Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Mercedes-Benz Malaysia lancar laman mikro sebagai ‘teaser’ E-Class W213 baharu sebelum pelancarannya

    Mercedes-Benz Malaysia teases W213 E-Class
    Screen-Shot-2016-05-27-at-12.27.56-PM-e1464325158321_BM

    Mercedes-Benz Malaysia telah membuka laman web mikro baru khas bagi tujuan ‘teaser’ untuk Mercedes-Benz E- Class generasi ke-10 yang bakal menembusi pasaran Malaysia tidak lama lagi.

    Dijangkakan E-Class W213 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan dengan varian tunggal E 200 dengan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 184 hp/300 Nm, memandangkan generasi sedia ada turut hanya ditawarkan dengan varian sedemikian. Selepas itu, pasaran global akan menerima E300 yang berkuasa 245 hp, dan juga E 400 yang berkuasa 333 hp dengan enjin 3.0 liter turbo V6, tetapi masih lagi belum jelas adakah pasaran Malaysia turut akan menerima varian-varian tersebut.

    Diasaskan dari platform Modular Rear Architecture (MRA) yang dikongsi bersama C-Class, E-Class menampilkan rekaan yang lebih menarik serta rekaan dalaman yang menerapkan rekaan dari S-Class. Pelbagai ciri utama yang menarik turut ditampilkan seperti lampu hadapan Multibeam 84-LED, kunci digital yang berfungsi hanya menggunakan telefon pintar sebagai kunci menerusi Near Field Communication (NFC), paparan COMAND baharu serta pad sesentuh pada roda stereng untuk mengawal pelbagai fungsi.

    Banyak lagi teknologi yang ditampilkan pada model generasi baharu ini seperti sistem Remote Parking Pilot yang membolehkan kereta tersebut bergerak keluar dan kedalam petak parkir secara automatik (dikawal menggunakan telefon pintar), Bantuan Brek Aktif, Evasive Steering Assist yang mengesan dan membantu kawalan stereng ketika mengelak halangan, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Tukar Laluan Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif, Pre-Safe Plus dan pelbagai lagi.

    Sistem Pre-Safe pada model ini juga telah dipertingkatkan dengan sistem Impulse side baharu (menggunakan peninggi tempat duduk untuk menolak penumpang menjauhi bahagian sisi yang dilanggar untuk memberikan ruang selamat yang lebih baik) dan sistem Sound (memberikan bunyi prima pada telinga penumpang menggunakan isyarat gangguan pendek sekiranya ia mengesan pelanggaran dengan bunyi dentuman yang kuat akan berlaku). Juga masih belum jelas, adakah ciri-ciri ini akan ditawarkan untuk E-Class pasaran Malaysia.

    GALERI: W213 Mercedes-Benz E-Class di Bangkok International Motor Show 2016

     
     
  • Pejabat pembelian VW ASEAN KL berpindah ke Thai

    CKD_VW_Polo_1.6_review_Malaysia_ 057

    Pejabat pembelian Volkswagen ASEAN yang sebelum ini ditempatkan di Kuala Lumpur akan berpindah ke Thailand. lapor Bangkok Post. Pejabat baharu berkenaan akan mula beroperasi Ogos ini di kilang pemasangan Scania yang terletak di Samut Prakan.

    Keputusan untuk memindahkan pejabat berkenaan ke Thailand adalah kerana 700 syarikat pembekal komponen VW terletak di negara gajah putih tersebut, berbanding dalam Malaysia yang hanya terdapat sebanyak 200 syarikat, jelas Noshir Desai, Pengurus Besar untuk perolehan pejabat VW rantau ASEAN.

    VW menghantar komponen kenderaan bernilai 136 juta euro dari ASEAN ke Wolfsburg tahun lalu, meningkat sebanyak 21%. Separuh dari jumlah keseluruhan tersebut adalah dari Thailand. Perpindahan ini akan membolehkan VW lebih dekat dengan jumlah majoriti vendor mereka dalam rantau ini. VW mempunyai operasi dalam empat negara ASEAN iaitu Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina.

