Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Bilik pameran Proton eMas oleh SG Car dibuka di Shah Alam; 30 cawangan Pro-Net menjelang akhir 2024

    Bilik pameran Proton eMas oleh SG Car dibuka di Shah Alam; 30 cawangan Pro-Net menjelang akhir 2024

    Bilik pameran Proton eMas pertama telah pun dibuka secara rasmi bagi mempamerkan dan memudahkan penjualan kenderaan elektrik pertama Proton ini. Dikendalikan oleh SG Car di bawah kumpulan Setia Gemilang, bilik pameran pertama Proton eMas ini terletak di Ideal Convention Centre (IDCC) di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, dan ia adalah sebahagian daripada pusat yang menawarkan servis kenderaan dan alat ganti.

    Waktu operasi bagi bilik pameran dan jabatan selepas jualan ialah dari jam 8 pagi hingga 7 malam untuk Isnin hingga Sabtu, dan 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad serta cuti umum. Manakala pusat servis pula beroperasi enam hari seminggu dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Sabtu, dengan waktu rehat dari 1 tengahari hingga 2 petang, serta tutup pada Ahad dan cuti umum.

    Bilik pameran ini mampu mempamerkan sehingga 14 kenderaan bagi kedua-dua jenis enjin pembakaran dalaman dan elektrik sepenuhnya, dan turut menyediakan ruang lounge yang mampu menampung sehingga 30 tetamu. Manakala untuk pusat servis pula menempatkan 13 petak penyelenggaran.

    Bilik pameran Proton eMas oleh SG Car dibuka di Shah Alam; 30 cawangan Pro-Net menjelang akhir 2024

    “Dengan adanya kemudahan baharu ini, kami yakin bilik pameran ini akan memenuhi keperluan masyarakat di samping menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor automotif. Saya amat berharap agar cawangan baharu ini bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan kami tetapi juga memberi inspirasi kepada penghargaan yang lebih besar untuk masa depan teknologi automotif yang mampan,” kata pemilik peniaga SG Cars Datuk Andrew Quek.

    Pengedaran Proton eMas dikendalikan oleh bahagian EV syarikat, Pro-Net, yang telah melantik 37 pengedar di seluruh negara, dan daripada jumlah itu, 30 cawangan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

    Bagi 3,000 pelanggan pertama Proton eMas 7, SUV elektrik itu ditawarkan pada harga RM105,800 untuk Prime dan RM119,800 untuk Premium, iaitu diskaun sebanyak RM4,000 daripada harga biasa masing-masing RM109,800 dan RM123,800.

    Waranti kenderaan adalah selama enam tahun, perbatuan tanpa had, manakala bateri dan bahagian EV dilindungi oleh waranti lapan tahun/160,000 km yang berasingan. Bagi memberikan ketenangan minda buat pelanggannya yang mungkin bimbang dengan jangka hayat bateri kenderaan, Proton akan menawarkan penggantian bateri penuh jika state of health unit asalnya jatuh di bawah 70% dalam tempoh lapan tahun atau 160,000 km.

     
     
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bakal menyediakan koc khas wanita mulai 31 Disember 2024 – Rapid Rail

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bakal menyediakan koc khas wanita mulai 31 Disember 2024 – Rapid Rail

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL telah mengumumkan akan melaksanakan inisiatif koc wanita bagi LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bermula 31 Disember 2024. Di mana Laluan Ampang/Sri Petaling ini akan menjadi laluan ketiga di bawah kendalian Rapid Rail yang memperkenalkan kemudahan ini, selepas pelaksanaan projek perintis bagi MRT Laluan Kajang pada 18 September 2023 dan MRT Laluan Putrajaya pada 8 April 2024.

    “Inisiatif ini diperkenalkan bagi memberi pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada penumpang wanita, yang merupakan kira-kira 60% daripada keseluruhan pengguna perkhidmatan rel Rapid KL. Dengan adanya koc wanita, diharapkan penumpang wanita dapat menikmati perjalanan yang lebih tenang tanpa rasa bimbang tentang keselamatan mereka,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya, sejak pelaksanaan koc wanita di Laluan Kajang, bilangan kes gangguan tidak diingini telah menunjukkan penurunan sebanyak 22% sehingga November baru-baru ini. Laluan Putrajaya juga menyaksikan penurunan kes dengan ketara sebanyak 50% sejak pelaksanaan koc wanita ini April lalu.

    LRT Laluan Ampang/Sri Petaling bakal menyediakan koc khas wanita mulai 31 Disember 2024 – Rapid Rail

    Bagi memudahkan pengguna mengenalpasti koc wanita, sebanyak 36 stesen dan 45 tren di Laluan Ampang/Sri Petaling telah dipasang dengan pelekat khas berwarna merah jambu. Koc wanita di laluan ini terletak di bahagian tengah setiap tren di koc tiga dan koc empat.

    Koc wanita ini boleh digunakan oleh penumpang wanita dari pelbagai peringkat umur, serta kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan ke bawah yang ditemani penjaga wanita. Manakala bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk penjaga diberikan keutamaan untuk menaiki mana-mana gerabak tren.

    “Pemantauan berkala akan dilaksanakan oleh polis bantuan di dalam tren dan di stesen, bagi memastikan etika penggunaan koc wanita dipatuhi oleh semua pengguna Rapid KL.

    “Rapid Rail menyeru kepada semua pengguna untuk terus menyokong inisiatif ini dan memohon agar pengguna wanita memanfaatkan sepenuhnya koc wanita terlebih dahulu, bagi memberi ruang kepada pengguna lain menggunakan koc biasa,” kata syarikat ini lagi.

     
     
  • Tol percuma pada 23-24 Disember 2024 sempena Krismas, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Tol percuma pada 23-24 Disember 2024 sempena Krismas, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengumumkan kerajaan telah memuktamadkan pemberian kadar tol secara percuma kepada kenderaan Kelas 1 (persendirian) sahaja bermula jam 12.01 tengahmalam pada 23 hingga jam 11.59 malam pada 24 Disember 2024 sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut Rabu ini. Di mana pemberian kadar tol percuma ini akan diberikan di semua plaza tol kecuali di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

    “Kerajaan Madani telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja selaras aspirasi “MADANI di hati, Rakyat Disantuni” sempena Perayaan Hari Krismas 2024. Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM38juta.

    “Pengecualian tol bermula pada jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan berakhir pada jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa). Pengecualian tol ini diharap dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia Madani yang berbilang kaum, budaya, kaum dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Krismas 2024 terutama kepada yang beragama Kristian,” kata KKR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tol percuma pada 23-24 Disember 2024 sempena Krismas, kecuali di plaza tol BSI dan Tanjung Kupang

    Pastinya peluang keemasan ini akan dimanfaatkan oleh orang ramai yang tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman atau mana-mana destinasi percutian ketika musim perayaan ini dan juga cuti hujung tahun. Walau bagaimana pun, anda disarankan supaya mengikut cadangan jadual waktu perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuhraya bagi mengurangkan risiko tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

    “Semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan menerusi Variable Message System (VMS). Pengguna yang menggunakan lorong Smartlane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smartlane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan, dan peka dengan keadaan sekeliling.

    “Penunggang motosikal juga dinasihatkan supaya berhati-hati terutamanya semasa trafik tinggi di lebuhraya. Pastikan berhenti di tempat teduhan yang telah disediakan di lokasi terpilih di sepanjang lebuhraya dan sentiasa peka dan berwaspada apabila menghampiri lorong Smartlane yang diaktifkan,”kata KKR lagi.

