Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • CEO Takata akan meletakkan jawatan berikutan skandal beg udara setelah ‘rejim baharu’ ditemui

    Takata Honda NSX

    Selepas skandal global inflator beg udara telah menjejaskan banyak pengeluar kenderaan serta menyebabkan kematian, dan kematian terbaharu yang dilaporkan di Malaysia minggu lalu, CEO Takata Corp Shigehisa Takada masih lagi belum melepaskan jawatannya. Beliau hanya akan meletakkan jawatan tersebut setelah “rejim pentadbiran baharu” ditemui, lapor Reuters.

    Takada disifatkan dalam laporan sebagai pendiam, gemar membaca dan kontras kepada sifatnya yang suka berkawan, mengambil alih jawatan dari ayahnya yang sebelum ini yang mengetuai syarikat serta merupakan ahli keluarga pertama yang mengambil tanggungjawab terhadap orang awam. Beliau meminta maaf atas skandal tersebut tahun lalu, tetapi turut mempertahankan produk syarikatnya.

    “Saya berpegang kepada perkara ini. Peranan saya adalah untuk memastikan syarikat tidak beralih kearah yang tidak betul sehingga baton bertukar tangan,” jelas Takada semasa mesyuarat tahunan pemegang saham, di mana beliau dipersalahkan kerana gagal untuk menangani krisis berkenaan dengan berkesan. Dikatakan Takada yang pemalu dan janggal, meminta maaf atas tindakan yang tidak berkesan berkenaan. Suara beliau juga agak sukar untuk didengar ketika menjawab soalan. Takada yang merupakan generasi ketiga dalam keluarga yang telah mengetuai syarikat berkenaan dan memulakan tugasnya sejak tahun 2011.

    Takada berkata perincian pertukaran pentadbiran baharu akan ditentukan oleh jawatankuasa pihak ketiga yang ditugaskan untuk melihat semula rombakan penstrukturan semula syarikat berkenaan. Jawatankuasa tersebut telah membawa penglibatan bank pelaburan Lazard, dikatakan akan mewujudkan pembaharuan pada tadbir urus dan menyelesaikan isu kos yang diperlukan untuk panggilan semula.

    Honda airbag

    Takata yang merupakan pembekal terbesar di dunia untuk peralatan keselamtan kenderaan, sedang mencari bantuan kewangan bagi membantu merombak semula perniagaannya serta menggalas beban kos yang ditanggung. Lebih dari 30 pelabur berpotensi menzahirkan minat mereka, dan penyelesaiannya dijangka akan dapat dicapai November ini, menurut laporan.

    Syarikat berkenaan mencatatkan kerugian tahunan ketiga dalam empat tahun kewangan kebelakangan ini, dengan bahagian yang turun sehingga 90% sejak awal 2014. Takata bermula sebagai pembuat tekstil pada tahun 1933, sedang bergelut untuk menggantikan kesemua unit inflator yang terjejas dan telah dipasang pada sekitar 100 juta kenderaan.

    Kos untuk memanggil semula yang ditanggung oleh Takata adalah lebih rendah kerana pengeluar kenderaan telah menanggung kebanyakkan kos setakat ini. Jika hanya Takata yang menanggung kesemua kos berkenaan secara bersendirian, ia akan menelan kos lebih dari US$10 bilion, berdasarkan kiraan kasar US$100 untuk menukar setiap unit inflator tersebut. Syarikat berkenaan juga bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang kerajaan Amerika Syarikat.

    Adakah kereta anda turut dilengkapi dengan beg udara keluaran Takata? Klik pautan ini untuk menyemak. Ambil tindakan secepat mungkin sekiranya kenderaan anda didapati terlibat dengan panggilan semula.

     
     
  • Nissan Note Black Edition muncul dengan kit ekstra

    nissan-note-black-edition-e1467016865443

    Nissan telah memberikan imej yang sedikit berbeza bagi model Note untuk pasaran Eropah, dinamakan sebagai Note Black Edition. Ia tampil dengan beberapa kemasan luaran berwarna hitam yang merupakan sebahagian dari Pek Penggayaan Dinamik termasuk tambahan spoiler bumbung berwarna hitam. Malah ia juga dipadankan dengan roda hitam bersaiz 16-inci.

    Black Edition merupakan model yang berasaskan spesifikasi pertengahan, dengan Acenta, yang boleh dispesifikkan dengan pilihan warna dan elemen tambahan. Kos tambahan juga dikenakan seandainya pelanggan ingin mendapatkan sistem infotainmen skrin sentuh NissanConnect, kawalan akses i-Key serta Auto Pack yang terdiri dari lampu utama automatik, lampu kabus, pengesan hujan dan penghawa dingin automatik.

    nissan-note-black-edition-1-e1467024539430

    Bagi pasaran Eropah, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter turbodiesel (90 hp) dan petrol 1.2 liter dengan kuasa sama ada 80 hp atau 98 hp. Malah enjin petrol yang lebih berkuasa akan dipadankan dengan transmisi CVT dengan kos tambahan, selain pilihan kotak gear manual yang standard bagi Nissan Note.

