Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Sime Motors AutoArena bermula hari ini – acara auto pertama dalam Stadium Bukit Jalil, sehingga 12 Jan

    Sime Motors AutoArena bermula hari ini – acara auto pertama dalam Stadium Bukit Jalil, sehingga 12 Jan

    Hari ini bermulanya acara Sime Motors AutoArena, yang berlangsung sehingga Ahad, 12 Januari ini. Pameran pelbagai jenama ini menjadi acara automotif pertama yang dianjurkan di dalam Stadium Bukit Jalil dan dibuka kepada orang ramai dari 9am ke 7pm.

    Semua jenama di bawah Sime Motors terlibat dalam acara ini, termasuk BMW, MINI, BMW Motorrad, BYD, Ford, Hyundai, Jaguar, Land Rover dan Volvo. Selain kenderaan baru, anda juga boleh menyaksikan kenderaan terpakai Auto Selection yang dipamerkan di kawasan lapang tengah stadium.

    Antara tawaran menarik yang disediakan semasa acara ini adalah rebat untuk kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad, melalui Auto Bavaria, serta kadar faedah rendah untuk kenderaan BMW. Selain itu, jika membeli kenderaan BMW juga, anda akan menerima cabutan bertuah yang memberikan peluang memenangi tiket ke konsert I Am Gloria oleh G.E.M. Turut disediakan adalah pembesar suara dan peti sejuk Marshall percuma untuk mereka yang membeli kenderaan MINI atau BMW Motorrad.

    Sempena dengan acara ini, BYD menawarkan rebat sehingga RM800 untuk kenderaan elektrik jenamanya, serta potongan sehingga RM25,000 untuk Seal Performance dan pelbagai lagi tawaran tukar-beli lain. Turut disediakan adalah rebat tunai untuk model Ford tertentu, serta pakej servis tambahan percuma.

    Pergi kepada Hyundai, terdapat rebat sehingga RM47,888 bersempena Tahun Baru Cina. Lebih menarik sebenarnya adalah jika anda membeli sebuah EV, kerana Hyundai menawarkan pengecas wallbox percuma, bersama pakej panel solar bernilai RM40,000. Selain daripada itu, terdapat pelbagai pilihan Ioniq terpakai dengan harga bermula RM143,888.

    Daripada jenama Jaguar Land Rover pula, mereka mengadakan pertandingan Celebrate and Elevate, yang menawarkan hadiah aksesori dan barangan rasmi jenama itu dengan nilai sehingga RM8,000 bagi mereka yang membeli sebuah kereta baru atau membelanjakan sekurang-kurangnya RM3,000 dalam satu resit di bahagian servis selepas jualan.

    Sime Motors AutoArena bermula hari ini – acara auto pertama dalam Stadium Bukit Jalil, sehingga 12 Jan

    Terdapat juga pelbagai model Land Rover terpakai di acara ini, seperti Defender 110 dengan harga dari RM798,000, Velar dari RM548,800, Evoque dari RM399,000 dan Discovery dari RM399,800. Turut disediakan adalah Jaguar I-Pace, yang datang dengan pengecas wallbox serta panel solar bernilai RM40,000 secara percuma. Tidak ketinggalan adalah Volvo, yang menyediakan pembiayaan tanpa faedah serta insurans kenderaan percuma untuk satu tahun.

    Auto Selection membawakan kenderaan terpakai pelbagai jenama ke acara ini, seperti 320i M Sport 2024, dengan kadar faedah serendah 1.98%. Anda juga akan menerima jaminan tambahan satu tahun percuma untuk kenderaan plug-in hybrid seperti 330e M Sport 2017/2018 dan 530e Sport 2018, serta pengecas wallbox percuma dengan pembelian BMW iX.

    Melalui kerjasama yang sudah terjalin antara Sime Motors dengan Perbadanan Stadium Malaysia, lebih banyak acara akan diadakan oleh syarikat automotif ini di stadium pada masa hadapan. Sime Motors juga menyediakan dua EV selama 24 bulan untuk berkhidmat sebagai kenderaan rasmi bagi operasi stadium dan akan memasang pengecas EV Gentari di stadium.

     
     
  • Kriteria subsidi RON95 diumum dalam masa terdekat

    Kriteria subsidi RON95 diumum dalam masa terdekat

    Kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, jelas Menteri Ekonomui, Rafizi Ramli seperti dilaporkan The Star. Kementerian tersebut akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum, ujar Rafizi.

    “Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan akan membentangkan cadangan pelaksanaan dan kelayakan subsidi RON95 kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan. Dan seleas itu barulah ia akan disampaikan kepada umum. Memandangkan hanya tinggal beberapa bulan, sebahagian daripada pengumuman berkaitan hal ini akan dilakukan secara berperingkat,” tambahnya.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

    “Kami telah memaklumkan cadangan penukaran dasar tersebut, tetapi keputusan rasmi Kabinet diperlukan untuk kami bergerak ke tahap seterusnya. Dalam tempoh beberapa minggu, kami berharap akan dapat memuktamadkan perkara ini dan mendapatkan kelulusan kerajaan,” tambah beliau.

    Kriteria subsidi RON95 diumum dalam masa terdekat

    Sebelum ini, Menteri Perdagangan Domestik dan Sara Hidup, Fuziah Salleh memaklumkan bahawa status pekerjaan dan jumlah tanggungan akan menjadi antara penentu kos sara hidup yang akan digunakan untuk menentukan kelayakan penerimaan subsidi RON95.

    November tahun lalu Rafizi juga berkata yang sistem levi yang dicadangkan untuk pelaksanaan subsidi RON95 akan menyebabkan sebahagian isi rumah yang paling miskin terciri daripada mendapatkan banduan itu, memandangkan sekitar 40% isi rumah didapati tidak pun mendaftarkan kenderaan di bawah nama mereka sendiri.

    Selain itu, keprihatinan terhadap sekuriti data juga turut dibangkitkan sekiranya subsidi berkenaan diagih menerusi e-Wallet dan MyKad.

    Ketika pembentangan Belanjawan 2025 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan mengumumkan, subsidi bersasar RON95 bakal menyaksikan kelompok 15% berpendapatan paling banyak (T15) akan membayar lebih untuk petrol, dan 85% daripada warga Malaysia akan terus menikmati subsidi itu.

     
     
  • Proton sediakan 61 unit eMas 7 sebagai antara kenderaan rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

    Proton sediakan 61 unit eMas 7 sebagai antara kenderaan rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

    Proton telah mengesahkan sebanyak 61 unit model EV pertamanya, eMas 7, bakal digunakan sebagai antara kenderaan rasmi bagi delegasi utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah selain eMas 7, 194 unit SUV X70 turut digunakan dengan semua penghantaran akan dilengkapkan bulan ini, laporan Bernama.