    Dalam masa yang sama, anda juga dinasihati memastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet mencukupi walau pun melalui lebuhraya dalam tempoh pemberian tol percuma ini. Jangan lupa dapatkan rehat secukupnya dan pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan yang selamat untuk dipandu. Sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati di jalan raya.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 di M’sia bulan depan — apa yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan?

    Honda Civic facelift 2025 di M’sia bulan depan — apa yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan?

    Honda Civic facelift 2025 bakal jadi pengenalan model baru pertama Honda Malaysia di sini, dan dijangka akan dilancarkan pada Januari nanti. Perkara ini dikongsikan oleh syarikat itu ketika mula mengambil tempahan untuk Civic 2025 minggu lalu.

    Civic FE versi diperkemas ini sebetulnya dilancarkan tahun ini, namun sedikit kelewatan dijangkakan — tidak terlalu lambat, kerana ia baru empat bulan diperkenalkan di pasaran jiran, Thailand. Jadi, apa yang boleh kita jangkakan daripada model facelift terbaru bagi Civic generasi ke-11 ini? Untuk rekod, model ini sudah terjual lebih daripada 28,000 unit sejak diperkenalkan pada Januari 2022.

    Belum ada perincian tentang varian yang akan ditawarkan, tetapi boleh dijangka Civic akan menerima varian yang sama seperti sebelum ini. Ada empat varian Civic ketika ini: tiga petrol (1.5L E, 1.5L V, 1.5L RS) dan satu hibrid (e:HEV 2.0L RS) yang menjadi penawaran model paling lengkap.

    Empat varian tersebut dijangka akan dikekalkan untuk versi facelift terbaru ini nanti. Ada yang mengatakan varian paling asas E akan digugurkan; ini mungkin tidak akan berlaku kerana ia penting bagi jualan fleet (misalnya untuk kegunaan PDRM).

    Honda Civic facelift 2025 di M’sia bulan depan — apa yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan?

    Kemudian, tentulah ada perubahan dari segi rekaan luaran, dimulai dengan rekaan bamparnya. Perubahan yang dilakukan menampakkan bahagian bawahnya yang lebih ketara dengan gril yang lebih tebal — gril baru juga dengan rekaan honeycomb mesh hexagon bagi kedua-dua bahagian bawah dan utamanya.

    Varian e:HEV pula akan menampilkan rim 18-inci kelabu kesat rekaan baru. Untuk varian petrol masih belum diketahui akan menerapkan perubahan yang sama atau sebaliknya.

    Seperti yang ditunjukkan di Thailand, sistem janaan kuasa akan dikekalkan dan tiada sebarang perubahan mekanikal. Bagi versi petrol, enjin 1.5 liter VTEC Turbo empat-silindernya menawarkan janaan 182 PS pada 6,000 rpm dan 240 Nm tork dari 1,700 hingga 4,500 rpm, digandingkan dengan CVT.

    Varian e:HEV pula kekal dengan sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama. ini menggabungkan janaan 134 PS dan 189 Nm dari enjin 2.0 liter NA kitaran Atkinson empat-silinder — yang bertindak sebagai generator — serta sebuah motor elektrik yang memberikan 184 PS (181 hp, atau 135 kW) dan 315 Nm dari 0-2,000 rpm, dengan kuasa yang disalurkan ke roda depan melalui CVT.

    Honda Civic facelift 2025 di M’sia bulan depan — apa yang boleh dijangkakan untuk pasaran tempatan?

    Kelengkapan bagi model facelift ini nanti juga tidak akan banyak berubah. Sama sahaja dengan ciri seperti pendingin zon tunggal untuk varian petrol dan dua-zon untuk model hibrid, serta kerusi balutan fabrik untuk varian paling asas dan balutan kulit untuk varian V ke atas. Tidak ketinggalan fungsi Honda Connect, yang juga ditawarkan ketika ini untuk varian V ke atas.

    Jadi, apa perubahannya? Di Thailand, head unit skrin sentuh sembilan-inci kini lengkapi dengan sambungan Android Auto tanpa wayar yang sebelum ini hanya ada untuk Apple CarPlay. Ciri ini dijangka akan turut ditawarkan di sini untuk model yang dilengkapi dengan Advanced Display Audio HU. Varian E ketika ini hanya menampilkan unit Display Audio tujuh-inci.

    Pelanggan juga boleh menjangkakan ciri binaan dalaman Google bagi varian paling tinggi, walaupun masih belum boleh dipastikan sama ada varian e:HEV RS di Malaysia akan turut menerima tetapan Bose Premium Audio dengan 12-pembesar suara seperti di Thailand. Jika ada, ia akan menggantikan sistem dengan lapan-pembesar suara model semasa ketika ini.

    Sama seperti model semasa, semua varian Civic facelift itu nanti akan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Honda Sensing, yang antaranya terdiri daripada fungsi seperti AEB, bantuan mengekalkan lorong, penghindar keluar lorong dengan amaran, kawalan melayar adaptif dengan low-speed follow dan amaran pergerakan kereta depan. Ciri kamera LaneWatch juga dikekalkan, untuk varian V ke atas.

    Untuk harga, boleh dijangkakan hanya akan ada sedikit perubahan berbanding harga Civic semasa. Di Thailand bahkan harga sedikit menurun berbanding pengenalan pertamanya pada Ogos 2021 dahulu.

    Harga terakhir Civic di Malaysia pula adalah seperti berikut: 1.5E (RM131,900), 1.5L V (RM144,900) dan 1.5L RS petrol (RM151,900). Varian e:HEV pula dikenakan harga RM166,500, yang kemudiannya naik menjadi RM167,900.

     
     
  • Subaru BRX STI Sport Purple Edition akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025 bersama WRX, Levorg Layback

    Subaru BRX STI Sport Purple Edition akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025 bersama WRX, Levorg Layback

    Untuk acara Tokyo Auto Salon 2025 yang akan berlangsung seperti biasa di Makuhari Meese bermula 10 hingga 12 Januari hadapan, Subaru bakal mendedahkan beberapa model edisi istimewa.

    Yang pertama adalah coupe dua-pintu pacuan roda belakang Subaru BRZ STI Sport Purple Edition. Model ini akan dihasilkan dalam jumlah terhad dan hanya akan dijual di Jepun. Diasaskan dari varian STI Sport, seperti namanya BRZ ini diberikan warna badan Galaxy Purple Pearl.

    Selain itu, model ini juga menerima serlahan-serlahan hitam, beberapa komponen prestasi tinggi STI dan juga diberikan kemasan-kemasan perak dan kelabu pada bahagian kabin.

    Kemudian Subaru juga akan memperkenalkan WRX S4 STI Sport R-Black Limited, di mana sedan dengan enjin boxer empat silinder turbo dan sistem pacuan semua roda ini menerima pelbagai komponen prestasi dari STI serta bahagian dalaman berwarna hitam.

    Subaru Levorg Layback Black Selection juga akan dibawa ke reruai Subaru di TAS 2025, di mana wagon dengan jarak kelegaan tanah lebih tinggi itu ditawarkan bahagian luaran dan dalaman berwarna hitam, serta dilengkapkan dengan pelbagai komponen prestasi tinggi STI.

    Dan yang terakhir adalah model yang dikenali sebagai Crosstrek Strong Hybrid, yang sebenarnya merupakan Subaru Crosstrek Premium S:HEV EV yang menerima kit STI.

    Selain dari model-model edisi istimewa ini, Subaru turut akan mempamerkan barisan kereta lumbanya termasuk jentera BRZ GT300 terbaharu yang akan berlumba di Super GT 2025, WRX NBR Challenge yang bertanding di NBR Challenge 2025 dalam kelas SP4T, WRX yang berlumba dalam Super Taikyu Series dalam kelas ST-Q dan juga model konsep High Performance X Future.

