kenderaan baharu pada tahun lalu, dan Filipina pula merekodkan sebanyak 280,000 unit. Vietnam menjadi pasaran kereta baharu ke-empat terbesar di Asia Tenggara untuk dua tahun berturut-turut (2020-2021), di mana sebelum itu posisi tersebut diduduki oleh Filipina.

     
     
  • Polis keluarkan 48 saman bagi kesalahan di Jalan Temiang-Pantai — jangan parkir di lorong kecemasan

    Polis keluarkan 48 saman bagi kesalahan di Jalan Temiang-Pantai — jangan parkir di lorong kecemasan

    Gambar oleh @waihoe007

    Laluan di Malaysia yang paling banyak mendapat perhatian ketika ini ialah Jalan Temiang-Pantai di Negeri Sembilan, yang telah menjadi tular kerana dikatakan oleh sesetengah orang menyerupai suasana di New Zealand. Pemandangannya cantik, dan disebabkan itu ramailah yang ingin bergambar di sana. Tetapi, perbuatan itu sangat bahaya.

    Untuk berhenti di kawasan berkenaan bagi tujuan bergambar adalah salah, dan polis setakat ini telah mengeluarkan 48 saman di laluan itu — kesalahan utama adalah meletak kenderaan di laluan kecemasan bagi tujuan perjumpaan atau mengambil gambar.

    “Tidak salah untuk ambil gambar, tetapi jangan letak kereta anda di lorong kecemasan dan ganggu trafik serta membahayakan pengguna lain,” jelas Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop. Bagaimanapun, setakat ini masih belum berlaku sebarang kemalangan di kawasan tersebut, lapor Sinar Harian.

    Polis juga memaklumkan, tiada larangan ke atas aktiviti seperti berbasikal dan berlari di laluan tersebut sekali ia tidak mengganggu trafik ada mendatangkan bahaya terhadap orang lain. Beliau menambah, PDRM dan agensi kerajaan berkaitan akan terus meninjau dan menjalakankan advokasi dari semasa ke semasa di Jalan Temiang-Pantai, yang merupakan jalan persekutuan.

    Sebuah kelab kereta baru-baru ini menjadi tular selepas ahlinya meletak kenderaan di lorong kecemasan di kedua-dua arah untuk tujuan mengambil gambar. Tidak salah untuk bergambar, tetapi bertimbang rasalah juga kepada pengguna jalan yang lain. Dan pastikan keadaan semuanya selamat.

     
     
  • Tol tanpa palang mula pada 2025 – k’jaan cari jalan untuk kenakan hukuman untuk yang elak bayar tol

    Tol tanpa palang mula pada 2025 – k’jaan cari jalan untuk kenakan hukuman untuk yang elak bayar tol

    Kerajaan mengesahkan bahawa sistem tol tanpa palang di Malaysia akan mula digunakan pada 2025, di mana ia akan beroperasi berasaskan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF). Persoalannya, bagaimana jika sistem tersebut disalah guna untuk mereka yang mahu mengelak membayar tol?

    Menurut laporan Free Malaysia Today, peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan mungkin diperkenalkan terhadap individu yang cuba melakukan perbuatan itu. Laporan itu juga menyatakan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof mengesahkan bahawa kementeriannya mencadangkan satu undang-undang jenayah baharu terhadap mereka yang mengelak untuk membayar tol sebagai sebahagian daripada pelaksanaan MLFF dalam tempoh 24 bulan akan datang.

    “Ini bagi mengelakkan ketirisan kerana kami sedang meneliti peruntukan undang-undang yang merangkumi Kanun Keseksaan dan sama ada mengelak tol boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah kerana tiada halangan lorong di bawah MLFF,” kata menteri berkenaan kepada FMT.

