Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Polis akan gunakan Facebook untuk menahan pemandu yang menyalahguna lorong kecemasan

    traffic-jam-bernama-2

    Sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menggunakan video bukti yang disiarkan di Facebook untuk mengeluarkan notis kepada 91 pemilik kenderaan yang dilihat menggunakan laluan kecemasan lebuhraya PLUS di Melaka pada 22 Mei lalu. Kenderaan-kenderaan tersebut menghalang laluan ambulan daripada sampai ke tempat kemalangan pada waktu yang sepatutnya.

    “Semua pemilik kenderaan yang terlibat diberi tempoh 14 hari untuk tampil ke pejabat JPJ dan disiasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti pemandunya,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancang dan Operasi) JPJ Datuk Yusoff Ayob semalam. JPJ juga meminta orang ramai untuk merakam gambar penyalahguna lorong kecemasan dan menghantarnya kepada [email protected]

    Hari ini The Star pula melaporkan polis mungkin akan memanggil pengguna jalan raya yang menyalahgunakan lorong kecemasan untuk membantu siasatan, termasuk pemilik kenderaan yang kenderaan mereka dirakam lengkap dengan nombor pendaftaran dan dimuat naik ke laman Facebook, menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

    Mereka yang didapati bersalah akan berhadapan dengan saman maksima RM300, tiada diskaun akan diberikan, kata Timbalan Ketua Polis berkenaan dalam satu sidang akhbar di Terengganu semalam. Beliau menambah adalah menjadi kesalahan jika kenderaan persendirian menggunakan lorong kecemasan kerana ia akan menghalang pasukan kecemasan untuk tiba ke tempat kejadian secepat mungkin, dan aktiviti tersebut perlu dihentikan segera.

    Dalam insiden 22 Mei lalu, seorang penunggang motosikal telah melanggar sebuah kereta yang diletakkan di lorong kecemasan KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara-Selatan pada pukul 4.30 petang. Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya menyebabkan sebuah lori berpusing kerana mengelak dari melanggar penunggang tersebut. Pasukan kecemasan pertama sepatutnya tiba ke tempat kejadian dalam masa 20 minit tetapi hanya tiba sejam selepas itu akibat kesesakan trafik termasuk dilorong kecemasan.

     
     
  • Touchpoint saluran maklumat mengenai MRT

    13319919_1156846861013380_3238510399304156831_n

    Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah melancarkan touchpoint baharunya di Seri Kembangan sebagai hab untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai mengenai projek MRT Lembah Klang, laporan Bernama.

    Touchpoint
    merupakan dua Pusat Informasi MRT (MIC), sebuah Kiosk Informasi MRT (MIK) dan Trak Informasi MRT (MIT).

    Menurut Pengarah Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) Datuk Amiruddin Ma’aris, touchpoint itu ditubuhkan untuk membolehkan MRT Corp melibatkan dan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai Projek MRT Lembah Klang terutama Laluan SSP.

    “Tiga jenis touchpoint ini ditubuhkan dengan satu tujuan iaitu sebagai saluran untuk orang ramai mendapat maklumat mengenai projek MRT,” katanya kepada pihak media dalam majlis pelancaran Touchpoint MRT di Pusat Informasi MRT: The Atmosphere semalam.

    13321691_1156846867680046_1591603370073489593_n

    Ketiga-tiga touchpoint akan mempunyai papan kenyataan dengan butiran mengenai projek seperti penjajaran, lokasi stesen, faedah MRT dan aplikasi interaktif “Hawkeye” yang memaparkan pandangan udara 360 darjah mengenai keseluruhan jajaran.

    Beliau juga berkata sebelum ini, touchpoint yang berpusat di Damansara Utama turut digunakan sebagai saluran untuk orang ramai mendapat maklumat mengenai laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan justeru, MRT memperkenalkan semula Laluan SSP sebagai fokus utama.

    Fasa pertama SBK dari Sungai Buloh ke Semantan akan beroperasi menjelang Disember tahun ini manakala fasa kedua dari Semantan ke Kajang akan beroperasi menjelang Julai 2017.

