Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Garis panduan bagi menyelaraskan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar perlu diwujudkan – SPAD

    Malaysia-Taxi-02

    Garis panduan bagi menyelaraskan perkhidmatan teksi, Uber dan Grabcar perlu diwujudkan segera bagi mewujudkan keseimbangan dan persaingan sihat di antara operator servis berkenaan. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berpendapat peraturan baharu yang akan diperkenal kerajaan terhadap perkhidmatan Uber dan Grabcar diyakini mampu mewujudkan keseimbangan terhadap ekosistem perkhidmatan awam negara.

    Menurut Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, usaha merangka peraturan terhadap perkhidmatan aplikasi itu yang dibuat kerajaan ketika ini adalah bagi memastikan semua perkhidmatan yang ditawarkan di negara ini dipantau undang-undang, laporan Berita Harian.

    “Ternyata perkhidmatan Uber dan Grabcar makin diminati dan menjadi pilihan ramai. Mungkin kerajaan akan membenarkannya, namun peraturan akan dibuat supaya tiada pihak yang berada pada keadaan yang berbeza (terlepas daripada peraturan perkhidmatan pengangkutan). Peraturan ini nanti akan wujudkan keseimbangan,” katanya yang enggan memperincikan bentuk peraturan yang akan diperkenal itu.

    Tambahnya lagi, SPAD begitu mengalu-alukan sebarang bentuk perkhidmatan yang menggunakan aplikasi kerana ia terbukti memudahkan, selain sudah berkembang di seluruh dunia.

    “Memandangkan teknologi ini semakin berkembang di seluruh dunia, kita menjemput sesiapa yang ingin beroperasi menggunakannya namun harus mengikut undang-undang yang akan ditetapkan,” ujarnya lagi.

    Beliau turut mengulas mengenai insiden sekumpulan 50 lelaki dipercayai pemandu teksi yang berang terhadap kemunculan pemandu perkhidmatan Uber di KL Sentral baru-baru ini. Katanya, ia satu tindakan yang mengecewakan dan pemandu teksi tidak seharusnya bertindak keterlaluan.

    “Makin kamu sekat, makin ramai orang nak guna. Kita jangan bertindak di luar batas, mogok di jalan pun akhirnya menyusahkan orang, jalan sesak. Kerajaan sedang lakukan tindakan terhadap perkhidmatan Uber dan Grabcar, kita tunggulah keputusannya nanti,” katanya.

     
     
  • SMART tawar diskaun tol 10% sempena Aidilfitri

    SMART_Tunnel_-001

    Selain PLUS dan Litrak, Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) turut mengumumkan diskaun tol sebanyak 10% atau pun 30 sen kepada semua pengguna lebuhraya berkenaan sempena Aidilfitri ini.

    Kadar tol selepas diskaun adalah RM2.70 berbanding kadar biasa RM3 untuk setiap laluan masuk dan keluar di ibu negara. Tawaran diskaun ini adalah mulai jam 6 pagi pada 6 Julai hingga 6 pagi keesokan harinya.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Lebuh raya SMART, Sharifah Alauyah Wan Othman, diskaun tol diberikan adalah sebagai menghargai pengguna yang menggunakan Lebuh raya SMART pada hari raya. “Ini adalah antara tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat menjelang Aidilfitri tahun ini khususnya kepada pengguna setia lebuh raya kami,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.

     
     
  • BMW X5 xDrive40e baharu dilancarkan di M’sia – 2.0L pengecas turbo, CKD, harga bermula RM388,800

    BMW-X5-xdrive40e-MY-2

    Malam ini BMW Group Malaysia telah memperkenalkan BMW X5 xDrive40e baharu, kenderaan plug-in hybrid premium terkini yang dipasang di dalam negara iaitu di kilang pemasangannya di Kulim, Kedah. BMW X5 xDrive40e baharu ditampilkan dengan sentuhan rekaan luaran yang eksklusif dan tersendiri yang menyerlahkan model ini. Pada masa sama, ia menunjukkan kemampuan hibridnya yang unik.

    Memandangkan BMW X5 xDrive40e baharu ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD), ia turut menerima insentif dari kerajaan dan ditawarkan pada harga RM388,800. Ia merupakan harga atas jalan tanpa insurans. Ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun tanpa perbatuan terhad bersama Program Servis Berkala Percuma dan Program Waranti Tayar BMW. Manakala waranti bagi bateri plug-in hybrid ialah enam tahun.

    Karekter dinamik Sports Activity Vehicle (SAV) ini dipertingkatkan menerusi Pakej M Sport Aerodynamic yang hadir sebagai satu ciri standard. Selain lampu utama jenis Adaptive LED, BMW X5 xDrive40e turut dipasang dengan lampu kabus LED.

    Badan kenderaan ini diserlahkan dengan BMW Individual Exterior Line Aluminium. Jentera ini menggunakan rim aloi ringan dua-jejari M bersaiz 19-inci dengan tayar-tayar campuran. Malah ia juga menampilkan bumbung panoramik.

