Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan trade plates – model CKD pertama jenama ini?

    Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan <em>trade plates</em> – model CKD pertama jenama ini?

    Xpeng G6 Facelift sekali lagi telah dilihat di Malaysia, kali ini dikesan oleh pembaca paultan.org, Najmi Afiq. Masih dibaluti penyamaran tetapi kini menggunakan nombor pendaftaran perdagangan (trade plates), SUV elektrik yang diberi suntikan lebih segar ini dilihat berhampiran Ampang Waterfront dan memberikan petanda kuat bahawa pelancarannya di pasaran tempatan bakal tiba tidak lama lagi.

    Kami telah berpeluang melihat dengan dekat G6 versi facelift ini di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini, yang turut menjadi lokasi Xpeng mendedahkan X9 buatan Indonesia. G6 juga dijangka menjadi model pemasangan tempatan (CKD) seterusnya di negara tersebut, seperti yang dinyatakan oleh pengeluar kereta dari China itu awal tahun ini.

    Bagi pasaran Malaysia, kami dimaklumkan pada bulan Mac lalu, selepas pelancaran X9, sebarang rancangan CKD masih dalam peringkat perbincangan. Ketika itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto, Datuk Francis Lee Kok Chuan, berkata Bermaz Xpeng selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia sedang bekerjasama dengan Xpeng untuk membangunkan program CKD, namun tidak mendedahkan model mana yang pertama dipasang di sini.

    Buat masa ini, kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) dikecualikan daripada duti import dan eksais sehingga akhir 2025, manakala EV CKD menikmati pengecualian duti eksais dan cukai jualan sehingga 31 Disember 2027. G6 pada masa ini ialah EV CBU yang berharga antara RM168,820 hingga RM188,820 (masing-masing naik RM3,000 atas jalan tanpa insurans), jadi agak relevan model CKD yang bakal dilancarkan itu akan kekal dengan harga yang lebih kompetitif. Apa pun, adakah G6 akan menjadi model Xpeng versi CKD pertama yang dijual di sini? Buat masa ini, kita hanya mampu membuat spekulasi.

    Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan <em>trade plates</em> – model CKD pertama jenama ini?

    Di China, G6 facelift ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula dari RMB176,800 (RM105,000) hingga RMB198,800 (RM118,000). Dua varian pertama dilengkapi bateri 68.5 kWh dengan jarak gerak CLTC sehingga 625 km, manakala varian tertinggi menggunakan bateri 80.8 kWh yang mampu memberikan jarak 725 km.

    Ketiga-tiga varian menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 296 PS dan tork 450 Nm yang memacu roda belakang dan menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat. Jika dibandingkan dengan model sebelum facelift, jarak pemanduan juga berubah seiring dengan kapasiti bateri – sebelum ini 66 kWh dengan jarak 580 km dan 87.5 kWh dengan jarak 755 km.

    Perubahan paling ketara pada G6 facelift adalah pada sistem pengecasannya di mana ia masih menggunakan struktur 800 volt. Namun kadar pengecasan dipertingkat daripada 3C ke 5C yang membolehkan pengecasan penuh dilakukan dalam masa hanya sekitar 12 minit dari 10% ke 80%. Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada versi pacuan semua roda (AWD) akan diperkenalkan di Malaysia atau tidak. Sebagai rujukan, model AWD sebelum ini hadir dengan kuasa 487 PS, tork 660 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, tetapi masih belum masuk ke Malaysia.

    Selain daripada model keluarannya, Xpeng turut berusaha mengukuhkan pasukan lokal di Malaysia, apabila menyiarkan iklan jawatan kosong di LinkedIn tiga minggu lalu untuk jawatan sebagai country manager. Walaupun penerangan kerja tersebut tidak menyebut apa-apa berkaitan pemasangan tempatan, ia menyatakan bahawa banyak kerja di peringkat serantau diperlukan.

     
     
  • KKR mohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 bagi baikpulih, selenggara jalan di seluruh negara

    KKR mohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 bagi baikpulih, selenggara jalan di seluruh negara

    Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Oktober ini bagi menambahbaik infrastruktur jalan di seluruh negara terutamanya lebuhraya utama dan jalan persekutuan, laporan Bernama.

    “… itu bukan pertimbangan lagi, boleh dikatakan teras utama yang kami mohon untuk pertambahan peruntukan (dalam Belanjawan) sejak tahun-tahun sudah, sebab memang kita dah buat kajian dan kita memerlukan lebih besar daripada yang kita selalu dapat.

    “Memang kami mengharapkan peruntukan untuk baik pulih, memperbaiki jalan yang sudah rosak dan usang… bukan hanya jalan persekutuan, tetapi juga jalan di seluruh negara perlu diberi perhatian serius,” kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selaku Menteri KKR.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKR bersama 200 Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks Kerja Raya semalam.

    Turut mengulas perancangan kementerian itu dalam menambah baik lebuhraya dan jalan-jalan rosak di seluruh negara termasuk Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan juga, laluan berkenaan yang menghubungkan Gerik dengan Jeli paling memerlukan peruntukan yang lebih untuk memastikan jalan berkenaan sentiasa dalam keadaan baik. Ini bermakna setiap tahun KKR memerlukan peruntukan tambahan kerana peruntukan yang diberikan tidak mencukupi.

    “Setiap tahun di dalam Belanjawan perkara ini memang sentiasa ditegaskan kerana KKR memang berharap peruntukan baiki dan selenggara jalan persekutuan seluruh negara diberi perhatian serius. Ini termasuk memberi peruntukan lebih supaya dapat tingkat usaha pulih keadaan jalan rosak,” katanya.

    Selain itu, beliau juga menjelaskan pihaknya turut menerima pelbagai pandangan, teguran dan cabaran. Ia termasuk cabaran kos pembinaan yang semakin meningkat dan akan kemukakan perkara itu kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.

    “KKR komited untuk memastikan pembangunan infrastruktur negara terus diperkasakan selaras aspirasi kerajaan dan keperluan rakyat. Input daripada pelbagai pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan Belanjawan 2026 dapat menangani cabaran dan memacu pertumbuhan sektor pembinaan ke arah lebih lestari dan berdaya saing,” katanya yang dijangka bertemu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada 22 Ogos ini.

