Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • JPJ memperketatkan proses pendaftaran kenderaan import di Langkawi dengan kerjasama Kastam

    JPJ_new_fleet_4

    Mengulas mengenai langkah pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Jan lepas, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata proses pendaftaran kenderaan import di Langkawi kini diperketatkan menerusi sistem bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kastam Diraja Malaysia (KDM) yang dibangunkan Julai lepas.

    Menurutnya lagi, sistem itu membolehkan penyaluran maklumat secara langsung antara JPJ dan KDM mengenai permohonan mendaftarkan kenderaan yang diimport ke Langkawi.

    “Selama ini banyak penipuan untuk mengelakkan cukai berlaku kerana kami masih pakai kaedah manual. Sekarang ini tidak lagi kerana sistem komputer kami diintegrasikan dengan sistem kastam hingga isu penipuan cukai sukar dilakukan,” katanya.

    Dalam pengumuman pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, Najib berkata langkah memperketatkan pengecualian cukai kenderaan import di pulau bebas cukai itu bertujuan meningkatkan jumlah dan kecekapan kutipan hasil kerajaan.

     
     
  • Prasarana sasar 1.5 juta penumpang sehari menjelang pertengahan 2016 – melibatkan LRT dan bas Rapid

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan jumlah penumpang perkhidmatannya sehari akan meningkat kepada 1.5 juta orang menjelang pertengahan tahun depan.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmi Abdul Aziz, unjuran itu berdasarkan pembukaan laluan sambungan LRT jajaran Ampang dan LRT jajaran Kelana Jaya serta pembukaan laluan baharu Mass Rapid Transit (MRT), memetik laporan Bernama.

    “Projek sambungan jajaran LRT laluan Ampang dijadualkan dibuka pada 31 Mac depan, projek sambungan jajaran LRT laluan Kelana Jaya pada 30 Jun depan manakala laluan MRT Sungai Buloh ke Kajang pada Disember tahun ini,” katanya.

    Katanya lagi, buat masa ini bilangan penumpang Prasarana telah mencecah 1,001,800 orang sehari meliputi penumpang laluan LRT Kelana Jaya, laluan LRT Ampang, laluan Monorel dan perkhidmatan bas Rapid KL termasuk Bus Rapid Transit laluan Sunway, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.

    Dalam masa yang sama, Prasarana akan mempertingkatkan kemudahan di semua 60 stesen miliknya supaya lebih mesra pengguna.

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo tetap utamakan hidupan liar

    Pan-Borneo-highway-02_BM

    Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo akan turut mengambil kira kepentingan hidupan liar di sesetengah kawasan yang terjejas seperti taman negara dan santuari hidupan liar.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, pendekatan itu bertujuan mengurangkan gangguan terhadap haiwan liar selain memelihara habitat semula jadi mereka, memetik laporan Bernama.

    “Bagi laluan ini, kita menempuh Santuari Hidupan Liar Samunsan, yang antara lain dihuni monyet proboscis, harimau dahan, burung enggang, lotong kelabu, ungka dan penyu. Manakala untuk memenuhi keperluan monyet proboscis, kami membina jambatan sepanjang 270 meter berbanding kira-kira 100 meter bagi membolehkan mereka bergerak bebas sepanjang tebing sungai di bawah jambatan ini,” katanya.

    Pan-Borneo-Highway_BM

    Turut dibina pos pengawal hidupan liar sepanjang laluan di santuari ini untuk menghalang pemburuan haram.

    Fadillah berkata pembinaan jambatan dua lorong akan memberi kesan minimal kepada hutan bakau di kawasan itu selain dilengkapi dengan lampu tanpa silau bagi melindungi penyu.

    Mengenai kerja pembinaan yang agak terlewat sedikit, beliau berkata keadaan itu tidak kritikal dan sebahagian besarnya disebabkan cuaca buruk.

    Jalan Telok Melanao-Sematan merupakan pakej kerja pertama di bawah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 783.9km di Bandaraya Miri dan dijangka siap pada awal Januari 2019.