    2016 BMW X5 xDrive40e ext 1

    Ia juga menampilkan sambungan pengecasan untuk bateri bervoltan tinggi pada bahagian depan kiri kenderaan. Bagi menunjukkan aliran tenaga, lampu berwarna biru akan menyala sebaik sahaja proses mengecas dimulakan.

    Selain daripada logo model pada bahagian hadapan kenderaan, logo “eDrive” yang biasa dilihat pada model-model BMW i kini dilekatkan berhampiran lampu belakang dan konsol tengah bersama latar berwarna biru. Sistem ekzos pada BMW X5 xDrive40e ini pula mempunyai rekaan paip berkembar dengan hujungnya berbentuk trapezoidal.

    Bagi bahagian kabinnya, ia didatangkan dengan kluster instrumen panel berwarna hitam yang mempunyai fungsi hibrid yang spesifik dan pelbagai bacaan lain. Paparan kenderaan sedia untuk dipandu daripada “OFF” kepada “READY” diposisikan pada bahagian bawah suis kaunter rev enjin, sebaik sahaja butang start/stop ditekan.

    Kondisi caj bateri bervoltan tinggi ditunjukkan dalam bentuk simbol bateri di bawah paparan gear. Suis tetapan Driving Experience Control juga dijelaskan, sebaik sahaja mod pemanduan dipilih selepas butang eDrive ditekan.

    Selain itu, ia turut menampilkan tempat duduk sport, roda stereng M Leather, pedal penukar gear, tirai matahari untuk tingkap sisi, empat-zon kawalan penghawa dingin, sistem bunyi Harman Kardon, cermin pandang belakang anti-silau, dan sistem hiburan untuk tempat duduk penumpang belakang.

    Ciri BMW ConnectedDrive yang inovatif membantu merangka perjalanan dengan SAV ini bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sebanyak mungkin dan berada pada kecekapan maksimum sepanjang masa. Navigation System Professional dengan monitor paparan bersaiz 10.25-inci dipasang pada BMW X5 xDrive40e sebagai satu ciri standard. Ia memberi pilihan kepada pemancu untuk mendapatkan laluan ECO PRO ke destinasi yang dituju.

    Bagi aspek keselamatan, ia turut dilengkapi dengan Lane Departure Warning, City & Pedestrian Collision Warning dan Park Distance Control (PDC) pada bahagian hadapan dan belakang yang memberi maklum balas dalam bentuk visual dan akustik, selain Surround View serta kamera belakang. Bagi BMW ConnectedDrive Services pula, ia hadir bersama perkhidmatan Intelligent Emergency Call, BMW TeleServices, Concierge Services dan eDrive Services.

    Klik untuk besarkan imej

    BMW X5 xDrive40e baharu ini dijana oleh enjin pembakaran dalaman 2.0 liter yang telah memenangi anugerah “Enjin Terbaik Antarabangsa” sebanyak tiga kali. Ia menampilkan teknologi pengecas turbo TwinScroll, High Precision Injection, injap pemasaan boleh ubah VALVETRONIC dan kawalan aci sesondol boleh ubah pada bahagian pengambilan serta ekzos.

    Selain itu, keistimewaan SAV ini turut terletak pada gabungan kawalan rangkaian kuasa hibrid pintar dan pacuan semua-roda menawarkan prestasi serta penjimatan luar biasa di atas jalan raya. Ia memiliki sistem pacuan yang terdiri daripada enjin petrol 2.0 liter empat-silinder dengan teknologi BMW TwinPower Turbo dan sebuah motor elektrik bersepadu yang diintegrasikan bersama transmisi Steptronic lapan-kelajuan.

    Sebagai enjin petrol empat-silinder paling berkuasa dalam portfolio enjin BMW Group, SAV ini dikuasakan dengan prestasi menguja bersama karakter enjin yang telah diperhalusi. Enjin ini berupaya menjana kuasa maksimum 245 hp dan tork puncak 350 Nm.

    Sementara motor elektriknya pula menawarkan kuasa mencecah 83 kW dengan tork maksimum 250 Nm yang boleh diperoleh secara serta-merta. Ia berperanan meningkatkan output enjin untuk maklum balas lebih pantas apabila memecut dari titik pegun. Di samping menawarkan prestasi terbaik ketika kelajuan diperlukan pada bila-bila masa.

    2016 BMW X5 xDrive40e ext 19

    Gabungan rangkaian kuasa ini membolehkan BMW X5 xDrive40e baharu mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa cuma 6.8 saat. Kelajuannya dihadkan secara elektronik kepada 210 km/j dan tork puncak 450 Nm. Ketika berada dalam mod elektrik sepenuhnya, SAV baharu itu mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 120 km/j. Pecutan dinamik luar biasa BMW X5 xDrive40e turut menawarkan penjimatan bahan api sekitar 3.3 liter bagi setiap 100 kilometer dan emisi C02 hanya 77 gram bagi setiap kilometer.

    Rekaan plug-in hybrid pada BMW X5 xDrive40e menyediakan asas yang ideal untuk penggunaan ekstensif sistem pacuan elektrik bagi mobiliti yang paling efisien. Biarpun dalam pemanduan tanpa emisi di bandar.