    Esekutif VW tersebut enggan untuk memberi sebarang perkembangan terkini untuk projek akan datang seperti pembangunan kereta-eko Thai. VW merupakan antara 10 pemohon untuk skim berkenaan, dan lembaga pelaburan negara berkenaan telah pun meluluskannya sebelum skandal “dieselgate” melanda syarikat tersebut tahun lalu.

     
     
  • Pihak berkuasa sarankan pengguna jalan raya mengambil gambar mereka yang menyalahgunakan lorong kecemasan, lapor dan hantar ke JPJ

    weststar ambulance

    Kejadian baru-baru ini di mana sebuah ambulan yang laluannya ke tempat kemalangan terhalang berikutan segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan laluan kecemasan seterusnya menutup laluan tersebut telah mendorong kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut. Ini boleh dilakukan menerusi bukti berdasarkan gambar dan video.

    Pembantu Pengarah (operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail menyarankan agar pengguna jalan raya mengambil gambar mereka yang menyalahgunakan laluan kecemasan dan menghantarnya kepada JPJ, lapor The Sun. Beliau berkata jumlah mereka yang menyalahgunakan laluan tersebut semakin meningkat, terutamanya ketika waktu puncak.

    “Orang ramai boleh melaporkannya ke JPJ, tolong ambil juga gambar kereta mereka sebagai bukti,” kata beliau kepada wartawan. Beliau menyatakan mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan lorong keselamatan ini menyebabkan unit tindakan pantas lambat tiba ke tempat berlakunya kemalangan. Beliau juga menggesa orang ramai untuk membayangkan akibatnya jika ahli keluarga mereka yang lambat menerima bantuan ketika kemalangan sedemikian kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pengguna jalan raya ini.

    Sementara itu, tujuh pemilik kenderaan yang menyebabkan laluan kecemasan sepanjang laluan Lebuhraya PLUS Simpang Ampat, Alor Gajah pada 22 Mei lalu akan dihadapkan ke mahkamah, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo. Beliau berkata kenderaan-kenderaan berkenaan jelas menghalang laluan ambulan semasa kejadian kecemasan tersebut berlaku. Mereka akan didakwa di bawah Undang-undang Trafik 1959, yang akan membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau enam bulan penjara untuk kesalahan kali pertama.

    Dalam insiden tersebut, seorang penunggang motosikal melanggar sebuah kereta yang diletakkan di laluan kecemasan Km228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya, dan sebuah lori berpusing setelah mengelak penunggang tersebut. Pasukan perubatan kecemasan pertama sepatutnya sampai ke tempat kejadian dalam masa 20 minit, tetapi terpaksa mengambil masa hampir sejam kerana halangan trafik tersebut.

     
     
  • Proton bukan syarikat yang gagal – Mustapa Mohamed

    Mustapa

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Proton bukanlah sebuah syarikat yang gagal, walaupun beliau sendiri telah mengeluarkan kenyataan yang agak kritikal berhubung masalah yang dihadapi Proton bulan lalu. Beliau berkata dalam parlimen, walaupun pengeluar automotif nasional berkenaan telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM13.9 billion dalam pelbagai bentuk, sumbangan Proton kepada negara adalah lebih daripada itu.

    Seperti yang dilaporkan oleh The Malay Mail, Mustapa menyatakan dalam jawapan bertulisnya bahawa Proton telah menyumbangkan sekitar RM24 bilion dalam bentuk cukai sejak 1985, dan mewujudkan lebih 12,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Selain itu, Proton juga merupakan sebab utama lebih 500 firma sokongan diwujudkan dalam industri automotif.

    “Tidak benar untuk mengatakan Proton merupakan syarikat yang gagal. Ini kerana sejak ditubuhkan, Proton telah memberi sumbangan yang banyak untuk negara dan memberikan banyak faedah dalam industri.” kata beliau. Bantuan yang diberikan kepada Proton dalam bentuk geran, pengecualian cukai dan pelbagai lagi bantuan bukan-fiskal, tambah Mustapa.

    April lalu, Mustapa mengeluarkan kenyataan mengisytiharkan model perniagaan Proton adalah tidak mampan, dan syarikat tersebut perlu untuk meningkatkan prestasi mereka secara drastik. Permohonan pinjaman mudah Proton bernilai RM1.5 bilion telah diluluskan untuk membantu usaha pemulihannya, yang Mustapa nyatakan sebelum ini sedang berjalan.

