Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Datuk Vida bida plat ‘F1’, dengan pilihan kedua ‘V1’

    vida-qu-putih

    Seperti yang sedia maklum, Putrajaya dan Kuala Lumpur akan menerima plat nombor baharu bermula dengan huruf “F” dan “V”. Di mana Putrajaya akan membuka tender bagi siri plat nombor ‘F 1 hingga F 9999’ mulai 1 Jun ini. Pastinya plat nombor “F 1″ akan menerima sambutan yang paling menggalakkan.

    Salah seorang individu yang ingin membida ‘F 1” ialah Datuk Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida. Jutawan dan usahawan produk kecantikan ini memberitahu The Sun, beliau telah bersedia ‘meletakkan harga yang cukup menarik’ apabila bidaan tersebut dibuka minggu hadapan.

    “Kebetulan saya memang sukakan persaingan seperti mana Ferrari dan ‘F 1’ memang cukup sesuai untuk antara model kereta yang saya miliki,” ujarnya yang turut memiliki Lamborghini Aventador, Bugatti dan beberapa lagi model supercar lain.

    “F1 juga merupakan sukan permotoran kegemaran saya. Justeru, memiliki plat nombor itu, ia juga mampu merefleksikan personaliti saya. Saya sentiasa mahu menjadi yang pertama dalam semua perkara. Sebab itu saya cukup teruja dengan perkara ini,” tambahnya lagi.

    Putrajaya-F-No-Plate

    Ketika akhbar berkenaan bertanya berapakan amaun yang bakal dibida, beliau menjawab, “Sudah tentu saya tidak akan mendedahkannya kerana tidak mahu pesaing saya tahu. Tapi saya sudah pun memiliki nombor kegemaran saya yang tersendiri”. Namun jika ahli perniagaan wanita berjaya ini gagal mendapatkan plat nombor idamannya, beliau akan membida plat nombor KL iaitu ‘V 1’ pula.

    “Di United Kingdom, ahli perniagaan Yorkshire menolak tawaran sebanyak £6 juta (RM34.7 juta) dua tahun yang lalu untuk mendapatkan nombor pendaftaran ‘F 1’ di mana beliau membelinya pada harga £440,000 (RM2.5 million) untuk Bugatti Veyronnya pada tahun 2008,” ujar timbalan menteri pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi minggu lalu. Beliau turut menjangkakan bidaan bagi ‘F 1’ akan mencipta fenomena tersendiri.

    Harga tertinggi yang pernah tercatat bagi plat nombor di Malaysia ialah RM748,000 untuk ‘W1N’ oleh Sultan Ibrahim Ismail, yang turut membayar RM520,000 untuk ‘WWW 1’ pada tahun 2012. Manakala pembeli bagi plat nombor istimewa ‘PATRIOT 1’ pula dilaporkan membayar sehingga RM1,308,000.

     
     
  • SPYSHOT: Nissan NP300 Navara versi SUV diuji

    Nissan-Navara-SUV-spyshots-02

    Nissan NP300 Navara telah dikesan tetapi dengan kerangka SUV, sedang diuji dan fotonya telah berjaya menjadi intipan lensa jurufoto spyshot ini. Model prototaip ini juga memiliki sedikit persamaan dengan R51 Pathfinder generasi ketiga.

    Pada bahagian hadapannya, tidak dinafikan ia memang seiras NP300 Navara, malah berkongsi gril V-motion, lampu utama, lampu kabus dan bentuk bonet yang sama. Malah mungkin prototaip ini turut berkongsi casis kerangka dan suspensi belakang multi-link yang sama seperti Navara.

    Dari tiang-B ke atas, ia seakan R51 Pathfinder. Dari bentuk badan berkotak di belakang, termasuk lampu belakang, cermin belakang bampar dan pemegang pintu belakang yang tersembunyi memang iras model tersebut, dalam kerangka SUV. Forf menggunakan separuh rekaan dari Everest sebelum ini, dan digabungkan dengan imej Ranger pada bahagian hadapan hingga ke belakang untuk pasaran Australia.

    Buat setakat ini, masih tak banyak perincian yang diperoleh untuk model ini termasuk bilakah ia bakal dipasarkan. Ada juga sumber yang mengatakan, model SUV ini adalah pengganti bagi Nissan Patrol generasi kelima yang masih berada di pasaran untuk versi lebih mewah iaitu V8 Y62 Patrol/Armada.

     
     
  • BMW G310R eksklusif di bilik pameran 27 Mei-12 Jun

    Malaysia bakal menerima kehadiran BMW G 310 R baharu tidak lama lagi. BMW Motorrad Malaysia telah pun mengumumkannya menerusi Facebook bahawa motosikal kapasiti kecil moden pertama dari jenama ini bakal muncul di beberapa bilik pameran terpilih mulai 27 Mei hingga 12 Jun ini. Lokasi bilik pameran yang terlibat ada di dalam Facebook BMW Motorrad Malaysia.