    Fadillah turut menyatakan bahawa satu peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan dan cadangan pindaan terhadap undang-undang berkaitan, termasuk Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

    Tol tanpa palang mula pada 2025 – k’jaan cari jalan untuk kenakan hukuman untuk yang elak bayar tol

    “Bagi mewujudkan sistem rekod pengesanan kenderaan dan pemandu, kita perlu menghubungkannya dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Undang-undang berkaitan perlu diteliti. Mungkin terdapat keperluan untuk undang-undang khas (baharu) atau mungkin undang-undang sedia ada perlu dipinda,” jelasnya lagi.

    Fadillah menyatakan bahawa cabaran terbesar untuk implementasi MLFF ini adalah untuk menyelesaikan aspek undang-undang sistem tersebut. “Ini adalah cabaran terbesar. Kita perlu menyelesaikannya, termasuk mendapatkan persetujuan pemegang konsesi lebuh raya dan pihak berkepentingan lain berhubung undang-undang (baharu).”

    Beliau turut menambah bahawa proses ini bukan hanya melibatkan satu kementerian, malah ia perlu dilakukan oleh beberapa kementerian dan agensi berkaitan.

    Menerusi sistem MLFF dengan tol tanpa palang ini, bayaran akan dikutip menerusi sistem identifikasi frekuensi radio (RFID), yang berfungsi bersama sistem pengecaman plat nombor automatik (ANPR). Oleh itu Fadillah menyatakan bahawa ketepatan maklumat pendaftaran pemilik kenderaan yang disimpan dalam tag pelekat RFID dan juga sistem yang berintegrasi dengan JPJ akan memainkan peranan yang penting.

    Beliau juga menjelaskan bahawa gantri untuk sistem MLFF ini juga akan dilengkapi dengan kamera, yang berfungsi bukan sahaja untuk membaca nombor pendaftaran kereta, malah mampu untuk mengecam muka pemandu yang memandu kenderaan berkenaan.

    Tol tanpa palang mula pada 2025 – k’jaan cari jalan untuk kenakan hukuman untuk yang elak bayar tol

    “Bagaimana jika pengguna tidak membayar ketika melepasi lorong MLFF? Jadi, mesti ada tapisan di lokasi gantri dan kualiti imej pada kamera perlu sangat jelas untuk mengecam perincian kenderaan dan juga pemandunya,” jelas Fadillah lagi.

    Buat masa sekarang, mereka yang didapati menggunakan lebuhraya tanpa membayar tol akan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan 1984 (Pengurusan Persendirian), yang akan mengenakan hukuman denda antara RM2,000 dan RM5,000 jika disabitkan kesalahan. Walau bagaimanapun, syarikat konsesi perlu untuk membawa pesalah berulang ke mahkamah untuk mendapatkan semula tol yang tidak dibayar.

    Tahun lalu, mahkamah persekutuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan untuk membenarkan PLUS Malaysia mendapatkan semula RM518,369 bayaran tol yang belum dibayar dan kos tambahan RM100,000 daripada sebuah syarikat logistik kerana kesalahan tidak membayar tol oleh pemandu-pemandunya, melibatkan 19 kenderaan selama beberapa tahun.

    Kes tidak membayar tol juga banyak berlaku dikalangan pengguna biasa. Pada tahun 2017, sebuah kereta yang gagal melepasi lorong SmartTag ketika waktu trafik puncak di tol Sungai Besi dikesan mempunyai bayaran tol berjumlah hampir RM900 yang belum dibayar. Kesalahan tersebut dibuat dengan cara mengekori kenderaan hadapan dengan rapat ketika melalui lorong SmartTag.

     
     
  • Op Selamat 17/22 – Selangor catat 2,810 kes kemalangan, 21 maut; 34,329 saman trafik dikeluarkan

    Op Selamat 17/22 – Selangor catat 2,810 kes kemalangan, 21 maut; 34,329 saman trafik dikeluarkan

    Sepanjang pelaksanaan Op Selamat 17 yang bermula pada 28 Januari hingga 6 Februari 2022 sempena Tahun Baharu Cina, Selangor telah mencatatkan sebanyak 2,810 kemalangan jalan raya dan melibatkan 21 kematian.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, statistik itu menunjukkan penurunan 1,374 kes berbanding Op Selamat 16 Tahun Baharu Cina 2020 iaitu 4,184 kemalangan direkodkan bagi tempoh sama, laporan Harian Metro.