    Bateri bervoltan tinggi menawarkan kapasiti tenaga sehingga 9.2 kWh. Kuasanya boleh ditambah menggunakan soket kuasa biasa di rumah. Apabila dicaj menggunakan soket kuasa konvensional, bateri ini boleh dicaj penuh daripada kosong dalam masa 3 jam 50 minit.

    Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi suis Experience Control dan eDrive. Butang eDrive yang terletak di konsol tengah membolehkan pemandu untuk menukar di antara tetapan AUTO eDrive, MAX eDrive atau SAVE Battery.

    Dalam tetapan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik bekerjasama dalam kecekapan paling tinggi. Motor elektrik digunakan untuk keperluan kuasa yang normal. Manakala kuasa enjin akan masuk pada kelajuan sekitar 70km/j atau apabila pemandu mahu mula memecut. Dalam mod ini, strategi operasi pintar akan menentukan kombinasi pemanduan yang paling efisien pada setiap masa dan akan menukarnya secara automatik.

    2016 BMW X5 xDrive40e ext 2

    Apabila bertukar kepada mod MAX eDrive, pemandu akan bergerak dalam mod elektrik sepenuhnya. Maknanya, kenderaan dikuasakan oleh motor elektrik sahaja. Mod ini direka untuk pemanduan selesa dengan emisi sifar dan enjin tidak diaktifkan. Ia menawarkan jarak maksimum 30 km dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 120km/j.

    Mod ketiga, SAVE Battery membolehkan pemandu menjimatkan atau meningkatkan simpanan tenaga bateri bervoltan tinggi untuk kegunaan berikutnya. Misalnya, ketika memandu di atas jalan, caj akan dibiarkan konsisten atau ditingkatkan untuk membolehkan tenaga bateri digunakan apabila memandu di kawasan bandar nanti. Dengan cara ini, tenaga yang disimpan boleh digunakan apabila perlu sahaja.

    Sebagai tambahan, BMW X5 xDrive40e juga didatangkan dengan suis Driving Experience Control sebagai satu ciri standard yang berfungsi mengaktifkan mode talaan kenderaan seperti COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

    Setiap mod ini mengubah suai pemetaan pendikit, karekteristik stereng, maklum balas transmisi Steptronic lapan-kelajuan dan suspensi Adaptive M dengan talaan suspensi sport, Dynamic Damper Control yang ditala khas dan suspensi udara yang dipasang sebagai standard pada SAV ini.

    The all-new BMW X5 xDrive40e (4)

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Sejak mencipta segmen SAV premium, BMW X5 telah menetapkan penanda aras dalam segmennya di seluruh dunia. Di samping teknologi canggih masa depan daripada BMW i kepada peminat automotif di negara ini.”

    Di bawah pakej BMW 360° ELECTRIC, pelanggan yang membeli jentera ini akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow yang merangkumi sekeping kad ChargeNow. Kad itu menawarkan akses terus kepada stesen-stesen pengecasan, ChargEV yang disediakan hasil kerjasama di antara BMW Group Malaysia dengan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Stesen-stesen ChargEV kini sudah beroperasi di 19 lokasi strategik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.

    BMW X5 xDrive40e didatangkan dalam warna Glacier Silver, Mineral White, Space Grey dan Carbon Black bersama pilihan upholsteri kulit Dakota Terra atau Dakota Black.

     
     
  • Kia duduki tangga #1 kebolehpercayaan kereta baharu di Amerika 2016 menerusi kaji selidik JD Power

    Kia badge

    Kia secara rasminya menduduki tangga pertama Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) JD Power untuk kereta baharu di Amerika Syarikat, setelah 27 tahun kedudukan tersebut didominasi oleh jenama mewah.

    Menurut kaji selidik yang dijalankan, hanya 83 masalah dihadapi pemilik Kia dalam setiap 100 kenderaan (PP100) keluaran Korea tersebut, mengalahkan Porsche (84 PP100), Hyundai (92 PP100), Toyota (93 PP100) dan BMW (94 PP100). Tahun lalu, Kia menduduki tangga kedua di belakang Porsche. Kesemua jenama dalam lima tangga teratas ini mempunyai kurang masalah berbanding jenama lain yang dicatatkan pada purata 105 PP100, yang juga telah meningkat berbanding 112 PP100 pada tahun lalu.

    Menurut CNBC, Timbalan Presiden JD Power untuk kualiti automotif Renee Stephens berkata, prestasi Kia yang kuat tahun ini adalah kerana jenama tersebut menumpukan kepada pelancaran model-model baharu yang lebih “bersih” dari masalah berulang serta kilang dan pengedarnya di Amerika Syarikat menghasilkan kereta yang lebih baik.

    “Sepuluh tahun lalu, mereka berada di tangga bawah kedudukan dan mereka perlahan-lahan mendaki tangga, dan mendaki keatas lagi ke kedudukan lebih tinggi beberapa tahun kebelakangan ini,” kata beliau.


    Klik untuk besarkan

    Ketua pegawai operasi Kia Motors Amerika Micheal Sprague berkata kedudukan nombor satu tersebut “adalah hasil tumpuan selama sedekad Kia terhadap hasil kerja dan peningkatan secara berterusan, dan mewakili suara dari pelanggan kami, yang merupakan ikrar yang muktamad.”

