Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Op Selamat 17/2022 – Polis kenalpasti 12 kawasan black/hotspot kemalangan maut di negeri Melaka

    Op Selamat 17/2022 – Polis kenalpasti 12 kawasan black/hotspot kemalangan maut di negeri Melaka

    Sebanyak 12 kawasan kawasan hitam (blackspot) dan panas (hotspot) yang sering menjadi lokasi kemalangan maut di Melaka setiap kali tiba musim perayaan telah dikenalpasti.

    Menurut Ketua Polis Negeri Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, 12 kawasan hitam dan panas itu adalah lima di Melaka Tengah, empat di Alor Gajah dan tiga di Jasin dengan antara kawasan dikenal pasti adalah Lebuh AMJ, Jalan Umbai-Sungai Udang, Jalan Rembia-Kendong, Jalan Sungai Udang-Lubuk Cina, Jalan Melaka-Muar dan Jalan Tehel-Bemban-Chabau.

    Katanya, dengan jangkaan lebih 120,000 kenderaan akan memasuki negeri ini, 220 pegawai dan anggota akan ditugaskan sepanjang Op Selamat 17 yang bermula hari ini hingga 6 Februari 2022 sempena perayaan Tahun Baru Cina.

    “Sebab itu antara sasaran kita adalah sifar kemalangan maut, memandangkan tahun lepas hanya satu kes dan tahun 2020 mencatat 15 kes kemalangan maut,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Tambahnya penglibatan agensi sepanjang Op Selamat seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan pihak berkuasa tempatan dilihat mampu mengurangkan kadar kemalangan maut sepanjang perayaan Tahun Baru Cina ini.

     
     
  • Nissan Almera generasi seterusnya dapat varian EV?

    Nissan Almera generasi seterusnya dapat varian EV?

    Susulan pengumuman Nissan yang mengesahkan rancangannya untuk memperkenalkan varian elektrik penuh untuk Micra yang akan datang, ada kemungkinan Almera generasi selepas ini juga akan menerima versi yang sama.

    Model semasa Micra, yang juga dikenali sebagai March untuk beberapa pasaran, merupakan hatch segmen-B yang menggunakan platform Nissan V. Banyak model turut menggunakan platform yang sama, termasuklah Latio, Sylphy, Note, Kicks, dan tentu sekali Almera (turut dikenali sebagai Versa dan Sunny di kebanyakan pasaran lain).

    Berdasarkan perancangan baharu yang didedahkan oleh Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, ketiga-tiga pengeluar kereta ini akan menggunakan platform pada tahap yang lebih tinggi, jadi tidak mustahil Almera akan datang juga bakal menggunakan platform Renault–Nissan Common Module Family (CMF).

    Jika ia dilaksanakan, Nissan boleh menghasilkan varian elektrik penuh, dan sepatutnya menggunakan platform CMF-BEV yang sama seperti Micra, yang menurut Pakatan terbabit ia boleh memuatkan bateri yang cukup besar untuk jarak pacuan sehingga 400 km dalam cas penuh.

     
     
  • Sime Darby Auto Selection jalin kerjasama dengan Bosch — pusat servis untuk semua jenama kenderaan

    Sime Darby Auto Selection jalin kerjasama dengan Bosch — pusat servis untuk semua jenama kenderaan

    Sime Darby Auto Selection (SDAS), pengedar kenderaan terpakai pelbagai jenama di bawah Sime Darby Motors kini menjalinkan kerjasama dengan Bosch untuk menyediakan khidmat nasihat, baik pulih dan servis penyelenggaraan kepada pelanggan, yang mempertemukan pasukan lepas jualan profesional dengan kelengkapan bengkel bertaraf dunia.

    Pusat servis dengan kelengkapan Bosch ini bertujuan untuk memenuhi permintaan lepas jualan yang semakin berkembang di Malaysia, terutama bagi pelanggan yang inginkan servis penjagaan kenderaan premium.

    “Kerjasama kami denga Bosch akan memastikan bengkel kami bersedia untuk menampung keperluan masa depan dengan menawarkan penyelesaian baik pulih serta diagnostik profesional serta alat ganti dan aksesori berkualiti yang sesuai untuk pelbagai jenama dan model yang kami kendalikan,” ujar Pengarah Urusan Sime Darby Auto Selection, Vi Thim Juan.

    Lebih menarik, walaupun dengan penggunaan sistem dan komponen Bosch ini, servis dan baik pulih masih akan dikenakan harga kompetitif agak pelanggan tidak perlu risau dengan kos dan menerima servis dan kualiti produk yang terbaik.

    Sime Darby Auto Selection jalin kerjasama dengan Bosch — pusat servis untuk semua jenama kenderaan

    Pusat Servis SDAS ini turut melakukan khidmat lepas jualan bagi semua jenama kenderaan. Pemilik dengan kenderaan yang telah tamat tempoh jaminan boleh menikmati tahap dan kualiti servis yang sama seperti yang disediakan oleh pusat servis khas pengeluar kenderaan mereka. Juruteknik yang terlibat juga diberikan latihan mahir untuk memberikah khidmat yang konsisten dan teliti.

    “Kerjasama dengan SDAS ini menjadi wadah terbaik untuk kami mempamerkan produk dan servis yang inovatif, mapan, selamat dan menarik yang akan memenuhi keperluan pelanggan kami,” jelas Pengurus Negara, Bosch Automotive Aftermarket Malaysia, Dillion Goh. Selain daripada penyelenggaraan kenderaan, Pusat Servis SDAS dengan kelengkapan Bosch ini turut akan menyediakan perkhidmatan baik pulih, pembersihan dan pemeriksaan kenderaan.