    “Daripada 2,810 kemalangan itu, 404 kemalangan berlaku di lebuh raya, 219 di jalan persekutuan, 362 kemalangan di jalan negeri, 1,629 kemalangan di jalan bandaran dan 196 kemalangan di lain-lain jalan.

    Op Selamat 17/22 – Selangor catat 2,810 kes kemalangan, 21 maut; 34,329 saman trafik dikeluarkan

    “Bagi kemalangan maut pula, sebanyak 21 kes direkodkan membabitkan 19 kes penunggang motosikal, satu kes pemandu kereta dan satu kes pejalan kaki. Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak satu kes berbanding 22 kes pada Op Selamat 16,” katanya.

    Dalam masa yang sama, sebanyak pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 34,329 saman membabitkan enam jenis kesalahan utama terutama melebihi had laju sebanyak 33,252 saman. Kesalahan lain membabitkan tidak patuh lampu isyarat (713), guna alat komunikasi semasa memandu (304), memotong barisan (45), lapan saman memotong garisan berkembar, tujuh saman kesalahan memandu di lorong kecemasan.

    “Walaupun Op Selamat 17 sudah berakhir, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan,” katanya.

     
     
  • Isu bekalan cip dijangka berterusan tahun ini – laporan

    Isu bekalan cip dijangka berterusan tahun ini – laporan

    Pengeluar kereta Jerman, Volkswagen, menjangkakan isu kekurangan bekalan cip semikonduktor di peringkat global akan berterusan sekurang-kurangnya separuh pertama 2022, walau pun sepatutnya keadaan ini beransur reda pada separuh kedua tahun ini, memetik kenyataan penerbitan automotif Automobilwoche seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

    “Keadaan yang tidak menentu akan menjejaskan (pengeluaran) kami sekurang-kurangnya selepas separuh pertama tahun ini,” kata ketua perolehan Volkswagen Murat Aksel kepada Automobilwoche dalam satu temu bual. Pembuat kereta di seluruh dunia telah terjejas dengan isu kekurangan cip semikonduktor, disebabkan gangguan rantaian bekalan akibat pandemik Covid-19 serta peningkatan mendadak dalam permintaan untuk elektronik.

    Permintaan untuk cip itu ditetapkan untuk terus berkembang dalam industri pembuatan automotif, dan untuk itu, fokus pembuat kereta adalah untuk bekerjasama rapat dengan pembekalnya bagi memastikan ketersediaan cip yang dipertingkatkan, dan bukannya menuntut ganti rugi daripada pembekal yang lambat menghantar cip, kata Aksel.

    Isu bekalan cip dijangka berterusan tahun ini – laporan

    Dalam laporan berasingan Reuters, lain-lain pengeluar kereta termasuk General Motors, Ford dan Hyundai turut meramalkan perkara yang sama, bahawa kekurangan cip akan berkurangan pada separuh kedua tahun ini. Namun pengeluar cip automotif seperti NXP dan Infineon pula meramalkan bahawa bekalan akan terus berkurangan.

    “Keterbatasan bekalan masih jauh untuk berakhir, dan akan berterusan sehingga 2022,” Ketua Pegawai Eksekutif Infineon, Reinhard Ploss dipetik oleh Reuters. Tambah beliau, Infineon bimbang bahawa penyebaran virus varian Omicron akan menyebabkan kilang di China akan ditutup dan mengehadkan bekalan. Sementara itu, NXP berkata bahawa industri tidak akan keluar daripada ketidakseimbangan permintaan bekalan tahun ini, ujar laporan tersebut.

    Ford yang juga telah bekerjasama dengan pengeluar chip Global Foudries yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi mengurangkan pergantungan dengan pengeluar cip Taiwan, TSMC, untuk cip dengan teknologi lama, tambah Reuters.