    “Model ini akan digunakan untuk tujuan pengangkutan mereka yang memegang jawatan tinggi dan penting sepanjang kepengerusian ASEAN 2025,” katanya sambil menambah Proton juga komited untuk mengetengahkan produknya yang bertepatan dengan satu daripada agenda mesyuarat ASEAN kali ini membabitkan teknologi hijau dan bebas karbon.

    Pada akhir Oktober tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenderaan elektrik (EV) bakal digunakan sebagai kereta rasmi para pemimpin ASEAN ketika menghadiri acara-acara kenegaraan apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

    “… kita berpandangan bahawa jika kita serius tentang kelestarian dan peralihan tenaga, kita perlu tonjolkan bahawa di Malaysia, kenderaan yang diberikan kepada ketua-ketua negara, para menteri dan pegawai berkenaan hanyalah EV,” katanya.

    Proton eMas 7 dilancarkan di pasaran tempatan pada 16 Disember lalu dengan menawarkan dua varian iaitu model asas eMas 7 Prime yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM109,800, manakala varian tertinggi eMas 7 Premium dijual pada harga RM123,800. Namun untuk 3,000 pembeli terawal, Proton menawarkan diskaun sebanyak RM4,000 menjadikan varian Prime dijual pada harga bermula RM105,800 dan varian Premium pula RM119,800.

    Kedua-dua varian eMas 7ini berkongsi unit rangkaian kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ’12 dalam 1′ yang memacu roda hadapan berkuasa 218 PS dan tork maksima 320 Nm. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksima yang boleh dicapai adalah 175 km/j.

    Untuk bateri, eMas 7 diberikan bateri lithium logam fosfat (LFP) “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Varian Prime menerima bateri berkapasiti 49.52 kWj dengan jarak perjalanan 345 km atau kapasiti 60.22 kWj yang memberikan jarak 410 km – kedua-duanya mengikut kitaran ujian WLTP.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

     
     
  • HLYM bakal lancar Yamaha NMax baru dengan varian Turbo 13 Jan? Penampilan, kelengkapan dipertingkat

    HLYM bakal lancar Yamaha NMax baru dengan varian Turbo 13 Jan? Penampilan, kelengkapan dipertingkat

    Selepas Indonesia, Malaysia mungkin menjadi negara seterusnya yang menerima Yamaha NMax generasi baru, selepas Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengeluarkan satu teaser di dalam laman media sosialnya.

    Dalam video pendek yang disiarkan, terlihat bahagian hadapan sebuah motosikal yang pencahayaan lampunya kelihata seperti NMax baru itu, dan bersamanya tertulis, “kami ada kejutan istimewa untuk korang. Jangan ke mana-mana, stay tuned pada 13 Januari 2025.”

    Di Indonesia, NMax baru ini ditawarkan dalam beberapa varian, bermula dari Neo berharga 32.7 juta rupiah (RM9,462) hingga “Turbo Tech Max Ultimate” berharga 45.25 juta rupiah (RM13,093).

    HLYM bakal lancar Yamaha NMax baru dengan varian Turbo 13 Jan? Penampilan, kelengkapan dipertingkat

    Penampilan NMax ini berubah terus, dengan rekaan serba baru dan selain lampu belakang LED, lampu hadapannya juga dinaik taraf dengan unit LED projector bertingkat, bersama lampu siang. Bagi tempat duduk, versi Tech Max mendapat unit Comfort Seat, yang dikatakan menggunakan bahan khas serta balutan bertekstur bersama jahitan emas.

    Enjin masih lagi menggunakan unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT). Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15 hp pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm. Jumlah ini cuma berbeza 0.3 Nm berbanding NMax 155 sebelumnya.

    Perkataan “Turbo” yang digunakan pada beberapa varian NMax 2024 ini merujuk bahawa ia datang dengan dua fungsi baru. Pertama adalah Turbo Riding Mode iaitu mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Touring Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sport Touring yang lebih bertenaga).

    HLYM bakal lancar Yamaha NMax baru dengan varian Turbo 13 Jan? Penampilan, kelengkapan dipertingkat

    Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.

    Varian “Turbo” Tech Max juga menerima ciri keselamatan yang lebih tinggi, bermula dengan ABS dual-channel, serta sistem kawalan cengkaman yang boleh mengelakkan tayar belakang daripada tergelincir sewaktu memecut.

    Satu lagi kelebihan pada varian Turbo Tech Max adalah ia dilengkapi dengan skrin bertingkat, yang di bahagian atas menggunakan panel LCD untuk memaparkan tahap minyak, kelajuan serta odometer, sementara di bawah terdapat panel TFT yang boleh memaparkan peta navigasi apabila disambungkan kepada telefon pintar serta aplikasi Garmin Street Cross.

    Ciri lain yang disediakan secara standard bagi NMax baru ini adalah termasuk sistem start & stop, brek cakera hadapan dan belakang, rim 13 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 130/70 di belakang, penyerap belakang dengan sub-tank, soket pengecas USB, ruang simpanan 25 liter bawah tempat duduk serta tangki bahan api 7.1 liter. Sistem kunci pintar disediakan hanya pada Neo S ke atas.

    Varian lain pula masih menggunakan skrin LCD, tetapi dengan rekaan paparan baru. Sama seperti sebelum ini, skrin tersebut boleh disambung kepada telefon pintar dan aplikasi Y-Connect untuk memaparkan notifikasi mesej atau telefon.

    https://www.facebook.com/reel/578312311653283

    https://www.facebook.com/share/r/1FBciLKM2N/

     
     
  • Puspakom lanjut operasi setiap Sabtu bulan ini – 11, 18, 25 Jan; 20 cawangan di seluruh negara terlibat

    Puspakom lanjut operasi setiap Sabtu bulan ini – 11, 18, 25 Jan; 20 cawangan di seluruh negara terlibat

    Jika ada yang tidak berkesempatan membawa kenderaan untuk diperiksa di Puspakom pada hari bekerja, jangan risau kerana Puspakom telah mengumumkan operasinya akan dilanjutkan pada setiap Sabtu untuk bulan ini, bermula esok.