     
     
  • KL MRT : Penutupan jalan di PJU 7/1 Persiaran Surian dari 10 malam ini (5 Feb) hingga 10 pagi esok (6 Feb)

    mrt-taman-tun

    MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd telah mengumumkan penutupan jalan sepenuhnya di PJU 7/1 berhampiran Persiaran Surian pada hari ini jam 10 malam sehingga 10 pagi esok (6 Februari 2016). Penutupan selama 12 jam ini adalah bagi kerja-kerja pemasangan struktur keluli pada penyambung jejambat di Stesen MRT Mutiara Damansara. Ia melibatkan penutupan sepanjang 500 m di kedua-dua arah di Jalan PJU 7/1 tersebut.

    Sepanjang tempoh penutupan itu, pengguna jalan raya yang ingin ke Mutiara Damansara melalui Jalan PJU 7/1 dari Kota Damansara atau LDP akan dilencongkan ke Jalan PJU 7/8.

    Manakala pengguna jalan raya yang datang dari arah Mutiara Damansara yang ingin ke Persiaran Surian (arah Lebuhraya LDP) melalui Jalan PJU 7/1 akan dilencongkan ke Jalan PJU 7/4 dan keluar dari Jalan PJU 7/8.

    Bagi yang datang dari Mutiara Damansara dan Damansara Perdana yang ingin ke Persiaran Surian (arah Kota Damansara) melalui Jalan PJU 7/1 akan dilencongkan ke Jalan PJU 8/1, kemudian terus ke persimpangan Damansara Perdana dan pusing ke kanan, seterusnya menghala ke persimpangan Bandar Utama dan membuat pusingan-U untuk akses ke Persiaran Surian.

    Sila rujuk rajah di bawah untuk lencongan dan jalan alternatif yang disediakan sepanjang penutupan ini.

    MRT_PJU_PT_BM

     
     
  • Kenaikan tambang pengangkutan awam tidak halang orang ramai menggunakannya – Syed Hamid

    Syed-Hamid-Albar

    Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, walau pun kenaikan tambang pengangkutan awam dilaksanakan baru-baru ini, namun ia masih menjadi pilihan orang ramai untuk terus menggunakan perkhidmatan ini.

    Memetik laporan The Sun Daily, Syed Hamid berkata, diskaun turut diberikan kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU), bagi membantu mereka mengurangkan beban akibat kenaikan tambang pengangkutan awam ini. Baru-baru ini, Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) telah mengumumkan semakan struktur tambang bagi perkhidmatan masing-masing.

    “Jika diikutkan jumlah penumpang, ternyata ia tidak memberikan sebarang kesan. Malah menerusi angka yang kami peroleh, jumlah penumpang terus meningkat dan ini menunjukkan perkembangan yang positif,” ujarnya.

    Beliau turut menambah, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan sehingga RM250 juta setahun bagi kos pengendalian sistem rel di Malaysia.

    Syed Hamid turut menegaskan adalah tidak munasabah untuk menyemak tambang pengangkutan awak berdasarkan harga minyak dunia yang tidak menentu dan menurun sejak kebelakangan ini. “Kita tidak boleh meramalkannya, ada kos-kos lain yang perlu diambil kira. Saya rasa ini bukan satu isu,” katanya. Apa pendapat anda mengenai perkara ini?

     
     
  • Polis kenalpasti 20 kawasan kerap berlaku kemalangan di Lembah Klang – rancang ketatkan penguatkuasaan

    Crash-accident-collision

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sejumlah 20 kawasan di sekitar Lembah Klang yang kerap berlaku kemalangan hingga membabitkan kematian dan kecederaan serius.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur DSP Datuk Law Soon Hong, berdasarkan statistik dan angka, kawasan berkenaan telah mencatatkan kadar kemalangan yang tertinggi, menurut laporan The Sun.

    Lokasi yang disenaraikan adalah seperti berikut:

    Lebuhraya Lingkaran Kedua (MRR2)
    Lebuhraya Sprint
    Jalan Kuching
    Jalan Loke Yew
    Jalan Cheras
    Lebuhraya Besraya
    Jalan Tun Razak
    Jalan Duta
    Jalan Ipoh
    Lebuhraya KL-Seremban
    Jalan Klang Lama
    Lebuhraya DUKE
    Jalan Kepong
    Jalan Ampang
    Jalan Segambut
    Jalan Genting Klang
    Jalan Pudu
    Lebuhraya KESAS
    Jalan Sungai Besi
    Lebuhraya Persekutuan

    “Penunggang motosikal merupakan yang paling banyak terlibat dengan kemalangan maut diikuti dengan pemandu kenderaan lain yang gagal mengawal kenderaan sewaktu memandu. Tahun lalu, sebanyak 120 kes kemalangan telah dicatatkan berbanding 119 pada tahun 2014 di kawasan berkenaan,” ujar Law.