    Perhatian yang diberikan pada kualiti kereta baharu tersebut walau bagaimanapun menyebabkan Kia jatuh ke tangga ke-17 dalam Kaji Selidik Keboleharapan Kenderaan dalam Jangka Masa Panjang (VDS) JD Power yang telah dikeluarkan awal tahun ini, yang mengambil kira masalah dihadapi pengguna dalam masa tiga tahun, berbanding IQS yang mengambil kira tempoh dalam masa 90 hari sahaja. Untuk VDS, Kia mencatatkan markah 153 PP100, lebih tinggi berbanding markah purata yang dicatatkan pada 152 PP100.

    Prestasi Kia tahun ini merupakan penunjuk prestasi am jenama kenderaan arus perdana, menerima aduan yang kurang dari pemilik jenama mewah. Salah satu sebab utama adalah trend yang sedang meningkat dalam industri kerana penambahbaikkan telah dilakukan pada sistem infotaimen – yang merupakan sebab utama ketidakpuasan hati pelanggan sebelum ini -dengan sistem pada model baharu yang lebih mudah dan kurang mengalami kerosakan.

    “Pengeluar telah memudahkan kawalannya dengan hanya menyerlahkan kawalan yang hanya relevan kepada pengguna sahaja,” kata Stephens.

     
     
  • SPYSHOT: Ford Fiesta ST 2017 lima pintu

    ford-fiesta-st-7-e1466599059223_BM

    Imej Ford Fiesta ST 2017 telah ditangkap oleh jurugambar pengintip kami di Eropah dan kini dapat disahkan varian hatchback berprestasi tinggi segmen-B berkenaan turut akan diteruskan pada Fiesta generasi ke-tujuh.

    Menerusi badan yang dilindung oleh pelekat penyamaran, bentuk keseluruhan varian ST ini masih lagi sama dengan varian Fiesta biasa. Tetapi ST dilengkapi dengan liang kemasukan udara, roda aloi dan brek yang lebih besar. Brek belakang juga dilengkapi dengan cakera (dram untuk model biasa) dan ekzos berkembar. Badan keseluruhan Fiesta generasi baharu ini juga kelihatan lebih besar, mungkin untuk memberikan lebih ruang pada kelegaan kaki pada bahagian belakang.

    Fiesta ST generasi baharu yang diuji ini juga tampil dengan bentuk badan lima pintu, berbanding model sedia ada hanya hadir dengan bentuk badan tiga pintu. Ini berkemungkinan ST bakal hadir dengan dua bentuk badan, atau mungkin hanya ditawarkan dalam bentuk badan lima pintu sahaja, mengkuti langkah pesaingnya dari Perancis iaitu Renault Clio RS 200. Ia mungkin juga unit untuk pasaran Amerika Utara di mana Fiesta hanya ditawarkan dengan bentuk badan lima pintu untuk pasaran berkenaan.

    ford-fiesta-st-4_BM

    Fiesta generasi baharu ini dijangka menggunakan platform Global B sama seperti model B299 sedia ada, tetapi dengan peningkatan dilakukan pada kualiti, perincian, ciri-ciri serta harga untuk memastikan ia seiring dengan permintaan pelanggan masa kini. Ia juga bagi memberi laluan kepada Ford Ka+ pasaran Eropah baharu, yang diasaskan dari Ford Figo untuk pasaran India.

    Bahagian dalaman turut dijangka akan diberi perhatian dimana Fiesta sedia ada mempunyai kualiti bahagian dalaman yang agak rendah. Bukan sahaja dari segi material binaan akan ditingkatkan, skrin sesentuh kapasitif besar lapan inci pada sistem infotaimen SYNC 3 turut dijangka akan dipadankan.

    Sistem SYNC 3 tersebut sebenarnya telah ditawarkan sebagai pilihan opsyen pada Fiesta sedia ada pasaran Amerika Syarikat. Disebabkan skrin yang terlalu besar, papan pemuka telah diubah sedikit dan hasil akhirnya membuatkan papan pemuka tersebut kelihatan agak janggal. Papan pemuka untuk model generasi baharu ini bakal direka dengan lebih sempurna untuk memuatkan sistem SYNC 3.

    Spy-Shots of Cars This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Spy-Shots of Cars
    This image has been optimized for a calibrated screen with a Gamma of 2.2 and a colour temperature of 6500°K

    Ciri lain yang turut dijangka akan dipadankan termasuk sistem bantuan pemanduan seperti Pengesan Pejalan Kaki (sistem Active Stop sudahpun dilengkapi pada Fiesta pasaran Eropah), AMmaran Keluar Laluan, SIstem Informasi Titik Buta serta Pengesan Papan Tanda Trafik.

    Fiesta ST generasi baharu ini turut dijangka akan dibekalkan dengan enjin 1.6 liter turbo empat-silinder EcoBoost dari model sedia ada, tetapi dengan talaan berbeza menghasilkan kuasa yang lebih tinggi (Fiesta sedia ada berkuasa 182 PS/240 Nm). Ford setakat ini telah pun menala enjin tersebut untuk mengekstrak sejumlah 200 PS/290 Nm khas untuk Fiesta ST200. Model generasi terbaharu ini juga dikatakan turut akan dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.