     
     
  • BYD Seal 2025 muncul dalam teaser untuk Malaysia — kemaskini suspensi, rim baru; bakal dilancarkan

    BYD Seal 2025 muncul dalam <em>teaser</em> untuk Malaysia — kemaskini suspensi, rim baru; bakal dilancarkan

    BYD Malaysia telah menunjukkan iklan teaser bagi model Seal dalam satu hantaran Facebook terbaru, dan itu menjadi petunjuk bahawa versi EV tersebut yang dikemaskini akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.

    Seal 2025 mula dijual di Singapura pada April tahun ini, melibatkan kemaskini spesifikasi seperti ruang barangan “frunk” di depan yang lebih besar, kini dengan 53 liter (naik tiga liter), serta rim dengan rekaan baru dan juga pelindung matahari di bumbung larasan elektrik.

    Suspensi Seal 2025 juga diberi peningkatan dengan sistem penyerap hentak adaptif DiSus-C, seperti yang dilihat dilakukan di Singapura dan Indonesia. Versi berbeza bagi sistem yang sama juga sudah ditawarkan untuk Denza D9 yang dilancarkan di Malaysia pada Februari lalu.

    Seal 2025 dengan kemaskini mungkin akan hadir dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia, sama seperti penawarannya ketika ini. Sebagai rujukan, di Singapura, varian Dynamic dilengkapi motor di belakang dengan janaan 136 PS/310 Nm, dan dikuasakan oleh bateri 61.44 kWj yang memberikan jarak sehingga 460 km WLTP.

    Seterusnya varian Premium, dengan motor elektrik 313 PS/360 Nm dan kuasa dibekalkan oleh bateri 82.56 kWj yang memberikan jarak sehingga 570 km WLTP. Varian paling tinggi, Performance pula dilengkapi dua motor dengan unit janaan 215 PS/310 Nm di depan sementara unit janaan 313 PS/360 Nm di belakang. Output gabungannya memberikan janaan 530 PS dan 670 Nm, dengan bateri 82.56 kWj dan jarak 520 km WLTP.

    Semua varian ini boleh dicas 30%-80% dalam masa 32 minit, manakala varian asas Dynamic mampu menampung pengecasan DC 100 kW dan hingga 7 kW untuk AC — untuk AC, cas dari 0-100% adalah dalam masa 8.6 jam. Bagi varian dengan bateri lebih besar pula, pengecasan DC boleh dilakukan hingga 150 kW dan AC hingga 7 kW, membolehkan pengecasan dari 0-100% dalam masa 15.2 jam bagi AC.

    Merujuk kepada model yang dijual di Singapura, Seal 2025 datang dengan sembilan beg udara, sistem kamera 360-darjah, sensor parkir depan dan belakang, Isofix, ACC, AEB, amaran penukaran lorong dan penghindaran, serta bantuan mengekalkan lorong.

    Selain itu ada juga amaran perlanggaran depan, pengesan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik depan dan belakang dengan brek, maklumat penghad kelajuan pintar, pengesan titik buta, amaran bukaan pintu, bantuan lampu tinggi dan head-up display.

    Di Malaysia, model BYD Seal ketika ini dijual dengan harga dari RM163,800 (Dynamic), RM179,800 (Premium) dan RM199,800 (Performance) — semua ini harga jualan, bukan harga atas jalan.

    BYD Seal 2025 Singapura

     
     
  • Perodua FlexiPlan pembiayaan anjal oleh Maybank Islamic — bayaran muka dan ansuran bulanan rendah

    Perodua FlexiPlan pembiayaan anjal oleh Maybank Islamic — bayaran muka dan ansuran bulanan rendah

    Pernah dengar tentang pembiayaan anjal (“agility financing”) yang biasanya ditawarkan oleh jenama-jenama pengeluar kenderaan premium? Ia merupakan sebuah skim pembiayaan kenderaan yang fleksibel. Kini, Perodua dan Maybank telah bekerjasama untuk memberikan pelan pembiayaan anjal patuh syariah yang pertama di Malaysia — dikenali sebagai Perodua Flexiplan, yang menggunakan pendekatan yang sama daripada Drive Financing-i oleh Maybank Islamic.

    Ini merupakan produk pembiayaan yang pertama seumpamanya ditawarkan bagi kedua-dua syarikat (dan juga yang melibatkan bank komersial, kerana Mercedes-Benz dan BMW mempunyai cabang pembiayaan sendiri), pelan pembiayaan ini disifatkan sebagai “pembiayaan kenderaan Murabahah yang sangat kompetitif, menawarkan bayaran bulanan lebih berpatutan bagi tempoh lima tahun pertama”.

    Selain bayaran muka dan ansuran bulanan yang lebih rendah, pelan ini juga memberi kelebihan lain seperti belian semula kenderaan oleh Perodua “dengan harga lebih berpatutan berbanding nilai pasaran” bagi pembelian model baru Perodua.

    Ini adalah seperti jaminan nilai masa depan yang turut biasa ditawarkan oleh jenama premium. Tentunya, semua ini tertakluk kepada terma dan syarat, jadi ia akan melibatkan had tempoh waktu dan kereta perlu diserahkan semula dalam keadaan yang boleh diterima, jadi pelanggan perlu memastikan perkara ini sekiranya mereka ingin memanfaatkannya.

    Perodua FlexiPlan pembiayaan anjal oleh Maybank Islamic — bayaran muka dan ansuran bulanan rendah

    Bagi pemulangan kenderaan selepas mencecah usia lima tahun, pelanggan akan diberi pilihan untuk trade-in kereta mereka dengan model baru, dengan nilai jualan tersebut akan digunakan untuk tujuan bayaran muka bagi tempoh lima-tahun ke depan. Namun, jika ingin menyimpan kereta tersebut, pelanggan hanya perlu menyelesaikan baki pembiayaan yang tersisa untuk tempoh hingga empat tahun ke depan di bawah pelan bayaran semula yang dikemaskini.

    Model Perodua yang terlibat dalam Perodua Flexiplan ini ialah Myvi, Axia (tidak termasuk Axia E “Rahmah”), Ativa dan Aruz. Alza tidak termasuk kerana menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, MPV berkenaan masih mempunyai senarai menunggu yang panjang untuk dipenuhi oleh Perodua. Begitu juga dengan Bezza, ia juga belum termasuk dalam senarai ini.