     
     
  • Proton eMas 7 — bateri akan diganti sepenuhnya jika tahap SoH jatuh di bawah 70% dalam tempoh jaminan

    Proton eMas 7 — bateri akan diganti sepenuhnya jika tahap SoH jatuh di bawah 70% dalam tempoh jaminan

    Proton eMas 7 sudah tentu merupakan pengenalan EV paling penting tahun ini untuk pasaran tempatan. Ia merupakan model produksi bateri elektrik yang pertama bagi Proton, dan disasarkan untuk pasaran yang lebih meluas untuk pengguna di Malaysia.

    Namun, ada keraguan lumrah tentang EV: sejauh mana jarak yang berbaki bagi setiap keadaan pemanduan serta status semasa baterinya? Dan, berapa lama pula jangka hayat bagi bateri berkenaan? Bagaimana jika ada masalah dengan bateri tersebut? Ini dan sudah tentu banyak lagi pertanyaan pasti bermain dalam fikiran ramai orang ketika mempertimbangkan sebuah EV.

    Untuk memberi kelegaan fikiran kepada pelanggan, selain daripada jaminan enam-tahun/tanpa had perbatuan untuk kereta terbabit, Proton turut memberikan jaminan EV lapan-tahun/160,000 km, yang melindungi komponen EV dan bateri eMas 7 ini. Kami tanyakan kepada Proton: bagaimana jika tahap kesihatan bateri (SoH) jatuh bawah 70% dalam tempoh lapan tahun itu, adakah Proton akan menggantikan bateri tersebut secara percuma? — seperti yang dilakukan oleh BYD dan Chery. Jawapannya, ya. Ini akan melegakan lagi keresahan ramai pengguna yang mungkin tertanya-tanya hal yang sama.

    Proton eMas 7 — bateri akan diganti sepenuhnya jika tahap SoH jatuh di bawah 70% dalam tempoh jaminan

    Ditawarkan dalam dua varian, Prime (RM105,800) dan Premium (RM119,800) — harga promosi bagi 3,000 pembeli terawal — motor elektrik Proton eMas 7 yang terletak di depan dan menghasilkan 218 PS/320 Nm menerima kuasanya dari bateri lithium iron phosphate (LFP) bilah pendek buatan Aegis milik Geely, dengan kapasiti 49.52 kWh untuk Prime (jarak 345 km, WLTP) dan 60.22 kWh untuk Premium (jarak 410 km, WLTP).

    Baca lanjut tentang pelancaran Proton eMas 7 dan juga pengalaman ringkas kami memandu uji model berkenaan.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

     
     
  • Renault 5 Turbo 3E akan masuk fasa produksi – EV prestasi dengan dua motor elektrik, lebih 500 PS

    Renault 5 Turbo 3E akan masuk fasa produksi – EV prestasi dengan dua motor elektrik, lebih 500 PS

    Hatchback memang sudah biasa menjadi satu asas untuk varian kereta yang lebih berprestasi. Dalam kategori ini Renault bukan asing lagi dan mengumumkan bahawa satu versi prestasi bagi Renault 5 EV yang dilancarkan Februari lalu akan diperkenalkan untuk pasaran dengan menggunakan nama Renault Turbo 3E.

    Dipanggil oleh Renault sebagai satu “pendekatan moden, elektrik” bagi Renault 5 Turbo dan Turbo 2 dari tahun 180-an, Turbo 3E ini akan menggunakan dua motor elektrik, dengan setiap satunya digunakan untuk memacu setiap roda belakang dan menghasilkan kuasa lebih 500 PS. Katanya, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat.

    Spesifikasi bateri Turbo 3E masih belum didedah, tetapi sebagai rujukan, Renault 5 EV biasa menggunakan bateri 40 kWh atau 52 kWh, bergantung kepada varian. Bagi yang menggunakan bateri 52 kWh, ia mampu memberikan jarak gerak sehingga 400 km mengikut kitaran WLTP.

    Seperti yang boleh anda lihat melalui gambar yang disediakan ini, Turbo 3E menggunakan bentuk badan yang jauh lebih agresif berbanding Turbo 5 EV biasa, dan dilengkapi dengan rim lebih besar dan lebar, bampar lebih rendah, bentuk lampu yang direka semula serta tiga lubang angin yang lebih besar pada bamparnya.

    Berhampiran tayar belakang terdapat bukaan udara dan di situlah terletaknya soket pengecas untuk bateri kereta ini, sementara pada bampar belakang, yang juga dipanjangkan, mempunyai panel tambahan berbentuk diffuser.

    Menurut Renault, Turbo 3E dibina berasaskan struktur super karbon yang ringan dan sangat kuat, tetapi beratnya tidak didedah. Ia juga bukan sekadar satu latihan rekaan, tetapi CEO Renault Group, Luca de Meo sendiri mengesahkan bahawa pada masa hadapan ia akan memasuki fasa produksi.

     
     
  • Kia Syros 2025 diperkenal di India – SUV dengan enjin petrol 1.0T atau diesel 1.5T, sistem ADAS Level 2

    Kia Syros 2025 diperkenal di India – SUV dengan enjin petrol 1.0T atau diesel 1.5T, sistem ADAS Level 2

    Di India, Kia memperkenalkan Syros, iaitu sebuah SUV bawah empat meter yang diletakkan antara Sonet dan Seltos dalam penawaran produk syarikat itu. Tempahan untuk model serba baru itu akan dibuka 3 Januari tahun depan, tetapi harga masih belum didedahkan.

    Dibina atas platform K1, Syros mencatat panjang 3,995 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,625 mm dan jarak roda 2,550 mm. Sama seperti model-model Kia terbaru yang lain, SUV ini juga menggunakan falsafah rekaan ‘Opposites United’ yang menerapkan antaranya muka ‘Digital Tiger Face’ dan pencahayaan lampu LED ‘Star Map’.

    Datang dengan bentuk badan berpetak, SUV ini juga dilengkapi dengan lengkung roda yang jelas, pembuka pintu rata sama dengan badan, rel bumbung serta kemasan hitam di sekeliling bahagian bawah badannya. Lampu belakang datang dengan jalur nipis berbentuk L.

    Kia Syros 2025 diperkenal di India – SUV dengan enjin petrol 1.0T atau diesel 1.5T, sistem ADAS Level 2

    Sementara bahagian luar adalah unik, keadaan di dalam Syros ini pula lebih biasa. Ia kelihatan seperti banyak mendapat inspirasi daripada EV3, dengan mempunyai kemasan berwarna kontras termasuk di stereng, papan pemuka dan kulit pintu.

    Menjadi tumpuan di atas papan pemuka adalah skrin 30 inci yang dipanggil sebagai ‘Trinity Panoramic Display’. Ia menggabungkan skrin sesentuh 12.3 inci untuk infotainmen, panel instrumen digital 12 inci dan skrin sesentuh lima inci untuk kawalan pendingin hawa.

    Walaupun datang dengan skrin yang besar, kereta ini masih mempunyai banyak butang kawalan, diletakkan di bahagian bawah skrin itu dan juga di stereng. Ciri praktikaliti tidak dilupakan dengan tersedianya tempat cawan di konsol tengah, tempat meletak gajet di belakang tempat duduk hadapan dan kapasiti ruang barangan belakang 465 liter – boleh lipat 60:40.

    Kia Syros 2025 diperkenal di India – SUV dengan enjin petrol 1.0T atau diesel 1.5T, sistem ADAS Level 2

    Untuk kelengkapan, Syros datang dengan saiz rim antara 15 ke 17 inci, bumbung panoramik, tempat duduk balutan kulit tiruan, lampu suasana, sistem tanpa kunci, kamera undur, sistem bunyi Harman Kardon dengan lapan pembesar suara, sistem penapis udara serta tempat duduk hadapan dan belakang dengan liang udara.