     
     
  • Tayar Dunlop RoadTrekker RT5 dan MaxGrip AT5 dilancarkan – eksklusif untuk SUV dan trak pikap

    Dunlop-RoadTrekker-RT5-and-MaxGrip-AT5-launch-01_BM

    Continental Tyre PJ Malaysia telah melancarkan dua tayar Dunlop 4×4 baharu iaitu Dunlop Roadtrekker RT5 yang sesuai untuk SUV dan trak pikap serta Dunlop MaxGrip AT5 yang hanya sesuai untuk trak pikap.

    Menurut Cameron Wilson, Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, tayar-tayar baharu ini direka dan diproduksi di kilang Continental Alor Star, Kedah dan dibuat khas berdasarkan kondisi jalan raya Malaysia. Tayar-tayar baharu ini juga menggantikan siri tayar-tayar RT2 dan AT2 sebelum ini, yang telah berada dalam pasaran sejak tujuh tahun lalu.

    Dunlop Roadtrekker RT5 merupakan tayar yang diklasifikasikan sebagai Highway Terrain di mana penggunaannya adalah 80% hingga 90% pada permukaan jalan biasa. Kompaun silika bunga tayar ini terdiri daripada gabungan silika dan karbon hitam, yang dikatakan membantu untuk meningkatkan cengkaman dalam keadaan basah, jarak membrek yang lebih dekat, jangka hayat yang lebih panjang serta penggunaan bahan api yang lebih cekap. Bentuk kontur yang dilebarkan juga memberikan kehausan yang lebih rata.


    Dunlop RoadTrekker RT5

    Tayar ini juga mempunyai dua saliran air khas untuk ‘membuang’ air lebih cepat dan cekap, seterusnya mengurangkan aquaplaning ketika meredah lopak air pada kelajuan tinggi. Blok bunga tayar yang lebih besar dan keras pada bahagian tengah membolehkan RT5 mempunyai hubungan dengan permukaan jalan yang lebih baik, bagi mendapatkan pengendalian yang cekap. RT5 ditawarkan dengan lapan saiz pilihan dari saiz roda 15 hingga 17-inci.

    Untuk Dunlop MaxGrip AT5 pula, ia merupakan tayar all-terrain di bina untuk permukaan jalan yang lebih lasak. Walau bagaimanapun, tayar ini turut dibina untuk memberikan prestasi terbaik untuk permukaan jalan biasa. Menurut Dunlop, AT5 direka untuk penggunaan “50% untuk jalan biasa dan 50% untuk kegunaan off-road“, bermaksud pengguna tidak perlu risau untuk menggunakannya untuk pemanduan seharian.

    Salah satu ciri pada tayar ini adalah termasuk bilah blok zig-zag. Paten bunga tayar yang unik ini dikatakan membolehkan AT5 untuk mengcengkam dan membebaskan semula lumpur dan batu pada kelajuan yang agresif. Ini akan memberikan tayar tersebut daya cengkaman yang diperlukan untuk menggerakkan kenderaan ke hadapan walaupun pada permukaan jalan yang teruk. Tayar ini juga mempunyai kedalaman bunga tayar yang dioptimakan, menjadikan ia cukup tebal untuk memberikan lebih perbatuan yang lebih jauh serta kalis haba.


    Dunlop MaxGrip AT5

    Satu lagi ciri unik pada Max Grip AT5 ini, ia dilengkapi dengan gegelang pelindung dinding sisi. Gegelang pelindung tersebut “bertindak sebagai perisai” dan memastikan tayar ini selamat ketika berlanggar dengan pelbagai jenis batu. MaxGrip AT5 disediakan dalam enam saiz, bermula untuk roda berdiameter 15 hingga 16 inci.

    Dunlop RoadTrekker RT5 dan MaxGrip AT5 kini boleh didapati di semua pengedar Continental Tyre Malaysia termasuk BestDrive Continental, Continental, Dunlop Klinikar dan Viking Stores. Menurut syarikat tersebut lagi, harga yang dicadangkan untuk tayar-tayar ini adalah bermula dari RM400 hingga RM450.