    Fasa satu SPP dari stesen Sungai Buloh ke stesen Kampung Batu akan beroperasi menjelang Julai 2021 dan keseluruhan laluan akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2022.

     
     
  • Beg udara Takata – terkini lapan pengeluar kereta panggil balik lebih 12 juta kenderaan di USA

    airbag

    Menurut laporan Reuters, sebanyak lapan pengeluar kenderaan di Amerika Syarikat (USA) akan memanggil 12 juta lagi kenderaan disebabkan masalah pengepam beg udara buatan Takata. Kempen panggilan balik baharu ini melibatkan pengepam beg udara bahagian sisi penumpang, setelah sebelum ini beberapa siri kempen yang sama bagi pengepam bahagian hadapan.

    Sebelum ini Takata telah mengakui sebanyak 14 juta pengepam beg udara yang terlibat dalam masa pertama bagi panggilan balik yang terkini dan 12 juta kenderaan telah terlibat. Di USA sendiri, Honda telah memanggil balik 4.5 juta unit kenderaannya, Fiat Chrysler dengan 4.3 juta, Toyota dengan 1.65 juta dan Subaru pula dengan 400,000. Malah Saab 9-2X dan Pontiac Vibe bagi buatan Toyota dan Subaru untuk General Motors turut terlibat.

    Pengeluar kenderaan lain yang terlibat termasuklah Mazda dengan 730,000 unit, Nissan dengan 400,000 unit dan Mitsubishi dengan 38,000 unit. Waima pengeluar kenderaan kelas tertinggi termasuk Ferrari juga terlibat dengan 2,800 unit di USA.

    SRS-Airbag

    Setakat ini, Takata dan pengeluar kenderaan lain belum mengemukakan laporan mengenai model yang terlibat dalam panggilan balik yang terkini ini. Di mana pengepam beg udara yang bermasalah ini diketahui boleh meletup dan mengeluarkan besi tajam sekali gus membahayakan pemandu dan penumpang. Sekurang-kurangnya 13 kematian (termasuk di Malaysia) telah dicatatkan dan lebih 100 kecederaan di seluruh dunia dilaporkan terjadi akibat masalah beg udara ini.

    Malah beberapa pengeluar kenderaan di Malaysia turut pernah melakukan kempen panggilan balik ini. Jadi sekiranya ada mana-mana pengeluar kenderaan yang mengumumkan kempen sebegini, jika kenderaan milik anda terlibat, haruslah segera menghantar kenderaan anda ke pusat servis bertauliah untuk digantikan dengan komponen baharu.

     
     
  • Objek jatuh dan bangkai haiwan punca 1,178 kemalangan di lebuhraya PLUS pada tahun lalu

    PLUS_BM3

    PLUS Malaysia Berhad (Plus) berkata sepanjang tahun lalu, sebanyak 1,1788 kemalangan dilaporkan berlaku di lebuhraya kendaliannya yang disebabkan kenderaan terlanggar objek yang jatuh atau pun bangkai haiwan.

    Menurut Ketua Pegawai Operasi Plus, Mohammad Fuad Khusairi, sepanjang tempoh berkenaan, kira-kira 2,200 objek seperti serpihan tayar, kayu dan besi dikesan berada di atas lebuh raya, laporan The Malaymail.

    Selain itu, turut dijumpai ialah bangkai haiwan, komponen kenderaan, tilam, perabot dan sebagainya.

    Oleh kerana perkara ini membahayakan pengguna jalan raya, beliau turu berkata kira-kira 150 anggota pasukan PlusRonda ditugaskan untuk memantau dan melakukan rondaan di sepanjang lebuh raya.

    “Malah sekiranya mereka mengesan objek-objek terbabit, mereka akan mengutip dan mengalihkannya agar tidak membahayakan pengguna lebuhraya,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, sebahagian besar kemalangan berlaku kerana pengguna melanggar objek sejurus selepas ia terjatuh daripada kenderaan berat atau melanggar serpihan tayar kenderaan berat.