    Nissan Note Black Edition telah pun dibuka tempahan dengan unit yang terhad tetapi tidak dinyatakan jumlahnya. Di Malaysia, Nissan Note telah dikesan diuji dengan menggunakan ‘trade plate’ dan ETCM juga pernah mempertontonkannya di KLIMS13, namun sehingga kini tiada perkembangan bilakah ia bakal diperkenalkan di negara kita.

     
     
  • Tren alternatif ke Putra Heights bermula 30 Jun ini

    prasarana-lrt-kj27-glenmarie

    Dengan pembukaan laluan sambungan LRT Kelana Jaya esok (30 Jun), penumpang boleh menggunakan laluan berkenaan untuk ke Putra Heights dari Gombak.

    Sebelum pelancaran tren KLAV yang ditangguhkan sehingga Januari 2017, tren laluan Kelana Jaya akan melalui stesen Ara Damansara semasa waktu puncak pagi dan petang antara 7 pagi hingga 9 pagi, dan 5 petang hingga 7 petang, bagi menangani penumpang yang berulang-alik ke pusat bandar semasa waktu puncak.

    “Penumpang dari pusat bandar Kuala Lumpur yang menghala ke Putra Heights perlu turun di stesen Ara Damansara untuk meneruskan perjalanan mereka, bergantung kepada haluan perjalanan mereka.

    “Kami mengharapkan pelanggan faham dan terus memberikan sokongan terhadap kesulitan ini sementara perkhidmatan KLAV baharu mula beroperasi.

    “Kami akan meletakkan papan tanda serta membuat pengumuman di platform kami dan di dalam tren untuk membantu pelanggan kami meneruskan perjalanan,” kata CEO Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohamed Amin.

    Ahmad Nizam menambah tren sementara yang melalui Ara Damansara dan Gombak akan mengekalkan laluannya atau menunggu sekitar tiga minit, dan kerana perjalanan alternatif ini, perjalanan antara Ara Damansara dan Putra Heights akan menjadi dua kali.

    Pembukaan laluan LRT tambahan ini akan dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak petang esok. Walau bagaimanapun operasinya akan bermula pada 6 pagi.

     
     
  • Pesalah yang menggunakan lorong kecemasan akan diambil tindakan sejurus bukti diterima – JPJ

    traffic-jam-bernama-2

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk V. Valluvan Veloo berkata jabatannya akan mengambil tindakan segera sejurus menerima bukti bergambar atau video mereka yang menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuhraya, lapor The Star.

    Menurut beliau lagi, JPJ tidak akan menangguhkan tindakan berkenaan kerana pegawai khas telah ditugaskan untuk menangani aduan sedemikian secara atas talian.

    Beliau menjelaskan semua kenderaan bukan kecemasan adalah dilarang untuk menggunakan lorong kecemasan, termasuk motosikal. “Tetapi kami mahu bukti untuk kereta dan lori kerana mereka lebih berbahaya,” kata beliau.

    weststar ambulance

    Setakat ini, JPJ telah menerima maklum balas yang menggalakan dari orang ramai selepas diumumkan bukti bergambar dan video diterima untuk mendakwa penyalah guna lorong kecemasan.

    “Kami telah menjumpai inisiatif yang sangat efektif memandangkan pegawai penguatkuasa kami tidak boleh berada di mana-mana dan di setiap tempat,” kata beliau, dan menambah sebanyak 1,300 gambar kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan telah dihantar sejak 22 Mei lalu.

    Aduan akan disalurkan ke ibu pejabat JPJ di mana pegawai akan memberikan maklum balas pada setiap aduan berkenaan. “Kami akan memantau secara berterusan dan apabila kami telah mendapat cukup bukti, kami akan mendakwa pesalah ke mahkamah,” kata beliau.

    MEX-Highway-01

    Walau bagaimanapun, beliau menyatakan hanya penumpang dibenarkan untuk mengambil gambar, dan pemandu tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Jadi, jika anda mahu mengambil gambar penyalah guna lorong kecemasan di lebuhraya, kamera dashcam merupakan alat yang terbaik.

    Pihak polis turut memburu mereka yang menyalahgunakan lorong kecemasan, terutamanya ketika waktu puncak balik kampung. Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata lorong berkenaan adalah untuk kegunaan hal kecemasan sahaja.

    “Pengguna jalan raya yang memandu di lorong kecemasan tidak faham yang mereka sebenarnya sedang menghalang petugas dari sampai ke lokasi (kecemasan) secepat mungkin. Kami akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati menggunakan lorong kecemasan dengan saman maksimum RM300,” tambah beliau.