     
     
  • Adakah kerusi khas anak anda dipasang dengan sempurna? Adakah ia sesuai untuk anak anda? Daftar untuk pemeriksaan percuma kerusi khas kanak-kanak!

    Child car seats paultan.org 008

    Anda telah membeli sendiri kerusi khas kanak-kanak untuk keselamatan anak anda. Bagus, permulaan yang baik! Tetapi adakah kerusi tersebut dipasang dengan sempurna? Adakah kerusi tersebut sesuai untuk anak anda? Terdapat banyak variasi kerusi khas kanak-kanak yang dijual di Malaysia, dan setiap satunya memiliki kaedah pemasangan yang tersendiri. Dan 90% daripada kerusi khas kanak-kanak di Malaysia tidak dipasang secara sempurna.

    Kesilapan pemasangan yang kerap berlaku termasuklah:

    • Kerusi khas kanak-kanak tersebut tidak dipasang secara betul atau terlalu longgar.
    • Pemilihan kerusi khas kanak-kanak yang tidak mengikut usia, berat dan ketinggian anak anda. Contohnya, anak kecil berusia tiga tahun diletakkan di dalam bakul bayi atau pun pengalas tempat duduk (booster seat)
    • Kerusi khas kanak-kanak dipasang, tetapi anak anda tidak dipakai tali pinggang keselamatan dengan sempurna, atau longgar – sama ada anak anda mengadu tali tersebut ketat atau dia membuka sendiri tali pinggang keselamatan tersebut.
    • Anak anda dipakaikan tali pinggang keselamatan biarpun kerusi khas untuknya tidak dipasang sempurna. Ada sesetengah ibu bapa beranggapan, asalkan anak mereka dipakaikan tali pinggang keselamatan itu sudah mencukupi dan selamat.
    • Slot tali pinggang keselamatan salah digunakan. Ada sesetengah kerusi khas kanak-kanak yang perlu ditukarkan slot tali keselamatannya apabila anak sudah membesar.
    • Menggunakan kerusi khas kanak-kanak yang sudah rosak atau tamat tempoh penggunaannya.

    Memandangkan perkara ini sangat penting demi keselamat si kecil anda, kami di paultan.org dengan Child Passenger Safety Malaysia (CPS Malaysia) akan mengadakan kempen pemeriksaan kerusi khas kanak-kanak secara percuma pada hujung minggu ini (25 dan 26 Jun). Anda boleh menyertai kempen ini sekiranya anda ragu-ragu mengenai pemasangan atau pemilihan kerusi khas kanak-kanak yang tepat. Isi borang di bawah untuk menyertainya, pemeriksaan akan dilakukan oleh mereka yang pakar.

     
     
  • PLUS tawar rebat tol sebanyak 30% sempena Aidilfitri

    toll booth

    PLUS Malaysia Berhad telah mengeluarkan kenyataan media berhubung tawaran rebat tol sebanyak 30% kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG di lebuh raya PLUS bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

    Menurut Pengarah Urusannya, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid, “Rebat tol tersebut ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada Hari-Hari Bukan Puncak iaitu 4, 8 dan 11 Julai bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari-hari tersebut.”

    Pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai bergerak pulang ke kampung sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kembali ke bandar selepas berhari raya pada Hari-hari Bukan Puncak. Ia juga merupakan penghargaan PLUS kepada orang ramai yang terus menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya tersebut.

    Menurut Noorizah, bagi perjalanan pada 4, 8 dan 11 Julai ini, pengguna yang membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat tol 30% tersebut boleh ditebus dalam bentuk tambah nilai di antara 15 Ogos 2016 sehingga 14 November 2016 akan datang di semua pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

    PLUS akan turut mengambil pelbagai langkah lain untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang. Ia termasuklah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

     
     
  • Aston Martin Vanquish Zagato – Terhad 99 unit sahaja

    Aston-Martin-Vanquish-Zagato-03

    Aston Martin Vanquish Zagato bukan lagi sekadar model konsep. Gaydon telah mengumumkan kerjasama terkini dengan pereka terkemuka Itali Zagato, bagi melahirkan Aston Martin Vanquish Zagato sebagai model produksi. Walau bagaimana pun, ia hanya akan diproduksi dalam jumlah yang terhad iaitu 99 unit sahaja.

    Pembuat kereta Britain itu berkata, Vanquish Zagato akan diproduksikan agak mirip dengan model konsep yang pernah dipertontonkan di Lake Como. Jentera GT ini adalah bancuhan kekemasan dan keupayaan Aston Martin dengan padanan rekaan karakteristik Zagato.

    Keseluruhan badannya disaluti dengan gentian karbon, Manakala perumah kacanya pula membaluti seluruh badannya termasuk visor, malah jejalur sisi diolah dengan evolusi terkini yang merentasi dari gerbang roda ke pintu, sama seperti model baharu DB11. Satu lipatan tajam pada roda belakang turut diubah menjadi rusuk belakang, hingga ke garisan bumbung.