    “Kami sangat bergantung pada TSMC untuk nod yang memiliki banyak ciri, walau bagaimana pun, kapasiti itu berisiko dari masa ke masa dan industri memerlukan lebih banyak nod yang lebih berteknologi tinggi, termasuk kami,” ujar CEO Ford Jim Farley seperti yang dilaporkan oleh Reuters. Tambah beliau, pihaknya telah banyak belajar dari perkara ini bahawa mereka tidak mampu menguruskan bekalan rantaian untuk komponen utama yang ada ini.

     
     
  • Proton catat jualan 4,453 unit pada Jan 2022 – stok kurang disebabkan banjir, hanya 76 Saga terjual

    Proton catat jualan 4,453 unit pada Jan 2022 –  stok kurang disebabkan banjir, hanya 76 Saga terjual

    Banjir besar yang melanda Selangor pada 18 Disember 2021 turut memberikan impak besar pada jualan Proton untuk bulan Januari. Ia menyaksikan penurunan yang mendukacitakan, hanya sekitar 4,453 unit kenderaan berjaya didaftarkan oleh Proton (termasuk eksport) untuk bulan lalu, berbanding 14,187 unit yang direkodkan pada Disember tahun lalu yang membantu mencatatkan angka jualan tahunan tertinggi sejak 2014.

    Pengurangan sebanyak 25.3% daripada bulan yang sama pada 2021 dengan anggaran pegangan pasaran domestik sebanyak 11.3%, serta melibatkan penyusutan sebanyak 68.6% berbanding Disember lalu.

    Proton berkata, biar pun kilang pemasangannya di Shah Alam dan Tanjung Malim tidak terjejas, namun masalah ini timbul melibatkan pembekal komponennya yang berhadapan dengan masalah untuk menghantar stok yang diperlukan. Ini memberikan kesan langsung ke atas jumlah pengeluaran pada Januari yang menyebabkan kekurangan unit untuk memenuhi pesanan. Tambahan pula, pegangan stok yang rendah dari bulan sebelumnya kerana Proton tengah berusaha untuk merapatkan jurang antara bekalan dan permintaan pasaran.

    Penyusutan rekod ini banyak datangnya dari Saga yang merupakan model paling laris Proton, dengan mencatatkan jualan hanya 76 unit sahaja, diikuti dengan Exora sebanyak 54 unit. Sementara itu, SUV X50 dan X70 pula mencatatkan jualan masing-masing sebanyak 2,601 unit dan 799 unit. Manakala 694 unit dicatatkan oleh Persona dan 229 unit dari jualan Iriz.

    “Selepas menamatkan tahun 2021 dengan kejayaan, Januari merupakan bulan yang sangat sukar bagi Proton. Situasi kekurangan bekalan kami menjadi lebih ketara apabila terdapat kekurangan dalam unit yang dikeluarkan, yang seterusnya memberi kesan yang teruk bagi pengedar. Kami bersyukur kerana pengeluaran untuk semua model telah berjaya disambung semula pada bulan Januari, walaupun sesetengah model memerlukan lebih banyak masa. Kami yakin dapat mencapai sasaran tahun 2022 berdasarkan unjuran pasaran serta rancangan jualan dan pemasaran untuk sepanjang tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

    Dalam hal lain, Proton turut mengumumkan lebih 1,200 kenderaan jenama terbabut yang terjejas banjir telah diterima di pusat servis rasmi syarikat. Ia kemudiannya dibahagikan kepada empat kategori, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami, sebelum penilaian dibuat dan pembaikan dijalankan.

    “Proton ingin mengingatkan semua pelanggan yang mempunyai kereta yang terjejas akibat banjir supaya menghantar kenderaan mereka ke rangkaian pusat servis rasmi kami untuk menikmati manfaat seperti perkhidmatan menunda dan mencuci kereta percuma serta diskaun alat ganti dan caj buruh. Kami juga berterima kasih kepada kerajaan atas baucar bantuan RM1,000, yang terbukti amat bernilai untuk ramai pelanggan kami,” tambah Roslan lagi.

