Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota patenkan rekaan kereta terbangnya

    toyota-flying-car-patent-e1467095733282_BM

    Toyota telah mempatenkan rekaan kereta terbangnya pada Disember 2014 lalu, tetapi hanya didedahkan oleh Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat bulan ini. Rekaan berkenaan menyaksikan idea kereta terbang dari Toyota ini menampilkan sayap yang boleh dilipat dan disimpan di dalam badannya pada kedua-dua belah sisi.

    Untuk itu, kedua-dua belah sayap direka agar ia bersifat fleksible dan ditempatkan pada bahagian belakang badan, ditutup dengan panel yang boleh bergerak. Kedua-dua belah panel berkenaan dapat ditutup dan dibuka seperti pintu jenis gullwing, dengan engselnya terletak di bahagian atas badan. Sayap dapat dibuka atau disimpan semula setelah panel berkenaan dibuka. Lukisan paten berkenaan juga menunjukkan komponen pada fiuslaj boleh diubah menerusi topang teleskopik yang dipadankan, berkemungkinan untuk mendapatkan karekteristik aliran angin ketika sedang terbang.

    Tidak dinyatakan tentang jenis enjin yang bakal digunakan pada kereta ini, tetapi lukisan tersebut menunjukkan sebuah kipas dipasang pada bahagian belakang untuk memacunya. Tidak juga kelihatan kipas kedua atau sirip untuk mengawal arah ketika penerbangan dan boleh diandaikan tugas berkenaan mungkin diambil oleh sayap sisi.

    Dari paten Toyota yang difailkan pada 2014 sehingga kini, pelbagai lagi usaha pembangunan kereta terbang dibuat oleh pengeluar lain. Aeromobil iaitu syarikat dari Slovakia telah membina tiga generasi kereta terbang, manakala pengasas bersama Google Larry Page dilaporkan telah melabur dalam dua syarikat berbeza, untuk membina kereta terbang berbeza.

    Kereta konsep Aeromobil dibina dengan rekaan sayap pelbagai sudut untuk berlepas dalam “hanya beberapa ratus meter” dan turut boleh disimpan. Suspensi yang tegar juga dilengkapkan bagi membolehkan ia beroperasi pada landasan yang kurang daripada biasa.

    Manakala Page pula melabur pada kereta yang dinamakan Zee.Aero (menggunakan sayap tetap, fiuslaj sempit serta kipas pada bahagian belakang) dan Kitty Hawk (yang direka seakan sebuah quadcopter). Kedua-dua kereta terbang berkenaan dibina oleh dua buah syarikat berbeza dan tidak pernah berinteraksi antara satu sama lain.

     
     
  • Op Selamat 9 sempena Aidilfitri bermula 29 Jun ini

    PDRM-4

    Berbaki seminggu lagi umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Seperti kebiasaan, dalam perayaan utama di negara ini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengadakan Op Selamat bagi memantau dan menjaga keselamatan serta keadaan trafik di seluruh lebuhraya dan jalan-jalan utama.

    Bagi Op Selamat 9 sempena Aidilfitri ini, ia akan bermula esok iaitu 29 Jun 2016. Di mana polis akan menempatkan pusat kawalan ‘subtek’ terutama di 40 lokasi utama berlaku kemalangan maut di seluruh negara, menurut sumber Harian Metro.

    Menurut Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, menerusi Op Selamat 9 ini, terdapat dua pendekatan bakal diimplementasikan selama 15 hari itu iaitu tindakan penguatkuasaan menyeluruh dan perkhidmatan kepada masyarakat.

    “Salah satu langkah penguatkuasaan itu dengan mewujudkan subtek iaitu unit kecil polis yang lebih memberi tumpuan di kawasan ‘black spot’ untuk mengurangkan kadar kemalangan maut dan melancarkan aliran trafik,” katanya kepada pihak media selepas melancarkan Op Selamat 9 bersempena Aidilfitri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selangor di Puncak Alam pagi ini.

    Sambungnya lagi, lokasi subtek telah dipecahkan kepada empat zon iaitu Utara, Tengah, Selatan dan Timur. Di mana ia merangkumi pusat kawalan untuk menyediakan laporan, statistik, carta selain menjadi koordinasi dengan Bilik Gerakan Trafik di Bukit Aman.

    “Dalam masa yang sama, kami juga akan menjalankan Op Perangkap Had Laju dan Op Roda di lokasi kerap berlaku kemalangan jalan raya terutama membabitkan kematian,” ujarnya lagi.