    Aston-Martin-Vanquish-Zagato-06

    Bahagian belakangnya juga nampak memiliki persamaan dengan profil aerodinamik DB11, dilengkapi dengan spoiler dan hatch yang boleh ditarik balik untuk akses yang lebih mudah. Ambang gentian karbon juga menjalari pada bahagian bawah badan dari hadapan ke belakang, hingga ke ekzos berkembar. Malah turut menampilkan bumbung double-bubble yang merupakan signatur bagi Zagota.

    Selain itu, ia turut menampilkan lampu baharu dengan reflektor lampu belakang seperti Zagota klasik, serta teknologi LED mirip dengan Aston Martin Vulcan. Sementara cermin sisinya pula kelihatan sama seperti One-77.

    Bahagian dalamnya, ia turut dipadankan bersama gentian karbon dengan konsep bayangan dan kekemasan tembaga serta pilihan kulit anilin. Malah turut menampilkan jahitan paten lapis unik ‘Z’ pada tempat duduk dan panel pintu, serta sulaman ‘Z’ pada perehat tangan dan jahitan pada konsol tengah.

    Jentera ini bakal dijanakan oleh enjin 6.0 liter V12 yang telah dipertingkatkan dengan kuasa 600 PS, mampu dipacu dari 0-96 km/j dalam hanya 3.5 saat. Malah sistem suspensinya juga telah dilaras semula bagi memberikan “pengalaman pemanduan GT yang lebih unik dan spesifik bagi model Vanquish Zagato.

    Vanquish Zagato merupakan projek kereta kelima yang menerima kerjasama ini sejak lima dekad yang lalu. Ia bermula dengan model perlumbaan DB4 GT Zagato pada tahun 1960, yang kini memiliki nilai melebihi £10 million. Selain itu, V8 Vantage Zagato dilancarkan pada 1986, DB7 Vantage Zagato (2002) dan V12 Vantage Zagato (2011). Perhantaran pertama Vanquish Zagato ini dijangka bermula pada suku pertama 2017.

     
     
  • Honda Malaysia panggil balik 147,894 unit kenderaannya ekoran masalah beg udara – lapan model buatan tahun 2003-2011 terlibat

    Honda Malaysia mengumumkan sebanyak 147,894 unit kenderaannya terlibat dengan kempen panggilan balik (recall) untuk menggantikan inflator beg udara bahagian penumpang hadapan buatan Takata.

    Model yang terlibat dengan kempen ini ialah Accord (tahun buatan 2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

    Penggantian komponan terbabit adalah sangat diperlukan bagi memastikan keselamatan para pemandu dan penumpangnya. Kos penggantian komponen terbabit termasuk kos buruh adalah ditanggung oleh pihak Honda Malaysia sendiri.

    Para pemilik model kenderaan yang terlibat akan dimaklumkan oleh pihak Honda dalam jangka masa terdekat ini. Malah boleh juga menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau larari www.honda.com.my, atau segera berkunjung ke mana-mana pusat serbis Honda bertauliah untuk pemeriksaan lanjut.

    Walau bagaimana pun Honda Malaysia mengesahkan model-model baharunya di pasaran tidak terlibat dengan masalah ini.

    Senarai model Honda dan tahun buatan yang terlibat adalah seperti berikut:

    Honda_Malaysia_recall

    Sehingga kini, terdapat 13 kematian telah diumumkan di seluruh dunia akibat kegagalan beg udara Takata ini, termasuk dua kes yang berlaku baru-baru ini di Malaysia.

    Di mana Kedua-dua kemalangan yang berlaku di negara ini menyebabkan kematian tragik kepada pemandu. Kemalangan pertama dilaporkan pada 16 April tahun lalu yang berlaku di Sabah. Honda telah mengesahkan pemeriksaan yang dilakukan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2006.

    Kereta tersebut adalah tersenarai dalam panggilan semula oleh pihak Honda Malaysia yang diumumkan pada 21 Mei 2015, yang memerlukan unit inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu tersebut ditukar.

    Kemalangan kedua pula berlaku pada 1 Mei 2016 di Kedah. Hasil pemeriksaan yang dilakukan bersama PDRM menemui inflator beg udara Takata SDI bahagian pemandu telah pecah dalam kemalangan yang melibatkan Honda City 2003.

     
     
  • Usah hon jika ada haiwan liar di jalan raya – Perhilitan

    Chickaboo-Ostrich-Federal-Highway

    Selepas burung unta yang diberi nama Chickaboo menjadi viral selepas kemunculannya berlari di Lebuhraya Persekutuan baru-baru ini, tiba pula giliran seekor kuda yang ‘marathon’ di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Baharu pula.

    Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) menyeru kepada orang ramai agar tidak membunyikan hon sekiranya terserempak dengan haiwan-haiwan ini di jalan raya. Ini kerana bunyi hon tersebut boleh mencetuskan rasa panik haiwan terbabit, sekali gus membuatkan ia bertambah sukar untuk dikawal.

    Timbalan Pengarah II Perhilitan, Fakhrul Hatta Musa, berkata, selain panik, bunyi hon tersebut boleh menyebabkan haiwan itu keliru, malah ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya dan haiwan itu sendiri.