    Terletak di Lot 33, Temasya Industrial Park, Glenmarie, Shah Alam, Pusat Servis SDAS ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat, dan 9 pagi hingga 12.30 tengahari pada Sabtu. Ia ditutup setiap Ahad. Untuk membuat tempahan, pelanggan perlu mengisi borang dengan butiran mereka di www.simedarbyautoselection.com.my dan penasihat servis akan menghubungi anda selepas itu.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan pusat servis baru ini atau untuk membuat tempahan dan pertanyaan, pelanggan juga boleh menghubungi 03-4065 2502.

     
     
  • JPJ mungkin guna RFID untuk pengenalan digital kenderaan, boleh juga untuk bayar tol — menteri

    JPJ mungkin guna RFID untuk pengenalan digital kenderaan, boleh juga untuk bayar tol — menteri

    Setelah menarik perhatian ramai tentang pelaksanaan sistem bayaran tol RFID sebelum ini, masih ada perkembangan berkaitan; Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang merancang untuk mengeluarkan pengenalan digital bagi kenderaan di masa depan, yang mungkin akan melibatkan pelekat RFID, lapor Free Malaysia Today.

    Jelas Wee, kerajaan telah mengkaji teknologi baru bagi pengenalan pendaftaran kenderaan, seperti kod QR, cip dan tag RFID. “Sistem RFID akan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan secara automatik untuk memastika bacaannya tepat (pendaftaran kenderaan), dan juga mengurangkan kos.”

    Menteri berkenaan juga menyebut bahawa JPJ akan memastikan pelekat RFID yang sama boleh digunakan untuk bayaran tol, sekiranya pihaknya ingin meneruskan penggunaan sistem tersebut. “Jika JPJ menggunakan teknologi RFID, kami akan pastikan ia serasi dan boleh digunakan juga untuk tujuan lain, termasuk bayaran tol, untuk mengelak keperluan untuk memilik banyak pelekat RFID untuk satu kereta,” jelasnya.

    Wee berkata, terdapat 33.1 juta kenderaan berdaftar dalam pangkalan data JPJ dan 16.2 juta pemegang lesen kereta dan motosikal, daripada anggaran keseluruhan populasi 33 juta orang. Beliau menambah, cadangan untuk pendigitalan itu boleh membantu kementerian dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam melaksanakan sistem multi-lane free flow (MLFF) untuk tol menjelang 2025.

    JPJ mungkin guna RFID untuk pengenalan digital kenderaan, boleh juga untuk bayar tol — menteri

    “Kami akan bawakan untuk kelulusan Kabinet. Kami ingin menyediakan penyelesaian kepada LLM dan rakyat,” jelas beliau. Ini disahkan juga oleh Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof melalui teks yang mana kementeriannya juga terlibat dalam perbincangan itu; “Ya, itu sebahagian rancangannya (untuk MLFF).”

    Agak aneh, FMT juga melaporkan kemungkinan pelaksanaan pelekat RFID untuk pengenalan kenderaan ini akan menurunkan harga tag Touch ‘n Go, walaupun perkara ini tidak disebut oleh Wee. Diharapkan langkah berkenaan nanti tidak memerlukan pengguna untuk mendapatkan tag berasingan untuk bayaran tol.

    Caj RM35 untuk Touch ‘n Go RFID bagi kit pasang sendiri menjadi antara kritikan utama orang awam, berikutan hantara FB bekas PM Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan pelekat berkenaan hanya menelan kos RM1 untuk dibuat. Terdahulu dilaporkan kerajaan meminta penjelasan terhadap harga yang dikenakan itu daripada Touch ‘n Go dan konsesi lebuhraya PLUS.

    Juga tidak jelas jika pengenalan digital kenderaan akan menggantikan pelekat cukai jalan yang dikeluarkan JPJ ketika ini. Kementerian Pengangkutan mula membincangkan penggunaan pengendalan RFID ini sejak 2005, dan pada 2018, dikatakan sistem itu boleh membantu polis dan pihak berkuasa yang lain untuk menjejaki penjenayah. Tinjauan masa nyata di jalan raya juga ada disebut.

     
     
  • Nissan Micra generasi selepas ini sah akan jadi kereta elektrik, kongsi platform CMF B-EV dengan Renault 5

    Nissan Micra generasi selepas ini sah akan jadi kereta elektrik, kongsi platform CMF B-EV dengan Renault 5

    Ingat lagi Nissan March yang pernah bersaing dengan Toyota Starlet dalam segmen hatchback kompak di Malaysia satu ketika dahulu? Memang kita sudah tidak lagi menerima model ini selepas era 90’an, namun March atau Micra terus dihasilkan di pasaran Eropah dan pasaran global yang lain.

    Nissan baharu sahaja mengsahkan bahawa Micra generasi baharu selepas ini akan dihasilkan sebagai model janaan elektrik sepenuhnya (EV) tanpa pilihan enjin pembakaran dalaman. Hatchback kompak berkenaan akan berkongsi platform CMF B-EV untuk satu lagi hatchback ikonik dari Perancis iaitu Renault 5 generasi baharu, yang juga akan muncul sebagai model EV sepenuhnya.