     
     
  • Mitsubishi siar imej ‘teaser’ Ground Tourer Concept sebelum didedahkan di Paris Motor Show 2016

    2016-Mitsubishi-Ground-Tourer-concept-e1467077729983_BM

    Walaupun Paris Motor Show 2016 hanya akan berlangsung beberapa bulan lagi dari sekarang, Mitsubishi telah pun menyiarkan imej teaser SUV konsep baharu yang bakal didedahkan pada acara berkenaan. Digelar sebagai Ground Tourer Concpet, model berkenaan merupakan model seterusnya konsep XR PHEV II dan konsep eX yang ditayangkan pada Geneva Motor Show tahun lalu.

    Seperti juga model konsep sebelum ini, Ground Tourer Concept akan menampilkan pembangunan terbaharu falsafah rekaan ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi. Imej teaser yang disiarkan ini hanya memaparkan bayangan bentuk badan SUV konsep berkenaan, serta garisan bumbung yang rendah.

    Cat dua ton turut dapat dilihat di mana bumbung SUV ini diberikan warna merah sementara badannya diberikan warna kelabu. Ciri lain yang turut dapat dilihat adalah kamera sisi yang menggantikan cermin sisi konvensional, lampu tirus pada bahagian hadapan dan belakang serta liang kemasukan udara yang besar pada bahagian belakang.

    Mitsubishi tidak memberi sebarang petunjuk berhubung apa yang akan di prebiu pada model konsep ini. Walau bagaimanapun, jenama dari Jepun berkenaan mengatakan Ground Tourer merupakan kenderaan elektrik Plug-in Hybrid (PHEV), dan bakal “menawarkan perjalanan mudah pada apa jua bentuk jalan dan keadaan pemanduan.”

     
     
  • Kejara dan AWAS akan bermula tahun ini


    Klik untuk besarkan perincian mata demerit Kejara

    Kerajaan dijangka akan memulakan implementasi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dan Sistem Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) tahun ini, lapor The Sun Daily.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, kedua-dua sistem berkenaan akan berkuatkuasa sejurus selepas menerima kelulusan Kabinet. “Kami akan mengimplementasi sistem AWAS dan Kejara bersama,” kata beliau, tetapi tarikh jangkaan bila ia akan dilaksanakan masih belum diketahui.

    Beliau menambah, sistem-sistem ini adalah berkaitan dengan pindaan yang dilakukan pada Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang dibuat pada Mei lalu. Walau bagaimanapun penguatkuasaannya telah ditunda kerana masalah teknikal, dan implementasi sistem berkenaan turut terpaksa ditangguhkan.

    Dalam perkara berasingan, ‘Ops Bersepadu’, yang dilancarkan oleh Liow akan berkuatkuasa bermula 29 Jun hingga 13 Julai. Semasa operasi yang dijalankan diseluruh negara itu berjalan, pemandu bas akan dikenakan ujian air kencing, dan pegawai penguatkuasa turut akan menjalankan pemeriksaan pada bas-bas terbabit.

    Had laju pada jalan persekutuan juga turut akan dikurangkan dari 90 km/j ke 80 km/j manakala had laju untuk jalan negeri pula diturunkan dari 80 km/j ke 70 km/j. Pengguna jalan raya juga turut dinasihatkan agar tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan mematuhi semua undang-undang jalan raya.

     
     
  • Petronas Coffee Break tawar 900k cawan kopi percuma untuk pengguna jalan raya sempena Aidilfitri tahun ini

    petronas-coffee-break_BM

    Seperti musim perayaan tahun-tahun sebelum ini, Petronas masih setia untuk mengedarkan kopi percuma untuk pengguna jalan raya yang sedang dalam perjalan pulang ke kampung halaman menerusi kempen Petronas Coffee Break.

    Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, sebanyak 147 stesen Petronas disepanjang laluan lebuhraya dan jalan utama menyertai kempen berkenaan berbanding hanya 40 stesen tahun lalu. Untuk itu, sebanyak 900,000 cawan kopi segar bakal diedarkan secara percuma bersama pelbagai pilihan snek pada 2 dan 3 Julai bermula 6 petang, 9 dan 10 Julai bermula 3 petang.