     
     
  • PANDU UJI: Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline

    DSC_0024 copy

    Setelah menembusi pasaran Malaysia dengan versi CBU pada tahun 2012, dan kemudian dijual dengan versi CKD pada tahun 2013, kini Volkswagen Polo Sedan hadir pula dengan versi facelift. Ia bukan sekadar facelift, nama Polo Sedan juga kini telah ditukar kepada Volkswagen Vento, dan varian tertinggi dalam barisan modelnya iaitu Highline turut menerima perubahan dari segi mekanikal yang agak drastik dengan pemadanan enjin 1.2 TSI serta sistem transmisi DSG tujuh-kelajuan.

    Seminggu selepas pelancarannya, VW Malaysia telah mengadakan sesi uji pandu Volkswagen Vento 1.2 TSI Highline dari Puchong, Selangor ke Pulau Pinang untuk jurnalis-jurnalis automotif di Malaysia.

    Varian tertinggi Highline ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM94,635. Ia turut dilindungi dengan waranti pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan. Untuk pelanggan yang membeli Vento sebelum 31 Julai ini, Volkswagen menawarkan bayaran bulanan percuma hingga akhir tahun 2016.

    Sentuhan semula dilakukan pada bahagian luaran untuk merubah Polo Sedan kepada Vento. Ia dilengkapkan dengan lampu hadapan halogen seiras dengan Polo Hatchback 1.2 TSI. Gril hadapan krom yang lebih besar dan juga bampar yang kini hadir dengan lampu kabus melintang (berbanding berbentuk bulat pada Polo Sedan) serta kemasan krom merentangi gril bahagian bawah (tiada pada varian terendah Trendline). Walaupun diletakkan pada varian tertinggi, Vento tidak dilengkapi lampu hadapan LED dan tiada lampu nyalaan siang berbanding varian tertinggi pencabar-pencabarnya dari Jepun.

    DSC_0029 copy

    Pada bahagian sisi pula, tidak banyak perubahan dapat disaksikan berbanding Polo Sedan. Vento Highline kini dilengkapi dengan roda aloi pelbagai-jejari ‘Syenit’ berdiameter 16-inci baharu. Secara keseluruhan, Vento kelihatan seperti ‘baby-Passat’ jika dilihat pada bahagian hadapan-sisi.

    Di bahagian belakang, Vento menerima lampu belakang baharu yang nampak seperti menggunakan teknologi LED, tetapi sebenarnya ia hanya menggunakan mentol biasa. Bampar belakang turut mendapat rekaan semula dengan dilengkapi reflektor pada setiap sisi dan tip ekzos dengan kemasan krom kini diserlahkan berbanding tip ekzos Polo Sedan yang disembunyikan di belakang bampar.

    Bahagian dalaman Vento kelihatan agak seiras dengan Polo Sedan, menampilkan rekaan ‘biasa-biasa’. Tiada papan pemuka dengan rekaan seperti papan pemuka kapal angkasa, tiada sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, dan tiada skrin sesentuh pada sistem hiburan. Di mana unit pemain utama audio Vento hanya dilengkapi dengan Radio ‘320G’ dengan sambungan USB, iPod, SD card, AUX dan Bluetooth.

    Bukan itu sahaja, malah Vento turut tidak dilengkapi dengan tempat penyimpan cermin mata. Mujur varian Highline dilengkapi pakej kemasan krom pada bahagian suis-suis kawalan utama, untuk membezakannya dengan varian yang lebih rendah.

    Walaupun dibekalkan dengan sistem penghawa dingin automatik, suis kawalan sistem tersebut masih lagi bersifat tradisional menampilkan butang kawalan analog dengan skrin paparan menggunakan teknologi yang sama seperti skrin paparan kalkulator, tiada unit kawalan digital elektronik. Namun, sistem penghawa dingin tersebut berfungsi dengan baik, disertakan corong penghawa dingin bahagian belakang dan saluran khas ke glove box bagi menyejukkan minuman ringan atau coklat yang disimpan pada ruang tersebut.

    2016-Volkswagen-Vento-1.2-TSI-Highline-int-1_BM

    Begitu juga pada paparan pelbagai info yang terletak antara takometer dan meter kelajuan, Vento Highline hanya dilengkapi dengan paparan TFT asas tanpa warna, memberikan informasi seperti purata penggunaan bahan api, meter trip, meter kelajuan digital dan pelbagai lagi.

    Tempat duduk varian Highline dibalut dengan fabrik ‘Cable’. Walaupun bahagian kabin sedan segmen-B ini tiada itu dan ini berbanding pesaing sekelasnya, ia tetap mempunyai ciri yang saya suka. Tiga alat yang menghubungkan antara pemandu dan kereta iaitu tuil penukar gear, tuil brek parkir dan roda stereng diberikan sentuhan yang sangat premium.