    “Jika berhadapan dengan situasi ini, pemandu harus memperlahankan kenderaan dan cuba membantu menyelamatkan haiwan tersebut dengan menghubungi pihak-pihak berkaitan seperti PLUS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Perhilitan sendiri untuk tindakan seterusnya,” ujarnya kepada Bernama.

    Fakhrul Hatta berkata, insiden baru-baru ini yang melibatkan dua haiwan terbabit adalah disebabkan kecuaian pemiliknya dan mereka boleh disaman sekiranya ia melibatkan kemalangan. “Pemilik atau pembiak berlesen haruslah mengikuti garis-garis panduan yang ditetapkan termasuk menempatkan haiwan ini di tempat yang selamat.

    Sekali lagi diingatkan, jika terserempak dengan haiwan liar di jalan raya, jangan hon! Dan utamakan keselamatan anda dan haiwan terbabit. Segera hubungi jabatan terlibat untuk menyelamatkan haiwan tersebut.

     
     
  • Polis nafi laporan serangan beramai-ramai terhadap kereta Uber di KL Sentral, beri amaran kepada pemandu teksi usah bertindak keterlaluan

    Malaysia-Taxi-02

    Polis telah menafikan terdapat laporan yang mengatakan kereta Uber telah diserang di KL Sentral, yang melibatkan seramai 50 pemandu teksi dengan menarik pelancong asing keluar dan seterusnya merosakkan kereta tersebut.

    Wanita dari Iran berusia 43 tahun yang membuat laporan polis ekoran insiden tersebut dikatakan mengalami sedikit kecederaan pada tangannya. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, SAC Rusdi Mohd Isa memberitahu The Sun, wanita asing berkenaan adalah penuntut di Malaysia dan bukannya pelancong, dan serangan tersebut tidaklah melibatkan kumpulan yang besar seperti mana yang dilaporkan.

    “Kami tidak menerima sebarang laporan daripada pemandu Uber. Mangsa hanya mengalami sedikit kecederaan ringan di tangannya apabila dia ditarik keluar dari kereta terbabit. Hanya seorang atau dua orang pemandu teksi yang terlibat, bukannya lebih daripada 50 orang pemandu teksi dalam insiden tersebut. Jika ia melibatkan serangan beramai-ramai, pastinya polis mengetahuinya dan akan segera ke sana untuk tindakan,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, Rusdi turut memberikan amaran kepada pemandu teksi agar tidak bersikap keterlaluan dan bertindak melulu, jika tidak, mereka akan berhadapan dengan tindakan dari polis. “Jika ada penumpang yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan menerusi aplikasi ini, itu pilihan mereka. Saya percaya kerajaan sedang mengkaji isu ini sebelum membuat keputusan,” ujarnya lagi.

    Sambungnya lagi, “Sementara itu, pemandu teksi harus menantikan keputusan muktamad dari kerajaan, bukannya bertindak dengan kekerasan. Kita tidak ada pilihan lain untuk bertindak sekiranya mereka ini melakukan sesuatu di luar batasan termasuk mengancam keselamatan orang awam.”

     
     
  • Jualan kenderaan tahunan keseluruhan di Malaysia sehingga Mei 2016 jatuh 17.6% berbanding tahun lalu

    MAA-Sales-Data-May-2016-e1466501117415_BM

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia untuk bulan Mei 2016. Data berkenaan nampaknya menunjukkan peningkatan selepas jualan keseluruhan yang merudum pada bulan lalu.

    Sejumlah 38,699 unit kenderaan penumpang persendirian dan 5,970 kenderaan komersial dijual bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhannya berjumlah 44,669 unit. Jumlah tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak 6% atau 2,492 unit dari jumlah keseluruhan 42,177 unit berbanding bulan April 2016.

    Walaupun angka peningkatan ditunjukkan berbanding bulan lalu, angka berkenaan sebenarnya jauh lebih rendah berbanding bulan yang sama tahun lalu. Sejumlah 51,252 unit kenderaan berjaya dijual pada Mei 2015, menjadikan jumlah jualan bulan yang sama tahun ini jatuh 12.8% atau 6,583 unit.

    Jumlah jualan keseluruhan tahunan dalam tempoh masa yang sama tahun lalu juga dilihat menurun dimana dari Januari hingga Mei 2015 menyaksikan jualan keselurahan kenderaan di Malaysia adalah 235,914 unit berbanding hanya 193,953 unit untuk tempoh yang sama tahun ini – menyaksikan penurunan sebanyak 17.6%

    MAA menyatakan sebab utama kelembapan pasaran masih sama iaitu syarat pinjaman yang dikenakan oleh Bank Negara kini semakin ketat, walaupun kempen jualan dan pasaran yang agresif telah dilakukan oleh syarikat pengeluar kenderaan berbanding bulan April.

    Pihak MAA juga telah menjangkakan jualan akan bertambah bulan ini kerana kempen jualan Hari Raya yang sedang giat dijalankan oleh pengeluar kenderaan serta pelancaran beberapa model baharu seperti Honda Civic dan Proton Perdana.