    Ini merupakan motosikal BMW pertama yang dibina di luar Eropah, di mana G 310 R dipasang di India dengan kerjasama TVS Motor Company dan ia dijual di peringkat global. Motosikal ini dijanakan oleh enjin 313 cc silinder-tunggal, penyejuk-cecair, empat-injap dan suntikan bahan api elektronik.

    Enjin ini mampu mengekstrak kuasa sehingga 34 hp pada 9,500 rpm dan tork 28 Nm pada 7,500 rpm. Menurut BMW, enjin baharu ini memang dicipta untuk pasaran global, di mana ia boleh dipacu dengan semua gred petrol dan masih menepati standard emisi yang ditetapkan.

    Rangka keluli berbentuk tiub dalam struktur grid dengan satu selak pada kerangka belakang dan sepit udang hadapan bersama suspensi belakang antara ciri-ciri terpenting bagi motosikal ini. Ia juga menampilkan cakera brek tunggal 300 mm dengan empat-ompoh bersama angkup hadapan, dan cakera 240 mm bersama dua-omboh di belakang. ABS turut ditampilkan sebagai standard.

    Penggayaan G 310 R juga nampai sinonim seperti S 1000 R, dengan gaya ala klasik roadster dan rekaan tangki minyak yang lebih tajam. Lampu utama tunggal kelihatan cukup ringkas berbanding model baharu Motorrad yang lain. Ia juga menampilkan kluster instrumen pelbagai-fungsi sebagai standard, selain roda 17-inci.

    GALERI: BMW G 310 R di Bangkok International Motor Show 2016

     
     
  • Sarawak perlukan dana sebanyak RM28.4b untuk kos pembinaan 4,402 km jalan baharu menjelang 2030

    Sarawak-roads-bernama-pix

    Kerajaan Sarawak berkata kos sebanyak RM24.8 bilion diperlukan untuk membina jalan baharu sepanjang 4,402 km di negeri tersebut menjelang 2030, laporan Bernama.

    Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, pembinaan jalan yang dicadangkan itu iaitu bakal menghubungkan dengan 1,000 jalan sedia ada memerlukan RM1.9 bilion setahun untuk membina setiap 338 km jika ia dibina dalam jangka masa 14 tahun untuk menyiapkan projek tersebut.

    “Sama ada kerajaan mempunyai bajet untuk membina jalan ini mahu pun tidak, adalah satu persoalan lain. Tetapi apa yang boleh saya beritahu Sarawak sendiri telah mengumpulkan hampir RM2 bilion setahun untuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sementara kami memerlukan RM1.9 bilion setahun untuk membina jalan baharu ini sehingga 2030,” ujar Masing kepada pemberita.

    Beliau turut menambah, GST adalah salah satu cara yang terbaik untuk kerajaan mengumpul dana bagi pembangunan prasarana menggantikan penurunan harga minyak dan gas. Katanya lagi, perbincangan yang lebih serius akan diadakan tidak lama lagi bagi menentukan adakah dana yang dikutip dari GST itu boleh digunakan bagi membina jalan. “Kami memiliki semangat yang tinggi dalam pembangunan negeri Sarawak dan saya pasti kerajaan persekutuan akan lebih menghargainya dan memahami keperluan kami untuk pembangunan,” ujarnya lagi.

     
     
  • Imej Toyota Calya, MPV kecil berasaskan Axia bocor

    2328487Adik-Avanza1780x390-e1464173766298_BM

    Toyota nampaknya sedang membina sebuah MPV yang lebih kecil dari Avanza, berdasarkan beberapa gambar yang telah bocor di otomania.com dan AutoBild Indonesia. Khabar angin mengatakan MPV ini akan diberi nama Toyota Cayla, yang mampu untuk memuatkan tujuh tempat duduk, dan bakal bersaing dengan Datsun GO+ di pasaran Indonesia. Ia juga dibina berasaskan platform yang sama dengan Daihatsu Alya dan Toyota Agya, atau dikenali sebagai Perodua Axia di Malaysia.

    Seperti juga GO+ (dikenali sebagai GO+ Panca di Indonesia), Cayla dilaporkan dibina sebagai sebahagian dari program Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia, yang memberikan insentif cukai kepada kereta dengan kecekapan bahan api yang tinggi berkapasiti maksimum 1.2 liter.

    Cayla mungkin merupakan versi produksi kereta konsep Daihatsu UFC-3 yang diperkenalkan pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2014 – yang dibina lebih kecil daripada Daihatsu Xenia, iaitu Toyota Avanza yang di rebadge.

    Beberapa perincian pada rekaan dilihat telah diberikan sentuhan semula antara kereta konsep dan versi produksi ini, seperti bentuk pada tingkap sisi dan pada beberapa permukaan lain – menjadikan rupa keseluruhannya tidak begitu agresif.