    Oleh itu, beliau turut menasihati operator kenderaan berat supaya sentiasa memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

    “Jika orang ramai menemui sebarang objek atau bangkai haiwan yang boleh mendatangkan masalah kepada pengguna lebuhraya, diminta segera menghubungi PLUS bagi membolehkan ia dialihkan dengan kadar segera,” ujarnya lagi.

     
     
  • Kempen Volvo V90 baharu tampil Zlatan Ibrahimovic

    Volvo-V90-x-Zlatan-Ibrahimovic-4-1-e1464583610836_BM

    Volvo Cars mendedahkan kempen baharu V90 untuk Eropah akan dilancarkan sebelum bermulanya kejohanan Euro 2016, yang dijadualkan akan disiarkan di media-media sosial bermula malam ini. Kempen tersebut menampilkan ikon bola sepak Sweden sendiri iaitu Zlatan Ibrahimovic.

    Bekas penyerang Paris Saint-Germain tersebut akan membintangi klip video yang menyorot kebangkitan beliau bermula dari peringkat bawah di kawasan kejiranan paling mencabar di Malmo, Sweden hingga ke persada sukan antarabangsa. Nama Zlatan juga telah dicatatkan di dalam kamus bahasa Sweden yang bermaksud “untuk mendominasi”, sebagai salah satu langkah untuk menghormati dan memperingati jasa beliau.

    Ini bukanlah kerjasama pertama antara Volvo Cars dan Zlatan. Pada tahun 2014, penjaring gol terbanyak untuk Sweden tersebut turut membintangi video kempen untuk mempromosikan Volvo XC70. Klip video tersebut menyaksikan Zlatan terjun ke tasik ais dan berburu di kawasan pendalaman di Sweden, yang membayangkan Volvo sememangnya dibina untuk mengharungi situasi mencabar sedemikian di tempat asalnya.

    “Saya gembira bekerja dengan Volvo Cars sekali lagi. Saya nampak banyak kereta baharu, saya sudahpun memandu dan menguji kesemuanya. Dan saya rasa semuanya hebat. Sama seperti saya, Volvo telah mengharungi jalan mereka sendiri dan berani untuk berfikir dengan cara yang berlainan. Kempen sebelum ini yang kami lakukan adalah bagus, tetapi kali ini adalah ‘Dibuat oleh Zlatan‘,” kata Ibrahimovic.

    “Kempen ini merupakan sambutan untuk minda yang bebas, dari kuasa yang menghalang kebolehan untuk berfikir dengan cara yang berlainan. Banyak persamaan antara perjalanan Zlatan dan Volvo. Kami tidak akan mencapai apa yang kami ada sekarang jika kami berfikir sama dengan orang lain,” kata Anders Gustafsson, naib presiden senior (Eropah, Timur Tengah dan Afrika) di Volvo Car Group.

    Untuk kempen kali ini Zlatan akan mempromosikan Volvo V90, versi wagon Volvo S90. Model tersebut dibina berasaskan platform Scalable Product Architecture (SPA) Volvo yang turut digunakan untuk membina Volvo XC90. V90 menampilkan unit janakuasa T8 Twin Engine petrol plug-in hybrid dan turut dilengkapi dengan ciri pemanduan semi-automatik.

    Kempen V90 baharu ini akan disiarkan pada 8.15 malam waktu Eropah tengah (CET), bersamaan 3.15 pagi Selasa (31 Mei 2016) di Malaysia. Selain Zlatan, kempen terbaharu tersebut turut akan menampilkan Hans Zimmer, komposer yang dikenali serata dunia kerana menghasilkan runut-runut bunyi yang memenangi Anugerah Academy untuk filem-filem seperti Gladiators, Pirates of Carribean, Inception dan Rush.

    GALERI: Volvo V90

     
     
  • Subaru Levorg STI Sport diperkenal – menerima pakej kosmetik dan pengendalian yang dipertingkatkan

    Subaru-Levorg-STI-Sport-05_BM

    Subaru secara rasminya telah memperkenalkan Subaru Levorg STI Sport. Walaupun ia diberikan lencana ‘STI’, wagon ini hanya diberikan talaan semula pada bahagian suspensi dan menerima kit-kit kosmetik menampilkan imej yang lebih sporty.