    Langkah ini merupakan sebahagian dari pelaburan multi-bilion Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi kearah elektrifikasi, dengan Micra akan menjadi model EV Nissan yang paling mampu milik. Menurut Nissan, platform CMF B-EV tersebut membolehkan setiap jenama di bawah Pakatan berkenaan mengekalkan rekaan unik masing-masing, dalam masa yang sama mengurangkan kos sebanyak 33% dan penggunaan tenaga dikurangkan sehingga 10%.

    “Ini merupakan model baharu sepenuhnya yang akan direka oleh Nissan dan menerima kejuruteraan serta pembuatan oleh Renault menggunakan platform baharu bersama kami, memaksimakan penggunaan aset Pakatan dalam masa yang sama mengekalkan ciri-ciri Nissan padanya,” kata CEO Nissan, Ashwani Gupta.

    Nissan Micra generasi selepas ini sah akan jadi kereta elektrik, kongsi platform CMF B-EV dengan Renault 5

    “Ini merupakan contoh terbaik pendekatan ‘pembezaan pintar’ dari Pakatan. Meneruskan kejayaan model ikonik Micra kami, saya pasti model baharu ini akan memberikan lebih keterujaan kepada pelanggan kami di Eropah,” tambah Gupta lagi.

    Tiada sebarang perincian rasmi lain didedahkan berkenaan Nissan Micra EV ini, namun Pakatan tersebut mengesahkan bahawa model baharu ini mungkin mempunyai jarak gerak sejauh 400 km dengan satu cas penuh bateri.

    Platform CMF B-EV ini merupakan salah satu dari lima platform elektrik sepenuhnya yang dirancang untuk dilancarkan olah Pakatan, dan ia akan menjadi asas kepada sekurang-kurangnya 35 model EV menjelang 2030. Antara model yang termasuk dalam pelan ini termasuk SUV EV Nissan Ariya dan juga Renault Megane E-Tech.

    Nissan juga akan melancarkan Nissan Townstar dengan platform baharu ini, iaitu van elektrik sepenuhnya bersaiz kecil yang akan menggantikan van elektrik e-NV200 sedia ada.

     
     
  • Premium insuran, takaful tak naik untuk banjir — PIAM

    Premium insuran, takaful tak naik untuk banjir — PIAM

    Pelindungan insurans untuk situasi bahaya khas kerap dibualkan selepas bencana banjir melanda Lembah Klang dan Pahang bulan lalu. Jika anda khuatir perkembangan itu akan menyebabkan kenaikan harga insurans terutama untuk perlindungan tambahan untuk kereta dan motosikal, jangan risau. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memaklumkan pelanggan bahawa premium berkenaan akan kekal terkawal.

    Menurut sebuah laporan Bernama, lembaga pengarah PIAM menyatakan permintaan terhadap perlindungan banjir serta bencana alam lain bagi insurans dan takaful ketika ini sangat rendah kerana kurang kesedaran. Permintaan yang meningkat pula sebenarnya akan menyebabkan harga menurun.

    Lebih ramai yang memilih untuk mendapatkan perlindungan bermakna premiumnya akan lebih rendah disebabkan pesaingan antara syarikat insurans untuk menawarkan pakej lebih menarik,” ujar ahli lembaga pengarah Zainudin Ishak dalam satu sesi webinar yang dianjurkan oleh Rangkaian Pendidikan Kewangan, PIAM, dan Persatuan Takaful Malaysia.

    Premium insuran, takaful tak naik untuk banjir — PIAM

    Beliau menambah bahawa kejadian banjir akan terus berlaku disebabkan perubahan iklim dan pembangunan prasarana yang tidak seimbang. “Untuk itu, perlindungan takaful atau insurans untuk banjir adalah sangat penting tidak kira di mana anda tinggal; kerana ia akan melibatkan kerugian dari pelbagai sudut, misalnya harta benda dan lain-lain yang ditidak dijangkakan.”

    Zainudin, yang juga Presiden dan CEO Malaysian Re, menggesa orang awam untuk memahami kekangan kerajaan dalam menyediakan bantuan akibat banjir, kerana ia melibatkan ramai mangsa yang memerlukan perhatian dan sokongan. “Kehilangan harta benda bukan kecil nilainya, boleh mencecah berbilion ringgit,” jelas beliau.

    Beliau menambah, kos pembaikan kenderaan bagi bencana banjir 2021 dianggarkan oleh industri insurans adalah sebanyak RM1.3 bilion, dan daripada jumlah itu hanya 5% dilindungi oleh insuran bahaya khas. “Jadi, jika kita tidak melindungi diri sendiri daripada banjir, tiada peluang untuk kita membuat tuntutan… kita perlu menanggung semuanya sendiri. Adalah lebih baik kita mengambil perlindungan untuk menjamin masa depan,” ujar Zainudin.

     
     
  • Perodua Bezza generasi seterusnya – lukisan render berasaskan Honda Amaze facelift yang lebih seimbang

    Perodua Bezza generasi seterusnya – lukisan render berasaskan Honda Amaze facelift yang lebih seimbang

    Semasa Perodua Bezza baru dilancarkan pada tahun 2016, ramai yang memberi kritikan terhadap rupanya. Beberapa tahun selepas itu, pada 2020, sedan segmen A tersebut diberikan facelift, memberikan sedikit perubahan, tetapi masih ramai yang tidak begitu yakin.