    Perodua Flexiplan disifatkan akan memperkaya ekosistem penyelesaian pembiayaan patuh syariah bagi pemilik kenderaan Perodua, yang turut termasuk takaful komprehensif Perodua Total Protect Plus oleh Etiqa — yang datang dengan perlindungan bencana tambahan RM5,000 — serta “Credit Reducing Term Takaful” sebagai perlindungan tambahan untuk pelanggan.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman pada 16 Ogos sempena Karnival Belia Bentong 2025 di Bentong, Pahang

    Polis beri 50% diskaun saman pada 16 Ogos sempena Karnival Belia Bentong 2025 di Bentong, Pahang

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang bakal menawarkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih pada 16 Ogos ini. Ia adalah sempena dengan penganjuran Program Karnival Belia Bentong 2025. Di mana orang ramai boleh mendapatkan diskaun saman trafik terpilih itu di kaunter yang bakal dibuka dari jam 8 pagi hingga 4 petang di lokasi acara iaitu di Taman Ujana, Bentong, Pahang.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman kemalangan, saman tidak boleh kompaun (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Bentong atau daerah berhampiran, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Pusingan ketiga musim ke-lapan perlumbaan one-make Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival Malaysia telah pun berakhir hujung minggu lalu, dan seperti dijangkakan persaingan untuk merebut mata bagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan telah menyajikan aksi perlumbaan yang cukup sengit bagi ketiga-tiga kelas yang dipertandingkan.

    Perlumbaan ini dilangsungkan sekali dengan Pusingan ke-3 Kejohanan Touring Car Malaysia (MTCC) dan juga Pusingan ke-4 Thailand Super Series. Jadi seperti pusingan ke-2 yang berlangsung bersama perlumbaan Super GT pusingan Malaysia, Vios Challenge akan sekali lagi dilangsungkan dalam litar penuh SIC sejauh 5.543 km satu lap dalam format separa-endurance selama satu jam, dengan ketiga-tiga kelas dilepaskan serentak.

    RACE 1

    Kelas Super Sporting

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Pusingan ketiga ini menyaksikan pelumba muda Amer Harris kembali berlumba, dan terus membuktikan kepakarannya di Litar Antarabangsa Sepang ini dengan mencatatkan masa terpantas ketika sesi kelayakan, kemudian memimpin perlumbaan dari mula sehingga berkibarnya bendera penamat tanpa dicabar oleh pemandu kelompok di belakang, walaupun menghadapi masalah transmisi.

    “Saya dapat rentak yang baik sepanjang perlumbaan dan cuba mendahului dengan lebih jauh di mana pada satu ketika saya berada 2.9 saat di hadapan pelumba Axle Sport Aman Nagdev tetapi pada pertengahan perlumbaan saya menghadapi masalah transmisi, bermakna saya perlu melakukan semuanya bagi memastikan kereta dapat dipandu hingga habis. Akhirnya saya melepasi garisan penamat dengan hanya berada satu saat di hadapan,” kata Amer yang memandu untuk pasukan KMS 333 Motorsports.

    Walaupun terlepas pusingan pertama dan kedua kerana menumpukan perhatian pada perlumbaan yang disertai di luar negara, Amer masih berharap agar dia dapat menghabiskan musim ini di kedudukan lima terbaik kerana pusingan kali ini menawarkan mata berganda berbanding pusingan lain.

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Ketika Amer berada di hadapan dengan aman, situasi untuk merebut kedudukan kedua dan ketiga tidak berlangsung dengan tenang. Drama bermula seawal pelumba dilepaskan apabila pelumba pasukan Laser Motor Racing, Eddie Lew merempuh tembok keselamatan pada laluan lurus utama SIC, setelah ditolak dari belakang ketika semua pelumba berebut mendapatkan kedudukan terbaik sebelum tiba ke selekoh pertama.

    Dalam kekecohan tersebut beberapa pelumba dapat menyelinap bagi mendapatkan kedudukan lebih baik seperti Aman Nagdev yang berjaya meluru ke kedudukan kedua, diikuti Freddie Ang dari petak keempat berjaya naik ke tempat ketiga dan pendahulu kejuaraan musim ini Mitchell Cheah yang bermula di petak ke-11 berjaya ke hadapan dengan berada di tempat kelima. Ada juga pelumba yang tidak bernasib baik seperti Ady Raimy yang bermula di grid kedua, ketinggalan berada di kedudukan keempat.

    Perlumbaan tamat dengan Aman Nagdev berjaya kekal di tempat kedua, manakala Freddie Ang juga dapat kekal di tempat ketiga. Mitchell Cheah pula berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat walaupun diasak bertubi-tubi oleh pelumba pasukan Wheelcorp iaitu Nabil Azlan.

    Kelas Sporting

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Walaupun dilepaskan bersama dengan kategori Super Sporting, drama yang berlaku dalam persaingan kategori Sporting ini menyebabkan kamera perlumbaan sering memberikan sorotan pada kelas untuk pemandu amatur ini. Ia bermula dengan persaingan untuk merebut tempat pertama antara Nick THZ dari pasukan Sokudo Racing by ES Yang dan Justin Toh dari pasukan BAE Racing by ES Yang di belakangnya.

    Pada lap-12, persaingan antara kedua-dua pelumba ini menjadi semakin di luar kawalan apabila kedua-duanya saling melanggar dan menghimpit sesama sendiri. Kemuncak drama ini terjadi di selekoh ke-9 apabila Justin Toh menolak Nick THZ dari belakang dan kemudian terbabas serta berpusing di atas rumput.

    Justin Toh berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti oleh pendahulu kejuaraan iaitu Jwan Hii di tempat kedua. Namun selepas itu kemenangan untuk Toh dibatalkan kerana insiden dengan Nick THZ, membolehkan Hii sekali lagi menang serta melebarkan jarak pungutan mata keseluruhan. Keputusan yang menimpa Toh juga membolehkan pelumba simulator Taj Izrin Aiman naik ke tempat kedua, dan Dato’ Ken Foo naik ke tempat ketiga.

    Kelas Rookie

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Dalam kelas yang disertai oleh peserta program pembangunan pelumba muda Toyota Gazoo Racing Malaysia ini menyaksikan Harkiesh Geeva mendominasi keseluruhan perlumbaan dengan berada sepenuhnya di hadapan dan berada di tempat ke-20 secara keseluruhan.

    Harkiesh meninggalkan Ian James di tempat kedua dengan kelebihan 13 saat di hadapan. Manakala James pula terpaksa bertarung dengan Justin Rahul Dev yang menyaksikan kedudakan antara mereka bertukar beberapa kali, tetapi akhirnya ia berpihak kepada James dan Dev terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

    RACE 2

    Kelas Super Sporting

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Menerusi kaedah grid terbalik berdasarkan keputusan Race 1, Race 2 yang berlangsung pada hari Ahad ini menyaksikan ia dipimpin oleh Najiy Ayyad dari pasukan Modern Racing ketika bermula. Mitchell Cheah yang bermula dari petak ke-3 bijak mengambil peluang apabila berjaya meluru ke tempat kedua ketika keluar dari selekoh kedua, memintas Freddie Ang.