    Beliau turut menambah Ops Selamat 8/2016 sempena Tahun Baru Cina telah pun dilancarkan dan beroperasi sehingga 16 Februari ini dengan sekurang-kurangnya 300 anggota trafik bertugas di sekitar pusat bandar.

    Law turut berkata sebanyak 489,543 saman trafik telah dikeluarkan pada tahun lalu dengan amaun sebanyak RM9.7 juta. “Kami merancang untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan termasuk mengenakan denda secara maksimum bagi mereka yang melanggar peraturan lalu lintas ini,” tambahnya lagi.

    Sementara itu, Law turut menasihati orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baru Cina ini untuk mengisi borang ‘Balik Kampung’ dan menyerahkannya di balai polis berhampiran. Ini dapat membantu pihak polis melakukan rondaan di kawasan tempat tinggal anda.

     
     
  • VIDEO: JANGAN LAKUKAN ini di stesen minyak

    Here's what NOT to do when you're at a fuel station…More details here: http://paultan.org/2016/02/04/video-things-not-to-do-when-youre-at-a-fuel-station/

    Posted by Paul Tan's Automotive News on Thursday, February 4, 2016

    Berapa kali dalam seminggu anda akan mengisi minyak kenderaan? Sekali? Atau mungkin lebih? Dan pernahkah anda melihat sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku di stesen minyak (atau anda sendiri pernah melakukannya). Sila tonton video khas dari Petronas Primax ini, yang menampilkan hos Driven Web Series.

    Perkara paling biasa yang dilakukan ialah membiarkan enjin terus hidup ketika mengisi minyak. Tahukah anda, minyak merupakan bahan yang amat mudah terbakar. Secara faktanya, bukan setakat minyak yang mudah mencetuskan pembakaran, tetapi wasapnya. Di mana enjin yang masih hidup ini berpotensi untuk menyalakan api, sama ada menerusi system ekzos yang panas atau percikan dari system elektronik. Itu sebabnya ada sesetengah kenderaan yang perlukan kunci untuk membuka penutup pengisi bahan api.

    Seterusnya menggunakan telefon bimbit atau merokok di pam minyak adalah sangat merbahaya. Penggunaan telefon bimbit, vape atau apa juga peranti elektronik mampu mengundang risiko. Di mana ia boleh menghasilkan percikan elektronik, dan seterusnya mampu menyebabkan kebakaran. Untuk itu, jangan sama sekali menggunakan sebarang peranti elektronik atau pun merokok di stesen minyak!

    Petronas-Coffee-Break-1_PT_BM

    Untuk penunggang motosikal, jangan sesekali duduk di atas motosikal anda ketika sedang mengisi minyak. Tangki minyak motosikal adalah lebih kecil berbanding kereya, dan selalunya saluran minyaknya lebih pendek atau tiada langsung. Jadi ketika anda mahu mengisi minyak , ada kemungkinan ia akan memercik keluar terutamanya jika sudah penuh. Apa yang boleh berlaku? Percikan yang terkeluar itu boleh terkena enjin yang panas dan kebarangkalian mampu mencetuskan kebakaran. Hendak selamat? Jangan duduk di atas motor anda sewaktu mengisi minyak!

    Soal keselamatan bukanlah suatu yang patut dianggap remeh, tak kiralah ketika berada di jalan raya mahu pun stesen minyak. Itulah pesanan dari Petronas untuk anda. Dalam masa yang sama, Petronas turut telah melancarkan kempen Coffee Break sempena Tahun Baru Cina 2016 ini, dengan menghidangkan 880,000 cawan kopi di 142 stesen Petronas pada hujung minggu 6 dan 7 Februari serta 13 hingga 14 Februari ini.

    Selamat Tahun Baru Cina bagi yang meraikannya dan ingat, sentiasa berhati-hati di jalan raya dan nikmati perjalanan anda bersama Petronas Primax.