    Sebagai memperkukuhkan komitmennya terhadap keselamatan jalan raya, Petronas turut menyumbangkan petrol Petronas Primax 95 bernilai RM20,000 kepada St. John Ambulance Malaysia (SJAM) untuk kegunaan 50 ambulan yang akan bertugas memberikan perkhidmatan kecemasan disepanjang lebuhraya utama sepanjang musim perayaan ini. Ini juga merupakan tahun ke-22 Petronas bekerjasama dengan organisasi tersebut.

    Petronas

    “Selama berberapa tahun, kempen Petronas Coffee Break telah menjadi kempen yang sinonim dengan perjalanan balik kampung dan pelanggan kami sentiasa menantikannya. Setelah menerima maklum balas yang positif, kami telah menambah jumlah stesen yang menyertai kempen ini sejak kempen yang lalu serta menambah lagi pelbagai hadiah untuk diberikan,” kata Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Dagangan Berhad (PDB).

    “Kami faham perjalanan yang mengambil masa yang lama di atas jalan raya akan meletihkan pemandu. Oleh itu, Petronas menjemput semua pengguna jalan raya untuk singgah dan berehat dengan beberapa hidangan ringan yang disediakan sebelum meneruskan perjalanan. Kekal berwaspada di jalan raya merupakan perkara yang krtikal untuk memastikan keselamatan anda dan orang lain. Kami mahu anda selamat dalam perjalanan pulang ke rumah,” tambah beliau.

    Untuk tambahan dalam kempen yang telah dijalankan selama 17 tahun ini, ia turut menawarkan pemeriksaan keselamatan 20-poin untuk kereta Proton dan pemeriksaan kesihatan di lokasi terpilih secara percuma. Kopi dan snek juga diberikan secara percuma sehingga kehabisan stok. Lawati www.mymesra.com.my untuk senarai stesen yang menyertai kempen ini.

     
     
  • Toyota C-HR 2017 – bahagian dalaman versi produksi didedahkan secara rasmi buat pertama kali

    2016_C_HR_Dynamic_02_BM

    Ini merupakan gambar rasmi pertama bahagian dalaman untu Toyota CH-R yang dikeluarkan oleh Toyota, serta beberapa gambar baharu bahagian luaran. SUV kompak dengan rekaan yang agak garang ini bakal berdepan dengan Honda HR-V dan Mazda CX-3 dalam pasaran, muncul buat pertama kali dikhalayak ramai pada peringkat global di Geneva Mac lalu. Ia akan menembusi pasaran Australia awal tahun hadapan, dan dijangka akan mendarat di Thailand pada masa yang lebih kurang sama untuk peringkat permulaan pasaran ASEAN.

    Di Eropah, pra-jualan CH-R akan bermula pada September ini, dengan penghantaran pertama dijangka akan dilakukan sebelum hujung tahun. Model yang dibuat di Turki ini akan diletakkan diantara model wagon Auris Touring Sports dan RAV4. Toyota mensasarkan menjual 100,000 unit CH-R setahun.

    Kabin berbentuk coupe yang tinggi pada CH-R ini mensasarkan “kualiti deria terbaik dalam kelasnya” dan bakal memberikan “gaya moden yang menghairahkan” yang akan ditawarkan pada barisan dan segmen Toyota. CH-R diberikan rekaan yang penuh dengan lengkok dan aliran, dan turut dilengkapi dengan skrin sesentuh besar (bersaiz 6.1 inci dengan jam trademark Toyota diletakkan bersebelahan) yang muncul dari bahagian tengah papan pemuka dan dihalakan ke arah pemandu. Konsol tengah juga direka dengan konsep simetrikal.

    2016_C-HR_16__mid

    Rekaan pada suis-suis kawalan memberikan bayangan motif batu permata yang turut diterapkan pada bentuk badan keseluruhan SUV ini. Tema batu permata berkenaan turut diterapkan pada kemasan pintu, balutan bumbung, serta jarum pada meter instrumen. CH-R spesifikasi Eropah bakal menerima papan pemuka dengan kemasan biru manakala untuk pasaran Australia ia menerima kemasan kelabu.

    Toyota mengatakan jurutera mereka memfokuskan pada kualiti komponen yang terdiri dari butiran, tekstur, bentuk, warna dan pencahayaan pada setiap elemen, termasuk alur jahitan pada tempat duduk. Tempat duduk hadapan yang direka dengan dua tingkat SUV ini menggabungkan rekaan langsing, bahagian atas yang disokong dengan lebih kuat serta bahagian bawah yang lebih kukuh.