    Rombakan pada bahagian suspensi melibatkan pemadanan penyerap hentak Bilstein DampMatic II pada bahagian hadapan, bersama spring yang dipertingkatkan dan talaan keseluruhan sepenuhnya dilakukan pada bahagian suspensi tersebut. Levorg STI Sport menerima bampar hadapan baharu yang lebih tajam, rekaan gril hadapan yang berlainan serta set roda aloi baharu berdiameter 18-inci.

    Keseluruhan badan Levorg STI Sport menerima semburan warna khas WR Blue Pearl. Pada bahagian dalaman pula, wagon ini menerima upholstery balutan berwarna Bordeux Red bersama kemasan-kemasan berwarna hitam. Juga di tampilkan perincian berupa lencana-lencana STI yang boleh dijumpai pada perehat kepala tempat duduk, roda stereng dan juga plat bendul sisi.

    Tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin. Levorg STI Sport masih lagi dikuasakan dengan dua pilihan enjin sama ada enjin boxer 1.6 liter turbo berkuasa 168 hp atau enjin boxer 2.0 liter turbo 298 hp. Kedua-dua pilihan enjin tersebut dipadankan dengan transmisi CVT automatik dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive.

    Subaru Levorg bakal dilancarkan di Malaysia pada pertengahan tahun ini. Dijangkakan, tiada pilihan enjin 2.0 liter untuk pasaran Malaysia di mana pelanggan disini hanya menerima enjin boxer 1.6 liter turbo dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 168 hp/250 Nm dan dipadankan dengan kotak gear CVT Lineartronic Subaru.

     
     
  • Volkswagen Polo GT sedan diperkenalkan di Rusia

    Volkswagen-Polo-GT-13

    Volkswagen Polo sedan telah pun diperkenalkan seara eksklusif di Rusia. Dikenali sebagai Polo GT, model ini menerima enjin yang berbeza dan beberapa elemen yang berlainan, malahan nampak lebih sporty, menurut Cars.ru.

    Polo GT ini dilengkapi dengan enjin 1.4 liter pengecas turbo TSI yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 125 hp. Enjin ini dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan sebagai standard, serta pilihan dua-klac DSG tujuh-kelajuan.

    Di bahagian luarannya, model GT didatangkan dengan gril hadapan sarang lebah dan corong udara plastik, bersama bumbung dan cermin hitam berkilat. Selain itu, ia turut menampilkan spoiler pada boot lid, paip ekzos berkembar krom dan roda 16-inci.

    Manakala di bahagian dalamnya pula, ia menampilkan ambang sisi dengan logo GT, roda stereng sport yang leper di bawah dengan balutan kulit, tempat duduk upholstery bercorak petak dan pedal aluminium. Malah ia juga turut didatangkan dengan kawalan suhu, tingkap berkuasa untuk semua pintu dan tempat duduk dengan haba panas sebagai elemen standard.

    Malah turut dikhabarkan, 300 pembeli pertama bakal ditawarkan dengan unit pilihan putih atau pun perak dengan jaluran hitam dan merah pada hud dan boot lid sebagai hadiah percuma.

     
     
  • Lebih banyak laluan basikal diperlukan di KL

    Kuala Lumpur Bicycle Path

    Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, pembinaan laluan basikal perlu diperbanyakkan di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di stesen pengangkutan awam, lapor The Sun Daily. Menurut beliau langkah tersebut akan menggalakkan penggunaan basikal sebagai pengangkutan alternatif.

    Ia juga akan mengurangkan kesesakan trafik dan pencemaran udara di ibu kota berkenaan. “jika lebih banyak laluan basikal dibina, ia akan memudahkan warga kota ke tempat kerja dengan berbasikal ke stesen bas dan LRT. Ia juga akan mewujudkan gaya hidup yang sihat kerana berbasikal boleh meningkatkan kecerdasan badan dan minda seseorang,” kata Ahmad Fauzi.

