Semasa pelancaran Saga MC2 facelift 2022 pagi ini, ketua pegawai eksekutif Proton, Li Chunrong mendedahkan bahawa dalam masa dua tahun akan datang (2023 dan 2024), pengeluar kenderaan tempatan tersebut akan melancarkan tiga model baru untuk pasaran Malaysia.
Paling dekat kami jangkakan adalah model yang menggunakan asas daripada Geely Haoyue (kerana ia sudah beberapa kali dilihat atas jalan), yang mungkin akan dijadikan sebagai SUV paling besar Proton dan dipanggil sebagai X90. Walaubagaimanapun, kita masih tidak mengetahui model yang bakal tiba ini akan menggunakan tetapan lima atau tujuh tempat duduk.
Di Filipina, model yang menggunakan asas sama dikenali sebagai Okavango, dilengkapi enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo bersama sistem hibrid ringkas dan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan ntuk menghasilkan kuasa 190 PS/300 Nm, sementara di China pula ia dilengkapi enjin petrol empat silinder 1.8 liter yang menjana 181 hp dan 300 Nm dengan gandingan transmisi yang sama.
Model seterusnya mungkin adalah sebuah MPV, yang juga menggunakan asas daripada model Geely, iaitu Jiaji. Versi facelift bagi model ini sudah mula dilihat di China, dan menariknya, ia ditemui menggunakan gril Infinite Weave Proton, seperti X70, X50, Persona, Iriz dan Saga.
Model semasa Jiaji di China ditawarkan dengan enjin petrol empat silinder 1.8 liter turbo berkuasa 181 hp dan tork 300 Nm, serta versi plug-in hybrid yang menggunakan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder bersama motor elektrik untuk menghasilkan kuasa 255 hp dan 385 Nm.
Melalui gambar spyshot juga kita dapat melihat model Jiaji facelift ini menerima beberapa perubahan perincian luar termasuk lampu belakang, pemantul cahaya, lencana serta kemasan krom pada bampar belakang. Bahagian dalam turut menerima beberapa perubahan yang menjadikan keadaannya lebih kemas.
Satu lagi model yang kami jangka bakal tiba bukanlah sebuah Proton, tetapi akan dijual melalui Proton Edar. Ia adalah smart #1, iaitu crossover elektrik penuh dengan penggayaan Mercedes-Benz dan dibangunkan oleh Geely. Ia baru sahaja diperkenalkan kepada pasaran global bulan lalu.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Proton Edar telah dilantik sebagai pengimport dan pengedar rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand, dan #1 akan menjadi model pertama yang mewakili kemunculan semulanya di pasaran automotif ASEAN.
Dibina atas platform Sustainable Electric Architecture (SEA) Geely, #1 menggunakan bateri lithium ion 66 kWh yang boleh memberikan jarak gerak 440 km mengikut standard WLTP. Ia memberi kuasa kepada motor elektrik yang menyampaikan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm secara maksimum kepada roda belakang.
Perlu diketahui juga sekarang ini Proton tidak mempunyai sedan yang lebih besar daripada Persona, dan kita boleh membuat jangkaan pengenalan model penggantinya yang menggunakan asas daripada Preface.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.