    Asakan demi asakan menyaksikan Najiy Ayyad hanya bertahan sebagai pendahulu perlumbaan sehingga lap ke-2, dan selepas itu Mitchell Cheah terus memimpin perlumbaan hingga ke garisan penamat. Kedudukan kedua milik Freddie Ang manakala ketiga milik Aman Nagdev, menyaksikan pelumba dari India tersebut mendapat satu lagi kedudukan podium dalam pusingan ketuga ini.

    Dengan kemenangan ini membolehkan Cheah terus berada ditempat pertama carta pungutan mata dan diekori rapat oleh Freddie Ang. Namun tugas berat menanti Cheah pada pusingan keempat nanti dia terpaksa membawa beban sehingga 50kg kerana kemenangan yang telah dicapai pada perlumbaan kali ini.

    Kelas Sporting

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Justin Toh yang dibatalkan penyertaannya pada Race 1 turut tidak dibenarkan untuk berlumba dalam Race 2 kelas Sporting. Kali ini pelumba-pelumba yang memulakan perlumbaan dari kelompok belakang berjaya mendaki kedudukan masing-masing, menyaksikan dua pelumba graduan kelas Rookie iaitu Adam Mikail dari pasukan G-Mart Motorsport dan Sharique Zulqarnain dari pasukan FIA Boulevard Racing menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.

    Walau bagaimanapun penyertaan Sharique terpaksa dibatalkan selepas jenteranya diperiksa dan didapati tidak berada pada berat minima yang disyaratkan. Ini membolehkan Dato’ Ken Foo naik ke tempat kedua, dan pelumba Thailand Varunchit Wattanathanakun dari pasukan RUK Team Nexzter PMC 52 dihadiahkan posisi tempat ketiga.

    “Saya tidak bernasib baik ketika memulakan Race 2 kerana saya tidak dapat menamatkan Race 1 dan bermakna saya terpaksa bermula dari belakang grid. Sejujurnya, saya mengalami masa yang agak sukar untuk mengekalkan rentak dan masa pusingan yang konsisten sepanjang perlumbaan tetapi syukur saya masih berjaya membawa kereta kembali ke kedudukan atas,” kata Adam.

    Kelas Rookie

    TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

    Akibat pelanggaran yang berlaku dengan pelumba dari kelas Sporting di awal perlumbaan menyebabkan Harkiesh Geeva yang sedang mendahului berpusing dan kemudian kembali ke pit untuk menukar tayar yang pancit. Insiden tersebut turut menyebabkan dua pelumba Rookie iaitu Aydan Khaliq dan Genevieve Ooi turut masuk ke pit untuk membuat pembaikan ringkas.

    Ini membolehkan Ian James memenangi perlumbaan ini, diikuti Justin Rahul Dev di tempat kedua. Harkiesh yang tidak berputus asa masih menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

    “Saya benar-benar gembira dengan keputusan untuk Race 2. Kereta terasa sempurna, saya tidak mengalami sebarang masalah mekanikal. Pengurusan tayar dalam perlumbaan ini bagaimanapun, adalah isu besar bagi saya, terutamanya dalam keadaan panas ini, yang kemudiannya diterjemahkan kepada banyak berlaku understeer dan itu sesuatu untuk saya tangani untuk perlumbaan masa depan,” kata Ian.

    TGR Vios Challenge Malaysia musim ke lapan ini akan diteruskan untuk pusingan terakhir yang dijadualkan akan berlangsung pada Januari tahun hadapan. Namun penganjur perlumbaan ini iaitu UMW Toyota masih belum mengumumkan tarikh dan juga tempat sebenar perlumbaan itu akan berlangsung.

     
     
  • Xpeng X9 REEV – perincian awal model hibrid pertama Xpeng didedah, enjin 1.5L sebagai range extender

    Xpeng X9 REEV – perincian awal model hibrid pertama Xpeng didedah, enjin 1.5L sebagai range extender

    Maklumat lanjut berkenaan model terbaru Xpeng, iaitu X9 REEV (range-extended electric vehicle), telah didedahkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT) sebelum pelancaran rasminya berlangsung suku keempat tahun ini.

    Sebelum ini, Xpeng memberikan petunjuk kehadiran X9 REEV melalui platform Weibo. Menurut syarikat itu, lebih 1,000 unit kenderaan ujian telah digunakan dalam program pembangunan, merentasi 20 negara dan 330 bandar di seluruh dunia selama lebih 800 hari.

    Secara keseluruhan, ujian tersebut melibatkan jarak pemanduan melebihi 20 juta kilometer. Kenderaan ujian tersebut turut memaparkan angka ‘450’ pada pintu mereka, yang dipercayai merujuk kepada jarak pemanduan elektrik sepenuhnya bagi model ini.

    Xpeng X9 REEV – perincian awal model hibrid pertama Xpeng didedah, enjin 1.5L sebagai range extender

    Berdasarkan dokumen MIIT, X9 REEV mempunyai dimensi panjang 5,316 mm, lebar 1,988 mm, tinggi 1,785 mm dan jarak antara roda 3,160 mm. Ini menjadikannya sedikit lebih panjang berbanding model X9 EV yang berukuran 5,293 mm, namun semua dimensi lain kekal sama.

    Dari segi sistem kuasa, X9 REEV yang seberat 2,750 kg ini mampu mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Ia turut dilengkapi enjin 1.5 liter yang menghasilkan kuasa 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan berfungsi sebagai penambah jarak (range extender). Model ini akan menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) yang dibekalkan oleh CALB (China Aviation Lithium Battery).

    X9 REEV bakal menjadi model hibrid pertama daripada Xpeng, berkemungkinan besar menggunakan sistem Kuasa Elektrik Super Kunpeng yang pernah diperkenalkan semasa acara AI Day tahun lalu. Sistem ini dikatakan mampu menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 430 km dan sehingga 1,400 km apabila digabungkan dengan penggunaan enjin range extender. Selain itu, sokongan pengecasan pantas 5C membolehkan baterinya dicas dari 10% ke 80% dalam masa hanya 12 minit.