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan akan membelanjakan sejumlah RM5 juta untuk menambah bilangan laluan basikal di ibu kota berkenaan pada Ogos tahun lalu. Penambahan tersebut termasuk lagi dua laluan basikal dari Wangsa Maju ke Taman Melati sejauh empat kilometer dan penambahan lagi dua kilometer dari Wangsa Maju ke Taman Batu Muda.

    Turut dilaporkan pelan asal projek tersebut turut melibatkan pemanjangan jaringan laluan basikal di Cheras dan Wangsa Maju. Langkah untuk mempromosi budaya berbasikal di kalangan rakyat Malaysia turut termasuk kempen ‘Kuala Lumpur Car-free Morning’ yang dianjurkan DBKL bermula awal tahun ini. Pada Ahad pertama dan ketiga setiap bulan, dari 7.30 hingga 9.30, beberapa batang jalan akan ditutup untuk kenderaan bermotor dan hanya dibuka untuk mereka yang berbasikal.

     
     
  • Honda S660 Mugen RA didedahkan – terhad 660 unit

    Mugen-Honda-S660-RA-3

    Jika ia diperkenalkan dalam bentuk protaip pada Tokyo Auto Salon 2016 Januari lalu, kini ia telah pun ditampilkan sebagai model produksi.

    Tidak seperti S660 edisi Mugen, RA ini kelihatan lebih agresif jika dilihat dari sudut penampilannya, Bahagian luarannya dipertingkatkan termasuk menampilkan gril gentian karbon, logo ‘Mugen RA’, ekzos paip-berkembar sport dan roda aluminium yang lebih ringan dari BBS.

    Ditampilkan dengan rim bersaiz 15-inci untuk hadapan dan 16-inci di belakang yang dibaluti tayar Yokohama Advan Neova AD08R 165/55R15 (hadapan) dan 195/45R16 (belakang). Casisnya juga dipertingkatkan termasuk suspensi yang ditala semula dan menampilkan peredam boleh laras Bilstein.

    Di dalamnya, S660 Mugen RA ini ditampilkan dengan tempat duduk kulit berwarna merah, roda stereng balutan kulit baharu, jahitan kontras, butang penghidup enjin ‘Mugen’, panel instrumen ‘Mugen’, siri plat nombor dan kekemasan gentian karbon. Tombol gear gentian karbon turut ditampilkan bagi varian manual, sementara versi CVT pula menerima pedal penukar gear balutan kulit.

    Jika anda mengharapkan ledakan kuasa yang lebih mengagumkan, tiada. Menurut peraturan bagi kelas kei car di Jepun, enjinnya terhad pada 660 cc dengan kuasa tidak melebih 64 PS, dan S660 Mugen RA ini tiada perubahan, masih mengekalkan S07A 660 cc, enjin tiga-silinder pengecas turbo DOHC – 64 hp dan 104 Nm.

    Harga yang ditawarkan ialah 2,890,000 yen (RM107,002). Dan hanya ada 660 unit sahaja Honda S660 Mugen RA sahaja yang diproduksikan. Dan ia hanya eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja, dan dijangkakan mula dijual pada 3 Oktober ini.

     
     
  • JPJ tangkap sembilan orang Ulat Parkir di KL, Shah Alam dan akan didakwa atas kesalahan memeras ugut

    Public-Parking-Lots

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menangkap sembilan orang Ulat Parkir di tempat berasingan pada operasi khas yang dijalankan Sabtu lalu, lapor Bernama.

    Operasi bersepadu yang turut disertai oleh pihak polis, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen tersebut dijalankan di lapan lokasi sekitar Bandaraya Kuala Lumpur dan satu lagi di Shah Alam. Kawasan bandar yang terlibat termasuk Kampung Baru, Jalan Medan Tuanku, Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1 dan Jalan Ampang. Operasi yang dijalankan di Shah Alam adalah di kawasan Uptown Seksyen 24.

    Tiga suspek yang ditangkap didapati positif dadah, manakala seorang suspek lain adalah warganegara Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, kata Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan. Mereka yang ditangkap berumur antara 28 hingga 53 tahun.