    Untuk tahun 2022, CEO Proton Li Chunrong telah mengumumkan pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 150,000 unit. Kenyataan itu dibuat menerusi hantaran di laman Facebook miliknya baru-baru ini.

     
     
  • KTM tawarkan koc sewa bagi penumpang bawa basikal

    KTM tawarkan koc sewa bagi penumpang bawa basikal

    Keretapi Tanah Melayu (KTMB) kini menawarkan perkhidmatan sewa Koc Basikal Ekspress (Express Bicycle Coach atau XBC) bagi penunggang basikal di Malaysia yang ingin mengeksplorasi aktiviti berbasikal di destinasi pilihan. Ia memberikan kemudahan untuk mana-mana kumpulan penunggang basikal yang ingin membawa basikal masing-masing untuk menjelajah destinasi menarik di Semenanjung Malaysia.

    Mampu memuatkan kapasiti sebanyak 60 unit basikal dalam satu masa, koc terbabit adalah tambahan kepada tiga koc penumpang yang ditawarkan buat masa ini. Koc basikal ditampilkan dengan rak khas untuk menyimpan basikal, dengan disertai bersama koc Air-Conditioned Day/Night Second (ADNS) atau koc tempat duduk biasa dengan kapasiti 60 penumpang bergantung pada keperluan sewaan.

    CEO KTM MOhd Rani Hisham Samsudin berkata yuran sewaan adalah bergantung pada jenis koc yang diminta dan juga jarak perjalanan, namun masih ditawarkan dengan kadar yang berpatutan. Selain itu, KTM turut menawarkan koc istimewa untuk riadah, persidangan, bufet untuk disewa berdasarkan permintaan.

    Dalam pelancaran perkhidmatan XBC, seramai 150 penunggang basikal telah diundang untuk menaiki koc terbabit dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim. Kemudiannya, para penunggang basikal terbabit mengambil masa selama empat jam berkayuh di sekitar Behrang sebelum kembali ke Kuala Lumpur dengan menaiki koc XBC.

     
     
  • Volvo XC40 facelift kini di Eropah – muka seiras C40, OS berasaskan Android, varian Recharge P6 baharu

    Volvo XC40 <em>facelift</em> kini di Eropah – muka seiras C40, OS berasaskan Android, varian Recharge P6 baharu

    Model facelift untuk SUV kompak XC40 kini sudahpun ditawarkan di pasaran Eropah – tiada pelancaran rasmi diumumkan setakat ini, namun konfigurator di laman sesawang jenama berkenaan untuk benua tersebut kini sudahpun dikemaskini menampilkan model XC40 tingkat taraf terbaharu itu.

    Imej pada konfigurator tersebut memaparkan XC40 facelift berkenaan yang tampil dengan beberapa perubahan rupa, antaranya lampu hadapan yang kelihatan seperti segi-tiga dan bampar hadapan lebih sporty menampilkan perumah lampu kabus yang juga direka lebih bersegi. Rekaan muka XC40 facelift ini jika dilihat sebenarnya diambil dari muka Volvo C40, iaitu model crossover lebih sporty yang menampilkan bentuk badan seakan coupe.

    Bagi model-model Recharge dengan teknologi elektrifikasi, ia menampilkan gril hadapan tanpa liang udara, juga perincian yang diambil dari C40. Model facelift ini ditawarkan dengan rim-rim rekaan baharu dengan diameter 17-, 18-, 19- dan 20-inci. Ia juga tampil dengan pilihan warna-warna baharu termasuk Sage Green, Fjord Blue, Silver Dawn dan Bright Dusk.

    Pada bahagian dalaman, XC40 facelift ini menampilkan perubahan yang minimal. Secara keseluruhan, kabin model ini masih kelihatan sama seperti sebelum ini kecuali pada skrin infotainmen baharu yang menggunakan asas sistem android dengan servis-servis Google.