    Tuil penukar gear dan tuil brek parkir diberikan balutan kulit yang setaraf dengan kereta-kereta ‘continental’ sebenar. Roda stereng dengan suis pelbagai-fungsi tiga jejari Vento Highline bukan sahaja dibalut dengan kulit berkualiti tinggi, malah diberikan rekaan rata pada bahagian bawah, memberikan ‘feel’ seperti memandu sebuah model berprestasi tinggi sebenar dari Eropah.

    Jadi, apa yang anda dapat dengan harga Vento Highline yang lebih mahal berbanding sedan segmen-B popular dari Jepun seperti Honda City, Toyota Vios dan Mazda 2, serta kekurangan dari segi pelbagai ciri?

    Vento Highline dilengkapi dengan enjin 1.2 liter TSI berkuasa 105 PS pada tahap 5,000 rpm dan tork maksima 175 Nm dicapai bermula 1,550 hingga 4,100 rpm. Walaupun ia merupakan enjin paling kecil dalam kelasnya, namun ia merupakan satu-satunya enjin yang disuap dengan pengecas turbo dalam kategori sedan segmen-B serta mempunyai tork yang jauh lebih tinggi berbanding saingannya.

    Begitu juga untuk sistem transmisi, Volkswagen tidak mensia-siakan jumlah tork yang dibina oleh enjin TSI tersebut dengan memadankan kotak gear ketinggalan zaman torque converter empat-kelajuan atau kotak gear CVT yang membuatkan enjin mengaum seperti alat pengering rambut ketika memecut, sebaliknya Vento dipadankan dengan kotak gear termaju klac-berkembar tujuh-kelajuan DSG yang sangat responsif.

    Tentu ramai yang mempersoalkan tahap reliability kotak gear DSG ini bukan? Saya sempat bertanya dengan wakil VW berhubung masalah tersebut. Mereka mengakui memang ada masalah yang timbul sebelum ini. Tetapi menurut mereka, masalah tersebut hanya dihadapi oleh model-model keluaran tahun 2015 dan sebelumnya iaitu model-model CBU.

    Untuk model-model terkini yang telah dipasang secara CKD di Pekan, beberapa komponen dalaman (VW tidak memberitahu dengan spesifik berkenaan komponen tersebut kerana ia sulit dan rahsia) telah ditukar untuk disesuaikan dengan cuaca dan keadaan di Malaysia.

    Oleh kerana pengisian petrol untuk sesi uji pandu dibuat oleh pihak penganjur, kiraan tepat untuk penggunaan bahan api adalah sukar untuk dilakukan. Namun sebagai kiraan mudah, kereta ini hanya menggunakan setengah dari tangki petrol berkapasiti 55 liter untuk perjalanan dari bandar Pulau Pinang, menuju ke Stadium Batu Kawan, kemudian terus ke Puchong dengan gaya pemanduan yang agak agresif iaitu pada kelajuan purata sekitar 150-160 km/j.

    2016-Volkswagen-Vento-1.2-TSI-Highline-drive-20_BM

    Paparan informasi juga menunjukkan bacaan purata penggunaan petrol sepanjang perjalanan tersebut adalah sekitar 9.8-10.2 liter petrol untuk setiap 100 kilometer. Dakwa VW dalam brosur Vento, varian Highline menggunakan 5.5 liter petrol untuk setiap 100 km dalam pemanduan kitaran gabungan.

    Pengendalian juga merupakan salah satu ciri yang ‘manis’ terdapat pada Vento Highline. Sebuah sedan segmen-B merupakan sebuah sedan dengan berat keseluruhan yang agak ringan kerana saiznya. Lazimnya, pengendalian untuk sedan segmen ini bermasalah ketika kelajuan tinggi, ia terasa seperti terapung-apung dan berbuai. Ini berbeza dengan Vento, kerangka badan kereta ini dapat dirasakan sangat teguh.

    Dibantu dengan talaan dari sistem suspensi topang McPherson pada bahagian hadapan dan sistem torsion beam pada bahagian belakang, pengendalian Vento bukan sahaja lincah dan tajam ketika meredah selekoh, ia juga terasa sangat stabil ketika dipandu pada kelajuan tinggi. Tidak keterlaluan untuk menyifatkan karekteristik pengendalian Vento adalah hampir kepada pengendalian sedan segmen-C yang lebih besar.

    2016-Volkswagen-Vento-1.2-TSI-Highline-ext-24_BM

    Keseriusan Volkswagen dalam memberikan pengendalian terbaik untuk Vento bukan sahaja dapat dirasai menerusi cesi yang teguh dan talaan suspensi, ia turut disumbang pada penggunaan tayar dan roda pada kereta ini. Berbanding sedan segmen-B varian tertinggi lain menggunakan roda aloi berdiameter 16-inci tetapi dengan lebar hanya 5.5-inci serta lebar tayar hanya 185 mm (contohnya Honda City V dan Mazda 2), yang kelihatan ‘kurus’ jika dilihat dari belakang atau hadapan, Vento dilengkapi roda aloi sport sebenar 16×7 jj dibaluti tayar 215/45R16 yang memberikan prestasi cengkaman dan kawalan terbaik. Satu perkataan untuk membayangkan gabungan kuasa dan pengendalian Vento – Solid!

