Tahun 2017 menyaksikan selain sebagai tahun yang bermakna bagi Boon Siew Honda (BSH) kerana menyambut ulang tahun ke-60 operasinya di Malaysia, syarikat itu juga berjaya menunjukkan peningkatan dalam jumlah jualan tahun ini hasil pengenalan pelbagai model antaranya CRF250, NSS300, CBR650F, CB650F, Beat dan EX5 edisi ulang tahun.

Dalam satu pembentangan kepada media pagi ini oleh Timbalan Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Datuk Seri Datuk Wira Tan Hui Jing, beliau memberitahu BSH mensasarkan jumlah keseluruhan jualan tahun ini akan mencatatkan peningkatan sebanyak 18% berbanding tahun lepas, yang bersamaan dengan 122,150 buah motosikal.

Jika diletakkan dengan jumlah keseluruhan industri, ini adalah bersamaan dengan 25% perkongsian pasaran, dan BSH yakin ia dapat dicapai kerana pada bulan November sahaja, jualannya sudah mencecah 113,000 buah. Model yang paling laris adalah RS150R, dengan jumlah jualan sehingga 3,000 buah sebulan.

Bagi tahun hadapan, BSH mensasarkan jumlah jualan yang lebih tinggi, serta perkongsian pasaran yang mencecah sehingga 30% daripada jumlah keseluruhan industri. Untuk mencapai sasaran ini, BSH merancang untuk memperkenalkan 10 buah model baru pelbagai kategori, yang termasuk tiga model baru sepenuhnya dan selebihnya adalah facelift ataupun naik taraf.

Untuk model baru tahun 2018 ini, BSH juga ada menayangkan gambar model tersebut, tetapi dikaburkan. Kami boleh meneka daripada bentuknya antara model yang dijangka tiba adalah X-ADV, Africa Twin, CB1100RS, SuperCub, Grom/Monkey, CB150R dan beberapa kapcai. Daripada sembang santai kami dengan Pengarah Urusan BSH, Nobuhide Nagata pula, beliau juga seakan memberi petanda ketibaan PCX hibrid.

“2018 adalah tahun yang penting bagi BSH kerana kami mahu mengambil langkah yang besar dan merampas takhta teratas dalam pasaran. Kami mensasarkan pengenalan 10 model baru dan pastinya akan memberi kejutan kepada orang ramai dengan barisan produk yang mencabar pemikiran biasa serta jangkaan orang ramai,” kata Tan Hui Jing.