    Walau bagaimanapun, muka kedua-dua MPV tersebut agak seiras serta kelihatan seperti Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah. Ia juga menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama pada bahagian logo Toyota.

    Pada bahagian belakang, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu. Tiada gambar bahagian dalaman disiarkan, tetapi boleh dijangka ia adalah hampir sama seperti MPV konsep Daihatsu UFC-3.

    Perincian untuk spesifikasi teknikal juga belum didedahkan, tetapi Cayla dijangka akan dikuasakan dengan enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-FE dari Etios, berupaya menghasilkan kuasa 80 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 104 Nm pada takat 3,100 rpm. Ia juga dijangka akan dipadankan dengan sistem transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, sama seperti Axia.

    GALERI: Daihatsu UFC-3 Concept di IIMS 2014

     
     
  • Esemka bangunkan pikap trak, kerjasama dengan Proton; sasar eksport ke negara lain termasuk M’sia

    Esemka-01

    Pembuat kereta Indonesia, Esemka, dilaporkan akan membangunkan trak pikap, yang bakal tampil perdana pada Ogos tahun ini. Syarikat terbabit dikatakan bekerjasama dengan Proton, bagi membangunkan trak pikap ini, laporan Berita Satu.

    Adiperkasa Citra Esemka Hero (ACEH) merupakan pengeluar trak pikap di Indonesia. Menurut Pengarah Urusannya, Hosea Sanjaya, kerjasama dengan Proton ini sudah pun termeterai dan telah pun memiliki fasiliti untuk membangunkan kenderaan Esemka.

    Hosea turut berkata, perjanjian kerjasama ini adalah bagi aspek penyelidikan dan pembangunan antara Esemka dan Proton. Malah ia turut melihatkan kelebihan strategik untuk Esemka mengeksportnya ke beberapa negara luar termasuk Malaysia, Buat masa ini, syarikat ini telah membangunkan kilang pemasangan di Cileungi, Jawa Barat, dengan kapasiti produksi tahunan sebanyak 30,000 unit.

    Proton_Pick-up_Concept_-001

    Model konsep Proton Pikap berasaskan Proton Exora

    Pengarah Urusan tersebut turut berkata, pembangunan produk difokuskan bagi meningkatkan lagi ekonomi luar bandar. “Ini adalah di peringkat awal, kami mengambil keputusan untuk memproduksikan kenderaan komersial dalam bentuk trak pikap,”ujarnya. Buat masa ini, kenderaan komersial terbabit bukanlah fokus utama bagi pengeluar kenderaan Malaysia tersebut, sekali gus telah memberikan peluang kepada Esemka untuk merealisasikannya.

    Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jakarta Globe, pikap Esemka ini akan didatangkan dengan dua model, bersama kapasiti enjin 1,000 cc dan 2,000 cc. Syarikat ini sedang meneliti harga yang paling murah untuk model Esemka iaitu di bawah 100 juta rupiah (RM30k), iaitu di bawah pesaingnya sendiri.

    GALERI: Model konsep Proton Pikap berasaskan Proton Exora

     
     
  • Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM92j untuk meningkatkan sistem kawalan banjir di Kuala Lumpur

    Malaysia-Flash-Flood-2016

    Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM92 juta bagi memperbaiki dan meningkatkan sistem aliran banjir di Kuala Lumpur, laporan The Star. Keputusan ini diambil selepas ratusan kenderaan terjejas akibat terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku di ibu kota pada 12 Mei lalu.

    Kos ini akan melibatkan penggantian paip lama, memasang pengepam air, memperbaiki dan membina sistem aliran baharu, menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J.Loga Bala Mohan. “Ini termasuk RM5 juta bagi sistem pengurusan trafik bagi mengendalikan trafik ketika banjir kilat,” ujarnya menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Klang Nurul Izzah Anwar di persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

    Beliau turut berkata, banjir kilat yang melanda ibu kota pada 12 Mei lalu adalah berpunca daripada “hujan luas biasa yang berlarutan selama dua jam” bermula jam 6.45 petang. “Sejumlah 106.5 mm hujan dicatatkan telah turun pada waktu berkenaan berbanding 70 mm kebiasaannya. Malah sistem perparitan tidak dapat menampung jumlah saliran air,” jelasnya lagi.

    Dalam masa yang sama, Loga turut berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan memberikan ganti rugi kepada 105 pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir kilat berkenaan kerana itu adalah “bencana alam”. Kenyataannya ini konsisten dengan pandangan Datuk Bandar KL Datuk Seri Amin Nordin Abdul Aziz sebelum ini yang mengatakan “DBKL tidak akan membayar ganti rugi, melainkan pemilik kenderaan berkenaan ada insurans bencana alam untuk kenderaan masing-masing.”

     
     
  • Proton lancar semula modelnya di Chile Sabtu ini?

    Proton LHD Preve to Chile 8

    Dikhabarkan Proton akan melancarkan semula modelnya di Chile pada Sabtu ini selepas hampir dua dekad pasaran di sana terhenti, laporan Bernama.