    Operasi lanjutan tersebut dijadualkan berlangsung pada 11, 18, dan 25 Januari ini, untuk cawangan terpilih di seluruh negara, yang akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

    Menurut Puspakom, sebanyak 20 cawangan terpilih yang terlibat dengan lanjutan operasi pada hari Sabtu. Para pelanggam perlu membuat temujanji secara dalam talian menerusi MyPuspakom sebelum berkunjung ke cawangan yang dipilih. Tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan. Senarai cawangan yang terlibat adalah seperti di bawah:

    Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Cheras
    • Bangi
    • Batu Caves
    • Pandan Mewah
    • Shah Alam
    • Padang Jawa

    Utara

    • Sungai Petani
    • Mak Mandin (Penang)
    • Gopeng (Perak)

    Selatan

    • Alor Gajah (Melaka)
    • Seremban
    • Johor Bahru
    • Kluang
    • Senai
    • Pasir Gudang

    Pantai Timur

    • Kuantan
    • Kota Bharu

    Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu
    • Kota Samarahan

    Walau bagaimana pun, dimaklumkan bahawa cawangan Kluang dan Muar akan ditutup pada 11 Januari, sementara cawangan di JB hanya beroperasi separuh hari pada tarikh berkenaan.

     
     
  • Kios Sentuhan Madani dilancar di Alamanda Putrajaya – perkhidmatan JPJ, TNB, EPF; di KL Sentral Feb ini

    Kios Sentuhan Madani dilancar di Alamanda Putrajaya – perkhidmatan JPJ, TNB, EPF; di KL Sentral Feb ini

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Kios Sentuhan Madani di Alamanda Putrajaya semalam, yang merupakan kios pertama dari 38 kios yang seumpamanya yang bakal dibuka, yang menawarkan beberapa perkhidmatan seperti JPJ, Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), TNB, EPF (KWSP) dan MyDigital ID.

    Inisiatif di bawah Belanjawan 2025, Kios Sentuhan Madani menempatkan perkhidmatan kerajaan dan menyediakan akses mudah kepada orang ramai. Ia akan ditempatkan di kawasan trafik tinggi seperti pusat membeli-belah dan hab pengangkutan. Kios Sentuhan Madani seterusnya akan dibuka di KL Sentral pada penghujung Februari.

    JPJ mengatakan bahawa pihaknya mengalu-alukan inisiatif Kios Sentuhan Madani yang diperkenalkan oleh PM. Pemilihan Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai salah satu penyedia perkhidmatan kerajaan membolehkan pelanggan membuat transaksi JPJ di luar waktu pejabat dan ia berguna untuk warga kota yang sibuk.

     
     
  • Honda RS-X Winner 2025 dilancarkan di Malaysia – enjin, klac serta kelengkapan dinaik taraf, dari RM10k

    Honda RS-X Winner 2025 dilancarkan di Malaysia – enjin, klac serta kelengkapan dinaik taraf, dari RM10k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd hari ini secara rasminya melancarkan RS-X Winner 2025 untuk pasaran Malaysia, dengan dijual pada harga RM9,998 untuk tiga warna utama iaitu biru, hijau dan kelabu, sementara model yang menggunakan panel badan warna kuning bersama rim warna emas dijual RM300 lebih mahal, iaitu RM10,298. Semua harga yang dinyatakan ini adalah harga cadangan pengeluar tidak termasuk insurans.

    Untuk pengetahuan, RS-X Winner ini sebenarnya adalah model sama seperti Winner X yang dilancarkan di Vietnam awal tahun lepas, dengan antara peningkatan utamanya adalah klac yang kini menggunakan unit assist & slipper yang dapat membantu menjadikan penukaran gear lebih lancar dan mencegah gelinciran pada roda belakang.

    Enjin secara asasnya masih lagi sama, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api 149.2 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm, tetapi laluan minyak telah diperbaiki, terutamanya untuk pelinciran tensioner di bahagian blok.

    Kemudiannya, kelengkapan model baru ini juga telah dinaik taraf, dengan kini dilengkapi sistem kunci pintar serta pengecas USB. Panel badan meskipun secara kasar nampak seperti sama, sebenarnya diberikan sedikit perubahan iaitu pada bahagian perumah meter, panel depan (dada) serta panel tengah (inner).

    Satu lagi bahagian yang diubah adalah suis kawalan di bahagian pemegang, untuk kedua-dua di bahagian kiri dan kanan, dengan kini menggunakan unit yang sama seperti CBR150 (tanpa passing light). Rim juga menggunakan rekaan baru lima cabang, berbanding enam cabang pada RS-X sebelum ini. Jika diperhatikan, model Malaysia tidak menggunakan lampu penunjuk arah hadapan bersepadu pada panel tepi seperti model Winner di Vietnam.

    Bahagian lain adalah sama seperti RS-X sebelum ini, dengan antara kelengkapan yang disediakan termasuk fork teleskopik di hadapan, monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, tangki bahan api 4.5 liter, pemula enjin elektrik, lampu LED, brek cakera hadapan dan belakang dengan ABS single-channel serta transmisi manual enam kelajuan.

     
     
  • Tesla Model Y Juniper 2025 diperkenalkan – Penghantaran untuk M’sia mulai April; dari RM195, 450

    Tesla Model Y Juniper 2025 diperkenalkan – Penghantaran untuk M’sia mulai April; dari RM195, 450

    Selepas beberapa hari Tesla Model Y ‘Project Juniper’ facelift 2025 dikesan tanpa balutan penyamaran, model SUV EV buatan Amerika ini telah pun dipaparkan menerusi laman web rasmi Tesla, dengan laman web jenama itu untuk pasaran Malaysia turut menyebut model ini dibuka untuk tempahan, dengan harga bermula RM195,450.

    Model Y Juniper ini ditawarkan dengan dua varian iaitu Rear-Wheel Drive berharga RM195,450 dan Long Range All-Wheel Drive ditetapkan dengan harga RM242,450.

    Bagi varian paling asas, ia diberikan penjana kuasa motor tunggal dengan jarak gerak hingga 466 km (WLTP) dalam satu pengecasan penuh. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.9 saat dan kelajuan maksimumnya mencecah 201 km/j.

    Manakala bagi varian tertinggi Long Range All-Wheel Drive, ia dilengkapi dwi-motor dan jarak geraknya lebih 100 km dari versi asas iaitu cecag 551 km (WLTP). Malah ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.3 saat, tapi kelajuan maksimumnya sama iaitu 201 km/j.

    Model Y baharu ini hadir dengan sentuhan rekaan bespoke cyber dengan jalur cahaya pada bahagian hadapan dan juga jalur cahaya baharu di belakang yang diinspirasikan dari Cybercab dan Cybertruck, memberikannya imej futuristik dan simbolik.

    Model baharu Tesla ini turut dipadankan dengan roda aloi ‘Crossflow’ 19-inci dengan kemasan gelap secara standard, atau pembeli boleh menaiktarafnya dengan roda ‘Helix 2.0’ saiz 20-inci bersama kos tambahan RM10,000. Tesla turut memperkenalkan rakaan roda dan diffuser belakang serba baharu, bagi mengurangkan rintangan udara dan mengoptimakan keseimbangan antara roda hadapan dan belakang.