     
     
  • Litrak umum diskaun tol sempena Hari Raya pertama – diskaun 60 sen di LDP dan 20 sen Sprint

    LDP_Toll_EXTRA

    Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn.Bhd (Litrak) telah mengumumkan pemberian diskaun tol bagi pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint sempena Aidilfitri ini.

    Menurut CEO Litrak, Sazally Saidi, diskaun tol yang bakal diberikan adalah sebanyak 60 sen bagi LDP untuk semua kelas kenderaan. Manakala pengguna Sprint pula bakal menikmati diskaun tol sebanyak 20 sen.

    “Diskaun tol berkenaan akan diberikan pada 6 Julai ini iaitu Hari Raya pertama bermula jam 12.01 tengah malam sehingga 11.59 malam,” ujar Sazally.

     
     
  • Datuk Vida sedia membida VIP 1 dan VIP 6

    vida-qu-putih

    Jutawan kosmetik popular, Datuk Seri Hasmiza Othman, atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida bersedia membida nombor pendaftaran khas siri VIP 1 dan VIP 6 apabila bidaannya dibuka kelak. Baru-baru ini pemohonan dari Jawatankuasa Pelancongan Dan kebudayaan negeri Pahang untuk menggunakan nombor pendaftaran khas siri VIP 1 hingga VIP 9 sempena Tahun Melawat Pahang 2017 telah pun diluluskan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai

    Menerusi laporan Kosmo hari ini, nombor pendaftaran tersebut dirancang untuk dipadankan dengan kereta Bugatti Veyron dan bakal diberikan kepada anak lelakinya yang berusia 9 tahun. Katanya, kereta sport yang hanya dikeluarkan secara terhad di seluruh dunia itu memang menjadi idaman anak lelakinya, Muhammad Eric Zacquan.

    “Saya melihat nombor pendaftaran VIP ini unik dan bersesuaian jika diletakkan pada Bugatti Veyron yang diminati anak saya,” ulasnya.

    Baru-baru ini, Datuk Vida turut meletakkan harga yang tinggi bagi membida nombor pendaftaran F 1 bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya dan dengan penuh keyakinan katanya mampu memenangi bidaan tersebut.

     
     
  • Hyundai dan Kia panggil semula lebih dari 400,000 unit kenderaan keluaran mereka dalam pasaran Amerika

    Kia Sedona 2006-10

    Hyundai dan Kia telah mengeluarkan notis panggilan semula terhadap lebih dari 400,000 unit kenderaan keluaran mereka di Amerika Syarikat berhubung empat masalah berbeza. Tiga daripada panggilan semula tersebut melibatkan jenama Kia, dua untuk Sedona (juga dikenali sebagai Carnival untuk pasaran lain) generasi kedua dan ketiga melibatkan Forte. Untuk Hyundai pula, panggilan semula ini melibatkan SUV Tucson.

    Panggilan semula pertama terhadap Sedona melibatkan sejumlah 97,884 unit yang di produksi dari Jun 2006 hingga Ogos 2012. Kia mengatakan karat mungkin akan terjadi pada bahagian bawah lengan kawalan (control arm) sistem suspensi hadapan kerana ia terdedah pada air masin yang terdapat pada garam yang digunakan untuk jalan raya. Ini akan menyebabkan lengan kawalan tersebut patah, dan berisiko untuk menyebabkan kemalangan. Lengan kawalan pada kenderaan-kenderaan ini akan ditukar.

    Panggilan semula kedua untuk Sedona pula melibat kenderaan yang diproduksi dari Jun 2005 hingga April 2014 yang berjumlah 219,800 unit. Selak pada penutup hud enjin kenderaan yang terlibat pada panggilan semula ini dikhuatiri melekat dan tidak terkunci setelah penutup hud tersebut ditutup. Ini mungkin akan menyebabkan penutup but berkenaan terbuka sendiri ketika kereta sedang berjalan jika selak utama dilepaskan. Untuk masalah ini, selak berkenaan mungkin atau ditukar atau dibersihkan dan dilincirkan semula, bergantung pada keadaan.

    Panggilan semula ketiga melibatkan 5,245 Forte 2013 yang diproduksi antara September 2012 dan Oktober 2012. Untuk panggilan semula ini, skru yang memegang plat penahan retraktor tali keledar hadapan dikatakan tidak diikat sepenuhnya, menyebabkan plat tersebut mungkin akan patah. Kia akan menggantikan kedua-dua belah pemasangan lengkap tali keledar hadapan untuk memperbaiki masalah ini tanpa sebarang bayaran.

    Panggilan semula terakhir pula melibatkan 81,000 unit Tucson 2016 yang dibuat antara Mei 2015 hingga Mac tahun ini. Masalah yang dihadapi Tucson ini adalah sama seperti Sedona, iaitu selak pada penutup hud hadapan yang melekat dan tidak mengunci penutup hud berkenaan setelah ditutup. Ini akan memungkinkan penutup hud tersebut terbuka sendiri ketika kereta sedang dipandu dan akan menyebabkan kemalangan. Hyundai akan menukar selak berkenaan pada semua Tucson yang terlibat dalam panggilan semula ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025