    Duta Malaysia di Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya berkata Proton akan membawa masuk 1,000 unit model terpilih iaitu Preve, Exora dan Saga ke dalam pasaran Chile dan menjangkakan menjana jualan bernilai RM68 juta. “Ini menunjukkan hubungan Malaysia-Chile terus berkembang kukuh,” katanya.

    Beliau berkata Chile merupakan satu-satunya negara Amerika Latin yang telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia sekaligus menjadikannya sebagai rakan dagang lebih utama bagi syarikat Malaysia yang merancang untuk meneroka ke benua itu.

    Kereta-kereta Proton di sana akan dijual oleh Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, wakil pengedar dari Chile yang telah menandatangani perjanjian pengedaran bersama Proton pada 1 Julai 2015 lalu.

    Di Chile, ketiga-tiga model tersebut akan dipasarkan di sekitar bandar-bandar utama seperti Santiago, Concepcion Vina La Serena, Antofagasta dan Valdivia Temuco Osorno.

     
     
  • Haval H2 akhirnya dilancarkan di Malaysia – tiga varian, harga bermula RM87k hingga RM98k

    Haval-H2-launch-01

    Pernah dipertontonkan di Malaysia pada November lalu di di NST-MAI ASEAN Auto Show 2015, SUV segmen-C ini akhirnya dilancarkan untuk pasaran tempatan. Ia diedarkan oleh Go Auto, Haval H2 ini disasarkan jualannya sebanyak 1,000 unit untuk tahun ini dan telah diklasifikasikan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV).

    Haval H2 didatangkan dengan tiga varian iaitu model asas Standard dnegan harga bermula RM87,246.01, sementara varian Comfort pula pada harga RM95,997.97. Manakala varian tertinggi Premium pula pada harga RM98,915.29. Semuanya adalah harga atas jalan termasuk GST dan tanpa insurans.

    Ketiga-tiga varian juga didatangkan dengan waranti lima-tahun/150,000 km. Sebagai tambahan, dalam hanya tempoh waktu terhad sahaja, Go Auto turut menawarkan tiga tahun/60,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) bagi pakej penyelenggaran percuma, termasuk servis dan kos buruh. Go Auto turut memberitahu, 100 unit pertama Haval H2 adalah unit CBU, dan mensasarkan model CKD menjelang September 2016 ini.

    Kesemua varian Haval H2 ini memiliki saiz ukuran yang sama iaitu 4,335 mm panjang, 1,814 mm lebar, 1,695 mm tinggi, dengan jarak roda 2,560 mm. Semua model turut dilengkapi dengan roda stereng berkuasa, brek parkir elektrik dan kolum stereng boleh laras dengan empat-cara.

    Haval H2 ini bakal dijanakan oleh enjin 1.5 liter 4G15B pengecas turbo empat-silinder dual-VVT. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 147 hp pada 5,600 rpm dan tork setinggi 210 Nm pada 2,200 hingga 4,500 rpm. Enjin ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa pada roda hadapan.

    Selain itu, Haval H2 ini turut memilih sistem suspensi dengan topang MacPherson di bahagian hadapan dan multi-link di belakang. Ia turut dilengkapi dengan cakera brek pada keempat-empat rodanya dan juga stereng berkuasa elektrik.

    Untuk bahagian luarannya, Haval H2 ini turut dilengkapi dengan lampu utama halogen dengan fungsi “follow-me-home”, lampu nyalaan siang LED serta lampu kabus.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, ia dipadankan dengan kekemasan kulit uphosteri untuk balutan tempat duduk dan roda stereng. Malah untuk tempat duduk pemandu, ia juga memiliki pelarasan secara elektronik dengan lapan-cara pelarasan bagi sokongan belakang.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan sistem penghidup enjin, paparan TFT berwarna bersaiz 3.5-inci, butang kawalan pada roda stereng, cermin pandang belakang anti-silau, sistem penghawa dingin automatik dua-zon bersama penapis habuk dan sistem kamera undur.

    Haval-H2-2

    Bagi sistem hiburan pula, ia turut dilengkapi dengan paparan skrin sesentuh multimedia dengan sambungan MP3, USB, Bluetooth dan AUX serta enam pembesar suara. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan indikator penukar gear, sistem kemasukan tanpa kunci, sistem penghidup enjin, sistem bebas tangan Bluetooth, panel instrumen kedua dan indikator suhu luar.

    Aspek keselamatan turut dititikberatkan, Haval H2 turut memiliki enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem pemantauan tekanan tayar di samping ABS, EBD dan bantuan brek.

    Bagi membezakan setiap variannya, Standard didatangkan dengan tiga warna berbeza tona-tunggal dan Haval Red/Classic Black dua-tona warna. Manakala varian Comfort pula memiliki semua warna dengan tambahan dua warna dua-tona termasuk Classic Black/Titanium White dan Brownish Brown/Titanium White. Manakala varian Premium hanya dua-tona warna seperti yang disebut, tetapi menerima padanan dua-tona untuk warna dalaman sebagai standard.