    Untuk dalamnya pula, kemasan hitam ditawarkan secara standard, atau kombinasi hitam dan putih juga boleh dijadikan pilihan dengan kos tambahan RM5,000. Kelengkapan kabinnya juga dipertingkatkan penggayaannya termasuk konsol pengecasan dan alas lantai yang kini didatangkan dengan rekaan khas bersama serlahan perak dan juga kemasan dalaman vegan suede serba hitam.

    Ia juga diberikan ruang kabin yang lebih senyap dengan penggunaan dua lapisan kaca untuk semua tingkap dan bumbung kaca panoramik yang menampilkan kaca salutan perak untuk mengurangkan sinaran UV dan haba panas memasuki ruang kabin.

    Ciri signitur dari Model 3, seperti pencahayaan ambien, skrin sesentuh tengah 15.4-inci, tempat duduk dengan pengaliran udara dan paparan sesentuh lapan-inci untuk barisan kedua tempat turut diberikan untuk Model Y baharu ini. Pelanggan juga kini boleh hanya menekan butang untuk melaraskan posisi atau membaringkan tempat duduk penumpang belakang.

    Untuk warna luarannya, rona Stealth Grey tidak dikenakan sebarang kos tambahan. Tetapi jika pilih warna lain, ada kos tambahan yang dikenakan iaitu Pearl White Multi-Coat (RM5,000), Glacier Blue (pilihan warna baharu – RM7,500), manakala Quicksilver dan Ultra Red masing-masing RM11,000.

    Bagi aspek pilihan lain, ciri Enhanced Autopilot bakal dikenakan kos tambahan sebanyak RM16,000, dan ia merangkumi Navigate on Autopilot, Auto Lane Change, Autopark, dan Dumb Summon; Actually Smart Summon juga akan dimasukkan pada masa akan datang, menurut perkongsian laman web terbabit.

    Sementara itu, untuk mendapatkan Full Self-Driving Capability akan dikenakan kos tambahan sebanyak RM32,000, dan cirinya terdiri dari Basic Autopilot dan Enhanced Autopilot yang akan disertai Traffic Light dan Stop Sign Control serta Autosteer on city streets tidak lama lagi. Harga bagi Enhanced Autopilot dan FSD adalah sama seperti sebelum ini. Namun ciri FSD masih belum mendapat kebenaran untuk digunakan di Malaysia.

    Tesla Model Y Juniper facelift 2025, Glacier Blue

    Tesla Model Y Juniper facelift 2025, Stealth Grey

    Warna luaran Tesla Model Y Juniper facelift 2025

     
     
  • SYM Husky 300 dilancarkan di Malaysia – RM23,888

    SYM Husky 300 dilancarkan di Malaysia – RM23,888

    Seperti yang kami beritahu September tahun lalu, SYM Husky 300 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dengan harga yang dikeluarkan oleh pengedar rasminya RM23,888 tidak termasuk insurans. Tiga warna disediakan, iaitu putih, kelabu dan hitam, dengan setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Skuter yang menggunakan asas daripada Joyride 300 ini menggunakan enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 278 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik, dipadankan bersama transmisi CVT dan mendapat penarafan emisi Euro 5. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 25.5 hp pada 8,000 rpm dan 26 Nm pada 6,000 rpm.

    Rim pada Husky ADV 300 berlainan saiz antara hadapan dan belakang, iaitu masing-masing 15 inci dengan tayar 120/70 dan 14 inci dengan tayar 140/70. Memegangnya adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Sebagai sebuah skuter, Husky 300 datang dengan pelbagai kemudahan untuk pengguna termasuk soket pengecas USB-C dan USB-A dalam poket barangan di bawah pemegang, sistem kunci pintar, ruang barangan di bawah tempat duduk serta panel meter TFT untuk memaparkan pelbagai informasi penting.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 16 liter, pelindung tangan serta lampu hadapan LED projector. Pada bahagian keselamatan, skuter ini datang dengan sistem ABS pada brek cakera hadapan dan belakangnya, serta kawalan cengkaman.

     
     
  • Tesla Model Y Juniper facelift dilihat tanpa samaran — jalur lampu depan dan belakang, bampar baru

    Tesla Model Y Juniper facelift dilihat tanpa samaran — jalur lampu depan dan belakang, bampar baru

    Akhirnya kini mula muncul gambar awal Tesla Model Y facelift yang lama ditunggu. Dengan kod nama Project Juniper, SUV dengan penampilan baru ini dikongsi gambarnya oleh seorang pengguna X @xiaoteshushu, dan tampil tanpa sebarang pelekat samaran sekaligus memberikan petunjuk kepada rupa sebenarnya.

    Walaupun permukaan kereta dan persekitarannya bersalji, gambar tetap dapat menunjukkan perubahan Model Y. Di depan, ada jalur lampu yang baru dalam kelebaran penuh, serta lampu utama yang terpisah dan diletak lebih ke bawah seperti untuk Cybertruck. Rekaan bampar pula ada bukaan udara, yang kelihatan mirip dengan Model 3 Performance.

    Di belakang, ada satu lagi jalur lampu, yang diapit oleh lampu belakang bentuk C — satu lagi rekaan yang dipinjam daripada Model 3 facelift, yang diberi kod nama Project Highland sebelum ini. Ini memberikan rekaan yang lebih ringkas untuk bahagian belakangnya. Di bawah sedikit, terletak pula diffuser saiz besar. Tidak ketinggalan ada juga rim rekaan ala turbin baru yang mirip dengan model Performance juga.

    Tesla Model Y Juniper facelift dilihat tanpa samaran — jalur lampu depan dan belakang, bampar baru

    Ruang dalaman juga dijangka akan dirombak seperti yang dilihat pada Model 3 Higland. Antaranya rekaan baru untuk stereng, tiada tuil lampu isyarat dan pengilap cermin, lampu ambient boleh kustom, skrin sentuh infotainmen 15-inci dan skrin sentuh lapan-inci di belakang.

    Penambahbaikan lain juga mungkin akan dibuat untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik dan mengurangkan bising dan gegeran (NVH). Kebanyakan perubahan ini sudahpun dilakukan terhadap model 2024 semasa.

    Selain itu, mungkin akan ada juga peningkatan prestasi diberikan — misalnya motor yang lebih berkuasa, damper adaptif, penggayaan lebih agresif dan kerusi bucket. Mungkin akan ada juga varian dengan enam-tempat duduk untuk lebih praktikal kelak.