     
     
  • Toyota hadiahkan Camry Hybrid 2.5 kepada pelanggan bertuah – terima lebih 9,000 penyertaan menerusi pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’

    Ms. Khoo Bee Ngoh (right) received the new Toyota Camry Hybrid from Mr. Khong Man Chong, Executive Director of Sales Group, UMW Toyota Motor

    Dengan penyertaan melebihi 9,000 dari para pelanggan Toyota, seorang wanita bertuah telah dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’ yang tamat pada Disember 2015. Pemenang bertuah tersebut, Khoo Bee Ngoh telah membawa pulang Toyota Camry 2.5 Hybrid baharu.

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menganjurkan siri jelajah ‘Toyota WOW Road Tour is Back 2 Excite’ sejak September hingga November lalu. Dan sebagai sebahagiab daripada promosi jualan istimewa ini, UMWT turut menganjurkan pertandingan ‘Beli & Menang Toyota’, di mana ia memberikan peluang kepada semua pelanggan yang menempah mana-mana model Toyota di siri jelajah tersebut, layak untuk memenangi Toyota Camry 2.5 Hybrid.

    Khoo yang membeli model Vios 1.5J (AT) di siri jelajah WOW di Sunway Pyramid, telah menerima hadiah yang dimenanginya ini di bilik pameran Toyota di Subang Jaya, yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Bahagian Jualan UMTW, Khong Man Chong.

    UMWT juga akan meneruskan siri jelajah WOW di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara pada tahun ini, di samping lebih banyak promosi jualan menarik turut ditawarkan.

     
     
  • Enjin GDI/TGDI Proton bukannya pengganti CamPro

    Pengumuman Proton mengenai barisan enjin baharu yang bakal diperkenalkan pada 2018 membuatkan ramai yang tertanya-tanya bagaimana dengan nasib enjin CamPro. Di mana enjin tersebut yang buat pertama kalinya diperkenalkan menerusi model Gen2 pada tahun 2004, dan sejak itu ia telah menerima beberapa siri penaiktarafan sehinggalah enjin VVT digunakan pada Iriz.

    Melepasi sedekad, enjin tersebut agak sukar untuk diteruskan dengan keadaan pasaran sekarang, menurut Ketua Pegawai Teknikal Proton Abdul Rashid Musa. “Seperti yang anda tahu, (enjin baharu GDI dan TGDI Proton) tidak boleh menggunakan bahan api dengan RON yang rendah kerana ia adalah enjin yang sangat efisien,” ujarnya.

    Sambungnya lagi, “Jadi ia bergantung pada pasaran. Selain itu, ia juga banyak bergantung pada beberapa perkara termasuk kos. Dengan negara yang telah mengurangkan syarat dan kos menjadi lebih sensitif, maka enjin VVT lebih sesuai untuk pasaran.” Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, enjin suntikan terus baharu ini boleh dikuasakan dengan petrol RON 95.

    Rashid turut menambah, negara dengan memiliki syarat yang lebih tinggi termasuk emisi standard yang juga tinggi seperti bakal menggunakan Euro 6C, juga boleh menggunakan enjin GDI dan TGDI baharu ini. “Jadi inilah alasannya mengapa kami tidak menghentikan penggunaan CamPro, kerana ia bergantung pasaran mana yang dimasuki dan bersesuaian. Namun jika bergantung pada teknologi atau kos, kita akan mencari penyelesaian bagi kedua-duanya.”

    “Oleh itu, kita perlu lihat pasaran mana lebih bersesuaian berbanding hanya jual apa yang kita ada, Jika sasaran pasaran itu lebih sensitif soal harga, kita akan menawarkan teknologi yang lebih bersesuaian dengan harga yang kompetitif berbanding teknologi baharu,” ujarnya.

     
     
  • Lebuhraya Kinrara-Damansara – penjajaran laluan boleh digunakan untuk pengangkutan awam

    kidex-2

    Selepas dibatalkan sejak setahun yang lalu, penjajaran laluan yang direncanakn bagi Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) boleh digunakan untuk laluan pengangkutan awam, mengikut draf yang diusulkan oleh Perancang Pengangkutan Awam Selangor. Draf tersebut bagi mengusulkan penjajaran laluan yang sepatutnya digunakan untuk Kidex boleh ditukar menjadi laluan pengangkutan awam di kawasan terbabit, menurut laporan The Sun Daily.