     
     
  • Volkswagen Amarok facelift – imej baharu disebarkan

    volkswagen-amarok-facelift-02

    Volkswagen Commercial Vehicles telah menyebarkan beberapa lagi imej model facelift bagi Volkswagen Amarok, yang didedahkan awal bulan ini. Foto baharu ini melibatkan ruang dalaman, di mana ia telah diberikan penambahbaikan dan disemak semula, seperti mana rekaan luaran.

    Perubahan yang ditampilkan termasuklah papan pemuka baharu walau pun tidak jauh bezanya dengan model pra-penaiktaraf tetapi kini lebih fokus pada garisan melintang dan menegak, terutamanya pada panel instrumen dan konsol tengah.

    Selain itu, ia turut menampilkan beberapa elemen baharu termasuklah roda stereng tiga-jejari dengan butang pelbagai-fungsi, cermin pandang belakang tanpa bingkai, paparan 3D berwarna antara panel instrumen bulat klasik dan penukar gear pada belakang roda stereng untuk mengawal transmisi automatik lapan-kelajuan pikap ini.

    Amarok dengan suntikan yang lebih segar ini turut menerima sistem navigasi/radio terkini dan servis mobil dalam talian. Malah pelbagai sistem hiburan turut ditampilkan termasuk App Connect yang boleh disambung menerusi telefon pintar atau USB.

    Ia turut menampilkan Guide & Inform, yang diperluaskan dari sistem navigasi, termasuk adanya maklumat trafik, sistem bantuan parkir Park Pilot dan kamera undur.

    Tempat duduk ergoComfort boleh laras secara elektronik juga ditawarkan, bagi pemandu dan penumpang di hadapan bagi menawarkan keselesaan optimum. Selain itu, tempat duduk balutan kulit nappa dengan jahitan kontras Ceramique dan haba panas juga ditampilkan.

    Untuk pilihan penjana kuasa, enjin 3.0 liter V6 TDI turut diperkenalkan untuk pikap ini. Ia mampu menghasilkan tiga tahap kuasa iaitu 163 PS, 204 PS dan 224 PS yang dipadankan dengan transmisi pilihan sama ada automatik lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan.

    Ia juga ditawarkan dengan beberapa versi sistem pacuan. Termasuklah pacuan roda-belakang dan dua versi 4Motion. Pembeli bileh memilih sama ada pacuan roda-belakang dengan gandar hadapan (kotak gear manual) atau sistem pacuan semua-roda dan Torsen differential (automatik lapan-kelajuan).

     
     
  • Toyota memperluaskan panggilan balik beg udara di US – lebih 1.6 juta unit kenderaannya terlibat

    Toyota-Corolla-S-US-spec-e1464236760150

    Toyota telah mengumumkan lagi panggilan balik yang melibatkan lebih 1,584,000 unit kenderaan Toyota, Scion dan Lexus di Amerika Syarikat yang melibatkan masalah pengepam beg udara buatan Takata, menurut maklumat yang disalurkan oleh pembuat kenderaan terbabit dan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Amerika Syarikat (NHTSA).

    Model kenderaan yang terbabit termasuklah Toyota Corolla dan Matrix 2009-2011, Toyota Yaris 2006-2011, Toyota 4Runner (2010-2011), Toyota Sienna (2011), Scion xB (2008-2011), Lexus ES (2–7-2011), Lexus GS (2010-2011) dan Lexus IS (2006-2011).

    Sebelum ini, Independent Testing Coalition (ITC) iaitu konsortium yang terdiri daripada 10 pembuat kereta telah menjalankan kajian dan mendapati ada tiga elemen yang menyebabkan inflator beg udara itu pecah sebelum meletupkan beg udara dan mendatangkan kecederaan pada penumpang.

    Menurut ITC, elemen pertamanya ialah bahan asas untuk meletupkan beg udara itu sendiri iaitu kompoun ammonium nitrat. Elemen kedua pula ialah pemasangan inflator tersebut, di mana ia tidak kalis lembapan dengan efektif.