     
     
  • BYD dan Denza bakal melepasi jualan 20,000 EV di Malaysia; pakej RM5k Denza D9 sepanjang Ogos ini!

    BYD dan Denza bakal melepasi jualan 20,000 EV di Malaysia; pakej RM5k Denza D9 sepanjang Ogos ini!

    Sejak diperkenalkan pada penghujung 2022, BYD semakin melakar kedudukan yang kukuh dalam pasaran tempatan, dan telah menjadi jenama EV #1 di Malaysia. Syarikat ini juga bakal meraikan pencapaian jualan ke 20,000 unit kereta elektrik di Malaysia tidak lama lagi, yang termasuk MPV elektrik Denza D9 yang mewah.

    Bagi raikan pencapaian yang mengkagumkan ini, Denza kini menawarkan pakej keraian eksklusif RM5,000* baharu dengan setiap pembelian Denza D9 sepanjang bulan Ogos. Ini memberikan lebih nilai tambah kepada model berkenaan, dan menjadikan sekarang adalah masa terbaik untuk memiliki D9.

    Bukan sekadar harganya yang telah meletakkan Denza D9 di kedudukan paling atas segmen MPV EV premium. Rekaan dalaman yang mewah juga menjadi satu daripada kekuatannya, terutama di tempat duduk barisan kedua dengan kerusi individu larasan kuasa ala kelas perniagaan yang lengkap dengan fungsi urutan 10-titik, rebahan dengan hanya satu sentuhan, serta skrin sentuh yang tersedia di bahagian perehat lengan.

    Bagi kenyamanan penumpang belakang, Denza D9 tidak hanya menawarkan kawalan pendingin berasingan, tetapi juga menyediakan peti sejuk untuk menyimpan minuman. Dengan panjang melebihi 5.2 meter, Denza D9 menawarkan ruang yang luas untuk seisi keluarga dan barangan mereka, termasuk di bahagian kerusi barisan ketiga yang menyediakan 410 liter ruang barangan walaupun dengan semua kerusi ditegakkan.

    Penumpang depan juga lebih selesa dengan adanya paparan instrumen digital 10.25-inci, skrin sentuh infotainmen 15.6-inci, kawalan suara “Hi Denza”, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta pengecas tanpa wayat 50-watt. Denza D9 juga turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan canggih — termasuk pemanduan semi-autonomous Tahap 2 — serta penyerap hentak adaptif Disus-C untuk lebih keselesaan dan kelancaran pemanduan.

    Jarak perjalanannya juga jauh — dengan kuasa yang dibekalkan oleh bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) 103.6 kWj — yang membolehkan Denza D9 mencapai jarak hingga 600 km melalui satu cas mengikut kitaran NEDC. Pelanggan boleh memilih antara varian Advanced FWD dan Premium AWD; varian kedua ini menawarkan sehingga 374 PS dan 470 Nm tork. Setiap Denza D9 diberi jaminan enam-tahun* dan jaminan lapan-tahun untuk bateri dan komponen janaan motor* untuk kelegaan fikiran pemiliknya.

    BYD dan Denza bakal melepasi jualan 20,000 EV di Malaysia; pakej RM5k Denza D9 sepanjang Ogos ini!

    Jika semua perkara ini membuatkan anda lebih teruja untuk memilikinya, segeralah bertindak kerana pakej keraian eksklusif RM5,000 ini hanya ditawarkan untuk tempoh terhad. Anda boleh mencuba sendiri Denza D9 dan mendapatkan pakej ini dengan cara berkunjung ke siri jelajah premium di seluruh negara seperti di lokasi berikut:

    • IOI City Mall, Putrajaya: 20-24 Ogos
    • East Coast Mall, Kuantan: 21-24 Ogos
    • Sunway Velocity, KL: 21-24 Ogos
    • Straits Quay Marina, P. Pinang: 21-24 Ogos
    • atau di bilik pameran Denza berdekatan anda

    Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Denza Malaysia.

    *Tertakluk kepada terma dan syarat.

     
     
  • Tesla Model 3+ dilancarkan di China – varian Long Range RWD baru dengan jarak gerak CLTC 830 km

    Tesla Model 3+ dilancarkan di China – varian Long Range RWD baru dengan jarak gerak CLTC 830 km

    Tesla memperkenalkan satu varian baru untuk Model 3 di pasaran China yang dikenali sebagai Long Range Rear-Wheel Drive (LR RWD). Menariknya, model ini juga dirujuk oleh media tempatan sebagai Model 3+, berdasarkan lencana yang dilihat dalam dokumen rasmi Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China (MIIT).

    Model 3+ dijual pada harga 269,500 yuan, bersamaan kira-kira RM159,000. Ini menjadikannya terletak di antara varian asas Rear-Wheel Drive (RWD) yang berharga 235,500 yuan (RM139,000) dan Long Range All-Wheel Drive (AWD) pada 285,500 yuan (RM168,000). Varian tertinggi, Performance All-Wheel Drive, kekal dengan harga 339,500 yuan (RM200,000) tetapi kini menawarkan jarak pemanduan lebih jauh, iaitu 647 km berbanding 623 km sebelum ini.

    Tesla Model 3+ merupakan model dengan jarak pemanduan paling jauh pernah ditawarkan syarikat itu di China, dengan jarak sejauh 830 km mengikut standard ujian CLTC. Sebagai perbandingan, model RWD biasa mencatat jarak 634 km manakala varian LR AWD mencatat 753 km. Walaupun tidak disenaraikan secara rasmi di laman web Tesla, dokumen MIIT mendedahkan bahawa Model 3+ menggunakan bateri jenis nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 78.4 kWh yang dibekalkan oleh LG.

    Tesla Model 3+ dilancarkan di China – varian Long Range RWD baru dengan jarak gerak CLTC 830 km

    Bateri ini merupakan unit yang sama digunakan pada model LR AWD dan jauh lebih baik daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) 62.5 kWh yang digunakan pada varian asas RWD. Dari segi prestasi, Model 3+ mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat, lebih pantas berbanding RWD yang memerlukan 6.1 saat. Ini hasil penggunaan motor elektrik lebih berkuasa yang menghasilkan 306 PS (302 hp atau 225 kW), berbanding 264 PS (260 hp atau 194 kW) pada model RWD biasa.

    Spesifikasi Model 3 LR RWD di China ini turut menyerupai versi yang telah pun diperkenalkan di Jerman sejak Oktober tahun lalu, yang juga menampilkan prestasi pecutan yang sama serta jarak pemanduan tertinggi dalam barisan model Eropah, iaitu 702 km berdasarkan piawaian WLTP yang lebih realistik.

