Mazda 2 generasi seterusnya hanya rebadge Toyota Yaris Hybrid – mungkin khas untuk pasaran Eropah

Mazda 2 generasi seterusnya hanya <em>rebadge</em> Toyota Yaris Hybrid – mungkin khas untuk pasaran Eropah

Ketika pembentangan prestasi kewangan syarikat pada November tahun lalu, Mazda ada menyebut bahawa mereka akan menghasilkan model pasaran Eropah yang diasaskan dari hatchback segmen-B, Toyota Yaris THS (Yaris Hybrid). Projek tersebut dijangka merupakan asas kepada penghasilan Mazda 2 generasi baru.

Langkah tersebut bukan hanya menjimatkan kos pembangunan, malah Mazda juga boleh melepasi sasaran emisi CO2 Kesatuan Eropah dengan menyertai perkongsian emisi bersama Toyota. Jadi gambar intipan terbaharu yang kami terima ini berkemungkinan adalah lanjutan dari pengumuman berkenaan.

Sekali imbas hatchback dalam set gambar ini sememangnya sebuah Toyota Yaris Hybrid, lengkap dengan emblem Hybrid di belakang. Namun jika anda lihat dengan teliti, logo utama yang diselindung dengan pelekat hitam pada kereta berkenaan sebenarnya adalah logo “M” Mazda dan bukan logo Toyota. Malah unit ini juga dikesan di fasiliti Mazda di Eropah, sebab itulah ia dikelilingi pelbagai model Mazda lain.

Mazda 2 generasi seterusnya hanya <em>rebadge</em> Toyota Yaris Hybrid – mungkin khas untuk pasaran Eropah

Di Eropah, Yaris Hybrid dijana oleh enjin M15A-FXE 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 92 PS (91 hp) dan tork maksima 120 Nm. Ia digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork maksima 141 Nm. Secara keseluruhan, gandingan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 116 PS (114 hp), dan kuasa disampaikan pada roda hadapan dengan kotak gear e-CVT.

Model berkenaan dibekalkan dengan bateri lithium-ion berkapasiti 4.3 Ah bagi menjana motor elektrik. Ini membolehkan Yaris Hybrid mencapai penggunaan bahan api 3.8 l/100 km dalam standard WLTP. Manakala dari segi prestasi pula, ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat serta mencapai kelajuan maksima 175 km/j.

Ini bukan kali pertama Mazda dan Toyota berkongsi model. Sebelum ini Toyota telah menghasilkan Yaris sedan dan hatchback khas untuk pasaran Amerika Syarikat yang dihasilkan berasaskan Mazda 2. Jadi Mazda 2 Hybrid yang diasaskan dari Toyota Yaris ini berkemungkinan dihasilkan khas hanya untuk pasaran Eropah.

Mazda 2 generasi seterusnya hanya <em>rebadge</em> Toyota Yaris Hybrid – mungkin khas untuk pasaran Eropah

Di Jepun, Mazda 2 generasi ketiga sedia ada sudah pun berada dalam pasaran sejak 2014. Baru-baru ini ia telah pun menerima tingkat taraf bagi model 2021, menampilkan enjin dengan nisbah mampatan lebih tinggi, bersama beberapa kelengkapan baharu lain.

Menurut laporan portal Best Car Web dari Jepun, model generasi seterusnya bagi Mazda 2 pasaran negara berkenaan bakal dihasilkan dari platform SkyActiv Multi-Solution Scalable Architecture rekaan Mazda. Jadi bagi peminat Mazda 2 di Malaysia, jangan risau kerana biasanya kita akan menerima model yang sama seperti versi JDM.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required