    Beliau dilaporkan turut berkata risikan dijalankan JPJ selama tiga hari dan aduan orang ramai itu mendapati mereka (ulat parkir) mengenakan bayaran parkir haram bermula RM5 hingga RM15 di kawasan terlibat. Kesemua suspek diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan direman selama tiga hari.

    “Kesemua mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam dan Jalan Duta pada Isnin ini,” kata beliau.

    Tambah beliau kes disiasat di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak bayaran daripada mana-mana orang berkenaan penjagaan kenderaan bermotor.

    Sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

     
     
  • VW Beetle 2016 dipertingkatkan – kekemasan R-Line

    2016-VW-Beetle-03

    Volkswagen Beetle dan Beetle Cabriolet telah pun menerima peningkatan kecil. Model Bug ini telah diberikan pilihan lebih individual, Denim baharu dan varian Beetle Exclusive dengan kekemasan yang lebih bersesuaian. Walau bagaimana pun tiada perubahan pada bahagian enjin, masih menawarkan tiga enjin petrol dan dua diesel, 105 PS hingga 220 PS.

    Juga ditawarkan dengan pilihan warna baharu termasuk Bottle Green Metallic dan White Silver Metallic. Bagi barisan Basic dan Design, bamparnya telah direka semula dan kini lebih sporty. Bagi barisan elemen R-Line (atau sebelum ini dikenali sebagai Beetle Sport) ia turut menerima bampar baharu termasuk corong tambahan di atasnya.

    Selain itu, ia turut menampilkan lampu belakang LED, roda “Philadelphia” 17-inci dan “Ravenna Adamantium” 18-inci, yang merupakan pilihan bagi Design Line dan R-Line.

    2016-VW-Beetle-01

    Di dalamnya, pencahayaan pada panel instrumen juga lebih terang, didatangkan dengan dail baharu dan pengayaaan terkini pada pad pemuka untuk Design Line dan R-Line. VW juga menampilkan tiga material baharu upholstery dan pakej gaya kontemporari untuk pilihan secara personal. Turut ditawarkan ialah “Black Style Package” dengan kekemasan hitam pada roda, perumah cermin dan bumbung.

    Manakala pakej pilihan R-Line pula menampilkan logo R-Line pada panel ambang dan perehat kepala serta roda stereng sport R-Line. Malah pembeli juga boleh menempah fabrik “Kyalami” atau kulit “Vienna” bagi tempat duduk.

    Model istimewa turut diumumkan termasuk Beetle Denim yang hadir dengan unit terhad untuk pasaran Amerika Syarikat. Bahagian dalamannya dibaluti jeans, warna luaran “Stonewashed Blue Metallic” dan roda “Circle” 17-inci dan “Dark Graphite” bersama set perumah krom. Manakala model istimewa “Allstar” bakal tiba hujung tahun ini.

    Beetle Exclusive juga ditampilkan dalam barisan keluarga baharu Beetle ini. Ia berasaskan elemen Design dan R-Line, dan diberi penambahan aloi dengan gaya “Twister”, pad pemuka berwarna hitam dan ambang panel aluminium dengan perkataan “Volkswagen Exclusive”, kekemasan tempat duduk kulit “Nappa” dan “Cool”.

    Model-model Beetle yang dipertingkatkan ini boleh didapati di pasaran Eropah. R-Line tampil dengan enjin berkuasa 220 PS dan boleh ditempah mulai pertengahan Jun ini.



    GALERI: Volkswagen Beetle Convertible Denim

     
     
  • Renault Clio RS 16 didedahkan -275 hp, 360 Nm

    Renault-Clio-RS-16-12_BM

    Seperti yang diumumkan minggu lalu, Renault mendedahkan Clio RS paling ‘gila’ pernah dihasilkan pada Grand Prix Monaco hujung minggu lalu iaitu model konsep Renault Clio RS 16. Kereta konsep ini dibina sempena ulang tahun ke-40 Renault Sport dan kembalinya Renault ke kancah Formula 1 sebagai pasukan penuh.

