Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

Antara persoalan yang paling kerap diutarakan tentang kenderaan, terutama oleh mereka yang berminat atau sedang dalam proses untuk membeli, adalah “antara A dan B, mana satu yang lebih baik?” Dan, kebiasannya juga, kenderaan A dan B yang disebutkan itu adalah sangat berbeza dari segi jenisnya, atau pun segmen.

Bagi mereka yang fasih tentang hal-hal penawaran kenderaan dalam pasaran, mungkin tidak sukar untuk membandingkan kereta mana yang berada dalam segmen A, B, C atau D. Namun, ramai juga pengguna biasa dan pembeli kereta di luar sana yang tidak melihat perbezaan-perbezaan itu.

Ada dua cara untuk melihatnya — satu dengan membuat perbandingan kenderaan dalam kelas yang sama, dan kedua ini lebih penting; apa yang boleh saya dapat jika membelanjakan sekian-sekian jumlah wang untuk membeli kereta? Kedua-dua cara pandang ini akan memberikan senarai panjang yang berbeza, dengan pilihan pertama lebih mudah kerana skopnya sudah dikecilkan. Dan ini juga satu masalah lain, garis yang membezakan segmen kenderaan kini juga sudah jadi terlalu halus, disebabkan pilihan penawaran oleh pengeluar.

SUV segmen B yang tipikal, paling tidak untuk pasaran Malaysia, ialah Honda HR-V. Tetapi jenama lain yang turut menawarkan model dalam B-SUV yang sama antaranya ialah Perodua Ativa, hinggalah kepada Renault Captur dan Hyundai Kona. Semua pilihan ini pula secara umum sebetulnya lebih kecil saiznya berbanding HR-V. Kemudian kita ada Subaru XV, yang mempunyai saiz dan harga hampir sama dengan HR-V tetapi menggunakan rangka segmen C (Impreza).

Ini akan jadi lebih memeningkan jika kita tengok kepada model Toyota. Kita fikir bahawa Corolla Cross adalah jawapan jenama itu kepada HR-V. Nampak memang logik. Tetapi ia membawa nama Corolla (yang merupakan model segmen C), dan dipasarkan sebagai SUV segmen C juga. Garis lebih kabur dengan Mazda. CX-3 yang kecil menggunakan asas Mazda 2, dan jelasnya dari segmen B. Kalau begitu, CX-30 yang lebih besar sepatutnya dalam segmen C, tetapi, mana pula nak letak CX-5 yang secara tradisinya dalam segmen C?

Jadi, adalah wajar kita masih perlu memandingkan kenderaan mengikut segmen tradisionalnya? Rasanya mungkin tidak, memandangkan penawaran ketika ini sudah semakin rencam dan pelbagai. Tambahan pula kes di Malaysia agak unik, dengan harga bagi kenderaan CKD/CBU menjadi faktor, dan tambah merumitkan lagi pertalian antara harga-segmen. Macam lagi mudah untuk kita tentukan apa yang boleh diperoleh dengan bajet yang ada, tak begitu? Pertimbangkan beberapa senario ini.

Perodua Ativa vs Proton X50

Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

Proton X50 dilancarkan hujung tahun lalu, dan Perodua Ativa pula masuk pasaran pada bulan Mac tahun ini. Kedua-duanya SUV, dan dari pengeluar tempatan. Ini automatik menjadikannya perbandingan yang masuk akal bagi ramai orang. Mana satu lagi ok?

Kalau nak jawapan ringkas, tentulah X50. Memang sepatutnyalah begitu, sebab harganya saja sudah RM30k lebih mahal berbanding Ativa AV. Beza harga tersebut boleh buat beli Axia! Bahkan varian paling rendah X50 Standard pun lebih mahal RM7k daripada Ativa; maka kedua-dua model ini tidak saling bertindih harganya.

Tidak juga dari sudut saiz dan kelengkapan. Ativa adalah dalam saiz “segmen A ke B”, sementara X50 memang sepadan dengan penawaran segmen B seadanya. Dengan 4,330 mm panjang dan 1,800 mm lebar, X50 265 mm lebih panjang dan 90 mm lebih lebar berbanding Ativa. Jarak antara roda 2,600 mm pula 75 mm lebih panjang.

Ativa yang lebih kecil juga datang dengan enjin berkapasiti lebih rendah. Ia menggunakan enjin turbo 1.0L tiga-silinder pertama Perodua, kurang setengah liter kapasiti berbanding X50 yang juga dengan turbo dan enjin tiga-silinder. Dari segi kelengkapan, Perodua ada kelebihan dari aspek teknologi keselamatan bantuan pemandu dan pencahayaan — X50 paling asas yang lebih mahal RM7k jauh sekali daripada kelengkapan ini, yang datang dengan hanya empat beg udara.

Jika dilihat pada pecahan jualan mengikut varian, Ativa sangat popular dalam versi paling tingginya, AV. Ini bermaksud, pembeli memang mahukan kelengkapan yang lebih maju. Kita boleh mengandaikan mereka ini tidak akan tertarik kepada X50 Standard. Sama juga dari sudut penggayaan; mereka yang sukakan penampilan X50 serta tahap premium yang diwakilinya mungkin tidak akan memandang langsung Ativa.