    Untuk sistem keselamatan, Vento Highline dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti kunci (ABS), Bantuan Brek (BA), Crash Response System (ICRS), Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC) yang membolehkannya mendapat penarafan lima-bintang dalam penilaian ASEAN NCAP (varian Trendline dan Comfortline yang lebih rendah hanya menerima penarafan empat-bintang kerana tidak dilengkapi ESC). Ia juga didatangkan standard dengan cagak Isofix.

    Berbalik pada persoalan harga tadi, Vento bukanlah untuk mereka yang mudah gembira dengan gimik dari ciri seperti lampu LED atau skrin sesentuh untuk sistem audio. Jika dinilai dari semua segi termasuk ciri-ciri ‘gimik’ tadi, harga, nilai jualan balik dan lain-lain, Vento juga akan ketinggalan berbanding Honda City dan mungkin juga dengan sedan segmen-B yang lain.

    Tetapi jika anda seperti saya yang meletakkan kuasa enjin, respon dari sistem transmisi dan pengendalian sebagai asas untuk memilih sebuah kereta, Vento adalah kereta untuk anda. Untuk sesi uji pandu media pada kali ini saya agak bertuah kerana berbanding penulis lain yang digandingkan juga bersama penulis (bermaksud, mereka perlu bertukar-tukar pemandu sepanjang perjalanan untuk menguji kereta ini), saya digandingkan dengan wakil dari VW sendiri, membolehkan saya duduk di tempat duduk pemandu sepanjang perjalanan pergi dan balik, ini antara faktor hati saya agak tertarik pada Vento Highline kerana ia adalah sebuah kereta yang dibina untuk dipandu – semakin lama anda memandu kereta ini, semakin anda akan jatuh hati dengannya.

     
     
  • Kastam berjaya sita lebih 100 kenderaan klon bagi enam bulan pertama 2016, kerugian cukai RM8 juta

    Cloned-cars-1

    Bagi enam bulan pertama tahun 2016, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya menyita lebih 100 kenderaan klon di seluruh negara.

    Menurut Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad, rampasan bermula Januari hingga Jun itu melibatkan kerugian dalam bentuk cukai, kira-kira RM8 juta, laporan Bernama.

    Di mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 kenderaan direkodkan di Terengganu dengan melibatkan cukai kira-kira RM1.7 juta dalam tempoh yang sama dan daerah Kemaman mencatatkan rampasan tertinggi.

    “Kebanyakan kereta klon yang dikesan ini dibawa masuk dari Singapura dengan harga yang rendah ditawarkan menyebabkan orang ramai terpengaruh dengan sindiket ini.

    “Contohnya harga pasaran sebuah Toyota Wish bernilai RM60,000 namun sindiket ini mampu menawarkan RM15,000 untuk memiliki kereta mewah ini,” katanya kepada pemberita.

    Khazali berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor harga yang murah menjadikan ia mendapat permintaan tinggi malah ada di kalangan kakitangan kerajaan turut terpedaya hanya semata-mata mahu memiliki kereta mewah.

    Pihaknya juga sedang menjalankan risikan dan kajian mengenai faktor penyebab kenderaan klon lebih banyak dibawa masuk ke Terengganu dan Kelantan. “Mungkin juga mereka beranggapan kedua-dua negeri berkenaan jauh dari ibu pejabat, jadi kawalannya tidak seketat seperti negeri lain,” ujarnya.

    Susulan itu, pihaknya akan terus mempertingkat kawalan dan risikan bagi membanteras kegiatan itu terus berleluasa.

    Beliau berkata sejak 2014 hingga 2016, kastam Terengganu berjaya merampas 94 kenderaan klon dari Singapura yang melibatkan kerugian cukai sebanyak RM5.7 juta.

     
     
  • Lencongan di Jalan Tun Razak mulai 29 Jun-30 Nov

    Jalan-Tun-Razak

    Mulai hari ini iaitu 29 Jun sehingga 30 November 2016, sebahagian daripada Jalan Tun Razak iaitu dari arah utara akan dilencongkan. Ia adalah untuk memberi laluan kepada kerja pembinaan sistem perparitan utama serta kerja-kerja susulan di tapak pembangunan Tun Razak Exchange (TRX), laporan Bernama.

    Justeru, TRX menyeru agar pengguna jalan raya terbabit agar mematuhi semua papan tanda sebagai langkah keselamatan dan bagi mengelak kekeliruan.