    Kia juga menawarkan ADAS Level 2 pada SUV ini, yang termasuk Front Collision Warning and Avoidance (dengan Autonomous Emergency Braking, Junction Assist dan bantuan parkir), Active Cruise Control dengan stop and go, Leading Vehicle Departure Alert, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Follow Assist, High Beam Assist, Driver Attention Warning, Blind View Monitor dan kamera 360 darjah. Sistem keselamatan biasa juga ada, seperti ABS, ESC dan enam beg udara.

    Kia Syros 2025 diperkenal di India – SUV dengan enjin petrol 1.0T atau diesel 1.5T, sistem ADAS Level 2

    Pakej penggerak disediakan dalam dua pilihan, bermula dengan enjin petrol tiga silinder 1.0 liter turbo Smartstream G berkuasa 120 PS (118 hp atau 88.3 kW) pada 6,000 rpm dan tork 172 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm. Satu lagi adalah enjin diesel empat silinder 1.5 liter turbo Smartstream D berkuasa 116 PS (114 hp atau 85 kW) pada 4,000 rpm dan tork 250 Nm dari 1,500 hingga 2,750 rpm.

    Kedua-dua enjin ini dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan untuk memacu roda hadapan, tetapi varian petrol boleh dipilih dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan manakala varian diesel pula boleh didapati dengan transmisi automatik enam kelajuan. Varian transmisi manual yang disediakan sebagai pilihan asas cuma datang dengan brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang.

     
     
  • Lesen memandu fizikal masih boleh diperoleh dari mana-mana cawangan JPJ berhampiran – Loke

    Lesen memandu fizikal masih boleh diperoleh dari mana-mana cawangan JPJ berhampiran – Loke

    Bagi yang bercadang mahu memandu di luar negara, jika ada negara yang membenarkan penggunaan Lesen Memandu Malaysia (LMM), kad fizikal diperlukan bagi tujuan tersebut. Namun memandangkan sekarang ini, Malaysia melaksanakan pendigitalan termasuk untuk lesen memandu, jadi pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana hendak mendapatkannya jika diperlukan.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi warganegara Malaysia yang berhasrat ke luar negara, kad LMM fizikal boleh dipohon di cawangan JPJ beserta mendapatkan Permit Pemanduan Antarabangsa (IDP) yang diterima pakai di negara-negara penjanji Konvensyen Geneva 1949.

    “Orang ramai masih diberi pilihan untuk mendapatkan lesen secara fizikal di mana-mana cawangan JPJ yang berdekatan. Namun begitu, JPJ memberikan rebat sebanyak RM5 bagi pilihan cetakan digital di semua saluran termasuk MyJPJ. Promosi rebat ini sebagai satu inisiatif menggalakkan kempen digitalisasi, dan pelanggan JPJ hanya layak mendapat rebat bagi sekali transaksi pembaharuan sahaja,” katanya.

    Lesen memandu fizikal masih boleh diperoleh dari mana-mana cawangan JPJ berhampiran – Loke

    Ia adalah bagi menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang meminta kementerian menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk meneliti penggunaan semula kad fizikal lesen memandu dengan mengambil kira desakan dan rungutan dari rakyat apabila menghadapi masalah di luar negara mengenai lesen memandu digital yang tidak diterima pakai oleh negara luar mengikut standard piawaian antarabangsa.

    Loke turut berkata, pelaksanaan pendigitalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan LMM ini mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam mengambilkira ianya adalah sesuatu yang baharu dan memberi kesan secara langsung kepada orang awam. Secara keseluruhannya, inisiatif pendigitalan JPJ ini mendapat sambutan dan penerimaan yang baik daripada rakyat.

    “Setakat Oktober 2024, sejumlah 13.7 juta pengguna telah memuat turun aplikasi MyJPJ dan sebanyak lebih 10.7 juta pendaftaran JPJeID telah dibuat oleh pengguna sejak diperkenalkan pada Februari 2023,” tambahnya.

    Walau bagaimana pun, katanya, MOT dan JPJ telah mengambil langkah proaktif bagi menangani sebarang isu yang timbul berkaitan dengan pelaksanaan ini termasuk terus mempergiatkan advokasi serta kempen bagi meningkatkan kesedaran dalam inisiatif pendigitalan JPJ.

     
     
  • Mazda beli semula RX-7 milik nenek berusia 80 tahun – ia akan dijaga dan dipamerkan kepada orang ramai

    Ingat lagi berita tempoh hari di mana seorang nenek dari Wilayah Nagasaki yang ingin menjual Mazda RX-7 FD3S miliknya ketika berusia ke-80 kerana mahu membatalkan lesen memandunya? Nenek tersebut, Naoko Nishimoto telah menyambut hari lahirnya ke-80 pada 18 Disember lalu, dan RX-7 tersebut sudahpun diserahkan kepada pemilik baharu.

    Menurut Nishimoto dalam laporan KTN TV Nagasaki, selepas berita tentang niatnya untuk menjual RX-7 tersebut sebelum ini, dia telahpun menerima tawaran dari 400 orang yang mahu membeli kereta berkenaan. Namun dari 400 tawaran tersebut, Nishimoto tertarik dengan satu tawaran, iaitu dari pihak Mazda sendiri!

    Kereta itu telah diserahkan kepada Mazda di bilik pameran Mazda Bandar Nagasaki dua hari lalu menerusi satu majlis yang turut dihadiri oleh media. Kunci RX-7 tersebut diserahkan kepada ketua perhubungan awam produk Mazda, Koji Tsujimoto. Ketika diserahkan, meter perbatuan kereta berkenaan sudahpun mencatatkan perjalanan sejauh 77,500 km.

    Mazda beli semula RX-7 milik nenek berusia 80 tahun – ia akan dijaga dan dipamerkan kepada orang ramai

    Selepas ini Mazda RX-7 berkenaan akan dibawa balik ke ibu pejabat Mazda di Hiroshima, kemudian bakal diletakkan di pejabatnya di Yokohama dan akan dipamerkan di pelbagai acara awam dan media. Bagi Nishimoto pula, habis sahaja majlis penyerahan tersebut, dia terus ke balai polis untuk membatalkan dan memulangkan semula lesen memandunya.

    Mazda RX-7 FD3S berwarna perak ini dibeli oleh Nishimoto ketika berumur 55-tahun, dan kereta sport dengan enjin wankel rotary yang disumbat dengan pengecas turbo serta dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan tersebut dipandu olehnya setiap hari sebagai pengangkutan harian selama 25-tahun.

    Menurut Nishimoto, dia mula suka dengan Mazda RX-7 FD3S ini setelah mengikuti siri anime Initial D. Selain dari watak utama Takumi Fujiwara yang menyebabkan Toyota AE86 diburu di seluruh dunia, Initial D juga telah menaikkan populariti Mazda RX-7 dari generasi FC3S dan FD3S yang digunakan oleh watak adik-beradik Takahashi.

    Mazda beli semula RX-7 milik nenek berusia 80 tahun – ia akan dijaga dan dipamerkan kepada orang ramai

    “Saya menonton anime Initial D, dan saya rasa ia ada babak perlumbaan yang begitu bergaya,” kata Nishimoto dan memberitahu bahawa dia tertarik dengan salah satu jentera yang digunakan dalam siri animasi itu. “Jadi saya bagitahu anak lelaki saya, ‘yang ini cantik’. Dia cakap ini adalah Mazda dan saya terus pergi beli,” tambahnya.