Apa yang disasarkan oleh Perodua adalah untuk bersaing dengan sedan segmen B oleh pengeluar bukan nasional. Ativa paling mahal dijual pada harga RM72k, hanya sedikit di bawah harga permulaan RM74k untuk Honda Citu dan Toyota Vios (Nissan Almera, dengan enjin 1.0L turbo, bermula RM80k). Dengan gaya trendy sebuah SUV serta kelengkapan keselamatan yang membanggakan untuk harganya, Ativa adalah jawapan terbaik kepada pertanyaan “apa yang boleh saya dapat dalam julat harga RM70k hingga RM80k”. Semuanya tertakluk kepada kelebihan dan kekurangan antara SUV dan sedan.

Toyota Camry vs BMW 3 Series

Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

Ingat lagi ketika kereta segmen D untuk pasaran massa boleh dibeli pada harga bawah RM150k? Camry XV50 paling asas yang dilancarkan pada tahun 2012 dijual sedikit di bawah harga tersebut, sementara XV40 pula bermula dari RM140k pada 2006.

Pesaing rapatnya, Honda Accord, serta model dari pembuat kenderaan Korea, Hyundai Sonata dan Kia Optima selalu hadir dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing Jepunnya. Hari ini, sedan segmen D sudah jadi penawaran premium untuk pasaran tempatan, dan beralih kepada kenderaan “RM200k”.

Tanpa pengecualian SST yang akan berakhir pada Disember 2021, Camry 2.5V ketika ini dijual pada harga RM196,888, sementara Accord 1.5 TC-P dalam warna Pearl White pula RM196,300. Dengan cukai jualan penuh, Sonata baru — CBU dari Korea — dijual pada harga RM206,888.

Ada beberapa sebab yang mendorong corak harga seperti ini. Cukai di Malaysia sudah tentu satu daripadanya, tetapi lebih penting ialah penawaran sedan segmen D kini tidak lagi sama seperti dulu. Harga RM150k yang disebut di atas misalnya adalah untuk varian paling rendah dengan enjin 2.0L. Manakala Camry yang ada hari ini menggunakan enjin 2.5 liter dan datang dengan kelengkapan lebih banyak. Accord juga sama, dengan enjin 1.5L turbo dengan kuasa lebih 200 hp, harganya memeng lebih mahal sebaik keluar kilang.

Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

Sementara kompak sedang premium oleh BMW dan Mercedes-Benz juga telah bermain di daerah RM200k juga. Ambil 3 Series sebagai contoh. Generasi G20 ketika ini telah menjadikan harga asasnya naik semula — 320i yang dikemaskini degan pakej Live Cockpit Pro dijual pada harga RM230,764, atau RM243,889 dengan pakej servis PLUS dan jaminan lima-tahun.

Dalam tempoh pengecualian SST ketika ini, ia melibatkan perbezaan sebanyak RM42k antara 3 Series paling asas dengan Camry. Jika ingin anda memang sedang mengintai segmen kenderaan RM200k, perbezaan RM40k itu walaupun agak besar, tidaklah terlalu terasa bagi kelompok pembelinya.

Jurang tersebut sebelum ini lebih kecil. Generasi F30 sebelum ini ada varian asas 318i dengan harga jualan hanya sedikit melebihi RM200k. Unit pra-pendaftaran dengan jumlah perbatuan rendah pula ditawarkan pada harga sekitar RM170k pada hujung kitaran hayat F30. Tiada lagi 318i kini, tetapi BMW ada menawarkan 218i Gran Coupe dengan harga RM211,367 dan diterima dengan agak baik di sini.

Camry atau BMW? Itu semua terserah kepada keutamaan anda; kedua-duanya ada kelebihan tersendiri. Bagaimanapun, Camry datang dengan saiz lebih besar dan lebih selesa; jika ruang menjadi faktor utama pertimbangan anda, maka hanya ada satu pilihan. Aspek pemanduan pada Camry XV70 yang ada kini pula bukan lagi seperti Camry yang dulu, jika itu menjadi persoalan dalam fikiran anda.

Pertimbangkan semua pilihan

Patutkah anda bandingkan kenderaan dari segmen berbeza di Malaysia? Ativa vs X50, Camry vs 3 Series

Membandingkan kenderaan dengan saiz dalam segmennya agak berguna, dan itu boleh digunapakai ketika pasaran kereta lebih ringkas seperti dahulu. Tetapi dengan kerencaman dalam pasaran ketika ini, ia bukan lagi satu pertimbangan yang mudah.

Juga, di Malaysia, ada juga sentimen kereta buatan tempatan, CKD vs CBU, insentif hibrid dan insentif boleh ubah menjadi antara perkara yang menjadikan tawaran harga kenderaan tidak saksama walaupun terhadap kenderaan dalam segmen sama. Ada juga trak pikap, yang mempunyai kadar cukai berbeza walaupun kini sangat popular sebagai kenderaan urban.

Maka, pertimbangan tentang “apa yang boleh saya dapat dengan RMXXX” tidak lagi terhad kepada segmen khusus kenderaan; senarainya boleh jadi lebih panjang berbanding andaian asal pembeli. Mereka yang mengintai Honda City misalnya, secara automatik akan membandingkan dengan Vios dan Almera. Tetapi, dengan duit yang sama itu mereka juga boleh mendapatkan Ativa, X50 atau Toyota Yaris. Kuncinya adalah untuk mencari sebuah kereta yang sesuai dengan penggunaan yang anda bayangkan serta kena dengan bajet, bukan lagi model terbaik dari segmen B atau C yang ada ditawarkan. Tepuk dada tanya selera, ok? Atau seluk poket, ukur kemampuan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required