    “Dengan sokongan yang kuat dari pasukan jurutera, kami mampu menghasilkan setiap perincian dan mencabar standard untuk mencipta harmoni bahagian dalaman yang lebih lancar. Akhirnya, kami percaya ia adalah bahagian dalaman yang mempunyai SQ (kualiti deria) terbaik pernah dilihat pada sebuah Toyota,” kata Mehmet Fatih Kale, jurutera senior di pasukan SQ Toyota Eropah.

    C-HR yang dibina berasaskan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) diukur dengan dimensi 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Untuk membayangkan saiznya, ia 56 mm lebih panjang dan 23 mm lebih lebar dari Honda HR-V, tetapi 55 mm lebih rendah. Jarak roda CH-R juga 30 mm lebih panjang.

    Toyota mengatakan rekaan CH-R yang garang mencerminkan keazaman presiden syarikat Akio Toyoda untuk membenarkan rekaan yang lebih bebas dan menggalakkan kreativiti kejuruteraan dengan rekaan yang lebih menarik serta memberikan nikmat pemanduan yang lebih mengujakan.

    Ketua jurutera Kazuhiko Isawa berkata CH-R akan memberikan Toyota penampilan yang kuat dalam segmen yang sedang berkembang, mewujudkan sempadan baharu dengan kenderaan yang penuh dengan keaslian. “Pembaharuan ini datang dari keteguhan dan kekuatan SUV berkenaan. Tetapi kami tidak mencuba untuk membuat SUV yang dinamik; sebaliknya, sebuah kenderaan yang dinamik dengan ciri seperti SUV,” kata beliau.

    2016_C-HR_02_BM

    Model pasaran Australia bakal dilengkap dengan enjin 1.2 liter turbo berkuasa 116 PS dan tork maksima 185 Nm. Ia akan digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada enam kelajuan manual atau CVT automatik, serta pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda (AWD). Pasaran Jepun pula akan menerima enjin tanpa induksi paksaan 2.0 liter berkuasa 150 PS/193 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik memacu roda hadapan. Jika spesifikasi yang sama dijual pada pasaran Malaysia, CH-R adalah 8 PS/21 Nm lebih berkuasa dari Honda HR-V 1.8, tetapi 6 PS/11 Nm kurang dari MAzda CX-3 2.0. Varian hibrid yang menyadur terus unit janakuasa dari Prius turut bakal ditawarkan.

    Untuk varian tertinggi, CH-R dilengkapi dengan sistem pra-pelanggaran Toyota Safety Sense dilengkapi dengan sistem brek automatik, kawalan kelajuan adaptif dan amaran keluar laluan dengan kawalan stereng. Ia juga menerima lampu tinggi automatik, kamera undur,tempat duduk dengan pemanas, sistem kunci automatik, sistem audio JBL 576 watt sembilan pembesar suara, roda aloi 18 inci serta cat metalik dua ton.

    Dengan pasaran SUV segmen-B yang nampaknya mendapat sambutan sangat menggalakkan di Malaysia seperti yang boleh dilihat bagaimana prestasi jualan Honda HR-V, UMW Toyota pastinya sudah tidak sabar untuk menjual model ini memandangkan ciri yang ditawarkan oleh CH-R ini jelas bakal menggugat dominasi HR-V.

     
     
  • Penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu termasuk di lampu isyarat tidak dibenarkan – PDRM

    it-can-wait

    Pemandu dan penunggang motosikal diingatkan supaya tidak menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu/menunggang kerana ia adalah melanggar undang-undang jalan raya, dan polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seandainya kesalahan tersebut dikesan. Mesej tersebut adalah dari Pengarah Jabatan Siasatan Trafik Persekutuan dan Penguatkuasaan SAC Datuk Mahamad Akhir Darus, laporan The Sun.

    “Pengguna jalan raya yang dikesan memegang telefon bimbit sewaktu memandu/menunggang akan dikenakan saman. Tidak seperti kes jenayah lain yang memerlukan bukti untuk disabit kesalahan, ini adalah saman kompaun dan terpulang kepada pesalah untuk membuktikan sama ada diri mereka bersalah atau tidak,” ujar Mahamad.

    Beliau turut berkata, menggunakan telefon bimbit ketika memandu/menunggang boleh menyebabkan fokus terganggu, dan dalam sekelip mata juga boleh mengakibatkan insiden yang tidak diingini. Ini termasuklah memegang telefon bimbit sementara menunggu lampu isyarat atau pun ketika tersekat dalam kesesakan lalu lintas.