    Namun pelanggan kini ditawarkan dengan opsyen upholsteri sued, manakala pelanggan yang memilih model-model Recharge (termasuk model plug-in hybrid T4 dan dan T5) turut ditawarkan dengan pilihan upholsteri wul. Opsyen warna Lava (oren) untuk karpet sebelum ini pula telah ditukar kepada Fjord Blue.

    Volvo juga telah mengubah penawaran kemasan untuk model XC40 facelift ini. Tiada lagi kemasan Momentum, Inscription dan R-Design, di mana ia kini digantikan dengan varian kemasan Essential, Core, Plus dan Ultimate.

    Volvo XC40 <em>facelift</em> kini di Eropah – muka seiras C40, OS berasaskan Android, varian Recharge P6 baharu

    Sama seperti sebelum ini, model T2 terus menerima enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 129 PS dan tork maksima 245 Nm. Model B3, B4 dan B5 juga terus menerima enjin 2.0 liter empat silinder turbo dengan masing-masing menerima talaan kuasa 163 PS/265 Nm, 197 PS/300 Nm dan 250 PS/350 Nm.

    Tiada lagi model diesel ditawarkan bermula model facelift baharu ini, manakala sistem hibrid ringkas dibekalkan untuk semua model kecuali varian paling asas. Pilihan transmisi pula terdiri dari kotak gear manual enam-kelajuan, klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan dan juga automatik konvensional lapan-kelajuan.

    Bagi model dengan lencana Recharge plug-in hybrid (PHEV), model T4 dijana oleh enjin petrol sama seperti model T2 tetapi digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 82 PS/160 Nm, membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 211 PS dan 405 Nm.

    Volvo XC40 <em>facelift</em> kini di Eropah – muka seiras C40, OS berasaskan Android, varian Recharge P6 baharu

    Model Recharge T5 pula menampilkan enjin petrol berkuasa 180 PS dan tork maksima 265 Nm, bersama motor elektrik yang sama bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 262 PS/425 Nm. Kedua-dua model Recharge T4 dan T5 ini digandingkan dengan kotak gear DCT tujuh kelajuan. Kedua-duanya juga menerima bateri lithium-ion 10.7 kWj bagi membolehkan ia bergerak dengan motor elektrik sepenuhnya dalam jarak antara 41 dan 45 km.

    Manakala untuk model elektrik sepenuhnya (EV) Recharge P8, ia diberikan dua unit motor elektrik masing-masing berkuasa 204 PS/330 Nm, bagi memberikan kuasa maksima 408 PS/660 Nm dan pacuan semua roda. Dengan bateri 78 kWj pada model ini, ia boleh bergerak antara 400 418 km dengan sekali cas penuh.

    Volvo turut memperkenalkan varian baharu menerusi model facelift ini iaitu Recharge P6. Model ini hanya diberikan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan yang menghasilkan 231 PS bersama bateri 69 kWj, membolehkan ia bergerak dalam jarak antara 400 dan 423 km dengan satu cas penuh.

    GALERI:Volvo XC40 facelift

    GALERI:Volvo XC40 facelift Recharge PHEV

    GALERI:Volvo XC40 facelift Recharge EV

     
     
  • Hyundai Promise kini di cawangan Jalan Klang Lama

    Hyundai Promise kini di cawangan Jalan Klang Lama

    Program kereta terpakai sah Hyundai Promise kini telah ditawarkan juga ke bilik pameran Sime Darby Auto Hyundai di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Program rasmi kereta terpakai Hyundai-Sime Darby itu dilancarkan pada Ogos 2021 dan bermula di cawangan Glenmarie.

    “Permintaan yang semakin bertambah bagi kereta terpakai yang disahkan keadaannya di bawah Hyundai Promise selari dengan pertumbahan pasaran kereta terpakai di Malaysia. Tambahan pula, kadar kepenggunaan kereta terpakai Hyundai juga semakin meningkat bagi model yang diperkenalkan dalam lima tahun lalu,” ujar Pengarah Urusan, Runcit dan Pengedaran, Sime Darby Motors Malaysia.