    Apa yang membuatkan pocket-rocket ini lebih gila dari versi standard? Berbanding Clio RS 200 EDC dan Clio RS 220 Trophy yang menggunakan enjin 1.6 liter turbo, perut RS 16 ini disumbatkan dengan enjin 2.0 liter turbo yang diambil terus dari Renault Megane RS 275 Trophy-R

    Cabaran terbesar yang dihadapi pasukan jurutera RS 16 ini adalah bagaimana untuk memuatkan enjin, transmisi dan sistem penyejukkan yang lebih besar dari Megane terpantas dalam barisannya ke ruang enjin Clio yang lebih kecil. Walau bagaimanapun, usaha mereka berhasil dengan jayanya dan projek tersebut mengambil masa selama lima bulan.

    Dengan enjin yang jauh lebih berkuasa, bahagian lain turut dipertingkat bagi memastikan Clio ini mampu untuk menampung tambahan kuasa tersebut. Perubahan yang dilakukan termasuk melebarkan lagi badan kereta ini dengan 60 mm tambahan dan disesuaikan dengan roda aloi berdiameter 19-inci. Sistem ekzos juga dipertingkatkan dengan pemadanan sistem ekzos berkembar lengkap dari Akrapovic. Bahagian lain yang turut disentuh semula termasuk talaan pada sistem suspensi dan juga sistem penyejukkan.

    Bahagian luaran menyaksikan lampu kabus LED RS Vision dengan motif ‘chequered-flag‘ pada setiap sisi bampar yang menampilkan teknologi multi-faceted reflector ekslusif. Keseluruhan badan kereta ini diberikan warna signatur RS iaitu Sirius Yellow dan digabungkan dengan perincian hitam kilat pada cermin sisi, bumbung dan bahagian bawah spoiler belakang, mencerminkan imej kereta F1 RS 16 pasukan Formula Satu Renault Sport.

     
     
  • Nissan GT-R Nismo 2017 diperkenalkan – talaan pada sistem pengendalian, gaya keseluruhan dipertingkat

    160527-02-02-1200x800-e1464347569262_BM

    Setelah versi standard Nissan GT-R facelift 2017 diperkenalkan di New York International Auto Show (NYIAS) 2016 hujung Mac lalu, kini penala rasmi Nissan iaitu Nismo memperkenalkan pula Godzilla baharu versi mereka. Nissan GT-R Nismo facelift 2017 ini diberikan sedikit peningkatan pada sistem suspensi untuk pengedalian lebih jitu dan sentuhan semula pada rekaan bahagian luaran dan dalaman bagi memberi imej sebuah model dari Nismo.

    Pada bahagian hadapan, jentera sport ini menerima gril berbentuk V-motion yang lebih besar dan membolehkan lebih banyak udara masuk ke bahagian ruang enjin tanpa mengorbankan prestasi aerodinamiknya. Liang sirip pada sisi bampar baharu turut meningkatkan downforce dan menghalakan angin ke ruang roda bagi meningkatkan lagi tahap aerodinamiknya. Sepasang tip ekzos berkembar yang berbentuk empat segi menggantikan tip ekzos berbentuk oval sebelum ini. Keseluruhan pakej aerodinamik tersebut memberikan daya downforce paling tinggi pada sebuah kereta buatan Nissan setakat ini.

    Model talaan Nismo ini menerima rombakan sepenuhnya pada bahagian dalaman. Berbanding GT-R standard yang menampilkan tema yang lebih mewah dan premium, model Nismo ini menampilkan rekaan yang berasaskan dari mana ia bermula iaitu litar lumba. Papan pemuka, roda stereng, perehat tangan tengah kesemuanya telah menerima balutan Alcantara untuk memberikan imej sebuah kereta lumba sebenar. Tempat duduk Recaro yang dibalut dengan kulit diambil terus dari Nismo GT-R terdahulu.

    Sistem infotainmen baharu dengan skrin sesentuh lapan-inci bersepadu dengan sistem navigasi. Butang kawalan audio yang sebelum ini berjumlah 27 unit dikurangkan kepada hanya 11 unit. Suis kawalan Display Command yang dilengkapkan pada konsol terowong transmisi gentian karbon membolehkan kawalan untuk sistem infotaimen menjadi lebih mudah.