    “Tiada sebab pengguna jalan raya memegang telefon bimbit sedangkan dalam masa yang sama mereka harus memegang stereng dan fokus pada pemanduan. Apabila kereta sedang bergerak, pemandu seharusnya memandang ke cermin hadapan dan bukannya melihat skrin telefon bimbit,” ujarnya lagi.

    Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia adalah disebabkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu. Liow berkata pihaknya akan meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menjalankan kajian bagi membuktikan ia satu perkara serius yang perlu diberi perhatian oleh pengguna jalan raya di negara ini

     
     
  • Nissan GT-R Drone – 0-100 km/h hanya 1.3 saat

    Oleh kerana Nissan GT-R 2017 terlalu pantas, Nissan menghadapi satu masalah – tiada dron biasa yang boleh mengejarnya. Oleh itu, Nissan telah membina dron khas yang digelar GT-R Drone, yang merupakan antara dron perlumbaan first-person view (FPV) terpantas di dunia.

    Dron yang dibina dengan hanya 0.7 kg berkenaan mampu untuk memecut dari 0-100 km/h dalam masa hanya 1.3 saat. Ia dijana dengan empat motor elektrik Xnova berkuasa 2000 kV dan menggunakan kerangka spesifikasi perlumbaan Sky-Hero quadcopter. Dron tersebut direka oleh Juara Dunia Drone Prix, Tornado XBlades Racing.

    Dron ini diuji oleh Nissan dengan cuba untuk mengejar Nissan GT-R yang dijana oleh enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar berkuasa 565 hp/633 Nm, di litar yang dikenali di seluruh dunia – Silverstone, UK.

    nissan_gtr_drone-1-e1467016104816-850x445_BM

    GT-R baharu tersebut bukan sahaja berupaya menjana lebih kuasa dari sebelum ini, ia juga menerima tingkat taraf pada aspek aerodinamik dan juga pengendalian. Keseluruhan badan GT-R kini telah diperkukuhkan serta menerima talaan suspensi yang lebih baik.

    Nissan GT-R yang diuji berkenaan dipandu oleh pemandu Nissan Nismo Ricardo Sanchez, manakala ia dikejar oleh GT-R Drone yang diterbangkan menggunakan gogal FPV dan alat kawalan jauh oleh Juara Nasional Perlumbaan Dron British 2015 James Bowles. Dalam perlumbaan tersebut, GT-R Drone nyata lebih pantas ketika memecut berbanding Nissan GT-R. Walau bagaimanapun, GT-R Drone hanya mampu untuk memncapai kelajuan maksima 185 km/j, manakala Nissan GT-R berkemampuan untuk mencapai kelajuan maksima 315 km/j. Siapa yang akan menang? Anda perlu menonton sendiri video di atas.

     
     
  • KTM Komuter sediakan enam tren tambahan pada 1-10 Julai untuk laluan Butterworth – Padang Besar

    ktm-komuter-2

    Sempena Hari Raya tahun ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengumumkan menambah enam tren komuter untuk beroperasi dari 1-10 Julai, lapor Bernama.

    Walau bagaimanapun tren-tren tersebut hanyalah untuk laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth sahaja. Menurut Pengurus Besar KTM Komuter Azsnidah Shah Shahari, tren-tren tambahan berkenaan akan mengurangkan waktu menunggu penumpang pada laluan tersebut dari dua jam ke hanya satu jam.

    “Pada hari biasa, kami menyediakan 14 tren untuk beroperasi dalam tiga laluan iaitu Butterworth-Padang Besar-Butterworth, Butterworth-Gurun-Butterworth, dan Butterworth-Kamunting-Butterworth, tetapi untuk Aidilfitri tahun ini, kami akan menyediakan enam tren tambahan untuk laluan Butterworth-Padang Besar-Butterworth,” kata beliau.

    “Penumpang pada hari biasa adalah sekitar 3,000 orang setiap hari, tetapi ia dijangka meningkat sekali ganda pada musim perayaan. Diharapkan dengan 20 tren yang akan beroperasi dari 1 – 10 Julai, pertambahan penumpang berkenaan mampu untuk ditangani,” tambah beliau.