     
     
  • Proton jual 13,518 unit kenderaan pada Julai 2025, naik 22.1% dari Jun; eksport naik 44.1%, X50 paling popular

    Proton jual 13,518 unit kenderaan pada Julai 2025, naik 22.1% dari Jun; eksport naik 44.1%, X50 paling popular

    Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,518 unit kenderaan sepanjang bulan Julai 2025, naik 22.1% berbanding angka 11,069 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. Ini membolehkan jualan kumulatif tahunan untuk tujuh bulan pertama tahun ini telahpun mencapai 85,674 unit, membolehkan ia kekal sebagai jenama kedua paling laris di Malaysia.

    Ini membolehkan pegangan pasaran jenama automotif tempatan tersebut dianggarkan sebanyak 19.2%, manakala angka pegangan pasaran untuk jualan kumulatif tahunan semasa kini mencapai sebanyak 19.3%. Menurut Proton, prestasi ini didorong peningkatan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) untuk Julai dianggarkan pada 70,545 unit, iaitu peningkatan sebanyak 28.7% berbanding bulan Jun dan merupakan angka jualan bulanan kedua tertinggi untuk tahun 2025.

    Saga masih lagi menjadi model paling laris Proton dengan terjual sebanyak 6,638 unit sepanjang Julai 2025 – rekod jualan bulanan terbaiknya tahun ini, sesuai dengan sambutan ulangtahun ke-40 sedan mampu milik berkenaan. Ini membolehkan jualan kumulatif tahunannya kini sudah pun mencapai 38,345 unit.

    X50 pula merupakan model kedua terlaris Proton untuk Julai dengan terjual sebanyak 2,068 unit, di mana 999 unit daripadanya adalah versi facelift 2025 yang dilancarkan pada 24 Julai lalu. Menurut Proton ini merupakan kali ketiga jualan X50 melebihi angka 2,000 unit tahun ini, dan ia dijangka akan lebih baik pada Ogos kerana Proton mensasarkan akan menyiapkan 5,000 unit pada penghujung bulan ini bagi melayan tempahan pelanggan yang kini sudahpun mencapai angka lima digit.

    Proton jual 13,518 unit kenderaan pada Julai 2025, naik 22.1% dari Jun; eksport naik 44.1%, X50 paling popular

    Untuk sedan segmen-C S70 pula, ia terjual sebanyak 1,404 unit pada Julai, membolehkan jualan tahunannya bagi tujuh bulan pertama tahun ini kini mencecah 10,750 unit. Walau bagaimanapun angka tersebut dipintas oleh sedan segmen-B Proton Persona yang terjual sebanyak 1,499 unit sepanjang bulan lalu.

    Angka jualan lain-lain model Proton untuk Julai 2025 adalah 617 unit untuk SUV segmen-C X70, 329 unit untuk hatchback segmen-B Iriz, dan 229 unit untuk SUV tujuh-tempat duduk Proton X90.

    Beralih kepada segmen EV, Proton telah menjual sebanyak 706 unit eMas 7 bulan lalu, di mana 686 unit adalah untuk pasaran tempatan (berdasarkan data dikeluarkan oleh JPJ) dan selebihnya adalah untuk pasaran eksport. Ini menjadikan jumlah jualan tahun eMas 7 telah mencecah 4,959 unit tahun ini (termasuk eksport) dan ia kekal model EV terlaris di Malaysia buat masa sekarang.

    Proton jual 13,518 unit kenderaan pada Julai 2025, naik 22.1% dari Jun; eksport naik 44.1%, X50 paling popular

    “Kejayaan Proton e.MAS 7 telah melebihi jangkaan, membuktikan produk dan strategi syarikat untuk membina jenama, infrastruktur pengecasan dan memudahkan akses adalah menepati kehendak pembeli EV Malaysia, ” kata naib CEO Proton Edar, Zhang Qiang.

    Proton turut mengumumkan bahawa angka bagi kenderaan-kenderaan yang dieksport juga kini meningkat sebanyak 44.1% berbanding tempoh sama tahun lalu. Untuk tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 2,258 unit kenderaan sudah dieksport keluar, dengan X50 telah memintas Saga sebagai model eksport paling popular. Manakala 20 unit lagi Proton eMas 7 telah dieksport pada Julai, menjadikan jumlah eksport EV tersebut kini mencapai 270 unit.

    Proton juga secara rasmi telah mengumumkan penubuhan Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) pada bulan lalu, iaitu sebuah lagi anak syarikat milik penuh jenama automotif nasional tersebut yang ditubuhkan khas bagi memperluas pasarannya ke luar negara.

    “Dengan Proton eMas 5 bakal menjadi model EV kedua kami dan minat yang kukuh dari pasaran luar negara, kami menjangkakan jualan EV dan eksport akan meningkatkan sumbangan mereka kepada jumlah jualan keseluruhan dalam beberapa bulan dan tahun akan datang,” tambah Zhang Qiang.

     
     
  • Siri SIS dibuka bidaan 15-19 Ogos menerusi JPJeBid; Sempena ulangtahun keputeraan Sultan Selangor

    Siri SIS dibuka bidaan 15-19 Ogos menerusi JPJeBid; Sempena ulangtahun keputeraan Sultan Selangor

    Selangor Royal Office mengumumkan bahawa sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada bulan Disember 2025 dan sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun Pemerintahan Baginda pada tahun 2026, Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) dengan tanda indeks “SIS” akan ditawarkan kepada orang awam.

    “SIS” yang bermaksud “SULTAN IDRIS SHAH”, akan dibuka bidaan dalam talian menerusi JPJeBid bermula Jumaat ini, 15 Ogos dan ia berlangsung hingga jam 10 malam pada 19 Ogos 2025. Manakala keputusannya akan dikeluarkan keesokan harinya, 20 Ogos 2025.

    Menerusi perkongsian dalam Facebook rasminya, Selangor Royal Office turut berkata kaedah penawaran secara bidaan ini adalah tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada melalui sistem JPJeBid. Ini termasuklah harga bidaan adalah mengikut harga minima yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Selain itu, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

    Siri SIS dibuka bidaan 15-19 Ogos menerusi JPJeBid; Sempena ulangtahun keputeraan Sultan Selangor

    Menurutnya lagi, sebahagian daripada hasil jualan NPI ini akan disalurkan ke sebuah yayasan di bawah naungan DYMM Sultan Selangor yang akan digunakan untuk tujuan aktiviti kebajikan termasuk biasiswa dan dana kecemasan bagi membantu mereka yang memerlukan seperti tragedi bencana alam. Yayasan itu kelak akan dipengerusikan oleh Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga mantan Gabenor Bank Negara, YAD Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Ibrahim dan akan diuruskan tertakluk kepada prosedur dan tadbir urus yang telus.