     
     
  • Kereta GrabCar diserang pemandu teksi di Mid Valley

    StarWarsGrabCar-e1450774455652

    Sebuah kereta milik seorang pemandu GrabCar dilaporkan mengalami kerosakan teruk akibat diserang beberapa pemandu teksi ketika sedang mengambil penumpang di pusat beli-belah Mid Valley awal pagi semalam.

    Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Sharul Othman Mansor, yang menurutnya, dalam kejadian pukul 2 pagi itu, pemandu GrabCar berusia 35 tahun itu didatangi seorang pemandu teksi yang memarahinya kerana mengambil penumpang di kawasan pemandu teksi itu beroperasi, laporan Bernama.

    “Mangsa yang ketika itu mengambil dua penumpang mendakwa ditahan oleh seorang pemandu teksi yang mengarahkan kedua-dua penumpangnya keluar dari kenderaan itu dan didatangi dua lagi pemandu teksi yang cuba merampas telefon bimbit miliknya,” katanya, dalam satu kenyataan.

    Menurutnya, selain dimarahi kerana mengambil penumpang di kawasan terbabit, pemandu teksi berkenaan turut bertindak agresif dengan mengasari pemandu GrabCar terbabit.

    Bimbang akan keselamatan diri, kedua-dua penumpang yang menaiki kereta mangsa bertindak keluar dari kereta mangsa dan beredar dari lokasi berkenaan.

    Mangsa turut mendakwa beberapa lagi pemandu teksi lain telah bertindak menendang keretanya sehingga menyebabkan kerosakan pada pintu belakang bahagian kanan dan kiri, patah cermin sisi kanan, pecah lampu isyarat kanan, dan remuk pada bampar.

    Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh mangsa dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

    Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sedang mengesan mereka yang terlibat bagi membantu siasatan.

    Katanya polis telah merakam gambar rajah kasar seorang suspek yang berbadan gempal dan tinggi serta akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah berkenaan untuk siasatan.

     
     
  • Volkswagen sasar untuk buka kilang bateri EV di China

    VW_E-Golf

    Volkswagen (VW) mungkin mensasarkan China sebagai lokasi pertama bagi membuka kilang memproduksi bateri kenderaan elektrik (EV). Menurut Automotive News Europe, pembukaan kilang terbabit dilihat mampu mendorong pengeluar kenderaan terbesar di Eropah ini dalam memperkenalkan lebih kurang 30 model EV menjelang dekad akan datang.

    Selain itu, VW turut menjangkakan mampu menjual tiga juta bateri bagi EV dalam setahun. Jadi, bagi merealisasikan harapan itu, ia memerlukan enam kali ganda bekalan berbanding kapasiti sel bateri automotif pada masa kini di seluruh dunia.

    China dilihat sebagai lokasi terbaik bagi tujuan tersebut kerana kerajaan negara berkenaan kini sedang memperhebatkan usaha untuk menambah produksi kenderaan mesra-alam bagi menangani isu pencemaran udara. Malahan, jika kilang bateri besar ini dibina di China, sebahagian besar daripada dananya boleh disumbangkan oleh Shanghai Automotive atau mana-mana entiti dari negara terbabit.

    Ada laporan baru-baru ini mengatakan, VW mungin akan membina ‘Gigafactory’ umpama kilang Tesla Motors di Nevada. Pembinaan kilang tersebut adalah sebagai salah satu langkah untuk memperluaskan lagi produksi bagi kenderaan plug-in kerana skala ekonomi juga akan mengurangkan kos setiap unit bagi bateri kenderaan plug-in dan dapat mengelakkan syarikat daripada membeli bateri dari sumber luar termasuk dari Panasonic, Samsung, dan LG Chem.

     
     
  • UMW Toyota umum pemenang peraduan ‘Beli & Menang’ – bawa pulang Altis, Vios baharu

    One for the Album, Lucky winners with their family -  Puan Noraini Shafii (third from Left), Ms. Sum Choo Sin (third from right),

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah mengumumkan pemenang bagi peraduan ‘Beli & Menang’ yang dianjurkan baru-baru ini. Peraduan ini dibuka khas untuk para pelanggannya yang membeli dan mendaftar (bagi kegunaan persendirian) mana-mana model Toyota antara 1 Februari hingga 31 Mei 2016.

    Noraini Shafii, telah memenangi Toyota Corolla Altis 1.8G (dengan pelekat sport) baharu, setelah membeli model Hilux. Manakala Sum Choo Sin pula membawa pulang Toyota Vios TRD Sportivo (dengan pelekat sport) baharu.

    Selain itu, syarikat tersebut turut mengumumkan 200 pemenang bertuah bagi peraduan ‘Pandu Uji & Menang’ yang berlangsung dari 13 Februari hingga 31 Mei lalu. Peraduan ini menerima lebih daripada 10,000 penyertaan. Setiap pemenang berjaya memperoleh baucer membeli-belah bernilai RM500.