     
     
  • Honda Malaysia akui inflator beg udara buatan Takata pecah dalam kemalangan yang membabitkan satu nyawa terkorban pada 26 Jun lalu

    Honda airbag

    Honda Malaysia telah mengesahkan inflator beg udara buatan Takata pada bahagian pemandu kereta Honda City yang terbabit dalam kemalangan di Kota Damansara pada 26 Julai 2016, didapati pecah. Malah kemalangan terbabit telah menyebabkan kematian pemandu City terbabit. Walau bagaimana pun, sehingga kini punca kematian tersebut belum dikenalpasti.

    Di mana kenderaan tersebut termasuk dalam senarai ‘panggil balik’ yang diumumkan oleh Honda Malaysia pada 21 Mei 2015 lalu, bagi menggantikan inflator Takata SDI pada beg udara hadapan pemandu.

    Menurut Honda, sejak tahun 2015, kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini telah dikesan sebagai salah satu unit yang perlu ditukar inflator beg udara Takata bahagian pemandu dan penumpang hadapan. Tiga notis pemberitahuan telah dihantar, dan syarikat tersebut mengesahkan bahawa menurut rekod-rekodnya penggantian bagi beg udara untuk kenderaan terbabit tidak pernah disempurnakan.

    Honda turut telah menghubungi wakil keluarga pemandu terbabit dalam usaha menyelesaikan kebimbangan mereka. Bagi menghormati pihak keluarga terbabit, Honda tidak akan memberikan sebarang maklumat peribadi mengenainya.

    Dalam masa yang sama, sekali lagi Honda Malaysia menyeru agar semua pemilik kenderaan Honda yang terbabit dengan penukaran inflator beg udara Takata ini supaya segera membawa kenderaan masing-masing ke pengedar yang bertauliah secepat yang mungkin. Pemilik kenderaan terbabit juga boleh menyemak status kenderaan masing-masing menerusi semakan VIN secara dalam talian atau pun menghubungi Honda Malaysia di talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Lotus catat keuntungan buat pertama kali selepas 68 tahun menerusi pelan pemulihan yang dirancang

    CEO Jean-Marc Gales (left) with Aslam Farikullah

    CEO Jean-Marc Gales (left) with Aslam Farikullah

    CEO Jean-Marc Gales (kiri) bersama Aslam Farikullah

    Lotus kini dilihat sudah pulih dan mampu untuk mencatat keuntungan dalam perniagaannya buat pertama kali selepas 68 tahun, setelah kerugian sehingga £168 juta (RM927 juta) dicatatkan tiga tahun lalu, menurut laporan Eastern Daily Press. Setelah menyertai Lotus sejak 2014, rancangan tiga-tahun yang dibuat oleh CEO Jean-Marc Gales kini nampaknya telah pun membuahkan hasil.

    “Kami mempunyai pelan pemulihan yang kini sedang berjalan dengan lancar – kami telah meningkatkan pendapatan kami – dan kami sedang merancang untuk menghasilkan lebih dari 2,000 unit kereta setiap tahun. Kami telah mengurangkan kos kami – perbelanjaan overhead telah turun 40% dalam masa dua tahun, jadi kami telah mencapai pengurangan overhead yang besar,” kata Gales, yang juga turut telah mengurangkan kakitangannya dari 1,200 kepada hanya 900 orang seluruh dunia.

    “Pelan berkenaan merupakan pelan selama tiga tahun – pada penghujung tahun kedua, aliran tunai kami sepatunya sudahpun boleh berdikari dan pada tahun kewangan ketiga yang bermula pada 1 April, kami sepatutnya sudah pun memperolehi keuntungan. Bahagian kereta selalunya dikongkong oleh bahagian perniagaan kejuruteraan – sekarang bahagian perniagaan kereta telahpun menghasilkan keuntungan, untuk pertama kali sejak syarikat ini ditubuhkan, dan itu adalah menakjubkan,” tambah beliau.

    Pelan tersebut dibuat berdasarkan perhatian yang diberikan kepada nilai teras perniagaan Lotus sendiri iaitu merintis pengeluaran kereta sport ringan dan menjadi kayu ukur terbaik dalam pengendalian. Pengedar di seluruh dunia juga telah diperbanyakkan, membolehkan lebih banyak kereta dapat dijual, dan Lotus juga kini sedang mensasarkan pasaran Amerika Syarikat dengan model tertinggi Evora 400 mereka.