    Pada 8 Ogos lalu, DYMM Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang diiiringi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam bagi membincangkan mengenai bidaan “SIS” ini.

     
     
  • Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai laluan Ketereh-Kok Lanas kini lancar selepas tertangguh

    Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai laluan Ketereh-Kok Lanas kini lancar selepas tertangguh

    Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kemajuan Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) bagi jajaran Pakej 2B iaitu melibatkan laluan dari Ketereh ke Kok Lanas kembali berjalan lancar selepas berhadapan dengan masalah hingga membuatkan ia tertangguh.

    “Pakej ini yang melibatkan pembinaan jalan berkembar empat lorong sepanjang 6.2 kilometer dengan mengikut piawaian JKR R5 dan kos kontrak semasa RM73.7 juta kini digerakkan oleh kontraktor penyelamat, Daie Engineering Sdn. Bhd. telah dimulakan semula pada Februari 2025 dan kini mencapai kemajuan 6.10%, mendahului jadual 5.10%. Projek ini disasarkan siap pada Ogos 2026,”kata Alexander selepas mengadakan lawatan tapak baru-baru ini.

    Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada pembinaan keseluruhan Lebuhraya KBKK sepanjang 70.4 kilometer, Pakej 2B akan menjadi penghubung penting yang bakalm engurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan 8, khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah.

    Selain itu, ia juga dapat menjimatkan masa perjalanan dari tujuh jam kepada 4.5 jam, mengurangkan jarak perjalanan sejauh 24 kilometer serta meningkatkan keselamatan jalan raya serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

    “Saya sedar bahawa pelaksanaan projek ini berdepan beberapa cabaran, termasuk proses pengambilan balik tanah, penyelarasan utiliti, kekurangan tenaga kerja, cuaca tidak menentu, dan kenaikan harga bahan binaan. Namun, saya memberi jaminan bahawa Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya akan memantau rapat dan menguruskan cabaran ini dengan sebaik mungkin supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual.

    “Bagi saya, projek ini bukan sekadar membina jalan baharu — ia adalah nadi penghubung rakyat Kelantan kepada peluang yang lebih luas, sama ada dari segi ekonomi, sosial, atau kualiti hidup. Apabila siap kelak, ia akan menjadi sebahagian daripada rangkaian Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang memperkukuh hubungan Pantai Timur dengan Lembah Klang,” katanya yang berharap untuk melihat rakyat Kelantan dan Pantai Timur menikmati manfaat projek ini dalam tempoh yang ditetapkan.

    Pada Februari lalu, beliau mengesahkan keseluruhan projek Lebuhraya KBKK telah mencapai tahap kemajuan kira-kira 80% dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

    Lebuhraya sepanjang 66.88 kilometer dengan kos RM2.33 bilion itu dipecahkan kepada tujuh pakej menghubungkan bandar Kota Bharu ke Kuala Krai sebelum bersambung dengan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU). Ia melibatkan laluan bagi Pasir Hor-Kadok, Kadok-Ketereh, Ketereh-Kok Lanas, Kok Lanas-Bukit Tiu, Bukit Tiu-Berangan Mek Nab, Berangan Mek Nab-Keroh, dan Keroh-Kuala Krai.

     
     
  • 20 kereta paling laris untuk Julai 2025 – Bezza no.1 diikuti Axia & Myvi, Saga catat jualan bulanan terbaik

    20 kereta paling laris untuk Julai 2025 – Bezza no.1 diikuti Axia & Myvi, Saga catat jualan bulanan terbaik

    Dengan tersiarnya maklumat pendaftaran untuk kenderaan baharu di Malaysia bagi Julai 2025 oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ini dia kami siarkan 20 kereta paling laris di Malaysia sepanjang bulan lalu.

    Kembar sedan dan hatchback Perodua Bezza dan Axia masih lagi berada di kedudukan pertama dan kedua dengan masing-masing terjual sebanyak 9,771 unit dan 7,980 unit. Manakala tempat ketiga adalah Perodua Myvi dengan jualan sebanyak 6,530 unit, memintas semula kedudukan Proton Saga yang berada di kedudukan tersebut bulan sebelumnya.

    Saga terjual sebanyak 6,500 unit sepanjang Julai 2025, dan walaupun kedudukannya jatuh, ini merupakan rekod bulanan terbaik sedan segmen-A Proton itu tahun ini. Kedudukan kelima dan keenam masih lagi milik model-model keluaran Perodua iaitu Alza dan Ativa di mana masing-masing terjual sebanyak 5,016 unit dan 2,836 unit.

    20 kereta paling laris untuk Julai 2025 – Bezza no.1 diikuti Axia & Myvi, Saga catat jualan bulanan terbaik

    Tempat ke tujuh hingga ke sembilan masih tidak berubah sama seperti bulan sebelumnya iaitu Vios, Hilux dan City (sedan + hatchback). Namun bagi kedudukan ke-10, ia kini milik Proton X50 (facelift + prefacelift) yang terjual sebanyak 1,932 unit, naik tiga anak tangga berbanding bulan sebelumnya.

    Toyota Alphard (kebanyakkannya unit recond) terjual sebanyak 1,715 unit untuk berada di tempat ke-11. Manakala tempat ke-12 dan ke-13 adalah model dari Proton iaitu Persona (terjual 1,499 unit, naik dua anak tangga berbanding Jun) dan S70 (terjual 1,398 unit, jatuh dua anak tangga berbanding bulan sebelumnya).

    Perodua Aruz yang baru diberikan perubahan kecil baru-baru ini terjual sebanyak 1,353 unit, jatuh tiga anak tangga dan berada di tempat ke-15. Manakala satu-satunya model dari China yang berada dalam senarai ini iaitu Jaecoo J7 terjual sebanyak 1,016 unit sepanjang Julai untuk berada di tempat ke-16.

    20 kereta paling laris untuk Julai 2025 – Bezza no.1 diikuti Axia & Myvi, Saga catat jualan bulanan terbaik

    Barisan model Honda iaitu Civic, HR-V dan CR-V tidak berubah berada di tempat ke-17 hingga ke-19, dengan jualan masing-masing 894 unit, 819 unit dan 783 unit sepanjang bulan lalu. Toyota Veloz terkeluar dari senarai ini pada bulan Julai, di mana tempat ke-20 dirampas oleh Mitsubishi Xpander dengan jualan sebanyak 719 unit.