     
     
  • Toyota bakal bina kilang baharu di Klang – perlaburan RM2 bilion, kapasiti 50k, beroperasi awal 2019

    toyota-malaysia-new-plant

    Toyota Motor Corporation telah mengesahkan bakal membina kilang baharu di Malaysia. Kilang baharu tersebut akan dibangunkan di Bukit Raja Industrial estate, Klang, dan bakal berupaya mengeluarkan kapasiti sehingga 50,000 unit setahun di mana ia mampu meningkatkan lagi permintaan pasaran. Digabungkan dengan kilang sedia ada, produksi kilang Toyota di Malaysia bakal meningkat dari 90,000 ke 100,000 unit setahun.

    UMW Toyota Motor (UMWT) bakal melabur sebanyak RM2 bilion untuk projek ini, termasuk untuk kos tapak, pembinaan, peralatan dan sokongan kejuruteraab dari Thailand dan Jepun. Ia merupakan perlaburan terbesar yang pernah dilakukan dalam sejarah UMWT.

    Berkeluasan 670,000 meter persegi, kilang ini adalah sebahagian daripada perancangan Toyota untuk menyusun semula sistem produksi di Malaysia. Kilang sedia ada Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) akan difokuskan untuk produksi kenderaan komersial, sementara kilang baharu ini bakal memainkan peranan dalam pengeluaran kenderaan penumpang termasuk Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

    Pembinaan kilang baharu, yang hanya 10 km jaraknya dari kilang sedia ada ASSB dan berdekatan dengan Perlabuhan Klang ini bakal bermula pada suku kedua tahun ini. Toyota menjangkakan produksi akan bermula pada awal 2019, dan ketika itu ASSB akan menghentikan pengeluaran kenderaan penumpang.

    toyota-malaysia-plant-ssf

    Toyota berkata kilang baharu yang “Ringkas, Mudah dan Fleksibel” ini akan menjadi antara yang termaju di dunia, merupakan langkah seterusnya sebagai usaha untuk mewujudkan kilang yang kompetitif dengan menggunakan teknologi pengeluaran inivatif seperti yang diperkenalkan di kilang-kilang baharu Toyota di Mexico dan China.

    “Kilang ini adalah salah satu usaha kami untuk mencipta pembaharuan, kilang yang lebih kompetitif, selepas keputusan yang dibuat untuk membuka kilang baharu di Mexico dan China, serta bakal membuka dua lagi kilang enjin pada tahun ini di Indonesia dan Brasil,” ujar Tatsuro Takami, pengarah urusan Toyota Motor Corp.

    “Ia adalah sebahagian daripada usaha memperkenalkan teknologi produksi yang lebih canggih, malah kami dengan penuh dedikasi akan membangunkan kereta yang lebih baik. Malahan akan memberikan kenderaan berkualiti tinggi buat pelanggan di Malaysia menerusi UMWT,” tambahnya lagi.

    Dalam sidang media yang berlangsung pagi tadi, UMWT turut mendedahkan Vios kini memiliki kadar tempatan sebanyak 50% dan syarikat akan menambahkan lagi angka itu menerusi kilang baharu ini. Malahan produk bagi kilang baharu ini adalah untuk penggunaan domestik dan ia dilihat sebagai pertumbuhan dalam pasaran automotif Malaysia dalam jangka masa yang panjang.

    Selain itu, Toyota Boshoku UMW, menerusi kerjasama antara UMWT dan Toyota Boshoku Corporation Japan yang membekalkan tempat duduk dan komponen dalaman, akan memindahkan aktivitinya ke kilang baharu ini juga.

     
     
  • Kejara mampu sedarkan pengguna jalan raya – JKJR

    AES_Camera

    Keputusan Kerajaan untuk memperkenalkan semula sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) adalah bagi memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya agar tidak lalai hingga mengakibatkan bahaya kepada orang lain.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia Abd Ghafar Yusof, tindakan menyaman pengguna semata-mata di atas kesalahan yang dilakukan tidak cukup untuk memberikan pengajaran kerana mereka disifatkan masih boleh melangsaikan saman berkenaan, laporan Bernama.

    “Kita menyedari pemandu yang disaman atas pelbagai kesalahan mampu membayar saman terbabit, tetapi mereka tidak pernah belajar daripadanya dan sering mengulangi perbuatan tersebut. Oleh itu, kami berharap apabila sistem ini diperkenalkan semula, ia memberi lebih banyak kesedaran kepada pengguna jalan raya,” katanya.

    Abd Ghafar berkata beberapa penambahbaikan dibuat terhadap sistem itu bagi memberi impak berkesan kepada usaha mendidik pengguna jalan raya.