     
     
  • Honda Malaysia jual 81,600 unit pada 2024, naik 2% — kekal No. 1 kenderaan penumpang bukan nasional

    Honda Malaysia jual 81,600 unit pada 2024, naik 2% — kekal No. 1 kenderaan penumpang bukan nasional

    Ketika pelancaran Honda Civic 2025 hari ini, Honda Malaysia turut berkongsi pencapaian jualan syarikat itu sepanjang tahun 2024 yang telah mencatatkan jualan sebanyak 81,600 unit kenderaan.

    Dan, semua angka tersebut hanya merangkumi kenderaan penumpang kerana Honda Malaysia tidak menjual kenderaan komersial atau trak pikap di sini. Untuk ini, Honda mengekalkan kedudukan pertama dalam segmen kenderaan penumpang bagi pengeluar bukan nasional — dan telah mempertahankannya selama 11 tahun berturut-turut.

    Ini meletakkan jualan kenderaan penumpang Honda mengatasi Toyota: jualan kenderaan komersial dan trak pikap telah membantu Toyota menduduki tangga No. 1 keseluruhan dan No. 3 di belakang Perodua dan Proton.

    Pada 2023, Honda Malaysia menjual sebanyak 80,027 unit kenderaan. Ini bermaksud, jualan untuk tahun 2024 naik 2%. Bagi Civic pula, ia merangkul perkongsian pasaran sebanyak 81% bagi sedan segmen C, mengalahkan Toyota Corolla dan Mazda 3.

     
     
  • Honda Civic 2025 dengan Google Built-in — kereta Jepun pertama ada Google Maps, Play Store di M’sia

    Honda Civic 2025 dengan Google Built-in — kereta Jepun pertama ada Google Maps, Play Store di M’sia

    Honda Civic facelift 2025 yang dilancarkan di Malaysia hari ini datang dengan beberapa peningkatan yang penting. Antaranya ialah, ciri Android Auto tanpa wayar (sebelum ini hanya Apple CarPlay dengan ciri tersebut) serta Google Built-in untuk semua varian. Fungsi Google berkenaan juga merupakan yang pertama ditawarkan oleh pengeluar Jepun untuk kereta baru di Malaysia.

    Pertama kali diperkenalkan untuk model Honda Accord 2023 untuk pasaran Amerika, yang hanya diberikan untuk varian yang paling lengkap, Google Built-in ini terdiri daripada ciri aplikasi popular Google seperti Google Assistant, Google Maps dan Google Playstore disepadukan sekali ke dalam head unit.

    Shortcut untuk semua aplikasi ini juga ada dalam satu jalur menegak di sisi kawalan fizikal sebalah kanan dalam skrin sentuh 9-inci yang disediakan. Pengguna juga boleh gunakan kawalan suara dengan ‘OK Google’ dan mulakan arahan.

    Selebihnya, antaramuka infotainmen adalah sama seperti sebelumnya. Google Built-in untuk Honda ini bagaimanapun bukanlah sistem operasi penuh seperti Android Automotif yang digunakan oleh Volvo.

    Ciri ini ditawarkan sebagai standard untuk semua varian Civic 2025 termasuk untuk varian paling asas E, yang sekaligus menerima peningkatan saiz skrin (dahulunya tujuh-inci). Perincian lanjut tentang Honda Civic facelift 2025 boleh di baca di sini.

     
     
  • MINI Countryman S All4 U25 CKD kini di Malaysia – enjin 2.0L turbo 204 PS, harga anggaran dari RM259k

    MINI Countryman S All4 U25 CKD kini di Malaysia – enjin 2.0L turbo 204 PS, harga anggaran dari RM259k

    BMW Group Malaysia memperkenalkan MINI Countryman S All4 2025 untuk pasaran Malaysia, dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dengan harganya dianggar bermula dari RM259k atau RM270k bersama pakej tambahan jaminan dan servis.

    Ini bermakna, harga untuk model CKD ini sekarang lebih rendah sekitar RM90k, berbanding model import penuh (CBU) yang diperkenalkan September tahun lalu pada harga RM348,888 tidak termasuk insurans, atau RM359,288 bersama pakej tambahan jaminan dan servis.

    Penggerak Countryman S generasi U25 ini masih lagi adalah enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo B48, yang berkuasa 204 PS dan tork 300 Nm. Terdapat perbezaan pada jumlah kuasa kerana enjin model CKD ini adalah jenis pembakaran dalaman sepenuhnya dan bukan hibrid seperti model CBU.

    MINI Countryman S All4 U25 CKD kini di Malaysia – enjin 2.0L turbo 204 PS, harga anggaran dari RM259k

    Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik lapan kelajuan, menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat dan laju maksimum 228 km/j. Dalam keadaan standard ia datang dengan rim 20 inci ‘Windmill Spoke’, dan dipadankan bersama pakej kemasan Favoured sama seperti model CBU.

    Di dalam, kelengkapan yang disediakan termasuk pek Comfort Package Plus, yang memberikan cermin pandang belakang anti silau, kemasan bumbung anthracite serta sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

    Sistem infotainmen bersama kawalan pendingin hawa boleh diakses melalui skrin sesentuh OLED bulat 9.4 inci di tengah, sementara informasi pemanduan lain dipaparkan pada head-up display di hadapan pemandu. Turut disediakan adalah MINI Intelligent Personal Assistant, yang memberikan kawalan suara untuk navigasi, telefon, hiburan dan pelbagai fungsi lagi.

    MINI Countryman S All4 U25 CKD kini di Malaysia – enjin 2.0L turbo 204 PS, harga anggaran dari RM259k

    Tempat duduk sport John Cooper Works balutan kulit tiruan disediakan di bahagian hadapan, lengkap dengan fungsi memori dan mengurut untuk pemandu.

    Pada bahagian keselamatan dan bantuan pemandu, Countryman S CKD ini datang dengan pakej Driving Assistant, yang termasuk Lane Change Warning, Lane Departure Warning, Speed Limit Information, Manual Speed Limit Assist, Cruise Control dengan brek, Front Collision Warning dengan AEB, Evasion Assistant, Rear Cross-Rraffic Warning dengan AEB, Rear-End Collision Prevention dan Exit Warning.

    Turut disediakan adalah Parking Assistant Plus, yang memberikan Park Assist, Reversing Assistant, Active Park Distance Control, Drive-off Monitoring, Rear Panorama View, Parking View, Panorama View, Remote 3D View, BMW Drive Recorder dan perakam anti kecurian luar. Ia juga datang dengan Driving Assistant Plus, yang termasuk Active Cruise Control dengan stop and go, Steering and Lane Control Assistant dan Speed Limit Assistant.