    Menurut Presiden UMW Toyota Motor Datuk Ismet Suki, “Kami berasa gembira dengan respons yang diterima daripada para pelanggan di seluruh Malaysia. Malah saya yakin, selepas para pelanggan menguji mana-mana model Toyota, mereka akan berpuas hati dengan prestasi kenderaan kami. Dan bagi yang belum membuat tempahan, pihak kami turut menawarkan nilai terbaik untuk wang dan membuktikan reputasi terbaik bagi kebolehpercayaan dan ketahanannya.”

     
     
  • KESAS tawar 10% diskaun tol sempena Aidilfitri

    KESAS highway

    Konsortium Expressway Shah Alam Selangor (KESAS), pengendali bagi Lebuhraya Shah Alam (E5 atau lebih dikenali sebagai Lebuhraya KESAS) telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 10% kepada semua pengguna di lebuhraya berkenaan pada 6 Julai ini sempena Hari Raya Aidilfitri.

    Diskaun tersebut akan bermula jam 12:01 pagi dan berakhir pada 11:59 malam pada 6 Julai. Dengan diskaun ini, bagi kenderaan Kelas 1 (kenderaan dengan dua dan tiga gandar atau empat roda kecuali teksi) akan membayar RM1.80 berbanding RM2.00 pada hari biasa.

    “Pemberian diskaun ini adalah sebagai tanda penghargaan kami buat semua pengguna KESAS. Malah pengguna lebuhraya ini juga digalakkan menggunakan kaedah pembayaran secara elektronik yang mampu membantu melancarkan lagi keadaan trafik,” ujar CEO KESAS Imran Gulcharan Abdullah, seperti yang dilaporkan oleh The Star.

    KESAS telah mula mengimplementasikan sistem bayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya pada 2 Mac 2016, bersama lima lagi lebuhraya iaitu Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LEKAS).

     
     
  • Toyota patenkan rekaan kereta terbangnya

    toyota-flying-car-patent-e1467095733282_BM

    Toyota telah mempatenkan rekaan kereta terbangnya pada Disember 2014 lalu, tetapi hanya didedahkan oleh Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat bulan ini. Rekaan berkenaan menyaksikan idea kereta terbang dari Toyota ini menampilkan sayap yang boleh dilipat dan disimpan di dalam badannya pada kedua-dua belah sisi.

    Untuk itu, kedua-dua belah sayap direka agar ia bersifat fleksible dan ditempatkan pada bahagian belakang badan, ditutup dengan panel yang boleh bergerak. Kedua-dua belah panel berkenaan dapat ditutup dan dibuka seperti pintu jenis gullwing, dengan engselnya terletak di bahagian atas badan. Sayap dapat dibuka atau disimpan semula setelah panel berkenaan dibuka. Lukisan paten berkenaan juga menunjukkan komponen pada fiuslaj boleh diubah menerusi topang teleskopik yang dipadankan, berkemungkinan untuk mendapatkan karekteristik aliran angin ketika sedang terbang.

    Tidak dinyatakan tentang jenis enjin yang bakal digunakan pada kereta ini, tetapi lukisan tersebut menunjukkan sebuah kipas dipasang pada bahagian belakang untuk memacunya. Tidak juga kelihatan kipas kedua atau sirip untuk mengawal arah ketika penerbangan dan boleh diandaikan tugas berkenaan mungkin diambil oleh sayap sisi.

    Dari paten Toyota yang difailkan pada 2014 sehingga kini, pelbagai lagi usaha pembangunan kereta terbang dibuat oleh pengeluar lain. Aeromobil iaitu syarikat dari Slovakia telah membina tiga generasi kereta terbang, manakala pengasas bersama Google Larry Page dilaporkan telah melabur dalam dua syarikat berbeza, untuk membina kereta terbang berbeza.

    Kereta konsep Aeromobil dibina dengan rekaan sayap pelbagai sudut untuk berlepas dalam “hanya beberapa ratus meter” dan turut boleh disimpan. Suspensi yang tegar juga dilengkapkan bagi membolehkan ia beroperasi pada landasan yang kurang daripada biasa.

    Manakala Page pula melabur pada kereta yang dinamakan Zee.Aero (menggunakan sayap tetap, fiuslaj sempit serta kipas pada bahagian belakang) dan Kitty Hawk (yang direka seakan sebuah quadcopter). Kedua-dua kereta terbang berkenaan dibina oleh dua buah syarikat berbeza dan tidak pernah berinteraksi antara satu sama lain.

     
     
  • Op Selamat 9 sempena Aidilfitri bermula 29 Jun ini

    PDRM-4

    Berbaki seminggu lagi umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Seperti kebiasaan, dalam perayaan utama di negara ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengadakan Op Selamat bagi memantau dan menjaga keselamatan serta keadaan trafik di seluruh lebuhraya dan jalan-jalan utama.