    Nishimoto memulakan pencariannya di pengedar-pengedar kereta seluruh Nagasaki, dan akhirnya membeli RX-7 FD3S berwarna Perak berkenaan.

    “Saya rasa kereta ini seperti melekat ke permukaan jalan dan ia bergerak sangat lancar. Ini merupakan rasa seronok yang tidak boleh digambarkan. Sangat bagus jika anda dapat pandu dan rasanya sendiri,” kata Nishimoto lagi.

     
     
  • PLUS aktifkan 25 laluan Smartlane antara 20 Dis 2024-2 Jan 2025 sempena Krismas dan cuti hujung tahun

    PLUS aktifkan 25 laluan Smartlane antara 20 Dis 2024-2 Jan 2025 sempena Krismas dan cuti hujung tahun

    Sempena dengan perayaan Krismas dan cuti hujung tahun ini, PLUS Malaysia Berhad telah mengaktifkan laluan Smartlane di 25 lokasi tumpuan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan bermula hari ini, 20 Disember 2024 sehingga 2 Januari 2025.

    “PLUS bersiap sedia menghadapi peningkatan trafik sehingga 2.12 juta kenderaan sehari sempena musim perayaan Krismas dan cuti hujung tahun dari 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025, berbanding 1.85 juta pada hari biasa. Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan perjalanan di lebuh raya lebih selamat, lancar, dan selesa bagi para pengguna.

    “Bagi menampung peningkatan trafik, PLUS juga akan mengaktifkan penggunaan laluan Smart Lane di 25 lokasi sepanjang Lebuhraya PLUS sepanjang tempoh sama. Langkah ini bertujuan membantu melancarkan pergerakan trafik sepanjang lebuh raya terutamanya pada waktu puncak,” kata PLUS.

    Klik untuk besarkan

    Ketika Smartlane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuhraya.​

    Anda boleh rujuk jadual di atas untuk mengetahui lokasi yang lebih tepat, jarak laluan Smartlane dibuka dan juga tempoh masa yang ditetapkan.

    Seperti amalan yang dimulakan sejak Mac lalu, PLUS bertindak melakukan beberapa peningkatan bagi laluan Smartlane ini seperti tambahan papan tanda.

    PLUS aktifkan 25 laluan Smartlane antara 20 Dis 2024-2 Jan 2025 sempena Krismas dan cuti hujung tahun

    Satu kilometer sebelum SmartLane ini dibuka diletakkan satu papan tanda, diikuti satu lagi dalam 500 meter sebelumnya, satu papan tanda peringatan setiap 500 meter dan papan tanda tamat. Kemudiannya, PLUS juga meletakkan lampu hijau berkelip pada papan tanda laluan SmartLane ini sebagai tanda ia boleh digunakan.

    Sebagai persediaan berhadapan dengan peningkatan jumlah trafik yang tinggi sempena perayaan Krismas dan cuti hujung tahun ini, PLUS juga telah membuat persiapan rapi. Antaranya termasuklah menempatkan kira-kira 1,500 kakitangan untuk bantu operasi di plaza tol, lebih 1,000 lorong tol beroperasi, lebih 500 jumlah keseluruhan anggota rondaan PLUSRonda dan LPT2Ronda, serta membuka semua kemudahan tandas awam, surau dan stesen minyak di R&R yang dibuka 24 jam.

    Untuk mengetahui jadual cadangan waktu perjalanan bagi Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pengguna boleh menyemaknya menerusi aplikasi PLUS. Ia bagi memudahkan lagi anda merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman mahu pun ke destinasi pilihan.

     
     
  • Pelarasan semula duti eksais OMV akan bermula – harga kereta CKD naik 8%-20% tahun depan?

    Pelarasan semula duti eksais OMV akan bermula – harga kereta CKD naik 8%-20% tahun depan?

    Pada 2019, kementerian kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan telahpun menyediakan ​Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barang-Barang yang Dikilangkan Secara Tempatan bagi Maksud Melevi Duti Eksais) 2019​​​​, yang telah digazetkan pada hari terakhir tahun tersebut. Peraturan ini sepatutnya telahpun mula digunakan pada 2020, tetapi dengan beberapa penangguhan, ia akan bermula awal tahun depan dan dijangka akan menyebabkan harga kereta-kereta yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia akan naik. Mengapa?

    Peraturan-peraturan ini akan menetapkan cara baharu untuk mengira Nilai Pasaran Terbuka (OMV) bagi kenderaan-kenderaan CKD. Sebarang peningkatan pada OMV ini akan meningkatkan jumlah cukai dan seterusnya, harga jualan kenderaan tersebut.

    OMV boleh didefinasikan sebagai harga pasaran muktamad kenderaan CKD tersebut selepas keluar dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan sebarang duti eksais ke atasnya. Jadi secara asasnya ia terdiri dari kos pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta kos pemasangan dan pantadbiran. Ia tidak sama dengan sistem yang digunakan untuk kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) di mana untuk jenis ini harga tersebut adalah berdasarkan Kos, Insuran dan Pengankutan (CIF) yang akan dikenakan duti import dan eksais.

    Berbalik pada CKD dan OMV – peraturan-peraturan baharu ini menetapkan bahawa dalam mengira OMV, ia bukan hanya perlu mengambilkira keuntungan dan perbelanjaan am yang ditanggung atau diambil kira dalam pembuatan kenderaan, tetapi juga penjualannya.

    Pelarasan semula duti eksais OMV akan bermula – harga kereta CKD naik 8%-20% tahun depan?

    Klausa “jualan” inilah yang menggusarkan pemain industri, kerana ia melibatkan bidang seperti kejuruteraan, kerja-kerja pembangunan, karya seni, kerja reka bentuk, pelan dan lakaran, pembayaran royalti dan yuran lesen (paten, tanda dagangan, hak cipta). Ia boleh dianggap sebagai ‘kos kilang’ ditambah dengan ‘kos pejabat’.

    Seperti yang disebut tadi, peraturan baharu ini sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun 22 hari selepas sambutan tahun baharu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa kementerian kewangan telah menangguhkan pelaksanaannya sehingga 2021, dan menambah bahawa peraturan baharu itu akan menyebabkan harga kereta CKD naik sebanyak 20%.

    Menjelang akhir 2021 ia ditangguhkan lagi, dan MAA terus sekali lagi membuat rayuan kepada kerajaan pada 2022 – kali ini ia berjaya ditangguhkan selama dua tahun iaitu sehingga 31 Disember 2024. Jadi masih ada berbaki 12 hari dari sekarang, dan jika tiada pengumuman rasmi untuk satu lagi penangguhan dibuat, setiap syarikat yang memasang kereta di Malaysia mesti mematuhi peraturan baharu berkenaan, mengikut undang-undang.

    Selain dari perancangan, ramalan dan operasi yang sukar bakal dialami oleh pembuat kereta kerana ketidakpastian ini, kita sebagai pengguna biasa juga mungkin perlu membayar lebih untuk petrol RON 95 mulai pertengahan tahun depan kerana penyasaran subsidi, kenaikan-kenaikan harga yang terhasil daripada pelbagai barangan dan perkhidmatan, serta perlu membayar harga sehingga 20% lebih mahal untuk kereta CKD. Ini antara faktor yang diambil kira oleh penganalisis yang meramalkan jualan kereta dalam negara akan lebih rendah pada tahun hadapan berbanding tahun ini.

    Pelarasan semula duti eksais OMV akan bermula – harga kereta CKD naik 8%-20% tahun depan?

    Walau bagaimanapun banyak yang boleh terjadi dalam masa 12 hari ini, seperti penangguhan kedua yang diumumkan dua hari sebelum tahun baru. Namun sekiranya ia tidak ditangguhkan, harga untuk kereta-kereta CKD tentunya boleh naik sehingga 20%.