    Hyundai Promise kini di cawangan Jalan Klang Lama

    “Ada permintaan yang baik terhadap kereta terpakai sah kami. Dengan dua cawangan, satu di Shah Alam dan satu lagi di Jalan Klang Lama, Hyundai Promise menawarkan lebih kemudahan kepada pelanggan,” jelas Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung, yang menambah bahawa Hyundai Promise merupakan segmen perniagaan penting, yang melengkapi ekosistem perniagaan sedia ada jenama ini.

    Semua kenderaan terpakai di bawah Hyundai Promise datang dengan alat ganti tulen dan enjin asal. Pemeriksaan ketat juga telah dilakukan untuk memastikan keadaan mekanikal dan elektrikal yang optimum, sebelum ia dilulusakan dan diiktiraf.

    Semua kereta yang ada adalah bebas daripada kemalangan besar dan didatangkan dengan lanjutan jaminan dari dua hingga lima tahun, berganting kepada usia dan perbatuan kenderaan. Turut disediakan ialah bantuan tepi jalan 24-jam. Kedua-dua pusat Hyundai Promise berkenaan dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja, dan 9 pagi hingga 12.30 tengahari pada Sabtu (Ahad tutup).

     
     
  • Honda tutup kilang Sayama, beralih kepada EV

    Honda tutup kilang Sayama, beralih kepada EV

    Honda sebelum ini mengumumkan yang syarikat itu akan beralih kepada kenderaan elektrik menjelang 2040, dan peralihan ini tentunya melibatkan banyak penstrukturan semula. Dan menurut sebuah laporan dari Nikkei, pengeluar kenderaan Jepun itu telah menghentikan pengeluaran kenderaan di kilang Sayama di Saitama.

    Majlis pengeluaran akhir itu telah dilakukan Disember lalu sebagai menandakan penamatan berkenaan. Langkah itu diambil sebagai usaha mengurangkan kos seperti yang diumumkan tahun lalu, termasuklah melibatkan sistem pembangunan kenderaan baru serta penamatan program F1.

    “Sama seperti anda, saya juga akan merindui semuanya,” jelas CEO dan Presiden Honda, Toshihiro Mibe ketika acara berkenaan. “Kami akan terus menghasilkan kenderaan yang menepati keperluan pengguna di sini dan juga pasaran luar,” tambahnya. Kilang Sayama mula beroperasi pada 1964 dan menghasilkan model utama seperti Civic dan Accord.

    Sehingga hari-hari terakhir pengeluarannya, kilang itu menghasilkan Step WGN, Odyssey, Legend serta Jade dan Clarity yang telah pun dihentikan pengeluarannya. Kilang tersebut mampu mengeluarkan 250,000 unit kenderaan setahun, menyumbang kepada kapasiti pengeluaran domestik sekitar sejuta kereta setahun (hingga penghujung 2021).

    Honda tutup kilang Sayama, beralih kepada EV

    Walaupun tiada lagi kenderaan yang akan dikeluarkan dari sana, kilang berkenaan akan kekal dibuka untuk pembuatan bahagian kenderaan, dengan penutupan sepenuhnya dijangka akan dilakukan dalam masa dua atau tiga tahun nanti. Operasinya kemudian akan dipindahkan ke kilang Yorii Honda yang akan turut menyerap masuk tenaga kerja dari kilang Sayama.

    Penstrukturan ini telah mengakibatkan kapasiti pengeluaran pasaran domestik Honda menjadi 800,000 kenderaan setahun, melibatkan kilang Yorii, Suzuka dan Honda Auto Body. Angkanya melibatkan 40% berkurangan berbanding tahun awal 2000an ketika Honda mampu mengeluarkan lebih daripada 1.3 juta kenderaan setahun.

    Berbanding jenama lain seperti Toyota dan Nissan, kedua-duanya dengan kapasiti pengeluaran domestik yang lebih besar, angka oleh Honda ini agak kecil. Bagaimanapun, ada sebab perkara ini berlaku, memandangkan pasaran Jepun menyumbang perkongsian pasaran global yang lebih rendah untuk Honda berbanding pesaingnya.

