Mitsubishi Xpander facelift 2022 – rupa sebenar didedah dalam laporan kewangan suku ke-2 TK2021

Mitsubishi Xpander facelift 2022 – rupa sebenar didedah dalam laporan kewangan suku ke-2 TK2021

Baru-baru ini Mitsubishi Indonesia ada menyiarkan imej teaser untuk Xpander facelift 2022 yang bakal didedahkan sepenuhnya pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2021 yang dijadualkan berlangsung pada 10 November nanti.

Teaser berkenaan walaubagaimana pun hanya mendedahkan rupa lampu-lampu LED yang telah direka semula pada MPV berkenaan, tanpa memperlihatkan muka dan rupa penuh model kemaskini tersebut. Namun dalam satu laporan kewangan suku kedua untuk tahun fiskal 2021 yang disiarkan laman sesawang rasmi Mitsubishi Motors Corporation semalam, gambar penuh bagi model facelift berkenaan sudah pun terdedah.

Tak tahulah sama ada imej itu sengaja atau tidak sengaja diletakkan pada laporan tersebut, ia turut disertakan dengan kapsyen “akan datang” di bawahnya. Walau bagaimanapun, hanya satu gambar disertakan pada halaman ke-19 laporan berkenaan, di bawah tajuk model baharu MMC yang akan dilancarkan selepas ini.

Mitsubishi Xpander facelift 2022 – rupa sebenar didedah dalam laporan kewangan suku ke-2 TK2021

Seperti yang sudah diketahui sebelum ini, perubahan terbesar dibuat pada bahagian muka Xpander facelift ini adalah pada lampunya. Lampu nyalaan siang LED yang diletakkan di atas masih kekal dengan bentuk tirus, tetapi dilihat diberikan grafik baharu serta bersaiz lebih panjang.

Manakala lampu utama yang diletakkan pada bampar pula menerima perubahan drastik dengan kluster berbentuk-T, berbanding hanya berbentuk segi empat tidak sama sisi pada model sedia ada. Lampu isyarat membelok juga nampaknya telah dialihkan dari lampu utama kepada hujung lampu nyalaan siang di atas.

Imej ini juga mendedahkan bahawa Xpander facelift tersebut menerima gril baharu yang direka lebih ringkas, menampilkan dua bar tebal disusun melintang bersama logo tiga berlian di tengahnya. Gril bampar juga kini direka lebih besar dengan liang kemasukan udara lebih luas, serta ruang plat pendaftaran kini telah dipindahkan lebih rendah.

Gambar intipan Mitsubishi Xpander facelift 2022 di Indonesia yang dirakam bulan lalu

Kemasan krom yang menghasilkan huruf-X pada muka Xpander facelift ini juga lebih tebal dari sebelum ini, bersama kemasan bawah yang juga perumah kepada lampu kabus di bawah bampar kini telah direka semula.

Gambar ini tidak mendedahkan bahagian belakang Xpander facelift berkenaan. Tetapi dalam satu gambar intipan Xpander facelift yang sedang menjalani penggambaran iklan di Indonesia sebelum ini mendedahkan bahawa ia turut menerima rekaan rim dua-tona baharu, serta bampar belakang yang disentuh semula dan nampak lebih agresif.

Sama seperti Toyota Avanza dan juga Honda BR-V, Mitsubishi Xpander turut dibangunkan di Indonesia. Sebelum model produksinya didedahkan di GIIAS 2017, model konsepnya yang digelar XM Concept terlebih dahulu membuat penampilan sulung global di GIIAS 2016.

Model sedia ada Mitsubishi Xpander pasaran Malaysia

Xpander menerima sedikit tingkat taraf dan penyegaran bagi pasaran Indonesia pada awal 2020, dan akhirnya MPV ini tiba ke pasaran Malaysia pada November 2020, terus dalam versi baharu berkenaan serta dipasang secara tempatan (CKD) di Pekan, Pahang.

Buat masa sekarang, Xpander merupakan MPV bukan-nasional terlaris di Malaysia dengan mencatatkan sejumlah hampir 13,000 unit tempahan sejak ia dilancarkan. Sehingga September 2021, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah menghantar 5,756 unit Xpander kepada pelanggan yang sudah menempahnya.

Sejak ia diperkenalkan, Xpander dijana oleh enjin petrol NA 4A91 1.5 liter MIVEC, menghasilkan 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada takat 4,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, hanya memacu roda hadapan.

Antara kelengkapan yang ditelah diberikan pada model pasaran Malaysia sedia ada termasuk lampu hadapan reflektor bi-LED, rim aloi 16-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, tempat duduk balutan kulit dengan elemen quilted, sisitem infotainmen dengan skrin sesentuh 9.0-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kamera perakam digital (dashcam) 360-darjah.

GALERI: Mitsubishi Xpander di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required