    Mengambil kira komen orang ramai, pakar lukisan digital, Theophilus Chin telah menghasilkan satu rekaan interpretasi beliau sendiri bagaimana kemungkinan rupa Bezza generasi kedua. Menurut beliau, ini adalah satu “bentuk yang lebih seimbang dan boleh diterima”, dan menghapuskan masalah rekaan biasa yang banyak terjadi pada sedan segmen A (nampak pelik, terlalu tinggi, kurus dan tonggek).

    Untuk menghasilkan Bezza serba baru ini dalam bentuk digital, Theo telah menggunakan Honda Amaze sebagai asas. Amaze facelift baru dilancarkan di India Ogos lalu dan di sana, ia termasuk dalam segmen sedan permulaan bawah empat meter.

    Perodua Bezza generasi seterusnya – lukisan render berasaskan Honda Amaze facelift yang lebih seimbang

    Menurut Theo, Amaze dipilih kerana ia mempunyai perkadaran yang lebih baik secara keseluruhan, kecuali bahagian but yang pendek. Bahagian belakang yang gebu terpaksa digunakan demi menjadikan panjangnya tidak melebihi empat meter (dan mendapat cukai lebih rendah), seperti yang dilakukan oleh pesaingnya termasuk Maruti Suzuki Dzire, Hyundai Aura, Ford Aspire dan Tata Tigor.

    Memandangkan Bezza tidak perlu untuk mengikut keperluan ini (dalam keadaan sekarang ia mencatat panjang 4.15 meter), Theo bebas untuk mengubah bentuk Amaze menjadi Bezza generasi seterusnya dengan memanjangkan bahagian belakangnya. Garis rekaan pada bahagian hadapan juga ditarik lebih ke belakang, dan digabungkan dengan dengan beberapa ciri yang kelihatan seperti Myvi terbaru, seperti DRL menegak dan lampu LED.

    Pada bahagian lain, A-pillar dari Amaze juga ditolak lebih ke hadapan, sementara tingkap tepi dan pintu dikemaskan semula untuk kelihatan lebih seperti Bezza. Bahagian lain yang boleh dilihat adalah seperti lampu belakang inspirasi daripada Myvi, cermin sisi Bezza, bampar baru, lid spoiler atas but, logo dan rim Perodua serta kedudukan lebih rendah.

     
     
  • Petronas rai ulangtahun ke-25 Kempen Coffee Break – kopi percuma, baucar GrabMart, Shopee menanti anda

    Petronas rai ulangtahun ke-25 Kempen Coffee Break – kopi percuma, baucar GrabMart, Shopee menanti anda

    Petronas Dagangan Berhad (PDB) meraikan kempen Coffee Break yang ke-25 tahun, dengan memberikan pelbagai tawaran istimewa untuk pelanggan setianya. Menerusi 150 stesen Petronas, para pelanggan boleh mendapatkan kopi, snek, pemeriksaan kesihatan dan kenderaan dan baucar diskaun secara percuma sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

    Di mana pemandu boleh berhenti di mana-mana 150 stesen PETRONAS yang mengambil bahagian dalam kempen ini di seluruh Malaysia dari 29-30 Januari dan 5-6 Februari untuk menikmati tawaran menarik serta berehat dan menyegarkan diri sebelum meneruskan perjalanan mereka.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Dato’ Henry Sum Agong berkata, Kempen Coffee Break Petronas adalah sejajar dengan misi Kementerian untuk menggalakkan pemanduan yang selamat bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.

    “Kami melihat penurunan jumlah kemalangan jalan raya sebanyak 26% kepada lebih 400,000 kes pada 2020 berbanding 2019, terutamanya disebabkan oleh PKP. Walau bagaimanapun, jumlah ini masih dalam tahap yang membimbangkan dengan rekod kematian jalan raya sebanyak 4,000 kes. Ini mewakili 12.7 kematian sehari.

    Petronas rai ulangtahun ke-25 Kempen Coffee Break – kopi percuma, baucar GrabMart, Shopee menanti anda

    “Kebanyakan kemalangan ini disebabkan oleh faktor manusia seperti memecut, letih dan kurang fokus. Oleh itu, adalah penting bagi pemandu untuk mematuhi peraturan keselamatan jalan raya serta kekal segar dan berjaga-jaga supaya mereka boleh memandu dengan selamat. Sejak 25 tahun yang lalu, inisiatif PDB telah menyokong usaha Kementerian dengan menyediakan tempat untuk pemandu berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan mereka,” katanya.

    Kempen Coffee Break Petronas ini turut disertai oleh rakan kempen termasuk Bahagian Keselamatan Jalan Raya yang akan menjalankan program advokasi di lebih 50 stesen untuk berkongsi tip keselamatan jalan raya. Manakala St. John Ambulance Malaysia juga akan menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma termasuk pemeriksaan tekanan darah dan glukosa di stesen-stesen terpilih.

    Selain itu, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd pula akan menjalankan pemeriksaan motosikal secara percuma. Manakala PETRONAS AutoExpert akan menawarkan pemeriksaan 18-poin secara percuma di 11 bengkelnya yang terletak di sekitar Lembah Klang dan 3 lagi di Negeri Sembilan untuk pelanggan yang membuat penukaran minyak enjin di bengkelnya.

    Naib Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Ahmad Adly Alias berkata, “PDB memandang serius tentang keselamatan jalan raya. Selama 25 tahun, kami telah menjadi trusted travel partner untuk pelanggan kami melalui hidangan kopi dan makanan ringan percuma dan mengingatkan mereka untuk berehat apabila letih melalui Kempen ini. Kami berharap pelanggan kami boleh tiba ke destinasi mereka degan selamat lalu menyambut perayaan dengan orang tersayang.

