Chery Malaysia buka fan page Tiggo 7 Pro di FB – pesaing Proton X70, Honda CR-V bakal dilancarkan?

Chery Malaysia buka fan page Tiggo 7 Pro di FB – pesaing Proton X70, Honda CR-V bakal dilancarkan?

Selepas membuka dua fan page rasmi untuk Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 di Facebook, Chery Malaysia sekali lagi melakukan perkara yang sama untuk Tiggo 7 Pro. Seperti yang dilaporkan pada Disember lalu, jenama dari China ini akan muncul kembali di Malaysia, walau pun kita masih menunggu ketiga-tiga model yang disebut ini akan dilancarkan.

Berukuran 4,500 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,746 mm tinggi dengan jarak roda 2,670 mm, Tiggo 7 Pro ini lebih besar berbanding Omoda 5 yang hanya 4,400 mm panjang dan jarak roda pada 2,630 mm. Walau bagaimana pun, ia lebih kecil berbanding Tiggo 8 Pro tiga-barisan tempat duduk yang berukuran 4,722 mm panjang dan jarak roda cecah 2,710 mm.

Tiggo 7 Pro merupakan pacuan roda-hadapan dan diberikan dua pilihan enjin pengecas turbo empat-silinder. Pilihan pertama merupakan unit 1.5 liter berkuasa 150 PS dan tork 230 Nm, dengan pacuan disalurkan menerusi CVT yang turut memiliki sembilan nisbah maya. Unit 1.5T ini dianggarkan menggunakan bahan api sekitar 6.8 liter bagi setiap 100 km, dan turut digandingkan dengan sistem mild hybrid 48 voltan dengan 5.8l/100km.

Manakala pilihan kedua pula ialah unit 1.6 liter suntikan-terus dengan 197 PS dan 290 Nm yang digandingkan bersama transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan, dengan penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 6.6 liter bagi setiap 100 km.

Bergantung pada pasaran, antara ciri kelengkapan yang diberikan untuk Tiggo 7 Pro termasuk kawalan penghidup enjin, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu dwi-zon “self-cleaning” dengan ioniser dan penderia kualiti udara, sistem infotainmen berasaskan cloud dengan mod karaoke, kawalan suara, kemaskini perisian over-the-air, bumbung suria panoramik dan sistem bunyi lapan-pembesar suara Sony.

Di China, ia turut ditawarkan dengan versi lebih premium yang dinamakan Tiggo 7 Plus, yang diposisikan di atas Tiggo 7 biada dan menampilkan bampar yang digayakan semula, dengan imej dalaman yang dipertingkatkan, dwi skrin 12.3-inci dan sistem infotainmen yang dioperasikan dengan sistem operasi Lion 4.0 ciptaan Chery bersama Baidu CarLife dan Apple CarPlay.

Untuk aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Tiggo 7 Pro menerima brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, bantuan pengehad kelajuan, amaran membuka pintu, bantuan parkir, lampu tinggi automatik, enam beg udara dan kawalan kestabilan.

Tiggo 7 Pro merupakan SUV segmen-C dengan konfigurasi lima-tempat duduk yang bersaing rapat dengan model lain dalam kelas yang sama seperti Proton X70, Honda CR-V, Mazda CX-5, Hyundai Tucson, Kia Sportage, Peugeot 3008, Nissan X-Trail dan Subaru Forester.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required