    “Kami telah menaikkan jumlah jualan kami dalam pasaran – sasaran tahun ini ialah melebihi 2,000 unit dan kami mempunyai buku rekod tempahan, dengan 760 unit kereta telah ditempah, yang mana tidak pernah kami capai sebelum ini,” kata Gales, yang juga turut memuji kakitangan Lotus serta sokongan yang diberikan oleh pemilik Lotus dari Malaysia iaitu DRB Hicom.

     
     
  • PLUS keluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk 1 hingga 10 Julai sempena Aidilfitri ini

    toll plaza plus

    Sepertimana pada tahun-tahun lalu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Hari-Hari Puncak iaitu di antara 1 Julai hingga 10 Julai ini.

    TTA merupakan pendekatan PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat. Ia adalah berdasarkan kajian PLUS terhadap pola perjalanan orang ramai pada musim-musim perayaan yang lalu.

    PLUS menjangkakan sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan cuti perayaan Aidilfitri yang akan datang. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding 1.3 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

    Jadual di bawah ini berperanan mengelakkan orang ramai daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan menyumbang kepada kesesakan.

    TTA_Raya_2016_Final_for_WhatsApp_BM

    “Kami menasihatkan orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya ELITE pada Hari-Hari Puncak supaya mengikuti TTA. Berdasarkan kajian kami, apabila ramai yang mematuhi TTA untuk pulang ke kampung dan pulang semula ke kota selepas bercuti, semakin lancar perjalanan di lebuh raya,” ujar Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid.

    Sebelum ini, PLUS telah mengumumkan penawaran rebat tol sebanyak 30% pada 4, 8 dan 11 Julai ini. Ia ditawarkan sepanjang hari bagi pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol menggunakan sistem elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG) pada 4, 8 dan 11 Julai. Rebat ini diberikan untuk perjalanan jarak jauh (melebihi 100 kilometer) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya ELITE.

    Sebagai contoh, perjalanan dari Plaza Tol Sungai Besi hingga Plaza Tol Skudai membolehkan orang ramai menikmati penjimatan sebanyak RM12.39 dalam bentuk Tambah Nilai seperti berikut:

    Screen Shot 2016-06-27 at 4.56.18 PM

    Rebat tol tersebut boleh dituntut di semua Pusat Khidmat Pelanggan di lebuh raya PLUS bermula 15 Ogos hingga 14 November tahun ini.

    Selain itu, PLUS turut menyusun pelbagai pendekatan dalam memantapkan operasi dan tahap perkhidmatan pada musim perayaan yang akan datang.

    “Di antara langkah-langkah yang akan diambil adalah menugaskan lebih ramai kakitangan di lebuh raya dan pusat kawalan trafik (TMC), menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, menempatkan pasukan-pasukan bantuan kecemasan di lokasi-lokasi strategik, pertambahan kawasan meletak kenderaan dan pembukaan tandas bergerak sementara di kawasan-kawasan rehat utama, menyediakan trak-trak tunda tambahan di lokasi terpilih, menempatkan lebih daripada 2,300 kakitangan di plaza-plaza tol, pemantauan trafik dari udara dan lain-lain lagi,” tambah Noorizah.

    Sambungnya lagi, “PLUS juga akan membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk melancarkan trafik di laluan-laluan tersebut. Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan kontra tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak polis,” jelas Noorizah.

     
     
  • MEX beri laluan tol percuma pada 6 Julai ini

    MEX-Highway-01

    Maju Expressway Sdn Bhd telah mengumumkan pemberian laluan tol percuma di Lebuhraya MEX mulai 12 pagi hingga 11.59 malam pada 6 Julai 2016 ini sempena Hari Raya Aidilfitri. Dianggarkan lebih 82,000 pengguna lebuhraya berkenaan bakal menikmati laluan tol percuma tersebut.

    Ini merupakan kali ke-enam MEX menganjurkan pemberian laluan tol percuma sejak diperkenalkan pada tahun 2010. Malah ia juga adalah salah satu tanggungjawab sosial oleh syarikat pengendali lebuhraya berkenaan kepada pengguna jalan raya.

    Sementara itu, MEX turut mengumumkan, untuk pengguna kelas 1, mereka boleh menebus rebat tol sebanyak 10% bagi transaksi tol sehingga 30 Jun ini. Rebat ini diberikan sempena pelaksanaan kaedah pembayaran tol secara elektronik (ETC) pada 13 Januari lalu. Ia boleh ditebus di pusat perkhidmatan pelanggan MEX pada waktu pejabat.