    GT-R facelift standard sememangnya mempunyai kerangka asas yang telah diperteguhkan. Untuk model ini, jurutera Nismo telah menala semula penyerap hentak, spring, dan bar anti-oleng membolehkan pengendalian 2% lebih baik pada ujian masa laluan slalom dan prestasi meredah selekoh berbanding model sebelum ini. GT-R Nismo 2017 turut menerima sistem suspensi Damptronic dari Bilstein seperti model sebelum ini bagi membolehkan kuasa dari enjin disalurkan sepenuhnya ke permukaan jalan.

    Tiada perubahan dilakukan pada bahagian enjin. GT-R talaan Nismo ini masih menggunakan enjin VR38DETT V6 3.8 liter dengan dua unit pengecas turbo berdiameter besar spesifikasi GT3 high flow. Enjin tersebut berupaya menghasilkan kuasa 600 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 652 Nm bermula 3,600 hingga 5,600 rpm, dialirkan ke kesemua roda melalui sistem pacuan semua roda Attesa ETS-Pro dan kotak gear klac berkembar enam-kelajuan.

     
     
  • JPJ panggil 91 pemilik kenderaan yang guna lorong kecemasan dalam insiden di Melaka minggu lalu

    traffic-jam-bernama-2

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ telah mengeluarkan 91 notis temu siasat kepada pemilik kenderaan yang didapati menggunakan lorong kecemasan di KM228 Lebuhraya PLUS, di Melaka, Ahad lepas sehingga menghalang laluan ambulans, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancang dan Operasi) JPJ, Datuk Yusoff Ayob, notis itu dikeluarkan JPJ Melaka pada minggu lepas setelah selesai siasatan terhadap rakaman video orang awam mengenai kejadian berkenaan.

    “Semua pemilik kenderaan yang terlibat diberi tempoh 14 hari untuk tampil ke pejabat JPJ dan disiasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti pemandunya,” katanya.

    Yusoff berkata pemilik kenderaan terbabit perlu tampil bagi proses mengenal pasti siapa yang memandu kenderaan berkenaan ketika kejadian, untuk tindakan selanjutnya.

    “Kami menghantar notis ke alamat pemilik yang didaftarkan melalui nombor pendaftaran kenderaan yang kita peroleh daripada rakaman video pada waktu kejadian,” katanya.

    “Sekiranya mereka tidak terlibat dengan perbuatan itu, mereka perlu membuat laporan polis untuk disiasat,” katanya sambil menjelaskan kemungkinan nombor pendaftaran itu palsu.

    Dalam insiden tersebut, seorang penunggang motosikal melanggar sebuah kereta yang diletakkan di laluan kecemasan KM228 (menghala ke selatan) Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 4.30 petang.

    Penunggang tersebut tercampak ke bahagian tengah lebuhraya, dan sebuah lori berpusing setelah mengelak penunggang tersebut. Pasukan perubatan kecemasan pertama yang sepatutnya sampai ke tempat kejadian dalam masa 20 minit, tetapi terpaksa mengambil masa hampir sejam kerana halangan trafik tersebut.

     
     
  • Tayar celup tinggi risiko dan boleh disaman – polis

    tyre wm

    Antara faktor kemalangan jalan raya ialah penggunaan tayar celup yang sememangnya berisiko tinggi kerana sukar bertahan lama dan mudah tertanggal, ujar Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus.

    Beliau berkata tayar celup mudah tertanggal di atas jalan raya berbanding tayar asli yang boleh membawa risiko kepada pengguna jalan raya lain, laporan Bernama.

    “Tindakan saman boleh dikenakan kepada mereka yang menggunakan tayar celup,” katanya baru-baru ini.

    Beliau berkata kenderaan berat dilihat gemar menggunakan tayar celup kerana ia lebih murah berbanding tayar asli. Ada yang hanya mencecah RM50 hingga RM80 sebiji iaitu 50% hingga 70% lebih rendah harganya berbanding tayar tulen.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025