     
     
  • SPRM tahan 13 lagi pemeriksa kenderaan Puspakom; siasatan diperluas ke seluruh negara – Azam Baki

    SPRM tahan 13 lagi pemeriksa kenderaan Puspakom; siasatan diperluas ke seluruh negara – Azam Baki

    Susulan daripada penggantungan tugas enam kakitangan Puspakom yang disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 13 lagi pemeriksa kenderaan di pusat pemeriksaan kenderaan di Kuala Lumpur berkenaan isu sama – lapor Bernama.

    Menurut sumber yang dipetik oleh Bernama, suspek yang berusia antara 20 ke 40 tahun ditahan sewaktu hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan. Sehingga kini, SPRM telah menahan 22 suspek termasuk 19 pegawai pemeriksa kenderaan, seorang ejen dan dua orang runner yang terlibat dalam sindiket tersebut.

    “Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah antara RM150 hingga RM1,500 sebulan secara tunai daripada ‘runner‘ sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan di mana mereka bertugas. Penahanan semua suspek adalah susulan tangkapan enam pegawai pemeriksa kenderaan pada Isnin lalu dan juga hasil soal siasat yang dijalankan oleh SPRM ke atas seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini,” kata sumber tersebut.

    SPRM tahan 13 lagi pemeriksa kenderaan Puspakom; siasatan diperluas ke seluruh negara – Azam Baki

    Siasatan berkenaan sindiket pemeriksaan kenderaan oleh SPRM ini akan diluaskan ke pusat pemeriksaan kenderaan seluruh negara, dan tidak hanya terhad di Kuala Lumpur, kata ketua pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam laporan New Straits Times.

    “Berdasarkan kerjasama kami dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom, kami juga akan membuat siasatan di pusat pemeriksaan lain dalam negara,” kata Azam.

    Penahanan yang dibuat telah disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, yang memberitahu bahawa kes akan disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009 dan kesemua 13 pegawai pemeriksa kenderaan yang ditahan akan dilepaskan dengan jaminan SPRM.

     
     
  • Porsche 911 Carrera S facelift didedah – enjin 3.0L twin turbo kini hasilkan 480 PS, hanya PDK lapan kelajuan

    Porsche 911 Carrera S facelift didedah – enjin 3.0L twin turbo kini hasilkan 480 PS, hanya PDK lapan kelajuan

    Porsche secara perlahan-lahan mengembangkan lagi pilihan model 911 facelift dengan selepas GT3 992.2, kini Carrera S pula diperkenalkan, sebagai model yang terletak di antara Carrera dan Carrera GTS T-Hybrid.

    Model ini masih lagi menggunakan enjin petrol, iaitu unit enam silinder 3.0 liter twin turbo, tetapi ia telah dinaik taraf dengan turbo dan intercooler baru, menaikkan kuasanya menjadi 480 PS dan tork 530 Nm. Dengan ini, Carrera S boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat dan mencapai laju maksimum 308 km/j.

    Berita yang menghampakan, Carrera S kini tiada lagi pilihan kotak gear manual tujuh kelajuan, dan hanya datang dengan transmisi PDK klac berkembar lapan kelajuan. Jika mahukan 911 “biasa” manual, pilihan anda sekarang adalah Carrera T yang datang dengan kotak gear manual enam kelajuan.

    Porsche 911 Carrera S facelift didedah – enjin 3.0L twin turbo kini hasilkan 480 PS, hanya PDK lapan kelajuan

    Setakat ini hanya ditawarkan dalam versi Coupe dan Convertible (Targa belum lagi), Carrera ini menerima peningkatan sama seperti model facelift lain, yang termasuk bampar hadapan dan belakang baru, lampu hadapan LED matriks yang direka semula, bersepadu dengan fungsi lampu lain termasuk penunjuk arah.

    Di dalam, Porsche tidak lagi menggunakan banyak ciri unik mereka. Pemula enjin yang menggunakan tombol jenis pusing kini diganti dengan butang jenis tekan biasa, sementara meter rpm analog dibuang untuk menempatkan panel instrumen digital 12.6 inci.

    Sistem infotainmen Porsche Communication Management (PCM) dan skrin sesentuh 10.9 inci di tengah juga mendapat integrasi Apple CarPlay yang lebih baik serta fungsi perakam video apabila diparkir. Turut tersedia adalah konsol tengah baru, yang menempatkan pengecas Qi tanpa wayar, manakala tempat duduk belakang disediakan sebagai pilihan tambahan tanpa kos dan tidak dipasang secara terus.

    Porsche 911 Carrera S facelift didedah – enjin 3.0L twin turbo kini hasilkan 480 PS, hanya PDK lapan kelajuan

    Kelengkapan standard yang datang dengan Carrera facelift ini dipertingkat, termasuk padanan rim 20/21 inci, brek lebih besar daripada GTS, ekzos sport serta Porsche Torque Vectoring Plus (PTV+). Di dalam ia menggunakan balutan kulit warna hitam secara standard.

    Sudah tentu, pelbagai lagi pilihan tambahan disediakan untuk pelanggan, seperti brek karbon seramik, penyerap adaptif PASM 10 mm lebih rendah, rear-wheel steering, lampu hadapan LED HD-Matrix, pakej Sport Chrono dan pakej kemasan kulit warna lain dengan jahitan kontras.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 dilancarkan di Malaysia — spesifikasi lebih lengkap, imej tajam; RM134k-RM168k

    Honda Civic facelift 2025 dilancarkan di Malaysia — spesifikasi lebih lengkap, imej tajam; RM134k-RM168k

    Selepas dibuka untuk tempahan pada Disember 2024, Honda Malaysia hari ini melancarkan Civic FE generasi ke-11 versi facelift 2025 secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Model yang mula diperkenalkan untuk pasaran global pada awal tahun lalu ini sudahpun diperkenalkan di Thailand pada Ogos 2024. Dan, selepas empat bulan, kini tiba giliran Malaysia. Model semasa Civic FE pertama kali masuk ke pasaran di sini pada Januari 2022.

    Sama seperti penawaran yang ada sebelum ini, keseluruhannya ada empat varian yang ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut: 1.5L E (RM133,900; RM2,000 lebih mahal berbanding sebelumnya), 1.5L V (RM144,900; kekal sama) dan 1.5L RS Petrol (RM149,900; murah RM2,000) serta model dengan sistem elektrifikasi iaitu e:HEV 2.0L RS hibrid (RM167,900; kekal sama).

    Model facelift 2025 ini menerima kemaskini rekaan bampar depan yang agak ketara dengan bahagian gril tampil dengan rekaan honeycomb yang baru, serta bahagian muncung yang kini lebih tajam. Bahagian bawah pula diberikan sentuhan yang nampak lebih lebar. Disebabkan bampar ini, panjang keseluruhan Civic FE kini 3 mm lebih panjang daripada sebelumnya.