    Penambahbaikan itu termasuk menggabungkan sistem itu dengan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), yang mana penggabungan itu kemudian membolehkan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dilaksanakan semula, seperti mana yang dicadangkan Kementerian Pengangkutan.

    “Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan pelaksanaan AWAS akan dibentang di Parlimen dan jika tiada halangan ia akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

    Abd Ghafar berkata penambahbaikan lain berhubung sistem itu ialah tidak akan mengurangkan mata demerit pemandu yang telah menjelaskan bayaran saman, seperti sebelum ini.

    Sebaliknya, kata beliau, mata demerit akan dikumpul sehingga lesen memandu seseorang boleh digantung.

    “Selain itu, kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu juga adalah antara kesalahan utama baharu yang akan dimasukkan ke dalam sistem KEJARA memandangkan ia kerap dilakukan pengguna jalan raya,” katanya.

    Sistem KEJARA pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini namun dihentikan sementara disebabkan pelbagai reaksi daripada masyarakat dan pemimpin.

     
     
  • Kia Sorento 2016 dilancarkan di M’sia – 2.2 LS diesel, 2.4 MS petrol dan 2.4 HS petrol, RM156k-RM176k

    Kia_Sorento_Petrol_MS_Ext-2

    Naza Kia Malaysia telah melancarkan Kia Sorento serba baharu, pagi ini di KL PAC. Kehadiran Sorento 2016 yang diberi suntikan radikal ini pastinya menyemarakkan lagi pasaran SUV di Malaysia. Ia ditawarkan dengan satu varian asas diesel bersama varian pertengahan petrol dan spesifikasi tertinggi petrol.

    Bagi varian 2.2 LS diesel, ia ditawarkan pada harga RM155,888, manakala 2.4 MS petrol pula RM165,888. Bagi spesifikasi tertinggi 2.4 HS pula pada harga RM175,888. Semuanya harga atas jalan termasuk insurans dan waranti lima-tahun bersama perbatuan tanpa had.

    Sorento baharu ini agak besar berbanding model sebelumnya iaitu 95 mm lebih panjang (4,780 mm), 5 mm lebih lebar (1,890 mm) dan 15 mm lebih rendah (1,685 mm) dengan jarak roda 80 mm lebih panjang (2,780 mm). Malah ia boleh dikatakan lebih besar berbanding pesaingnya SUV lima-tempat duduk seperti Honda CR-V dan Mazda CX-5, SUV tujuh-tempat duduk Nissan X-Trail dan Mitsubishi Outlander, malah Hyundai Santa Fe sendiri.

    Kia_Sorento_Petrol_MS_Ext-17

    Penggayaan yang lebih menarik pastinya membuatkan Sorento baharu ini mampu menambat perhatian ramai. Dengan lampu utama yang melunjur ke belakang bersama gril ‘hidung harimau’ yang menjadi trademark Kia, kini menampilkan paras rupa yang lebih tiga dimensi bersama stad “berlian”. Di belakangnya, lampu berbentuk trapezoid, dengan lampu kabus yang besar dan skid plate yang sinonim dengan pandangan hadapan.

    Di bahagian dalamnya pula, kabinnya juga telah dipertingkatkan, dengan papan pemuka yang lebih menyerlah (bersama jahitan pada panel atas), roda stereng tiga-jejari baharu sama seperti Optima baharu dan corong penghawa dingin krom sutera di bahagian papan pemuka. Tempat duduk barisan kedua yang boleh dipisahkan 40:20:40, dan barisan ketiga pula boleh dibaringkan 50:50 untuk memberikan kapasiti ruangan barang sehingga 605 liter.

    Sorento baharu ini diberikan beberapa pilihan penjana sama ada 2.2 liter R CRDi turbodiesel yang memberikan kuasa 200 PS pada 3,800 rpm dan tork 441 Nm pada 1,750 hingga 2,750 rpm. Selain itu, enjin petrol 2.4 liter Theta II MPI CVVT juga ditampilkan dengan kuasa 172 PS pada 6,000 rpm dan tork 224 Nm pada 4,000 rpm. Pacuannya disalurkan pada semua roda untuk semua model menerusi sistem pacuan semua-roda Dynamax baharu dan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Memandangkan varian diesel 2.2 LS merupakan spesifikasi paling rendah, ia didatangkan dengan lampu utama projektor halogen automatik dengan lampu nyalaan siang LED, rim 17-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu automatik dua-zon dengan ioniser dan corong udara pada barisan kedua dan pengesan parkir belakang.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem engine start-stop automatik, bilah pengilap cermin automatik dan cermin pandang belakang anti-silau automatik dan paparan pelbagai-informasi Supervision 3.5-inci. Malah ia juga menampilkan tempat duduk fabrik, tetapi tidak disertakan dengan kamera undur dan sambungan Bluetooth.