    Bagi Op Selamat 9 sempena Aidilfitri ini, ia akan bermula esok iaitu 29 Jun 2016. Di mana polis akan menempatkan pusat kawalan ‘subtek’ terutama di 40 lokasi utama berlaku kemalangan maut di seluruh negara, menurut sumber Harian Metro.

    Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, menerusi Op Selamat 9 ini, terdapat dua pendekatan bakal diimplementasikan selama 15 hari itu iaitu tindakan penguatkuasaan menyeluruh dan perkhidmatan kepada masyarakat.

    “Salah satu langkah penguatkuasaan itu dengan mewujudkan subtek iaitu unit kecil polis yang lebih memberi tumpuan di kawasan ‘black spot’ untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dan melancarkan aliran trafik,” katanya kepada pihak media selepas melancarkan Op Selamat 9 bersempena Aidilfitri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selangor di Puncak Alam pagi ini.

    Sambungnya lagi, lokasi subtek telah dipecahkan kepada empat zon iaitu Utara, Tengah, Selatan dan Timur. Di mana ia merangkumi pusat kawalan untuk menyediakan laporan, statistik, carta selain menjadi koordinasi dengan Bilik Gerakan Trafik di Bukit Aman.

    “Dalam masa yang sama, kami juga akan menjalankan Op Perangkap Had Laju dan Op Roda di lokasi kerap berlaku kemalangan jalan raya terutama membabitkan kematian,” ujarnya lagi.

     
     
  • Mitsubishi siar imej ‘teaser’ Ground Tourer Concept sebelum didedahkan di Paris Motor Show 2016

    2016-Mitsubishi-Ground-Tourer-concept-e1467077729983_BM

    Walaupun Paris Motor Show 2016 hanya akan berlangsung beberapa bulan lagi dari sekarang, Mitsubishi telah pun menyiarkan imej teaser SUV konsep baharu yang bakal didedahkan pada acara berkenaan. Digelar sebagai Ground Tourer Concpet, model berkenaan merupakan model seterusnya konsep XR PHEV II dan konsep eX yang ditayangkan pada Geneva Motor Show tahun lalu.

    Seperti juga model konsep sebelum ini, Ground Tourer Concept akan menampilkan pembangunan terbaharu falsafah rekaan ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi. Imej teaser yang disiarkan ini hanya memaparkan bayangan bentuk badan SUV konsep berkenaan, serta garisan bumbung yang rendah.

    Cat dua ton turut dapat dilihat di mana bumbung SUV ini diberikan warna merah sementara badannya diberikan warna kelabu. Ciri lain yang turut dapat dilihat adalah kamera sisi yang menggantikan cermin sisi konvensional, lampu tirus pada bahagian hadapan dan belakang serta liang kemasukan udara yang besar pada bahagian belakang.

    Mitsubishi tidak memberi sebarang petunjuk berhubung apa yang akan di prebiu pada model konsep ini. Walau bagaimanapun, jenama dari Jepun berkenaan mengatakan Ground Tourer merupakan kenderaan elektrik Plug-in Hybrid (PHEV), dan bakal “menawarkan perjalanan mudah pada apa jua bentuk jalan dan keadaan pemanduan.”

     
     
  • Kejara dan AWAS akan bermula tahun ini


    Klik untuk besarkan perincian mata demerit Kejara

    Kerajaan dijangka akan memulakan implementasi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) tahun ini, lapor The Sun Daily.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kedua-dua sistem berkenaan akan berkuatkuasa sejurus selepas menerima kelulusan Kabinet. “Kami akan mengimplementasi sistem AWAS dan Kejara bersama,” kata beliau, tetapi tarikh jangkaan bila ia akan dilaksanakan masih belum diketahui.

    Beliau menambah, sistem-sistem ini adalah berkaitan dengan pindaan yang dilakukan pada Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang dibuat pada Mei lalu. Walau bagaimanapun penguatkuasaannya telah ditunda kerana masalah teknikal, dan implementasi sistem berkenaan turut terpaksa ditangguhkan.

    Dalam perkara berasingan, ‘Ops Bersepadu’, yang dilancarkan oleh Liow akan berkuatkuasa bermula 29 Jun hingga 13 Julai. Semasa operasi yang dijalankan diseluruh negara itu berjalan, pemandu bas akan dikenakan ujian air kencing, dan pegawai penguatkuasa turut akan menjalankan pemeriksaan pada bas-bas terbabit.

    Had laju pada jalan persekutuan juga turut akan dikurangkan dari 90 km/j ke 80 km/j manakala had laju untuk jalan negeri pula diturunkan dari 80 km/j ke 70 km/j. Pengguna jalan raya juga turut dinasihatkan agar tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan mematuhi semua undang-undang jalan raya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025