    Laluan yang diusulkan itu melibatkan sepanjang 11 km, akan menghubungkan Seksyen 16 Petaling Jaya ke Bandar Kinrara. Di mana laluan utara-selatan itu akan bersilang dengan empat lagi laluan pengangkutan awam, yang kini beroperasi dari arah timur-barat, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran yang berkongsi berita ini dengan pihak media semalam.

    Beliau turut berkata laluan pengangkutan awam ini juga akan memberikan manfaat pada perkhidmatan komuter di kawasan terbabit, secara tidak langsung mampu memberikan sambungan pengangkutan yang lebih baik di sekitar Lembah Klang.

    kidex-1

    Buat masa ini, kerajaan negeri Selangor belum mengumumkan perincian mengenai rancangan ini, namun Rajiv berkata projek yang diusulkan ini akan memberikan kesan yang minima mengenai pengambilan tanah kerana ia menggunakan penjajaran yang sama dengan Kidex. “Membina laluan pengangkutan awam tidaklah begitu sukar dan memerlukan kawasan yang lebih luas berbanding pembinaan lebuhraya,” ujarnya.

    Kidex merupakan projek lebuh raya paling mahal yang pernah dicadangkan iaitu melibatkan kos sehingga Rm148 juta bagi setiap kilometer. Lebuh raya yang menghubungkan bahagian utara Damansara ke selatan Bandar Kinrara sepankang 14.6 kilometer ini dijangka memakan kos sebanyak RM2.2 bilion, dibina sepenuhnya secara jejambat.

    Namun kerajaan Selangor membuat keputusan untuk membatalkan Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) atas alasan syarikat konsesi gagal memenuhi syarat ditetapkan dalam tempohnya. Malah kerajaan negeri juga berpendirian bahawa pembinaan lebuhraya dalam negeri Selangor perlulah bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi juga dinikmati oleh penduduk di mana lebuhraya itu dibina.

     
     
  • Lebuhraya GCE laksana ETC mulai 2 Mac ini

    GUTHRIE

    PROLINTAS Expressway Sdn Bhd telah mengumumkan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan melaksanakan sistem pembayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di Plaza Tol Bukit Jelutong, Elimina dan Plaza Tol Lagong mulai 2 Mac ini.

    Pelaksanaan itu adalah sebahagian daripada usaha PROLINTAS untuk memastikan pengguna lebuh raya itu dapat melalui plaza tol dengan lebih lancar, pantas dan selesa. Malah bermula semalam, lorong tambah nilai 24 jam dibuka di kedua-dua belah arah bagi ketiga-tiga plaza tol.

    Ketua Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Ir Zainudin A. Kadir, berkata sistem tersebut akan bermula pukul 12 tengah hari pada hari berkenaan.

    Katanya sebagai insentif kepada pengguna, mulai 18 Januari lalu, kad Touch’n Go diberi percuma di setiap lorong tunai di ketiga-tiga plaza tol yang boleh didapati dengan membayar nilai sebanyak RM5 setiap kad.

    Selain itu, pengguna juga boleh membeli SmartTag dengan harga promosi bernilai RM99 yang mula dijual semalam dengan syarat pengguna menambah nilai minima sebanyak RM20 pada kad Touch’n Go mereka semasa pembelian.

     
     
  • Lori dilarang berada di lebuhraya sepanjang CNY

    LORRY_PT_BM

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan, di bawah Ops Tahun Baru Cina, semua lori pengangkutan dilarang berada di semua lebuhraya pada 6,7, 13 dan 14 Februari ini.

    Menurut Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan Vello, langkah ini diambil bagi memastikan ia mampu mengurangkan kesesakan trafik di lebuhraya, termasuk meminimakan kemalangan yang membabitkan kenderaan berat sepanjang musim perayaan ini.

    “Kami telah memberikan notis pada semua pihak yang terlibat dan hanya memberikan pengecualian pada lori pengangkutan yang membawa barangan makanan, bahan api, sisa buangan logistik dan ubat sahaja,” ujarnya menerusi laporan The Sun Daily.

    JPJ juga bakal menempatkan 4,500 pegawai dan 700 kenderaan penguatkuasa sepanjang lebuhraya dan jalan utama di seluruh negara bagi memantau dan penguatkuasaan termasuk menyaman pengguna jalan raya yang didapati melanggar undang-undang jalan raya.