    Kami juga terfikir – sekiranya harga untuk kereta-kereta CKD naik, mungkin ini akan menyebabkan pengeluar tawar hati untuk meneruskan operasi pemasangan mereka di sini, dan lebih baik mengimport terus unit-unit CBU kerana harganya akan lebih kurang sama. Sekiranya perkara itu terjadi, kerajaan juga mungkin akan kehilangan pelaburan jangka masa panjang dalam negara, dan yang paling penting ia mungkin akan mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

    Tetapi sekiranya ia sekali lagi ditangguhkan, apa agaknya yang bakal kerajaan buat dalam jangka masa pendek untuk menambah hasil kutipan cukai? Sama-sama kita lihat perkembangan isu ini.

     
     
  • Geely EX5 EV 2025 – pendaftaran minat kembar Proton eMas 7 mula dibuka di Australia, 218 PS, 430 km WLTP

    Geely EX5 EV 2025 – pendaftaran minat kembar Proton eMas 7 mula dibuka di Australia, 218 PS, 430 km WLTP

    Tidak lama selepas Proton eMas 7 dilancarkan secara rasmi di Malaysia, Geely kini mula membuka pendaftaran minat untuk kembar SUV elektrik ini, iaitu Geely EX5 di Australia. Menurut laman Drive, ia akan mula dijual pada separuh pertama tahun hadapan.

    Australia menjadi negara seterusnya yang menerima SUV elektrik jenama Geely ini dalam versi pemanduan sebelah kanan, selepas Thailand November lalu. Sebagai rujukan, EX5 dijual pada harga bermula 859,000 baht (RM111,100) untuk varian Pro di Australia, sementara Proton eMas 7 bermula RM109,800 di Malaysia.

    Melihat kepada spesifikasi model Australia, EX5 ini datang dengan motor elektrik hadapan berkuasa 160 kW (218 PS), iaitu sama seperti yang ditawarkan pada Proton eMas 7, dengan jumlah tork pula 320 Nm. Bagi model yang menggunakan jenama Proton itu, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, manakala laju maksimum pula adalah 175 km/j.

    Geely EX5 EV 2025 – pendaftaran minat kembar Proton eMas 7 mula dibuka di Australia, 218 PS, 430 km WLTP

    Dalam laman web Geely Australia tertulis bahawa EX5 ini mampu memberikan jarak gerak sehingga 430 km mengikut standard ujian WLTP, sementara model Thailand pula boleh memberikan jarak gerak 495 km mengikut standard NEDC, dan Galaxy EX5 di China mampu mencapai 530 km dengan cas penuh mengikut standard CLTC.

    Di Malaysia pula, model pasaran Malaysia yang menggunakan bateri paling besar, iaitu berkapasiti 60.22 kWh dikatakan mampu memberi jarak gerak sehingga 410 km mengikut standard WLTP, sementara varian Prime pula memberikan jarak gerak 345 km (WLTP) atau 410 km mengikut NEDC.

    Daripada maklumat yang kami peroleh, Geely EX5 pasaran Australia boleh didapati dengan rim 18 inci bagi semua varian dan pakej bateri (dalam gambar menunjukkan model yang datang dengan rim 19 inci sama seperti eMas 7 Premium), yang membawa makna padanan rim lebih kecil berserta dengan kapasiti bateri lebih besar menjadi penyumbang kepada jarak geraknya yang sedikit lebih jauh ini (430 km, WLTP).

    Bateri EX5 pasaran Australia juga dikatakan boleh dicas 30-80% dalam masa 20 minit, iaitu sama dengan eMas 7 Premium menggunakan sumber DC 100 kW, dan DC 80 kW untuk eMas 7 Prime. Kadar pengecasan AC untuk EX5 pasaran Australia ini masih belum diberitahu, tetapi sebagai rujukan, kedua-dua varian eMas 7 boleh menerima sumber AC sehingga 11 kW, yang akan mengambil masa 4.9 jam untuk penuh bagi Prime dan 4.1 jam bagi Premium.

    Di negara kita, Proton eMas 7 mendapat senarai kelengkapan yang termasuk pad pengecas tanpa wayar, 16 pembesar suara Flyme Sound Wanos termasuk dalam perheat kepala serta kapasiti ruang barangan belakang 461 liter dan 51 liter di bawah lantai, menjadikan kapasiti keseluruhannya 1,877 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

    Sistem bantuan ADAS Level 2 disediakan pada kedua-dua varian SUV elektrik ini, termasuk Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Rear Cross Traffic Braking. Dalam ujian penilaian ASEAN NCAP, ini berjaya memberikan ia 92.57 mata.

    Di Malaysia, pesaing terdekat eMas 7 adalah BYD Atto 3 Extended Range, yang datang dengan motor pacuan hadapan tunggal 204 PS/310 Nm, mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. Model BYD dilengkapi bateri 60.48 kWh, dan dikatakan mampu memberi jarak gerak sehingga 420 km mengikut standard WLTP.

    GALERI: Proton eMas 7 Premium 2025

    GALERI: Proton eMas 7 Prime 2025

     
     
  • Mazda Spirit Racing MX-5 akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025; terima tingkat taraf prestasi, penggayaan

    Mazda Spirit Racing MX-5 akan didedah di Tokyo Auto Salon 2025; terima tingkat taraf prestasi, penggayaan

    Mazda bakal memperkenalkan model talaan istimewa untuk roadster MX-5 menerusi sayap prestasi baharunya iaitu Mazda Spirit Racing ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon (TAS) 2025 pada bulan hadapan. Buat masa sekarang nama rasmi bagi model istimewa tersebut masih belum diumumkan, namun berdasarkan foto yang telah disiarkan, model tersebut nampaknya tampil dengan penggayaan sama seperti model konsep MX-5 Spirit Racing RS ketika jenama itu dilancarkan di TAS 2024 pada Januari lalu.

    Dari segi rupa, versi produksi ini sememangnya menerima perincian yang hampir sama seperti model konsep yang diispirasikan dari kereta lumba siri Super Taikyu Endurance berkenaan. Ia menerima kit aero yang terdiri dari splitter udara hadapan, skirt sisi, pelekat jalur badan pada penutup bonet hadapan, rim aloi enam-jejari, tulisan ‘Mazda Spirit Racing’ pada fender hadapan, serta serlahan-serlahan merah pada bampar hadapan, cermin sisi dan juga pada angkup brek.

    Cuma ada sedikit perubahan yang diberikan pada model sebenar yang akan dijual ini iaitu pertama ia diberikan spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang, manakala talaan suspensinya tidak serendah yang dibuat pada model konsep. Tiada sebarang foto bahagian dalaman disiarkan, namun dijangkakan MX-5 istimewa ini akan diberikan tempat duduk bucket dari Recaro serta balutan Alcantara pada roda stereng.

    Selain dari model talaan baharu ini, Mazda turut akan mempamerkan model-model lain di reruainya di TAS 2025 nanti. Antaranya Roadster CNF Concept yang menggunakan bahan api neutral-karbon, Mazda 3 Bio Concpet yang menggunakan biodiesel, dan juga CX-5 yang disolek dengan tema Toyo Tires.

     
     
  • Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

    Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

    Mendekati penghujung tahun 2024 ini, Yamaha membuat kejutan dengan memperkenalkan Aerox Alpha baru di Indonesia, yang melibatkan pelbagai peningkatan pada skuter tersebut. Ia ditawarkan dalam empat varian, dengan harga bermula 29.9 juta Rupiah (RM8,260) bagi varian Standard dan 41.73 juta Rupiah (RM11,529) untuk varian paling tinggi Turbo Ultimate.