    Manakala elemen ketiga pula ialah perubahan suhu dan kelembapan. Terdedah kepada kelembapan yang tinggi dan perubahan suhu yang kerap, apabila dua elemen ini bergabung akan menyebabkan ammonium nitrat meletup dan memecahkan unit inflator tersebut sebelum sempat meletupkan beg udara ketika berlaku kemalangan.

     
     
  • Datuk Vida bida plat ‘F1’, dengan pilihan kedua ‘V1’

    vida-qu-putih

    Seperti yang sedia maklum, Putrajaya dan Kuala Lumpur akan menerima plat nombor baharu bermula dengan huruf “F” dan “V”. Di mana Putrajaya akan membuka tender bagi siri plat nombor ‘F 1 hingga F 9999’ mulai 1 Jun ini. Pastinya plat nombor “F 1″ akan menerima sambutan yang paling menggalakkan.

    Salah seorang individu yang ingin membida ‘F 1” ialah Datuk Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida. Jutawan dan usahawan produk kecantikan ini memberitahu The Sun, beliau telah bersedia ‘meletakkan harga yang cukup menarik’ apabila bidaan tersebut dibuka minggu hadapan.

    “Kebetulan saya memang sukakan persaingan seperti mana Ferrari dan ‘F 1’ memang cukup sesuai untuk antara model kereta yang saya miliki,” ujarnya yang turut memiliki Lamborghini Aventador, Bugatti dan beberapa lagi model supercar lain.

    “F1 juga merupakan sukan permotoran kegemaran saya. Justeru, memiliki plat nombor itu, ia juga mampu merefleksikan personaliti saya. Saya sentiasa mahu menjadi yang pertama dalam semua perkara. Sebab itu saya cukup teruja dengan perkara ini,” tambahnya lagi.

    Putrajaya-F-No-Plate

    Ketika akhbar berkenaan bertanya berapakan amaun yang bakal dibida, beliau menjawab, “Sudah tentu saya tidak akan mendedahkannya kerana tidak mahu pesaing saya tahu. Tapi saya sudah pun memiliki nombor kegemaran saya yang tersendiri”. Namun jika ahli perniagaan wanita berjaya ini gagal mendapatkan plat nombor idamannya, beliau akan membida plat nombor KL iaitu ‘V 1’ pula.

    “Di United Kingdom, ahli perniagaan Yorkshire menolak tawaran sebanyak £6 juta (RM34.7 juta) dua tahun yang lalu untuk mendapatkan nombor pendaftaran ‘F 1’ di mana beliau membelinya pada harga £440,000 (RM2.5 million) untuk Bugatti Veyronnya pada tahun 2008,” ujar timbalan menteri pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi minggu lalu. Beliau turut menjangkakan bidaan bagi ‘F 1’ akan mencipta fenomena tersendiri.

    Harga tertinggi yang pernah tercatat bagi plat nombor di Malaysia ialah RM748,000 untuk ‘W1N’ oleh Sultan Ibrahim Ismail, yang turut membayar RM520,000 untuk ‘WWW 1’ pada tahun 2012. Manakala pembeli bagi plat nombor istimewa ‘PATRIOT 1’ pula dilaporkan membayar sehingga RM1,308,000.

     
     
  • SPYSHOT: Nissan NP300 Navara versi SUV diuji

    Nissan-Navara-SUV-spyshots-02

    Nissan NP300 Navara telah dikesan tetapi dengan kerangka SUV, sedang diuji dan fotonya telah berjaya menjadi intipan lensa jurufoto spyshot ini. Model prototaip ini juga memiliki sedikit persamaan dengan R51 Pathfinder generasi ketiga.

    Pada bahagian hadapannya, tidak dinafikan ia memang seiras NP300 Navara, malah berkongsi gril V-motion, lampu utama, lampu kabus dan bentuk bonet yang sama. Malah mungkin prototaip ini turut berkongsi casis kerangka dan suspensi belakang multi-link yang sama seperti Navara.