    Manakala varian 2.4 MS pula tidak ditampilkan dengan sistem engine start-stop automatik, tetapi dipadankan dengan rim aloi jejari-Y 19-inci, lampu belakang LED, antena sirip jerung, cermin hadapan akustik, tempat duduk hadapan larasan berkuasa lapan-cara dengan sokongan belakang untuk tempat duduk pemandu serta balutan kulit upholstery

    Kia_Sorento_Petrol_MS_Int-26

    Ia juga ditampilkan dengan sistem hiburan skrin sesentuh dengan sambungan Bluetooth, kamera undur, tirai suria untuk barisan tempat kedua, corong udara pada barisan ketiga, dan pintu belakang tailgate.

    Bagi varian tertinggi 2.4 HS, pastinya menampilkan elemen tambahan yang lebih menarik termasuk lampu utama xenon adaptif, rim 10-jejari krom 19-inci, bantuan parkir dan paparan speedometer Supervision tujuh-inci berwarna dan paparan pelbagai-informasi.

    Bagi aspek keselamatan, kesemua model menerima enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mendaki bukit, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak ISOFIX.

    Sorento baharu didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Clear White, Aurora Black Pearl dan Silky Silver.

    Apa pendapat anda tentang Sorento 2016 ini? Adakah ia mampu mencabar pesaingnya yang lain dan mampu mengungguli pasaran SUV di Malaysia? Kongsikan bersama kami menerusi ruangan komen di bawah.

    GALERI : Kia Sorento 2.2 LS diesel 2016

    GALERI : Kia Sorento 2.4 MS petrol 2016

    GALERI : Kia Sorento 2.4 HS petrol 2016

     
     
  • Kia Sportage 2016 dilancarkan di Malaysia – 2.0L GT Line, RM141,888; 2.0L KX, RM121,888

    Kia_Sportage_HS_Ext-2

    Selain Kia Sorento 2016, Naza Kia Malaysia turut melancarkan Kia Sportage 2016 untuk pasaran tempatan. SUV lima-tempat duduk ini pernah melakukan penampilan perdana di Frankfurt pada September lepas.

    Varian pacuan roda-hadapan bagi generasi ke-empat QL ini bakal dipasarkan di Malaysia. Ia didatangkan dengan versi spesifikasi tertinggi GT Line dan varian asas KX Line.

    Kedua-duanya dijanakan oleh enjin petrol 2.0 liter Nu MPI empat-silinder, dan dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan dari penjana kuasa ini ialah 155 PS pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,000 rpm.

    Bagi dimensinya, ia lebih kurang sama dengan model generasi=ketiga SL iaitu 4,480 mm panjang (40 mm lebih panjang), 1,855 mm lebar dan setinggi 1,685 mm iaitu sama dengan model sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, jarak rodanya 30 mm lebih panjang iaitu 2,670 mm (dengan 20 mm lebih panjang bagi overhang hadapan dan 10 mm lebih pendek untuk bahagian belakang). Manakala ruang butnya pula berkapasiti 466 liter, dan mampu mencapai sehingga 1,455 liter sekiranya tempat duduk barisan kedua 60:40 dibaringkan.

    Bagi kit standard untuk kedua-dua varian, ia tampil dengan lampu utama auto, kawalan audio pada roda stereng, pemilihan mod pemanduan (Eco, Normal dan Sport), lampu kabus belakang, antenna sirip jerung, corong penghawa dingin belakang, sistem hiburan JBL dengan lapan-pembesar suara bersama sambungan USB/AUX dan kamera pandang belakang.

    Bagi senarai aspek keselamatan, ia didatangkan dengan enam beg udara (dua di hadapan, sisi dan tirai), pengurusan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki, Isofix dan sistem pemantauan tekanan tayar.

    Bagi varian 2.0 KX Line, ia dilengkapi dengan lampu utama projektor halogen dengan lampu nyalaan siang jenis mentol dan lampu kabus biasa, bagi kabinnya, ditampilkan dengan tempat duduk balutan kulit, roda stereng tiga-jejari, penghawa dingin manual dan larasan tempat duduk manual.

    Ia turut tampil dengan butang penghidup enjin dan paparan Supervision LCD mono 3.5-inci pada kluster instrumen dan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 225/60.

    Bagi imej yang lebih bergaya, 2.0 GT Line ditampilkan dengan lampu kabus LED “kiub ais” dan rim aloi 19-inci yang dibaluti tayar 245/45. GT juga ditampilkan dengan lampu utama projektor HID (bersama pelarasan automatik), lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang kombinasi LED.

    Bertambah menarik dengan gril radiator ‘hidung harimau’ bersama kekamsan hitam berkilat, dan krom sutera termasuk pada bahagian aero blade hadapan, skid plate, ambang sisi pintu, pintu tailgate, jaluran tingkap dan kekemasan panel pintu (krom untuk KX).