    Untuk jualan kumulatif tahunan, kedudukan masih lagi sama kecuali Toyota Alphard yang kini berada di tempat ke-12 dan Honda HR-V berada di tempat ke-13.

     
     
  • EON dan Bank Muamalat jalin kerjasama sediakan penyelesaian perbankan gaya hidup patuh syariah

    EON dan Bank Muamalat jalin kerjasama sediakan penyelesaian perbankan gaya hidup patuh syariah

    Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) selaku pengedar pelbagai jenama automotif di Malaysia telah memperkenalkan dua kad kredit bersama rakan kerjasama strategiknya, Bank Muamalat, yang dikenali sebagai Muamalat EON Visa Infinite-i dan Muamalat EON Visa Platinum-i di acara EON & Sahabat AutoFest 2025 yang berlangsung pada Jumaat lalu. Kad kredit berkenaan bertujuan untuk menawarkan penyelesaian perbankan gaya hidup yang patuh syariah di Malaysia.

    Melancarkan produk kewangan terbaru ini, Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata: “Kad kredit dengan jenama bersama Bank Muamalat ini membolehkan kami menawrkan alat kewangan yang praktikal yang menyokong dengan menyeluruh gaya hidup pelanggan kami, dari perbelanjaan harian hinggalah kepada keperluan automotif,” jelasnya yang turut disertai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin.

    Kerjasama ini juga mempamerkan usahasama yang kukuh dalam kumpulan syarikat DRB-Hicom, yang mana EON dan Bank Muamalat adalah ahlinya, serta mencerminkan tumpuan bersama yang dikongsi untuk memberikan nilai bermakna kepada pelanggan kedua-dua jenama.

    Khairul pula berkata: “Usaha bersama ini mencerminkan hubungan strategik antara kami dan EON, yang ingin memberikan nilai terbaik dan sokongan kewangan yang anjal. Melalui kerjasama ini, kami ingin memperkukuhkan portfolio runcit kami dan memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dengan sebuah produk yang patuh syariah dan dipacu oleh penyelesaian gaya hidup.”

    Pemegang kad kredit ini akan menikmati kemudahan dan nilai tambahan ketika menggunakannya, terutama untuk perbelanjaan berkaitan automotif. Antara manfaatnya termasuklah ganjaran yang lebih menarik ketika menghantar kenderaan mereka untuk servis di pusat servis EON seluruh negara, serta capaian ke atas keistimewaan eksklusif melibatkan semua jenama di bawah EON seperti Proton, Proton eMas, Audi, Mitsubishi, Volkswagen, Isuzu, dan smart.

    EON dan Bank Muamalat jalin kerjasama sediakan penyelesaian perbankan gaya hidup patuh syariah

    Selain itu, pemegang kad kredit ini juga boleh mendapatkan hingga 5x mata ganjaran EON ketika kempen khas, yang mengubah perbelanjaan harian kepada ganjaran yang lebih nilai.

    Manfaat utama termasuklah:

      Kelebihan kewangan:

    • Yuran tahunan dibatalkan
    • Pelan bayaran ansuran fleksibel 0% dan pilihan pemindahan baki
    • Mata ganjaran Muamalat untuk transaksi yang layak
    • Kembalian tunai untuk perbelanjaan luar negara dan tanpa tunai
    • Perlindungan:

    • Perlindungan takaful menyeluruh untuk kelegaan fikiran
    • Gaya hidup dan keistimewaan:

    • Diskaun khusus untuk produk dan servis EON
    • Akses VIP dan jemputan eksklusif ke acara dan promosi EON

    Sempena pelancaran, kempen masa terhad “Activate & Spend Your Muamalat EON Co-Branded Credit Card” juga akan berlangsung dari 1 September hingga 31 Disember 2025. 300 pemegang kad terawal yang mengaktifkan kad mereka dan berbelanja minimum RM50 sepanjang tempoh kempen tersebut akan menerima 20,000 mata ganjaran Muamalat dan juga manfaat kembalian tunai.

     
     
  • 20 jenama EV paling laris Julai 2025 — BYD atas Proton, Tesla normal, Chery jatuh, Honda tersenarai

    20 jenama EV paling laris Julai 2025 — BYD atas Proton, Tesla normal, Chery jatuh, Honda tersenarai

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan terkini bagi bulan Julai 2025. Dan, bagi jenama EV, BYD masih berada di atas dengan 870 unit yang diikuti Proton dengan 686 unit. Bagi Tesla — menunjukkan angka yang tinggi bagi Mei dengan 1,075 unit — hanya mencatatkan 587 unit bagi Jun sebelum turun ke angka normal 256 unit untuk Julai (purata sebulannya adalah 379 unit).

    Chery yang berada di tangga keempat pada bulan Jun dengan 189 unit — bulan dengan jualan EV paling banyak jenama itu setakat ini — kini jatuh ke tempat kelapan dengan hanya 59 unit yang didaftarkan. BMW kini naik ke tangga keempat untuk Julai dengan 119 unit, diikuti rapat oleh Xpeng dengan 109 unit dan Denza dengan 103 unit. MG (95 unit) dan Leapmotor (66 unit) mencatatkan bulan dengan jualan EV yang terbaik mereka setakat ini.

    20 jenama EV paling laris Julai 2025 — BYD atas Proton, Tesla normal, Chery jatuh, Honda tersenarai

    Mercedes-Benz yang mencatatkan 59 unit dan Lexus dengan 20 unit berdaftar juga merupakan bulan dengan jualan terbaik bagi kedua-duanya setakat ini. Bagi Honda, ini kali pertama jenama itu masuk ke dalam senarai 20 teratas untuk EV dengan jualan sembilan unit — dengan hanya mempertaruhkan sebuah sahaja model EV, Honda e:N1.

    Bagi jualan tahunan setakat ini (YTD), tiada kedudukan yang berubah: tempat pertama hingga ke-15 masih kekal sama, tetapi Hyundai (tangga ke-17) tidak lagi menjual EV di Malaysia, dan boleh dijangka ia akan terkeluar dari senarai ini nanti.

    20 jenama EV paling laris Julai 2025 — BYD atas Proton, Tesla normal, Chery jatuh, Honda tersenarai

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025