    Dari tiang-B ke atas, ia seakan R51 Pathfinder. Dari bentuk badan berkotak di belakang, termasuk lampu belakang, cermin belakang bampar dan pemegang pintu belakang yang tersembunyi memang iras model tersebut, dalam kerangka SUV. Forf menggunakan separuh rekaan dari Everest sebelum ini, dan digabungkan dengan imej Ranger pada bahagian hadapan hingga ke belakang untuk pasaran Australia.

    Buat setakat ini, masih tak banyak perincian yang diperoleh untuk model ini termasuk bilakah ia bakal dipasarkan. Ada juga sumber yang mengatakan, model SUV ini adalah pengganti bagi Nissan Patrol generasi kelima yang masih berada di pasaran untuk versi lebih mewah iaitu V8 Y62 Patrol/Armada.

     
     
  • BMW G310R eksklusif di bilik pameran 27 Mei-12 Jun

    Malaysia bakal menerima kehadiran BMW G 310 R baharu tidak lama lagi. BMW Motorrad Malaysia telah pun mengumumkannya menerusi Facebook bahawa motosikal kapasiti kecil moden pertama dari jenama ini bakal muncul di beberapa bilik pameran terpilih mulai 27 Mei hingga 12 Jun ini. Lokasi bilik pameran yang terlibat ada di dalam Facebook BMW Motorrad Malaysia.

    Ini merupakan motosikal BMW pertama yang dibina di luar Eropah, di mana G 310 R dipasang di India dengan kerjasama TVS Motor Company dan ia dijual di peringkat global. Motosikal ini dijanakan oleh enjin 313 cc silinder-tunggal, penyejuk-cecair, empat-injap dan suntikan bahan api elektronik.

    Enjin ini mampu mengekstrak kuasa sehingga 34 hp pada 9,500 rpm dan tork 28 Nm pada 7,500 rpm. Menurut BMW, enjin baharu ini memang dicipta untuk pasaran global, di mana ia boleh dipacu dengan semua gred petrol dan masih menepati standard emisi yang ditetapkan.

    Rangka keluli berbentuk tiub dalam struktur grid dengan satu selak pada kerangka belakang dan sepit udang hadapan bersama suspensi belakang antara ciri-ciri terpenting bagi motosikal ini. Ia juga menampilkan cakera brek tunggal 300 mm dengan empat-ompoh bersama angkup hadapan, dan cakera 240 mm bersama dua-omboh di belakang. ABS turut ditampilkan sebagai standard.

    Penggayaan G 310 R juga nampai sinonim seperti S 1000 R, dengan gaya ala klasik roadster dan rekaan tangki minyak yang lebih tajam. Lampu utama tunggal kelihatan cukup ringkas berbanding model baharu Motorrad yang lain. Ia juga menampilkan kluster instrumen pelbagai-fungsi sebagai standard, selain roda 17-inci.

    GALERI: BMW G 310 R di Bangkok International Motor Show 2016

     
     
  • Sarawak perlukan dana sebanyak RM28.4b untuk kos pembinaan 4,402 km jalan baharu menjelang 2030

    Sarawak-roads-bernama-pix

    Kerajaan Sarawak berkata kos sebanyak RM24.8 bilion diperlukan untuk membina jalan baharu sepanjang 4,402 km di negeri tersebut menjelang 2030, laporan Bernama.

    Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, pembinaan jalan yang dicadangkan itu iaitu bakal menghubungkan dengan 1,000 jalan sedia ada memerlukan RM1.9 bilion setahun untuk membina setiap 338 km jika ia dibina dalam jangka masa 14 tahun untuk menyiapkan projek tersebut.

    “Sama ada kerajaan mempunyai bajet untuk membina jalan ini mahu pun tidak, adalah satu persoalan lain. Tetapi apa yang boleh saya beritahu Sarawak sendiri telah mengumpulkan hampir RM2 bilion setahun untuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sementara kami memerlukan RM1.9 bilion setahun untuk membina jalan baharu ini sehingga 2030,” ujar Masing kepada pemberita.