    Di bahagian dalamnya, GT dibezakan dengan tempat duduk balutan kulit, roda stereng balutan kulit potongan-D dengan logo GT Line dan tombol gear balutan kulit. Ia juga menampilkan penghawa dingin dua-zon, butang penghidup enjin,, pedal aluminium sport, dan paparan Supervisian LCD berwarna TFT 4.2-inci.

    Varian ini juga menampilkan tempat duduk hadapan larasan kuasa lapan-cara, pengesan parkir hadapan, pedal penukar gear dan kaca solar untuk cermin hadapan dan sisi hadapan.

    Sportage baharu ini didatangkan dengan pilihan warna Mercury Blue, Fiery Red, Snow White Pearl dan Mineral Silver. Ia ditawarkan pada harga RM121,888 untuk 2.0 KX Line dan RM141,888 untuk 2.0 GT Line. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

    GALERI: Kia Sportage 2.0 GT Line

     
     
  • Renault Sport bakal dedahkan Clio RS istimewa yang lebih agresif di GP Monaco hujung minggu ini

    Special-Clio-RS-Monaco-GP_BM

    Renault Sport akan mendedahkan Clio RS “versi istimewa” pada Grand Prix Monaco hujung minggu ini. Kereta tersebut adalah untuk meraikan ulang tahun ke-40 Renault Sport dan kemunculan semula Renault sebagai sebuah pasukan Formula 1, menurut syarikat tersebut.

    “Kami berjaya melengkapkan projek sebuah ‘kereta gila’. Ia adalah hasil usahasama dengan Renault Sport Cars dan pasukan perlumbaan Renault Sport. Clio RS ini diperhalusi oleh kepakaran dari jurutera Renault Sport dalam masa yang sama meneroka ruang pada masa hadapan,” kata Patrice Ratti, Pengarah Urusan Renault Sport Cars.

    Tambahan pada gambar rasmi yang dipaparkan di atas, beberapa imej yang tersiar bersama dalam hebahan atas talian turut disertakan sekali di bawah.

    Gambar tersebut menunjukkan sebuah Clio RS berwarna kuning signatur Renault Sport diberikan kit badan yang lebih agresif (ruang roda yang lebih lebar, sayap belakang yang lebih besar dan motif bendera RS pada bampar hadapan) berbanding Clio RS 220 Trophy yang merupakan model terpantas dalam barisan Clio RS – mencatatkan masa sepusingan terpantas dilitar ‘The Green Hell‘ Nurburgring 8:32.

    GALERI: Renault Clio RS 220 Trophy

     
     
  • Data jualan kenderaan di M’sia untuk April 2016 – Nissan turun 30.7%, Volkswagen naik 116.8%

    Perodua_Axia_Standard_vs_Advance_-001_BM

    Data mengenai jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk April 2016 telah pun dikeluarkan. Secara keseluruhan, majoriti jenama di Malaysia mengalami penurunan jualan, berbanding jualan pada Mac lalu.

    Untuk April 2016, sebanyak 42,177 unit jualan telah dicatatkan. Dari keseluruhan jumlah tersebut, sebanyak 37,893 unit adalah kenderaan penumpang, dan 4,284 unit bagi kenderaan komersial. Berbanding Mac lalu, sebanyak 48,877 unit jualan dicatatkan untuk (penurunan sebanyak 13.7%).

    Perodua, yang mendahului pasaran, telah mengalami penurunan dengan 14,898 unit untuk April, berbanding 17,629 unit bulan sebelumnya. Begitu juga dengan Proton yang menurun sebanyak 19.1% (4,477 unit vs 5,535 unit pada Mac).

    Honda juga mengalami nasib yang sama dengan penurunan sebanyak 19.6% (5,964 vs 7,418). Manakala Toyota pula di tangga ke-empat dengan 4,089 unit terjual (-5.3%), dan Nissan di belakangnya dengan 3,015 unit bagi April iaitu menurun 30.7%. Mazda pula menduduki tangga ke-tujuh dengan hanya 1,305 unit terjual (-7.8%).

    Volkswagen pula telah ‘merampas’ tempat Mazda pada April 2016, dengan menduduki tangga ke-enam. Malah jenama ini juga telah mencatatkan jualan drastik pada bulan lalu iaitu dari 649 pada Mac meningkat 1,407 unit pada April, iaitu peningkatan sebanyak 116.8%. Selain itu, beberapa jenama turut mencatatkan peningkatan jualan termasuk BMW (666 unit, naik 3.9%), Peugeot (178 unit, 17.9%), Lexus (138 unit, 14.0%), Audi (113 unit, 11.9%) dan MINI (76 unit, 7%).

    Setakat ini, Perodua masih mengunggul keseluruhan jualan pasaran dengan penguasaan sebanyak 35.8% (62,078 unit), diikuti dengan Honda (24,741) dan Proton (23,702). Ia diikuti oleh Toyota (14,305) dan Nissan (13,788).

    Klik jadual di bawah untuk melihat data dengan lebih jelas.

    April-2016-Malaysian-car-sales_01

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024