    Valluvan turut menambah JPJ juga akan memeriksa 82 depoh bas ekspres dan 29 terminal bas di seluruh negara bagi memastikan bas-bas terbabit mengikut langkah keselamatan yang ditetapkan. “Kami berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan di negara ini dan ini merupakan salah satu inisiatif kami tahun ini,” ujarnya lagi.

     
     
  • Mazda CX-5 versi facelift CKD dipertontonkan – 2.0 dan 2.5 liter, tempahan dibuka, harga dijangka sama

    Mazda CX-5 2.5L CKD facelift-1

    Lewat petang semalam, Bermaz telah mempertontonkan model CX-5 versi penambahbaikan (facelift) unit pemasangan tempatan (CKD) di Saujana Golf and Country Club . Sebelum ini, varian CX-5 2.5 liter adalah dari unit import sepenuhnya (CBU).

    Namun, apabila Mazda mengambil keputusan untuk menghadirkan kedua-dua varian iaitu 2.0 liter dan 2.5 liter dalam versi CKD, secara tidak langsung menjadikan harganya lebih murah. Secara tidak rasminya, kedua-dua varian dikatakan bakal ditawarkan dengan pilihan Mid Spec (sebelum ini GL) dan High Spec 2WD (4WD dihentikan) bagi 2.0L dan 2.5L pula mungkin terdapat untuk 2WD dan 4WD. Tempahannya telah pun dibuka, dan SUV ini bakal mula berada di pasaran secara rasminya apabila harganya telah disahkan.

    Walau pun harga masih belum disahihkan, namun menurut sumber dari Bermaz, kemungkinan besar harganya kekal seperti model sebelum ini, senada dengan kenyataan dari CEO Berjaya Auto Datuk Seri Ben Yeoh yang telah mengesahkan tiada sebarang perubahan harga pada semua model Mazda buat masa ini.

    Mazda CX-5 2.5L CKD facelift-2

    Buat masa ini, harga bagi model sedia ada ialah RM129,559 (solid) dan RM129,952 (metalik) bagi 2.0 liter GL dan RM143,938 (solid) dan RM144,338 (metalik) bagi 2,0 liter High Spec 2WD.

    Manakala 2.5 liter 2WD CKD pula kini berharga RM149,075 (solid) dan RM149,475 (metalik). Dijangkakan bagi 2,5 liter 4WD CKD baharu akan menjadi lebih murah berbanding model CBU yang berharga RM175,343. Kesemuanya adalah harga atas jalan termasuk insurans.

    Kedua-dua enjin 2.0 liter (153 hp @ 6,000 rpm/200 Nm @ 4,000 rpm) dan 2.5 liter (184 hp @ 5,700 rpm/250 Nm @ 3,250 rpm) SkyActiv-G suntikan-terus empat-silinder masih dikekalkan,

    Mazda CX-5 2.5L CKD facelift-12

    Turut dikekalkan ialah transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan, namun versi baharu ini memiliki mod Sport yang lebih responsif, pemilihan butang kawalan berbanding tuil gear. Keselesaannnya juga telah dipertingkatkan, tahap bunyi bising dalam kabin sewaktu SUV ini dipandu juga dikurangkan 10%, sementara struktur tempat duduknya juga telah direka semula untuk memberikan lebih keselesaan dan sokongan sewaktu di selekoh.

    Elemen standard juga masih sama bagi model 2.0 liter iaitu varian Mid Spec masih mengekalkan apa yang ada pada GL termasuk lampu utama projektor automatik dan lampu kabus dan lampu belakang jenis mentol, serta rim aloi bersaiz 17-inci.

    Di bahagian dalamnya, tempat duduk balutan fabrik dengan pelarasan manual bagi tempat duduk hadapan, butang penghidup enjin, sistem hiburan MXD Connect baharu, sistem bunyi enam-speaker, kamera undur dan kawalan kelajuan. Sistem navigasi turut boleh didapati sebagai pilihan untuk model Mid Spec ini.

    Manakala varian High Spec pula menerima lampu utama adaptif LED laras-sendiri baharu dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus dan lampu belakang LED serta pengesan parkir hadapan. Di bahagian kabinnya pula, ada kemasukan tanpa kunci, balutan kulit upholstery, tempat duduk pemandu dengan pelarasan elektronik dan sistem navigasi standard.