    Melihat pertamanya kepada penampilan, apabila diteliti anda akan nampak sebenarnya semua panel badan skuter yang juga dipanggil sebagai NVX ini adalah baru, termasuk juga lampu hadapan dan belakangnya. Kemudiannya, beza tinggi antara tempat duduk utama dengan penumpang juga nampak lebih sedikit.

    Peningkatan lebih penting berada pada dua varian tertinggi iaitu “Turbo” dan “Turbo Ultimate.” Enjinnya masih lagi unit satu silinder 155 cc Bluecore VVA, tetapi ia dipanggil sebagai serba baru kerana dipertingkat dengan teknologi Yamaha Electric CVT (Y-ECVT), seperti diperkenalkan kepada NMax di negara itu Jun lalu. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 15.4 PS pada 8,000 rpm dan tork 14.2 Nm pada 6,500 rpm.

    Yamaha Aerox Alpha 2025 dilancar di Indonesia – varian “Turbo” dapat pelbagai kelengkapan baru

    Walaupun menggunakan nama “Turbo”, skuter ini tidak mempunyai sebarang pengecas turbo sebenar, dan sebaliknya ia merujuk kepada mod tunggangan yang disediakan dalam dua pilihan iaitu T-Mode (Touring Mode yang lebih santai) dan S Mode (Sport Touring yang lebih bertenaga).

    Kemudiannya, ada pula Turbo Y-Shift, yang boleh digunakan jika penunggang mahukan lebih pecutan ataupun mahukan rasa engine braking yang lebih. Ia boleh diaktifkan melalui butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang dan disediakan dalam tiga tahap iaitu Low, Medium dan High.

    Sistem keselamatan skuter ini juga dipertingkat, dengan melihat kepada dua varian “Turbo” itu, ia datang bukan sahaja dengan ABS dual-channel, tetapi juga sistem kawalan cengkaman. Di bahagian kokpit, Aerox varian tinggi ini dilengkapi dengan panel meter TFT baru yang menyediakan tiga pilihan paparan dan boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect untuk fungsi tambahan.

    Kelengkapan lain pada skuter ini masih kekal sama termasuk tetapan rim 14 inci dengan brek cakera di hadapan dan belakang, fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang (dengan tabung untuk varian tinggi), soket pengecas USB-A, sistem start/stop, ruang simpanan 24.5 liter bawah tempat duduk, kunci pintar dan tangki bahan api 5.5 liter.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95, penilaian semula OMV akan kurangkan jualan kereta di Malaysia tahun depan

    Subsidi bersasar RON95, penilaian semula OMV akan kurangkan jualan kereta di Malaysia tahun depan

    Dengan tinggal 12 hari saja lagi untuk kita meninggalkan tahun 2024, dengan jumlah jualan tahunan setakat November berjumlah 731,534 unit, Malaysia dijangka akan melabuhkan tirai tahun ini dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 800,000.

    Bagaimanapun, penganalisis menjangkakan TIV akan menurun tahun depan disebabkan antaranya oleh subsidi bersasar petrol RON95 dan penilaian semula open market value (OMV), lapor The Star, dengan CIMB Securities meramalkan angka 755,000 unit, dengan menjangkakan penggunaan EV mungkin akan bertambah.

    “Jenama tempatan, yang diterajui oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd atau Perodua, dijangka akan terus mendominasi perkongsian pasaran,” jelas badan penganalisa tersebut.

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini menganggarkan yang penilaian semula pengiraan OMV akan memberi kesan peningkatan purata harga jualan kenderaan yang dipasang di sini sehingga 8%-20%. Namun, pelaksanaannya telah ditangguhkan beberapa kali, dengan penangguhan terakhir akan berakhir pada 31 Disember 2024.

    “Kami juga menjangkakan penggunaan BEV yang lebih tingggi bagi 2025, dipacu oleh pengenalan model baru, pemain baru dan meningkatnya persaingan antara pemain EV sebelum tamatnya pengecualian cukai untuk model EV yang diimport pada 2026, yang mana selepas itu model EV pemasangan tempatan akan diberi keutamaan,” jelas mereka lagi, dengan menyebut bahawa subsidi bersasar untuk RON 95 sebagai faktor penggalak peralihan kepada EV.

    Dengan 85% warga Malaysia akan terus menikmati subsidi petrol RON 95, ini akan terus membolehkan model-model Proton dan Perodua mengekalkan aspek mampu-miliknya untuk pemilik kenderaan pertama kali dan di dalam pasaran massa. CIMB Securities meramalkan sebanyak 65% perkongsian pasaran bagi dua jenama tempatan itu pada 2025 (1H 2024, 67.8%).

    Sementara itu, Maybank Investment Bank Research pula meramalkan TIV yang sedikit lebih rendah untuk 2025 dengan angka 750,000-unit. “Kami menjangkakan pasaran yang kukuh akan diteruskan dan dipacu oleh OEM tempatan dalam segmen pasaran massa (di bawah RM100,000), dan disokong oleh pesanan terdahulu bagi beberapa OEM, adanya model nilai-untuk-wang serta peningkatan kuasa beli pengguna dari sektor awam disebabkan kenaikan gaji pada Disember 2024 dan peningkatan gaji minimum pada Februari 2025.”

    “Bagaimanapun, pertumbuhan mungkin akan terhalang oleh terhadnya pengeluaran, memandangkan OEM utama denga angka tempahan terdahulu yang tinggi (seperti Perodua, Proton dan Toyota) sudahpun beroperasi di tahap penuh,” jelasnya.

     
     
  • Geely Holding akan terus melabur untuk kenderaan petrol bagi pertumbuhan keuntungan – CEO

    Geely Holding akan terus melabur untuk kenderaan petrol bagi pertumbuhan keuntungan – CEO

    CEO Geely Automobile Holdings Gui Shengyue menyatakan industri automotif perlu berpatah balik untuk membangunkan model-model yang dijana oleh enjin petrol sekiranya mahu menghasilkan keuntungan walaupun kenderaan elektrik penuh (EV) kini memberikan jualan yang kukuh.

    Gui menjangkakan 30% jualan kenderaan di seluruh dunia adalah dari model yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman sepenuhnya, 40% adalah model-model hibrid yang masih menggunakan enjin petrol untuk bergerak lebih jauh, dan hanya 30% adalah model EV sebenar. Beliau menyatakan ini adalah kerana faktor citarasa dan tabiat pemanduan pengguna dan juga disebabkan fasiliti pengecas EV yang masih belum cukup.

    “Kereta elektrik tidak mencerminkan sepenuhnya peralihan sektor automotif,” kata Gui dalam laporan South China Morning Post (SCMP) dan menambah “Sebagai pembuat kereta, anda akan kehilangan mesin keuntungan sekiranya anda tidak membuat kereta petrol.”

    Geely Holding akan terus melabur untuk kenderaan petrol bagi pertumbuhan keuntungan – CEO

    “Mengikut takrifan, pada masa hadapan kereta dengan enjin pembakaran dalaman tidak lagi akan menggunakan bahan api yang banyak dan ia perlu menggunakan bahan api dengan lebih efisien bagi menyokong usaha global bagi mengurangkan pencemaran. Dan ia akan lebih pintar, seperti kereta elektrik,” kata Gui lagi.

    Menurut laporan SCMP ini lagi berdasarkan data dari Persatuan Kereta Penumpang China, permintaan untuk EV telah mengatasi model-model yang menggunakan enjin pembakaran dalaman pada Julai lalu selepas Beijing memberikan subsidi bagi meningkatkan penggunaan kenderaan sedemikian dan merangsang semula ekonomi.