     
     
  • Honda Beat kini dalam pilihan warna baru – RM5,765

    Honda Beat kini dalam pilihan warna baru – RM5,765

    Honda Beat yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Oktober 2020 kini diberikan pilihan empat warna dan grafik baru, iaitu Vivacity Red, Pearl Magellanic Black, Pearl Nightfall Blue dan Clipper Yellow. Harga yang diletakkan adalah RM5,765 (tidak termasuk insurans), bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Bahagian lain skuter ini tidak berubah, bermula dengan enjin yang berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI dan menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.53 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini menepati tahap emisi Euro 4 dan mampu memberikan penggunaan bahan api sehingga 59.1 km/l.

    Di sebalik panel badan skuter ini, terdapat kerangka eSAF yang membantu menjadikan motosikal lebih lincah dan mudah dikawal. Melalui penggunaan kerangka ini, tangki bahan api dapat dijadikan 4.2 liter, ruang barang bawah tempat duduk menyediakan 11.7 liter dan berat keseluruhan adalah 90 kg.

    Kelengkapan lain padanya adalah termasuk sistem brek CBS, rim 14 inci dengan tayar 80/90 di hadapan dan 90/90 di belakang, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik, satu penyerap hentak di belakang, tinggi tempat duduk 740 mm serta penghidup enjin elektrik dan tendang.

    GALERI: Honda Beat 2020

     
     
  • Perlu protokol trafik iring VVIP yang lebih selamat – Yii

    Perlu protokol trafik iring VVIP yang lebih selamat – Yii

    Susulan kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah kenderana di persimpangan di Kuching, Sarawak, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yoo mengesa polis untuk untuk merangka protokol trafik yang lebih jelas dan selamat semasa mengiringi pegawai kanan, atau VVIP dan rombongan mereka, laporan Borneo Post.

    “Polis trafik yang bertugas sepatutnya melakukan tugas yang lebih baik dalam mengawal lalu lintas bagi memastikan keselamatan, dan lebih penting lagi menjaga keselamatan mangsa kemalangan terlebih dahulu sebelum membenarkan rombongan VVIP terus berlalu,” kata Yii.

    Tambah beliau, walau bagaimana pun, dalam kemalangan terbabit, hanya dua buah kereta sahaja yang terlibat dan tiada siapa yang mengalami kecederaan parah. “Bernasib baik juga ia berlaku pada masa bukan puncak, jika tidak, sudah pasti ia mungkin lebih teruk termasuk melibatkan kesesakan trafik,” ujarnya lagi.

    Yii turut berkata sekurang-kurangnya apa yang boleh golongan VVIP termasuk meminta staf protokolnya menyemak keadaan, memperoleh maklumat yang diperlukan, menunjukkan kebimbangan kepada mereka yang terlibat dan kemudian “menyelesaikan”. Daripada rakaman kejadian di Kuching oleh orang awam yang disiarkan di Twitter, rombongan terbabit meneruskan perjalanan melalui simpang tersebut tanpa berhenti.

    Susulan kejadian ini, prosedur operasi standard dan protokol untuk pengiring VVIP perlu dikaji dan diperbaharui. Sambungnya, “Ini termasuk dengan insiden baru-baru ini yang melibatkan sebuah ambulans terpaksa berhenti dan memberikan laluan kepada pengiring VVIP, walaupun ia berisiko membahayakan nyawa mereka yang berada di dalam ambulans,” katanya.

    Ahli Parlimen Bandar Kuching itu juga menggesa pihak berkuasa untuk mengalihkan “simpang kecil berbahaya” di Jalan Lapangan Terbang, tiada ruang yang mencukupi untuk kenderaan memperlahankan trafik untuk menggunakan susur keluar tersebut. “Keselamatan semua mesti diutamakan, dan mereka tidak seharusnya membenarkan jalan pintas sedemikian yang boleh membahayakan orang ramai secara amnya,” tambahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025