    “Kami amat berterima kasih atas sokongan rakan kempen yang telah lama menjayakan kempen ini sejak tahun 1998. Dengan sumbangan mereka, kita dapat terus menyebarkan mesej keselamatan kepada khalayak yang lebih luas sambil meraikan musim perayaan dengan tawaran yang bermakna. Ini semua adalah sebahagian daripada usaha kami dalam menjadikan kehidupan pelanggan kami lebih mudah dan bermanfaat,” katanya.

    Sepanjang kempen ini, pelanggan Petronas boleh mendapatkan pelbagai snek percuma, antaranya Nescafé Dairy Free Oat dan Nescafé Latte Milk Tea yang disumbangkan oleh Nestlé Products Sdn Bhd selaku rakan kongsi utama kempen. Tawaran lain untuk Kempen ini termasuk sumbangan Revive Salted Lemon oleh Etika Sdn Bhd dan gula-gula Dequadin oleh iNova Pharmaceuticals. PDB juga akan menyumbangkan Mesra Chocolate Muffin.

    Selain itu, baucar diskaun bernilai RM50 juga akan diberikan sepanjang tempoh kempen. Shopee Malaysia akan mengedarkan RM18 Ang Pow untuk pengguna baharu serta pulangan tunai 10% syiling untuk perbelanjaan minimum RM65, dihadkan pada 8,000 syiling. Manakala untuk pengguna sedia ada, Grab juga akan memberikan diskaun 2 X RM10 untuk perkhidmatan GrabMart dengan perbelanjaan minimum RM30 untuk memudahkan membeli-belah pada musim perayaan.

    Manakala PDB juga akan menawarkan RM18 Ang Pow yang terdiri daripada diskaun untuk Setel dan barangan berjenamanya iaitu PRYSM. Malahan sempena ulang tahun ke-25 Kempen ini, PRYSM juga akan menawarkan baju-T 8th F1 World Constructor’s Championship yang terbaharu pada harga diskaun RM25. Pelanggan juga akan menerima Insurans Personal Accident secara percuma oleh AXXESS bernilai sehingga RM25,000 selama satu bulan (terma dan syarat dikenakan).

     
     
  • Honda Civic generasi ke-11 – Spoon sudah mulakan pembangunan untuk hasilkan peralatan prestasi!

    Honda Civic generasi ke-11 – Spoon sudah mulakan pembangunan untuk hasilkan peralatan prestasi!

    Honda Civic generasi ke-11 sudahpun mula dijual di pasaran Jepun pada September tahun lalu. Seperti model generasi sebelum itu, Jepun hanya menerima Civic dalam versi hatchback, dan hanya menerima pilihan enjin 1.5 liter VTEC Turbo. Sebaik sahaja model tersebut diperkenalkan, penala dari Jepun yang sinonim dengan jenama Honda iaitu Spoon terus melakukan pembangunan untuk peralatan prestasi!

    Setelah Civic Hatchback generasi baharu yang dikenali dengan kod casis FL1 ini sampai ke fasiliti Spoon Type One, perkara pertama yang dibuat adalah untuk membuat ukuran terhadap subframe bagi menghasilkan Rigid Collar. Komponen tersebut dihasilkan bagi memastikan kedudukan subframe tidak bergerak dari kedudukannya walaupun dalam keadaan beban tinggi, sekaligus memberikan pengendalian yang lebih tajam dan meningkatkan ketegaran kerangka badan.

    Spoon juga menukar sistem brek asal Civic FL1 ini dengan sistem yang mereka bangunkan yang terdiri dari angkup enam-omboh dan juga pad brek lebih berkualiti tinggi, yang bukan sahaja memberikan jarak membrek yang lebih dekat, malah lebih tahan ketika dipandu lasak di dalam litar.

    Menurut Spoon, hab roda dan juga cakera yang digunakan pada Civic FL1 ini adalah berbeza dengan komponen dari Civic FK7 sebelum ini. Oleh itu mereka perlu membangunkan cakera baharu dan mengumpulkan data bagi menghasilkan komponen produksi akhir. Unit Civic FL1 yang digunakan untuk pembangunan ini juga dilihat dipadankan dengan set rim aloi forged ikonik Spoon iaitu SW388.

    Untuk pretasi enjin, Spoon kini sedang membangunkan sistem ekzos dengan muffler N1 bagi Civic FL1 ini. Menerusi kemaskini yang dibuat pada awal bulan ini, pembangunan sistem ekzos tersebut kini sudah pun masuk ke fasa terakhir, dan ia dijangka bakal dijual dalam pasaran tidak lama lagi.

    Dalam keadaan standard, enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silinder pada Civic FL1 ini menerima talaan semula bagi membolehkan ia menghasilkan 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 hingga 4,500 rpm, atau 9 PS dan 20 Nm lebih berkuasa dari enjin yang sama pada perut Civic FK7 terdahulu.

    Selain dari kotak gear CVT, model Hatchback pasaran Jepun ini turut menerima pilihan transmisi manual enam-kelajuan, yang menurut Honda ia kini diberikan tuil penukar gear yang lebih tegar serta menampilkan gerak tukaran lebih pendek.

    Spoon masih belum menunjukkan sebarang ubahsuai lain pada enjin FL1 ini. Namun bagi FK7 lengkap yang telah Spoon hasilkan sebelum ini, enjin asal berkenaan mampu menghasilkan kuasa sehingga 200 PS dengan hanya menggunakan kotak komputer (ECU) Hondata Flashpro.