     
     
  • Had laju jalan persekutuan dan jalan negeri dikurangkan sempena sambutan Hari Raya

    traffic-jam-bernama-2

    Dengan meningkatnya jumlah kenderaan diatas jalan raya pada sambutan Hari Raya nanti yang turut akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan Ops Bersepadu akan dikuatkuasakan bermula 29 Jun hingga 13 Julai ini, lapor The Star.

    Menurut Liow lagi, sepanjang tempoh berkenaan juga, had laju pada jalan persekutuan akan dikurangkan dari 90 km/j kepada 80 km/j. Manakala untuk jalan negeri pula had laju akan dikurangkan kepada 70km/j sahaja.

    Beliau yang bercakap kepada media selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan Hari Raya di plaza tol Sungai Besi pagi tadi, mengingatkan pemandu dan penumpang untuk mengenakan tali pinggang keledar, mematuhi had laju serta tidak melakukan sebarang kesesalahan trafik untuk memastikan perjalanan yang selamat.

    Liow turut memberi amaran bahawa memandu di lorong kecemasan merupakan satu kesalahan.

     
     
  • Kereta klasik dikecualikan dari pengharaman kereta yang dibuat sebelum 1997 masuk ke bandar Paris

    CitroenLiveShots_061

    Pemilik kereta klasik di sekitar bandar Paris, Perancis kini tidak perlu risau lagi dengan undang-undang yang mengharamkan kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 daripada masuk ke kota raya berkenaan kerana undang-undang tersebut tidak termaktub kepada kereta klasik yang berusia lebih dari 30 tahun. Pengumuman berkenaan dibuat oleh The Federation Francaise des vehicules D’Epoque (FFVE) di laman web mereka minggu lalu setelah pihak berkuasa bandar Paris bersetuju untuk mengecualikan kereta klasik dari pengharaman berkenaan.

    Bandar Paris telah mengeluarkan larangan untuk kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 dan motosikal yang dibuat sebelum tahun 1999 untuk memasuki bandar tersebut dari hari Isnin hingga Jumaat berkuatkuasa 1 Julai ini dalam usaha untuk mengurangkan pencemaran dalam bandar semasa minggu bekerja. Larangan tersebut diumumkan menerusi Datuk Bandar Paris dan Groupement des autorités responsables de transport (GART) yang mewakili pihak berkuasa tempatan dengan kerjasama Kementerian Persekitaran Perancis.

    Undang-undang berkenaan memerlukan kenderaan yang masuk ke bandar Paris mendapatkan salah satu dari enam pelekat kelas (yang menunujukkan tahap pencemaran kereta tersebut) yang dikeluarkan, manakala kenderaan yang diklasifikasikan sebagai dilarang masuk tidak akan memperolehi apa-apa pelekat.

    Arnout Everts bags Asia Klasika 2015 Best in Show trophy for his 1952 Citroen 2CV AU

    Menurut undang-undang berkenaan, semua kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 tidak dibenarkan untuk masuk ke bandar Paris bermula 8 pagi hingga 8 malam pada hari bekerja, tidak termasuk cuti umum. Pelekat “Kelas Pertama” akan diberikan kepada kereta berkuasa hidrogen dan elektrik yang membenarkan mereka bebas untuk masuk ke bandar pada bila-bila masa.

    Dengan pengecualian yang diberikan kepada pemilik kereta klasik ini, mereka akan diberikan pelekat a carte gris de collection dan perlu ditampal pada cermin hadapan, bagi membolehkan mereka bebas masuk ke bandar pada bila-bila masa. Permohonan untuk pelekat berkenaan perlu dibuat di dewan bandaraya Paris dengan membawa bukti pemilikan dan pendaftaran kereta klasik berkenaan.

    FFVE bersama penaung organisasi untuk kereta klasik, Fédération Internationale des Véhicules Anciens (FIVA) menyokong sepenuhnya bandaraya di dunia untuk mengiktiraf kereta klasik sebagai artifak sejarah dan kebudayaan. Timbalan presiden FIVA untuk hubungan luar Gautam Sen berkata, beliau berharap model yang ditunjukkan Paris akan dijadikan contoh untuk meyakinkan bandaraya lain yang turut mengharamkan kemasukan kereta lama supaya membuat pengecualian terhadap kereta yang bersejarah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 24, 2025