    Honda Civic facelift 2025 dilancarkan di Malaysia — spesifikasi lebih lengkap, imej tajam; RM134k-RM168k

    Rekaan honeycomb turut dapat dilihat di bahagian bawah bamparnya, dengan bingkai berbentuk heksagon, lari daripada rekaan gril dengan palang melintang dan kemasan bentuk trapezium yang dilihat pada model sebelum ini. Untuk bahagian belakang pula, ia masih kelihatan sama tanpa banyak perubahan kecuali untuk grafik lampu belakangnya yang kini lebih gelap.

    Jadi apa yang baru untuk Civic FE 2025 facelift ini? Bagi varian paling lengkap, Civic RS e:HEV turut menerima rim aloi 18-inci tujuh jejari rekaan baru dengan penyudah warna kelabu kesat menggantikan rim dua-tona sebelum ini. Untuk ruang dalaman, fabrik yang membaluti kerusi kini hadir dengan corak baru.

    Tambahan terbaru hanya untuk varian e:HEV ialah mod pemanduan Individual, yang membolehkan pemandu memilih sendiri kombinasi tetapan yang diinginkan. Ini menjadikan Drive Mode-nya kini ada empat semuanya — termasuk ECON, NORMAL dan SPORT.

    Honda Civic facelift 2025 dilancarkan di Malaysia — spesifikasi lebih lengkap, imej tajam; RM134k-RM168k

    Sistem keselamatan antara yang menerima banyak peningkatan. Antaranya fungsi Sistem Brek Penghindar Perlanggaran (CMBS) kini boleh mengesan motosikal dan basikal. Operasi fungsi Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow (ACC & LSF) juga kini lebih lembut: kawalan brek ketika permukaan menurun lebih lancar dan natural. Fungsi ini juga memberikan tindakan aplikasi brek memecut yang lebih lancar.

    Bagi System Lane Keeping Assist (LKAS) pula memberikan prestasi lebih baik dengan operasi stereng yang dihalakan lurus.

    Civic juga kini didatangkan dengan ciri operasi paparan audio melalui skrin 9-inci sebagai standard untuk semua varian. Paparan maklumatnya kini juga lengkap dengan kolum Shortcut untuk fungsi utama. Apa yang lebih penting, ia juga kini lengkap dengan Google Built-in, yang pertama kali ditawarkan oleh Honda Malaysia.

    Honda Civic facelift 2025 dilancarkan di Malaysia — spesifikasi lebih lengkap, imej tajam; RM134k-RM168k

    Ciri Apple CarPlay dan Android auto tanpa wayar juga kini diberikan standard untuk semua varian, sama seperti ciri slot USB-C di bahagian depan dan belakang, serta pengilap automatik. Bagi RS Petrol dan e:HEV pula ada diberikan ciri pengecas tanpa wayar. Satu lagi penawaran standard ialah filem penapis haba yang terus diberikan kepada pelanggan.

    Untuk sistem janaannya pula, Civic FE facelift 2025 ini mengekalkan penjana kuasa yang sama. Bagi varian e:HEV, ia tetap memanfaatkan sistem hibrid i-MMD yang terdiri daripada enjin 2.0 liter empat-silinder kitaran Atkinson suntikan terus yang menghasilkan kuasa sebanyak 141 PS dan 182 Nm tork.

    Ia turut disertai oleh dua buah motor elektrik: enjin petrol akan bertindak pada kebanyakan masa sebagai generator untuk pengecasa bateri lithium-ion yang melengkapinya. Hanya dalam keadaan tertentu, seperti ketika dalam kelajuan tinggi, enjin akan berfungsi bersama motor elektrik terbabit untuk memacu roda hadapan menerusi transmisi e-CVT. Output keseluruhan sistem ini adalah 184 PS dan 315 Nm.

    Honda Civic facelift 2025 dilancarkan di Malaysia — spesifikasi lebih lengkap, imej tajam; RM134k-RM168k

    Bagi varian lain yang menggunakan sistem janaan enjin petrol biasa, unit enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang sama masih dikekalkan, dengan janaan kuasa sebanyak 182 PS dan 240 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui CVT.

    Kelengkapan yang diberikan untuk setiap varian juga rata-ratanya masih sama, dengan varian petrol hanya menerima sistem pendingin hawa zon tunggal berbanding dua-zon bagi versi e:HEV hibrid, manakala servis telematik Honda Connect kini ditawarkan standard untuk semua varian, dengan empat penambahbaikan fungsi — Remote Light & Horn, Subscription & Payment, Recall Notification dan Personal Data Wipe.

    Satu warna baru juga diperkenalkan, Canyon River Blue Metallic, menyertai empat warna sedia ada yang lain — Meteoroid Grey Metallic, Ignite Red Metallic, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl.

    Honda Civic 2025 RS e:HEV

    Honda Civic 2025 RS Petrol

    Honda Civic 2025 — warna baru Canyon River Blue

    Gambar rasmi

    Honda Civic 2025 — Perincian

     
     
  • Hadkan akses kenderaan persendirian, laksana lorong bas bagi atasi kesesakan di Jln Bukit Bintang – NGO

    Hadkan akses kenderaan persendirian, laksana lorong bas bagi atasi kesesakan di Jln Bukit Bintang – NGO

    Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO), Transit Malaysia menyokong penuh terhadap cadangan menjadikan Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur sebagai kawasan pejalan kaki, laporan Bernama.

    NGO itu dalam satu kenyataan berkata kesesakan dialami setiap hari di jalan raya berikutan kenderaan persendirian diletakkan di tepi jalan tiga lorong itu, sering menyebabkan trafik terganggu pada waktu puncak seperti hujung minggu dan petang apabila ada jumlah kenderaan persendirian tinggi di pusat bandar.

    “Dengan merekabentuk semula untuk menampung lebih ramai orang yang berkunjung ke Bukit Bintang dengan berjalan kaki atau yang menggunakan pengangkutan awam, Jalan Bukit Bintang akan mengekalkan ‘tenaganya’, tidak kira keadaan lalu lintas,” kata NGO itu.

    Bulan lalu, pihak berkuasa tempatan dikatakan sedang mempertimbangkan penutupan bahagian utama Jalan Bukit Bintang dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas, dan Ketua Polis KL Datuk Rusdi Mohd Isa berkata bahawa perbincangan dan kajian lanjut dengan pihak berkepentingan sedang dijalankan bagi menilai kebolehlaksanaan, mengubah hala dan mengurangkan kenderaan di kawasan terlibat.

    Hadkan akses kenderaan persendirian, laksana lorong bas bagi atasi kesesakan di Jln Bukit Bintang – NGO

    Bagi menyokong mengurangkan kesesakan di kawasan itu, Transit Malaysia turut mencadangkan rekabentuk semula persimpangan Jalan Bukit Bintang-Jalan Sultan Ismail bagi membolehkan pejalan kaki melintas jalan dari semua arah, dan pada selang masa yang lebih kerap serta memperkenalkan lorong bas sahaja untuk meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam.