    GALERI: Honda Civic Hatchback 2022 FL1 pasaran Jepun

     
     
  • Polis pantau 25 laluan termasuk 4 lokasi ‘panas’ di Kelantan dalam Op Selamat 17/2022 pada 28 Jan-6 Feb

    Polis pantau 25 laluan termasuk 4 lokasi ‘panas’ di Kelantan dalam Op Selamat 17/2022 pada 28 Jan-6 Feb

    Kontijen Polis Kelantan telah bersiaga untuk memantau 25 laluan utama di negeri tersebut yang dikenalpasti kerap berlaku kemalangan jalan raya. Pemantauan menerusi Op Selamat 17/2022 akan berlangsung mulai 28 Januari hingga 6 Februari 2022, melibatkan 266 pegawai dan anggota yang ditugaskan dalam operasi tersebut dengan memberikan lebih tumpuan terhadap empat lokasi panas.

    “Empat laluan itu adalah tiga sempadan utama negeri iaitu Pasir Puteh, Gua Musang, Jeli dan pusat bandar (Kota Bharu) yang menjadi tumpuan orang ramai khususnya yang merayakan sambutan Tahun Baru Cina untuk membeli-belah.

    “Penugasan bukan sahaja dijalankan oleh anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kelantan tapi juga Unit Kereta Peronda (MPV) serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Tambah Shafien, pihaknya menganggarkan antara 700,000 hingga 800,000 kenderaan mulai masuk ke Kelantan bermula hari ini dan menekankan pendekatan mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan.

    Polis pantau 25 laluan termasuk 4 lokasi ‘panas’ di Kelantan dalam Op Selamat 17/2022 pada 28 Jan-6 Feb

    “Berdasarkan statistik tahun lalu, jumlah kemalangan adalah sebanyak 498 berbanding 495 pada tahun 2019 dan kemalangan maut juga meningkat daripada 11 kepada 17 kes dalam tempoh yang sama. Enam kesalahan utama yang dikesan kerap dilakukan adalah memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar serta memotong barisan,” katanya.

    Selain penugasan trafik, Shafien berkata, penugasan sempena Op Selamat itu juga untuk mencegah kes pecah rumah yang sering berlaku pada musim perayaan. Dengan mengekalkan slogan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’, Shafien berkata, keselamatan kediaman masyarakat akan terus diberi keutamaan dengan kerap mengadakan rondaan di kawasan yang sudah dikenal pasti.

    “Kita mengatur gerak sumber manusia bagi menangani persepsi masyarakat yang menganggap tiada kelibat polis atau tiada perbezaan antara penugasan Op Selamat dengan hari biasa,” katanya.

     
     
  • Perodua akan beli RM7.5 bilion bahagian kenderaan dari vendor tempatan pada 2022, peningkatan 41.5%

    Perodua akan beli RM7.5 bilion bahagian kenderaan dari vendor tempatan pada 2022, peningkatan 41.5%

    Berdasarkan standard kebiasaannya, 2021 adalah tahun yang mendatar bagi Perodua dari segi prestasi jualan dan pengeluaran. Terdapat banyak keadaan yang berada diluar kawalan — perintah kawalan pergerakan dan bekalan cip yang terhad, serta banjir besar hujung tahun lalu di Shah Alam, di mana kebanyakan vendornya beroperasi, telah memberi kesan.

    Sudahnya, pendahulu pasaran ini hanya berjaya menjual sebanyak 190,291 unit kenderaan sahaja sepanjang tahun lalu, turun 13.6% berbanding 2020 yang mencatatkan 220,154 unit. Jumlah akhir juga kurang daripada sasaran 200k yang ditetapkan, selepas diturunkan daripada 214k pada September. Sasaran asal Perodua bagi 2021 ialah 240k unit kenderaan terjual. Semua ini disebabkan oleh masalah pengeluaran, kerana kebiasaannya Perodua akan menjual semua unit yang dikeluarkan — hujung 2021, tempahan tertunggak mencecah angka 70k.

    Syarikat ini bagaimanapun menjangkakan pemulihan besar untuk 2022. Jika tiada gangguan, sasaran yang ditetapkan tahun ini adalah 247,800 unit, lonjakan besar 30.2% berbanding 2021. Bagi pengeluaran pulak ia dijangka akan meningkat sebanyak 37.5% kepada 265,900 unit tahun ini.

    Perodua akan beli RM7.5 bilion bahagian kenderaan dari vendor tempatan pada 2022, peningkatan 41.5%

    Model baru (Alza D27A dan dua pengenalan model facelift) dan jumlah pengeluaran yang lebih tinggi bermakna ia memerlukan lebih banyak bahagian. Ini akan menyumbang sebanyak RM7.5 bilion kepada eko-sistem automotif tempatan, daripada peruntukan yang telah disediakan oleh oleh Perodua untuk tujuan itu. Angka ini adalah lonjakan 41.5% daripada RM5.3 bilion yang dibelanjakan untuk alatan/bahagian kenderaan tahun lalu.

    Perodua memaklumkan ia akan terus memaksimumkan penggunaan alatan/bahagian kenderaan keluaran tempatan sebagai pendekatan pertumbuhan industri, dan itu tentunya termasuk sekali aktiviti R&D di peringkat pembekal. Setakat ini, tahap lokalisasi kenderaan Perodua sudah sangat tinggi — Ativa misalnya, walaupun berkongsi dengan model di Jepun dan Indonesia, diperkenalkan tahun lalu dengan 95% kandungan tempatan, paling tinggi bagi mana-mana model Perodua ketika pelancaran.