    Beliau turut menambah, GST adalah salah satu cara yang terbaik untuk kerajaan mengumpul dana bagi pembangunan prasarana menggantikan penurunan harga minyak dan gas. Katanya lagi, perbincangan yang lebih serius akan diadakan tidak lama lagi bagi menentukan adakah dana yang dikutip dari GST itu boleh digunakan bagi membina jalan. “Kami memiliki semangat yang tinggi dalam pembangunan negeri Sarawak dan saya pasti kerajaan persekutuan akan lebih menghargainya dan memahami keperluan kami untuk pembangunan,” ujarnya lagi.

     
     
  • Imej Toyota Calya, MPV kecil berasaskan Axia bocor

    2328487Adik-Avanza1780x390-e1464173766298_BM

    Toyota nampaknya sedang membina sebuah MPV yang lebih kecil dari Avanza, berdasarkan beberapa gambar yang telah bocor di otomania.com dan AutoBild Indonesia. Khabar angin mengatakan MPV ini akan diberi nama Toyota Cayla, yang mampu untuk memuatkan tujuh tempat duduk, dan bakal bersaing dengan Datsun GO+ di pasaran Indonesia. Ia juga dibina berasaskan platform yang sama dengan Daihatsu Alya dan Toyota Agya, atau dikenali sebagai Perodua Axia di Malaysia.

    Seperti juga GO+ (dikenali sebagai GO+ Panca di Indonesia), Cayla dilaporkan dibina sebagai sebahagian dari program Low Cost Green Car (LCGC) Indonesia, yang memberikan insentif cukai kepada kereta dengan kecekapan bahan api yang tinggi berkapasiti maksimum 1.2 liter.

    Cayla mungkin merupakan versi produksi kereta konsep Daihatsu UFC-3 yang diperkenalkan pada Indonesia International Motor Show (IIMS) 2014 – yang dibina lebih kecil daripada Daihatsu Xenia, iaitu Toyota Avanza yang di rebadge.

    Beberapa perincian pada rekaan dilihat telah diberikan sentuhan semula antara kereta konsep dan versi produksi ini, seperti bentuk pada tingkap sisi dan pada beberapa permukaan lain – menjadikan rupa keseluruhannya tidak begitu agresif.

    Walau bagaimanapun, muka kedua-dua MPV tersebut agak seiras serta kelihatan seperti Toyota Yaris facelift untuk pasaran Eropah. Ia juga menampilkan gril bawah yang agak besar pada bampar hadapan dan bersambung pada gril utama pada bahagian logo Toyota.

    Pada bahagian belakang, ia dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-L, seperti rekaan pada Toyota Innova baharu. Tiada gambar bahagian dalaman disiarkan, tetapi boleh dijangka ia adalah hampir sama seperti MPV konsep Daihatsu UFC-3.

    Perincian untuk spesifikasi teknikal juga belum didedahkan, tetapi Cayla dijangka akan dikuasakan dengan enjin 1.2 liter empat silinder 3NR-FE dari Etios, berupaya menghasilkan kuasa 80 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 104 Nm pada takat 3,100 rpm. Ia juga dijangka akan dipadankan dengan sistem transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, sama seperti Axia.

    GALERI: Daihatsu UFC-3 Concept di IIMS 2014

     
     
  • Esemka bangunkan pikap trak, kerjasama dengan Proton; sasar eksport ke negara lain termasuk M’sia

    Esemka-01

    Pembuat kereta Indonesia, Esemka, dilaporkan akan membangunkan trak pikap, yang bakal tampil perdana pada Ogos tahun ini. Syarikat terbabit dikatakan bekerjasama dengan Proton, bagi membangunkan trak pikap ini, laporan Berita Satu.

    Adiperkasa Citra Esemka Hero (ACEH) merupakan pengeluar trak pikap di Indonesia. Menurut Pengarah Urusannya, Hosea Sanjaya, kerjasama dengan Proton ini sudah pun termeterai dan telah pun memiliki fasiliti untuk membangunkan kenderaan Esemka.

    Hosea turut berkata, perjanjian kerjasama ini adalah bagi aspek penyelidikan dan pembangunan antara Esemka dan Proton. Malah ia turut melihatkan kelebihan strategik untuk Esemka mengeksportnya ke beberapa negara luar termasuk Malaysia, Buat masa ini, syarikat ini telah membangunkan kilang pemasangan di Cileungi, Jawa Barat, dengan kapasiti produksi tahunan sebanyak 30,000 unit.