    Mazda CX-5 2.5L CKD facelift-25

    Bagi varian 2.5 liter CKD menerima perubahan yang lebih besar, kitnya masih sama dengan model 2.0 liter High Spec tetapi turut ditampilkan dengan rim aloi bersaiz 19-inci dengan warna perak yang sama seperti model sebelum ini.

    Malah varian 2.5 liter CKD ini juga tidak menampilkan bumbung matahari dan sistem bunyi Bose sembilan-speaker seperti mana yang ada pada model CBU. Kit keselamatan masih kekal sama, dengan kesemua model menerima enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC) dan kawalan cengkaman.

     
     
  • Proton anjur khidmat pemeriksaan keselamatan percuma – di stesen Petronas terpilih 3-6 Feb

    Proton_Iriz_002_BM

    Sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina (CNY) yang bakal menjelang ini, Proton Holdings Bhd telah menyediakan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 30 mata secara percuma untuk para pelanggannya di stesen-stesen minyak Petronas terpilih.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, promosi hasil kerjasama dengan Petronas bagi kempen ‘Petronas Coffee Break,’ diadakan mulai hari ini sehingga 6 Februari 2016, bermula jam 10 pagi sehingga 7 malam di tujuh stesen Petronas di Selangor, Johor, Kedah serta Pahang.

    Pemeriksaan itu termasuk aspek tahap cecair, bateri, bilah pengelap cermin, penutup radiator, pengendalian pedal, sistem suspensi, sambungan stereng dan sistem ‘ball joint,’ sistem penyejukan, bahan api, sistem brek serta tekanan tayar (termasuk tayar ganti).

    Malah pemilik Proton akan turut diberikan beg cenderahati berisi limau mandarin, sampul angpau dan air mineral sebagai penghargaan di atas sokongan mereka.

    Lokasi pemeriksaan itu di stesen-stesen minyak Petronas terpilih di Kawasan Tengah iaitu Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya SILK, Lebuhraya Utara-Selatan di Taman Nilam Sari, Bandar Anak Bukit, Tok Senik, Lebuhraya Pasir Gudang dan R & R Bentong.

     
     
  • Ford teruskan program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup – diperluaskan ke dua lagi IPT

    ford-dsfl-taylors-3

    Ford Motor Company meneruskan usahanya untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya di Malaysia menerusi program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup (DSFL). Program itu telah diperluaskan ke dua lagi institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Institut German-Malaysia dan Universiti Taylor.

    Bengkel DSFL secara percuma itu yang diadakan pada Januari direka khas untuk menangani cabaran yang dialami oleh pemandu muda. Misalnya yang kurang pengalaman ketika berdepan dengan situasi tidak dijangka, gangguan ketika memandu dan paling penting adalah memastikan tempat duduk kanak-kanak dipasang dengan betul.

    “Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup merupakan satu program latihan amali yang direka untuk membantu para pemandu mendapatkan kemahiran-kemahiran penting agar kekal selamat di atas jalan raya. Ini amat penting terutama buat pemandu yang baru mendapat lesen memandu seperti pelajar-pelajar universiti,” kata Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman.

    Kajian yang dilakukan oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menujukkan bahawa 80 peratus kemalangan jalan raya disebabkan oleh kecuaian manusia. Program DSFL menggalakkan pemanduan selamat dengan melengkapkan para peserta dengan pengetahuan supaya mereka dapat membuat keputusan yang bijak ketika memandu, demi mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan.

    Sesi DSFL bermula di dalam kelas di mana para peserta belajar tentang pelbagai topik termasuklah kawalan stereng, masalah under-steer dan over-steer, sehinggalah tip-tip memandu di lebuh raya serta ketika hujan.

    Para peserta juga belajar mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol dengan memakai kelengkapan yang direka khas untuk membantu mensimulasikan pengalaman memandu ketika aspek pergerakan, koordinasi dan kepekaan adalah terhad. Mereka kemudian menjalani sesi pemanduan secara amali untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari.

    DSFL merupakan program utama tanggungjawab korporat sosial (CSR) global Ford. Di Asia, Ford DSFL telah dilaksanakan dengan jayanya untuk melatih pemandu yang sudah mempunyai lesen dari semua peringkat umur selama sembilan tahun. Selain Malaysia, latihan DSFL turut diadakan di China, India, Indonesia, Myanmar, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Filipina.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024