    Bagi perbelanjaan kapital pula, Perodua merancang pelaburan keseluruhan bagi 2022 dengan jumlah RM1.3 bilion, naik banyak berbanding RM696.3 juta yang dibelanjakan pada 2021. Sebahagian besar daripada jumlah ini adalah untuk model baru (RM529.1 juta). Peruntukan utama yang lain adalah untuk “bangunan, tanah dan jalan” (RM381.3 juta) dan “penambahbaikan dan transformasi kilang” (RM321.3 juta).

     
     
  • Harley-Davidson Road Glide ST dan Street Glide ST 2022 diperkenal – kemasan lebih gelap, enjin 1,923 cc

    Harley-Davidson Road Glide ST dan Street Glide ST 2022 diperkenal – kemasan lebih gelap, enjin 1,923 cc

    Model Harley-Davidson Road Glide ST dan Street Glide ST 2022 kini diperkenalkan, dengan mendapat kemasan lebih gelap serta warna gangsa di beberapa bahagian. Kebanyakan bahagian pada dua model tourer ini menggunakan warna hitam sementara kemasan krom diletakkan di beberapa tempat seperti penutup injap, batang pushrod serta sirip blok.

    Road Glide ST dan Street Glide ST kedua-duanya dipacu oleh enjin v-twin Milwaukee-Eight 117 1,923 cc. Melalui penggunaan barangan seperti camshaft prestasi tinggi, intake besar serta ekzos prestasi, ia mampu menghasilkan kuasa 105 hp pada 5,020 rpm dan 168 Nm tork pada 3,750 rpm.

    Beza antara dua model ini adalah pada bahagian fairing, di mana Road Glide ST menggunakan bentuk “shark nose” yang lebih aerodinamik sementara Street Glide ST menggunakan fairingbatwing” yang sudah menjadi satu tanda unik Harley-Davidson.

    Harley-Davidson Road Glide ST dan Street Glide ST 2022 diperkenal – kemasan lebih gelap, enjin 1,923 cc

    Brek adalah daripada Brembo, dengan ciri linked braking oleh Reflex yang menyambungkan brek hadapan dan belakang kepada sistem ABS secara standard. Apabila mendapatkan pakej Cornering ABS yang dijual berasingan, motosikal juga akan dipasang dengan Cornering Traction Control, Drag Torque Slip Control, Vehicle Hold Control serta pemerhati tekanan angin tayar.

    Suspensi menggunakan fork teleskopik 49 mm yang tidak boleh dilaras, sementara monoshock belakang boleh dilaras untuk pra beban sahaja. Sistem bantuan penunggang lain yang diberi terus adalah cruise control, sistem infotainmen Harley-Davidson Boom Box dengan skrin sesentuh, sistem tanpa kunci dengan penggera bersepadu serta semua lampu jenis LED.

    GALERI: Harley-Davidson Street Glide ST 2022

    GALERI: Harley-Davidson Road Glide ST 2022

     
     
  • 255,532 kes nahas jalan raya direkodkan antara Jan-Sep 2021; melibatkan 3,302 kes maut – menteri MOT

    255,532 kes nahas jalan raya direkodkan antara Jan-Sep 2021; melibatkan 3,302 kes maut – menteri MOT

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengeluarkan kenyataan, berdasarkan kepada statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dari Januari hingga September 2021, sebanyak 255,532 kes nahas di jalan raya telah direkodkan, yang turut melibatkan 3,302 kes kematian.

    “Sebanyak 418,237 kes nahas jalan raya telah direkodkan pada tahun 2020, dengan 4,634 kematian. Sementara itu, sehingga September 2021, sebanyak 255,532 kes nahas jalan raya telah direkodkan, dengan 3,302 kes kematian.

    “Penurunan bilangan kematian akibat nahas jalan raya berlaku secara mendadak pada tahun 2020, berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ia ekoran daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang pada dasarnya telah mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya dan seterusnya menurunkan angka korban jalan raya,” kata Dr. Wee dalam majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina, di Putrajaya pagi tadi.

    Tambah beliau lagi, had pergerakan ekoran daripada pandemik Covid-19 di negara ini telah berjaya mengurangkan kadar kematian di jalan raya, bukan sahaja di Malaysia malahan juga di seluruh dunia. “Rata-rata negara di dunia telah mencatatkan kadar penurunan kes kematian jalan raya, sehingga 20% termasuklah di negara kita, iaitu penurunan sebanyak 25% bagi tahun 2020,” ujarnya.

    255,532 kes nahas jalan raya direkodkan antara Jan-Sep 2021; melibatkan 3,302 kes maut – menteri MOT

    Selain daripada itu, berdasarkan data Ops Selamat 16 Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sebanyak 23,208 kes kemalangan jalan raya, dilaporkan dengan sebanyak 206 kes kemalangan maut dan 230 kes kematian telah direkodkan di sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Selamat Tahun Baru Cina pada tahun 2020.

    “Kadar kematian sebanyak 230 pengguna jalan raya dalam tempoh dua minggu merupakan kadar yang amat membimbangkan. Bagi hemat saya, ini memberi satu indikasi bahawa kadar literasi keselamatan jalan raya (road safety literacy) dalam komuniti jalan raya kita masih belum mencapai tahap yang membanggakan,” tambah Dr. Wee lagi.