    Namun pada November lalu, 31% kenderaan baharu yang dijual di Tanah Besar China adalah EV, 21% adalah hibrid, manakala 48% adalah model dengan enjin petrol sepenuhnya.

    Geely dengan jenama-jenama lain dibawahnya seperti Lynk & Co, Zeekr dan Galaxy telah menjual sebanyak 1.59 juta kenderaan untuk 11 bulan pertama tahun ini, naik 26.1% dari tempoh sama tahun sebelumnya. Dari jumlah berkenaan 25.4% adalah EV dan 14.1% adalah model hibrid.

    Geely Holding akan terus melabur untuk kenderaan petrol bagi pertumbuhan keuntungan – CEO

    Gui menyatakan Geeky Auto dijangkakan akan menjual sebanyak 820,000 kenderaan petrol tahun ini, atau naik 1% berbanding 2023, seterusnya bertentangan dengan trend semasa di China di mana jualan diramal akan jatuh 20% tahun ini.

    Laporan ini turut menyebut bahawa peneraju pasaran dan pengeluar EV terbesar dunia iaitu BYD telah menjual sebanyak 3.3 juta unit kenderaan pada tempoh sama, atau naik sebanyak 38%. SCMP juga menyebut berdasarkan data industri, bagi pengeluar EV hanya BYD, Li Auto dan Aito (pengeluar yang disokong oleh Huawei Technologies) yang mencatatkan keuntungan.

    Ini kerana pengeluar-pengeluar EV kebanyakkannya mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk rekaan model-model baharu dan membina kilang, atau mengurangkan harga jualan kenderaan masing-masing untuk bertahan dalam ‘perang harga’ sesama mereka.

     
     
  • Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition 2025 untuk Jepun – produksi terhad; naiktaraf gaya; dari RM68k

    Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition 2025 untuk Jepun – produksi terhad; naiktaraf gaya; dari RM68k

    Suzuki Swift Sport ZC33S Final Edition telah pun didedahkan untuk pasaran Jepun, dan bakal mula dijual pada 19 Mac 2025. Hanya diproduksi dalam tempoh yang terhad iaitu dari Mac hingga November tahun hadapan, model ini turut mendapat penggayaan yang dinaiktaraf dan pastinya lebih menyerlah.

    Harga untuk ZC33S Final Edition bermula 2,329,800 yen (sekitar RM68k) untuk versi manual tujuh-kelajuan, sementara varian automtik enam-kelajuan pula lebih mahal iaitu sekitar 2,401,300 yen (RM70k). Kedua-dua transmisi (pacuan disalurkan ke roda hadapan) dipadankan dengan enjin K14C 1.4 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 140 PS (138 hp atau 103 kW) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 2,500 hingga 3,500 rpm.

    Bagi aspek perubahan gayanya, ZC33S Final Edition menerima gril hadapan hitam berkilat dan bezel lampu kabus, sementara roda 17-inci (dipadankan dengan tayar profil 195/45) turut menerima kemasan yang sama. Lain-lain perubahan gaya pada luaran termasuk kaliper brek merah, pelekat ‘ZC33S’ pada tiang-C serta lencana hitam/merah pada pintu tailgate.

    Untuk bahagian dalamnya, Suzuki memberikan kemadan unik untuk papan pemuka, permukaan pintu dan konsol tengah dengan efek “penggredan haba”. Terdapat juga beberapa perkataan ‘Sport’ atau ‘ZC33S powered by Suzuki’ pada bahagian tersebut, dan kemasan perak berkilat pula diberikan pada roda stereng.

    Sekiranya anda tertanya-tanya, Swift Sport standard berdasarkan Swift generasi ketiga akan menamatkan pengeluaran pada Februari 2025. Suzuki masih belum mendedahkan versi baharu Swift Sport berdasarkan model generasi keempat yang lebih baharu. Namun ada khabar angin menyatakan ia ada rancangan untuk berbuat demikian.

     
     
  • Jln Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula

    Jln Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula

    Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai- Blue Valley Sek 42.70 (Cameron Highlands) telah dibuka semula kepada semua jenis kenderaan mulai hari ini, 19 Disember 2024. Ia selepas kerja-kerja pembersihan tanah runtuh di KM43.4 jalan tersebut selesai.

    Walau bagaimana pun, pengguna laluan terbabit diminta untuk berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan papan tanda peringatan.

    Mengikut perancangan asal yang diumumkan sebelum ini, laluan terbabit dijangka dibuka semula pada 25 November lalu. Walau bagaimana pun, hasil pemantauan di lokasi mendapati, masih ada pergerakan tanah yang perlahan.

    Pada 25 Oktober lalu, insiden cerun runtuh berlaku di KM43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dan menyebabkan laluan tersebut ditutup sepenuhnya bagi kelancaran kerja-kerja pembersihan jalan dilakukan sehingga selesai. Sepanjang tempoh penutupan itu, pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif di Jalan Pahang dekat Tapah untuk ke Cameron Highlands.

     
     
  • ECRL: MRL dan syarikat China CCCECRL jalin usaha sama untuk operasi dan selenggara rangkaian rel

    ECRL: MRL dan syarikat China CCCECRL jalin usaha sama untuk operasi dan selenggara rangkaian rel

    Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang dipertanggungjawabkan dalam urusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah memeteraian perjanjian usaha sama dengan syarikat dari China, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL). Ia adalah bagi mewujudkan sebuah syarikat operasi (OpCo) dengan nisbah kepentingan 50:50 bagi tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan projek ECRL.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang turut hadir dalam majlis pemeteraian itu berkata, perjanjian usaha sama tersebut membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kos untuk operasi ECRL serta memudahkan pertukaran pengetahuan teknikal dan kepakaran, laporan Bernama.

    “MRL dan CCCECRL, masing-masing akan menanggung 50% daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi dengan defisit. MRL akan memiliki sepenuhnya aset ECRL bagi pihak kerajaan Malaysia sepanjang fasa pengoperasian projek berkenaan bagi memastikan kepentingan negara dilindungi setiap masa dan membolehkan pemerkasaan tempatan dalam infrastruktur nasional ini,” katanya.

    Tambah beliau, perjanjian usaha sama itu memacu hala tuju infrastruktur nasional dalam memperkukuh perkhidmatan pengangkutan yang moden, efisien dan mesra alam demi kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing ekonomi negara.

    “Perjanjian ini sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memperkasakan sektor rel negara untuk memperbanyakkan perkhidmatan kereta api serta membuka peluang pekerjaan bagi golongan belia khususnya berkaitan bidang kejuruteraan dalam sektor perindustrian dan lokomotif,” katanya.

    Loke berkata, status projek ECRL telah mencapai tahap kemajuan keseluruhan yang membanggakan, iaitu sebanyak 76.06% setakat November 2024.

    MRL adalah pemilik projek ECRL manakala CCCC bertanggungjawab sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC). Pada awal tahun ini, mesyuarat Kabinet telah memberi lampu hijau kepada penubuhan OpCo bagi tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan ECRL yang turut berpotensi meringankan beban kewangan kerajaan.

    Dalam majlis berkenaan turut didedahkan reka bentuk dan rekaan dalaman bagi tren EMU (electric multiple unit) ECRL ini. Tren ini bakal memiliki enam gerabak yang boleh membawa sehingga 430 penumpang dan turut dilengkapi kemudahan bagi golongan OKU. Syarikat CRRC Dalian menyediakan 11 set tren EMU, dan set pertamanya dijangka akan tiba pada akhir 2025, yang dikatakan mampu mencecah kelajuan hingga 160 km/j dan akan mula beroperasi pada Januari 2017, dari terminal Kota Bahru hingga ke terminal Gombak, yang mengambil masa perjalanan sekitar empat jam, kata Loke.