    Proton_Pick-up_Concept_-001

    Model konsep Proton Pikap berasaskan Proton Exora

    Pengarah Urusan tersebut turut berkata, pembangunan produk difokuskan bagi meningkatkan lagi ekonomi luar bandar. “Ini adalah di peringkat awal, kami mengambil keputusan untuk memproduksikan kenderaan komersial dalam bentuk trak pikap,”ujarnya. Buat masa ini, kenderaan komersial terbabit bukanlah fokus utama bagi pengeluar kenderaan Malaysia tersebut, sekali gus telah memberikan peluang kepada Esemka untuk merealisasikannya.

    Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jakarta Globe, pikap Esemka ini akan didatangkan dengan dua model, bersama kapasiti enjin 1,000 cc dan 2,000 cc. Syarikat ini sedang meneliti harga yang paling murah untuk model Esemka iaitu di bawah 100 juta rupiah (RM30k), iaitu di bawah pesaingnya sendiri.

    GALERI: Model konsep Proton Pikap berasaskan Proton Exora

     
     
  • Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM92j untuk meningkatkan sistem kawalan banjir di Kuala Lumpur

    Malaysia-Flash-Flood-2016

    Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM92 juta bagi memperbaiki dan meningkatkan sistem aliran banjir di Kuala Lumpur, laporan The Star. Keputusan ini diambil selepas ratusan kenderaan terjejas akibat terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku di ibu kota pada 12 Mei lalu.

    Kos ini akan melibatkan penggantian paip lama, memasang pengepam air, memperbaiki dan membina sistem aliran baharu, menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr J.Loga Bala Mohan. “Ini termasuk RM5 juta bagi sistem pengurusan trafik bagi mengendalikan trafik ketika banjir kilat,” ujarnya menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Klang Nurul Izzah Anwar di persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

    Beliau turut berkata, banjir kilat yang melanda ibu kota pada 12 Mei lalu adalah berpunca daripada “hujan luas biasa yang berlarutan selama dua jam” bermula jam 6.45 petang. “Sejumlah 106.5 mm hujan dicatatkan telah turun pada waktu berkenaan berbanding 70 mm kebiasaannya. Malah sistem perparitan tidak dapat menampung jumlah saliran air,” jelasnya lagi.

    Dalam masa yang sama, Loga turut berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan memberikan ganti rugi kepada 105 pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat banjir kilat berkenaan kerana itu adalah “bencana alam”. Kenyataannya ini konsisten dengan pandangan Datuk Bandar KL Datuk Seri Amin Nordin Abdul Aziz sebelum ini yang mengatakan “DBKL tidak akan membayar ganti rugi, melainkan pemilik kenderaan berkenaan ada insurans bencana alam untuk kenderaan masing-masing.”

     
     
  • Proton lancar semula modelnya di Chile Sabtu ini?

    Proton LHD Preve to Chile 8

    Dikhabarkan Proton akan melancarkan semula modelnya di Chile pada Sabtu ini selepas hampir dua dekad pasaran di sana terhenti, laporan Bernama.

    Duta Malaysia di Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya berkata Proton akan membawa masuk 1,000 unit model terpilih iaitu Preve, Exora dan Saga ke dalam pasaran Chile dan menjangkakan menjana jualan bernilai RM68 juta. “Ini menunjukkan hubungan Malaysia-Chile terus berkembang kukuh,” katanya.

    Beliau berkata Chile merupakan satu-satunya negara Amerika Latin yang telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia sekaligus menjadikannya sebagai rakan dagang lebih utama bagi syarikat Malaysia yang merancang untuk meneroka ke benua itu.

    Kereta-kereta Proton di sana akan dijual oleh Andes Motor, anak syarikat Kumpulan Kaufmann, wakil pengedar dari Chile yang telah menandatangani perjanjian pengedaran bersama Proton pada 1 Julai 2015 lalu.

    Di Chile, ketiga-tiga model tersebut akan dipasarkan di sekitar bandar-bandar utama seperti Santiago, Concepcion Vina La Serena, Antofagasta dan Valdivia Temuco Osorno.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024