    Walau bagaimana pun untuk tahun 2021, tiada Ops Selamat dilakukan pada musim perayaan berikutan pelaksanaan PKP yang melibatkan larangan pergerakan rentas negeri dan dearah. Namun pada hujung tahun lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah memaklumkan sebanyak 566,760 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Mac 2020 hingga pertengahan Oktober 2021. Daripada keseluruhan kes direkodkan sejak 18 Mac 2020 hingga 13 Oktober 2021, sebanyak 5,412 kes melibatkan kemalangan maut dengan merekodkan sejumlah 5,739 kematian.

     
     
  • Jangan berhenti berswafoto, buang sampah merata-rata di Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus – MBPP

    Jangan berhenti berswafoto, buang sampah merata-rata di Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus – MBPP

    Selepas kecoh berkenaan apa yang berlaku di Lebuhraya Temiang-Pantai, Negeri Sembilan dimana orang ramai berhenti di lorong kecemasan jalan berkenaan untuk mengambil gambar kerana pemandangan yang cantik, perkara sama nampaknya berlaku di Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus Pulau Pinang yang baru dibuka bulan ini.

    Selepas tular di media sosial mengenai situasi di Jalan Bukit Kukus berkenaan yang dipenuhi sampah sarap yang dibuang pengguna jalan raya yang berhenti di situ, Majlis Ban­daraya Pulau Pinang (MBPP) mengingatkan semua pengguna jalan raya agar tidak memberhentikan kenderaan masing-masing di bahu jalan tersebut demi keselamatan mereka.

    “MBPP berharap agar semua pengguna jalan raya tidak memberhentikan kenderaan di bahu Jalan Berkembar, Jalan Paya Te­rubong (Jalan Bukit Kukus) demi keselamatan,” tulis satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MBPP dan dilaporkan oleh Kosmo Online.

    MBPP menerusi kenyataan itu juga menyeru pengguna agar menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata di kawasan berkenaan. “Mereka juga diseru agar menjadikan tabiat membuang sampah di tempat yang betul sebagai sebahagian daripada amalan dan etika yang boleh dibanggakan,” tulis kenyataan itu lagi dan menambah bahawa para petugas pembersihan telah dikerahkan untuk membersihkan segera sampah sarap yang telah dibuang sewenang-wenangnya di Jalan Bukit Kukus semalam.

    Jangan berhenti berswafoto, buang sampah merata-rata di Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus – MBPP

    “MBPP berasa kesal dengan sikap sesetengah para pengguna jalan raya yang tanpa segan silu membuang sampah keluar dari kenderaan semasa memandu.

    “Ada juga sikap yang memen­tingkan diri sendiri tanpa menghiraukan keselamatan dengan memberhentikan kenderaan di bahu Jalan Bukit Kukus untuk berswafoto pemandangan indah dan meninggalkan sampah sarap,” kata MBPP lagi dan turut menambah kelakuan seum­pama itu seolah-olah tidak menghormati keindahan alam sekitar dan juga keselesaan para pengguna yang lain.

    Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus ini telah pun dibuka kepada umum pada 13 Januari lalu. Laluan baharu tersebut menyediakan alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung dengan kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya.

    Laluan dengan ketinggian 60 meter berkenaan dijangka menjadi lebuh raya yang paling tinggi di Malaysia, selepas jambatan Lebuhraya Rawang-Serendah atau Rawang Bypass dengan ketinggian 58.2 meter.

     
     
  • Harley-Davidson Low Rider S and ST 2022 didedah

    Harley-Davidson Low Rider S and ST 2022 didedah

    Harley-Davidson (H-D) telah memperkenalkan model Low Rider S 2022, dan ia kini disertai oleh satu lagi versi baru iaitu Low Rider ST. Beza utama bagi Low Rider ST ini adalah ia mempunyai kedudukan lebih tinggi berbanding Low Rider S.

    Monoshock Low Rider ST menggunakan unit yang lebih panjang, sekaligus menjadikan tempat duduknya 19 mm lebih tinggi berbanding Low Rider S (710 mm) sementara jarak gerak suspensi itu juga adalah lebih panjang.

    Kemudiannya, beg tepi model ini diletakkan lebih tinggi, untuk memberikan tambahan sudut condong apabila mengambil selekoh (+1 darjah). Untuk ruang, beg ini menyediakan kapasiti simpanan 53.8 liter, dan direka dengan selak yang boleh dikendalikan dengan sebelah tangan apabila penunggang berada di atas motosikal.

    Sementara Low Rider ST menggunakan fairing hadapan besar yang dipasang pada rangka, Low Rider S pula mendapat fairing kecil yang terletak pada pemegang. Panel meter gabungan digital dan analog yang asalnya berada di tangki juga telah diubah ke bahagian atas pemegang.

    Suspensi hadapan pada kedua-dua model adalah sama, iaitu fork USD 43 mm tanpa larasan sementara brek menggunakan tetapan cakera berkembar 300 mm bersama angkup empat piston, yang dilekatkan pada rim 19 inci di hadapan. Rim belakang bersaiz 16 inci, dan sistem ABS diberikan secara standard.

    Model Low Rider 2022 ini digerakkan oleh enjin v-twin Milwaukee-Eight 117 1,923 cc berkemampuan 105 hp pada 5,020 rpm dan 168 Nm tork, menggantikan enjin v-twin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc berkuasa 93 hp dan 155 Nm sebelum ini. Beratnya adalah 308 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025