    Selain itu,penambahan ruang pejalan kaki boleh merangsang pertumbuhan perniagaan di kawasan itu, menurut Transit Malaysia. “Kawasan itu mempunyai akses yang baik terhadap pengangkutan awam, dengan sambungan ke Laluan MRT Kajang, Laluan Monorel KL dan beberapa laluan bas GoKL,” katanya sambil menambah bahawa laluan pejalan kaki ke KLCC juga membantu ketersambungan pejalan kaki antara tarikan utama di bandar ini.

    Meski pun menyokong inisiatif berkenaan, NGO tersebut menyedari kebimbangan perniagaan tempatan yang bergantung kepada akses kenderaan persendirian, dan menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melibatkan pihak berkepentingan dalam menangani isu tersebut.

     
     
  • Geely EX5 dilancar di Indonesia pada 22 Jan – kembar Proton eMas 7 dengan jarak gerak cecah 430 km

    Geely EX5 dilancar di Indonesia pada 22 Jan – kembar Proton eMas 7 dengan jarak gerak cecah 430 km

    Selepas dilancarkan di Thailand dan Hong Kong, Geely bersedia untuk membawa EX5 unuk ke pasaran Indonesia pula pada bulan ini. Menurut laporan portal berita tempatan Kompas, pengeluar kereta China itu telah menghantar jemputan media untuk pelancaran SUV elektrik berkenaan yang bakal berlangsung pada 22 Januari ini.

    EX5 ialah versi global bagi Galaxy E5, yang merupakan kembar Proton eMas 7 yang dilancarkan baru-baru ini. Ketiga-tiga model ini menggunakan penjana kuasa yang sama iaitu satu motor elektrik di hadapan yang menghasilkan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm tork, membolehkannya memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam 6.9 saat.

    Dua saiz bateri lithium iron phosphate (LFP) bilah pendek Aegis daripada Geely sendiri ditawarkan – unit 49.52 kWj yang memberikan jarak gerak hingga 345 km serta pek 60.22 kWj yang membolehkan EX5 bergerak sehingga 410 km dengan sekali cas. Kedua-dua angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP yang lebih realistik, dengan yang terakhir menjangkau 430 km. Ia juga ditawarkan dengan dua saiz roda iaitu 18- dan 19-inci.

    Harganya masih belum didedahkan, namun tidak mungkin Indonesia dapat mengatasi harganya di Malaysia. Di sini, model tersebut (yang dikenali sebagai eMas 7) adalah yang paling murah di luar China, iaitu sekitar RM109,800 untuk varian Prime dengan pek bateri 49.52 kWh dan Premium pula berharga RM123,800 yang dibekalkan bateri berkapasiti 60.22 kWh.

     
     
  • Harga minyak 9-15 Jan – petrol RON 97 naik 5 sen seliter, diesel di Semenanjung juga naik 5 sen seliter

    Harga minyak 9-15 Jan – petrol RON 97 naik 5 sen seliter, diesel di Semenanjung juga naik 5 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 Januari 2025, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 5 sen seliter, menjadi RM3.33 seliter berbanding RM3.28 seliter pada minggu sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, harga runcit RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Manakala harga runcit bagi diesel untuk pasaran Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak 5 sen seliter, daripada RM2.98 seliter kepada RM3.03 seliter. Namun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    MOF turut berkata kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraab rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Jetour Dashing bakal dilancarkan di M’sia pada Q1 2025 – 20 cawangan pengedaran dibuka tahun ini

    Jetour Dashing bakal dilancarkan di M’sia pada Q1 2025 – 20 cawangan pengedaran dibuka tahun ini

    Dalam majlis makan tengahari bersama pihak media pagi tadi sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Jetour Malaysia turut mendedahkan rancangan syarikatnya untuk tahun 2025. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Jetour bakal melancarkan dua model pertamanya untuk pasaran tempatan iaitu Dashing dan SUV Jetour tujuh-tempat duduk yang bakal diberikan nama kelak.

    Perkembangan terkini yang dikongsikan ialah Dashing sah bakal dilancarkan pada suku pertama (Q1) tahun ini, disusuli dengan SUV Jetour tujuh-tempat duduk yang bakal diberikan nama kelak pada suku kedua (Q2). Kevin Xu selaku Timbalan Presiden Jetour Auto International mengesahkan perkara ini dan berkata SUV Jetour tujuh-tempat duduk untuk pasaran Malaysia akan menerima nama baharu.

    Beliau turut menambah semua produk Jetour untuk pasaran kita akan dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD), Walau bagaimana pun, beliau enggan mendedahkan rakan kerjasama pemasangan tempatan memandangkan ia adalah listed company dan protokol perlu dipatuhi.

    Selain itu, Jetour Malaysia juga merancang untuk membuka sejumlah 20 cawangan pengedarannya di seluruh negara, termasuk lebih 10 fasiliti baharu (3S dan 4S) yang mula dibuka pada Q1 ini. Selain KL, jenama ini juga bakal memiliki rangkaian pengedaran di Selangor, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak. Malahan syarikat itu telah pun mendapatkan bekalan alat gantinya untuk Malaysia.

    Jetour Dashing bakal dilancarkan di M’sia pada Q1 2025 – 20 cawangan pengedaran dibuka tahun ini

    “2025 adalah tahun penting bagi Jetour Malaysia ketika kami memulakan perjalanan yang menarik ini di sini. Matlamat kami adalah untuk menjadi teman perjalanan pilihan rakyat Malaysia, menawarkan kenderaan yang memberi inspirasi kepada pengembaraan dan mewujudkan dedikasi kami terhadap kualiti dan inovasi.

    “Dengan rangkaian perkhidmatan kami yang berkembang dan infrastruktur sokongan yang komprehensif, kami komited untuk memastikan kebolehcapaian dan kebolehpercayaan untuk pelanggan kami. Usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk membina hubungan yang kukuh dan berkekalan dengan pasaran Malaysia,” kata Xu.

    Tambahnya, dua model off-road T2 dan T1 juga akan menyertai barisan Jetour di Malaysia iaitu selepas Dashing dan SUV Jetour tujuh-tempat duduk dilancarkan di sini.

    Ditubuhkan pada tahun 2018, Jetour merupakan jenama di bawah naungan Chery, tetapi ia beroperasi secara bebas di seluruh dunia termasuk Malaysia. Di mana aa mempunyai pasukan dan pejabat yang berasingan dari Chery, sama seperti Jaecoo Malaysia.